Monday, March 13, 2023

SBDJ Siri 190: Ayah Perkosa Anak Kandung


Haji Basilam pun memulakan langkahnya. Kami segera mengekorinya, meredah pepokok renik dan badan yang dingin kembali berpeluh. Panas kembali terasa mengigit kulit tubuh. Sesekali terdengar siulan burung liar. Kami segera berjalan hingga bertemu dengan jalan enam kaki yang debunya berterbangan ditolak angin. Debu-debu itu jatuh di dedaunan dikiri kanan jalan enam kaki.

Toyol jadi-jadian

"Berhenti."

Haji Basilam angkat tangan. Langkah kami segera terhenti.

"Kenapa Pak Aji?" Tanya Andi Kamarool.

"Apa yang kamu berdua alami dan rasai bersama aku tetap menjadi rahsia kita bertiga, tidak boleh diceritakan pada orang lain," wajah kami terus ditatap oleh Haji Basilam silih berganti.

Saya dan Andi Kamarool bertukar pandangan. Kemudian, serentak kami mengangguk.

"Jika aku tahu, kamu berdua pecahkan rahsia ni pada orang lain, aku pecahkan kepala kamu berdua dengan ini.." Haji Basilam mengacukan penumbuk kepada kami berdua.

Wajahnya nampak serius, anak mata hitamnya bagaikan memancar keazaman. Nada suaranya cukup keras, membuat hati kami kecut perut.

"Kami berjanji patuh dengan pesan Pak Aji," serentak kami memberi ikrar.

"Ok."

Ada senyum terukir di kelopak bibir Haji Basilam. Saya menarik nafas lega.

"Mari Andi. Tamar, kita dah lewat ni."

Haji Basilam segera menarik tangan saya dan Andi Kamarool. Kami dipeluk dan ditolak dengan kasar agar mara ke depan.

Kemudian digesa berjalan cepat menuju ke kawasan perumahan. Saya tidak berminat bertanya pada Haji Basilam nama kampung yang ditujui. Sampai dipintu tangga rumah kelak, nama kampung akan diketahui juga, fikir saya dalam hati.

Setelah melepasi sebuah surau kecil berdinding papan, beratap zink, seterusnya, kami berdepan dengan sebuah rumah berbumbung limas. Halamannya, cukup bersih dari dedauan dan rerumput.

Kiri kanan halaman ditanam dengan pokok kemunting serta diselang seli dengan pokok bunga kertas.

"Datuk kamu ada di rumah tu."

Itu yang dituturkan oleh Haji Basilam, sebaik saja sebelah kaki saya berada di halaman rumah tersebut. Saya anggukkan kepala, Andi Kamarool tersenyum. Kami terus mendekati rumah berbumbung limas itu.

Entah bagaimana, pandangan saya tertumpu ke arah sesusuk lelaki tua yang berdiri di situ? Muncul pertanyaan dalam hati.

Walau demikian, di bawah sinar matahari yang membahang itu, saya terus mengamati lembaga tersebut. Sudah nyata, orang yang berdiri itu, tidak lain, tidak bukan ialah datuk saya.

Dia melambai-lambaikan tangan ke arah kami bersama senyum lebar. Lambaian kami balas, Langkah dipercepatkan menuju ke rumah.

"Lama juga kamu menanti budak-budak ni?"

Begitulah datuk menyambut kedatangan kami. Haji Basilam tidak segera menjawab. Malah dengan tenang mengesat peluh di dahi dengan hujung baju. Saya dan Andi Kamarool terus tercegat di kaki tangga.

"Budak-budak ni, buat hal pula. Lain yang disuruh, lain pula yang mereka buat," sahut Haji Basilam sambil menjeling ke arah saya dan Andi Kamarool. Kami pura-pura buat bodoh.

"Tak sangka agakan aku betul, memang aku jangka budak berdua ni, suka buat tergeliat," tanpa memandang ke arah kami datuk bersuara.

