Wednesday, January 17, 2018

Cara Membuat Rebusan Teh Daun Sukun

Cara Membuat Rebusan Teh Daun Sukun

Untuk membuat ramuan daun sukun kering, pastikan anda memilih daun sukun segar yang masih tumbuh pada batang atau dahan dan jangan menggunakan daun sukun kering yang sudah jatuh ke tanah atau rosak.

Cara membuat teh sukun

Berikut adalah cara paling mudah untuk membuat teh dari daun sukun kering:

1. Pilih sehelai daun sukun yang sudah tua. Cirinya adalah karakter daun sukun yang keras, garis-garis yang jelas dan warna hijau tua hingga kebiruan.

2. Cuci daun sukun yang baru dipetik dengan air mengalir, jika kotor maka bersihkan dengan berus. Pilih jenis daun yang tidak 'terluka' atau berkerak.

3. Sediakan 2 liter air ke dalam tempat memasak. Hindarkan penggunaan bekas aluminium. Gunakan bahan dari steel dan sebaik-baiknya bekas dari tanah liat.

4. Rebus daun sukun dan bila sudah baki air tinggal separuh, tambah setengah liter air lagi. Rebus sehingga tinggal separuh.

5. Tapis rebusan daun sukun. Tunggu sehingga suam atau tidak terlalu panas.

6. Minum 3 kali sehari.

7. Jangan simpan air rebusan daun sukun untuk keesokan harinya. Apa yang anda rebus hari ini perlu dihabiskan hari ini juga

8. Tambahkan madu atau gula untuk menghilangkan kesan pahit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sehinggit

4 Gaya Tudung Yang Menggambarkan Personaliti Anda

4 Gaya Tudung Yang Menggambarkan Personaliti Anda

Pada masa kini ada pelbagai jenis gaya tudung dari yang biasa-biasa sehinggalah kepada yang luarbiasa gayanya. Ada wanita yang tidak kisah tentang gaya tudung yang dipakai dan ada juga yang terlalu mengambil berat tentangnya. Ini kerana setiap gaya tudung yang dipilih mencerminkan personaliti diri pemakainya.

Ada 4 kumpulan personaliti yang akan dijelaskan di dalam artikel ini iaitu Natural, Romantik, Klasik dan Dramatik.

1. Natural

4 Gaya Tudung Yang Menggambarkan Personaliti Anda

Wanita yang memilih gaya Natural menggemari warna lembut atau muted (suram) seperti kelabu, muted pink (pink belacan), cream dan sebagainya.
  • Suka tudung yang ringkas, mudah dan jimat masa ketika bersiap.
  • Tudung sarung atau instant adalah pilihan utama.
  • Gemar memilih jenis kain seperti lycra atau bawal sebab selesa, mudah diurus dan tak renyah.

Mereka akan memakai apa sahaja yang mudah dipakai dan cepat siap adalah kriteria tudung pilihan nombor 1 mereka.

Itu menyebabkan mereka kurang gemar teknik penggayaan shawl yang terlalu banyak ‘steps’ sebab bagi mereka agak kompleks dan memakan masa utk bersiap.

Mereka juga cenderung memilih aksesori (keronsang/pin tudung) yang ringkas dan kecil.

2. Romantik

4 Gaya Tudung Yang Menggambarkan Personaliti Anda

Wanita Romantik gemar tampil dengan gaya tudung yang bersifat ‘loose’ dan ‘flowy’ kerana ia menyerlahkan unsur feminin kepada pemakai.
  • Suka lilit shawl gaya loose dan flowy.
  • Cenderung pilih stail feminin dan warna pastel.
  • Suka perincian seperti manik, bunga atau lace.
  • Gemar fabrik lembut seperti chiffon.

Bagi mereka, tampil feminin juga perlu kelihatan bergaya jadi, mereka tahu bagaimana menggunakan selendang yang memiliki manik, bunga atau lace.

Biasanya mereka mempunyai koleksi tudung yang banyak terutamanya selendang (shawl) jenis fabrik lembut seperti chiffon.

Mereka sangat menggemari gaya yang memerlukan aktiviti ‘lilit-melilit’. Bagi mereka itu adalah part of creativity dan tiada masalah ambil sedikit masa untuk bersiap.

Dari segi pemilihan warna, mereka gemar warna yang terang seperti merah, hot pink, kuning dan sebagainya, selain daripada warna lembut,

Kebanyakan wanita Romantik gemar memakai aksesori sebagai pelengkap gaya tudung mereka. Mereka akan rasa ‘kosong’ kepada penampilan jika tiada aksesori.

3. Klasik

4 Gaya Tudung Yang Menggambarkan Personaliti Anda

Wanita Klasik lebih menonjol kepada wanita berkerjaya kerana mereka lebih mementingkan praktikaliti, dan keselesaan berbanding gaya.
  • Suka gaya yang kemas, smart dan polished.
  • Mementingkan kualiti material
  • Suka tudung dan baju warna sedondon

Jadi, mereka kurang gemar gaya yang longgar dan beralun. Ini kerana mereka amat mementingkan penampilan diri yang kelihatan kemas, smart dan polished.

Dari segi warna, wanita Klasik cenderung memilih warna bold seperti merah dan biru. Mereka juga jenis setia pada satu jenama sahaja apabila mereka rasa sudah selesa dengan tudung tersebut.

4. Dramatik

4 Gaya Tudung Yang Menggambarkan Personaliti Anda

Wanita Dramatik adalah wanita yang berani kerana mereka suka bereksperimen dengan pelbagai gaya tudung yang tersendiri.

Ini menunjukkan mereka juga kreatif dalam penggayaan tudung.
  • Gaya tudung unik, ada stail tersendiri
  • Suka warna atau corak bold dan terang
  • Gemar pakai aksesori pelengkap gaya

Kebanyakan wanita Dramatik cepat belajar teknik tutorial tudung dengan hanya melihat gambar, video atau mencipta gaya sendiri.

