Thursday, August 17, 2017

Punca Kejang Otot Dan Cara Mengatasinya

Punca Kejang Otot Dan Cara Mengatasinya

Kejang otot, cramps atau kram berlaku akibat pengecutan otot yang tidak terkawal lalu menyebabkan otot tidak dapat berehat secara normal.

Punca Kejang Otot

Dalam keadaan normal, otot akan mengecut dan berehat secara sekata namun, tindakan otot yang mengecut secara tiba-tiba menyebabkan terjadinya gejala kekejangan.

Sesetengah orang akan mengalami kejang otot dalam tempoh beberapa saat atau beberapa minit pun begitu, ada juga yang mengalaminya dalam tempoh yang agak lama.

Kekejangan otot yang lama mungkin satu petanda kepada kesihatan tubuh badan. Apa sebenarnya penyebab otot kram?

Punca Kejang Otot

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kekejangan otot, antaranya disebabkan oleh komplikasi kecederaan lama, tidak melakukan pemanasan badan sebelum bersukan, melakukan aktiviti senaman dalam tempoh yang lama sehingga menyebabkan otot letih dan kekurangan air dan garam galian atau elektrolit.

Kebiasaannya, kekejangan otot dapat dikenal pasti apabila anda berasa sakit di kawasan otot terlibat apabila ia menegang, mengeras seterusnya berasa sakit apabila disentuh.

Mereka yang pernah mengalami situasi ini terpaksa berehat daripada melakukan sebarang aktiviti sementara menunggu kekejangan tersebut reda.

Keletihan otot

Masalah cramps ini harus dibezakan dengan masalah kelenguhan otot kerana kedua-duanya adalah masalah yang berbeza.

Kelenguhan selalunya disebabkan keletihan otot yang digunakan dalam pergerakan yang berterusan atau kurang rehat dan ini menyebabkan pengumpulan asid laktik di dalam otot berkenaan yang menjalankan aktiviti anaerobik (tanpa oksigen), di mana aktiviti otot berlaku di dalam kekurangan bekalan oksigen kepada otot.

Selalunya kelenguhan otot akan pulih dengan berehat dan ini memulihkan pengaliran darah ke otot berkenaan dan asid laktik yang terkumpul akan dikumuhkan.

Terdapat banyak teori berkaitan dengan cramps termasuklah keadaan dehidrasi, kekurangan garam mineral (elektrolit) tertentu dalam badan seperti potassium, sodium dan kekurangan karbohidrat atau keadaan otot yang terlalu tegang.

Akan tetapi teori yang lebih popular adalah keadaan keterujaan pada saraf otot-otot (neural excitability) yang terlibat, menyebabkan keadaan cramps tersebut.

Otot yang paling lazim dikaitkan dengan masalah cramps adalah otot di bahagian betis, akan tetapi otot-otot di bahagian lain juga boleh terlibat.

Kekejangan otot kaki pada wanita hamil

Kekejangan otot kaki juga berlaku pada wanita hamil. Ia dirasai pada umur kehamilan pada trimester kedua apabila rahem semakin membesar. Kaki yang penat membawa lebihan berat akan mudah untuk mendapat kekejangan.

Tekanan rahem yang membesar pada saluran darah juga mengganggu perjalanan darah ke kaki di samping memberi tekanan pada saraf ke kaki.

Bagi wanita yang hamil dinasihatkan agar tidak berdiri atau duduk sambil menyilang kaki terlalu lama.

Selalulah merenggangkan otot kaki pada waktu siang dan sebelum tidur. Gerakkan sendi pergelangan kaki dan sendi jari kaki ketika sedang duduk menonton TV, makan malam atau duduk berbual.

Cubalah berjalan pada jarak yang dekat kecuali dinasihatkan untuk tidak berbuat demikian oleh doktor atau jururawat bidan.

Jika kepenatan dan mahu berbaring, cuba berbaring ke sisi kanan untuk mengelakkan tekanan kuat rahem pada saluran darah dan saraf.

Pastikan cukup minum air.

Jika kekejangan pernah berlaku dan bimbang ia berlaku semula, boleh mandi dengan air panas sebelum tidur.

Atau sekurang-kurangnya meletakkan tuala panas pada kaki sebelum tidur. Ini membantu otot kaki untuk rehat.

Kekejangan otot kaki pada atlet

Kekejangan otot kaki di kalangan atlet selalunya disebabkan oleh regangan yang keterlaluan atau terseliuh.

Apabila kita mengalami kecederaan akibat terseliuh atau regangan itu, otot kita akan cuba membaikidiri dengan mengecut. Kecutan yang tidak terkawal menyebabkan kekejangan.

Perimbangan mineral dalam badan amat penting. Untuk mereka yang mahu beriadah, janganlah terlalu banyak minum atau meminum air yang sedikit kerana kedua-duanya akan menyebabkan kekejangan.

Bila otot kita mengalami dehidrasi, otot kita akan mudah kekejangan akibat kepekatan ineral dalam badan yang tinggi.

Sementara bila kita minum terlalu banyak air, kepekatan mineral dan badan pula mencair, dan menyebabkan hyponatremia.

Keseimbangan mineral dalam tubuh amat penting bagi seorang atlet.

Pengumpulan lactic acid yang terlalu banyak dalam otot juga menyebabkan kekejangan.

Apabila seseorang itu melakukan riadah yang berpanjangan tanpa rehat, pembakaran glucose tanpa oksigen menyebabkan tenaga dihasilkan bersama lactic acid. Otot akan berasa “terbakar” atau penat, seterusnya menyebabkan kekejangan otot.

Cara Mengatasi Kejang Otot

Bagi mengatasi permasalahan ini, anda digalakkan untuk mengambil makanan berkarbohidrat seperti nasi dan roti.

Manakala pengambilan elektrolit dan mineral seperti kalsium, magnesium, potassium dan zink dipercayai membantu mencegah kecederaan dan kejang otot.

Buah-buahan seperti pisang yang mengandungi potassium serta air isotonik amat diperlukan bagi mencegah kekejangan dan kecederaan otot.

Selain menitik beratkan pemakanan, anda juga disarankan untuk melakukan regangan secara perlahan-lahan pada otot yang bermasalah.

Sesi pemanasan badan sebelum dan selepas bersukan ini juga dapat membantu mengatasi kekejangan otot.

Ia penting agar otot-otot terlibat tidak terkejut dan dapat menerima tindak balas berkenaan.

Sekiranya anda mengalami kekejangan, sapukan minyak panas atau ubat yang dikhaskan untuk tujuan itu di bahagian berkaitan.

Jika kekejangan berlaku di bahagian kaki, legakan kekejangan itu dengan cara duduk dan luruskan kaki serta halakan jari kaki ke arah badan.

Lakukan ia secara berulang sehingga rasa kejang itu hilang, diikuti dengan urutan secara perlahan di tapak kaki bagi melegakan otot dan melancarkan aliran darah.

Cara terbaik untuk melegakan kekejangan otot betis di kalangan atlet ialah dengan merenggangkan otot yang terlibat.

Ini dapat dilakukan dengan meluruskan kaki, dan bengkokkan jari kaki ke arah badan. Mulanya ia akan berasa sakit, namun ia akan memberi kelegaan kemudian.

Selepas itu boleh mengurut perlahan-lahan menggunakan tapak tangan dan menyapukan otot betis itu dengan minyak panas. Cuba berjalan-jalan dengan memijak hujung tapak kaki.

Jika kesakitan tidak berkurangan, dan bahagian betis itu bertambah bengkak dan sakit bila disentuh, segeralah berjumpa doktor kerana ia mungkin bukan kekejangan otot yang biasa.

Kemungkinan terjadi darah beku di dalam otot dan memerlukan rawatan yang agresif segera.

Antara cara untuk mengurangkan kekejangan ialah dengan minum air secukupnya, terutama apabila badan kita mengalami dehidrasi akibat beriadah.

Bagi riadah yang kurang daripada satu jam, meminum air sudah cukup untuk mengelakkan kekejangan.

Minumlah beberapa teguk air. Bagi riadah yang lebih lama, minum minuman air yang mengandungi mineral dan glucose.

Ini kerana riadah yan lama memerlukan bukan saja air tetapi mineral dan glucose.

Cara lain ialah pastikan anda bersenam secara istiqamah dan konsisten. Dengan cara ini badan akan membina daya tahan terhadap kekejangan.

Apabila otot dipaksa untuk melakukan suatu latihan riadah yang keterlaluan dan belum biasa dilakukan, ia akan menyebabkan kekejangan.

Ambilkan lebih banyak potassium untuk mengurangkan kemungkinan mendapat kekejangan, antaranya dengan memakan pisang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Panduan Senaman Harimau Untuk Menguatkan Syahwat Lelaki

sumber: nona | drzubaidi | utusan

Gam 'Gajah' Makan Daging Betis Anak

Gam 'Gajah' Makan Daging Betis Anak

Kalau dah namanya budak kecil, sudah pastinya mana dorang tahu membezakan bahaya atau tidak. Mereka ingin mencapai apa sahaja yang ada di sekeliling dan menganggapnya sebagai barang mainan.

Bahaya+Gam+Gajah

Namun, malang itu tidak berbau. Siapa sangka, mainan bagi mereka sebenarnya adalah barang yang boleh memudaratkan mereka.

Seperti perkongsian wanita ini, Puan Fara Lia dalam akaun Facebook, di mana dia tidak menyangka hanya kerana sebotol gam boleh memberi kesan yang teruk kepada anak kecilnya.

Sehinggakan doktor terpaksa mengorek dan melapah paha anak kecil berkenaan bagi membuang gam yang terkena pada kaki kanak-kanak tersebut.

Baca pun dah rasa sakitnya, inikan pula anak kecil yang menanggungnya?

Anak wanita ini terkena gam di mana kandungannya adalah sangat bahaya.

Gam tersebut terkena pada atas legging anak kecil itu, berikutan cecairnya adalah jenis cepat menyerap maka ia terkena pada isi betisnya.

Isi betis anak kecil berkenaan terdedah pada gam tersebut, kesannya doktor terpaksa mengorek dan melapah betis kanak-kanak itu sampai ke paras lemak bagi membuang isi daging yang terkena pada merkuri gam tersebut.

Kemudian, doktor terpaksa mengambil kulit paha pula untuk menampal pada bahagian betis tersebut.

Doktor sendiri telah mengkaji sendiri bahan cecair tersebut dan mendapati ia adalah amat berbahaya.

Perkongsian yang mendapat lebih daripada 24,000 shares itu menerima reaksi yang pelbagai daripada netizen di mana rata-rata antara mereka begitu terkejut dengan kejadian itu dan mendoakan agar anak kecil itu cepat sembuh.

“Gam ni sesuai untuk kasut, perabot. Dia memang sangat kuat sama macam gam gajah. Mudah-mudahan anak akak cepat sembuh ye…”, ujar Noraliza Nasir.

“Bahaya weh. Kulit orang dewasa pon dah melekat-melekat lekit. Kena kat budak lagi la bahaya. Be aware semua.” komen Afzan Abdullah Shah Aimin.

Siapa sangka hanya kerana beberapa titis cecair, habis betis anak kecil ini ‘dimakan’.

Ngeri kan?

BACA INI JUGA: Dadah Yang Menyebabkan Daging dan Kulit Mereput

sumber: mynewshub

Projek Terusan Segenting Kra Bakal 'Tenggelamkan' Selat Melaka?

