Monday, February 20, 2017

Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa, International Mother Language Day

Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa, International Mother Language Day

Pasti anda tertanya-tanya, apa itu Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang telah diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melalui resolusi yang menjadikan tahun 2008 sebagai permulaan Tahun Bahasa Ibunda Antarabangsa.

Bahasa Ibunda

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa atau International Mother Language Day, disambut pada 21 Februari setiap tahun dan diisytiharkan sebagai Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa oleh UNESCO pada 17 November 1999.

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa berasal dari pengiktirafan antarabangsa kepada Hari Pergerakan Bahasa yang disambut di Bangladesh (dahulunya Pakistan Timur) semenjak tahun 1952, apabila sebilangan penuntut universiti Bangladesh dibunuh oleh polis dan tentera Pakistan di Dhaka ketika menyertai Pergerakan Bahasa Bengali.

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa disambut setiap tahun oleh negara ahli UNESCO di ibu pejabatnya untuk memupuk kepelbagaian bahasa dan budaya.

Sejarah Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa

Pada 21 Mac 1948, Mohammed Ali Jinnah, Gabenor-Jeneral Pakistan, mengisytiharkan bahasa Urdu sebagai satu-satunya bahasa untuk Pakistan Barat dan Pakistan Timur, sekaligus membangkitkan kemarahan warga Pakistan Timur (kini Bangladesh) yang bertutur bahasa Bengali sebagai bahasa ibunda.

Pada 21 Februari 1952, penuntut universiti di ibu kota Dhaka menyeru mogok besar-besaran di seluruh wilayah.

Kerajaan mengenakan perintah berkurung untuk mengelakkan mogok itu maka tunjuk perasaan terbendung kerana terpaksa mematuhi perintah berkurung.

Polis Pakistan menembak ke arah para penuntut maskipun membantah secara aman, mengakibatkan beberapa orang pelajar terbunuh.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Asal Usul Nama Bulan Februari?

Sumber: wikipedia

Bagaimana Mengingat dan Menyerap Buku yang Dibaca?

Bagaimana Mengingat dan Menyerap Buku yang Dibaca?

Membaca buku yang baik boleh menjadi satu pengalaman yang berharga namun persoalannya, bagaimana untuk mengingat buku yang kita dibaca?

Membaca+Buku

Ia juga boleh menjadi satu perkara yang mengecewakan apabila maklumat yang kita baca hanya terapung melalui kepala tanpa melekat dalam ingatan kita.

Terdapat beberapa kaedah yang benar-benar boleh memberi kesan dalam mengekalkan maklumat dan menyerap buku yang kita baca.

Kaedah ini berguna dan efektif dalam mengingat informasi yang kita baca dari sesebuah buku.

Mari saya terangkan satu persatu.

Ada 3 Jenis ‘pemilik buku’ yang perlu anda tahu..

Jenis yang pertama

Terdapat jenis orang yang suka membeli buku tetapi tidak pernah membacanya.

Selalunya orang yang sebegini hanya ‘minat’ kepada penulis. Mereka hanya mengikut trend semasa.

Mereka terpikat dengan senireka muka depan, dan terjebak dalam perlumbaan mengumpul buku edisi ‘collector item’.

Orang sebegini hanya mencintai buku dengan kekayaan, bukan dengan kebijaksanaan.

Jenis yang kedua

Kemudian, terdapat juga jenis pemilik buku yang membeli tetapi hanya jarang-jarang membaca setiap helaian buku tersebut sampai habis.

Mereka hanya membelek-belek beberapa helai muka depan sebelum semakin memperlahankan rentak dan akhirnya terhenti.

Seperti jenis orang pertama, buku-bukunya akan kelihatan masih baru walaupun selepas 10 tahun membelinya.

Jenis ketiga

Dan jenis orang yang terakhir, pemilik buku yang mempunyai buku-buku yang berkumal, helaiannya hampir longgar dan paling penting, terdapat conteng-contengan dan tanda dari depan hingga ke belakang buku.

Jenis pemilik buku yang terakhir inilah selalunya pembaca yang mampu menyerap buku hingga ke salur darah. Mereka mengingat apa yang mereka telah baca.

Dan pembaca jenis terakhir inilah kita semua patut jadi.

5 Sebab untuk anda ‘menconteng’ di dalam buku

Menconteng di dalam buku bukanlah satu seni yang boleh dibanggakan, tetapi ia perbuatan yang wajar.

Ia adalah simbol yang menandakan bahawa kita telah bertukar daripada pemilik buku kepada penyerap buku yang sebenar.

Ia seperti pembeli daging vs memakan daging..

Sebelum ia berada dalam salur darah kita, kita hanya memastikan ia hanya sejuk beku didalam peti ais. Anda masih belum menikmati daging tersebut selagi ia belum dimakan.

Dan sama juga sebelum anda menconteng dalam buku tersebut, anda masih tidak memilikinya. Anda hanya penjaga buku tersebut, hanya menyusun didalam rak.

Oleh itu, sebelum saya memberi idea bagaimana untuk menanda dalam buku, mari saya tunjukkan mengapa menanda dan menconteng di dalam buku sebenarnya satu perbuatan yang wajar.

Disini adalah lima sebab:

1. Mengaktifkan minda

Daripada menjadi pembaca yang hanya duduk diam dan cuba untuk memahami segala sesuatu yang masuk ke dalam kepala, cara ini akan mendorong minda ke hadapan dan mula menyoal siasat apa yang dibaca.

Apa yang penting anda tidak membaca secara pantas.

2. Menanda wilayah anda

Membaca kembali buku dua tahun kemudian selepas ditanda akan menjadi sesuatu yang sangat menghiburkan; kita boleh meneroka kembali fikiran, perasaan, dan emosi dari masa lalu. Ia merupakan satu diari intelek.

3. Meninggalkan jejak

Tanda contengan anda dalam buku memberitahu anda helaian mana yang telah anda liputi dalam pembacaan.

Dan ia akan menolong kamu mengingat idea dan konsep yang telah anda baca jika anda akan masuk membaca buku tersebut untuk kali kedua.

4. Mengajar kita bagaimana menulis

Setelah membaca beberapa bab, anda secara semulajadi mula menyerap gaya penulisan si penulis. Ianya penting jika anda sedang berusaha untuk menjadi penulis.

5. Mendedahkan apa yang kusut

Menandakan sebuah buku akan mendedahkan gaya penulis, corak pemikiran dan maksud yang ingin disampaikan..

Ianya sama seperti seorang ahli arkeologi membersih debu dari periuk seramik yang tertanam dalam tanah selama tiga ribu tahun yang lalu, lama-kelamaan kita akan dapat melihat dengan jelas seni dan reka bentuk periuk seramik tersebut.

Mengapa kita bersusah payah melakukan ini?

Tujuan utama menconteng buka adalah BUKAN untuk melihat sejauh mana kita telah baca, tetapi untuk melihat berapa banyak telah anda dapat dan banyak mana telah anda ingat dan serap.

Dan cara terbaik untuk melakukannya adalah menulis di dalam buku tersebut.

Disini ada beberapa tips untuk melakukanya secara betul.

10 Tips untuk ‘menconteng cara betul’ di dalam buku:
  • Bulatkan perkataan yang menarik.
  • Gariskan ayat menarik. Gunakan pen. Gunakan highlighter.
  • Tulis soalan atau komen dalam bahagian margin.
  • Lukiskan anak panah dari nota dalam margin ke bahagian buku nota merujuk kepada.
  • Merekodkan nombor halaman dimana terdapat idea yang telah diulangi.
  • Tuliskan ringkasan setiap bab pada halaman kosong di antara bab.
  • Buat outline buku itu pada muka surat kosong di hadapan buku tersebut.
  • Tulis kesimpulan untuk idea utama buku tersebut di ruangan kosong pada bahagian belakang.
  • Membuat rumusan terhadap beberapa idea-idea sokongan.
  • Menulis indeks topik, buku atau idea untuk senang dicari pada masa depan.

Jika anda berasa sayang dan tak dapat menconteng dalam buku, sekurang-kurangnya ambil sekeping kertas dan tulis padanya, sekeping kertas yang anda akan simpan di dalam buku tersebut.

BACA INI JUGA: Kenapa Bijak Dan Punyai Bakat Belum Cukup Untuk Anda Berjaya?

Sumber: Akuislam

Sambutan Hari Keadilan Sosial Sedunia

Sambutan Hari Keadilan Sosial Sedunia

Sambutan Hari Keadilan Sosial Sedunia disambut pada tanggal 20 Februari setiap tahun, yang mana Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bersama-sama dalam pakatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan tarikh bersejarah ini sebagai hari peringatan ‘Keadilan Sosial’ sedunia.

Hari Keadilan Sosial

Sambutan ini tidaklah fenomenal sepertimana tarikh 14 Februari yang disambut meriah demi peringatan kepada Hari Kekasih tetapi, peristiwa bersejarah ini punyai lembaran yang penuh dengan iktibar.

Bersesuaian dengan julukan mesej Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon pada tahun 2013 yang menyeru ke arah usaha pembangunan ekonomi secara inklusif, mapan dan berseiring.

Berikutan itu, Deklarasi Copenhagen 1995 dilancarkan pada Mac 1995 demi mengiktiraf sebarang usaha dilakukan badan-badan berkanun, termasuklah kerajaan-kerajaan.

Deklarasi ini berjaya mencapai konsensus untuk menyeragamkan tuntutan meletakkan warga dunia sebagai pusat perkembangan sejagat.

Inisiatif terbesar yang didokongi PBB ini juga bermatlamat untuk mendapatkan persetujuan pemimpin-pemimpin dunia supaya berpadu tenaga ke arah penghapusan kemiskinan, pertambahan peluang pekerjaan dan penambahbaikan intergrasi sosial.

Dalam kata yang lainnya, upaya memperuntukkan peluang sama rata kepada setiap manusia menimbal ruang untuk maju ke hadapan seiring dengan kemajuan ekonomi secara global.

Arus globalisasi yang menderas, ditambah pula dengan naik-turun ekonomi dunia yang masih di dalam tempoh pemulihan mengakibatkan warga dunia ditimpa kemelaratan hidup.

Laporan World Development Indicator 2012 yang diselaras Bank Dunia mendapati warga dunia yang hidup di bawah perbelanjaan US$1.25 sehari berjumlah hampir 22.2%.

Indeks yang sama menunjukkan hampir 3 bilion manusia di muka bumi ini hidup dalam keadaan kemiskinan yang sangat ekstrem.

Menjelang 2030, sasaran untuk mengurangkan tahap kemiskinan tegar sebanyak 50% merupakan usaha murni yang patut dikerjakan.

Sempena menyahut peringatan 20 Februari selaku hari ‘Keadilan Sosial’ sejagat, setiap daripada kita harus menggerakkan kempen kesedaran melawan kemiskinan.

Peninju lagenda, Muhammad Ali pernah berkata, “wars on nation are to change map, wars on poverty are to map change.”

Bahana kemiskinan yang meluas menyebabkan mobiliti sosial masyarakat terperangkap dalam kitaran ganas, akhirnya mengakibatkan kadar pertumbuhan ekonomi berada pada tahap yang membimbangkan.

Selaras dengan cita global, pemupukan masyarakat adalah tanggungjawab yang mendasar buat semua orang. Agenda keadilan sosial tak harus bersebaran di kelompok pimpinan sahaja. Setiap daripada kita perlu menggerakkan enjin keupayaan untuk sama-sama terlibat dalam gerakan sebegini.

Tugas membasmi kemiskinan bukanlah tugas mutlak ahli politik. Bahagian daripada masyarakat perlu memberatkan diri untuk bertungkus-lumus demi memastikan kadar kemiskinan dapat dibataskan dari hari ke hari.

Bahu masyarakat dan komuniti tempatan adalah salingan buat dasar kerajaan yang lebih mendasar.

Kerajaan, samada pusat mahupun negeri merupakan entiti utama yang diamanahkan untuk berganding bahu memikirkan prospek keadilan sosial yang bakal digalas.

