Tuesday, September 29, 2015

Tolak Pampasan Setengah Juta Riyal Arab Saudi, Alasannya Sangat Mengagumkan!

Tolak Pampasan Setengah Juta Riyal Arab Saudi, Alasannya Sangat Mengagumkan!

Nabighah el-Jili Abshar, warga Sudan adalah satu-satunya (setakat ini) yang menolak pemberian ganti rugi oleh kerajaan Saudi sebanyak setengah juta riyal kepada mereka yang cedera akibat kren yang jatuh di Mekah.

Nabighah el-Jili Abshar

Malah beliau menolak untuk dimasukkan namanya ke dalam senarai mereka yang cedera. Beliau berharap kesan cedera di dahi beliau akan menjadi tanda rasa redha dan itulah yang akan di bawa mengadap Allah pada hari Mahsyar nanti.

Beliau cedera di dahi akibat serpihan yang jatuh ke atas dahi beliau hingga ianya terkoyak. Selepas 2 hari mendapat rawatan beliau di benarkan keluar.

Nabighah el-Jili Abshar [2]

Selain enggan menerima setengah juta riyal, beliau juga enggan di temuramah oleh mana-mana stesen televisyen.

BACA INI JUGA: 'Abang dan Anak-anak Syurga Saya..'

Sumber: Tawaurians

Jawapan Sentap Buat Saiful Nang Mengaibkan Tanah Haram

Jawapan Sentap Buat Saiful Nang Mengaibkan Tanah Haram

Kecoh di media sosial apabila seorang photographer terkenal negara, Saiful Nang, memuat naik status yang menyentuh isu maksiat di Tanah Haram.

Saiful Nang

Status Saiful Nang itu mendapat kecaman hebat dari orang ramai sehinggakan sampai ke hari ini masih ramai mengutuk tindakannya di laman Facebook rasmi beliau.

Berikutan status ini, seorang pengguna Facebook, Mohd Danial Madani tampil menjawab kembali apa yang ditulis oleh Saiful Nang.

Menurut Danial, beliau telah bertanya Saiful Nang secara peribadi tentang perkara ini melalui aplikasi Whatsapp dengan tujuan ingin mendapatkan penjelasan tujuan Saiful Nang memuat naik status tersebut.

Saiful Nang [2]
Status Saiful Nang yang dikecam oleh orang ramai.

Jawapan Penuh Dari Danial

MENJAWAB BALIK STATUS SAIFUL NANG - AIB TANAH HARAM

Saya telah berhubung dengan beliau di whatsapp sebelum melakukan status ini untuk meminta penjelasan terakhir sebelum saya menulis apa-apa tentang statement atas status beliau.

Saya akan fokus tentang tanah haram dan Negara Arab Saudi secara umumnya. Seperti mana tulisan beliau yang saya copy terus dari status beliau:

"Tahukah anda, terdapat banyak rumah pelacuran di Tanah Haram? (Sila berjalan di kampung-kampung di sekitar Tanah Haram anda akan dapat lihat sendiri secara tersembunyi?"

Saya yakin ramai orang Islam yang membaca tulisan ini samada yang pernah datang ke tanah haram Mekah atau belum akan rasa terkilan kerana dengan berani beliau menyebut perkara seperti ini didepan orang awam dan dibaca oleh ratusan ribu orang. Persoalan awalnya untuk tujuan apa didedahkan kepada orang awam?

Saya telah bertanya beliau apa motif status ini?

Jawab beliau:

"Supaya manusia sedar Islam sudah masa untuk dibangkitkan bukan terus menerus dalam kebatilan yang nyata dihadapan mata"

Persoalanya apakah dengan cara menulis status itu adalah cara yang betul dan paling baik serta menjadi jalan untuk membangkitkan Islam?

Apakah semua perkara yang kita tahu kita perlu beritahu? Dan apakah medan FB adalah tempat yang sesuai untuk menceritakan segala-galanya lebih-lebih lagi berkaitan keaiban tanah haram yang mulia?

Saya tanya lagi, apakah nama kampung yang banyak tempat pelacuran tu?

Jawab beliau:

"Tahan pemandu teksi badwi.. tanyakan sahaja tempat pelacuran disekitar perkampungan (saya tidak tulis nama kampung) dan sebuah lagi kampung jika nak ke arafah akan melaluinya. Saya pernah dengar perkara itu dan saya tanyakan orang biasa disana dan ramai mereka juga yang tahu"

Jika kita diteliti tulisan beliau seakan-akan beliau pernah pergi sendiri dan melihat, walhal beliau hanya tanya orang biasa disana (mekah) dan minta saya tanya pemandu teksi badwi.

Ini jelas menunjukkan beliau tidak pernah pergi dan nampak sendiri, atau jika pernah pergi sekalipun atas tujuan apa? Dan bagaimana tergamak boleh sampai ke sana dan ambil tahu keburukan-keburan tanah haram?