Projek Terusan Segenting Kra Bakal 'Tenggelamkan' Selat Melaka?

Persepsi awal apabila cadangan Projek Pembinaan Terusan Segenting Kra sepanjang 135 kilometer (km) bernilai AS$28 bilion (RM120 bilion) dihidupkan semula adalah, ia bakal mencetus konflik yang mampu menjejas kestabilan ASEAN.

Projek Terusan Segenting Kra

Apakah akan terjadi pada Selat Melaka sekiranya terusan ini mula beroperasi? Adakah ekonomi Malaysia dan Singapura akan terjejas?

Kini, Singapura kekal sebagai pelabuhan terkemuka dunia dengan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) ditempatkan sebagai dua pelabuhan tersibuk di sepanjang Selat Melaka.

Nikkei Asian Review pada 7 Ogos lalu melaporkan beberapa individu berpengaruh Thailand termasuk ahli politik, pesara tentera berpangkat tinggi, pakar akademik dan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan China sedang memujuk Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chanocha untuk meneruskan projek berkenaan.

Rancangan dicadang sekumpulan jeneral dan ahli perniagaan Thailand itu adalah salah satu mega projek infrastruktur paling bercita-cita tinggi dan transformasi besar di Asia – pembinaan terusan perkapalan sepanjang 135 kilometer untuk menghubungkan lautan Pasifik dan India.

Menurut pakar, jika Prayuth bersetuju meneruskan kajian laluan itu, pembinaan terusan berukuran 450 meter lebar dengan kedalaman 26 meter itu mampu dilalui oleh kapal kontena minyak terbesar dunia dan kapal kontena lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

Projek tersebut akan membelah bahagian selatan Thailand iaitu kira-kira 800 kilometer di selatan Bangkok dan kira-kira 200 kilometer di sempadan Thailand dengan Malaysia.

Cadangan Terusan Segenting Kra muncul lagi, ancaman Selat Melaka?

Apabila siap ia bakal menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman pada anggaran latitud sama dengan pulau Phuket.

Terusan itu merupakan laluan pintas dari Selat Melaka yang menghubungkan China, Japan dan negara-negara Asia Timur lain selain perdagangan minyak negara Asia Barat serta negara pasaran utama Eropah, Afrika dan India.

Jarak perjalanan bagi kapal yang melalui Laut Pasifik dan Laut Hindi mampu dipendekkan sekurang-kurangnya 1,200 km atau tiga hari pelayaran jika melalui terusan berkenaan.

Di manakah lokasi Segenting Kra?

Segenting Kra merupakan bahagian genting dan sempit di selatan Thailand dan di utara Semenanjung Tanah Melayu. Bahagian barat Segenting Kra menjadi milik Myanmar.

Bahagian timur menjadi milik negara Thailand. Segenting Kra menghadap Laut Andaman dan Lautan Hindi. Pantainya menerima kesan yang teruk akibat dari tsunami Acheh pada 26 Disember 2006.

Muara Sungai Kra menjadi daratan paling sempit dengan lebar 44 kilometer. Tingginya 75 meter dari aras laut. Bandar utama ialah Kra Buri dalam wilayah Ranong, Thailand.

Segenting Kra12

Segenting Kra adalah sebahagian dari rantaian gunung yang menganjur dari Tibet. Selatannya digelar rantaian kepulauan Phuket.

Bahagian utara ialah Banjaran Tenasserim sepanjang 400 km dan dikenali sebagai “Banjaran Tiga Pagoda”.

Cadangan pembinaan bermula lebih 340 tahun lalu

Sejak tahun 1677 lagi iaitu ketika era pemerintahan Raja Narai, beberapa pihak mencadangkan agar satu terusan dibina di Segenting Kra, yang terletak di selatan Thailand, tetapi langkah untuk menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan melalui terusan itu masih belum menjadi kenyataan hingga kini.

Rancangan ini menemui jalan buntu kerana kerajaan Siam tidak memiliki dana untuk menampung kos pembinaannya serta tiada kepakaran teknologi untuk meneruskan projek ini namun tidak pernah dibatalkan.

Apabila British bertapak di Singapura pada 1819, pulau itu ditransformasikan daripada sebuah kampung nelayan kepada pelabuhan utama di rantau Asia.

Oleh itu, British tidak pernah bersetuju dengan projek terusan itu khuatir pangkalan maritim mereka di Singapura terjejas.

Siam yang menjadi negara boneka Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, dianggap musuh British dan pihak tentera Berikat.

Apabila Jepun menyerah kalah pada 1945, kerajaan Siam terpaksa menandatangani perjanjian dengan pihak British untuk menamatkan status perang di antara kedua-dua negara.

Artikel 7 Perjanjian ini mencegah Siam daripada menggali terusan menembusi wilayahnya untuk menghubungkan Laut Andaman dengan Telukan Siam bagi melindungi kepentingan British di Singapura. Perjanjian ini dibatalkan pada 1954.

Selat Melaka antara laluan terpenting laut dunia

Menurut analisis angka STRAITREP Jabatan Laut Malaysia oleh Nippon Maritime Centre (NMC), yang disediakan secara eksklusif untuk Seatrade Maritime News menyatakan lalu lintas di lorong perkapalan tersibuk di dunia – Selat Melaka dan Singapura (SOMS) – naik 3.4 peratus ke tahap tertinggi dengan 83,740 transit pada 2016 lalu.

Jumlah purata pemindahan harian yang dilaporkan kepada Port Klang VTS di Malaysia pada 2016 adalah 229, naik tujuh dari 2015, dan dibandingkan dengan 201 pada tahun 2011.

Jumlah Aliran trafik laut

Memimpin pertumbuhan jumlah transit dalam peratusan pada 2016 adalah VLCC dengan 5,973 transit di Selat, peningkatan sebanyak 649 atau 12.19 peratus lebih 5,324 transit oleh kapal tangki lebih daripada 150,000 dwt pada tahun sebelumnya.

Ini jauh melebihi purata pertumbuhan tahunan 4.8 peratus dalam transit VLCC yang dilihat sejak 2007.

Sebagai keseluruhan akaun VLCC adalah enam peratus daripada semua transit Selat.

VLCC yang dimeterai menuju ke Singapura dan Timur Laut Asia mengangkut lorong laut dalam yang hanya 1.3 km lebarnya di “Pos” di Selat Melaka Satu Fathom di Selat Melaka, dan hanya selebar 800 meter di satu saluran di Selat Philip di Selat Singapura, jika pelayaran Timur ke luar Singapura.

RUJUK (http://www.seatrade-maritime.com/news/asia/malacca-and-s-pore-strait-traffic-hits-new-high-in-2016-vlccs-fastest-growing-segment.html)

Kekuatan ekonomi Singapura ‘kiamat’

Antara negara yang paling menerima kesan pelaksanaan projek Segenting Kra adalah negara berasaskan sumber terbesarnya kepada aktiviti pelabuhan dan perkapalan. Dalam hal ini Singapura dilihat antara negara yang paling terkesan.

Setakat 2013, Singapura diiktiraf sebagai pelabuhan tersibuk di dunia. Menurut sumber Institut Maritim Malaysia (MIMA), lebih kurang 75 peratus kapal dagang yang menelusuri Selat Melaka tidak berlabuh di pelabuhan Malaysia.

Kebanyakannya akan berhenti di Singapura atau meneruskan pelayaran ke destinasi terakhir.

Ekoran kekuatan dan kemakmuran ekonomi Singapura banyak bergantung kepada industri perkapalan, diandaikan terusan Segenting Kra ini bakal memberi implikasi buruk kepada Singapura di masa hadapan.

Apa masalahnya laluan di Selat Melaka kelak?

Pada tahun 2025, dianggarkan 122,500 kapal dijangka melalui Selat Melaka. Institut Pengangkutan Antarabangsa Jepun (JITI) menganggarkan bahawa terdapat 140,000 kapal pada 2020.

Menurut pengiraan yang dibuat oleh HM Ibrahim dan Mansoureh Institut Maritim Malaysia (MIMA), Selat Melaka dapat menampung 122,640 kapal setiap tahun [ Kadar tamat pada (TFR = 0.27 = 7vessel / jam cc = 7 x 24 x 365 x 2 = 122,640)] (9).

Menjelang 2024, laluan Selat Melaka akan lebih padat. Ia tidak akan dapat memastikan laluan yang tepat untuk kapal laut dan tidak menjamin laluan selamat mereka.

Kapal-kapal itu tidak mempunyai pilihan lain selain memilih laluan alternatif yang lebih lama melalui Selat Sunda dan Selat Lombok.

Walau bagaimanapun, dianggarkan bahawa kos navigasi di antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik pasti akan meningkat.

Maka dengan jangkaan Selat Melaka bakal menjadi laluan laut sesak akan datang ia meningkatkan risiko kemalangan kapal dan tumpahan minyak. Oleh itu alternatif laluan laut baharu perlu diwujudkan.

RUJUKAN: (http://kracanal-maritimesilkroad.com/en/story/the-malacca-straits/)

Malahan isu lanun di Selat Melaka serta kejadian tumpahan minyak menjadi ancaman kelestarian hidupan laut disebabkan kesesakan di Selat Melaka yang pada masa sama menjadi tumpuan industri perikanan dan nelayan di Malaysia dan Indonesia.

Implikasi buruk kepada Singapura

Memandangkan ekonomi Singapura banyak bergantung kepada industri perkapalan, tidak keterla­luan diandaikan terusan yang mahu dibangunkan oleh kerajaan Thailand ini bakal memberi implikasi buruk kepada Singapura.

Meskipun Malaysia tidak terlalu bergantung kepada industri pelabuhan dan perkapalan seperti negara jiran selatan itu, kita telah membangunkan infrastruktur pelabuhan dan perkapalan terutamanya di Pelabuhan Klang dan PTP.

PTP pernah diiktiraf sebagai pelabuhan paling pantas berkembang di dunia pada tahun 2000.

Walaupun PTP banyak mengambil kesempatan di atas limpahan kapal yang berlabuh di Singapura, sebagai pelabuhan alternatif.

Fakta ini menunjukkan bahawa usaha Thailand membina terusan ini boleh menjejaskan ekonomi Malaysia dan Singapura kerana bakal membentuk laluan maritim baharu yang dikatakan lebih ekonomik untuk merentasi Asia Tenggara berbanding laluan konvensional menerusi Selat Melaka.

Dalam kes Malaysia-Singapura Mengenai Tambakan Tanah di Selat Johor 2002, Tribunal Antarabangsa Undang-undang Laut (ITLOS) secara tidak langsung memerlukan sesebuah negara untuk tidak menjalankan sebarang projek yang boleh menjejaskan kepentingan negara jiran yang terletak berdekatan dengannya.

Sewaktu Denmark dan Sweden menjalankan projek membina Jambatan Oresund merentasi Selat Danish di Eropah, Jerman menghantar bantahan kepada Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) kerana pembinaan jambatan tersebut bakal menyekat aliran perkapalan merentasi Selat Danish.

Akibat bantahan ini, Jambatan Oresund telah direka semula dalam bentuk separuh jambatan dan separuh terowong agar tidak menutup secara total Selat Danish daripada aktiviti perkapalan.

