Friday, September 15, 2017

Sambutan Hari Demokrasi Antarabangsa, International Day of Democracy

Loading...

Sambutan Hari Demokrasi Sedunia, International Day of Democracy, disambut pada 15 September setiap tahun diseluruh dunia.

Hari Demokrasi Antarabangsa

Pada tahun 2007, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memutuskan untuk menetapkan 15 September sebagai sambutan Hari Kebangsaan Demokrasi, dengan tujuan untuk mempromosi dan menegakkan prinsip-prinsip demokrasi dan menjemput semua negara anggota dan organisasi bagi memperingati hari itu dengan cara sesuai yang menyumbang kepada peningkatan kesedaran awam.

Demokrasi Di Malaysia

Malaysia terbentuk dan berkembang dengan demokrasi dan sejak kebelakangan ini kita menyaksikan wacana terkait demokrasi rancak dibincangkan di pelbagai tempat, khususnya anak muda, sesuatu yang baik dan wajar digalakkan.

Sebagai negara yang secara relatif masih muda, penglibatan anak muda dalam wacana kenegaraan bukan sahaja dapat menanam nilai patriotisme, tetapi juga dapat meluruskan pemahaman terhadap nilai dan erti sejarah serta kepentingan untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran untuk menangani cabaran zaman.

Kita tidak semestinya menjadi ahli politik untuk sedar akan wacana kenegaraan.

Sesungguhnya, dasar-dasar dan keputusan yang dibuat orang politik sangat banyak terkait dengan kehidupan semua pihak, terlepas apa juga sikap mereka terhadap politik.

Satu nama, pelbagai interpretasi

Demokrasi, walaupun sering dibincangkan, selalunya dilihat tidak seragam. Asasnya, demokrasi adalah nilai universal yang terbentuk daripada kebebasan orang ramai menyuarakan pandangan mereka bagi menentukan sistem kehidupan bersama masyarakat, daripada soal kepercayaan kepada soal sosial, politik dan ekonomi, serta penyertaan mereka di dalam seluruh aspek kehidupan.

Demokrasi mungkin taboo bagi sesetengah pihak. Ada yang mendakwanya sebagai agenda Barat, dan ia tidak selari dengan ajaran agama, atau nilai masyarakat setempat.

Ia mengingatkan kita kepada kenyataan Reinhold Neihbuhr dalam karyanya, The Children of Light and the Children of Darkness.

Beliau menukilkan bahawa “keinginan (manusia) kepada keadilan memungkinkan demokrasi terjadi tetapi kemahuan kepada kezaliman menjadikan demokrasi satu kewajaran”.

Atas nama demokrasi dengan makna sempit sokongan majoriti, kebebasan asasi yang menjadi aspek utama demokrasi, sering diinjak-injak pihak berkuasa.

Atas nama demokrasi juga, dengan makna sempit kebebasan individu, manusia mahukan kebebasan untuk menyinggung atau menghina pihak lain secara wewenang.

Maka, kerana itu tidak sulit untuk kita memahami betapa demokrasi mengambil pelbagai bentuk dan cara di pelbagai negara, meskipun ia diterima sebagai system utama di banyak negara.

Hakikatnya, demokrasi, meskipun sering dikaitkan dengan kenyataan filasuf dan pengalaman lampau sehingga ratusan dan ribuan tahun, ia hanya menjadi aliran utama di seluruh dunia sekitar satu abad yang lalu.

Malah, pilihanraya seperti yang diamalkan pada hari ini, hanya kian meluas digunapakai, juga dengan pendekatan berbeza dalam menentukan pemenang, pasca Perang Dunia Kedua.

Prinsip-prinsip demokrasi

Demokrasi menekankan bahawa kuasa yang dimiliki pemerintah hanya sah sekiranya diperakui warga namun, demokrasi tidak menetapkan perakuan ini mesti seratus peratus, tanpa sebarang bantahan.

Demokrasi hanya mensyaratkan cukup sekadar perakuan majoriti.

Maksud ini ditunjukkan melalui sistem pilihanraya sebagai cara praktikal bagi menentukan pihak yang mempunyai sokongan majoriti.

Disebabkan syarat sokongan majoriti terdedah kepada kelemahan sistem dan manipulasi pemerintah, demokrasi menetapkan landasan moral melalui jaminan kebebasan asasi yang tidak boleh diganggu-gugat.

Ini termasuk antaranya hak untuk hidup, kebebasan bersuara, bebas berpersatuan, kebebasan beragama dan hak memiliki harta yang sah.

Kebebasan asasi adalah perlambangan ciri persamaan dan kemuliaan insan yang perlu dihormati semua pihak.

Ia bukanlah hak yang diberikan pihak berkuasa, sebaliknya hak yang hadir bersama penciptaan manusia.

Frederic Bastiat, seorang penggubal dasar dan pemikir ekonomi-politik Perancis abad ke-18 pernah menyatakan bahawa “nyawa, kebebasan dan harta tidak wujud kerana manusia membuat undang-undang dan peraturan.

Sebaliknya, adalah fakta bahawa kehidupan, kebebasan dan harta wujud lebih awal sehingga memerlukan manusia membuat undang-undang berkaitannya”.

Defisit demokrasi

Kenyataan ini menjelaskan bahawa, meskipun demokrasi menentukan cara memilih pemimpin dan hak kebebasan asasi, tidak ada jaminan bahawa mereka yang diangkat menjadi pemimpin tidak cuba meningkatkan kuasa kawalan mereka dan meminimakan hak kebebasan asasi dengan pelbagai alasan.

Kenyataan seperti tahanan tanpa bicara atau tangkapan kerana dakwaan menghasut kadangkala akan dibuat dengan justifikasi sempit bahawa pihak berkuasa mahu melindungi kepentingan ramai atau pun sokongan majoriti kepada mereka adalah petunjuk bahawa perbuatan tersebut diperakui baik.

Justifikasi demikian juga, apabila dibiarkan, digunakan untuk pelbagai tindakan-tindakan lain termasuk meluluskan undang-undang yang membenarkan rampasan atau pengambilan tanah (baca: pemilikan sendiri) tanpa persetujuan atau pampasan yang setimpal.

Justeru, tidak hairanlah apabila kajian demi kajian menunjukkan orang ramai, khususnya anak muda, kian sinis dengan politik dan proses politik.

Ini boleh dilihat daripada penyertaan mereka dalam pilihan raya, parti-parti politik dan juga komen-komen di pelbagai media.

Namun, pada masa yang sama, ia juga menunjukkan bahawa anak muda sebenarnya terdedah dengan pelbagai maklumat politik dan negara, sudah tentu dengan dorongan perkembangan teknologi yang ada. Ini boleh dilihat juga melalui pergerakan bersifat politik di luar kerangka kepartian.

Usaha menyemai politik unggul, dengan fokus memartabat kemuliaan insan, memperakui setiap kita berpotensi mengemukakan pandangan dan tindakan yang dapat mengangkat kedudukan negara dan masyarakat ke satu tahap yang lebih baik, hanya akan lebih berpeluang berlaku sekiranya pelaku-pelaku politik insaf dan sedar bahawa negara ini milik kita bersama dan amanah yang diberikan bukanlah satu keistimewaan untuk menundukkan sesiapa, atau untuk mengumpul kekayaan peribadi.

Selamat menyambut Hari Demokrasi Antarabangsa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: lead

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon