Thursday, August 15, 2013

RCI: Pairin Diarah Tutup Mulut Pendatang Asing Diberikan IC!


Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan maklum tentang masalah pendatang asing di Sabah sejak 1970-an namun ditegah oleh partinya, Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) untuk membawa isu berkenaan kepada umum.

RCI - Pairin Diarah Tutup Mulut Pendatang Diberikan IC!

Beliau memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing di Sabah bahawa beliau pernah ditanya oleh seorang wartawan tentang isu berkenaan pada 1977.

"Saya menjelaskan masalah itu adalah di bawah urusan kerajaan persekutuan dan merekalah yang harus menyelesaikan isu itu," jelas Pairin kepada lima panel inkuiri.

Saksi yang ke 199 itu berkata sebaik beliau pulang ke Sabah, beliau telah diingatkan oleh pemimpin atasan Parti Berjaya. Pada ketika itu, Pairin merupakan pembantu kepada setiausaha agung parti yang diketuai oleh Tan Sri Harris Mohd Salleh dan Ketua Menteri Sabah ketika itu dari 1976 hingga 1985.

"Saya tidak pasti sebab saya diperingatkan sedemikian namun difahamkan isu pendatang asing yang diberikan kad pengenalan yang kemudian diarah untuk merahsiakannya," kata ahli politik veteran itu kepada RCI.

"Pendatang asing membanjiri Sabah tanpa sebarang dokumen dan mengundang pelbagai masalah kepada penduduk tempatan. Mereka merampas pekerjaan warga tempatan, merusuh di sesetengah tempat di Kota Kinabalu dan mencalar imej negeri," kata Pairin.

Katanya, beliau memaklumkan kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada hujung 1980-an mengenai isu pendatang asing di Sabah. Pada masa itu, Pairin baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-7.

Pairin pernah mengadakan program pengampunan untuk pendatang asing di Sabah iaitu permit kerja dikeluarkan jika mereka membuktikan digaji oleh majikan warga Malaysia.

"Program yang dilancarkan pada Jun 1988 dengan lebih 60,000 pendatang asing diberikan permit untuk bekerja secara sah di Sabah. Namun, Jabatan Imigresen mengetahui hal itu dan menamatkan program berkenaan,” katanya.

Pairin mendakwa cadangan mengadakan program seumpama itu mendapat reaksi negatif dari kerajaan persekutuan.

Beliau turut menambah kemenangan tipis Parti Bersatu Sabah pada pilihan raya negeri 1994 adalah disebabkan pengundi hantu.

Katanya, pengundi hantu adalah pendatang asing yang mempunyai kad pengenalan palsu.

"Kami membawa isu ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan meminta untuk membuang nama yang meragukan. Namun, nama itu muncul semula dalam pilihan raya seterusnya.

"Pada 2007, ketika PBS kembali kepada BN, kami bertemu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan beliau menyatakan masalah pendatang asing ini perlu ditangani kerana mengancam keselamatan dan kedaulatan Malaysia,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: news.yahoo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon