Saturday, April 22, 2017

9 Tips Beli Rumah Lelong, Peguam Ini Kongsi Panduan Terbaik

9 Tips Beli Rumah Lelong, Peguam Ini Kongsi Panduan Terbaik

Ramai yang dah tahu tentang pasaran rumah lelong. Dengar macam best je, sebab listing rumah lelong memang banyak yang murah. Tapi bagi yang baru berjinak-jinak tu, jangan pulak korang main terjah dan terus beli.

Rumah Lelong
Gambar hiasan.

Hakikatnya bila nak beli rumah lelong, wajib ada ilmu dulu.

Duit deposit memang tak boleh elak nak bayar. Dan bukan ini saja yang korang kena tanggung. Ada banyak lagi.

Bagi korang yang baru nak mula, jemput hadamkan perkongsian power Tuan Ahmad Termizi bin Abdullah ini. Confirm banyak ilmu lelong yang korang dapat lepas habis baca.

Tip #1: Berapa nilai semasa rumah lelong yang anda nak beli tu?

Sila buat perbandingan harga rumah yang nak dibeli dengan melihat akhbar atau laman web hartanah, supaya korang tahu harga pasaran semasa rumah yang nak dibeli.

Setelah benar-benar yakin yang harga rumah tu memang jauh lebih rendah daripada harga pasaran (serta lokasi sesuai dan ada kemungkinan tinggi yang harga pasaran akan melonjak pada masa hadapan), baru masukkan rumah tu dalam senarai pendek (shortlist) korang.

Korang jugak boleh ambil kira faktor harga pasaran sewa dan jumlah pembayaran bulanan anda pada institusi kewangan rumah tu, sekiranya tujuan pembelian rumah lelong untuk tujuan pelaburan.

Tip #2: Betul ke anda layak beli rumah tu?

Pastikan dulu sama ada korang layak membeli hartanah tersebut atau tak.

Ini kerana dalam beberapa kes, hanya orang Melayu dan status bumiputera sahaja yang layak membeli hartanah yang mempunyai sekatan kepentingan (selalunya dalam kes tanah pajakan).

Pastikan juga, sekiranya hartanah tersebut adalah rumah kos rendah, korang layak untuk membeli rumah tersebut.

Sebagai contoh, sila buat kepastian dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor kalau beli rumah lelong di kawasan Selangor, dan dengan pihak DBKL kalau rumah lelong tu di Kuala Lumpur.

Tip #3: Pergi sendiri dan melihat hartanah tersebut

Jangan beli sebarang hartanah tanpa melihat sendiri dengan mata kepala korang rupa bentuk rumah yang nak dibeli.

Dalam kebanyakan kes, hartanah lelong selalunya berkunci (tak berpenghuni). Dan ada juga dalam beberapa kes, masih ada yang tinggal di rumah tersebut.

Buatlah keutamaan kepada rumah yang tak berpenghuni. Ini kerana pihak institusi kewangan tak bertanggungjawab untuk menyerah milikan kosong rumah tersebut kepada korang.

Terpaksalah korang sendiri nanti yang akan menghalau mereka yang tinggal di rumah tu, sekiranya korang berjaya beli nanti.

Hal ini akan menyulitkan sekiranya korang seorang yang jenis mudah kasihan kepada orang lain. Hal ini juga akan jadi lebih susah, sekiranya mereka yang tinggal di situ adalah jenis yang degil dan keras kepala, tak mahu berganjak keluar daripada rumah tersebut.

Mana satu nak beli – Rumah kosong, atau yang ada penghuni?

Kemahiran memujuk supaya rumah dikosongkan bukan ada pada setiap orang dan untuk tak peningkan kepala, pilihlah rumah yang kosong. Lagi senang cerita.

Ada beberapa kes yang saya uruskan, pemilik asal rumah macam tak percaya (atau buat-buat tak percaya) yang rumahnya sudah dilelong.

Terpaksalah saya hantar notis supaya rumah dikosongkan dan menunjukkan bukti yang anak guam saya dah jelaskan kesemua wang harga belian kepada institusi kewangan yang terlibat.

Hal ini merumitkan keadaan dan masih lagi bergantung kepada nasib.

Ada dalam satu kes yang saya uruskan, pemilik asal rumah mencabar pulak kesahihan lelongan di mahkamah dan masih tinggal di rumah tersebut berbulan-bulan lamanya, walaupun selepas semua harga belian dah dibayar kepada pihak bank.

Ini berlaku sementara mahkamah membuat keputusan sama ada proses lelongan itu sah atau tak. Kes macam ni, amat merugikan pembeli.

Tip #4: Anda dah buat segala kira-kira yang perlu?

Ini juga perlu korang fahamkan. Rumah yang dibeli tak akan dibaik pulih oleh institusi kewangan.

Tak berbaloi untuk membeli rumah lelong yang murah (kononnya), sedangkan korang terpaksa habiskan wang yang banyak untuk buat baik pulih.

Hal ini akan menjadi susah sekiranya rumah tersebut berkunci. Lihat atau intailah setakat mana yang boleh.

Kalau korang bernasib baik kerana rumah tak berkunci, sila pastikan sistem perpaipan dan elektrik rumah terbabit dalam keadaan yang memuaskan.

Kalau tak, sila buat anggaran kos bagi membaik pulih hartanah tu dan pastikan yang pembelian rumah tu masih lagi berbaloi dan tak merugikan korang.

Sila dapatkan nasihat kontraktor untuk dapatkan anggaran kos baik pulih yang lebih tepat.

Tip #5: Ada tak sebarang tunggakan yang belum dibayar?

Korang kena buat sedikit tugasan di sini. Sebab dalam kebanyakan kes, institusi kewangan takkan bayar segala tunggakan pemilik premis terdahulu yang dilelong.

Antara yang korang kena tengok dulu termasuk:
  • Tunggakan maintenance fee
  • Cukai tanah
  • Cukai pintu
  • Bil eletrik
  • Jabatan Air, Syabas atau Indah Water

Walaupun ada sesetengah kes yang pihak institusi kewangan akan membayar tunggakan maintenance, cukai tanah dan cukai pintu, dalam kebanyakan kes, korang kena bayar guna duit sendiri terlebih dulu (jika korang gunakan pinjaman bagi melunaskan bayaran pembelian).

Lepas tu, baru pihak institusi kewangan terbabit akan bayar balik duit tunggakan tersebut. Dan proses ni, pastinya akan memakan masa.

Dalam apa keadaan sekalipun, korang kena sediakan duit bagi membayar tunggakan-tunggakan di atas terlebih dulu, supaya tak timbul masalah di kemudian hari.

Ada dalam beberapa kes yang saya uruskan, tunggakan maintenance mencecah lebih RM20,000 dan tunggakan cukai pintu ada yang mencecah RM5,000.

Pastikan korang sediakan duit yang cukup untuk langsaikan tunggakan ini, sekurang-kurangnya buat sementara waktu, sementara tunggu nak dapatkan wang pembayaran balik dari pihak institusi kewangan yang melelong.

Tip #6: Ada bawa banker’s cheque/bank draft dan wang tunai semasa pembidaan berlangsung?

Pada masa pembidaan, pelelong hanya menerima banker’s cheque/bank draft dan wang tunai je bagi pembayaran wang deposit.

Pelelong tak akan menerima cek peribadi, tak kira la berapa banyak duit yang korang ada dalam bank.

Pastikan juga korang bawak sekali wang tunai yang mencukupi bagi membuat bayaran top up deposit, sekiranya hartanah yang dilelong telah naik harga semasa proses bidaan berlaku.

Sebagai contoh, sekiranya wang deposit bagi pembelian hartanah tersebut adalah 10% daripada harga reserve RM100,000, pastikan korang bawa banker’s cheque bernilai RM10,000, ditulis atas nama yang betul (pastikan hal ini dengan pelelong terlebih dahulu dan pastikan ejaannya adalah betul).

Kalau korang rasakan yang harga pasaran hartanah tu tak lebih daripada RM130,000, pastikan bawa wang tunai RM3,000 bagi membuat bayaran deposit yang mencukupi, sekiranya korang berjaya membida pada harga RM130,000 tadi.

Jangan pula lepas berjaya membida, baru terhegeh-hengeh nak cari mesin ATM.

Pihak pelelong berhak untuk batalkan bidaan sekiranya korang tak membawa wang yang cukup untuk membayar deposit on the spot. So, sila beri sepenuh perhatian tentang ni.

Tip #7: Bidaan mula pukul 10 pagi – Boleh ke datang lewat sikit?

Catatkan pada diari korang tarikh dan masa bidaan.

Kalau korang tak pasti tempat bidaan, pergilah seawal yang mungkin supaya tak sesat. Ataupun buatlah kajian terlebih dahulu tentang tempat tu, atau cari tempat tu beberapa hari sebelum tiba tarikh lelongan.

Pastikan juga korang masuk ke dewan yang betul, sekiranya tempat tu besar dan banyak dewan bidaan.

Tip #8: Bida, bida juga. Jangan terbawak-bawak sampai lupa bajet asal

Apabila tiba masa membida, janganlah pulak asyik membida sehingga melampaui bajet asal korang.

Perlu diingat, di tempat bidaan selalunya akan ada sindiket yang sengaja nak naikkan harga hartanah.

Jangan terpengaruh dengan mereka. Fokus pada harga yang korang inginkan dan berhenti membida sekiranya harga rumah tu melampaui budget asal.

Setelah berjaya dalam bidaan, korang akan dipanggil untuk membuat pembayaran deposit dan menandatangani dokumen Proclamation of Sale.

Setelah Proclamation of Sale dimatikan setem, korang akan dapat salinan asal untuk tindakan selanjunya.

Tip #9: Dah sediakan duit untuk bayar harga baki belian?

Selalunya, korang akan membuat pinjaman bank untuk melunaskan baki harga belian.

Untuk perkara ni, pastikan korang takde masalah dengan CCRIS atau CTOS. Korang jugak boleh cari peguam, sebab selalunya peguam mempunyai rangkaian bankers yang dipercayai bagi membantu korang dapatkan pinjaman.

Sekiranya korang membeli secara tunai, korang masih lagi perlu mencari peguam.

Ini adalah kerana peguam akan menyiapkan dokumen pindah milik bagi korang, sama ada proses pertukaran nama di pejabat tanah atau menyiapkan Deed of Assignment (By Way of Transfer) bagi kes-kes hak milik induk.

Elak melengahkan masa, sebab tempoh yang diberikan terus dikira daripada hari pertama korang memang bidaan.

Bagi sesetengah kes, tempoh pembayaran tak boleh dilanjutkan dan sekiranya korang gagal lunaskan baki bayaran dalam tempoh yang ditetapkan, wang deposit tu akan burn.