Sepanjang saya bermuamalat dengan jemaah umrah dan haji tiada yang ringan mulut mereka mahu bercerita perkara-perkara buruk apatah lagi mahu mencari-cari keburukan dan menceritakan bila sampai ke tanah air. Na'uzubillah.

Daripada Hafs bin 'Asim radiallahu 'anhu, berkata Rasulullah SAW, "Cukuplah seseorang itu dianggap seorang penipu jika dia menceritkan apa sahaja yang dia dengar. (HR Muslim)

Jika ia benar sekalipun, ia tidak wajar disebarkan kerana akan menimbulkan fitnah yang besar dan mengelirukan perasaan orang awam tentang kebaikan tanah haram.

"Fitnah itu sifatnya seperti sesuatu yang tidur, dan laknat Allah atas mereka yang mengejutkannya"

Kami sebagai pelajar yang duduk tanah haram pun tidak sanggup nak tahu, dan nak dengar apatah lagi menceritakan kepada orang awam kerana tiada keperluan bahkan mewujudkan perasaan benci dan sangka buruk kepada tanah suci haram.

Kami tahu ada kelemahan-kelemahan atau kekurangan yang berlaku di tanah haram atau Arab Saudi yang kami nampak didepan mata sendiri, tapi kami anggap itu ialah dosa atau keburukan yang tidak dapat dielak seperti sikap orang arab yang kasar dan lain-lain, tidak pula kami mahu tangkap gambar-gambar buruk atau menyibukkan dengan bercerita tentangnya.

Ini tugas kita untuk menjaga aib ini dari orang Islam sendiri atau musuh-musuh Islam.

Saya tanya beliau kenapa ambil khabar hanya dari bertanya sahaja? JIKA benar apakah wajar untuk memburukkan nama bumi haramaian di status FB? Kenapa tidak bertindak memberi teguran terus kepada pihak berkuasa?

Jawab beliau:

"Saya berani cakap kerana saya takut memfitnah tanah haram jika itu tidak benar. "All the best kami ada cara kami untuk kembalikan Islam pada Islam, tuan buat cara tuan, jika tujuannya sama kita akan berselisih lagi nanti"

Apakah jika tidak berani memfitnah tanah haram menjadi harus dan perlu untuk mengaibkan tanah haram? Mengaibkan tanah haram itu kenapa boleh jadi berani?

Kenapa tidak diadukan kepada pihak berkuasa, samada polis sendiri, badan-badan dakwah seperti badan amar makruf nahi mungkar, maktab-maktab yang berkaitan dan banyak lagi jalan untuk berkongsi maklumat dengan tujuan mencegah kemungkaran. Bukankah itu lebih baik?

Menutup aib dan menegur secara senyap. Jika tidak lebih baik DIAM dan cegah dalam hati bukan beritahu semua orang!

Dan bukankah lebih MENDAMAIKAN dari menyibukkan lidah menceritakan keburukan. Saya tidak dapat pastikan tentang "banyaknya" rumah pelacuran seperti yang beliau dakwa, dan saya tak nak tahu perkara-perkara buruk seperti itu. Jika ada wajib untuk simpan dan berdosa memberitahu tanpa tujuan yang jelas.

Buat pengetahuan pembaca, kerajaan Arab Saudi telah melakukan yang terbaik dalam urusan dakwah, banyak buku-buku agama disebarkan secara percuma dan poster-poster dakwah ditampal serta pamplet-pamplet diedarkan secara percuma untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Situasi seperti ini dirasai oleh kami sendiri yang hidup disini. Selain itu ada kereta yang meronda dikawasan pekan untuk mengajak masyarakat solat dan segera tutup kedai untuk menunaikan solat.

Saya tidak pernah rasa situasi seperti ini di Malaysia malah beberapa negara yang saya pernah singgah, iaitu waktu solat dihormati sepenuhnya dan masjid dipenuhi untuk menunaikan solat dan kedai-kedai ditutup kesemunya. Subhanallah.

Apakah ini bukan sesuatu yang baik dan wajar ditiru dan diikuti dan dijadikan tauladan yang baik buat semua umat Islam?

Apakah sehingga sekarang kita masih tidak sedar bahawa SYIAH LAKNATULLAH selalu memburuk-burukkan nama ARAB SAUDI bagi kepentingan nafsu dan agenda mereka?

Apakah kita masih jahil bahawa IRAN sentiasa mengambil peluang untuk memburuk-burukkan negara Ahlus Sunnah seperti Arab Saudi?

Bacalah kenyataan-kenyataan fasad dan batil mereka seperti yang dalam akhbar. MEREKALAH sebenarnya yang menjadi orang tengah yang memecah belahkan kaum muslimin sunni.

Mereka mencari apa sahaja jalan untuk memburukkan Arab Saudi terutamanya Mekah dan Madinah agar kaum muslimin timbul rasa benci, sangka buruk dan bertelagah sesama sendiri.

Hayatilah surah al-Hujurat ayat 6 yang mana Allah mengarahkan kita memeriksa (tabayyun) apa sahaja berita yang datang dari orang fasiq agar kita tidak menyesal kerana menyebarkannya.

PERSOALAN TERAKHIR:

1. Kenapa beliau menulis status diwaktu ini yang mana dunia sedang mencari-cari keburukan Kerajaan Arab Saudi dalam isu haji, ini akan menyebabkan kemarahan orang lain yang susah memahami isu dengan baik dan menyebabkan ramai orang salah faham. Apakah beliau menyimpan sesuatu dendam?

2. Apakah tanah haram itu sifatnya mensucikan? Apakah semua yang duduk ditanah haram mesti kena suci dari dosa? Apakah langsung tiada pelaku maksiat di zaman Nabi SAW, bahkan ramai melakukan syirik menyembah berhala di kota Mekah ketika Nabi saw masih hidup? Apakah tugas dan yang dilakukan Nabi SAW ketika itu?

Tidakkah beliau tahu dizaman Nabi SAW ada seorang lelaki yang kuat minum arak dan telah dihukum tetapi Nabi SAW tetap melarang para sahabat melaknatnya kerana kata Nabi SAW telah bersabda, "Janganlah kalian melaknati beliau, demi Allah aku mengetahui bahawa beliau mencintai Allah dan Rasul" (HR Bukhari)

3. Apakah Kerajaan Arab Saudi perlu jadi sempurna sentiasa dimata beliau tanpa sedikit pun kekurangan dan kelemahan yang pasti akan berlaku? Apakah tugas orang Islam bila mengetahui kekurangan seseorang? Apakah mengaibkan? Menambah rosak? Menjatuhkan?

Berkata Ibn Mubarak, "Dulu, seseorang apabila melihat pada saudaranya terdapat hal yang dibenci diapun memerintahkannya atau melarangnya dengan sembunyi, sehingga dia diberi pahala atas teguran secara sembunyi dan larangannya (dari sesuatu yang tidak disenangi). Adapun hari ini, apabila seseorang melihat apa yang dia benci, dia membuat saudaranya marah dan dia sebarkan aibnya (saudaranya)."

Persoalan saya apakah dengan status itu akan menambah baik? Atau menambah kebencian sesama muslim?

4. Apakah wujud negara yang maksum atau sunyi dari segala maksiat, dosa, dan jenayah? Apakah Mekah dan Madinah telah dijamin maksum oleh Allah dan Rasul bahawa penduduknya akan bersih dari dosa!

5. Apakah beliau dikatakan tidak bertanggungjawab jika andaikata beliau ada pekerja-pekerja yang berdosa dan melakukan jenayah walhal beliau telah melakukan terbaik untuk menjaga pekerja-pekerja beliau. Situasi yang sama, maka apakah Kerajaan Arab Saudi tidak melalukan apa-apa tindakan, arahan dan gerak kerja bagi membasmi jenayah di Arab Saudi khususnya di Mekah dan Madinah jika wujud juga rakyatnya yang melakukan jenayah?

6. Tulisan beliau di status:
"Tanah itu dahulu pernah kotor dan pernah disucikan oleh Nabi Muhammad SAW. Dan ia boleh sahaja kotor kembali pada hari ini. Suci bermakna tiada setitikpun kekotoran. Bagaimana air susu segelas dikatakan suci walaupun hanya sebutir tahi cicak jatuh ke dalamnya. Kita sendiri tidak sanggup minumnya walaupun nisbah tahi cicak dan susu itu hanya kurang dari 0.5% sahaja"

Ini adalah qiyas (anologi) yang fasid, bagaimana air susu boleh diqiyaskan dengan sesebuah negara?

Apakah Tanah suci itu bermakna tiada kekotoran maksiat dalamnya? Jadi jika begitu cara fikirnya iaitu tidak sanggup minum susu yang jatuh tahi cicak, maka apakah beliau tidak sanggup juga ke tanah haram atas sebab rumah pelacur dan keburukan-keburukan lain?

7. Beliau menyatakan dengan jelas, terdapat BANYAK rumah pelacuran ditanah haram. Dimanakah bukti banyak tersebut?

Kesimpulan saya untuk isu ini, saya tidak menafikan kebaikan beliau dan ada kritikan-kritikan dalam status beliau sebelum ini yang baik dan boleh difikirkan oleh rakyat Malaysia tetapi TIDAK untuk status ini.

Bahkan kami pernah berhubung sebelum ini untuk saya kongsi maklumat berkaitan Universiti Islam Madinah kepada beliau TETAPI untuk isu ini saya anggap beliau tersasar jauh dan seperti yang saya sebutkan "BUKAN SEMUA PERKARA KITA KENA TAHU DAN BUKAN SEMUA PERKARA YANG KITA TAHU KITA KENA BERITAHU" - Jangan cuma jadi ahli untuk semua perkara! Contohilah akhlak lidah Imam Malik yang tidak malu untuk menjawab, "Ana La Adri " saya tidak tahu walhal beliau adalah Imam Darul Hijrah!