Ada sesetengah golongan Dramatik tidak mementingkan harga atau jenama tudung. Yang penting adalah gaya tudung supaya mereka nampak unik dan stailo.

Kenapa Ada Personaliti Kelihatan Hampir Sama?

Personaliti Natural dan Klasik kelihatan seperti hampir sama. Tetapi ada perbezaan yang ketara, iaitu:
  • Warna: Wanita Klasik cenderung memilih warna bold seperti merah dan biru berbanding wanita Natural: Wanita Natural gemar warna lembut atau muted (suram).
  • Pemilihan Tudung: Wanita Klasik lebih gemarkan atau setia kepada satu-satu jenama yang dia sudah selesa.
  • Tujuan pengayaan: Wanita Klasik amat mementingkan kelihatan kemas, smart dan polished. Wanita Natural lebih kepada laidback dan casual style.

Apapun ada sesetengah orang mempunyai gabungan lebih daripada 1 personaliti apabila menggayakan tudung.

Bagaimana Jika Ada Lebih Daripada 1 Jenis Gaya?

Sekiranya anda mempunyai beberapa ciri dalam beberapa kumpulan personaliti, berkemungkinan anda ada lebih daripada satu stail personaliti. Apapun ini adalah panduan ringkas sahaja.

Dapatkan konsultasi bersama perunding-perunding imej yang bertauliah jika anda mahu mengetahui dengan lebih lanjut dan tepat tentang stail personaliti anda.

Apa Gaya Tudung Anda?

Anda sudah baca artikel ini, adakah anda sudah tahu apakah gaya tudung dan personaliti anda?

Apa jua sebab pemilihan gaya tudung, pastikan ianya menutup aurat anda sebagai seorang Muslimah. Dan jangan cepat menghukum pula orang lain selepas mengetahui stail personaliti ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Tuesday, January 16, 2018

'FGV Mafia' Dalang Penghisap Darah Peneroka FELDA?

'FGV Mafia' Dalang Penghisap Darah Peneroka FELDA?

Dalam satu pesanan “Tweet” berkaitan skandal tanah FELDA yang dilaporkan oleh New Straits Times atas talian, PM Najib berkata dia bersyukur 16 lot tanah itu dipulangkan tanpa sebarang kos.

'FGV Mafia' Dalang Penghisap Darah Peneroka FELDA?

Malangnya, adakah penyelesaian skandal “kehilangan” hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur semudah itu?

Adakah kes itu dikira selesai semata-mata hanya kerana hak milik ke atas 16 lot tanah yang dikatakan hilang itu sudah dipulangkan?

Kalau itulah caranya, nampak sangat bahawa ada silap mata dalam “kehilangan” dan “perolehan balik” tanah bernilai tinggi itu.

Hanya orang yang betul-betul lurus bendul dan tidak tahu apa-apa sahaja akan percaya penyelesaian ajaib ala wayang kulit itu.

Jadi, elok sangatlah audit forensik dan siasatan polis ke atas bagaimana sebuah syarikat persendirian berjaya mengambil alih pemilikan tanah itu diteruskan seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri.

Apa yang sangat luar biasa dan menakjubkan, bagaimanakah tanah yang dianggarkan bernilai RM270 juta, dengan nilai terbangun kasar (gross development value)  melebihi RM1 bilion boleh dipulangkan tanpa kos?

Kalau pemindahan hak milik tanah itu dilakukan dengan telus mengikut undang-undang, tentulah ada perjanjian dan pembayaran.

Bila ada perjanjian dan pembayaran, maka pemindahan balik hak milik kepada Felda pun mesti ada perjanjian dan pembayaran.

Tetapi, seperti yang diakui pemulangan hak milik tanah itu kepada Felda tidak melibatkan sebarang bayaran atau kos!?

Apakah jenis urusan jual-beli yang menyebabkan tanah itu terlepas daripada tangan Felda dan kemudiannya dimajukan menjadi Kuala Lumpur Vertical City?

Apakah sebenarnya latar belakang syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd yang memulangkan 16 lot tanah itu kepada Felda dan siapakah di belakangnya?

Apa yang kita ketahui daripada laporan media ialah, ia diwakili oleh seorang ahli lembaga pengarahnya bernama (Datuk) Marina Hashim.

Carian Internet mendapati Synergy Promenade ini adalah syarikat kontraktor dan perniagaan umum yang ditubuhkan pada tahun 2000.

Kalau Marina Hashim itu sama dengan wanita yang dipersembahkan oleh majalah Nona pada 18 September tahun 2017 lalu, maka dia adalah seorang jelitawan dan ibu dalam usia 40-an.

Dalam laporan itu, majalah tersebut memetik salah seorang anaknya, Muhammad Nuraiman Rayyan Erwazri, sebagai berkata, ibunya “bekerjasama rapat dengan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).”

Jadi, audit forensik dan penyiasatan polis yang disebutkan itu perlulah memastikan apakah bentuk kerjasama rapat di antara wanita itu dengan pengurusan Felda.

Memandangkan banyaknya kejadian berbentuk skandal dan rasuah yang berlaku dalam Felda dan Felda Global Ventures (FGV) yang kesemuanya mengancam kepentingan peneroka Felda serta generasi kedua Felda, maka wajiblah skandal tanah Jalan Semarak ini disiasat hingga ke akar umbi.

Manalah tahu mungkin benar-benar wujud apa yang dipanggil “FGVMafia” dalam FGV dan Felda yang menjadi dalang menghisap darah peneroka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Senarai Skandal FELDA Dan FGV

sumber: kadirjasin

Tradisi Pelik Chhaupadi Anggap Wanita Datang Haid Pembawa Nasib Buruk

Tradisi Pelik Chhaupadi Anggap Wanita Datang Haid Pembawa Nasib Buruk

Antara adat, budaya atau tradisi, ada di antaranya dilihat memudaratkan jika sesuatu komuniti itu terlalu taksub untuk mengaplikasikan kaedah yang diamalkan sejak turun-temurun tersebut.

Tradisi Pelik Chhaupadi

Di sebuah kawasan terpencil Nepal, tradisi memaksa wanita yang datang haid untuk mengasingkan diri di dalam bangsal untuk bersendirian.

Malangnya, kematian akibat tradisi pelik ini sering berlaku walaupun pengubal undang-undang pada tahun 2017 lalu menetapkan amalan memaksa wanita keluar dari rumah ketika haid adalah salah.
Di bawah undang-undang itu, sesiapa yang menguatkuasakan amalan itu berdepan hukuman penjara tiga bulan dan denda $30.

Amalan ini, yang dikenali sebagai Chhaupadi, telah menjadi tumpuan selepas sekurang-kurangnya dua wanita meninggal dunia tahun 2017 lalu ketika tidur di bangsal.

Ramai wanita haid masih lagi meninggalkan rumah mereka di bawah tradisi Hindu purba dan berlindung di pondok yang tidak bersih, tidak selamat atau bangsal lembu sehinggalah kitaran haid mereka berakhir.

Semasa diasingkan, wanita-wanita ini berdepan ancaman cuaca sejuk melampau atau serangan haiwan liar selain keadaan yang tidak bersih yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit.

Wanita yang datang haid atau yang baru melahirkan kadang-kadang dilihat sebagai 'tidak suci' atau 'pembawa nasib buruk'.

Mereka dilarang menyentuh lembu dan lelaki, serta dihalang daripada menggunakan tandas.

Pengasingan mereka ke 'pondok haid' itu juga mengehadkan wanita-wanita muda pergi ke sekolah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tradisi Hubungan Terlarang Paling Pelik Di Muka Bumi!

sumber: astroawani

12 Syarikat Penerbangan Terbaik Di Asia 2017

12 Syarikat Penerbangan Terbaik Di Asia 2017

Setiap tahun, laman web pengguna penerbangan, Skytrax, akan mengeluarkan senarai syarikat-syarikat penerbangan terbaik di dunia dan bagi tahun 2017, Qatar Airways menduduki tempat teratas untuk kali kedua dalam tempoh tiga tahun dan kali keempat dalam tujuh tahun terakhir.

12 Syarikat Penerbangan Terbaik Di Asia 2017

Turut termasuk ke dalam senarai adalah syarikat penerbangan dari negara-negara Rim Pasifik, Asia Selatan dan Timur Tengah dan syarikat penerbangan dari benua Asia secara keseluruhannya telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam ranking Skytrax, menduduki 12 daripada 20 tempat teratas.

Ranking Skytrax dibuat berdasarkan tanggapan 19.87 juta pelancong dari 105 negara yang berbeza.

Kaji selidik yang meliputi lebih daripada 325 syarikat penerbangan, menilai prosedur dari sebelum pelepasan, keselesaan kerusi sehinggalah kualiti perkhidmatan.

Berikut adalah senarai 12 syarikat penerbangan terbaik Asia:

12. Asiana

Sekali lagi, Asiana, dari Korea Selatan mendapat markah tinggi dari Skytrax untuk krew kabin, kebersihan, dan produk kelas ekonominya.

11. Japan Airlines

Pengangkutan udara Jepun ini adalah salah satu syarikat penerbangan paling dihormati di dunia. Penilai di Skytrax memuji syarikat penerbangan kedua terbesar di Jepun ini untuk perkhidmatan yang penuh perhatian, pelarasan kakitangan dan kabin yang selesa.

Bagi tahun 2017, Japan Airlines memenangi anugerah untuk Tempat Duduk Penerbangan Kelas Ekonomi Terbaik.

10. Thai Airways


Thai Airways telah lama menjadi pemimpin industri dalam perkhidmatan yang berkualiti, jadi tidak mengejutkan apabila syarikat penerbangan nasional Thai ini berada dalam senarai.

Walaupun produknya yang paling terkenal adalah perkhidmatan kelas pertama, penumpang mendapati kerusi ekonominya juga berkualiti tinggi. Penumpang juga memuji sikap mesra kru dan pilihan makan yang lazat.

Pada tahun 2017, Thai Airways memenangi anugerah Kelas Ekonomi Terbaik Dunia, Katering Kelas Ekonomi Terbaik Dunia dan Kemudahan Spa Penerbangan Terbaik Dunia.

9. Garuda Indonesia

Garuda Indonesia telah mengalami perubahan dramatik dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Syarikat dari Indonesia ini telah melaksanakan pembaharuan pesawat dan langkah-langkah penambahbaikan perkhidmatan untuk mendapatkan semula kepercayaan penumpang dan pengendali keselamatan.

Pada tahun 2017, atendan penerbangan Garuda membawa pulang anugerah untuk Krew Kabin Terbaik di Dunia untuk tahun kedua berturut-turut.

8. Hainan Airlines

Ditubuhkan pada tahun 1993, Hainan merupakan satu-satunya syarikat penerbangan China yang memegang penarafan lima bintang Skytrax.

Dalam tempoh tiga tahun yang singkat, syarikat penerbangan itu melonjak dari tempat ke-22 ke kedudukan 10 terbaik. Hainan berkembang pesat di seluruh Asia, Eropah dan Australia.

Penilai di Skytrax memuji syarikat penerbangan itu untuk perkhidmatan kelas perniagaannya.

Hainan juga memenangi anugerah untuk Syarikat Penerbangan Terbaik dan Perkhidmatan Kakitangan Penerbangan Terbaik di China.

7. Etihad Airways

Etihad Airways, yang berpangkalan di Abu Dhabi, adalah syarikat penerbangan Emiriah Arab Bersatu dengan pesawat Airbus dan Boeingnya yang mengembara ke lebih kurang 100 destinasi.

Syarikat penerbangan ini terkenal dengan penerbangan kelas pertama dan suit kelas perniagaannya yang mewah.

Pada tahun 2017, Etihad merangkul anugerah untuk Kelas Pertama Terbaik Dunia, Kerusi Kelas Pertama Terbaik dan Katering Kelas Pertama Terbaik pada tahun kedua berturut-turut.

6. Eva Air

EVA Air dari Taiwan ditubuhkan pada tahun 1989 dan merupakan cabang dari gergasi kontena Evergreen Group.

Syarikat yang berpangkalan di Taipei ini telah berkembang dengan pesat dalam dua dekad yang lalu dan kini mengendalikan sebuah pesawat besar Airbus dan Boeing. Syarikat penerbangan itu dipuji sebagai perintis kabin ekonomi premium.

EVA juga mendapat anugerah Kabin Penerbangan Paling Bersih Terbaik Dunia dan Kemudahan Keselesaan Kelas Perniagaan Terbaik.

5. Cathay Pacific Airways

Walaupun Cathay Pacific, yang berpusat di Hong Kong ini jatuh satu anak tangga dari tahun lepas, ia masih mengekalkan kedudukannya sebagai salah sebuah syarikat penerbangan paling dihormati dari negara Rim Pasifik.

Dengan pesawat jet Boeing 777-300ER jarak jauh dan strategi perniagaan yang berpusat kepada tawaran penerbangan berkelajuan tinggi, Cathay merupakan salah satu pengalaman penerbangan terbaik di Asia.

Pengulas Skytrax memberikan markah yang tinggi untuk keselesaan kerusi, kualiti perkhidmatan dan hiburan dalam penerbangan.

4. Emirates

Sepanjang 30 tahun lalu, Emirates yang berpangkalan di Dubai telah berkembang menjadi salah satu pengangkutan jarak jauh utama dunia.

Beroperasi secara eksklusif menerusi hab palatialnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, syarikat penerbangan itu menawarkan pesawat terbesar di dunia, superjumbo Airbus A380 dan jet lebar Boeing 777.

Sistem hiburan dalam penerbangan Emirates termasuk pelbagai pilihan video dan muzik apabila diminta dan juga televisyen dan acara sukan secara langsung dalam pesawat menarik perhatian penumpang.

Malah, Emirates telah membawa pulang penghargaan Skytrax untuk Hiburan Terbaik Dalam Penerbangan selama 13 tahun.

3. All Nippon Airways (ANA)

ANA terus maju ke arah kedudukan teratas. ANA adalah syarikat penerbangan antarabangsa terbesar di Jepun dan 'rumah' kepada salah satu pesawat Boeing 787 Dreamliners terbesar di dunia.

ANA mendapat pujian yang tinggi dari pengulas Skytrax untuk kebersihan, perkhidmatan dan keselamatan.

Kebanyakan pesawatnya mempunyai ciri-ciri tempat duduk yang memberikan privasi keseluruhan, termasuk saluran USB walaupun dalam kelas ekonomi.

2. Singapore Airlines

Perkhidmatan menyerlah syarikat Singapura ini menjadikan perjalanan anda sangat menyenangkan yang mana para atendan penerbangan dilatih untuk melayan dan menghormati pelanggan sebaik mungkin.

TV peribadi dengan banyak pilihan hiburan dan tuala panas yang diberikan sebelum berlepas antara beberapa faedah kelas ekonomi.

Berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, ia adalah salah satu kemudahan terbaik di dunia dan telah dinamakan oleh Skytrax sebagai Lapangan Terbang Terbaik di Dunia lima tahun berturut-turut.

Syarikat penerbangan ini juga membawa pulang anugerah untuk Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia, Kerusi Penerbangan Kelas Perniagaan Terbaik dan Katering Ekonomi Premium Terbaik.

1. Qatar Airways

Selepas jatuh ke tempat kedua tahun lepas, Qatar Airways kembali di tempat teratas untuk tahun 2017.

Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Doha itu menerima pujian daripada pengulas untuk keselesaan kerusi dan hiburan dalam penerbangan kedua terbaik. Syarikat penerbangan itu menghubungkan lebih 150 destinasi di seluruh dunia.

Qatar juga memenangi anugerah untuk Penerbangan Terbaik di Timur Tengah, Kelas Perniagaan Terbaik Dunia dan Lounge Penerbangan Kelas Pertama Terbaik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Bagaimana Hendak Menjadi Seorang Juruterbang Pilot?

sumber: mstar

Apa Itu Ripple Cryptocurrency Dan Kenapa Anda Patut Membelinya Mulai Sekarang!

Apa Itu Ripple Cryptocurrency Dan Kenapa Anda Patut Membelinya Mulai Sekarang!

Walaupun matawang crypto Ripple, XRP, adalah yang ketiga terbesar, tidak ramai yang begitu minat mengambil tahu tentang matawang ini. Kenapa?

Apa Itu Ripple Cryptocurrency Dan Kenapa Anda Patut Membelinya Mulai Sekarang!

Faktor terbesar adalah nilai XRP yang dianggap begitu kecil dan tidak signifikan jika dibandingkan dengan ‘gergasi’ seperti Bitcoin dan Ether.

Persoalannya, bagaimana XRP kekal sebagai matawang crypto terbesar? Mari kita lihat kepada data XRP dahulu.

Pada waktu penulisan, modal pasaran XRP adalah USD$6.7 bilion dan nilainya adalah USD$0.774417 (sumber dari coinmarketcap).

Kita tahu modal pasaran adalah jumlah unit matawang crypto di darab dengan harga semasa dalam USD.

Jadi, kalau kita lihat pada harga XRP, kita akan dapat tahu bahawa jumlah unit XRP yang telah dikeluarkan adalah besar untuk mendapat modal pasaran yang besar. Hebat, bukan?

Jawapan kepada mengapa XRP kekal di tempat ketiga terletak pada fungsinya. Ramai orang keliru tentang perbezaan Bitcoin dan XRP yang dilihat agak sama.

Tetapi, kedua-duanya memang sangat berbeza. Fungsi Bitcoin adalah sebagai kaedah pembayaran peer-to-peer manakala fungsi XRP adalah sebagai matawang crypto yang digunakan dalam sistem pembayaran untuk transaksi kewangan satu dunia. Masih keliru?

Penulis akan cuba merungkai XRP satu persatu bermula dengan sejarah penciptaannya.

Ripplepay

Sebelum XRP dan sebelum Bitcoin lagi, sistem pembayaran peer-to-peer sudah pun wujud iaitu Ripplepay.

Ianya dicipta oleh Ryan Fugger pada tahun 2004 untuk memudahkan pembayaran antara rakan-rakan dan perniagaan yang saling berkaitan.

Ripplepay membolehkan pengguna mengeluarkan dan bertukar-tukar kredit (pinjaman) dengan pengguna lain dalam rangkaian yang dipercayai.

***

Contohnya, Abu berhutang RM10 dengan kawannya Badrul. Kebiasaannya Badrul tidak boleh berbuat apa-apa sehinggalah Abu memulangkan wang yang dipinjam.

Tetapi katakanlah Badrul seorang yang kreatif dan ingin menggunakan hutang Abu untuk membeli sesuatu berharga RM10 daripada Chong yang dikenali Abu.

Jadi, Badrul memindahkan hutang tersebut dan kini Abu menjadi perantara antara Badrul dan Chong, dan berhutang dengan Chong sebanyak RM10.

Keadaan itu mudah bukan?

Sekarang bayangkan Chong yang masih belum mendapat wangnya dari Abu ingin membeli sesuatu berharga RM10 daripada Devi yang kenal Abu.

Sudah tentu Devi tidak menerima hutang itu kerana dia tidak kenal Abu. Tetapi bagaimana jika dia kenal Badrul?

Sebelum itu, kita permudahkan hutang RM10 tadi kepada sekeping nota IOU. Bagaimana jika Chong boleh meminta Badrul mengambil IOU Abu dan mengeluarkan IOU sendiri untuk diberikan kepada Devi bagi pihak Chong?

Sekarang Abu dan Badrul menjadi perantara antara Chong dan Devi.

Begitulah seterusnya.

***

Kesimpulannya, ia adalah satu rangkaian yang terdiri daripada pengguna-pengguna yang dipercayai sesama sendiri dan membolehkan pinjaman dilakukan dengan sesiapa pun. Itu adalah prinsip utama sistem Ripple.

Kewujudan Bitcoin sebagai pelengkap Ripplepay

Kepercayaan sudah tentu tidak cukup untuk mengelakkan risiko hutang tidak dilangsaikan. Devi mungkin percaya IOU yang dikeluarkan Badrul, tetapi bagaimana jika Badrul tidak mahu atau tidak boleh membayarnya kembali?

Kewujudan Bitcoin membolehkan pembayaran dibuat tanpa kepercayaan dan rekod lejar Bitcoin mengelakkan daripada risiko kerugian sebelah pihak.

Dengan menggabungkan teknologi Bitcoin dan juga Rippleplay, sebuah sistem yang membolehkan IOU berdasarkan Bitcoin antara pengguna boleh dicipta.

Beberapa tahun setelah Bitcoin dicipta, OpenCoin (kini Ripple Labs) telah mengambil alih Ripplepay dan mula mengemaskini protokol Ripplepay.

Konsep mengurus IOU masih dikekalkan, tetapi dengan inspirasi daripada Bitcoin, Ripple Labs telah mencipta sistem transaksi global dan pada masa yang sama mengeluarkan token mereka sendiri, iaitu XRP.

Token XRP tidak mengikuti prinsip decentralization

Fakta ini pasti mengelirukan anda, betul? Mari penulis jelaskan.

Bitcoin dicipta untuk digunakan oleh pemiliknya tanpa perlu pihak ketiga, ini sudah jelas. Tambahan pula, bekalan Bitcoin yang terhad itu keseluruhannya boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja. Dua perkara ini membuatkan Bitcoin matawang crypto yang decentralized.

Bagi XRP pula, bekalannya juga adalah terhad tetapi lebih 50% daripada keseluruhan jumlah itu dimiliki oleh Ripple Labs.

Sama seperti bank yang menguasai bekalan wang fiat. Jadi apa kesannya?

Kadar Ripple mengeluarkan XRP akan memberi kesan kepada nilai pasaran XRP namun begitu, Ripple Labs telah mengumumkan bahawa hanya 55 bilion XRP di dalam akaun escrow untuk memastikan jumlah bekalan XRP di pasaran diketahui awam (jumlah masih dipegang Ripple adalah 6,662,260,753 XRP dan 38,343,841,883 XRP ada di pasaran).

Sistem Ripple

Apa yang pasti, XRP dan sistem transaksi Ripple adalah dua benda yang berbeza. Sistem itu masih lagi decentralized kerana menggunakan konsep konsensus seperti proof-of-work Bitcoin, cuma kaedah yang berbeza.

Kaedah yang digunakan membolehkan transaksi XRP berlaku dalam masa beberapa saat, berbanding transaksi Bitcoin yang mengambil masa lebih 10 minit.

Tambahan lagi, XRP tidak mempunyai isu scalability kerana sistem itu membolehkan 1,000 transaksi diproses pada masa yang sama.

Berbalik kepada Ripplepay tadi, kepercayaan dalam sistem Ripple digunakan untuk mengesahkan transaksi.

Dipanggil validator, mereka yang terdiri daripada institusi yang telah disarankan oleh Ripple dan dipilih oleh pengguna Ripple sendiri. Ini adalah sebab utama mengapa bank dan institusi menggunakan sistem Ripple.

XRP kini sudah didagangkan di lebih 30 platform pertukaran dan rangkaian global Ripple yang terdiri daripada bank dan institusi kewangan (lebih daripada 75) juga semakin bertambah.

Baru-baru ini 10 lagi institusi kewangan menjadi pengguna Ripple -MUFG, BBVA, SEB, Akbank, Axis Bank, YES BANK, SBI Remit, Cambridge Global Payments, Star One Credit Union and eZforex.com.