Jadi, tugas kerajaan bukanlah bermati-matian menyelamatkan mana-mana parti pemerintah, mendayungi kempen-kempen propaganda politik untuk terus berkuasa apatah lagi, di dalam memastikan kemenangan politikus tertentu di dalam pilihanraya.

Sebelum membedah jauh pemahaman kita mengenai keadilan sosial, penekanan harus diberatkan dengan falsafah di sebalik keadilan sosial itu sendiri.

Maksud harfiah tentang keadilan sosial itu sendiri menjelaskan tawassulnya, iaitu keadilan.

Perdebatan mengelilingi keadilan masih lagi berterusan dan belum kunjung selesai jadi, usahlah kita terperangkap dengan perbincangan istilah semata-mata. Sebaiknya, kita bersama-sama mendalami pemahaman substantif yang jamak dan rencam.

Begini, konsep ‘keadilan sosial’ lebih mudah diamati sebagai peluang yang sama rata diberikan kepada setiap lapisan masyarakat tanpa pula mengira status sosial, agama, jantina dan afiliasi politik mereka.

Setiap manusia berhak menerima dorongan dan bantuan apabila mereka memerlukannya.

Amartya Sen, pemikir terkenal menerusi bukunya yang terjual laris di seluruh dunia, “The Idea of Justice” meletakkan empat bahagian asas kerangka keadilan.

Pertama, permintaan ke arah keadilan. Sen menjelaskan dalam juzuk pertama bagaimana keadilan dapat diukur daripada konteks individu, sosial, institusi dan pilihan. Analisa tajam terhadap konteks tersebut merungkai keperluan mutakhir tentang wacana keadilan.

Jadi, Sen menegaskan bahawa latar keadilan yang paling utama bertujuan untuk mengeratkan kebarangkalian manusia untuk maju.

Bahagian kedua, Sen melihat bagaimana bentuk-bentuk penalaran penting untuk mendekatkan nilai keadilan supaya tertegak.

Di dalam bahagian ini, Sen mengutarakan kutipan pandangan ahli falsafah terkemuka dan rasional di sebalik penegakan keadilan.

Dalam tajuk yang sama, Sen membedah beberapa kemungkinan sekiranya keadilan tidak ditegakkan seperti kekacauan sosial, keadaan huru-hara dan sebagainya.

Lanjut, Sen di dalam bahagian ketiga memaparkan beberapa asas bagaimana keadilan dapat ditegakkan.

Penekanan penting yang diberikan oleh Sen di dalam bab ini adalah tentang keperluan sosial untuk mengatasi masalah ketidakadilan.

Penyakit kemiskinan tanpa penyelesaian ditanggapi sebagai akar kepada ketidakadilan yang berlaku.

Jadi, bab ketiga melihatkan analisa Sen yang cenderung ke arah pembasmian kemiskinan secara massa – supaya keadilan sosial dapat ditegakkan

Keempat, kesedaran awam ke arah pengetahuan demokrasi atau pemerkasaan ruang awam terhadap pengukuhan demokrasi merupakan benang utama tertegaknya nilai keadilan.

Sekali lagi, Sen memberikan fokus utama terhadap perkembangan hak asasi di dalam memelihara medan keadilan.

Hak asasi yang meliputi udara, air, tempat tinggal, keperluan ekonomi dan banyak lagi merupakan tunjang penting yang merukuni keadilan dalam lensa sejagat, nasional dan tempatan.

Rumusan yang dikutip di dalam ‘The Idea of Justice’ menunjukkan indikator sosial seperti gelonjak kemiskinan, hak samarata dalam pembahagian kekayaan begitu meruncing dalam memastikan falsafah keadilan boleh dimanfaatkan.

Selamat menyambut Hari Keadilan Sosial Sedunia.

BACA INI JUGA:

sumber: roketkini

Sunday, February 19, 2017

5 Isteri Pemimpin Dunia Paling Boros Dalam Sejarah

5 Isteri Pemimpin Dunia Paling Boros Dalam Sejarah

Pemaisuri Raja Louis ke-14, Marie Antoinette, walaupun telah lama meninggal dunia masih lagi disebut sebagai ikon gaya hidup mewah dan boros penuh glamor seorang First Lady negara.

Lebih malang, gaya hidup yang boros berlaku ketika petani Perancis hidup dalam kebuluran dan kelaparan, lalu menyemarak gerakan tunjuk perasaan kaum petani sehinggalah tumbangnya kerajaan Raja Louis ke-14 itu selepas Revolusi Perancis meledak.

Begitu juga ramai First Lady negara diseluruh dunia sejak dari zaman dahulu yang sepatutnya hanya sebagai pendamping suami memimpin negara, bertukar tamak dengan merompak harta rakyat dan menggelapkan dana negara.

Mari baca, sebab kami nak kongsikan senarai sebahagian daripada First Lady, isteri-isteri ketua pemimpin negara dari serata dunia yang sangat terkenal kerana gaya hidup boros dan kemewahan melampau kerana menghabis dan merompak wang rakyat.

1. Marie Antoinette

Marie Antoinette

Permaisuri Raja Louis ke-14 ini masih lagi disebut-sebut sebagai ikon gaya hidup mewah yang penuh glamour.

Pesta dan majlis mewah di istana, seperti tidak ada lagi hari esok, sentiasa menjadi buah mulut warga Perancis.

Semua ini berlaku ketika petani Perancis sedang kelaparan dan kebuluran yang kemudiannya menyemarakkan gerakan tunjuk perasaan akibat dihimpit oleh tuan tanah dan feudal.

Apabila dana negara habis, Raja Louis mengenakan cukai pertanian yang menjerut leher kaum petani.

Manakala Marie Antoinette pula terus berbelanja tanpa henti, menempah pakaian dan intan berlian ketika ramai petani mati kelaparan.

Perangai dan kelakuan Marie Antoinette inilah yang mencetus kemarahan para petani sehingga akhirnya Revolusi Perancis meledak. Revolusi Perancis menghapuskan sistem Beraja pada 12 September 1792.