Rasulullah SAW bersabda, "Antara kebaikan Islam seseorang itu ialah ia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat buatnya" (HR Termizi)

"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata baik atau DIAM" (HR Bukhari dan Muslim)

Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan mukmin yang jauh dari hasad, dendam dan sukakan kebencian sesama muslim.

Moga Allah pimpin terus hati kita untuk jadi 'agent' ISLAH dan sentiasa memberi nasihat demi Maslahat kepentingan kesatuan Umat Islam dengan cara yang betul.

Saya bersedia berjumpa beliau untuk menyambung silaturrahim kerana kita masih ada banyak kerja untuk Islam dan Umat Islam kearah mengajak manusia kepada tauhid, akhlak dan Ilmu yang sahih.

Wallahu'alama bissawab

"Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia" ( Ali-Imran: 96)

Mohd Danial Madani,
Sabtu 26 September,
Jeddah KSA

BACA INI JUGA: 10 Salah Faham Terbesar Mengenai Islam

Azwan Ali Maki Peminat Lagi Gara-Gara Salah Faham

Azwan Ali Maki Peminat Lagi Gara-Gara Salah Faham

Dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara, Azwan yang dikhabarkan sudah lapan kali mengerjakan ibadah umrah, sekali lagi memaki pengikutnya gara-gara tidak memahami pertanyaan yang diajukan.

Azwan Ali Maki Peminat Lagi

Azwan Ali dikatakan memuat naik gambar di laman Instagramnya yang mempromosi rendang yang dibuat olehnya untuk dijual.

Menerusi ruangan komen di laman Instagramnya, pengikutnya yang dikenali sebagai ‘sitijuha’ bertanyakan soalan, adakah Azwan ada membuat khidmat penghantaran untuk rendang jualannya ke Johor Bahru, yang membawa maksud di Johor Bahru tidak ada penghantaran ke.

Biasalah kita guna singkatan JB untuk Johor Bahru namun Azwan atau Diva AA terus melenting mengandaikan peminat itu memperlekehkannya dengan mengatakan, ‘Job takde ke?’

Azwan Ali Maki Peminat Lagi [2]

Namun kerana dek salah faham selebriti berkenaan tanpa sebarang usul periksa, Azwan menggeluarkan kata-kata kesat kepada peminat di Instagram beliau.

Kerana terlalu ikutkan perasaan, peminat yang tidak bersalah menjadi mangsa makian yang tidak berakal.

Kesian..

BACA INI JUGA: Inilah Punca Sebenar Kenapa Azwan Ali Kerap Cari Pasal

Monday, September 28, 2015

Anakku, Lampu Ini Milik Kerajaan..

Anakku, Lampu Ini Milik Kerajaan..

Seorang lelaki sedang tekun dimeja kerjanya. Dia bukan lelaki sembarangan. Dia merupakan seorang pemerintah sebuah kerajaan yang disegani.

Lampu+Pelita
Gambar hiasan.

Walaupun jam sudah menginjak larut malam, lelaki itu masih duduk disitu. Dia masih bekerja, merancang dan memikirkan masalah rakyatnya. Tugasnya bukan ringan, tanggungjawabnya berat.

Sambil ditemani lampu meja, tangannya asyik mencoret diatas satu persatu lembaran kertas.

Ketika sedang khusyuk itu, pintu biliknya diketuk. Kedengaran suara puteranya meminta izin untuk masuk kedalam bilik tu.

"Untuk urusan apa kamu datang kesini? Urusan kerajaan atau keluarga?" tanya lelaki itu.

"Urusan keluarga.." jawab anak tersebut dengan penuh kesopanan.

Tiba-tiba lelaki itu memadamkan lampu diatas mejanya. Serta-merta suasana dalam bilik tersebut menjadi gelap.

Terkejut dengan perbuatan ayahnya, si anak lantas bertanya, "Kenapa ayah padamkan lampu?"

"Anakku, lampu yang sedang ayah pakai ini dibeli dengan wang rakyat.

"Begitu juga dengan minyak yang digunakan untuk lampu ini terus menyala, juga dibeli dengan wang rakyat.

"Tidak sesuai untuk ayah gunakan selain untuk kepentingan rakyat sahaja.

Namun, jika perkara yang ingin kita bincangkan ini adalah urusan keluarga, tunggu sebentar..." jawab lelaki itu sebelum memanggil pembantunya.

Khalifah Umar Bin Abdul Aziz

Dia menyuruh pembantunya mengambil lampu dari ruang lain dan menyalakannya dibilik tersebut.

"Nah, sekarang lampu yang kita nyalakan ini adalah milik keluarga kita. Minyaknya pun dibeli dengan wang kita sendiri.

"Silakan anakku, berbicaralah tentang perihal keluarga yang ingin kau nyatakan tadi." kata lelaki tersebut.

Sebenarnya, lelaki ini amat dikenali peribadinya sebagai seorang pemerintah yang taat dan jujur.