Ada jugak sesetengah kes, korang diberi tempoh lanjutan. Tapi selalunya korang diminta membayar interest bagi kelewatan pembayaran. Boleh tanya peguam korang untuk maklumat lanjut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 4 Perkara Penting Sebelum Menyewa Rumah, Rahsia Berjimat Yang Anda Tidak Tahu!

sumber: gilahartanah

Sejarah Bagaimana Orang-orang Melayu Menyelamatkan Raja Mereka

Sejarah Bagaimana Orang-orang Melayu Menyelamatkan Raja Mereka

Hari ini kita belajar sejarah. Supaya rakyat Malaysia dan terutamanya kaum Melayu boleh mengetahui asal-usul dan perjalanan sejarah mereka.

Selamatkan_Raja+Melayu

Kebanyakan orang Melayu buta sejarah, mungkin kerana sikap tidak rajin membaca. Jika rajin membaca pun, mungkin hanya membaca berita hiburan atau gossip.

Jika membaca sejarah pun, mungkin lebih berminat tentang kisah cinta Hang Tuah bersama Puteri Gunung Ledang (kisah cinta ini pun tidak wujud di dalam sejarah, ia hanyalah ciptaan para penghibur dan tukang karut sahaja).

Hari ini kita belajar tentang asal usul Raja Berperlembagaan di Malaysia. Bagaimana ia terjadi dan mengapa ia terjadi.

Umum mengetahui bahawa ia tercetus akibat dari tentangan orang Melayu terhadap ‘Malayan Union’ – satu cadangan British untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai jajahan takluk mereka selepas Perang Dunia Kedua yang sekaligus mengakibatkan orang Melayu hilang kuasa ke atas negeri masing-masing dan memaksa mereka dan Raja-Raja mereka mengikut telunjuk seorang Governor British.

Di bawah, adalah cerita latar belakang bagaimana idea dan perjanjian Malayan Union mula-mula berlaku.

Ramai yang lupa bagaimana tingkah laku raja-raja Melayu dahulukala menyebabkan Tanah Melayu ini telah diserahkan bulat-bulat kepada penjajah sewenang-wenangnya hanya kerana kebanyakkan raja-raja Melayu dahulu terlalu dangkal dan hanya pentingkan diri sendiri.

Kisah Perjanjian Pangkor yang menyerahkan Perak kepada British (1874), kisah Perjanjian Inggeris – Kedah (1786) yang menyerahkan Pulau Pinang kepada British dan kisah perjanjian Temenggong Abdul Rahman menyerahkan Singapura kepada British dalam tahun 1819 menjadi tauladan kepada kita semua. Ini semua adalah fakta sejarah.

Walau bagaimanapun, oleh kerana orang Melayu bangkit melawan Malayan Union pasca 1946, maka ia terpaksa dibatalkan di dalam tahun 1948.

Kita sebagai rakyat Malaysia jangan lupa bagaimana kuasa raja-raja Melayu yang sudah hilang itu telah dikembalikan oleh orang Melayu juga.

Kita tidak boleh takut pada sejarah, bahkan kita tidak perlu malu pada sejarah. Apa yang terjadi sudah terjadi dan kita dari generasi yang kemudian ini harus membaiki diri dan melakukan perkara yang betul supaya sejarah yang buruk tidak akan berulang lagi.

Selamatkan_Raja+Melayu

Ringkasan perenggan di atas:

  • Sejurus selepas tamat Perang Dunia Kedua, penjajah British telah menangkap dan membuang Sultan Selangor (Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah) dan menggantikannya dengan adindanya yang lebih muda sebagai pengganti di dalam tahun 1945. Adinda ini akhirnya menjadi Yang DiPertuan Agong ke 2. Nama baginda adalah Sultan Hisamuddin Alam Shah, iaitu nenda kepada Sultan Selangor sekarang.
  • Pihak penjajah British juga telah memaksa raja-raja dari Perlis dan Terengganu untuk ‘bersara’ awal kerana tidak menyokong British semasa perang dunia yang baru sahaja berakhir ketika itu. Raja Syed Hamzah digantikan dengan Raja Syed Harun Putra manakala Sultan Terengganu yang berhak, Sultan Ali Shah digantikan dengan Sultan Ismail kerana tidak mahu menandatangani perjanjian Malayan Union.
  • Wakil kerajaan British bernama MacMichael diberi kuasa untuk melantik sultan-sultan dan jika mereka tidak mahu menandatangani perjanjian itu, MacMichael boleh melantik mana-mana kerabat raja untuk menurunkan tandatangan.
  • Negeri pertama penjajah British melawat untuk mendapatkan persetujuan Malayan Union adalah negeri Johor, kerana ia adalah negeri terkaya dan sistem kesultanan mereka dicipta oleh British.
  • Ketika bertemu dengan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, pihak penjajah British memeterai di dalam sebuah upacara bahawa baginda Sultan adalah Sultan Johor yang rasmi dan menyerahkan dokumen Malayan Union untuk ditandatangan.
Selamatkan_Raja+Melayu

  • Pihak British memberi Sultan Ibrahim hanya satu malam untuk membaca dokumen tersebut sementara MacMichael menunggu di dalam rumah tetamu. Sultan Ibrahim membaca dokumen itu tetapi tidak memberi tahu majlis menteri atau badan badan perundangan Johor mengenai isi kandungan dokumen itu.
  • Selepas dua hari, baginda menurunkan tandatangan dan segera bergegas ke negara yang dicintainya iaitu England.
  • MacMichael melaporkan kepada orang atasannya di England bahawa rundingan dengan Sultan Ibrahim berjalan dengan suasana teramat baik dan ramah.
  • Oleh kerana Sultan Ibrahim sudah bersetuju dengan Malayan Union, maka tidak sukar untuk pihak British mendapatkan persetujuan dari sultan-sultan negeri yang lain.
  • Setelah 71 hari, MacMichael mendapat persetujuan kesemua sultan-sultan di Tanah Melayu untuk menubuhkan Malayan Union.
Selamatkan_Raja+Melayu

  • Pada January 1946, kertas putih pembentangan bagi pembentukan Malayan Union diterbitkan di London. Ramai orang Melayu di Tanah Melayu tersedar akan bahaya yang akan menimpa mereka dan mula mengkritik perjanjian itu.
  • Ahli-ahli politik Johor yang bersatu di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar mengerti akan implikasi Malayan Union iaitu – kuasa negeri akan hilang, yakni negeri-negeri akan diperintah oleh pihak British yang berpusat di Kuala Lumpur, dan kuasa politik Melayu akan berpindah kepada orang cina.
  • Dato’ Onn dan orang Melayu lain mempunyai masalah bagaimana hendak membatalkan tandatangan Sultan Ibrahim.
  • Antara penyelesaiannya adalah – menggantikan Sultan Ibrahim dengan anakandanya. Oleh kerana Sultan Ibrahim sudah berada di London, mereka menghantar telegram kepada baginda yang berbunyi: “Oleh kerana sebab sebab di atas (menyerahkan Johor kepada British), kami orang-orang Melayu di Johor Bahru sebulat suara memutuskan untuk tidak lagi menerima Tuanku sebagai Sultan di negeri ini”.
  • Sebagai tanda mereka ini serius, mereka menubuhkan Kesatuan Melayu Johor yang kemudian harinya bergabung dengan kesatuan-kesatuan Melayu di negeri lain dan menjadi UMNO.
  • Selepas itu, Sultan Ibrahim dan Sultan dari Kelantan adalah yang pertama menukar fikiran mereka. Di London, akibat takut dirinya diturunkan takhta oleh orang-orang Melayu di Johor, Sultan Ibrahim telah menulis surat kepada pejabat British untuk menarik balik sokongannya terhadap Malayan Union.
  • Apabila kesemua sultan-sultan menukar fikiran mereka, barulah orang-orang Melayu boleh menerima semula raja-raja mereka. Tetapi peranan sultan sudah berubah. Mereka bukan lagi fokus utama di dalam politik dan identiti orang Melayu. Sistem yang berkisar kepada sultan-sultan sudah digantikan dengan idea bangsa Melayu.

Secara dasarnya, raja-raja Melayu ketika itu telah dengan rela hati atau secara membuta tuli telah menyerahkan negeri dan kuasa mutlak mereka kepada British.

Ini berlawanan sekali dengan sikap Raja England bernama King John di dalam tahun 1215 apabila berkeras tidak mahu menandatangani perjanjian Magna Carta tetapi dipaksa juga oleh para bangsawan untuk mengurangkan kuasa Diraja. Legasi Magna Carta adalah sistem parlimen dan raja berperlembagaan di England.

Bagi orang-orang Melayu 70 tahun dahulu, mengembalikan kuasa raja-raja Melayu yang diambil oleh British adalah penting untuk kelestarian masa depan Melayu.

Walaupun kita boleh menjadi negara republik ketika itu, orang-orang Melayu masih sayangkan raja-raja mereka. Tetapi kuasa raja-raja telah disekat oleh orang Melayu sendiri, mungkin agar pisang tidak berbuah dua kali.

Mana mungkin kita mahu saksikan lagi raja-raja melayu sesuka hati menjual negeri-negerinya kepada penjajah di masa akan datang?

Maka lahirlah sistem raja berperlembagaan di dalam tahun 1957 apabila Malaysia merdeka. Raja berperlembagaan bermaksud, raja yang berkuasa berdasarkan perlembagaan.

Baginda tidak boleh melanggar undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan. Jika dilanggar, undang-undang boleh menyabit kesalahan terhadapnya.

Kata-kata dari KijangMas Perkasa mengingatkan kita semua kepada kekuatan orang-orang Melayu. Kita bukanlah hamba abdi yang perlu mencium tangan dan menyembah raja setiap masa.

Adakalanya kita mesti beri nasihat dan menegakkan kebenaran jika ada yang tersasar atau lupa kepada bahaya yang akan menimpa.

Imbas kembali ke pasca Perang Dunia Kedua

Pihak penjajah menubuhkan Malayan Union pada 1hb April 1946.

Kesemua empat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan lima Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu serta dua Negeri Selat dicantumkan dalam sebuah unit politik dibawah seorang Gabenor penjajah.

Kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dimansuhkan dan kuasa memerintah dihapuskan kecuali dalam bidang adat istiadat Melayu dan agama Islam wilayah masing-masing.

Kepala kerajaan wilayah-wilayah Baginda juga jatuh ke tangan Residen-Residen penjajah. Seperti kebanyakan negara terjajah Asia — dari India hingga ke Vietnam — cengkaman kembali penjajah Barat pasca Perang Dunia Kedua menjurus kepada pemansuhan sistem Beraja dan penyatuan negeri-negeri kecil kepada beberapa Republik jajahan berkiblatkan London atau Paris.

Tetapi...

Orang Melayu masih mahukan Raja-Raja mereka.

Justeru Orang Melayu menggadai nyawa menentang penjajah untuk mengembalikan pemerintahan Beraja di Tanah Melayu.

Hasil perjuangan ini, Malayan Union dibubarkan oleh penjajah dan kuasa serta martabat Raja-Raja Melayu dikembalikan melalui penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1hb Februari 1948.

Jadi harus di ingat...

Dari 1hb April 1946 hingga 31hb Januari 1948, Tanah Melayu sudah hilang Kedaulatan Raja-Raja nya dan wujud sebagai tanah jajahan mutlak dibawah seorang Gabenor yang berkuasa sebagai Wizurai Raja asing.

Tanah Melayu ketika itu sudah terjerumus kearah suatu Republik Kesatuan — Unitary Republic — dibawah naungan Mahkota penjajah.

Dan juga harus difahami...

Segala Kedaulatan, Kekebalan, Kemuliaan, Kehormatan dan Kekayaan Institusi Di-Raja SELEPAS terbubarnya Malayan Union adalah hasil perjuangan, pengorbanan, restu dan keringat sekelian Rakyat, khususnya Orang Melayu.

Pertama kali dalam sejarah dunia, sesuatu Bangsa tékad menjulang kembali Raja-Raja mereka dan menolak sistem Republik. Orang Melayu sanggup menyerahkan kembali kuasa Rakyat kepada Raja-Raja mereka.

Maka dengan itu...

Raja pasca Malayan Union adalah Raja cetusan Rakyat . . . dari Rakyat demi Rakyat untuk Rakyat. Rakyat menjulang kembali Raja-Raja mereka agar Duli-Duli Baginda menjaga kepentingan Rakyat; mempertahankan hak dan maruah Bangsa; memartabatkan adat dan budaya, serta menjamin kedaulatan setiap pelusuk tanah air.

Inilah amanah Rakyat buat Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja mereka selaku penaung agama, bangsa dan tanah air dan intipati jalinan antara Raja dengan Rakyat dan Rakyat dengan Raja di Bumi Malaysia dimasa kini.

Raja Payung Rakyat. Rakyat ialah Tiangnya Payung itu.

BACA INI JUGA: Benarkah Sabah Milik Kesultanan Sulu?

sumber: jebatmustdie

9 Bahaya Tekanan Darah Rendah, Punca, Simptom Dan Rawatan

9 Bahaya Tekanan Darah Rendah, Punca, Simptom Dan Rawatan

Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa anda terasa hendak pitam atau pening ketika hendak bangun setelah duduk terlalu lama atau selepas menundukkan kepala? Apa puncanya?

Hipotensi

Kenapa keadaan tersebut terjadi dan pernahkah terfikir bahawa anda mempunyai masalah kesihatan?

Lazimnya apabila situasi tersebut berlaku, masyarakat hanya menganggap perkara tersebut hanyalah sesuatu yang biasa kerana ia tidak berpanjangan.

Tetapi tahukah anda, perkara yang dianggap sesuatu yang biasa itulah kadang kala mampu mengundang risiko di luar jangkaan.

Apa itu tekanan darah rendah (Hipotensi)?

Ini kerana senario di mana anda terasa hendak pitam atau pening ketika hendak bangun setelah duduk terlalu lama atau selepas menundukkan kepada menandakan tekanan darah ketika itu adalah rendah.

Dan tahukah anda bahawa sekiranya anda mengalami tekanan darah rendah, ia menandakan bahawa anda mungkin menghidap penyakit-penyakit tertentu yang boleh memudaratkan anda?

Penyakit tekanan darah rendah atau hipotensi merupakan satu keadaan yang jarang berlaku dalam kalangan masyarakat jika hendak dibandingkan dengan tekanan darah tinggi.

Pesakit akan mengalami tekanan darah rendah di mana bermaksud sama ada salah satu bacaan bahagian atas (sistolik) kurang daripada 90 dan tekanan bawah (diastolic) kurang daripada 60 mmhg atau kedua-duanya kurang daripada angka tersebut.

Punca Tekanan Darah Rendah

Beberapa penyebab utama tekanan darah rendah yang anda alami dan berikut ini adalah beberapa penyebabnya:
  • Posisi badan
  • Saiz tubuh badan
  • Stress
  • Keadaan emosi
  • Keturunan atau faktor genetik
  • Aktiviti fizikal
  • Keadaan semasa (demam atau tidak)
  • Suhu persekitaran
  • Makanan yang diambil
  • Dehidrasi (yang mengurangkan kandungan cecair dalam badan seperti kes muntah yang teruk dan cirit-birit)
  • Penyakit yang serius dan kronik
  • Gangguan pada hormon endokrin
  • Anemia
  • Kehamilan
  • Kehilangan darah (cecair mengalir dalam saluran darah seperti pendarahan yang tidak terkawal)
  • Masalah jantung (denyutan jantung yang agak cepat mahupun sebaliknya yang terlalu lambat dan keadaan otot yang lemah)

Tekanan darah rendah adalah berpunca daripada pelbagai penyakit yang telah sedia ada seperti:
  • Penyakit jantung koronari
  • Lemah jantung
  • Gangguan rentak jantung
  • Masalah injap jantung
  • Penyakit buah pinggang
  • Kencing manis yang tidak terkawal
  • Paras gula rendah
  • Penyakit berkaitan sistem endokrin seperti penyakti adrenal dan tiroid
  • Serta kesan sampingan daripada ubat-ubatan yang diambil selain faktor genetik
  • Mereka yang mengalami alahan yang teruk juga boleh menyebabkan tekanan darah menjadi rendah

Tekanan darah rendah boleh mengakibatkan setiap organ daripada badan tidak mendapat aliran darah yang mencukupi dalam masa yang singkat dan akibat daripada ini timbulnya gejala atau simptom hipotensi.

Dan sekiranya keadaan ini berlaku pada bahagian otak (tidak dapat bekalan darah yang diperlukan) pesakit boleh pitam atau pengsan.

Namun, tekanan darah boleh berubah-ubah dalam tempoh masa yang sekejap sahaja di mana ianya boleh naik ataupun turun dan mengukur tekanan darah amat penting bagi menunjukkan tahap kesihatan seseorang

Simptom tekanan darah rendah

Sekiranya anda mempunyai gejala atau tanda-tanda awal seperti:
  • Cepat lelah
  • Pening kepala ketika posisi badan berubah
  • Sukar untuk berkonsentrasi
  • Mata berkunang-kunang
  • Mual
  • Kulit berasa dingin, pucat dan lembap
  • Pernafasan cepat dan pendek
  • Berpeluh sejuk dan cepat haus

Tekanan darah rendah ini sering terjadi kepada wanita-wanita hamil kerana hormon kehamilan iaitu progesteron merehatkan dinding salur darah dan menyebabkan tekanan darah menurun dan tekanan darah biasanya kembali normal selepas bersalin.

Jadi sekiranya anda mengalami simptom-simptom seperti yang dinyatakan, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana pastinya ada sesuatu yang tidak kena dengan anda.

Ujian tekanan darah rendah

Ujian tekanan darah dilakukan dengan mengambil dua ukuran dengan bacaan dan bagi tekanan darah normal dan optimal adalah sekitar 120/80 mmHg.

Nombor 120 menunjukkan tekanan ke atas arteri akibat denyutan jantung atau sistolik di mana jantung ketika ini mengecut dan nombor 80 pula menunjukkan tekanan semasa jantung berehat di antara pengepaman dipanggil diastolik dan ketika ini jantung mengembang dan apabila salah satu bacaan ini rendah, menandakan tekanan darah anda rendah.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila tekanan darah turun secara mendadak yang biasanya disebabkan oleh penyakit berkaitan dengan pendarahan akut, kurang darah (anemia), kandungan gula yang rendah atau jangkitan kuman.

Jika tekanan darah turun daripada 120/80 kepada 90/60 secara mendadak atau dikatakan sebagai perubahan akut, menunjukkan sesuatu yang tidak normal.

Antara ujian lain yang doktor lakukan kepada pesakit yang mengalami tekanan darah rendah ialah:
  • Ujian darah melihat kepada paras gula
  • Kolesterol
  • Hemoglobin
  • Fungsi buah pinggang
  • Ujian elektrokardiogram (ECG)
  • Echocardiogram iaitu ultrasound jantung
  • Ujian tekanan (stress test)

Untuk kes-kes tertentu ujian yang lebih spesifik perlu dilakukan seperti:
  • Ujian paras hormon
  • Ujian 'tilt table'
  • Ujian menuver valsalva

9 kesan buruk akibat tekanan darah rendah

9 Bahaya Tekanan Darah Rendah, Punca, Simptom Dan Rawatan

Darah rendah sendiri bukanlah tanpa resiko dan juga bahaya. Ada beberapa bahaya kesehatan yang muncul akibat dari kondisi darah rendah yang anda alami. Berikut ini adalah beberapa bahaya akibat darah rendah :

1. Penglihatan kabur

Bahaya pertama akibat tekanan darah rendah adalah penglihatan menjadi kabur. Perkara ini boleh menyebabkan seseorang itu sukar untuk melihat objek di hadapan kerana penglihatan menjadi kabur.

2. Pening

Bahaya akibat tekanan darah rendah yang kedua adalah, ianya boleh menyebabkan kepala sakit dan pening. Pening dan sakit kepala ini terjadi kerana otak menerima oksigen yang sedikit akibat kekurangan darah.

Keadaan ini amat berbahaya kerana akan menyebabkan kekurangan oksigen di tempat penting seperti jantung dan otak yang boleh menyebabkan pesakit pitam atau lebih teruk, pengsan.

Justeru, darah mungkin tidak mempunyai cukup masa untuk sampai ke otak dan situasi ini dipanggil hipotensi postural malah anda boleh juga terasa pening jika anda berbaring terlalu lama.

3. Jantung berdebar

Bahaya akibat tekanan darah rendah yang berikutnya adalah boleh menyebabkan terjadinya jantung yang berdegup lebih cepat sehingga rasa berdebar.

Tekanan darah yang rendah memaksa jantung untuk bekerja lebih keras, sehingga penghidapnya cepat penat dan jantung berdebar-debar.

4. Berpeluh sejuk

Selain jantung berdebar-debar, kesan lanjut yang dapat dialami akibat tekanan darah rendah adalah munculnya peluh sejuk dalam jumlah yang banyak.

Perkara ini dipengaruhi oleh keadaan degupan jantung yang menjadi lebih cepat serta berdebar-debar.

Degupan jantung yang lebih cepat ini akan memicu keringat sejuk yang cenderung berlebihan pada penderita tekanan darah rendah atau hipotensi.

5. Nafas menjadi lebih cepat

Bahaya akibat tekanan darah rendah adalah boleh menyebabkan nafas menjadi sangat cepat dan juga tidak teratur.

Ini disebabkan keadaan jantung yang berdegup lebih cepat membuatkan tubuh merespon dengan nafas menjadi lebih cepat dan kesannya anda menjadi tercungap-cungap.

6. Menurunkan konsentrasi dan fokus

Bahaya akibat tekanan darah rendah berikutnya adalah ia akan menurunkan konsentrasi dan fokus anda.

Perkara ini berkait rapat dengan keadaan otak yang tidak mendapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi.

Dengan otak kekurangan oksigen akan menyebabkan konsentrasi dan juga fokus menurun.

7. Mudah merasa letih dan lemas

Seterusnya, tekanan darah rendah juga boleh menyebabkan tubuh menjadi sangat lemas dan mudah merasa penat.

8. Fungsi organ kurang berfungsi

Bahaya akibat tekanan darah rendah lain yang muncul adalah munculnya gangguan pada organ-organ tubuh lain, seperti ginjal, hati, jantung, paru-paru dan organ penting lain.

Malah, kemungkinan paling terusk adalah kematian bagi penghidapnya.

9. Aliran darah yang tidak lancar

Tekanan darah rendah juga boleh menyebabkan bahaya lain seperti aliran darah yang tidak lancar.

Aliran darah yang tidak lancar boleh menyebabkan menurunnya daya tahan imunisasi tubuh, sehingga mudah diserang penyakit.

Semoga artikel mengenai bahaya akibat penyakit tekanan darah rendah ini memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Bahaya Penggunaan Minyak Masak Berulang Kali Kepada Jantung Dan Salur Darah

sumber: utusan | halosehat

Sambutan Hari Pertabalan Yang Dipertuan Agong

Sambutan Hari Pertabalan Yang Dipertuan Agong

Upacara Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah salah satu hari yang dinamakan sebagai "Hari Kolar" maka, kolar harus dipakai bagi semua penerima Darjah Kebesaran dengan Kolar.

Hari Pertabalan

Apabila memakai Kolar Darja Kebesaran, selempang bagi Darajah Kebesaran yang sama tidak harus dipakai. Walau bagaimanapun, Selempang bagi Darja Kebesaran yang lain boleh dipakai.

Hanya satu Kolar sahaja yang boleh dipakai dan dipakai dikedua-dua bahu dan terletak sama panjang dari depan ke belakang dengan lencana terletak pada dada.

Dalam kes pemakaian formal atau beruniform, Kolar seharusnya dipakai melalui jerumbai. Kolar tidak perlu dipakai ketika Santapan Diraja.

Persiapan

Keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IX dan Raja Permaisuri Agong ke Balairong Seri diiringi oleh juruiring-juruiring baginda dan Dang Perwara serta panglima-panglima yang membawa Alat-alat Kebesaran Diraja pada hari pertabalan.

Pada 9.50 pagi Pengawal Tombak Diraja akan mengambil tempat di tempat masuk Balairong Seri. Pada 9.57 pagi the Datuk Paduka Maharaja Lela akan muncul diiringi panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, Adikung Bading serta panglima yang membawa Alat Kebesaran Diraja seperti Pedang, Keris, Cokmar, Sundang dan Tombak Berambu. Dang Perwara juga akan bersiap sedia.

Ketibaan Seri Paduka Baginda

Tepat jam 10 pagi, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong akan memasuki Balairong Seri.

Ketibaan Baginda berdua akan diumumkan oleh Pengerusi Upacara. Ketibaan Tuanku ke Balairong Seri dimulakan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, Adikung Baginda, Dang Perwara dan Hulu Balang yang membawa Alat Kebesaran Diraja.

Sebaik sahaja Baginda di Pintu Masuk Utama Balairong Seri, Nobat akan mengalunkan lagu "Raja Berangkat". Sebaik sahaja Nobat dimainkan, para hadirin akan berdiri.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan bersemayam di singgahsana. Datuk Paduka Maharaja Lela, Adikung, Dang Perwara dan panglima akan mengambil tempat.

Permulaan Istiadat Pertabalan

Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengadap dan memohon izin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memulakan upacara.

Setelah mendapat perkenan Tuanku, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan mengumukan bermulanya Upacara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas mengadakan pengumuman, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengadap dan memohon izin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membawa Alat Kebesaran bagi Istiadat Pertabalan ke Balairong Seri.

Setelah mendapat perkenan Tuanku, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan meninggalkan Balairong Seri.

Pengerusi Upacara kemudiannya akan mengumumkan yang Alat Kebesaran Istiadat Pertabalan dibawa masuk ke dalam Balairong Seri. Nobat akan memainkan lagu "Menjunjung Duli".

Datuk Paduka Maharaja Lela memasuki Balairong Seri diiringi Datuk Penghulu Istiadat and Pegawai Agama Istana Negara bersama panglima yang membawa:
  • Al-Quran nul Karim
  • Keris Kerajaan
  • Watikah Pengisytiharan
  • Watikah Ikrar

Penyerahan Al-Quran nul Karim

Ketika tiba di Balairong Seri, Datuk Paduka Maharaja Lela menerima Al-Quran Nul Karim daripada panglima dan membawanya ke Singgahsana sehingga ke Tangga ketiga dan kini beliau memohon izin untuk menyerahkan Al-Quran Nul Karim kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Baginda akan mengucup Al-Quran Nul Karim dan meletakkannya di meja yang terletak di antara Baginda dan Raja Permaisuri Agong. Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian akan turun dan panglima akan meletakkan alat kebesaran yang lain di atas meja, dan bersama dengan Datuk Penghulu Istiadat dan Pegawai Agama, menuju ke tempat duduk mereka.

Watikah Pengisytiharan

Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengadap dan memohon izin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengadapkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang akan membacakan Watikah Pengisytiharan.

Selepas mendapat perkenan Tuanku, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan menjemput Perdana Menteri untuk membacakannya. Datuk Penghulu Istiadat akan tampil ke hadapan untuk mengambil dulang berisi Watikah Pengisytiharan dan, bersama dengan Datuk Paduka Maharaja Lela, mengiringi Perdana Menteri.

Perdana Menteri kemudian akan mengambil Watikah Pengisytiharan daripada Datuk Penghulu Istiadat dan membacakannya.

Selepas membacanya, Perdana Menteri akan meletakkan semula Watikah Pengisytiharan, membongkok dan mengundur diikuti Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat yang meletakkan semula Watikah Pengisytiharan di atas meja.

Penyerahan Keris Kerajaan

Datuk Penghulu Istiadat akan mengambil dulang yang mengandungi Keris Kerajaan dan mengiringi Datuk Paduka Maharaja Lela untuk mengadap Baginda.

Di hadapan singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela akan bongkok dan menerima dulang tersebut daripada Datuk Penghulu Istiadat dan mengadap sehingga tangga ketiga, melutut dan mempersembahkan Keris Kerajaan.

Baginda Yang di-Pertuan Agong akan menerima Keris itu, mencabutnya dari sarung dan mengucupnya. Datuk Paduka Maharaja Lela turun semula.

Penyerahan Watikah Ikrar

Datuk Paduka Maharaja Lela membongkok dan mengambil dulang yang mengandungi Watikah Ikrar daripada Datuk Penghulu Istiadat dan menuju ke singgahsana sehingga tangga ketiga, melutut dan mempersembahkan Watikah Ikrar, dan kemudian beliau akan berundur dan berdiri di hadapan singgahsana bersama Datuk Penghulu Istiadat.

Para hadirin akan berdiri dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan membacakan Ikrar.

Selepas Ikrar, Nobat akan memainkan lagu "Raja Bertabal". Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian akan menaiki singgahsana sehingga tangga ketiga dan menerima Watikah Ikrar dan turun. Dulang yang berisi Watikah Ikrar kemudian diserahkan kepada Datuk Penghulu Istiadat.

Selepas Nobat habis dimainkan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan melaungkan "Daulat Tuanku" sebayak tiga kali dan diikuti para hadiri di Balairong Seri.

Meriam akan dilepaskan sebanyak 21 das apabila laungan pertama itu dilakukan. Lagu Negaraku akan dimainkan ketika tembakan meriam dilepaskan.

Yang di-Pertuan Agong akan kembali ke singgahsana dan para hadirin duduk kembali. Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat berundur dan meletakkan semula Watikah Ikrar di atas meja.

Ucapan Tahniah dan Ikrar Taat Setia Kerajaan dan Rakyat Malaysia

Datuk Paduka Maharaja Lela mengadap dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Perdana Menteri untuk memberikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia.

Selepas mendapat perkenan, Perdana Menteri mengadap Baginda dengan diiringi Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat membawa dulang mengandungi ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Selepas menyampaikan ucapan, Perdana Menteri akan mengembalikan salinan ucapan itu dan mengadap sembah kepada kedua-dua Seri Paduka Baginda dan berundur untuk kembali ke tempat duduk, diiringi Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat.

Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong

Selepas mengiringi Perdana Menteri ke tempat duduk, Datuk Paduka Maharaja Lela sekali lagi mengadap dengan diiringi Datuk Penghulu Istiadat sambil membawa dulang berisi Watikah Titah Ucapan.

Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Baginda untuk mempersembahkan Watikah Titah Ucapan.

Selepas mendapat perkenan, Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian mengambil dulang berisi Watikah Titah Ucapan daripada Datuk Penghulu Istiadat dan menaiki singgahsana ke tangga ketiga lalu menyerahkan Watikah Titah Ucapan. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan menerima Watikah Titah Ucapan dan Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan menuruni singgahsana. Baginda kemudiannya memulakan titah ucapan.

Selepas Titah Ucapa Baginda, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengadap ke tangga ketiga lalu menerima watikah tersebut daripada Baginda dan berundur dari singahsana.

Beliau kemudiannya mengembalikan dulang yang berisi watikah kepada Datuk Penghulu Istiadat, mengangkat sembah dan meninggalkan singgahsana. Datuk Penghulu Istiadat mengembalikan watikan ke dulangnya dan meletakkannya di atas meja.

Pembaca Doa

Pengerusi akan mengumukan pembacaan doa akan bermula. Pegawai Agama Istana Negara akan membacakan doa.

Pegawai Agama bersama Datuk Penghulu Istiadat memohon perkenan untuk membacakan doa. Selepas perkenan diperoleh, mereka menunduk dan Pegawai Agama akan menbacakan Doa Selamat.

Selepas tamat, Pegawai Agama dan Datuk Penghulu Istiadat akan berundur dan kembali duduk di tempat duduk mereka.

Penerimaan al-Quran

Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat akan mengadap ke singgahsana ke tangga ketiga untuk menerima al-Quran daripada Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Selepas menerima Quran, Datuk Paduka Maharaja Lela akan berundur dari singgahsana. Beliau kemudiannya akan menyerahkan Quran kepada Datuk Penghulu Istiadat.

Istiadat Pertabalan Tamat

Datuk Paduka Maharaja Lela memohon perkenan Baginda untuk mengumukan bahawa upacara Istiadat Pertabalan telah selamat disempurnakan. Selepas Baginda memperkenan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengumumkannya.

Keberangkatan Baginda

Pengerusi akan mengumumkan sudah tiba masanya untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong untuk meninggalkan Balairong Seri.

Sebaik sahaja para hadiri berdiri, Nobat akan memainkan lagu "Raja Berangkat". Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Penghulu Istiadat dan pembawa Alat Kebesaran Diraja, Juruiring Diraja dan Dang Perwara akan mengambil tempat mereka di hadapan singgahsana.

Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menuruni singgahsana dan meninggalkan Balairong Seri diketuai oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat membawa Quran, diikuti Pembawa Cogan Alam dan Cogam Agama, Alat Kebesaran Diraja, Juruiring Diraja dan Dang Perwara.