Kedua-dua kes ini jelas menunjukkan sesebuah negara tidak boleh sewenang-wenangnya menjalankan sebarang projek di dalam wilayah­nya yang berpotensi menjejaskan kepentingan negara jiran.

Oleh itu jika Malaysia dan Singa­pura merasakan projek ini boleh menjejaskan ekonomi masing-ma­sing, kedua-dua negara boleh mengemukakan bantahan diplomatik bagi menghentikan Thailand daripada meneruskannya.

Jika projek ini diteruskan juga, perlulah ada perjanjian bagi membolehkan ketiga-tiga negara berkongsi manfaat melalui penggunaan terusan ini menerusi konsep ‘memakmurkan jiran’.

Jadikan Segenting Kra projek kerjasama ASEAN

Dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$ 2.6 trilion, ASEAN merupakan ekonomi keenam terbesar di dunia, dan dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2050, dengan sesetengah pihak menganggarkan bahawa ASEAN mencapai kedudukan itu menjelang 2030.

ASEAN juga meraikan ulang tahun ke-50 pada 2017. Atas semangat ini maka adalah wajar projek terusan Segenting Kra ini menjadi projek ASEAN dengan dana pelaburan dibiayai daripada negara ASEAN seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand serta negara ASEAN lain yang berminat.

Dengan sumber dana kewangan daripada ASEAN maka kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama secara menang-menang semua negara ASEAN tanpa melibatkan campur tangan kuasa besar dunia yang dibimbangi mempunyai agenda perluasan kuasa dan pengaruh tersendiri.

Melalui terusan ini negara penyumbang dana boleh memperolehi keuntungan berdasarkan nilai sumbangan dana melalui cukai dan tol dikenakan terhadap kapal yang melalui terusan Segenting Kra serta pembangunan wilayah setempat.

Adalah sangat penting semangat ASEAN diterapkan dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa melalui pelbagai projek memakmurkan ASEAN secara bersama.

Kesimpulan

Sekiranya terusan Thailand ini menjadi realiti, senario perkapalan di Asia Tenggara akan berubah dengan drastik.

Terusan Segenting Kra ini bakal menjadi terusan perkapalan pertama di Asia dan akan mempunyai status setara dengan terusan perkapalan ulung lain di dunia seperti Terusan Suez dan Terusan Panama.

Malaysia harus bersedia dengan kemungkinan ini dan persoalannya, apa akan jadi kepada Selat Melaka?

BACA INI JUGA:

sumber: dialograkyat

Resepi Cucur Manis Yang Viral Di Media Sosial

Resepi Cucur Manis Yang Viral Di Media Sosial

Dari pinggan viral kini muncul satu lagi kegilaan iaitu cucur viral yang kini semakin mendapat tempat di hati netizen.

Resepi Cucur Manis

Kalau nak diikutkan cucur viral ni memang sebijik cucur yang biasa mak-mak kita buat masa minum petang.

Tapi tak tahulah kenapa baru-baru ini saja ia mula menjadi kecoh di kalangan netizen sehinggakan wujud hashtag #cucurviral di laman sosial.

Mungkin disebabkan resepinya yang cukup ringkas dan mudah telah menarik minat kebanyakan netizen untuk mencuba membuatnya sendiri.

Bagi anda yang nak cuba buat sendiri, di sini kami sertakan resipi cucur viral untuk rujukan.

Bahan-bahan:
  • 2 cawan tepung
  • 2 cawan air panas
  • 3 sudu besar gula
  • Sedikit garam

Cara-cara:
  • Masukkan tepung, gula dan Garam ke dalam bekas besar. Kacau rata.
  • Masukkan pula air panas. Kacau sehingga sebati. Tunggu sehingga adunan sejuk sikit.
  • Bulat-bulatkan adunan. (letak air sikit di tangan supaya tak melekat).
  • Goreng dalam minyak yang banyak sehingga keperangan.

Lepas cucur viral, agak-agak apa lagi makanan atau benda yang bakal jadi tular di media sosial selepas ini ya?

BACA INI JUGA: Resepi Cekodok Pisang Yang Rangup!

sumber: mynewshub

9 Pemain Bola Sepak Paling Mahal Di Dunia

9 Pemain Bola Sepak Paling Mahal Di Dunia

Bintang bola sepak Brazil, Neymar, sah menjadi pemain bola sepak termahal di dunia dengan yuran perpindahan sebanyak £198 juta (kira-kira RM1.1 bilion).

Termahal Dunia

Penghijrahannya dari kelab Barcelona dimuktamadkan pada Khamis, 3 Ogos 2017, dengan kontrak selama lima tahun bersama kelab Paris Saint Germain (PSG).

Pemain berusia 25 tahun itu dilapor akan menerima gaji sebanyak €30 juta (RM151 juta) setahun di Paris.

Berikut perbandingan yuran perpindahan sembilan pemain termahal dunia sehingga 2017.

*Nilai ringgit berbanding nilai Pound Britain dalam tukaran wang semasa ketika artikel ini ditulis.

1. Neymar
  • £198 juta pound (RM1.095 bilion).
  • Perpindahan dari Barcelona ke Paris Saint Germain (PSG).

2. Paul Pogba
  • £89.3 juta pound (RM494 juta).
  • Perpindahan dari Juventus ke Manchester United.

3. Gareth Bale
  • £85.3 juta pound (RM471 juta).
  • Perpindahan dari Tottenham Hotspur ke Real Madrid.

4. Cristiano Ronaldo
  • £80 juta pound (RM442 juta).
  • Perpindahan dari Manchester United ke Real Madrid.

5. Gonzalo Higuain
  • £75.3 juta pound (RM416 juta).
  • Perpindahan dari Napoli ke Juventus.

6. Romelu Lukaku
  • £75 juta pound (RM414 juta).
  • Perpindahan dari Everton ke Manchester United.

7. Luiz Suarez
  • £65 juta pound (RM359 juta).
  • Perpindahan dari Liverpool ke Barcelona.

8. James Ridriguez
  • £63 juta pound (RM348 juta).
  • Perpindahan dari Monaco ke Real Madrid.

9. Angel Di Maria
  • £59.7 juta pound (RM330 juta).
  • Perpindahan dari Real Madrid ke Manchester United.

BACA INI JUGA: 20 Kelab Bola Sepak Paling Kaya Di Dunia 2016

sumber: astroawani

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (17 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (17 Ogos)

Tanggal 17 Ogos merupakan hari ke 229 (hari ke 230 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 136 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Soekarno dan Mohammad Hatta
Soekarno dan Mohammad Hatta.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Kemerdekaan di Indonesia (1945) dan Gabon (1960).