Dia tidak mahu menggunakan wang negara untuk kepentingan keluarganya.

Siapa lelaki itu?

Dia ialah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, pemerintah keenam Bani Umaiyyah sekitar tahun 99 hijrah.

BACA INI JUGA: Pemimpin Terbaik Yang Disebut Dalam Hadis Nabi

-SENTIASAPANAS.COM

Kumbh Mela, Ritual Penyucian Dosa Penganut Hindu

Kumbh Mela, Ritual Penyucian Dosa Penganut Hindu

Minggu ketiga bulan September, merupakan hari yang paling istimewa dalam kalendar penganut agama Hindu di India.

Kumbh Mela

Ini kerana, pada minggu tersebut, jutaan penganut beragama Hindu akan turun beramai-ramai ke sungai untuk mandi, sebagai ritual penyucian dosa.

Uniknya, perayaan yang berbentuk kerohanian dikenali sebagai Kumbh Mela ini tidak diadakan saban tahun, sebaliknya ia selalunya dianjurkan tiga tahun sekali.

Kumbh Mela merupakan satu perayaan terbesar bagi masyarakat India yang mana semua penganut Hindu, terutamanya golongan lelaki akan berhimpun dan berendam bersama di dalam air, selain tidur dan makan beramai-ramai di lokasi sama selama dua hari berturut-turut.

Menurut seorang lelaki yang dikenali sebagai Agamaya, Kumbh Mela membawa maksud festival periuk kera yang merupakan salah satu mitos bagi penganut agama Hindu dan lazimnya dilakukan di empat batang sungai berbeza di negara tersebut.

Sungai tersebut ialah Ganga di Haridwar; Saraswati (Allahabad), Godawari (Nashik) dan Shipra (Ujjain).

Kumbh berasal daripada perkataan Sanskrit bermaksud periuk kera. Dalam bahasa Hindi pula, Kumbh merupakan tanda zodiak dalam Astrologi India yang merupakan simbol Aquarius.

Mela pula membawa maksud suatu perhimpunan atau perjumpaan yang adil.

Walaupun Kumbh merupakan simbol periuk kera, ia bagaimanapun sinonim dengan aktiviti suci seperti yang dilakukan dalam kehidupan harian masyarakat Hindu.

"Sebenarnya festival ini dilakukan bersempena dengan pertempuran epik yang melibatkan dewa dan syaitan.

Perebutan madu

Kumbh Mela [2]

"Berdasarkan mitos dalam masyarakat Hindu, kedua-dua mereka dikatakan bertempur dan bertarung nyawa untuk berebut madu. Bagi mereka, madu merupakan simbol kekuatan dan kehidupan abadi.

"Bagaimanapun dalam pertempuran tersebut, kemenangan berpihak kepada para dewa. Ketika dalam perjalanan pulang, titisan madu yang dibawa menggunakan periuk kera tertumpah di empat batang sungai itu," jelasnya.

Ujar Agamaya, peristiwa tersebut merupakan permulaan bagi festival Kumbh Mela dan disebabkan kejadian itu juga, ia dijalankan di empat batang sungai tersebut kerana aliran air sungai yang mengandungi titisan madu itu dianggap sebagai air suci yang mampu menghapus dosa.

Kebanyakan daripada individu yang menyambut festival tersebut merupakan sadhu, iaitu golongan lelaki Hindu yang alim.

Bagaimanapun, sewaktu melakukan ritual tersebut, mereka terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga buat sementara waktu.

Pengambilan ganja

Kumbh Mela [3]

Di India, jumlah sadhu dianggarkan kira-kira lima juta orang.

"Sadhu merupakan peringkat keempat dan terakhir kehidupan sebelum melalui proses kematian, dan juga kelahiran semula bagi masyarakat Hindu.

"Mereka akan berusaha untuk mencapai ketenangan hidup melalui proses meditasi dan renungan.

"Golongan ini biasanya terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang menyembah Dewa Shiva dan Vishnu," jelasnya.

Ketika menjalani festival tersebut, sadhu akan mengecat sebahagian daripada badan mereka dengan kapur atau abu yang bermaksud kematian.

Bukan itu sahaja, mereka juga akan memakai rambut palsu panjang sebagai tanda penghormatan kepada Tuhan.

Bagi kebanyakan sadhu, merokok dan pengambilan ganja adalah sebahagian daripada amalan agama mereka.

Kesemua mereka percaya bahawa pengambilan kedua-dua barangan tersebut mampu membawa mereka lebih dekat kepada Tuhan.

Ia juga merupakan konvensyen utama bagi sadhu yang mana kebanyakan daripada mereka akan mendirikan kem, bermeditasi, melakukan yoga dan mengambil bahagian dalam pertapaan ritual.

Kumbh merupakan pertembungan semula budaya di India meliputi aspek ilmu pengetahuan dan juga kerohanian.

"Kumbh menjadikan individu sedar akan kepentingan alam semula jadi dan planet Bumi melalui nyanyian dan mantera yang dibaca sepanjang perayaan tersebut dijalankan.

"Ia juga merupakan simbol pertemuan antara alam dan manusia. Pada zaman dahulu, perayaan Kumbh disertai segelintir manusia sahaja. Bilangan sadhu yang menyertai Kumbh Mela ini bagaimanapun menunjukkan peningkatan berlipat kali ganda setiap tahun," ujarnya.

Katanya lagi, faktor penyertaan tersebut didorong oleh pembangunan kemudahan infrastruktur yang baik seperti kem kediaman sementara, tempat letak kereta, klinik kesihatan dan bekalan elektrik disediakan pihak berkuasa.

Penglibatan berjuta-juta sadhu sepanjang perayaan tersebut, menyebabkan penganut Hindu lain di seluruh pelosok dunia turut sama menyertai festival tersebut.

Biarpun ramai antara mereka mahu merasai sendiri kemeriahan perayaan tersebut, namun, kebanyakan mereka juga tidak mahu melepaskan peluang untuk memperoleh kebaikan bagi kehidupan semula kelak.

BACA INI JUGA: Rahsia Besar 1hb Mei Dan Kaitannya Dengan Yahudi

Sumber: Kosmo

10 Tips Mudah Jimatkan Minyak Kenderaan Yang Ramai Tak Tahu!

10 Tips Mudah Jimatkan Minyak Kenderaan Yang Ramai Tak Tahu!

Sejimat mana pun kita, pasti tak lari dalam seminggu kita akan berkunjung ke stesen minyak. Walau bagaimanapun, sebenarnya ada caranya untuk menjimatkan penggunaan minyak kenderaan anda.

Jimat minyak

Nak tahu apa dia? Jom kita teliti senarai ini!

1) Elakkan memperlahankan kenderaan secara mengejut

Jangan berhenti secara tiba-tiba kerana tenaga yang digunakan untuk memberhentikan kereta secara drastik lebih banyak berbanding berhentikan kereta secara perlahan.

Perlahankan kenderaan dengan melepaskan minyak perlahan-lahan sebelum menekan brek.

2) Jangan memecut dengan kadar yang terlalu perlahan

Kajian menunjukkan penggunaan minyak lebih tinggi apabila mencapai kelajuan 50 batu/jam dalam masa 30 saat berbanding 15 saat.

Mungkin ada antara kita berfikir menggunakan gear rendah akan menjimatkan minyak, ianya betul tetapi apabila ia mencapai had kelajuan pada gear tersebut, penggunaan minyak akan bertambah.

3) Tutup tingkap dan gunakan penghawa dingin

Bila tingkap dibuka, kereta anda akan jadi kurang aerodinamik dan akan membantutkan sedikit pecutan kereta.

Kajian juga menunjukkan penggunaan penghawa dingin ketika memandu laju menggunakan lebih sedikit minyak berbanding ketika memandu perlahan.

4) Jangan gunakan gear Neutral ketika turun bukit

Mungkin anda akan tertanya-tanya kenapa tak boleh guna gear Neutral? Bukankah gear Neutral lebih menjimatkan minyak?

Sebenarnya anda sedikit silap. Kerana kebanyakan kereta terkini dilengkapi dengan Deceleration Fuel Cut-off yang dikawal oleh komputer.

Apabila anda turun bukit tanpa meneutralkan gear dan anda tidak memijak pedal minyak, alat yang ‘menyuntik’ minyak tersebut ke dalam enjin akan tertutup sendiri, tetapi tayar masih lagi berjalan dan tiada penggunaan minyak semasa keadaan tersebut.

Lagipun, adalah amat berbahaya meneutralkan gear semasa menuruni bukit.

5) Penggunaan gear yang sesuai

Pilih gear yang sesuai dengan kelajuan. Menggunakan gear rendah untuk kelajuan tinggi menyebabkan pembaziran petrol kerana tekanan terhadap enjin menjadi terlalu tinggi.

Gunakan mod `ekonomi’ jika kereta anda memilikinya.Pemanduan dengan kadar yang laju pada gear rendah boleh meningkatkan penggunaan minyak sehingga 45 peratus dari yang sepatutnya.

Penggunaan kenderaan bertransmisi manual, membolehkan anda menjimatkan minyak.

6) Tayar diisi dengan tekanan angin yang betul

Tekanan angin mesti betul. Tekanan angin yang tidak mengikut spesifikasi mengakibatkan penggunaan minyak bertambah 5 peratus.

Carta berat dan tekanan angin biasanya terpapar di tempat mengisi angin di mana-mana stesen minyak.

Jangan biarkan tayar kurang tekanan angin kerana ia menyebabkan kereta dipandu lebih berat dan ini tidak menjimatkan minyak.

Tekanan tayar yang kurang menyebabkan menyebabkan penambahan penggunaan minyak sehingga 35 peratus.