Akhirnya kaum petani melalui perwakilan dengan sebulat suara bersetuju agar leher Permaisuri Marie Antoinette dipenggal pada 16 Oktober 1793 kerana boros menggelapkan duit rakyat.

2. Evita Peron

Evita Peron

Di Amerika Latin, selepas Perang Dunia Kedua, Evita Peron, janda berhias yang pandai menyanyi dan berlakon akhirnya menjadi isteri kedua Kolonel Juan Peron.

Selepas berlakunya beberapa rampasan kuasa di Argentina, akhirnya Juan Peron menjadi Presiden Argentina pada tahun 1946.

Apabila Juan Peron menjadi presiden, dengan serta merta Evita menggelarkan dirinya sebagai FLOA, First Lady of Argentina.

Dari fakta sejarah Argentina, Evita dianggap sebagai sosok yang paling berpengaruh dalam karier politik Kolonel Juan Peron. Evita amat popular.

Melalui popularitinya ini, Evita berjaya merembat harta negara dan pada tahun 1947, Evita melawat ke Eropah dengan alasan 'lawatan rasmi negara'.

Lawatan ini dituduh oleh musuh politik sebagai alasan untuk membuka akaun bank di Switzerland.

3. Raden Ayu Siti Hartinah

Raden Ayu Siti Hartinah

Di Asia Tenggara, kita ketemu dengan Raden Ayu Siti Hartinah atau Ibu Tien, isteri kedua Jeneral Suharto yang merampas kuasa pada tahun 1965.

Rampasan kuasa yang ditaja oleh CIA ini menyaksikan pembantaian hampir tiga juta rakyat Indonesia, penyokong Bung Karno.

Ibu Tien juga menjadi FLOI, First Lady of Indonesia dan sejarah merakamkan bagaimana Wanita Pertama Indonesia ini cukup berpengaruh.

Media Indonesia dan luar negara turut melaporkan tentang peranan Ibu Tien di belakang kuasa Jeneral Suharto.

Jeneral Suharto memerintah Indonesia dengan kejam dan ganas. Suharto membunuh lebih tiga juta penyokong Sukarno ketika cuba mengukuhkan rampasan kuasa.

Setelah berkuasa, ribuan warga Indonesia dilaporkan hilang.

Pada tahun 1975, Suharto menyerang dan menawan Timor Timur, tanah jajahan Portugal.

Jeneral Suharto juga memerangi gerakan pembebasan Papua Merdeka dan Gerakan Acheh Merdeka.

Ketika semua ini berlaku, Raden Ayu Siti Hartinah telah bertukar menjadi 'Ibu Ten Percent'.

Apa saja projek di Indonesia jika ingin mendapat kelulusan, wajib membayar 'duit kopi' sebanyak 10 peratus kepada Ibu Tien.

Dikatakan, suami Wanita Pertama Indonesia ini menjadi orang terkaya di Asia. Anak beranak Jeneral Suharto beraja di mata bersultan di hati.

4. Imelda Marcos

Imelda Marcos

Seorang lagi janda berhias, Imelda Marcos, yang menjadi First Lady, seorang bekas Ratu Cantik yang menjual badan kepada jantan-jantan berkuasa.

Akhirnya Imelda menjadi isteri kepada Presiden Ferdinand Marcos, seorang diktator yang berkuasa di Filipina dari tahun 1965 sehingga 1986.

Imelda juga amat berpengaruh dalam kerajaan Marcos. Selama 20 tahun, Imelda merompak dan menjarah harta negara Filipina.

Ferdinand Marcos, sama seperti Suharto, dipelihara dan dibantu oleh CIA kerana dasar anti-komunis mereka.

Di zaman Ferdinand Marcos, beratus aktivis NGO dan aktivis anti-diktator hilang begitu saja.

Warga Filipina selama 21 tahun terpaksa berhadapan dengan karenah dan perangai Imelda yang saban hari muncul di kaca TV dan akhbar.

Malah, pesta-pesta mewah dan perbelanjaan boros Imelda terus menjadi sebutan rakyat Filipina dan dunia sehingga ke hari ini.

Pada satu ketika, Imelda menganjurkan festival filem yang dikatakan lebih hebat dan lebih glamour dari Festival Filem Cannes.

Namun, pada tahun 1986 semuanya berakhir. Berjuta-juta rakyat Filipina turun ke jalan raya menghalau dan menghambat keluarga Marcos dari bumi Filipina.

Ferdinand Marcos melarikan diri dari Filipina ketika kemuncak pemberontakan 'people power' yang di dalangi tentera pada tahun 1986 dan meninggal dunia dalam buangan di Hawaii pada tahun 1989.

5. Leila Ben Ali

Leila Ben Ali

Pada mulanya hanya bekerja sebagai pendandan rambut, Leila dengan liciknya berjaya mengahwini Zainal Abidin Ali yang merampas kuasa pada tahun 1987 untuk menjadi Presiden Tunisia.

Leila kemudiannya memaksa media Tunisia menggelar dirinya sebagai FLOT, First Lady of Tunisia.

Untuk membuktikan bahawa dia seorang yang prihatin, Leila telah menubuhkan SAIDA, badan amal melawan barah.

Malangnya, melalui badan amal ini, dana negara telah disalurkan ke dalam poket Leila.

Kisah gaya hidup bekas pendandan rambut ini juga cukup menarik.

Pernah dilaporkan oleh media Perancis, bagaimana Leila pernah menghantar sebuah pesawat khas terbang ke Selatan Perancis hanya untuk membeli aiskrim yang disukainya.

Pada 4 Januari 2011, seorang anak muda bernama Mohamed Bouazizi melakukan protes dengan membakar dirinya sendiri.

Dan inilah permulaan kepada gerakan jalanan di Tunisia yang menamatkan penguasaan selama 22 tahun Leila dan Zainal Abidin.

Ketika diburu oleh rakyat, Leila dan Zainal telah memecah masuk ke dalam Bank Negara Tunisia dan merompak 60 kilogram jongkong emas.

Mereka kemudiannya melarikan diri ke Arab Saudi.

Kata editor

Semoga tiada lagi First Lady di dunia ini yang sanggup menggelapkan harta negara demi kepentingan diri sehingga berlaku musibah kepada rakyat.