Apa yang pasti, kadar penerimaan XRP sudah meningkat dengan begitu cepat dan trend ini dijangka akan berterusan.

Persoalannya bukan sama ada XRP akan mengatasi Bitcoin tetapi, mampukah XRP pergi lebih jauh daripada Bitcoin dan kekal signifikan dalam jangka masa yang panjang?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: LUNO Platform Membeli, Menjual Dan Mengumpul Bitcoin

sumber: coin

Misteri Orang Ikan Di Indonesia

Misteri Orang Ikan Di Indonesia

Kisah misteri Orang Ikan bukanlah hikayat atau cerita dongeng dari Nusantara, tetapi adalah kisah benar yang sangat unik kerana ia adalah makhluk separuh manusia dan separuh ikan yang benar-benar wujud. Anatomi Orang Ikan menyerupai manusia kerana memiliki kaki dan tangan, tetapi wajahnya seperti ikan.

Misteri Orang Ikan Di Indonesia
Gambar hiasan.

Kewujudan Orang Ikan mula dilaporkan oleh tentera Jepun yang menawan Kepulauan Kei di Indonesia pada tahun 1943.

Pulau Kei merangkumi kawasan seluas 555 batu persegi yang merupakan sebahagian dari Kepulauan Maluku.

Askar Jepun yang ditempatkan di Pulau Kei mendakwa telah melihat makhluk menyerupai manusia di kawasan berteluk, dikatakan mempunyai anggota badan serta wajah seperti manusia tetapi mulutnya seperti ikan dengan gigi tajam umpama jarum.

Orang Ikan ini tingginya sekitar 150 sentimeter dengan kulit berwarna ungu atau berwarna seperti kulit ikan, mempunyai rupa seakan beruk, memiliki mulut yang besar seperti mulut ikan, manakala tangan dan kakinya berkuku tajam.

Dibahagian kepala dan bahu serta leher terdapat seakan sirip, dengan sepasang tangan dan kaki yang panjang seperti kaki katak.

Dalam beberapa insiden, saksi melaporkan melihat dua makhluk Orang Ikan di tepi pantai berenang seakan melakukan aksi kuak dada.

Dalam insiden lain, seorang askar Jepun pernah terserempak dengan Orang Ikan pada waktu malam.

Pada mulanya askar tersebut menyangka Orang Ikan itu adalah seorang budak lelaki tetapi apabila makhluk itu menoleh ke arahnya, barulah dia menyedari itu bukanlah manusia biasa.

Sebaik menyedari kehadiran manusia, Orang Ikan segera meluru ke arah laut lalu menghilangkan diri.

Pada ketika yang lain, askar Jepun mendakwa melihat Orang Ikan ditepi pantai seperti sedang mencari sesuatu.

Pada insiden yang lain, sepasukan peronda Jepun telah mendengar bunyi yang pelik di laut.

Sambil mencari puncanya, mereka terkejut apabila melihat Orang Ikan muncul dari dalam laut lalu memanjat batu-batu ditepi pantai.

Menyedari kehadiran tentera Jepun di situ, Orang Ikan mengeluarkan bunyi yang pelik, kemudian saksi melihat ada satu lagi makhluk serupa berenang laju ke arah mereka.

Dalam keadaan panik, askar-askar Jepun melepaskan tembakan ke arah Orang Ikan yang sedang berenang itu, manakala Orang Ikan yang masih berada di atas batu terus mengeluarkan bunyi yang pelik.

Selepas tembakan dilepaskan, kedua-dua Orang Ikan telah menghilangkan diri, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada tembakan itu terkena sasaran atau tidak.

Dalam insiden yang lain, seorang tentera Jepun yang sedang berehat ditepi pantai seorang diri terkejut apabila melihat Orang Ikan sedang merenungnya tidak sampai tiga kaki dari kedudukannya.

Terkejut, askar itu segera mencapai senjata lalu melepaskan tembakan namun, Orang Ikan itu segera masuk ke dalam laut dan menghilangkan diri.

Legenda

Bagi penduduk tempatan, kehadiran makhluk misteri ini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Gelaran Orang Ikan telah diberikan oleh mereka dan ia kekal dalam kajian antarabangsa dengan nama sama.

Menurut penduduk tempatan, Orang Ikan sering dilihat dan adakalanya termasuk ke dalam jaring ikan.

Dikatakan bahawa sifat Orang Ikan adalah memonopoli kawasan mereka dan jika kawasannya diganggu, Orang Ikan akan menjadi bengis lalu menyerang.

Suatu hari, seorang tentera Jepun, Sarjan Taro Horiba, telah dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa seekor Orang Ikan telah tertangkap di dalam jaring ikan.

Sarjan Taro yang datang menyiasat seakan tidak mempercayai apa yang dilihat setelah melihat sendiri satu mayat makhluk pelik setinggi 160 sentimeter.

Makhluk itu mempunyai kepala berwarna coklat kemerahan dengan rambut panjang hingga ke bahu, sirip pada tengkuk dengan rupanya yang hodoh seperti campuran antara manusia dan beruk.

Hidung makhluk itu pendek, berdahi besar dan mempunyai sepasang telinga kecil. Mulutnya tanpa bibir tetapi lebar seperti ikan. Giginya berbentuk tajam seperti jarum.

Mayat makhluk itu berbau sangat busuk seperti campuran bau ikan dan daging yang sudah reput.

Sarjan Taro sebelum itu pernah melihat Orang Ikan beberapa kali pada jarak jauh namun, dia tidak pasti apakah spesis makhluk itu walaupun telah melihat mayatnya pada jarak dekat.

Apabila perang tamat, Sarjan Taro telah meminta pakar zoologi untuk menyiasat misteri Orang Ikan malangnya, tanpa bukti fizikal atau gambar mayat yang didakwa Orang Ikan, saintis tidak berminat untuk mengkaji identiti sebenar makhluk ini.

Sudah menjadi sikap saintis jika diberi maklumat tentang sesuatu yang berada di luar ilmu yang diketahu orang awam, mereka tidak mahu mengkaji untuk mendapatkan jawapan sebenar.

Jadi, sebab itulah misteri seperti Segitiga Bermuda, UFO, Bigfoot, Orang Ikan dan sepertinya tidak pernah dikaji.

Ia kekal menjadi misteri yang dipinggirkan saintis.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Misteri Jenayah Yang Membingungkan

-SENTIASAPANAS.COM

Kurang Iodin (Iodium) Punca Penyakit Tiroid Dan Rawatannya

Kurang Iodin (Iodium) Punca Penyakit Tiroid Dan Rawatannya

Iodin (Iodium) merupakan mikronutrien yang digunakan oleh badan untuk mengeluarkan hormon tiroid iaitu Thyroxine (T4) dan Triiodothyronine (T3) yang berfungsi mengawal metabolisme (pengeluaran tenaga) sepanjang hayat. Kekurangan Iodin (Iodium) dalam diet dipanggil Penyakit Kekurangan Iodin (IDD).

Kurang Iodin (Iodium) Punca Penyakit Tiroid Dan Rawatannya

Iodin atau Iodium, adalah unsur kimia yang memiliki simbol 'I' dengan nombor atom 53. Unsur ini diperlukan oleh hampir semua mahkluk hidup.

Badan tidak boleh membuat Iodin (Iodium), oleh itu iodin adalah sutu nutrien yang penting dalam diet. Iodin (Iodium) ditemui dalam pelbagai jenis makanan.

Jika kita mengalami kekurangan Iodin (Iodium), badan kita tidak boleh membuat hormon tiroid yang mencukupi.

Oleh itu, kekurangan Iodin (Iodium) boleh menyebabkan pembesaran tiroid (gioter/beguk), hipotiroidisme dan kecacatan mental pada bayi dan kanak-kanak yang ibunya mengalami kekurangan Iodin (Iodium) semasa mengandung.

Kepentingan Iodin (Iodium) kepada tubuh
  • Membakar lebihan lemak.
  • Tumbesaran yang normal.
  • Memberi tenaga.
  • Memperbaiki keupayaan mental.
  • Kesihatan rambut, kuku, kulit dan gigi.

Kesan Kekurangan Iodin (Iodium)
  • Tindakbalas mental menjadi lambat.
  • Peningkatan berat badan.
  • Kekurangan tenaga.
  • Beguk
  • Tiroid.

Sumber Iodin (Iodium) Daripada Makanan
  • Keju
  • Susu lembu
  • Telur
  • Yogurt beku
  • Ais krim
  • Multivitamin yang mengandungi iodin
  • Garam yang mengandungi iodin
  • Ikan air masin
  • Rumpai Laut
  • Kerang
  • Susu soya
  • Kicap
  • Yogurt

Kekurangan Iodin (Iodium) adalah perkara biasa, tetapi jika tidak dicegah dengan cepat, boleh menyebabkan kerosakan otak.

Daripada satu bilion orang – kira-kira 15 peratus daripada populasi dunia mengalami gangguan kekurangan iodin (IDD).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan pengambilan Iodin (Iodium) yang optimum – diukur daripada kepekatan median (UI) iodin air kencing (urin) iaitu 100-199 μg/L.

Masalah Kekurangan Iodin Di Malaysia

Kajian Kawalan dan Pencegahan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan (1995) yang dijalankan dalam kalangan kanak-kanak sekolah yang berumur antara 8-10 tahun di seluruh Negara mendapati bahawa prevalen goiter(beguk) dalam kalangan kanak-kanak sekolah di Semenanjung Malaysia adalah 2.2% manakala Sabah adalah 17.9% dan di Sarawak adalah 0.4%.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa negeri di Semenanjung Malaysia yang prevalen goiternya melebihi 5 peratus dan hal ini menyebabkan keputusan dibuat untuk melaksanakan Program Pencegahandan Kawalan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) secara menyeluruh di negeri-negeri yang telah dikenalpasti bermasalah.

Selain itu, pelbagai strategi dan aktiviti telah dirancang dan dilaksanakan bagi mengatasi masalah IDD di Semenanjung Malaysia.Program seperti agihan garam beriodin kepada ibu hamil dan kanak-kanak yang menghadapi masalah kekurangan zat makanan di Perlis dan daerah tertentu Kedah, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Di samping itu, usaha membasmi Gangguan Akibat Kekurangan Iodin turut menitikberatkan pendidikan serta runding cara pemakanan berkenaan kesihatan untuk meningkatkan taraf pemakanan golongan yang menghadapi IDD.

Pengukuran Analisis Iodin (Iodium) dalam air kencing merupakan kaedah yang paling biasa untuk menilai sama ada parasiodin mencukupi untuk seluruh populasi.

Hal ini demikian kerana lebih daripada 90 peratus daripada Iodin (Iodium) dalam pemakanan dikumuhkan dalam air kencing.

Oleh itu, kepekatan Iodin (Iodium) dalam air kencing adalah mencerminkan pengambilan iodin seseorang.

Kaedah makmal yang digunakan untuk mengukur paras Iodin (Iodium) di dalam air kencing adalah kaedah Standard Spectrophotometric dan Inductively Coupled Plasma–Mass Spectrometry (ICP-MS).

Berapa banyak Iodin (Iodium) diperlukan oleh tubuh?

Seseorang dewasa hanya memerlukan 150 mikrogram (μg) Iodin (Iodium) setiap hari. Jumlah ini amat sedikit seumpama satu kepala pin peniti kecil.

Memakan makanan yang kaya dengan zat Iodin (Iodium) atau menggunakan garam beriodin di dalam masakan boleh memenuhi keperluan zat Iodin (Iodium) harian kita.

Punca Dan Risiko Kekurangan Iodin (Iodium) 

Kurang mengambil makanan yang kaya dengan Iodin (Iodium) iaitu makanan laut seperti ikan, udang, sotong, ketam, kerang dan rumpai laut.

Makan makanan yang mengandungi bahan yang boleh menghalang penyerapan zat Iodin (Iodium) seperti pucuk ubi, ubi kayu dan kobis secara berlebihan.

Kekurangan iodin dan tanda-tandanya

Satu daripada tanda-tanda kekurangan Iodin (Iodium) yang paling ketara ialah bengkak di pangkal leher.

Keadaan ini dikenali sebagai goiter (beguk) yang disebabkan oleh pembesaran kelenjar tiroid. Pada peringkat awal, tidak semua goiter dapat dilihat tetapi hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan rapi.

Cara mengelakkan kekurangan Iodin (Iodium)

Kekurangan iodin amatlah mudah untuk dicegah dengan:
  • Memakan makanan yang kaya dengan zat Iodin (Iodium) iaitu sumber makanan laut seperti ikan, kerang, ketam, udang, sotong dan rumpai laut.

Menggunakan garam beriodin dalam masakan setiap hari
  • Garam beriodin ialah garam biasa yang diperkaya dengan zat iodin. Sifatnya sama dengan garam biasa dari segi rasa, warna dan bau.

Mengurangkan kekerapan mengambil makanan yang tinggi kandungan goitrogen
  • Goitrogen adalah sejenis bahan yang boleh menghalang penyerapan zat iodin oleh kelenjar tiroid. Makanan yang kaya dengan goitrogen adalah pucuk ubi, ubi kayu, kobis, bunga kobis, brokoli dan rebung.
  • Memakan terlalu banyak dan kerap makanan yang tinggi kandungan goitrogen untuk jangkamasa panjang boleh memberi kesan kekurangan zat iodin yang teruk.

Menggunakan air beriodin
  • Air beriodin ialah air biasa yang ditambah zat iodin melalui sumber iodin yang diletak dalam alat iodinator.
  • Alat iodinator ini dipasang pada sistem bekalan air di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sukar mendapat sumber makanan yang kaya dengan zat iodin.
  • Air beriodin hendaklah digunakan dalam masakan dan minuman harian.

Punca Penyakit Tiroid

Hormon Tiroksin (T4) merupakan hormon yang dihasilkan oleh kelenjar tiroid yang terletak dibahagian trakea dan selain menghasilkan tiroksin, kelenjar tiroid juga menghasilkan Triiodotironin (T3) dan Kalsitonin.

Mineral Iodin (Iodium) adalah zat paling penting sebagai kunci pembentukan kedua-dua hormon ini, kerana jika kadar Iodin (Iodium) berlebihan atau kurang, akan mempengaruhi jumlah hormon T4 dan T3.

Hormon yang dihasilkan oleh T3 dan T4 memiliki peranan yang penting dalam proses pertumbuhan dan perkembangan tubuh.

Dalam proses pertumbuhan dan perkembangan sangat dipengaruhi dari tenaga yang dihasilkan dari metabolisme sel.

Kedua-dua hormon tiroid mengawal kadar metabolisme di dalam sel yang berkaitan dengan proses laju metabolisme sel, T3 dan T4 akan mengawal bekalan oksigen yang akan digunakan dalam metaboisme sel.

T3 dan T4 juga terlibat dalam mengawal suhu tubuh melalui panas yang dihasilkan dari proses metabolisme.

Laju metabolisme yang dipengaruhi oleh T3 dan T4 akan mempengaruhi fungsi kerja sel-sel lain di dalam tubuh.

Oleh itu, T3 dan T4 akan memelihara denyutan jantung dan tekanan darah dan juga mempengaruhi otot, sistem perncernaan dan juga perkumuhan.

Apabila tubuh mengalami kekurangan hormon tiroid (T3 dan T4) disebabkan oleh beberapa faktor seperti kekurangan Iodium (iodin), stress dan gangguan pelepasan TRH atau TSH, makan berlakulah masalah metabolisme yang menjadi punca penyakit Tiroid.

Rawatan Asas Tiroid Dengan Makanan Semulajadi

Jadi, berdasarkan kepada pengalaman sendiri, jika anda adalah salah seorang pesakit Tiroid, yang pertama adalah mendapatkan bekalan Iodin (Iodium) yang mencukupi untuk mengatasi masalah T3 dan T4 melalui makanan yang tersenarai diatas, kemudian makanlah Badam (Almond) untuk menguatkan antibodi bagi merawat masalah TSH.

Sangat penting untuk meneruskan pengambilan ubatan hospital namun, jika anda seorang pesakit Hypertiroid dan TSH anda kembali normal selepas ujian darah, pengambilan ubat sakit jantung bolehlah dihentikan dan hanya makan jika perlu,

Bolehkah Tiroid Disembuhkan Melalui Rawatan Alternatif?

Insyaa Allah, boleh. Dan tanpa perlu menjalani pembedahan atau rawatan radioaktif iodin.

Ada dua jenis penyakit tiroid yang utama iaitu:
  1. Hipertiroidisme/Tirotoksikosis (hormon tiroid berlebihan)
  2. Hipotiroidisme (hormon tiroid rendah)

Hipertiroidisme adalah keadaan berlebihan hormon tiroid dalam badan, ini paling kerap disebabkan penyakit “Graves disease” yang mana sistem pertahanan badan mengeluarkan antibodi yang merangsangkan kelenjar tiroid untuk mengeluarkan hormon tiroid yang berlebihan. Rawatan alternatif dengan pengambilan kacang Badam (Almond) dan madu, untuk menguatkan semula antibodi tubuh.

Hipotiroidisme pula adalah keadaan kekurangan hormon tiroid dalam badan. Keadaan ini selalunya berlaku disebabkan kegagalan fungsi kelenjar tiroid (primary hypothyroidism). Kadangkala hipotiroidism berpunca dari kegagalan fungsi kelenjar pituitary (secondary or central hypothyroid) yang mengeluarkan isyarat kepada kelenjar tiroid untuk membentuk dan mengeluarkan hormone tiroid. Rawatan alternatif dengan makanan tinggi Iodin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth | facebook