Periksa dan tetapkan tekanan tayar mengikut spesifikasi kenderaan anda sekurang-kurangnya sebulan sekali.

7) Memandu dengan kelajuan yang sesuai

Sikap dan cara pemanduan kerana banyak mempengaruhi penggunaan petrol kereta. Jangan gopoh dan membuat sesuatu secara mengejut.

Misalnya ketika menuju ke plaza tol atau membelok di selekoh tajam, jangan sesekali menukar gear (misalnya gear 5) terus kepada gear rendah dan brek secara mendadak.

8) Kurangkan berat/bebanan kereta

Anda juga perlu mengetahui apabila membawa bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan minyak melebihi tahap biasa.

Jadi, jangan bawa barang yang tidak perlu (kereta anda bukan stor).

Perhatikan dalam but kereta anda, mungkin ada banyak barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari.

Penambahan berat sebanyak 50 kilogram meningkatkan penggunaan minyak sebanyak 2 peratus.

9) Kurangkan kelajuan

Lebih perlahan anda memandu, lebih jimat minyak digunakan (dan tidak disaman). Memandu melebihi 90 kilometer sejam (km/j) meningkatkan penggunaan minyak.

Secara perbandingan, pada kelajuan 100 km/j, penggunaan minyak bertambah 10 peratus, 105 km/j (15 peratus) dan 110 km/j (25 peratus).

10) Matikan enjin kereta ketika menunggu

Jika kereta tidak bergerak, matikan enjin jika sekadar menunggu seseorang. Menunggu suami, isteri atau kawan yang singgah di kedai runcit untuk membeli barangan kadang kala boleh menjadi terlalu lama.

Ini mungkin kerana terdapat ramai pelanggan di kedai tersebut. Jadi, buka tingkap kereta dan matikan sahaja enjin untuk menjimatkan minyak kereta anda.

BACA INI JUGA: 24 Tips Asas Servis Kereta WAJIB Tahu!

Sumber: The vocket

Sunday, September 27, 2015

Misteri Surat Penyelamat Seksaan 25 Tahun

Misteri Surat Penyelamat Seksaan 25 Tahun

Pada 23 Mei 1901, pejabat guaman di Paris telah menerima sepucuk surat yang tidak tercatat nama pengirim.

Blanche Monnier [2]

Isi kandungan surat itu berbunyi, "Tuan peguam: Dengan penuh rasa hormat, saya ingin memaklumkan tentang kejadian yang tidak diketahui sesiapa. Mengenai seorang wanita yang dikurung di dalam rumah Madame Monnier. Dia separuh kebuluran, hidupnya di dalam bilik bawah tanah yang kotor semenjak 25 tahun yang lalu.."

Surat yang diterima itu memeranjatkan pihak berkuasa Paris. Masakan tidak, rumah yang dikatakan lokasi wanita dikurung adalah milik Monnier, keluarga bangsawan yang terkenal dengan sifat pemurah mereka.

Mana mungkin keluarga itu menyeksa, apatah lagi mengurung orang di dalam rumah tersebut.

Penduduk tempatan tahu, Madam Louise tinggal dirumah agamnya yang tersergam itu bersama anak lelakinya, Marcel Monnier, seorang lulusan sekolah guaman.

Keluarga mereka begitu dihormati sehinggakan salah sebuah bandar di Paris dinamakan sempena nama keluarga mereka.

Penduduk tempatan juga tahu, kisah anak gadis keluarga itu yang digambarkan sebagai gadis yang cantik dan periang, namun hilang secara misteri lebih kurang 25 tahun yang lalu.

Walaupun sukar percaya dakwaan surat layang tersebut, pihak polis tetap melakukan siasatan.

Mereka datang ke rumah agam Monnier sebelum memecah masuk ke sebuah bilik yang didakwa menjadi tempat kurungan seorang wanita selama 25 tahun.

Melangkah masuk ke dalam bilik tersebut, mereka terhidu bau busuk. Dalam bilik yang gelap tanpa sebarang pencahayaan, pasukan penyelamat melihat kelibat seorang wanita tanpa pakaian yang duduk diatas tilam jerami yang hampir reput.

Wanita itu tampak ketakutan. Badannya kurus kering, persekitarannya dipenuhi najis dan sisa-sisa makanan.

Udara didalam bilik sempit itu sangat busuk sehingga menyukarkan pasukan penyelamat untuk bernafas. Mereka segera mengangkat wanita malang itu keluar dari bilik kurungannya.

Wanita itu dibawa ke hospital. Doktor yang merawatnya meramalkan wanita itu tidak akan hidup lama. Sewaktu ditemui, wanita itu hanya seberat 55 paun.

Setelah disiasat, rupa-rupanya wanita itu ialah Blanche Monnier, anak gadis keluarga itu yang dikatakan telah hilang sejak sekian lama. Ibu dan abang kandungnya segera ditahan sebagai suspek utama.