Nobat akan berhenti bermain apabila Baginda berdua tiba di pintu masuk Balairong Seri dan menuju ke bilik khas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Friday, April 21, 2017

17 Spesis Penguin Yang Wujud Di Dunia

17 Spesis Penguin Yang Wujud Di Dunia

Di seluruh dunia terdapat 17 hingga 19 spesis penguin, namun bergantung kepada dua spesies Eudyptula adakah juga dianggap sebagai spesis penguin.

Penguin

Walaupun penguin berasal dari belahan bumi selatan, namun penguin bukan hanya ditemui di Antartika saja.

Terdapat tiga spesis penguin yang hidup di daerah tropika dan salah satu spesis hidup di Kepulauan Galapagos (Pinguin Galapagos) dan biasanya menyeberangi garisan khatulistiwa untuk mencari makanan.

Saiz Penguin

Spesies penguin terbesar adalah penguin Emperor (Aptenodytes forsteri) dengan ketinggiannya mencapai 1.1 meter dan berat 35 kilogram atau lebih.

Spesis penguin terkecil adalah penguin Peri (Eudyptula Minor) dengan ketinggian sekitar 40 cm dan berat satu kilogram.

Secara umumnya, penguin yang berukuran lebih besar mampu mengekalkan lebihan suhu badan dan bertahan di kawasan sejuk, sementara penguin yang berukuran kecil biasanya ditemui di kawasan yang lebih hangat seperti kawasan tropika.

Makanan Penguin

Umumnya penguin memakan krill (sejenis kerang), ikan, obor-obor dan ikan yang ditangkap ketika berenang di laut.

Penguin boleh meminum air laut kerana kalenjar supraorbital pada tubuhnya menyaring lebihan garam dari aliran darah. Garam ini akan dikeluarkan dalam bentuk cecair melalui saluran pernafasan penguin.

Tingkah-laku Penguin

Pinguin biasanya tidak takut dengan kehadiran manusia. Penguin akan menghampiri pengkaji haiwan yang sedang mempelajari mereka.

Namun, pertelingkahan besar antara penguin akan terjadi jika seekor ibu penguin kehilangan anaknya (hanyut dalam ombak besar atau dimakan oleh pemangsa).

Jika seekor anak hilang, ibu penguin akan 'mencuri' anak penguin dari ibu penguin yang lain.

Menariknya, penguin-penguin betina lain tidak menyukai 'penculikan' ini dan akan menolong serta 'membela' ibu penguin yang anaknya dicuri.

Bentuk Tubuh Penguin

Tubuh penguin sangat sesuai untuk berenang dan hidup di dalam air. Sayapnya merupakan pendayung dan tidak mampu untuk terbang.

Di daratan, penguin menggunakan ekor dan sayapnya untuk menjaga keseimbangan badan ketika berjalan.

Setiap penguin memiliki warna putih di sebelah dalam tubuh dan warna gelap (biasanya hitam) di luar badan sebagai satu bentuk penyamaran dari musuh

Haiwan pemangsa seperti anjing laut akan mengalami kesukaran untuk melihat penguin kerana perutnya yang berwarna putih bercampur dengan pantulan permukaan air laut.

Manakala permukaan gelap pada belakangnya akan melindungi penguin dari pandangan pemangsa di atas air.

Kemampuan Berenang dan Menyelam

Penguin mampu berenang dengan kelajuan 6 hingga 12 km/jam malah pernah direkodkan sehingga 27km/jam.

Penguin yang berukuran kecil biasanya menyelam sehingga dua minit untuk menangkap makanan, manakala penguin yang berukuran lebih besar, mampu menyelam lebih dalam sehingga 565 meter selama 20 minit.

Berjalan dan Meluncur

Untuk mengurangkan kehilangan tenaga, kadang-kadang penguin berjalan menggunakan kakinya atau meluncur di salji dengan perutnya.

Pancaindera

Penguin memiliki pendengaran yang amat baik. Jika berada di daratan, penguin amat peka pendengarannya.

Mata penguin beradaptasi untuk penglihatan bawah air dalam mencari makanan dan menghindari pemangsa.

Kemampuan daya hidu penguin sehingga saat ini masih belum banyak diketahui dan memerlukan kajian lebih lanjut.

Jantina Penguin

Untuk mengetahui jenis kelamin penguin sangat sukar kerana penguin tidak memiliki kelamin luaran.

Untuk membezakan jenis jantina penguin, pemeriksaan kromosom atau DNA akan digunakan.

17 Spesis Penguin

1. Penguin Emperor (Aptenodytes forsteri)

Penguin Emperor (Aptenodytes forsteri)

2. Penguin Adelie (Pygoscelis Adeliae)

Penguin Adelie (Pygoscelis Adeliae)

3. Penguin Gentoo (Pygoscelis Papua)

Penguin Gentoo (Pygoscelis Papua)

4. Penguin Chinstrap (Pygoscelis Antarctica)

Penguin Chinstrap (Pygoscelis Antarctica)

5. Penguin Rockhopper (Eudyptes Chrysocome)

Penguin Rockhopper (Eudyptes Chrysocome)

6. Penguin Fiordland (Eudyptes Pachyrhynchus)

Penguin Fiordland (Eudyptes Pachyrhynchus)

7. Penguin Snares (Eudyptes Robustus)

Penguin Snares (Eudyptes Robustus)

8. Penguin Royal (Eudyptes schlegeli)

Penguin Royal (Eudyptes schlegeli)

9. Penguin Erect-Crested (Eudyptes sclateri)

Penguin Erect-Crested (Eudyptes sclateri)

10. Penguin Makaroni (Eudyptes Chrysolophus)

Penguin Makaroni (Eudyptes Chrysolophus)

11. Penguin Mata Kuning (Megadyptes Antipodes)

Penguin Mata Kuning (Megadyptes Antipodes)

12. Penguin Kecil (Eudyptula Minor)

Penguin Kecil (Eudyptula Minor)

13. Penguin White Flippered (Eudyptula Albosignata)

Penguin White Flippered (Eudyptula Albosignata)

14. Penguin Afrika (Pinguin Jackass)

Penguin Afrika (Pinguin Jackass)

15. Penguin Magellanic (Spheniscus Magellanicus)

Penguin Magellanic (Spheniscus Magellanicus)

16. Penguin Humboldt (Spheniscus Humboldti)

Penguin Humboldt (Spheniscus Humboldti)

17. Penguin Galapagos (Spheniscus Mendiculus)

Penguin Galapagos (Spheniscus Mendiculus)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 8 Haiwan Hodoh Yang Diancam Kepupusan!

sumber: angkatigabelas

Jenis-jenis Harta Intelek

Jenis-jenis Harta Intelek

Harta intelek (intellectual property atau IP) merupakan istilah yang merujuk kepada beberapa jenis ciptaan fikiran berlainan yang hak esklusif diakui di bawah bidang undang-undang berkait.

Copyright

Di bawah undang-undang Harta intelektual, pemilik diberikan hak esklusif tertentu bagi pelbagai aset tidak nyata, seperti muzik, penulisan, dan karya seni; jumpaan dan ciptaan; dan perkataan, farsa, symbol dan reka bentuk.

Jenis biasa hak harta intelektual termasuk hak cipta, cap dagang, paten, hak reka bentuk dagangan dan rahsia perdagangan dalam sesetengah perundangan.

Harta intelek dalam bidang undang-undang merujuk kepada hasil kreativiti manusia yang merangkumi pelbagai perkara seperti karya muzik, sastera dan seni; rekacipta; dan simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan termasuk hak cipta, cap dagangan, paten dan hak-hak lain yang berkaitan.

Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu dari harta-harta yang bersifat abstrak ini mempunyai hak-hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta.

Pembangunan harta intelek di dalam sesebuah negara akan meningkatkan tahap inovasi, ekonomi dan menganjaknya ke sebuah negara berasaskan ekonomi pengetahuan.

Kekuatan undang-undang harta intelek dalam sesebuah negara juga dikenal pasti sebagai faktor penting yang mempengaruhi pelaburan dari luar terutamanya untuk bidang perniagaan yang berasaskan pengetahuan.

Sungguhpun kebanyakan prinsip perundangan mengenai harta intelektual telah berubah selama beberapa abad, ia hanyalah pada abad ke-19 istilah hak milik intelektual mula digunakan, dan tidak sehingga akhir abad ke-20 ia menjadi meluas di kebanyakan dunia.

Statut Anne British 1710 dan Statut Monopolies 1623 kini dianggap sebagai asal hakcipta dan undang-undang paten berikutnya.

Harta intelek di Malaysia

Di Malaysia, harta intelek yang dilindungi di bawah undang-undan adalah paten, hakcipta, cap dagangan, rekabentuk perindustrian, petunjuk geografi dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.

Varieti tumbuhan adalah komponen harta intelek dan ianya ditadbir oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

Antara undang-undang yang melindungi harta intelek adalah:
  • Akta Cap Dagangan 1976
  • Akta Paten 1983
  • Akta Hakcipta 1987
  • Akta Rekabentuk Ciptaan Industri 1996

Undang-undang harta intelek di Malaysia yang ditadbir oleh MyIPO meliputi enam perkara, yang mana setiap perkara mempunyai statutnya yang tersendiri, iaitu:
  • Akta Hakcipta 1987
  • Akta Cap Dagangan 1972
  • Akta Paten 1983
  • Akta Reka Bentuk Perindustrian 1983
  • Akta Petunjuk Geografi 2000
  • Akta Susun Atur Litar Bersepadu 2000

Selain itu satu lagi akta ditadbirkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia iaitu Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004.

Di bawah Common Law terdapat dua jenis lagi prinsip harta intelekyang diterima di Malaysia iaitu: kekelirupaan (passing off) dan kerahsiaan (trade secret).

Berikut di berikan maklumat ringkas jenis-jenis berkenaan.

1. Hakcipta

Hakcipta merupakan hasil kegiatan dan ciptaan seseorang seperti gubahan lagu, penulisan novel, penulisan skrip drama atau filem dan rakaman bunyi.

Ia juga dipanggil harta kerana menepati konsep “sesuatu yang boleh dibeli, dijual, dipindahmilik, disewa bahkan diwasiat”.

Akta Hakcipta 1987 memperuntukkan perlindungan untuk karya-karya berhakcipta. Akta ini menggariskan karya-karya yang layak diberi perlindungan hakcipta (termasuklah program komputer), skop perlindungan, dan cara mana ianya diberikan perlindungan. Tiada sistem pendaftaran untuk karya-karya berhakcipta.

Tempoh perlindungan hakcipta untuk karya sastera, muzik dan seni adalah selama hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya.

Bagi karya-karya rakaman bunyi, siaran dan filem, perlindungannya adalah selama 50 tahun selepas karya-karya tersebut mulanya diterbitkan atau dizahirkan.

Akta ini juga memberi perlindungan kepada hak-hak pelaku dalam sesuatu persembahan yang dibuat secara langsung selama 50 tahun bermula dari tahun calendar berikutnya setelah ianya mula dipersembahkan.

Pada tahun 2003, Akta Hakcipta 1987 telah dipinda untuk memperkemaskan peruntukan-peruntukan penguatkuasaannya dimana pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diberi kuasa-kuasa menangkap (termasuklah penangkapan tanpa waran).

Sepasukan khas pegawai-pegawai KPDNHEP telah dilantik untuk menguatkuasakan Akta ini dan diberikan kuasa untuk memasuki mana-mana premis yang disyaki memiliki salinan-salinan langgaran dan kuasa untuk memeriksa dan merampas salinan-salinan langgaran dan apa-apa kelengkapan yang berkaitan dengannya.

2. Cap Dagangan

Cap dagangan ditakrifkan sebagai suatu cap yang digunakan atau dicadangkan untuk digunakan berhubung dengan sesuatu barang atau perkhidmatan bagi menunjukkan wujudnya suatu hubungan perdagangan di antara barang itu dengan tuan punya yang berhak untuk menggunakan cap tersebut sama ada dengan menunujukkan atau tidak menunjukkan identiti orang itu.

Cap termasuklah suatu tanda, jenama, kepala, label, tiket, nama, tandatangan, perkataan, huruf, angka atau apa-apa gabungannya.

Perlindungan cap dagangan diperuntukan di bawah Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan-peraturan Cap Dagangan 1997. Akta ini memberi perlindungan kepada cap-cap dagangan dan cap-cap perkhidmatan di Malaysia.

Setelah sesuatu cap dagangan didaftarkan, tiada sesiapa selain daripada pemiliknya atau pengguna yang dibenarkan boleh menggunakannya. Tindakan pelanggaran boleh dimulakan ke atas mereka.

Tempoh sah perlindungannya ialah 10 tahun dan boleh diperbaharui bagi satu tempoh selama 10 tahun seterusnya.

Pemilik cap dagangan atau perkhidmatan berhak mengeksploit, menyerahhak atau melesenkan penggunaannya.

Malaysia melarang penggunaan cap-cap terkenal oleh pihak-pihak yang tidak diberi kuasa dan peruntukan langkah-langkah sempadan juga melarang cap-cap lancung (cap-cap tiruan) dari diimport ke Malaysia.

Malaysia telah menjadi ahli kepada Perjanjian Nice dan Vienna pada 28 Jun 2007 yang mula berkuatkuasa pada 28 September 2007.

Perjanjian Nice adalah merujuk kepada pentadbiran Klasifikasi Antarabangsa Barangan dan Perkhidmatan bagi tujuan pendaftaran cap dagangan dan perkhidmatan manakala Perjanjian Vienna merujuk kepada apa-apa klasifikasi cap yang mengandungi elemen bergambar.

Kedua-dua Perjanjian adalah penting untuk memudahkanprosedur pendaftaran cap dagangan.

3. Paten

Paten merupakan hak ekslusif yang diberikan terhadap suatu reka cipta, sama ada produk ataupun proses untuk menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu ataupun penyelesaian teknikal terhadao sesuatu masalah.

Perlindungan paten di Malaysia diperuntukkan di bawah Akta Paten 1983 dan Peraturan-peraturan Paten 1986.

Suatu rekacipta boleh dipatenkan jika ianya adalah baru, melibatkan langkah-langkah merekacipta dan boleh digunakan dalam industri.

Sesuatu permohonan paten adalah dibuka untuk pemeriksaan awam selepas tempoh 18 bulan dari tarikh prioriti atau tarikh pemfailan permohonan .

Akta Paten 1983 memberi perlindungan paten selama 20 tahun dari tarikh pemfailan, manakala tempoh perlindungan perakuan perbaharuan utiliti adalah 10 tahun dari tarikh pemfailan dan boleh dilanjutkan kepada lima tahun dan seterusnya lima tahun lagi bergantung kepada penggunaannya.

Pemunya paten berhak untuk mengeksploitasi rekaciptanya,menyerahhak atau memeterai kontrak lesen.

Akta Paten 1983 membenarkan lesen wajib dan pengimportan produk yang dipaten yang telah dipasarkan di negara luar (parallel import).

Kerajaan berhak melarang pemberian paten atas alasan moral atau public order. Akta Paten1983 telah dipinda pada tahun 2003 untuk memasukkan peruntukan membenarkan pengimportan di bawah skop lesen wajib.

Malaysia telah menjadi ahli kepada PCT pada 16 Mei 2006 dan berkuatkuasa pada 16 Ogos 2006 MyIPO bertindak sebagai Pejabat Penerima bagi pemfailan antarabangsa permohonan paten dimana permohonan tersebut boleh difailkan di MyIPO.

4. Rekabentuk Perindustrian

Reka bentuk perindustrian merujuk kepada aspek hiasan atau estetik sesuatu barang yang boleh terdiri daripada daripada ciri tiga dimensi seperti bentuk dan tatarajah sesuatu barang atau ciri dua dimensi seperti corak dan hiasan.

Perlindungan reka bentuk perindustrian di Malaysia diperuntukan di bawah Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 dan Peraturan-peraturan Reka Bentuk Perindustrian 1999.

Akta ini memberikan hak perlindungan kepada reka bentuk perindustrian berdaftar sebagai harta persendirian yang boleh dibuat melalui penyerahhak.

Pendaftaran boleh dibuat sekiranya reka bentuk perindustrian tersebut adalah baru dan tidak termasuk kaedah atau prinsip pembinaan atau reka bentuk berkenaan tidaklah ditentukan semata-mata oleh fungsi.

Reka bentuk berkenaan tidak boleh bergantung kepada rupa suatu barang lain yang mana menjadikannya suatu bahagian yang perlu dalam barang tersebut.

Suatu reka bentuk perindustrian berdaftar diberi perlindungan selama 5 tahun dari tarikh pemfailan.

Perlindungan boleh dilanjutkan selama dua tempoh dimana setiap tempoh perlindungan adalah selama 5 tahun, menjadikan tempoh maksima perlindungan 15 tahun.

5. Petunjuk Geografi

Akta Petunjuk Geografi 2000 memperuntukkan perlindungan ke atas barangan yang memberi indikasi dari mana barangan itu berasal, di mana kualiti, reputasi atau lain-lain ciri barangan tersebut dikaitkan dengan tempat asal barangan tersebut dikeluarkan.

Petunjuk geografi melindungi barangan seperti wain dan spirit, barangan keluaran semulajadi atau pertanian atau apa-apa keluaran kraftangan untuk industri.

Petunjuk geografi yang bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral tidak boleh dilindungi dibawah akta ini.

Untuk mendaftar permohonan petunjuk geografi, pemohon hendaklah seorang yang menjalankan aktiviti sebagai pengeluar dalam kawasan geografi tersebut termasuk suatu kumpulan atau kumpulan-kumpulan orang sedemikian, suatu pihak berkuasa yang berwibawa atau suatu organisasi atau persatuan perdagangan.

Tempoh perlindungan petunjuk geografi adalah selama 10 tahun dan boleh diperbaharui setiap 10 tahun.

6. Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu

Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000 memberi perlindungan kepada reka bentuk susun atur yang berdasarkan prinsip asli dan hasil rekacipta pencipta. Tiada sistem pendaftaran untuk perlindungan reka bentuk susun atur.

Tempoh perlindungan reka bentuk susun atur adalah selama 10 tahun dari tarikh mula ianya dieksploitasi secara perdagangan atau 15 tahun dari tarikh ianya dicipta sekiranya tidak dieksplotasi secara komersil.

Akta ini juga membenarkan tindakan diambil oleh pemilik sekiranya hak-hak tersebut yang diperuntukkan di bawah akta telah dilanggar.

Hak-hak tersebut juga boleh dipindahkan samada sebahagian atau sepenuhnya melalui penyerahak, perlesenan, wasiat atau atas kuatkuasa undang-undang.

7. Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan

Kepelbagaian tumbuhan tersenarai sebagai perkara-perkara yang tidak boleh dipatenkan. Walaupun begitu, terdapat Akta khusus iaitu Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 yang memberi perlindungan kepada kepelbagaian tumbuhan yang dicipta oleh pembiak tumbuhan, peladang dan orang asli .

Perlindungan di bawah Akta ini boleh diperolehi melalui pendaftaran. Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseuatu pendaftaran itu boleh diterima.

Pertama, kepelbagaian tumbuhan itu perlu baru iaitu tiada kepelbagaian tumbuhan yang sama telah dijual di pasaran sebelum pendaftaran.

Kedua, ‘berbeza’ bermaksud kepelbagaian tumbuhan yang ingin didaftarkan perlu berlainan dari kepelbagaian tumbuhan yang diketahui ada di pasaran.

Ketiga, ‘seragam’ bermaksud tumbuhan yang dihasilkan perlulah seragam pada elemen-elemen yang berkaitan.

Keempat, kepelbagaian tumbuhan yang dihasilkan perlu stabil , iaitu elemen-elemen yang berkaitan tidak berubah selepas semaian yang berulang.

Pendaftaran kepelbagaian tumbuhan memberi hak eksklusif kepada pemilik untuk mengeksploitasikan kepelbagaian tumbuhan tersebut secara komersil.

Ini termasuk menghasilkan, menghasilkan semula, menjual, mengimport , mengeksport dan menyimpan

8. Hak-hak di bawah Common Law

Undang-undang Common Law diterima pakai di Malaysia berasaskan peruntukan di bawah Akta Undang-undang Sivil 1956. Prinsip-prinsip di bawah Common law diperolehi melalui kes-kes yang diputuskan.

Dua jenis hak yang boleh dikuatkuasakan ialah:

a. Kekelirupaan (Passing Off)

Kekelirupaan merupakan kategori harta intelek yang mendapat perlindungan common law. Asas perlindungan ini diperolehi dari undang-undang torts berkaitan salahnyataan.

Salahnyataan di sini berlaku apabila seseorang menyatakan atau melakukan sesuatu yang menyebabkan orang lain secara salah menganggap barangan atau perkhidmatan yang diberikan adalah kepunyaan orang tersebut.

Undang-undang ini biasa diguna pakai oleh pihak yang mana nama atau tanda niaga yang digunakan tidak mendapat perlindungan di bawah undang-undang cap dagangan.

Syarat yang diperlukan ialah;

Pertama, terdapatnya nama atau reputasi baik yang timbul di atas penggunaan nama, simbol atau logo yang diguna pakai oleh seseorang peniaga itu ke atas barangan atau perkhidmatannya.

Kedua, terdapat salahnyataan, samada dalam bentuk percakapan atau penulisan yang menyebabkan kekeliruan pada orang ramai terhadap barangan dan perkhidmatan.

Ketiga, terdapat kerugian yang berlaku pada pihak pemilik nama baik (good will) dalam bentuk kehilangan jualan dan kerosakan nama baik.

b. Kerahsiaan (Trade Secret)

Kerahsiaan maklumat merujuk kepada maklumat yang bersifat rahsia. Dalam konteks harta intelek, rahsia perniagaan merupakan maklumat yang perlu dilindungi.