"Naik," Haji Basilam mengeluarkan perintah. Semuanya kami patuhi.

Setelah berada lebih dari tiga jam di dalam perut rumah berbumbung limas, sejarah rumah itu terungkap. Rumah yang sudah berusia lebih dari seratus tahun itu, milik salah seorang keluarga rapat Haji Basilam.

Sejak pemiliknya meninggal dunia, rumah tersebut terbiar dan menjadi rumah penginapan istimewa bila Haji Basilam berkunjung ke daerah Kerinchi.

"Saudara mara rapat yang lain, boleh dikatakan tidak betah tinggal di rumah ni. Paling lama mereka boleh tidur semalaman saja, masuk malam kedua, kena campak keluar," tenang sekali Haji Basilam mengungkapkan kisah aneh rumah pusaka.

"Pak aji pernah kena campak?" Andi Kamarool bertanya.

"Setakat ni belum lagi, Insya Allah perkara macam tu tak akan terjadi. Datuk si Tamar juga hebat, dah tiga hari tiga malam di sini, dia tak apa-apa."

"Ahemmm.." Datuk bersuara.

Haji Basilam segera menoleh ke arahnya (datuk) yang berdiri dekat tingkap. Serentak mereka ketawa kecil yang tersirat dengan seribu makna.

"Kata kamu dulu, kamu nak beri pengalaman baru pada budak-budak berdua ni. Ada baiknya kamu memikirkan perkara itu daripada bercerita tentang rumah lama dan diri aku," datuk melontarkan komen.

"Saya ingat."

"Apa rancangan yang kamu siapkan untuk mereka?"

"Mencari orang pendek?" biji mata datuk terbeliak.

Kemudian dia termenung sebentar, macam ada sesuatu yang difikirkan. Tanpa banyak cakap datuk masuk ke biliknya.

JUMPA

Petang itu, Haji Basilam membawa kami berjumpa dengan beberapa orang tertentu yang masih ada pertalian keluarga dengannya.

Selama Haji Basilam dan datuk menginap di rumah pusaka, mereka bermurah hati menyediakan sarapan pagi, makan tengahari dan malam untuk datuk dan Haji Basilam.

Imam surau berdekatan meminta datuk menjadi imam serta mengajar ilmu agama. Datuk tidak menghampakan permintaan tersebut.

Dalam sekelip mata saja nama datuk jadi buah mulut penduduk setempat. Kalau mereka menghadapi masalah hukum agama, datuk jadi tempat rujukan.

Pendek kata, datuk jadi tumpuan, tempat mengadu susah senang dan meminta nasihat. Malah kalau ada yang kena sakit demam, datuk juga jadi tumpuan.

"Datuk kamu terkenal di sini," bisik Haji Basilam, ketika keluar dari sebuah rumah anak buahnya.

Saya hanya anggukkan kepala sambil melagakan sisi bawah dengan atas berkali-kali. Andi Kamarool tidak memberikan sebarang komentar.

"Kamu berdua boleh pergi ke mana-mana di kampung ni. Dari pangkal hingga hujung kampung ni semuanya anak buah aku, keselamatan kamu terjamin, aku nak balik dulu. Ada hal yang nak aku buat bersama datuk kamu di rumah," Haji Basilam segera meninggalkan saya dan Andi Kamarool di kelapa simpang.

Kerana cuaca baik, saya mengajak Andi Kamarool pergi ke sebuah kawasan sebelah utara. Saya amat terpikat dengan suara burung merbuk yang datang dari arah tersebut.

Permintaan saya tidak dihampakan oleh Andi Kamarool. Bila sampai di kawasan tersebut, saya dapati banyak sekali beburung merbuk terbang bebas dan turun berkejar-kejaran dikawasan yang berpasir halus.

Sebagai manusia yang memang minat dengan burung merbuk terutama suaranya, keadaan begitu membuat saya lupa dengan keadaan begitu membuat saya lupa dengan keadaan sekitar.

Tanpa kami sedari, langit yang putih bersih, segera bertukar menjadi hitam pekat, angin mula bertiup kencang. Dedaun tua dan reranting yang reput segera berjatuhan. Dalam sekelip mata, beburung merbuk yang berkeliaran terus ghaib entah ke mana.

"Hari nak ribut," kata Andi Kamarool.

Saya anggukan kepala.

"Kita balik Tamar."

"Tak sempat sampai, kita tumpang, kita tumpang teduh di mana-mana."

"Ayuh, kita cari tempat," Andi Kamarool mengemukakan usul.

Sebaik saja Andi Kamarool selesai bercakap, hujan pun turun dengan lebatnya. Kami tiada pilihan dan terpaksa meredah hujan lebat yang turun berjurai.

Akhirnya, kami tumpang berteduh di sebuah pondok usang. Saya dan Andi Kamarool mula menggigil.

Hujan terus turun mencurah-curah dan kali ini disertai dengan petir dan kilat sabung menyabung, memekakkan anak telinga. Di mana-mana kelihatan air sekata.

Kabel letrik yang terentang ditiang berlaga sama sendiri hingga menimbulkan percikan bunga api. Saya melihat dahan yang sekah dari pokok lalu jatuh ke bumi. Keadaan sekeliling sungguh mendebarkan. Sungguh menakutkan.

"Ribut dan hujan bersatu," saya merunggut.

"Macam membawa petanda yang buruk," sahut Andi Kamarool.

Dan satu ledakan petir mengegarkan seluruh kawasan. Kelihatan api petir menjilat pokok nibung.

"Macamana kita Tamar. Apakah kita mesti bertahan di sini."

"Sabar, bila reda kita balik."

Andi Kamarool mengangguk setuju.

Tidak lama berselang hujan beransur kurang. Begitu juga dengan angin. Kilat dan petir juga tidak sehebat tadi. Tanpa melengah-lengahkan masa, kami pun memulakan langkah pulang penuh debar.

"Terperangkap?" Tanya datuk sebaik sahaja kami melintasi ruang tengah untuk menuju ke bahagian belakang.

"Hujan lebat, petir dengan kilat sabung menyabung, angin cukup kuat." Andi Kamarool menjawab.

Ketika itu, saya sudah pun berada di bahagian belakang rumah menukar pakaian yang basah.

"Singgah dimana?"

Haji Basilam pula bertanya.

"Di rumah tinggal."

Jawapan itu disambut oleh datuk dan Haji Basilam dengan ketawa kecil. Haji Basilam memberitahu Andi Kamarool, semasa ketiadaan kami tadi, mereka dikunjungi oleh dua orang lelaki. Tetamu yang tidak diundang itu meninggalkan rumah sebelum hujan lebat turun.

Anehnya, Haji Basilam tidak pula menerangkan siapakah nama tetamu yang tidak diundang itu? Apakah tujuan mereka menemui datuk dan Haji Basilam.

Buat seketika legar-legar dalam tempurung kepala saya. Dan akhimya, punah sendiri.

TOPIK

Peristiwa hujan ribut petang tadi, menjadi topik perbualan yang agak hangat di kalangan para jemaah surau kecil. Para jemaah memberi tafsiran yang sendiri tentang kejadian itu.

Malah ada di antara mereka menimbulkan kejadian-kejadian aneh yang terjadi, sejak akhir-akhir ini sebagai tanda-tanda kemusnahan dunia atau kiamat.

Seorang jemaah malam itu dengan suara lantang menyebut tentang seekor binatang yang menyerupai lembu, boleh menyembuhkan orang yang sakit. Di sebut juga seorang anak yang dilahirkan berkaki tiga oleh seorang wanita.

Si jemaah yang berkulit hitam, berbadan kulit hitam, berbadan kurus itu terus bercerita tentang perkara-perkara yang menyeramkan. Boleh membuat bulu tengkuk meremang.

Bagaimana tidak seram dan cemas bila dia menyebut tentang ayah yang memperkosa anak kandung. Abang yang mencabuli adik sendiri.

Lelaki tua yang mahu mampus meliwat anak kecil, dia juga menyebut hal lesbian, homoseks dan paling tidak masuk akal bila anak memperkosa ibu kandungnya sendiri.

Semua yang berada dalam surau kecil, mendengar cerita itu dengan mulut terlopong.

"Apakah sewaktu melakukan perkara terkutuk itu mereka tidak ingat alam akhirat, di situlah kita akan kekal dan di situ juga kita akan menerima balasan dengan apa yang kita lakukan semasa hidup di dunia yang fana ini," kata orang itu dengan nada suara yang meninggi.

Semua muka yang tertonggok di depannya ditatap satu persatu. Saya lihat datuk dan Haji Basilam anggukkan kepala.

"Orang yang banyak membuat dosa, akan diseksa dalam api neraka. Manakala orang yang berbuat kebaikan, banyak membuat amalan akan hidup kekal dan bahagia dalam syurga bersama para nabi dan Rasul. Bersama para wali, para Syuhada dan orang orang yang soleh."

Saya kira, kalaulah manusia dapat membayangkan betapa ngerinya seksaan api neraka, mungkin manusia tidak berani membuat dosa seperti menipu, mencuri, membunuh, memperkosa.

Durhaka kepada ibu yang telah melahirkan kita dengan susah payah, kemudian memelihara kita hingga dewasa. Tetapi, sejak akhir-akhir ini durhaka kepada kedua orang ibu bapa sering terjadi.

"Apa yang saya katakan tadi untuk renungan bersama," secara mendadak orang kurus berkulit hitam bersuara dengan keras. Semua yang bermain dalam kepala saya terus hilang.

"Kita balik." bisik Haji Basilam kepada saya.

"Jum....," kata saya.

Serentak saya dan datuk bangun, kemudian dituruti oleh Andi Kamarool dan Haji Basilam. Beberapa orang jemaah mengikut jejak kami keluar dari surau kecil. Orang yang berkulit hitam dan berbadan kurus meneruskan ceramahnya.

ASAR

Petang besoknya, tanpa memberitahu datuk dan Haji Basilam, kami berdua membuat keputusan untuk pergi sembahyang Asar di sebuah masjid yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah tinggal, tempat kami berteduh petang semalam.

Saya berharap tindakan tidak bersembahyang jemaah disurau kecil tidak akan menimbulkan kemarahan pada datuk atau Haji Basilam.

"Mesti Pak Aji tertanya-tanya bila melihat kita tak ada di surau." bisik saya pada Andi Kamarool sambil membasuh tangan di kolah.

"Kalau marah, kita minta maaf." sahut saya.

"Aku juga terfikir macam tu."

Saya dan Andi Kamarool terus ketawa kecil dan terus mengambil wuduk. Semasa saya membasuh kedua belah cuping telinga, saya tercium bau yang amat busuk. Macam bau daging dan tulang yang dibakar rentung. Saya berhenti mengambil wuduk.

"Aku tercium bau bangkai, Andi."

"Aku juga begitu, Tamar."

"Kalau tak silap, bau itu datang dari arah belakang masjid dibawa angin, kau tengok daun pokok kecil tu bergoyang-goyang," saya arahkan sepasang anak mata menghala ke belakang masjid.

Andi Kamarool turut juga berbuat seperti apa yang saya buat. Lantas kami saling berpandangan.

"Kita sembahyang dulu, kemudian baru siasat dari mana bau busuk itu datang," satu usul yang lojik dari Andi Kamarool. Cepat-cepat saya anggukkan kepala tanda setuju.

Memang di kawasan belakang masjid terdapat sebidang tanah yang boleh dikatakan agak luas juga.