Cinta terhalang

Sewaktu siasatan dijalankan, satu persatu rahsia yang selama ini ditutup mula terungkai. Semuanya bermula sekitar 25 tahun sebelum Blanche ditemui dikurung.

Ketika itu, Blanche telah jatuh cinta dengan seorang peguam miskin. Terdapat juga dakwaan mengatakan Blanche mempunyai seorang anak hasil hubungannya dengan peguam tersebut.

Madame Monnier - Letter

Surat misteri yang telah menyelamatkan Blanche Monnier.

Ibunya, Madam Louise menentang hubungan mereka. Pelbagai cara dilakukan untuk menghalang anaknya daripada meneruskan hubungan dengan lelaki tersebut.

Pertengkaran sering berlaku dalam keluarga itu, namun kedua-dua pihak tidak mahu mengalah. Akhirnya, Madam Louise dan anak lelakinya Marcel, merancang pelan untuk menghentikan hubungan cinta Blanche.

Pada mulanya, Blanche hanya dikurung didalam sebuah bilik dan hanya akan dilepaskan jika dia setuju untuk memutuskan hubungan dengan lelaki tersebut.

Madam Louise yakin anak gadisnya pasti mengalah dan menurut permintaannya. Ternyata dia silap, Blanche nekad dengan keputusannya.

Masa berlalu, hari berganti hari, Blanche kini bukan lagi seorang anak gadis seperti dahulu. Kekasih yang menyebabkan dia dikurung sudah meninggal dunia pada tahun 1885.

Sepanjang waktu itu, Blanche dikurung dalam bilik yang sempit dan kotor tanpa sedikit pun cahaya dapat menembusi bilik bawah tanah yang menjadi 'istananya' itu.

Peneman setia Blanche hanyalah tikus dan serangga yang memakan sisa-sisa makanan yang bersepah didalam kurungan itu.

Tempoh 25 tahun bukanlah jangka waktu yang pendek. Tidak hairanlah apabila Blanche akhirnya dibebaskan, dia seperti kurang siuman. Mungkin kesan seksaan mental dan fizikal yang ditanggung bertahun-tahun lamanya.

Abang Blanche, Marcel dalam kenyataan pembelaannya mendakwa Blanche mengalami masalah mental, sentiasa dalam keadaan marah dan berpotensi mencederakan diri sendiri.

Namun, ia disangkal beberapa orang saksi yang mendakwa sering terdengar suara orang merayu minta dibebaskan dari bilik bawah tanah tersebut.

Penduduk tempatan yang mengetahui kisah tersebut begitu marah dengan perbuatan abang dan ibu Blanche. Mereka menunggu diluar balai polis dengan menjerit kata-kata makian apabila melihat kedua-dua mereka.

Ibu Blanche bagaimanapun hanya ditempatkan dibilik sakit dalam penjara kerana menderita sakit jantung.

Lima belas hari kemudian, dia meninggal dunia. Dia dikatakan hanya mengucapkan 'Oh anakku Blanche' berulang-ulang kali kepada doktor yang merawatnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Marcel pula dibicarakan seorang diri kerana menjadi rakan subahat kepada ibunya. Perbicaraan dijalankan pada 7 Oktober 1901.

Empat hari kemudian, Marcel didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan kerana bersubahat. Hukuman itu dibantah ramai pihak yang menganggap ia terlalu ringan.

Marcel kemudiannya mengemukakan rayuan kepada mahkamah atas alasan, dia tidak pernah mendera adiknya secara fizikal dan hanya menurut perintah ibunya.

Rayuannya diterima dan akhirnya dia dibebaskan dari penjara.

Pengirim misteri

Blanche Monnier

Tanda tanya siapa yang mengirim surat itu sehingga membawa kepada penemuan Blanche masih belum terungkai. Terdapat dua teori mengenai identiti pengirim tersebut.

Ada pendapat yang mengatakan, Marcel sendiri yang mengirim surat tersebut kerana dia bimbang dengan usia ibunya yang semakin lanjut dan tidak mahu dipersalahkan atas apa yang berlaku.

Ada juga yang berpendapat mengatakan surat itu dikirim oleh seorang askar yang pernah bekerja dengan keluarga Monnier. Dia mengirimkannya kerana kasihan dengan nasib yang menimpa Blanche.

Namun, sehingga ke hari ini, identiti penyelamat Blanche masih kekal misteri.

Walaupun dikatakan bernasib baik kerana akhirnya dapat keluar dari bilik seksaan tersebut, Blanche tidak pulih sepenuhnya.

Dia hanya berjaya menambah berat badannya, namun kekal kurang siuman sehinggalah dia meninggal dunia pada tahun 1913 di Hospital Psikiatri Blois, 12 tahun selepas diselamatkan.

Kisah wanita malang ini terus meniti dibibir penduduk tempatan sehingga ke hari ini.

Kerana cinta terhalang, Blanche menjadi mangsa kekejaman keluarga sendiri.

BACA INI JUGA: Misteri Rayuan Roh Pulau Poveglia

-SENTIASAPANAS.COM