Bagi perlindungan ini, tiada statut khusus yang boleh dirujuk, perlindungan undang-undang adalah berasaskan prinsip common law.

Rahsia perniagaan merupakan aset yang bernilai yang penting dalam memastikan kejayaan dan kelangsungan sesuatu perniagaan termasuk formula, teknik, kaedah yang dipakai dalam perniagaan, senarai pelanggan dan pembekal serta perancangan dan strategi perniagaan.

Seperti harta intelek yang lain, pemilik maklumat perlu memenuhi syarat-syarat tertentu sebelum perlindungan boleh diberikan.

Pertama, maklumat merupakan maklumat yang bersifat rahsia.

Kedua, maklumat itu diberi dalam keadaan yang menimbulkan tanggung jawab kerahsiaan.

Ketiga, terdapat penggunaan maklumat rahsia tanpa kebenaran. Sekiranya pemilik maklumat perniagaan ini memenuhi syarat di atas beliau boleh mengambil tindakan ke atas pihak yang memecahkan rahsia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 10 Harta Karun Yang Masih Belum Ditemui!

sumber: wikipedia | bicaradarikamar

Sejarah Penyakit Malaria Yang Berjaya Membunuh Jutaan Manusia

Sejarah Penyakit Malaria Yang Berjaya Membunuh Jutaan Manusia

Perkataan malaria berasal dari perkataan Itali, mal‘aria, yang bermaksud udara yang teruk dan sudah menular di kalangan masyarakat Rome berabad lamanya yang ketika itu dikaitkan dengan udara kotor yang datang dari kawasan berpaya.

Sejarah penyakit malaria

Secara kebetulan, kawasan yang berair dan berpaya adalah sumber pembiakan vektor pembawa parasit Plasmodium.

Wabak Malaria telah menghantui dunia dan manusia sejagat berabad lamanya. Parasit satu sel dari spesies Plasmodium merupakan mikro-organisma yang bertanggung jawab menyebabkan malaria.

Ada empat jenis parasit Plasmodium yang boleh menyebabkan malaria kepada manusia iaitu;
  1. Plasmodium Ovale
  2. P. Malaria
  3. P.vivax
  4. P. falciparum

Antara ke empat-empat ini, P. falciparum adalah yang paling merbahaya kerana ia boleh menyebabkan malaria otak dan melalui mutasi, ia juga boleh menjadi kalis terhadap ubat-ubat malaria yang sedia ada.

P. falciparum melibatkan hampir separuh dari kes- kes malaria di seluruh dunia dan merupakan punca 95 peratus kematian akibat malaria.

Nyamuk Anopheles betina pula adalah vektor penyumbang penyebaran penyakit malaria terutamanya di kawasan luar bandar.

Nyamuk ini memerlukan sel-sel darah merah yang kaya dengan protein dan hemoglobin untuk bertelur.

Semasa ia sedang menghisap darah dari mangsanya, parasit Plasmodium yang berada di kilang air liur nyamuk itu akan memasuki kitaran darah mangsa sebelum bergerak ke sel-sel hati untuk berkembang dan membiak.

Ketika ini mangsa mungkin tidak tahu dirinya sudah dijangkiti parasit berkenaan sehinggalah kira-kira satu atau dua minggu kemudian apabila tanda-tanda penyakit malaria mulai kelihatan.

Kesan-kesan dari wabak malaria mungkin tidak nyata kepada negara-negara maju seperti di Australia, Britain ataupun Amerika Syarikat (AS). Britain dan AS bagaimanapun masih mencatatkan beberapa kes malaria setiap tahun.

Malaria tidak begitu diberi perhatian oleh sesetengah pihak kerana ianya adalah wabak yang sering dikaitkan dengan kawasan pendalaman ataupun kawasan yang mundur.

Begitupun, tidak seperti penyakit cacar atau polio yang sudah dianggap terkawal, sumber Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa malaria masih lagi menjadi masalah endemik kepada 106 negara di dunia, terutamanya negara-negara dari benua Afrika dan Asia.

Zambia adalah di antara negara benua Afrika yang teruk dilanda wabak ini. Di sesetengah wilayahnya, hampir satu pertiga kanak-kanak di bawah umur lima tahun sudah dihinggapi penyakit ini dan ia juga menjadi penyebab utama kematian hampir 20 peratus bayi-bayi di bawah usia lima tahun di Zambia.

Sungguhpun Zambia dianugerahi dengan tanah-tanah lapang yang agak subur dan hasil bumi yang kaya, kebanyakan penduduknya teruk dilanda wabak ini sehingga ianya turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Tidak hairanlah jika Zambia tergolong di antara negara yang termiskin di dunia.

Pencegahan malaria di Malaysia

Di semenanjung Malaysia, suatu rancangan umum membanteras penyakit ini mula diperkenalkan dari tahun 1967.

Pada tahun 1980, ia diganti dengan Program Pengawalan Malaria yang mendapat kerjasama dan pemantauan dari WHO.

Program ini kemudiannya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada 1986. Kesan dari rancangan ini jelas apabila kes-kes malaria menurun secara keseluruhan di Malaysia.

Sabah, antara negeri terburuk mendapat kes-kes malaria juga menunjukkan kemajuan dalam kawalan.

Mengikut data WHO (2005), pada tahun 1995, 84.2 peratus kes malaria di Malaysia adalah dari Sabah yang kemudiannya menurun kepada 27.9 peratus pada 2003.

Kes malaria di Malaysia juga menurun sebanyak 92.7 peratus dalam tempoh sama, dengan 59,208 kes pada 1995 berbanding hanya 6,338 kes pada 2003.

Parasit Malaria

Semenjak wabak malaria mula direkodkan kira-kira 1,700 tahun dahulu, sudah banyak penawar atau ubat-ubat yang digunakan manusia untuk memerangi penyakit ini.

Kebanyakan daripada ubat yang digunakan adalah dari jenis herba dan tidak begitu berkesan untuk mencegah malaria.

Parasit Plasmodium juga mempunyai rangkaian DNA yang lebih kompleks dari bakteria atau virus yang menyebabkan ia lebih tahan terhadap ubat-ubatan tradisional mahupun antibiotik biasa.

Kitaran hidupnya yang ‘canggih’ dan kompleks turut menyebabkan vaksin sukar untuk dihasilkan.

Kitaran hidup parasit Plasmodium secara amnya bermula di sel-sel hati setelah ia memasuki kitaran darah pesakit.

Di situ, ia akan berkembang dengan memakan sel-sel hati sehingga jumlahnya meningkat 40 ribu kali ganda.

Selepas kira-kira satu hingga dua minggu, ia akan mencapai tahap kritikal dan sel-sel yang dijangkiti tadi akan pecah dan berjuta-juta parasit mikro ini akan mula memasuki kitaran darah pesakit.

Parasit-parasit ini akan ‘dikitarkan’ semula ke hati dan memulakan semula proses membiak. Pada masa yang sama, parasit-parasit ini juga mula menyerang sel-sel darah merah.

Tidak seperti sel-sel hati, sel-sel darah merah mulai pecah dalam masa satu atau dua hari sahaja dan menyebabkan gandaan parasit ini bertambah dengan lebih cepat.

Pada masa inilah sistem pertahanan badan mula menyedari akan masalah yang berlaku di dalam badan dan mula bertindak dengan menghasilkan sel-sel imuniti untuk membunuh parasit Plasmodium tadi.

Pesakit akan mula mendapat demam, menggigil kesejukan, sakit kepala dan sakit sendi-sendi dan tulang.

Namun begitu, memandangkan kebanyakan parasit ini bersembunyi di dalam sel-sel badan untuk membiak, sistem imuniti badan tidak dapat berbuat apa-apa. Ini juga menyebabkan demam malaria ada julat kebah dan demamnya.

Ketika kebanyakan parasit yang berada diluar sel-sel dibunuh oleh sel-sel imun badan, pesakit akan berasa sihat sedikit dan demamnya juga akan berkurangan untuk seketika.

Proses ini akan berulang dan berterusan sehinggalah banyak sel-sel darah merah dan hati dimusnahkan oleh parasit ini.

Ketika ini sistem imun badan sudah tidak lagi mampu untuk terus melawan parasit ini, menyebabkan pesakit akan koma, dan akhirnya mati akibat anemia (kekurangan darah merah) jika tidak diberikan rawatan dan ubat anti-malaria.

Di sesetengah tempat yang sudah lama mendapat endemik wabak malaria, kebanyakan penduduknya mempunyai genetik sel sabit (sickle cell), yang pada dasarnya adalah suatu kecacatan pada darah merah.

Kapasiti pembawaan oksigennya tidak sebaik sel darah merah biasa, namun kecacatan ini memberikan sedikit daya tahan terhadap serangan Plasmodium.

Namun, jika tanggungan dan jumlah parasit di dalam badan sangat tinggi, lambat-laun pesakit akan ‘tewas’ juga.

Sejarah dunia menangani malaria

Sebelum ubat Kuinin dijumpai di Peru dan Equador, tidak banyak ubat-ubatan lain yang boleh dianggap berjaya melawan malaria. Kuinin berasal dari kulit kayu cinchona iaitu sejenis tumbuhan dari keluarga kopi.

Penduduk pribumi memanggil ubat ini sebagai quina quina yang bermaksud kulit dari kayu. Dari sinilah perkataan kuinin digunakan.

Pengetahuan mengenai kegunaan Kuinin ini pesat tersebar sehinggalah ke Eropah dan Asia Timur. Namun begitu, ianya sukar didapati kerana pokok cinchona hanya boleh didapati di utara Amerika Selatan.

Pedagang-pedagang dan penjelajah terpaksa memasuki hutan-hutan di Amerika Selatan untuk mendapatkan ubat ini sehinggalah pokok cinchona berjaya ditanam di Sri Lanka dan di pulau Jawa, 200 tahun selepas Kuinin ditemui.

Sekitar 1940-an, ubat anti-malaria jenis sintetik, Chloroquine, juga sudah berjaya dihasilkan dengan kos lebih murah, senang didapati dan lebih selamat dari Kuinin.

Pada masa itu, Chloroquine juga memberi perlindungan yang lebih lama terhadap serangan kesemua spesies Plasmodium.

Penemuan kedua yang memberikan impak yang besar terhadap wabak malaria adalah dengan terciptanya dichloro-diphenyl-trichlroethane atau DDT.

Paul Muller, ahli kimia dari Switzerland telah dianugerahkan hadiah Nobel setelah dia berjaya mencipta bahan ini pada 1948.

Dengan adanya DDT, vektor penyebar parasit, iaitu nyamuk Anopheles betina dan kawasan pembiakannya dapat dimusnahkan secara besar-besaran.

DDT bukan sahaja membunuh nyamuk dewasa tetapi ia juga berkesan membunuh jentik-jentik.

Wabak malaria di seluruh dunia mula menurun dan dapat dikawal dengan penggunaan DDT dan ubat anti-malaria, Chloroquine.

Dengan berbekalkan kedua-dua senjata baru ini WHO mengusulkan perancangan supaya malaria dihapuskan terus dari bumi.

Walaupun begitu, ianya menemui jalan buntu kerana masalah kewangan dan tenaga manusia. Di samping itu, kebanyakan negara-negara maju sudah tidak lagi berminat untuk memberikan sumbangan kerana ketika itu malaria sudah tidak lagi menjadi masalah yang utama bagi mereka. Program ini akhirnya mula dipinggirkan semenjak 1969.

Keadaan ini menjadi bertambah buruk lagi apabila wujud pula kes-kes malaria baru yang kalis kepada Kuinin ataupun Chloroquine.

Lebih membimbangkan lagi apabila kesemua kes-kes baru ini adalah hasil mutasi Plasmodium falciparum yang sudah diketahui merbahaya dan sukar untuk diubati.

Parasit jenis baru ini tersebar dengan cepat dan menyebabkan kes-kes malaria kembali meningkat dengan mendadak. Sekitar 1990-an, malaria kembali menjadi tumpuan WHO.

Hampir setengah bilion penduduk dunia juga dianggarkan telah dijangkiti malaria dan sekurang-kurangnya satu juta pesakit meninggal dunia akibat penyakit tersebut sepanjang 2006.

Angka ini adalah dua kali ganda dari jumlah penduduk dunia yang dijangkiti malaria pada dua dekad yang lalu.

Kebanyakan pesakit terdiri juga daripada kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang berasal dari Afrika.

Menentang malaria

Artemisia pula merupakan nafas baru di dalam memerangi wabak ini. Herba ini sudah lama digunakan oleh masyarakat Cina semenjak kurun keempat selepas masihi lagi.

Namun, di atas sebab-seba tertentu, ia tidak pernah dipelopori sehinggalah sekarang. Artemisinin adalah pati yang dihasilkan dari herba tersebut.

Ia turut diolah dengan sesetengah ubat anti-malaria yang lain bagi mengelakkan parasit Plasmodium daripada membentuk ketahanan terhadapnya. Ubat anti-malaria terbaru ini dikenali sebagai terapi berasaskan Artemisinin atau ACT.

Sehingga kini, ubat terbaru ini merupakan ikhtiar terakhir kita terhadap jangkitan Plasmodium falciparum yang telah mengalami mutasi.

Kebimbangan parasit malaria akan bermutasi lagi dan menjadi kalis kepada ACT di masa hadapan menyebabkan banyak saintis mula merintis ke arah penghasilan vaksin terhadap parasit tersebut.

Setakat ini, usaha ini masih menemui jalan buntu kerana kitaran hidup parasit malaria yang kompleks.

Parasit ini berubah-ubah kepada sekurang-kurangnya lima bentuk yang berlainan sebelum melengkapkan satu kitaran hidupnya.

Agak sukar juga untuk menghasilkan satu vaksin yang boleh bertindak terhadap kesemua bentuk parasit di dalam kitar hidupnya.

Setakat ini, sinar radiasi dikenal pasti dapat melemahkan Plasmodium. Plasmodium yang dilemahkan ini kemudiannya disuntik ke dalam pesakit yang tinggal di kawasan malaria tegar untuk meningkatkan daya tahan badan dari serangan malaria yang sebenar. Walau bagaimanapun, usaha ini masih lagi di peringkat kajian awal.

Pendekatan kedua ialah dengan cara penghapusan besar-besaran vektor penyebar parasit malaria.

Penghapusan secara fizikal nyamuk Anopheles dengan menggunakan racun secara amnya agak murah, tetapi ianya hanya berkesan untuk kawasan-kawasan yang mudah dijelajahi oleh petugas-petugas mahupun persatuan sukarela.

Lagipun, terdapat banyak kesan sampingan dari pengunaan racun seperti DDT yang sudah diharamkan penggunaannya di negara-negara maju.

Sungguhpun DDT tidak merbahaya kepada manusia, tetapi ia memberikan impak yang buruk terhadap alam sekitar dan banyak hidupan liar seperti ikan salmon, singa laut dan burung helang peregrine.

Idea terbaru dalam proses penghapusan nyamuk Anopheles kini ialah dengan cara menghasilkan banyak nyamuk jantan Anopheles yang mandul.

Telur hasil dari persenyawaan dengan nyamuk jantan ini tidak akan menetas dan lama kelamaan populasi nyamuk Anopheles akan pupus dan seterusnya akan menyebabkan parasit Plasmodium tidak dapat disebarkan lagi.

Nyamuk jantan mandul yang akan dihasilkan melalui proses mutasi gen (kejuruteraan genetik) mungkin menjadi jalan keluar kepada masalah wabak malaria yang sudah bertapak di bumi ini sejak sekian lama.

Walau apa pun perancangan untuk memerangi wabak ini, yang pastinya di mana sahaja terdapat kawasan takungan air yang tidak mengalir, terutamanya di pendalaman, nyamuk Anopheles akan menjadikannya sebagai sarang pembiakannya.

Setiap tiga hari, nyamuk betina akan mencari mangsanya sehinggalah ia bertelur dan setiap kali ia menghisap darah, parasit malaria akan disebarkan kepada pesakit baru.

Selagi tiada usaha keras untuk menyekat kesinambungan kitaran ini, sehingga itulah penyakit malaria akan terus wujud dan menjadi masalah kepada manusia sejagat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Nama-nama Bulan Dalam Islam Dan Maksudnya

Nama-nama Bulan Dalam Islam Dan Maksudnya

Taqwim dikenali sebagai kalendar Islam atau Kalendar Hijrah yang disebut dalam bahasa inggeris “Islamic Calendar” digunakan dikebanyakan Negara Islam bagi menentukan hari-hari kebesaran Islam.

Bulan Islam

Bulan dalam bahasa Arab disebut “Al-Syahru” bermaksud bulan yang merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam Islam yang dipanggil bulan-bulan Hijriyah.

Tarikh Hijriyah Islam yang pertama adalah bermula dari perisiwa Nabi Muhammad SAW dan umat Islam berhijrah ke Madinah.

Kebanyakan nama tersebut berasal dari Bangsa Arab Tradisional yang diambil daripada cuaca semasa atau sesuatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar yang berlaku.

Walau bagaimanapun, oleh kerana semua bulan berubah 11 hari lebih awal dan mempunyai kira-kira 354 hari setiap tahun, maka musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.

Nama Bulan Dalam Islam dan Maksudnya;

1. Muharam al-Haram (محرّم)

Bilangan hari, 30. Daripada perkataan haram yang bermakna terlarang. Tradisi arab yang mengharamkan peperangan pada bulan itu.

2. Safar (صفر)

Bilangan hari, 29. Bermaksud tiupan angin. Berkemungkinan cuaca berangin ketika nama digunakan. Safar menunjukkan masyarakat arab (Badwi) meninggalkan rumah mereka.

3. Rabiulawal (ربيع الأول)

Bilangan hari, 30. Bulan pertama musim bunga.

4. Rabiulakhir (ربيع الآخر/ ربيع الثاني)

Bilangan hari, 29. Bulan Kedua Musim Bunga.

5. Jamadilawal (جمادي الأول)

Bilangan hari, 30. "Jamada al-Awwal" bermaksud kering. Bulan pertama bermulanya musim panas.

6. Jamadilakhir (جمادي الآخر / جمادي الثاني)

Bilangan hari, 29. Bulan kedua musim panas. “Jamada al-Akhir” bulan berakhirnya kemarau yang bermaksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.

7. Rejab (رجب)

Bilangan hari, 30. Dikenali sebagai Rajab al Fard. Fard bermaksud keseorangan kerana bulan ini berada jauh dari bulan lain yang mengharamkan peperangan serta merupakan salah satu bulan yang dihormati.

8. Syaaban (شعبان)

Bilangan hari, 29. Berasal dari perkataan"syu'ba", bermaksud berpecah/menyimpang. Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah untuk mencari air.

9. Ramadhan (رمضان)

Bilangan hari, 30. Bulan ke 9 dalam kalendar Islam. Diambil daripada perkataan "ramda", yang bermaksud batu panas. Menceritakan keadaan yang sangat panas ketika nama diberikan.

10. Syawal (شوال)

Bilangan hari, 29. Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting kerana lazimnya unta betina bunting pada ketika bulan itu.

11. Zulkaedah (ذو القعدة)

Bilangan hari, 30. Diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk. Bulan ketiga diharamkan peperangan serta kebanyakan orang menghentikan sebarang aktiviti bagi persiapan menunaikan Haji.

12. Zulhijah (ذو الحجة)

Bilangan hari, 29 (30). Perkataan Haji dijadikan sebagai rujukan nama bulan. Bulan suci terakhir dalam tahun serta bulan ke-empat diharamkan peperangan.

Semoga memberi manfaaat.

BACA INI JUGA: Umar Al-khattab Pencipta Takwim Hijrah

sumber: muftimelaka

Sambutan Hari Penguin Sedunia, World Penguin Day

Sambutan Hari Penguin Sedunia, World Penguin Day

Sambutan Hari Penguin Sedunia, World Penguin Day disambut pada setiap 25 April setiap tahun yang bersamaan dengan tarikh permulaan burung penguin mula berhijrah ke utara.

World Penguin Day

Pada hari sambutan ini juga, kita berpeluang untuk belajar mengenali dan menghargai salah satu penduduk asal Antartika.

Pada hari sambutan penguin ini, penduduk dunia disaran untuk meluangkan sedikit waktu untuk belajar sesuatu tentang burung penguin, sama ada dengan melihat gambar ataupun menonton dokumentari burung comel dan popular ini.

Apa yang menarik, penguin akan mula berhijrah ke daratan selepas menghabiskan masa berbulan di lautan, pada hari dan lokasi yang sama setiap tahun.

Habitat Penguin

Burung Penguin boleh ditemui di Antartika, Afrika Selatan, Australia, New Zealand, Chile, Peru, Kepulauan Falkland dan Kepulauan Galapagos. Di tempat lain, penguin hanya boleh ditemui di dalam zoo.

Penguin spesis terancam

Dari 17 spesies penguin, 13 daripadanya diancam kepupusan dan memerlukan kawasan perlindungan khas.

Malangnya, kapal-kapal nelayan menangkap begitu banyak krill, sejenis udang kecil yang menjadi makanan utama penguin. Krill ditangkap oleh nelayan sebagai makanan ikan salmon.

Lautan Antartika juga semakin dicemari akibat pencemaran minyak dari kapal nelayan, menyebabkan populasi krill semakin mengecil.

Meskipun jelas diancam kepupusan, usaha untuk menyediakan kawasan perlindungan khusus untuk penguin ditolak oleh China, Rusia dan Norway.

Kandungan karbon juga dikatakan telah menyebabkan kualiti air laut berkurangan sebanyak 30 peratus berbanding 50 tahun lepas, menyebabkan populasi plankton dan krill semakin berkurangan.

Selamat menyambut Hari Penguin Sedunia.

BACA INI JUGA: Dindim, Penguin Yang 'Melawat' Penyelamatnya Setiap Tahun!

-SENTIASAPANAS.COM