Di Malaysia belum ada lagi kan? Moga dijauhkan.

BACA INI JUGA: Top 5 Pemimpin Kejam Paling Dibenci Dunia

Sumber: malaysiakini

Urutan Fisioterapi Sebagai Pelengkap Rawatan Pneumonia Kanak-kanak

Urutan Fisioterapi Sebagai Pelengkap Rawatan Pneumonia Kanak-kanak

Seorang ibu di Abidjan berdepan detik-detik cemas apabila bayi lelakinya diselamatkan oleh ahli fisioterapi dengan menekan dada dan abdomen untuk memberi bantuan pernafasan bagi memastikan dia terus bernyawa.

Fisioterapi bayi

Keupayaan pegawai perubatan itu memberi bantuan pernafasan sekali gus menyelamatkan nyawa bayi tersebut menyebabkan wanita tersebut kagum dengan kecekapan mereka.

Fisioterapi pernafasan sangat diperlukan di Ivory Coast kerana pneumonia merupakan pembunuh nombor dua bayi dan kanak-kanak selepas malaria.

Badan Amal Agis yang diasaskan pada tahun 2010 oleh Aboubakar Sylla iaitu seorang ahli terapi telah melatih teknik urutan kepada para sukarelawan untuk berkhidmat di kawasan perumahan miskin di ibu negara dan pedalaman Afrika Barat.

“Kurangnya kesedaran pencegahan menyebabkan kes tersebut tidak dapat dibendung dan ia amat dikesali,” kata Sylla ketika mengambil bahagian dalam kempen Badan Amal Agis di daerah termiskin Abidjan iaitu Koumassi.

Tunjuk ajar

Sylla bertanggungjawab membawa doktor untuk mengambil bahagian dalam kempen dianjurkan oleh Badan Amal Agis bagi memberi tunjuk ajar kepada kaum wanita cara memberi urutan kepada anak mereka.

Bagaimanapun, katanya, fisioterapi bukanlah rawatan utama penyakit pneumonia.

“Orang ramai perlu berjumpa doktor. Ubat adalah kaedah rawatan utama manakala fisioterapi adalah pelengkap kepada perkara itu.

“Kajian menunjukkan fisioterapi dan rawatan ubat-ubatan mampu mempercepatkan pemulihan malah memberi keselesaan pernafasan kepada kanak,” katanya.

Kerja sukarelawan itu berkaitan dengan perundingan perubatan dan sekolah untuk para ibu iaitu mengajar wanita cara melindungi anak-anak mereka daripada jangkitan dan merawatnya ketika jatuh sakit.

Dana merupakan masalah utama untuk membantu kanak-kanak yang menghidap pneumonia.

Badan amal itu bergantung sepenuhnya kepada bantuan sukarelawan kakitangan perubatan yang berkhidmat seluruh bandar itu dan kebanyakan dana diperoleh daripada derma syarikat swasta.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan jangkitan pernafasan pada tahun 2015 telah meragut nyawa lebih 900,000 orang kanak-kanak di bawah umur lima tahun seluruh dunia.

Di Ivory Coast, jangkitan tersebut dianggarkan telah membunuh lebih daripada 11,000 orang kanak-kanak pada tahun 2012.

Laporan Tahunan Situasi Kesihatan (RASS) antara tahun 2014 dan 2015 menunjukkan bilangan jangkitan pernafasan akut telah meningkat kepada lebih 202 kes pada setiap 1,000 kanak-kanak pada tahun 2015 daripada 165 orang pada tahun 2014.

Jangkitan pernafasan

Ujar seorang doktor, Max Valere Itchi yang bertugas di CHU, Cocody iaitu hospital utama di Abidjan, jangkitan pernafasan merupakan penyakit kedua kanak-kanak dirawat selepas malaria.

“Di kawasan pedalaman angka kematian semakin meningkat kerana kekurangan dana dan peralatan. Kanak-kanak hanya dibawa ke hospital apabila keadaan mereka sangat serius,” katanya.

Di halaman hadapan hospital besar bandar itu, beberapa orang ibu datang pada awal pagi dengan menggendong bayi mereka di belakang untuk mendapatkan rawatan penyakit tersebut.

Sementara itu, Esthetician Monique Zabia merupakan orang pertama menemui kaedah fisioterapi telah merawat dua orang kanak-kanak pada awalnya.

“Setiap hari mereka selesema dan mengalami hidung berair tetapi selepas menjalani teknik urutan itu keadaannya semakin pulih,” tuturnya.

Cerita seorang ibu, Linda Akele, dia telah membawa anak perempuan berusia tiga tahun berjumpa Zabia selepas mengalami selesema serta batuk untuk mencuba kaedah itu. Ternyata ia sangat berkesan.

Tidak lama selepas itu, kakitangan kesihatan datang ke bandar dan kawasan kampung memberi nasihat kepada para ibu untuk menggunakan teknik serupa bagi merawat kanak-kanak.

Seorang lagi ibu muda, Saly mendengar dengan penuh tekun apa yang diajarkan oleh jururawat sukarelawan itu sambil memeluk erat bayinya berusia 14 bulan.

“Jangan menggendong anak di belakang anda ketika menyapu rumah atau menyalakan api kerana habuk serta asap boleh menyebabkannya selesema,” pesan jururawat itu kepada para ibu.

BACA INI JUGA: Bahaya Pneumonia, Jenis Dan Simptom Jangkitan Paru-paru

Sumber: kosmo

Saturday, February 18, 2017

Ketahui Bahaya Potassium Dan Phosphate Kepada Buah Pinggang!

Ketahui Bahaya Potassium Dan Phosphate Kepada Buah Pinggang!

Potassium dan Phosphate merupakan mineral yang terdapat di dalam kebanyakan makanan yang kita makan, manakala buah pinggang pula berfungsi untuk mengawal jumlah kedua-dua mineral ini di dalam darah.

Potassium Dan Phosphate

Namun, awas bagi pesakit buah pinggang, kedua-dua mineral ini boleh menjadi terlalu tinggi bagi mereka.

Tahap potassium yang tinggi di dalam darah boleh membawa kepada komplikasi lain seperti lemah badan, kekejangan otot, kesukaran bernafas, degupan jantung yang tidak teratur dan paling buruk boleh menyebabkan serangan jantung.

Manakala tahap phosphate yang tinggi dalam darah boleh menarik keluar kalsium dari tulang dan mengakibatkan tulang rapuh, gatal-gatal, sakit sendi, radang mata dan saluran darah menjadi keras.

Jadi, adalah sangat penting untuk pesakit kegagalan buah pinggang mengetahui tahap kedua-dua mineral ini dalam makanan mereka untuk mengelakkan bahaya berganda!

Makanan yang kaya dengan potassium kebanyakannya adalah daripada sumber tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan tertentu, namun sangat berbahaya jika dimakan secara berlebihan terutamanya kepada pesakit buah pinggang.

Manakala makanan yang tinggi phosphate biasanya daging, ayam, ikan dan pelbagai makanan laut.

Makanan yang tinggi kandungan kedua-dua mineral ini terdapat dalam produk tenusu, kacang, biji, coklat dan produk bijirin penuh.

Sila rujuk jadual berikut untuk tahap kandungan Potassium dan Phosphate dalam pengambilan makanan harian;

1. Pengkelasan Sayur-sayuran berdasarkan kandungan potassium

Rendah Potassium (< 150 mg)
  • Kangkung
  • Kobis
  • Petola
  • Peria
  • Taugeh

Sederhana Potassium (150-200 mg)
  • Asparagus
  • Kacang Buncis
  • Kacang Bendi
  • Kacang Panjang
  • Labu Merah
  • Lobak Merah
  • Salad
  • Sengkuang
  • Terung
  • Tomato

Tinggi Potassium (> 200 mg)
  • Bayam
  • Brokoli
  • Cekur manis
  • Jantung pisang
  • Kailan
  • Petai
  • Sawi hijau
  • Ubi (kentang, keledek, keladi)

*Pengkelasan berdasarkan kandungan kalium bagi setiap 1/2 cawan sayur yang sudah dimasak.

2. Pengkelasan buah-buahan berdasarkan kandungan potassium

Rendah Potassium (< 150 mg)
  • Epal (1 biji)
  • Jambu batu
  • Nenas
  • Pir (1 biji)

Sederhana Potassium (150-200 mg)
  • Laici
  • Pisang kaki
  • Rambutan
  • Tembikai
  • Betik
  • Limau Tempatan (1 biji)

Tinggi Potassium (> 200 mg)
  • Anggur
  • Nangka
  • Ciku
  • Durian
  • Longan
  • Pic
  • Plum
  • Pisang (semua)
  • Oren import (1 biji)
  • Mangga
  • Kurma (5 biji)

3. Pengkelasan minuman berdasarkan kandungan potassium

Rendah Potassium (< 150 mg)
  • Minuman bersirap

Sederhana Potassium (150-200 mg)
  • Minuman barli
  • Teh cina
  • Air tebu

Tinggi Potassium (> 200 mg)
  • Jus buah-buahan
  • Minuman bercoklat
  • Air kelapa

*Pengkelasan berdasarkan kandungan kalium bagi setiap 1 gelas minuman.

4. Pengkelasan berdasarkan kandungan fosfat dalam minuman

Rendah Potassium (< 150 mg)
  • Air tebu
  • Krimer bukan tenusu
  • Sirap ros
  • Teh cina

Sederhana Potassium (150-200 mg)
  • Minuman kacang soya
  • Minuman kola
  • Minuman bercoklat/koko

Tinggi Potassium (> 200 mg)
  • Teh tarik
  • Kopi susu

*Pengkelasan berdasarkan kandungan fosfat bagi setiap 1 gelas minuman.

5. Pengkelasan berdasarkan kandungan fosfat dalam makanan daripada kumpulan bijirin

Rendah Potassium (< 150 mg)
  • 1 cawan Kueh teow
  • 1 cawan Laksa
  • 1 cawan Mee kuning/bihun
  • Idli (1 keping)
  • Oats (2 sudu besar)

Sederhana Potassium (150-200 mg)
  • 1 cawan Mee goreng
  • 1 cawan Nasi
  • Roti putih (2 keping)
  • Putu mayam (1 keping)

Tinggi Potassium (> 200 mg)
  • 1 cawan Makaroni
  • 1 cawan Mee segera
  • 1 keping Chapati/Tosai
  • 1 keping Roti canai

6. Pengkelasan berdasarkan kandungan fosfat makanan sumber protein (lauk-pauk)

Rendah Potassium (< 150 mg)
  • Putih telur (1 biji putih telur ≈ 5mg fosfat)

Sederhana Potassium (150-200 mg)
  • Ayam (90 gram)
  • Telur (1 biji dengan kuning telur)
  • 2 sudu makan Ikan bilis & Udang kering

Tinggi Potassium (> 200 mg)
  • 1/2 cawan Dhal & Kacang soya
  • Kebanyakan ayam, ikan & daging (> 90gram)

BACA INI JUGA: Tanda-tanda Buah Pinggang Sedang Rosak Dan Rawatannya

sumber: chedacheyu

10 Pantai Paling Cantik Di Malaysia Yang Anda Wajib Kunjungi

10 Pantai Paling Cantik Di Malaysia Yang Anda Wajib Kunjungi

Malaysia sememangnya memiliki banyak pantai yang sangat cantik dan menarik untuk dikunjungi seisi keluarga untuk bersantai dan merehatkan minda.

Dengan keindahan pantai yang ada ini, banyak pusat peranginan dibuka berhampiran pantai untuk keselesaan pengunjung tempatan juga pelancong asing menginap.

Jadi, jangan lepaskan peluang berkunjung ke pantai-pantai menarik ini sebagai lokasi pantai percutian terbaik wajib dikunjungi dan tidak perlulah berkunjung jauh ke luar negara.

Jom kita lihat 10 pantai paling cantik yang anda wajib kunjungi sebagai lokasi percutian di Malaysia.

1. Pantai Juara, Pulau Tioman, Pahang

Pantai Juara

Mereka yang sukakan ketenangan, jauh dari hiruk-pikuk kota, privasi dari orang dan yang penting menyajikan pantai yang cantik, maka ini lah jawapan yang anda cari.

Pada mereka yang tidak tahu, pantai ini juga pernah tersenarai daripada 100 pantai tercantik di dunia oleh CNN.

2. Pantai Pulau Mabul, Sabah

Pulau Mabul

Pulau Mabul memang dikenali sebagai salah satu pulau yang cantik di Sabah oleh itu tidak hairanlah jika ia tersenarai dalam ini.

Mempunyai pasir yang putih mengelilingi persisiran pantai serta lautnya yang jernih dan bebas dari kotoran membuatkan anda terpegun dengan kecantikannya.

3. Pantai Perhentian Kecil, Pulau Perhentian, Terengganu

Pulau Perhentian

Pantai ini merupakan antara pantai yang tercantik di Malaysia dan masih lagi dipelihara alam semula jadinya dan pengunjung masih belum mengenali pantai ini.

Selain itu, bot juga tidak dibenarkan memasuki pantai kerana terumbu kawang yand wujud di kawasan air cetek. Pengunjung juga berpengalaman menyaksikan pemandangan matahari terbenam yang mengasyikkan.

4. Pantai Pulau Manukan, Sabah

Pulau Manukan

Di luar persisiran pantai pulau ini ialah kawasan terumbu karang yang sangat cantik serta aktiviti lain yang boleh dilakukan pengunjung seperti 'parasailing' selam skuba, snorkelling dan lain-lain.

Pulau ini juga merupakan yang kedua terbesar di Taman Tunku Abdul Rahman Malaysia serta turut diktiraf sebagai taman laut negara.

5. Pantai Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah

Tanjung Rhu

Sesuai buat mereka yang mencari ketenangan, pantai ini tidak mempunyai banyak pengunjung seperti Pantai Cenang.

Tanjung Rhu mempunyai pasir yang halus dan bersih serta air yang jelas seperti kristal membuat orang akan mengagumi kecantikan pantai ini.

6. Pantai Pulau Mataking, Sabah

Pulau Mataking

Sangat dikenali sebagai 'syurga penyelam' seperti Pulau Mabul dan Pulau Sipadan namun ia merupakan kawasan persendirian.

Di samping itu, ia juga mempunyai sedikit persamaan dengan pantai di Maldives oleh itu jika anda berkunjung ke Sabah pastikan pantai ini tersenarai dalam destinasi lawatan anda ya.

7. Pantai Pasir Putih, Pulau Dayang Mersing, Johor

Pulau Dayang

Sesuai dengan namanya pantai ini mempunyai pasir yang putih, lembut dan masih dipelihara alam semula jadinya serta pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini seperti bola tampar, mandi laut dan berjemur di bawah sinaran matahari.

Bagaimanapun, nama sebenar pantai ini adalah Pasir Panjang namun disebabkan sudah banyak nama pantai seperti itu di Malaysia (Pulau Perhentian dan Pulau Tioman) maka penggunaan nama pantai ini ditukar kepada nama Pasir Putih.

8. Pantai Pulau Sapi, Sabah

Pulau Sapi

Air laut dan pantainya sangat jernih ditambah lagi dengan pelbagai aktiviti yang diadakan di pantai membuatkan pengunjung akan merasa terhibur di sini.

Terletak di Taman Tunku Abdul Rahman Sabah, tentu sekali terdapat banyak aktiviti sukan air yang menanti pengunjung yang hadir di pantai ini.

9. Pantai Cherating, Pahang

Pantai Cherating

Cherating merupakan salah satu pusat peranginan tepi pantai yang terkenal di Malaysia justeru banyak aktiviti boleh dilakukan di sini.

Sesuai untuk pasangan berbulan madu ataupun percutian keluarga, anda juga berpeluang untuk belajar papan luncur sewaktu berada di sini.

10. Pantai Teluk Dalam, Pulau Redang, Terengganu

Pulau Redang

Sesuai buat mereka yang suka mandi laut dan berenang namun tidak sesuai untuk aktiviti selam skuba kerana tidak mempunyai banyak terumbu karang.

Sebenarnya, terdapat dua pantai teluk dalam iaitu di Pulau Pangkor dan Pulau Redang dan dua cara untuk ke pantai ini adalah melalui trek hutan yang menghubungkan kedua-dua pantai atau menyewa bot.

Selamat berkunjung.

BACA INI JUGA:

Sumber: SH

Ketahui Rahsia Personaliti Melalui Bentuk Gigi

Ketahui Rahsia Personaliti Melalui Bentuk Gigi

Mungkin ada yang memandang remeh tentang kecantikan dan kebersihan gigi mereka tapi sebenarnya ia turut membantu memperelokkan penampilan seseorang.

Gigi

Bayangkan, wajah sikit punyalah cun. Memang tangkap leleh. Tiba-tiba tengok gigi, hancus! Rupanya rongak! Tak ke haru tu?

Jadi, siapa cakap tak penting menjaga gigi? Tapi tahukah anda bahawa gigi juga mampu merungkap rahsia peribadi diri?

Wah! Ini yang menarik!

Jarang dan kecil

Mereka yang memiliki bentuk gigi sebegini dikatakan suka menilai diri orang lain. Pasti ada saja yang tidak kena pada pandangan mata mereka.

Tapi yang tak syoknya, dia sibuk menilai orang lain tapi tak suka orang lain menilai atau mengkritik dirinya! Tak patut!

Selain itu, dia juga sukar mengalah! Tapi kadangkala mengalah itu perlu. Apatah lagi kalau memang kamu yang bersalah.

Bersaiz sederhana dan rata

Cantiknya gigi dia. Teratur sekali dipandang, macam gigi palsu pulak. Tapi gigi original tau.

Agaknya apakah kriteria mewakili bentuk gigi seperti ini?

Orang yang memiliki bentuk gigi sebegini adalah seorang yang baik hati dan suka menolong. Bak kata orang, ringan tulanglah.

Kalau ada yang minta bantuan, pasti tak dikecewakan. Sebenarnya mereka ini ingin sentiasa membahagiakan orang lain. Boleh juga mereka tumpang gembira.

Untungnya dapat kawan/kekasih macam mereka ni kan?

Besar dan jarang

Aduh! Rupanya orang yang bergigi besar dan agak jarang jaraknya antara satu sama lain ini bersifat iri hati dengan kejayaan orang lain.

Tak elok macam tu. Itu kan dah rezeki mereka. Buat apa nak dengki. Menyakitkan hati kamu saja.

Lebih baik kamu belajar untuk terima kenyataan dan jangan asyik nak berdengki.

Selain itu, sifat negatif kamu juga, seorang yang keras kepala. Mulalah tarik muncung 44 inci kalau tak diikuti kemahuan.

Tapi awas, mereka ini sanggup melakukan apa saja demi memastikan apa yang dikehendaki itu diperolehi. Bahayanya!

Sebagai kekasihatau teman mereka, kamu harus banyak bersabar dengan sikap mereka itu apatah lagi dengan sikap manja yang dibuat-buat tu. Erk! Gelemannya!

Jongang dan kecil

Mak oi! Jangan ingat semua orang yang gigi 'ke depan' tu tak cantik. Ada juga yang masih kelihatan manis dan cantik.

Apapun, apa pula maksud pemilik bentuk gigi ini? Sekiranya giginya berbentuk agak jongang dan kecil, bermakna dia masih lagi bertolak ansur dengan orang lain.

Maknanya keras kepalanya itu bertempat dan masih boleh dibawa berunding. Kata orang tu, dalam keras ada lembutnya!

Jongang dan besar

Fuyoo! Benteng pertahanan kena kuat dan kukuh. Banyaklah bersabar kalau ada teman atau kekasih seperti mereka ini. Menduga iman sungguh!

Kamu haruslah kena banyak bersabar dan tahan saja dengan mulut celupar mereka tu.

Mereka juga mudah mengeluh dan tak pernah puas hati dengan apa yang telah dimiliki.

Sikap itu ada positifnya kerana mereka mudah menempa kejayaan dan akan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik.

Selain itu, mereka ini agresif orangnya dan ringan tulang!

Tidak tersusun

Kadangkala tengok orangnya memang cantik. Tapi bila dia tersenyum menampakkan giginya yang tak begitu rata dan sekata, mengurangkan kecantikan yang dimilikinya itu.

Namun kata orang, biarpun giginya tak cantik tapi hati budinya 'cantik'. Usah kerana tengok gigi tak cantik maka ingat perangai pun tak berapa cantik juga.

Mereka ini merupakan teman bicara yang amat memahami. Tidak rugi menjadikan mereka ini sebagai tempat meluahkan hati kerana mereka sentiasa mendengar dan memberi nasihat.

Mereka juga berpengetahuan luas biarpun sikapnya kebudak-budakan dan adakalanya merimaskan.

Selain itu, mereka juga pandai membahagiakan orang lain.

Seolah masuk ke dalam

Bila diperhatikan, struktur giginya seolah 'ke dalam' sikit. Ia menandakan bahawa mereka seorang yang pemalu dan suka menyembunyikan sikap sebenar diri mereka tapi mereka agak pasif.

Selalunya mereka ini bersikap pendiam dan tidak begitu pandai bergaul dengan orang lain.

Selain itu, mereka juga cukup pandai menyimpan rahsia kecuali kepada orang yang benar-benar telah meraih kepercayaan mereka.

Kecil dan tersusun

Selalunya berwajah keanak-anakan dan tampak semakin menarik dengan gigi yang kecil dan tersusun indah itu.

Mereka yang memiliki gigi sebegini dikatakan suka menolong orang dan boleh dipercayai percakapan mereka.

Beruntungnya mereka yang memiliki pasangan atau kekasih seperti ini kerana mereka seorang yang hebat!

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

BACA INI JUGA: Ketahui Titik Sensitif Rangsangan Wanita Mengikut Zodiak

Sumber: 1001rahsiadiri

Friday, February 17, 2017

Wajah Ngeri Gadis Vietnam Musnah 'Dimakan' Kuman!

Wajah Ngeri Gadis Vietnam Musnah 'Dimakan' Kuman!

Impian seorang wanita di Vietnam untuk menjadi pelakon musnah selepas tiga tahun terseksa jangkitan di bahagian hidung dan mukanya bagaikan 'dimakan' kuman.

Tran

Menurut laporan Mirror, Tran Thi Yen Nhung, disahkan menghidap sinusitis tiga tahun lepas dan keadaannya kini semakin teruk.

Keluarga Tran pula tiada pilihan lain selain membenarkan dia dibedah tidak lama kemudian.

Namun begitu, pembedahan menyebabkan jangkitan tersebut semakin kronik dan merebak hampir ke seluruh muka mangsa.

Tidak sampai setahun, kuman tersebut telah memusnahkan hidung dan mulut Tran, selain menarik perhatian lalat.

Jangkitan tersebut akhirnya menyebabkan Tran tidak lagi mampu melihat dan makan dengan dengan sempurna dan terpaksa dibantu oleh ahli keluarga.

"Melihat keadaan Tran sangat menyedihkan kami. Dia tidak pernah tidak merasa sakit.

Tran pula bagaikan merayu supaya tidak lagi menghabiskan wang untuk rawatannya. Dia kata dia okey, dan dia tidak mahu kami menangis," kata ibu saudara Tran, Tran Van Hong.

Kata Hong lagi, sudah berpuluh-puluh doktor membantu Tran dan menjalani pelbagai terapi, tetapi usaha mereka hanya sia-sia.

Pakar hidung dari Pusat Alergi dan Asma New York, Wellington S. Tichenor berkata jangkitan Tran berkemungkinan adalah kombinasi kulat dan rawatan awal yang tidak mencukupi.

Penyakit tersebut adalah berbeza di lokasi berbeza di dunia, perbezaan iklim, ubat dan rawatan juga memainkan peranan, katanya lagi.

BACA INI JUGA: Video Keluarkan Susuk Dari Wajah Yang Mengerikan!

Sumber: SH