Peristiwa

1807 - Robert Fulton memulakan perkhidmatan kapal wap komersil pertama di dunia.

1862 - Orang Sioux mengambil keputusan mengusir orang putih keluar dari lembah Sungai Minnesota, mencetuskan Perang Dakota.

1914 - Perang Dunia Pertama: Hermann von François tidak mempedulikan arahan berundur, dan berjaya dalam serangan balas mempertahanan Prusia Timur, menjadikannya kemenangan pertama Jerman di sebelah timur.

1945 - Soekarno dan Mohammad Hatta mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia, memulakan Revolusi Nasional Indonesia terhadap Empayar Belanda.

1945 - Alegori satira George Orwell terhadap totalitarianisme Soviet, Ladang Binatang diterbitkan.

1962 - Pengawal sempadan Jerman Timur menembak mati Peter Fechter yang cuba melintas Tembok Berlin ke Berlin Barat.

1969 - Hurikan Camille melanda persisiran Mississippi, A.S. mengorbankan 259 nyawa dan menyebabkan kerosakan bernilai AS$1.45 bilion.

1978 - Double Eagle II menjadi belon udara panas pertama berjaya menyeberangi Lautan Atlantik, mendarat di Miserey berhampiran Paris enam hari selepas meninggalkan Presque Isle, Maine.

1988 - Presiden Pakistan Muhammad Zia-ul-Haq terbunuh dalam satu nahas kapal terbang.

1999 - Gempa bumi bermagnitud 7.5 Mw melanda barat laut Turki, mengorbankan lebih 17,000 orang dan meninggalkan setengah juta lagi tanpa tempat tinggal.

2008 - Michael Phelps memenangi pingat emas kelapannya di Sukan Olimpik Beijing 2008, mengatasi rekod Mark Spitz untuk emas paling banyak dalam satu Sukan Olimpik dan juga rekod emas Olimpik moden paling banyak (14).

2009 - Kapal dagang MV Arctic Sea yang hilang sejak dirampas pada akhir Julai, dijumpai berhampiran Tanjung Verde oleh Tentera Laut Rusia.

Kelahiran

1940 - Joseph Pairin Kitingan, Ketua Menteri Sabah ke-7.

1977 - William Gallas, bekas pemain bola sepak Arsenal F.C.

1977 - Thierry Henry, bekas pemain bola sepak New York Red Bulls.

Kematian

1988 - Muhammad Zia-ul-Haq, Presiden Pakistan ke-6.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (16 Ogos)

sumber: wikipedia

Wednesday, August 16, 2017

10 Fakta Menarik Acara Sukan Chinlone

10 Fakta Menarik Acara Sukan Chinlone

Pasti ramai yang tertanya-tanya, apa itu sukan Chinlone? Acara sukan Chinlone merupakan sukan yang berasal dari Myanmar dan mula diperkenalkan di Sukan SEA Myanmar pada tahun 2013.

Bola chinlone
Bola chinlone.

Permainan Chinlone memerlukan kemahiran dan keseimbangan setiap pemain untuk menimang bola takraw mengikut disiplin di dalam satu bulatan.

Kiraan matanya pula menerusi setiap timangan sempurna yang dilakukan oleh setiap pemain dalam masa 10 minit.

Berikut adalah informasi berkenaan sukan ini yang juga dipertandingkan di KL2017.

1. Chinlone merupakan sukan tradisional yang dimainkan di Myanmar.

2. Chinlone merupakan gabungan sukan dan tarian.

3. Chinlone memerlukan kemahiran pemain untuk menimbang bola takraw mengikut disiplin berdasarkan kategori.

4. Chinlone dimainkan seramai enam orang satu pasukan di dalam bulatan.

Chinlone

5. Ia menggunakan bola takraw yang bersaiz lebih besar.

6. Kiraan matanya pula menerusi setiap timbangan sempurna oleh setiap pemain dalam masa 10 minit.

7. Terdapat empat kategori dipertandingkan dalam acara Chinlone, non-repetition event (primary), same stroke event, linking event dan non-repetition event (secondary).

8. Myanmar merupakan kuasa besar dalam sukan Chinlone tetapi negara tersebut tidak menyertai acara ini dalam Sukan SEA 2017.

9. Chinlone buat pertama kali diperkenalkan dalam Sukan SEA 2013 di Myanmar.

10. Myanmar berjaya merangkul enam pingat emas ketika sukan itu pertama kali diperkenalkan di Sukan SEA 2013.

BACA INI JUGA: Sejarah Penganjuran Sukan SEA

sumber: astroawani

Fenomena Gerhana Bulan Separa

Fenomena Gerhana Bulan Separa

Gerhana bulan separa adalah fenomena alam yang berlaku apabila sebahagian daripada cahaya matahari jatuh pada permukaan bulan, telah terlindung oleh jasad bumi.

Gerhana bulan separa

Secara amnya, gerhana bulan separa ini berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan.

Walaupun ia nampak seperti sebaris, tetapi jika dilihat dari satah ‘tepi’, bulan berada sedikit ke atas daripada garisan matahari dan bumi.

Ini akan menyebabkan ia tidak akan dilindungi sepenuhnya oleh bayang-bayang bumi.

Fasa Gerhana
  1. Permulaan masuk bayang-bayang penumbra.
  2. Permulaan masuk bayang-bayang umbra.
  3. Kemuncak Fasa Gerhana Bulan Separa.
  4. Tamat gerhana separa. (Bulan sudah keluar dari bayang-bayang umbra).
  5. Tamat gerhana penumbra (Bulan sudah keluar dari kawasan bayang-bayang penumbra).

Keseluruhan fasa gerhana separa (Bulan berada di dalam bayang-bayang umbra) ialah selama 1 jam 55 minit.

Bulan akan berada tegak dan sedikit ke arah barat, ketika bermulanya fasa gerhana separa. Bulan akan berada di kawasan buruj Capricornus.

Adakah Bulan menjadi merah ketika gerhana nanti?

Untuk fenomena gerhana bulan separa, bulan tidak akan ditutupi sepenuhnya oleh bayang-bayang Bumi. Ia TIDAK AKAN KELIHATAN KEMERAHAN.

Kita akan hanya dapat lihat sebahagian kecil bulan kelihatan ‘sompek’ atau ‘terpotong’ sahaja.

Hakikatnya dengan pandangan mata nanti, kita hanya akan dapat lihat warna hitam sahaja.

Adakah kita perlukan sebuah teleskop untuk melihatnya?

Tidak perlu. Gerhana bulan amat senang dan boleh dilihat dengan mata kasar sahaja. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai binokular atau teleskop, pemandangan akan lebih jelas dan menarik.

Bolehkah saya merakam fenomena ini menerusi kamera?

Secara amnya, kita BOLEH merakam permukaan Bulan dengan jelas, samada menggunakan kamera telefon bimbit yang mempunyai fungsi zoom yang kuat, ataupun kamera DSLR dengan lens zoom yang panjang, ataupun rakaman terus menerusi teleskop.

Bulan merupakan objek yang besar dan terang. InsyaAllah tidak ada masalah untuk merakamnya.

Di bawah ialah contoh foto fasa gerhana bulan penuh yang dirakam menerusi teleskop (F=500mm) dan kamera DSLR.

Adakah Bumi menerima sebarang kesan fizikal daripada fenomena ini?

Tidak. Gerhana Bulan ialah sebuah fenomena optikal sahaja. Ia tidak ada kesan langsung terhadap kehidupan di Bumi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: falakonline

Apa Sebenarnya Peristiwa Memali?

Apa Sebenarnya Peristiwa Memali?

Mungkin ramai yang tidak mengetahui apakah tragedi Memali yang pernah menggemparkan negara sebelum ini, apatah lagi, ia kini turut menjadi punca kekecohan di sebuah forum melibatkan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Memali

Tragedi Memali berlaku pada tanggal 19 November 1985 di sebuah kampung bernama Memali di Baling, Kedah dan telah mengorbankan 18 orang termasuk empat anggota polis semasa pertempuran antara kedua-dua pihak berlaku, berpuluh yang lain cedera dan ratusan orang khususnya penduduk kampung ditahan.

Punca pertempuran didakwa berpunca daripada tindakan polis mahu menahan seorang penceramah bebas, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya dalam satu operasi yang digelar Operasi Angkara kerana dituduh mengancam keselamatan negara.

Timbalan Perdana Menteri ketika itu yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tun Musa Hitam didakwa bertanggungjawab terhadap operasi tersebut.

Keengganan penduduk kampung menyerahkan Ibrahim Libya, menyebabkan satu pertembungan antara kedua-dua pihak sebelum penceramah itu ditembak mati.

Kesemua mereka yang meninggal dunia dikebumikan dalam satu liang lahad serta dikendalikan sebagai orang yang syahid.

Tragedi itu kekal menjadi titik hitam dalam sejarah negara.

Sementara itu, Musa Hitam dalam sebuah rancangan bual bicara, Obviously Harith Iskander (OHI) menafikannya.

Beliau berkata penat menanggung beban sejarah menjadi kambing hitam dalam peristiwa tersebut.

Katanya, beliau dipersalahkan dan dijadikan individu yang bertanggungjawab ke atas peristiwa berdarah berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan, tragedi malang itu menjadi titik tolak kepada parti Islam itu untuk konsisten tidak akan menyertai parti pemerintah kerana kes itu tidak diadili di mahkamah, malah keluarga mangsa tidak mendapat pembelaan.

Penjelasan Tun Dr Mahathir

Semasa saya menjadi Perdana Menteri, masalah keselamatan negara dipikul bersama oleh saya dan Timbalan Perdana Menteri.

Adakalanya saya memegang jawatan Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas polis.

Adakalanya apabila saya tentukan saya sebagai Perdana Menteri akan mengambil tugas Menteri Dalam Negeri, maka Timbalan Perdana Menteri akan dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Hanya beberapa kali apabila keadaan mendesak maka jawatan Menteri Pertahanan diberi kepada menteri biasa. Amalan ini disebabkan soal keselamatan negara begitu penting.

Pada 20 November 1985, saya mengepalai satu rombongan swasta yang amat besar kerana saya anggap terdapat banyak peluang dagangan dengan negara China yang baru sahaja dibuka untuk penyertaan peniaga luar.

Saya tidak ingat yang Tun Musa Hitam datang berjumpa saya untuk saya tidak pergi ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke China. Pada waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya tidak pergi luar negeri.

Kejadian peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985, sehari sebelum saya terbang. Memanglah dalam operasi polis seperti ini kemalangan boleh berlaku. Empat anggota polis terbunuh dan 16 penjenayah. Ramai juga yang cedera.

Saya begitu yakin yang Timbalan Perdana Menteri dapat menangani keadaan sehingga saya melantik beliau sebagai Pemangku Perdana Menteri.

Beliaulah yang menjawab YB Tuan Gooi Hock Seng (Bukit Bendera) yang telah mohon menangguh mesyuarat Dewan Rakyat pada 20 November 1985 untuk membincang “Perintah Berkurung akibat Pembunuhan di Baling Kedah” (Hansard).

Saya kembali ke tanah air pada 28 November 1985. Semasa berada di luar negara tidak ada apa-apa yang berlaku yang tidak boleh ditangani oleh Timbalan Perdana Menteri yang memangku jawatan Perdana Menteri.

Sesuatu jawatan mempunyai tanggungjawabnya. Dari segi tindakan terhadap jenayah tanggungjawab ini dipikul oleh anggota polis. Dari segi keputusan mengambil tindakan terhadap ancaman keselamatan negara yang besar, menteri bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya merestui tindakan.

Tun Musa telah akui beliau bertanggungjawab. Dalam sistem Kabinet yang kita amalkan, semua anggota Kabinet terutama Perdana Menteri bertanggungjawab.

Saya tidak fikir Tun Musa telah ramal tentang kehilangan nyawa yang akan berlaku hasil keputusan yang dibuat olehnya.

Seperti yang disebut olehnya di waktu menjawab usul oleh YB Tuan Gooi Hock Seng, “adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan supaya keselamatan negara wujud pada setiap masa demi kesejahteraan rakyat jelata dan demi kestabilan negara pada keseluruhannya. Sebab itulah kerajaan tidak akan berkompromi..”

Soal peristiwa saya kononnya tidak ada dalam negeri semasa peristiwa berlaku bukan disebar oleh saya. Dalam buku saya pun saya tidak sebut perkara ini. Yang diketahui umum ialah Tun Musa ialah Menteri Dalam Negeri, di samping menjadi Timbalan Perdana Menteri pada masa itu.

Sebagai Menteri Dalam Negeri rundingan dan laporan oleh Ketua Polis Negara dibuat kepadanya. Menteri Dalam Negeri juga terlibat dalam memutuskan tindakan yang diambil. Jika hanya apabila semua berjalan dengan baik pengakuan bertanggungjwab dibuat, tentulah ini kurang manis.

Harus diingat bahawa anggota polis dibunuh sebelum polis menembak balas. Amat malang sekali sementara kematian Ibrahim dan pengikutnya diingati, bahkan dilaung sebagai syahid, kematian anggota polis yang menjaga keselamatan kita dilupakan.

Ya. Sepatutnya insiden ini tidak berlaku. Tetapi sanggupkah kita membiar sehingga sesuatu itu sudah melarat baru kita ambil tindakan.

Lihatlah keadaan yang sedang berlaku di beberapa negara sekarang ini kerana polis tidak dibenar bertindak secara berkesan.

Musa Hitam sudah letih jadi kambing hitam Memali

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam mengakui penat menanggung beban sejarah menjadi 'kambing hitam' dalam peristiwa Memali.

Beliau dipersalahkan dan dijadikan individu yang bertanggungjawab ke atas peristiwa berdarah berkenaan.

Katanya, peristiwa Memali adalah isu paling kontroversi dalam perjalanan politik beliau kerana beliau dikaitkan dengan gelaran pembunuh.

"Signifikan peristiwa Memali adalah mudah, selama 30 tahun saya dikatakan menjadi pembunuh, bolehkah anda bayangkan?

"Pembangkang menyalahkan Umno dan saya sebagai individu yang bertanggungjawab, dan 'rakan-rakan' saya dalam Umno, apabila situasi ini berlaku, mereka meninggalkan saya.

"Mereka seolah-oleh mengatakan biarlah Musa menjadi 'kambing hitam' daripada kami," kata.

Musa juga mendakwa tidak diberi ruang untuk memberi penjelasan.

Namun selepas mendiamkan diri selama 30 tahun, beliau menceritakan bagaimana beliau menangani krisis tersebut dalam bukunya 'Frankly Speaking'.

BACA INI JUGA:

sumber: SH1 | SH2 | SH3

Pelakon 'The Flash' Bercinta Dengan Gadis Sabah!

Pelakon 'The Flash' Bercinta Dengan Gadis Sabah!

Pelakon Hollywood yang memegang peranan utama sebagai adiwira ‘The Flash’, Thomas Grant Gustin telah bertunang dengan seorang wanita tempatan berasal dari Sabah.

The Flash

Wanita yang mempunyai darah campuran Kadazan dikenali sebagai Andrea Thoma dikatakan telah menayang cincin pertunangannya di dalam sekeping gambar yang dimuatnaiknya di Instagram.

Dia turut memuatnaik foto bersama ahli keluarganya yang memakai pakaian tradisional Kadazan yang dipercayai diambil di kampung ibunya iaitu di Kampung Kolopis di Penampang berdekatan Kota Kinabalu.

The Flash

Di dalam gambarnya yang lain, dia telah memuatnaik gambar dirinya bersama ibu dan neneknya beserta kapsyen “Three Generations Of Majalap Women.”

“Don’t mess with us. Our ancestors are head hunters. #notkidding #kadazan #sabahan #borneo,” tulisnya.

The Flash

Nama Thomas mula meledak selepas beliau membintangi siri televisyen terkenal ‘The Flash’ yang kini memasuki musim ketiga.

Tahniah diucapkan kepada Thomas dan Andrea.

BACA INI JUGA: Sumandak Sabah 'Phan' Mirip Selena Gomez Dilamar Jadi Heroin!

sumber: suria