Di atas tanah itu terdapat beberapa batang pokok cempedak, asam gelugur atau asam keping dan selebihnya adalah pokok-pokok getah yang subur tidak ditoreh.

Tanah kubur tersebut sentiasa dijaga dengan rapi oleh penduduk setempat.

Malah, orang-orang dari kampung berdekatan yang meninggal dunia diizinkan ditanam ditanah perkuburan tersebut dengan syarat orang yang meninggal itu mempunyai pertalian keluarga dengan penduduk.

Selesai sembahyang Asar kami pun memulakan tugas mengesan bau busuk tersebut. Kami menutup hidung dan mulut dengan sapu tangan tetapi, bau yang tidak menyenangkan itu terus mencucuk lubang hidung.

Tidak sukar bagi kami memasuki kawasan perkuburan yang pintu pagarnya tidak berkunci.

Cuaca yang terang benderang secara mendadak bertukar menjadi redup. Bila kepala di donggakkan ke langit, saya lihat ada tompok-tompok awan hitam tebal yang mula melindungi pancaran matahari.

Walaupun hari siang tetapi, bila memasuki perkuburan memang terasa seram sejuk. Lebih-lebih ladi keadaan cuaca redup dan mendung.

Suasana di kawasan perkuburan terasa sunyi. Batu-batu nisan tegak kaku sementara pepohon kemboja yang ditanam berdekatan batu-batu nisan nampak bergerak-gerak lemah. Beberapa ekor burung tanpa suara terus melompat dari dahan ke dahan kemboja.

"Nak hujan Tamar," bisik Andi Kamarool.

"Kita berdoa supaya hujan tak jadi macam semalam."

"Aku juga begitu," balas Andi Kamarool sambil merenung ke dada langit yang kian menghitam.

Bau busuk dan hangit terus menusuk batang hidung. Kami terus berjalan dengan hati-hati di celah-celah pepohon kemboja dan batu nisan yang kaku.

Bila sampai ke perdu cempedak atau pokok asam gelugur kami berhenti sebentar untuk menghilangkan rasa penat. Bau busuk dan hangit kian bertambah kuat, anak tekak terasa loya dan mahu muntah.

Tiba-tiba saya merasakan apa yang dilakukan adalah kerja yang sia-sia. Saya mengajak Andi Kamarool pulang. Tetapi, Andi Kamarool membantah cadangan saya.

"Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kalau sudah sampai separuh jalan. tiba-tiba mahu berhenti. Tak kenalah caranya. Kenapa masa mula-mula tadi tak mau fikir habis-habis," Andi Kamarool meluahkan protesnya.

Saya kira diam lebih baik dari bertekak. Perjalanan dan percarian ditanah perkuburan diteruskan.

"Berhenti."

Andi Kamarool memegang bahu kanan saya.

"Kenapa Andi?"

"Aku dengar suara orang bercakap di sebelah hujung sana," bisik Andi Kamarool.

Dan saya terus pasang telinga. Apa yang dikatakan oleh Andi Kamarool memang benar. Suara orang bercakap sama kuatnya dengan bau busuk dan hangit.

"Kita jalan perlahan-lahan, jangan sampai gerak-geri kita dapat mereka kesan," Andi Kamarool mengeluarkan arahan. Saya patuhi arahan itu.

Perjalanan selanjutnya cukup hati-hati. Dengan sedaya upaya kami cuba menghindari dari terpijak reranting kering. Ada ketikanya kami membongkok dan merangkak di bawah pepohon kemboja.

Berusaha dengan sedaya upaya agar kami tidak melanggar batu-batu nisan yang bersimpang perinang di tanah perkuburan.

Bunyi orang bercakap, makin lama, makin jelas. Bau busuk dan hangit makin kuat, membuat saya enggan melangkah ke depan.

"Lihat itu," kata Andi Kamarool sambil memberhentikan langkah.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 190/284

BACA: SBDJ Siri 189: Tulang Pari Keluar Di Leher
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon