Friday, December 30, 2016

Hukum Beramal Dengan Hadis Lemah Dan Palsu

Hukum Beramal Dengan Hadis Lemah Dan Palsu

Ibn Hajar al-Asqalani telah membuat perbezaan dan memberi pengertian setiap satu kedudukan hadis seperti sahih, hasan, dan lemah.

Hadis

Apa kepentingan untuk kita mengetahui ilmu ini? Apa tujuan kita mengetahui kedudukan hadis sama ada sahih, hasan ataupun palsu?

Kita perlu mendapatkan kepastian dan kesahihan suatu hadis kerana kita hendak menjadikannya sebagai asas dan sumber rujukan dalam Agama.

Kita hendak solat dengan cara yang betul, sebab itu kita mesti pastikan riwayat tentang solat yang sampai kepada kita adalah riwayat yang sahih (benar), bukan riwayat yang palsu (direka-reka) atau lemah dan diragui.

Sebahagian orang mengambil mudah dan tidak peduli. Asalkan ia disebut hadis, mereka menerima semuanya termasuk yang lemah dan palsu.

Sedangkan hal ini melibatkan urusan akhirat, yang menentukan amalan diterima atau ditolak, yang melibatkan syurga atau neraka, maka hendaklah setiap amalan yang dilakukan itu kita pastikan sahih datang dari Nabi SAW supaya diterima dan dihitung sebagai amal soleh.

Sabda Nabi SAW, “Barangsiapa yang melakukan suatu amalan (ibadah) yang tidak kami perintahkan, maka ia tertolak.” (Riwayat Muslim)

Kalau amalan yang dilakukan tidak betul, bagaimana ia hendak dihitung? Analoginya, majikan memberi kerja kepada kita di pejabat sebagai kerani menaip surat.

Dalam waktu bekerja kita membuat kerja lain seperti sapu sampah, cuci tandas, bersihkan sawang. Kemudian pada hujung bulan kita ‘claim’ upah sapu sampah dan sebagainya.

Adakah majikan akan membayar upah bagi kerja yang tidak dipertanggungjawabkan ke atas kita? Semestinya tidak.

Begitu juga urusan kita dengan ALLAH, Allah telah memberikan garis panduan kerja, tanggungjawab dan tugasan yang kita perlu buat melalui RasulNya, jika kita buat selain dari apa yang ditunjukkan oleh utusanNya, adakah kita yakin ia diterima oleh ALLAH?

Secara zahirnya ia tidak diterima kerana kita melakukan sesuatu yang di luar tugasan yang diberikan.

Jadi untuk pastikan tugas yang dibuat itu betul, hendaklah kita teliti apa yang sampai kepada kita khususnya hadis Nabi, hendaklah dipastikan sahih agar amalan yang dilakukan bertepatan dengan kehendak Allah SWT dan RasulNya SAW.

Hadis dha’if

Hadis dha’if ialah hadis yang tidak sampai ke tahap hadis yang boleh diterima. Hadis yang boleh diterima ada dua; sahih dan hasan.

Hadis sahih pula terbahagi kepada sahih lizatihi dan sahih lighairihi.

Hadis hasan juga terbahagi kepada dua; hasan lizatihi, hasan lighairihi.

Lizatihi merujuk kepada zatnya, yakni hadis itu sendiri sahih dan tidak perlu kepada sokongan. Adapun lighairihi, hadis itu menjadi sahih atau menjadi hasan kerana disokong oleh hadis lain.

Adapun hadis dhaif ialah hadis yang tidak sampai tahap hadis yang boleh diterima.

Ada beberapa pendapat para ulama bersangkutan hukum beramal dengan hadis dhaif;

Pendapat pertama

Mengatakan haram beramal secara mutlak. Ini pendapat Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, juga guru Imam Al-Bukhari – Ali Ibn Al-Madini. Pendapat ini juga didokong oleh Abu Bakar Ibn Al-Arabi dan Imam Al-Syaukani.

Imam Muslim di dalam muqaddimahnya membuat satu bab khusus Haram Meriwayatkan Sesuatu Yang Kamu Tidak Pasti Datang Daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

Kemudian beliau membawakan sebuah hadis, “Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.” (Riwayat Muslim)

Ada yang mendakwa tiada perkataan Imam Bukhari yang mengatakan tidak boleh beramal dengan hadis dhaif.

Sememangnya Imam Bukhari tidak pernah menyebut secara jelas, tetapi seperti yang dinyatakan oleh Syaikh Jamaluddin Al-Qasimi, begitu juga Al-Imam Ash-Shan’ani dan yang lain bahawasanya Imam Bukhari sangat tegas dalam mengambil sesuatu hadis.

Ketegasan beliau sehingga beliau berhati-hati untuk beramal dengan hadis hasan, apatah lagi hadis yang berstatus dhaif, seperti yang dinyatakan oleh Imam Ash-Shan’ani di dalam kitabnya Taudhihu Al-Afkar.

Ini fahaman ulama hadis tentang kenyataan Al-Imam Al-Bukhari dalam kitab beliau.

Pendapat kedua

Mengatakan boleh beramal dengan hadis dhaif secara mutlak. Ini dikatakan sebagai pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Al-Syafi’i, juga Imam Ahmad bin Hanbal.

Kita harus faham bahawa ulama-ulama fuqaha sentiasa diminta fatwa. Mereka akan mendahulukan hadis dhaif berbanding logik akal fikiran.

Tetapi sekiranya terdapat hadis sahih, mereka akan menggunakan hadis sahih dan menolak hadis dhaif. Oleh itu disandarkan kepada mereka kenyataan bahawa mereka membolehkan beramal dengan hadis dhaif.

Pendapat ketiga

Boleh beramal dengan hadis dhaif berkaitan kelebihan amal (fadhail amal) tetapi dengan syarat. Ini pendapat yang masyhur dari Al-Imam An-Nawawi dan diulas oleh Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar Al-Atsqalani.

Orang yang menggunakan pandangan ini hanya mengikut sebahagian syarat dan meninggalkan sebahagian yang lain. Mereka tidak mengikut kesemua syarat yang digariskan.

Ini kerana syarat-syaratnya amat ketat;
  1. Hendaklah dhaif itu bukan dhaif yang bersangatan.
  2. Hendaklah hadis dhaif itu bukan berkaitan dengan hukum hakam, tetapi hanya berkaitan dengan kelebihan-kelebihan beramal. Jadi sekiranya hadis dhaif itu membentuk satu hukum, ia tertolak.
  3. Tidak boleh meyakini bahawa hadis itu datang dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
  4. Tidak boleh menyeru manusia beramal dengannya. Haram hukumnya menyebarkan hadis dhaif dan kemudian menyeru manusia beramal dengannya.
  5. Hendaklah hadis dhaif itu terhasil dari hukum yang asal yang telah sedia ada. Contohnya, hukum mentaati ibu bapa adalah wajib berdasarkan dalil dari Al-Quran dan hadis sahih. Maka kelebihan mentaati ibubapa termasuk dalam kelebihan beramal, at-targhib wat tarhib. Ia mestilah terhasil dari hukum asal yang sabit dari Al-Quran atau hadis sahih. Sekiranya kelebihan beramal itu membentuk suatu hukum baru maka ia tidak boleh diterima. Untuk membentuk hukum solat dengan kelebihan tertentu tidak dibolehkan, sebab itulah Imam Al-Nawawi sendiri menolak solat Raghaib sempena awal bulan Rejab kerana tiada hadis Nabi SAW tentang solat Raghaib.

Inilah lima syarat yang diperuntukkan oleh Imam Al-Nawawi sebelum membolehkan beramal dengan hadis dhaif. Sedangkan adakah orang yang beramal dengan hadis dhaif mengikuti semua syarat-syarat ini?

Mereka menyeru orang beramal dengannya, bahkan orang awam tidak mampu membezakan hadis yang kurang daif atau bersangatan daifnya.

Jadi jika tidak mampu memenuhi syaratnya maka jangan beramal, tinggalkanlah yang dhaif kerana di sana terdapat banyak hadis-hadis sahih yang belum diamalkan.

Beramallah dengan hadis-hadis sahih.

Hadis Palsu

Dahulu pada sekitar kurun kedua dan ketiga hijrah, penyebar hadis palsu dihukum bunuh atau dipenjara seumur hidup.

Maisarah Ibnu Abd Rabbuh, Nuh Ibn Abi Maryam dan Muhammad Ibn Sa’id Al-Mashlub adalah pemalsu hadis dan semua dihukum bunuh.

Nuh Ibn Abi Maryam dibunuh kerana menyebarkan kelebihan surah dalam Al-Qur'an dan ketika ditanya pemerintah mengapa dia mencipta hadis palsu, jawabnya adalah kerana manusia pada masa itu sibuk dengan kitab sejarah Ibn Ishaq dan fiqh Imam Abi Hanifah sehingga tidak membaca Al-Quran jadi beliau menciptakan hadis bertujuan menarik minat manusia agar membaca Al-Qur'an.

Di Malaysia masih banyak buku, penceramah yang menyampaikan hadis palsu, kisah Umar Al-Khatthab r.a. menanam hidup-hidup anak perempuannya semasa kecil diceritakan oleh guru-guru sekolah.

Orang mendengar kisah tersebut sehingga menangis kesedihan, walhal kisah ini karut dan tuduhan palsu ke atas Umar.

Mana mungkin Umar membunuh anak perempuannya, anak sulungnya Hafsah dewasa dan menjadi isteri Nabi SAW.

Memang ada orang arab pada masa itu di kalangan Bani Tamim yang membunuh anak perempuan tetapi ia bukan keturunan Umar, Umar adalah arab Quraisy.

Masyarakat arab dahulu umumnya tidak membunuh anak perempuan mereka seperti mana kata Hindun, “Kami membesarkan anak-anak kami, apabila mereka besar kalian membunuhnya.”

Dia menunjuk kepada Nabi kerana setelah anak mereka besar, mereka dihantar perang, menjadi tawanan perang, dan sebagainya.

Perkataan ini satu bukti menunjukkan masyarakat arab tidak membunuh anak-anak kecuali beberapa kabilah kerana beberapa sebab seperti; mempercayai sial, takut anak menjadi tawanan di mana pada masa itu tiada undang-undang dan peraturan hidup, siapa kuat dan berkuasa maka dia raja.

Jadi mereka membunuh anak perempuan sejak kecil kerana cemburu yang keterlaluan menyebabkan mereka tidak sanggup melihat anak perempuan mereka ditawan. Tetapi Umar tidak melakukan demikian.

Banyak hadis palsu yang datang dari kalangan Syiah untuk memburukkan para sahabat, antaranya Abdurrahman bin Auf masuk syurga merangkak kerana kekayaannya.

Syiah juga membacakan hadis-hadis palsu menceritakan kelebihan Ali di mana riwayat tersebut tidak ada sandarannya.

Sebab itu perlu diwujudkan akta khusus bagi mengawal penyebaran hadis agar setiap hadis yang dibaca di mana-mana tempat sama ada masjid, surau, akhbar, buku dan sebagainya terikat dengan undang-undang secara khusus sebagai langkah permulaan.

Maka sesiapa yang hendak menyebarkan sebarang berita yang disandarkan kepada Nabi mestilah memastikan kesahihannya terlebih dahulu. Kecuali jika disebarkan untuk menjelaskan kepalsuannya.

Kita mestilah hati-hati dalam penyebaran hadis, kerana kata Nabi SAW, “Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

Berkata Ibnu Mas’ud ra., “Lebih baik kamu menyekat dirimu dari melakukan satu sunnah dari kamu menyibukkan dirimu melakukan bid’ah.” Bukan beliau melarang melakukan sunnah, tetapi bagi riwayat yang kita tidak pasti kesahihannya, lebih selamat kita tinggalkan. Kalau beramal kita mungkin melakukan bid’ah sedangkan ia dilarang, jadi tidak mengapa kita tidak beramal dengannya jika tidak pasti.

Wallahu a'lam.

Nota Editor: Kisah ini pada asalnya telah dikongsikan di blog Ustazfathulbari. Semoga ia membantu kita untuk lebih memahami ilmu Islam dengan lebih baik.

BACA INI JUGA: Hadis Palsu Larangan Mengarut Ketika Berjimak

Thursday, December 29, 2016

10 Negara Dengan Rakyat Paling Pemalas Di Dunia

10 Negara Dengan Rakyat Paling Pemalas Di Dunia

Satu kajian mendapati Malaysia berada di tangga ke-10 negara paling malas di dunia dengan 61.4 peratus penduduknya tidak aktif.

Pemalas

Malta yang merupakan antara destinasi pilihan pelancongan pula mempunyai penduduk paling malas di dunia dengan 71.9 peratus rakyatnya tidak aktif.

Jurnal saintifik, The Lancet menyatakan Swaziland menduduki tangga kedua senarai negara paling malas di dunia dengan 69 peratus rakyatnya tidak aktif.

Greece pula dilabel sebagai negara paling kurang malas dalam kajian tersebut.

Hanya 15 peratus penduduk negara Mediterranean itu dikategorikan sebagai tidak aktif.

The Lancet menjalankan satu kajian global termasuk keputusan daripada 122 negara bagi melihat negara mana paling malas.

Secara keseluruhan, kajian itu mendapati wanita kurang aktif berbanding lelaki.

Peratus tertinggi wanita tidak aktif didapati berada di negara-negara yang sukar mendapat pekerjaan akibat kekangan sosial seperti Arab Saudi yang menduduki tangga ketiga senarai berkenaan (Utusan).

Rajah berikut menunjukkan kadar taburan penduduk paling malas di seluruh dunia.

Pemalas

Nampaknya Malaysia menjuarai orang yang paling malas di Asia Tenggara mengalahkan Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Mengikut data yang diberikan, sebanyak 61.4% daripada penduduk Malaysia malas atau tidak aktif, dengan kaum wanita lebih ramai yang malas sebanyak 65.6% berbanding lelaki sebanyak 57.3%.

Kita sebenarnya tak terkejut pun bila Malaysia mendapat ranking ke-10 negara paling malas dalam dunia, malah rasanya kita patut boleh dapat ranking yang lebih baik, sebab kebanyakan orang Malaysia ni serba serbi malasnya.

Pemalas

Malas nak bersenam, sebab tu ramai yang gemuk-gemuk dan obesiti.

Malas nak membaca, sebab tu dengan baca tajuk je dah boleh marah-marah dan emosi tanpa membaca isi kandungan.

Malas nak belajar, sebab tu ramai yang jadi mat rempit dan mat gian.

Malas nak naik tangga, padahal naik satu tingkat je itu pun nak naik lif.

Malas nak buat kerja berat, sebab tu ramai pekerja asing datang Malaysia sebab mereka sanggup buat kerja-kerja berat tu.

Malas nak mengkaji, sebab tu bila dapat apa-apa maklumat kat media sosial terus sebar dan percaya tanpa menyelidik dahulu.

Malas nak buat kerja, sebab tu perkhidmatan kat jabatan kerajaan lembab semacam.

Malas nak berfikir, sebab tu ramai yang lebih suka mengikut sahaja apa yang dah ada daripada menjadi pencetus.

Malas nak berubah, sebab tu mentaliti masyarakat kita susah nak ada perubahan dan masih di takuk lama.

Malas nak mencipta, sebab tu kita hanya mampu mengguna dan bukan mencipta.

Malas nak berjalan, walaupun tempat tu jarak tak sampai 1km masih nak naik motor atau kereta.

Sudahlah. Aku pun dah malas nak menulis ni.

Kbai..

BACA INI JUGA: 26 Sifat Sombong Yang Kita Sering Amalkan!

Sumber: buasirotak

Restoran CH Premier Di Kuching Menjadi Terawal Di Malaysia Menggunakan Pelayan Robot

Restoran CH Premier Di Kuching Menjadi Terawal Di Malaysia Menggunakan Pelayan Robot

Kita sedia mendengar mengenai penggunaan robot di beberapa restoran di luar negara dan terkini penggunaan robot sebagai pelayan akhirnya tiba di Malaysia.

Robot

Restoran CH Premier yang beroperasi di Kuching telah mula mengguna-pakai robot sebagai pelayan, dalam menjadikan proses lebih efisyen selain turut menjadi daya penarik untuk pelanggan.

Sebanyak empat robot digunakan pada restoran berkenaan dan bertugas sebagai pelayan yang beroperasi menghantar makanan daripada dapur kepada meja pelanggan.

Setiap robot berkenaan juga turut dilengkapi dengan sensor untuk memastikan ia dalam jarak yang selamat daripada sebarang objek atau manusia, selain turut boleh bertutur secara ringkas menggunakan bahasa Inggeris atau Mandarin.

Walaupun menggunakan pelayan robot, restoran berkenaan masih memerlukan tenaga kerja manusia buat masa ini untuk pelbagai tujuan, termasuk untuk memasak.

Menarik bukan..

BACA INI JUGA: Misteri Penemuan Teknologi Canggih Manusia Zaman Kuno



Sumber: Amanz

25 Fakta Pelik Tapi Benar Negara-negara Diseluruh Dunia

25 Fakta Pelik Tapi Benar Negara-negara Diseluruh Dunia

Daripada jumlah biri-biri terbanyak dan negara dengan populasi termuda, berikut merupakan 25 fakta-fakta menarik tentang beberapa buah negara di seluruh dunia:

Pelik tapi benar

1. Paling banyak zon waktu: Perancis

Dengan 12 zon waktu, Perancis mendahului senarai negara-negara yang mempunyai paling banyak zon waktu, seperti Amerika Syarikat (11) dan Rusia (9).

2. Jalan raya paling unik: Guam

Di Guam, mereka tidak mempunyai pasir semulajadi dan cuma mempunyai terumbu karang. Oleh itu, mereka menggunakan hablur daripada kerang dan minyak untuk membuat jalan raya.

3. Paling banyak biri-biri: Kepulauan Falklands, UK

Jika sebelum ini anda ingat New Zealand negara yang mempunyai paling banyak kambing biri-biri per kapita, anda salah kerana Kepulauan Falklands mempunyai populasi terbesar haiwan itu, sebanyak 350 ekor setiap seorang!

4. Risiko kesan pemanasan global paling tinggi: Maldives

Maldives

Oleh kerana ketinggian di atas paras lautnya lebih tinggi sedikit daripada ketinggian seorang lelaki biasa, kepulauan Maldives akan paling terkesan jika paras lautan meningkat akibat pemanasan global.

5. Paling tua: Mesir

Mesir merupakab negara paling tua yang wujud di dunia kerana telah membina tamadun sejak 3100 sebelum Masihi.

6. Paling kurang populasi: Mongolia

Negara berkeluasan 1,566,000 km persegi ini mempunyai jumlah penduduk paling sikit di dunia, iaitu cuma 3 juta orang, atau cuma 4 orang bagi setiap batu persegi.

Cuba bandingkan dengan Macau pula, yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 48,003 orang setiap batu persegi!

7. Paling banyak kereta kebal: Rusia

Walaupun Rusia mempunyai 20,000 kereta kebal, namun AS pula memiliki unit yang lebih canggih meskipun jumlahnya hanya 16,000 buah sahaja.

8. Tiada sungai: Arab Saudi

Arab Saudi tidak mempunyai sebatang pun sungai yang merentasi buminya. Namun, teknologi saliran bekalan air mereka adalah antara yang tercanggih di dunia dan mereka juga mempunyai teknologi untuk mendapatlan bekalan air daripada takungan bawah tanah.

9. Paling banyak tasik: Kanada

Kanada

Kanada mempunyai bilangan tasik paling banyak di dunia iaitu sebanyak 3 juta! Malah, negara itu juga mempunyai 60% daripada semua tasik di dunia.

10. Populasi paling muda: Niger

Negara benua Afrika ini mempunyai rakyat termuda di dunia, dengan lebih daripada separuh daripadanya berusia bawah 15 tahun.

11. Populasi paling pelbagai: India

Mungkin rata-rata daripada kita menyangka India merupakan sebuah negara yang hanya mempunyai satu bangsa sahaja, namun sebenarnya negara ini kaya dengan kepelbagaian bahasa, budaya agama dan etnik.

12. Populasi paling merosot: Ukraine

Kadar kesuburan Ukraine adalah antara yang terendah di Eropah, iaitu mempunyai kadar kelahiran cuma 1.30 bagi setiap wanita, mengatasi Jepun yang mempunyai kadar kelahiran 1.41 setiap wanita.

13. Paling ramai migrasi: Malta

Atas beberapa faktor yang menyukarkan untuk rakyatnya menetap di tanah air sendiri, Malta mempunyai populasi paling ramai menetap di luar negara. Lebih ramai rakyatnya menetap di negara lain berbanding di dalam Malta sendiri.

14. Paling kecil: Monaco

Vatican City tidak layak digelar negara terkecil kerana ia tidak mempunyai penduduk tetap, berbanding Monaco yang mempunyai rajanya sendiri dan populasi seramai 37,800 orang dengan keluasan cuma 2km persegi.

15. Paling obes: Nauru

Nauru

Nauru merupakan republik terkecil di dunia yang terletak di lautan Pasifik. Sejak industri fosfat negara itu berkembang pesat, rata-rata daripada rakyatnya menghidap obesiti selepas pengenalan makanan Barat berlemak tinggi di pulau itu.

16. Paling Banyak Hutan: Suriname

Suriname merupakan sebuah negara yang terletak di Amerika Selatan dan mempunyai paling banyak hutan, iaitu merangkumi 91% daripada negara Suriname.

17. Tiada hutan: Haiti

Haiti pula hampir ketandusan hutan kerana aktiviti penebangan hutan yang tidak terkawal.

18. Tiada ladang: Singapura

Payah untuk mencari negara yang tiada ladang langsung namun, Singapura dan Vatican City merupakan dua buah negara yang tidak mempunyai ladang ternakan atau tanaman.

19. Paling banyak bahasa: Papua New Guinea

Walaupun bahasa rasminya adalah Bahasa Inggeris, namun hanya sebahagian kecil sahaj rakyatnya yang bertutur dalam bahasa itu.

Negara Papua mempunyai 800 jenis bahasa pertuturan, yang merangkumi 12% daripada jumlah bahasa di seluruh dunia.

20. Paling kering: Libya

Sebahagian besar muka bumi Libya merupakan padang pasir, iaitu 99%. Oleh itu, kebanyakan wilayah di negara itu ada yang sudah tidak menerima walau setitik hujan selama berdekad-dekad lamanya.

21. Paling berpendidikan: Kanada

Separuh daripada populasi Kanada mempunyai pendidikan peringkat universiti, diikuti dengan Israel di tempat kedua dan Jepun di tempat ketiga.

22. Paling kurang aman: Syria

Akibat peperangan yang tidak henti-henti di negara ini, Syria merupakan negara paling kurang selamat ketika ini.

23. Pembekal oksigen terbesar: Rusia

Rusia

Rusia merupakan pembekal oksigen terbesar dunia, terima kasih kepada Siberia yang mempunyai 1/4 daripada hutan di dunia. Malah, kawasan hutannya juga lebih besar daripada keluasan AS.

24. Pengeluar candu terbesar: Afghanistan

Afghanistan menghasilkan 95% daripada bekalan candu dunia, dengan nilai eksport tahunan sebanyak $4 bilion.

25. Paling ramai banduan: Amerika Syarikat

Jumlah banduan di AS sangat tinggi iaitu seramai 2 juta orang. China pula jatuh ke tempat kedua dengan jumlah 1.4 juta orang banduan, namun lebih baik jika dibandingkan dengan populasinya yang sebanyak 2 bilion orang itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Misteri Brazil Sebagai Lokasi 'Lawatan' UFO!

Sumber: Mynewshub

Khairuddin Cabar Muhyiddin Bersihkan Tuduhan Skandal Dengan Isteri Orang!

Khairuddin Cabar Muhyiddin Bersihkan Tuduhan Skandal Dengan Isteri Orang!

Isu penyingkiran Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin, sekaligus memecah rekod pegang jawatan paling singkat di dunia kini menyebabkan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin pula terpalit sama.

Skandal

Ini selepas rakan baik Anina, yang juga bekas ahli PPBM dan pengasas Gerakan Selamatkan Malaysia, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mahu Presiden PPBM itu membersihkan namanya daripada sebarang tuduhan skandal.

Menurut bekas anggota UMNO itu, selaku presiden parti tersebut, Muhyiddin juga tidak seharusnya dikecualikan daripada membersihkan nama ekoran isu moral yang sedang tular membelenggu imej dirinya sejak sekian lama.

“Semua pihak jangan pandang remeh isu ini. PPBM mesti mengambil tindakan proaktif secara bernas mematikan serangan UMNO terhadap isu skandal ini pada musim pilihan raya umum kelak. Ini pasti berlaku,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini sebagai mengulas isu ‘panas’ Anina yang disingkirkan secara dramatik daripada jawatan ketua sayap pergerakan wanita parti pembangkang terkecil itu pada Ahad.

Anina menerusi kenyataan kepada beberapa portal berita tempatan mendakwa bahawa dirinya dipecat daripada jawatan tersebut, namun dakwaan aneh itu dipertikaikan Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md. Nor.

Mantan ahli UMNO itu berkata beliau sudah tanya Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan setiausaha agung, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh yang mengesahkan keputusan penyingkiran beliau tersebut.

“Jika Anina tidak dilantik disebabkan viral (tular) skandal seks beliau, ramai rakyat di peringkat akar umbi turut bertanya tentang kedudukan tuduhan kes Muhyiddin dengan isteri orang suatu masa dulu,” tegas Khairuddin.

Beliau seterusnya berkata, demi kebaikan kelangsungan hala tuju PPBM, presiden parti itu perlu membersihkan imej diri apatah lagi nama Muhyiddin disebut jelas dalam akuan bersumpah oleh suami wanita tersebut sendiri.

Malah, katanya sebuah badan bukan kerajaan, Jaringan Melayu Malaysia membuat laporan rasmi mengenai kes itu kepada Jabatan Agama Islam Johor kerana ia berlaku sewaktu Muhyiddin ialah Menteri Besar negeri berkenaan.

“Kalau PPBM ingin cemerlang, ia bukan saja mesti bersih tetapi juga harus kelihatan bersih. Majlis tertinggi parti mesti ambil pendekatan tegas ke arah membersihkan imej parti yang makin tercalar kebelakangan ini,” katanya.

Sehubungan itu ujar Khairuddin, Pakatan Harapan harus pertimbangkan untuk menonjolkan calon lain pula dari kalangan tokoh pemimpin muda seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai bakal perdana menteri baharu.

Ia sebagai persediaan jika barisan pembangkang memenangi pilihan raya umum susulan keputusan muktamad mahkamah tidak membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan liwat. -M

'Tuduhan skandal seks lumrah politik'

Anina

Ketua Srikandi Bersatu, Anina Saadudin menganggap skandal seks yang dikaitkan dengannya sebagai lumrah kehidupan ahli politik.

Menurutnya, apa yang lebih penting adalah kepercayaan orang sekeliling yang rapat dengannya sebelum bergelar ahli politik.

“Skandal seks yang dikaitkan dengan saya adalah salah satu lumrah dalam kehidupan ahli politik Malaysia.

“Saya didatangi seorang anak murid dan mengucapkan tahniah kepada saya. Saya tanyakan kenapa? Beliau menjawab: “sekarang pensyarah saya telah sah menjadi ahli politik Malaysia kerana sudah dipalit skandal seks.

“Saya kira bekas anak murid saya yang mengenali saya bertahun-tahun dan kini ahli perniagaan berjaya ini, lebih memahami keperibadian saya dari khalayak politik yang baru mengenali saya sejak setahun lebih.

“Apa yang penting bagi saya, kepercayaan anak-anak, ahli keluarga, anak-anak murid dan sahabat yang sentiasa mengambil berat tentang perihal saya sejak dahulu, yakni sebelum saya bergelar seorang ahli politik,” katanya.

Anina mengulas tuduhan skandal seks terhadapnya.

Beberapa laman web didapati menyebarkan transkrip perbualan WhatsApp lucah didakwa melibatkan Anina bersama seorang lelaki.

Anina berkata, sebagai ketua srikandi, beliau bersedia dengan cabaran dan dugaan bakal ditempuhi.

“Saya menerima jawatan ini dengan penuh tanggungjawab dan sedar amanah ini bakal dipersoalkan sesudah matinya saya.

“Memimpin satu bala tentera sayap wanita sebuah parti ditunjangi Tun Dr Mahathir (Mohamad) adalah penghormatan besar bagi saya, namun lebih besar dari itu, tanggungjawab ini menuntut pengorbanan jiwa dan raga bukan hanya saya seorang, malah anak-anak, keluarga besar saya, beribu anak murid yang sayangkan saya di seluruh negara serta sahabat-sahabat terdekat saya,” katanya. -SH

BACA INI JUGA: Mampukah Dosa Mahathir Dipadamkan?

Wednesday, December 28, 2016

‘Tiada Siapa Suka Dilabel Mak Janda’

‘Tiada Siapa Suka Dilabel Mak Janda’

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Begitulah yang terjadi pada pengacara Donna Muslim apabila teruk dihentam peminat Rita Rudaini selepas mengelar pelakon wanita itu sebagai ‘Mak Janda’ menerusi laman Instagramnya.

Janda

Berikutan insiden itu, Donna, 27, tampil mengakui kesalahannya dan memberi penjelasan kepada semua pihak.

“Sejujurnya saya tak berniat nak menghina atau memperkecilkan status Rita. Tujuan saya membalas komen salah seorang kenalan wanita di laman Instagram itu adalah untuk membaiki soalan yang ditujukan kepada saya.

“Tapi disebabkan saya menggunakan perkataan sama iaitu Mak Janda, jadi ia seolah-olah mengiyakan apa yang ditulis.

"Dalam hal ini, saya akui memang salah saya. Pada masa sama saya ralat apabila menggunakan perkataan itu bagi tujuan membalas komen,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Donna memberitahu, dia telah pun memohon maaf kepada Rita selepas perkara itu menjadi kecoh.

“Selepas perkara ini kecoh diperkatakan, Rita ada menghantar paparan skrin komen saya. Disebabkan dia bertanya, jadi saya memberi penjelasan. Saya pun meminta maaf.

“Bukan apa, saya tahu perkara sebegini boleh merosakkan persahabatan kami. Cuma apa yang ingin saya katakan adalah kalau boleh peminat pun janganlah bersikap lebih-lebih,” katanya.

Sementara itu, Rita yang mengetahui hal itu daripada peminatnya menyifatkan tindakan pengacara itu sebagai kurang bijak.

“Sepatutnya sebagai kawan dia tak patut menggunakan perkataan itu apatah lagi di laman sosial.

"Semua orang tahu status saya sebagai ibu tunggal, tapi tak ada siapa yang suka jika dilabel dengan gelaran itu,” katanya.

Diharap salah faham antara ‘teman tapi mesra’ ini dapat diselesaikan segera, tambahan pula Donna telah pun mengakui kesilapan dirinya.

BACA INI JUGA: Kisah Benar Suami Mengaku Curang Dengan Janda

Sumber: HM

Salahkah Rakyat Terima BR1M Untuk Bayar GST?

Salahkah Rakyat Terima BR1M Untuk Bayar GST?

Isu mengenai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) mendapat perhatian banyak pihak termasuklah rakyat yang menerima bantuan itu sendiri.

BR1M

Sebelum ini, Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Mahathir mendakwa pemberian BR1M itu merupakan satu rasuah telah membuatkan ramai pemimpin khususnya BN membidas semula kenyataan beliau itu.

Kini rakyat pula memberikan pandangan mereka mengenai isu tersebut, ada yang menyokong pemberian wang tersebut dan ada juga yang bersetuju dengan dakwaan bahawa BR1M itu rasuah.

Pengguna Facebook Said Ahmed menegaskan, BR1M itu merupakan bantuan Kerajaan Malaysia.

“Cuba lihat pada tajuk, ia kata Bantuan Kerajaan Malaysia, bukannya Rasuah Kerajaan Malaysia, kalau nak cakap rasuah, tidak perlulah terima bantuan apa-apa daripada kerajaan negeri mahupun Persekutuan,” tulisnya.

Bagi Tar Dusun pula sangat bersyukur dengan wang bantuan tersebut kerana ia sedikit sebanyak membantu kehidupannya

“Pada kami yang miskin ini bersyukur dengan rezeki yang diberi oleh itu tidak perlu lah ia disensasikan.

“Lagipun mereka yang menerimanya semua bangsa yang layak, mengenai isu memancing undi itu saya rasa terpulang pada individu untuk fikir apa,” katanya pula.

Sementara itu, O’rash Shah pula mengatakan bahawa pemberian BR1M itu membazir dan tidak perlu.

“Lihatlah, duit negara dilaburkan kepada rakyat yang tidak berkenaan dan kemudian tidak mendapat pusingan modal.

“Kesudahannya, naikkan harga minyak masak, barang-barang lain dan kenakan GST, akhirnya rakyat juga yang sengsara” tulisnya.

Bagi Zaini Aziz pula beliau berpendapat bahawa wang bantuan itu merupakan sogokan untuk memancing undi rakyat

“Hanya penerima rasuah sahaja yang kata BR1M itu bantuan dari kerajaan sedangkan ia adalah wang sogokan atau rakyat akan terus menyokong kerajaan sedia ada,” tulisnya pula.

Pengguna Facebook Mdzza Zaman pula meminta adakan satu pemeriksaan mengenai penerima BR1M ini untuk memastikan orang yang menerimanya adalah tepat.

“Cuba periksa penerima BR1M ini, adakah mereka ini benar-benar miskin atau hanya miskin buatan iaitu mereka yang malas bekerja dan sebagainya.

“Walaupun bukan semua penerima wang bantuan itu begini tetapi bilangan mereka agak ramai, mungkin boleh selidik perkara ini dengan lebih dalam,” tulisnya.

***

Bagi kita, pemberian BR1M oleh kerajaan jauh daripada janji bahawa pungutan GST sebelum ini yang kononnya akan dikembalikan semula kepada rakyat, dan mungkin inilah fakta utama kenapa BR1M dianggap sebagai rasuah, semata-mata untuk mengabui mata marhaen bagi mendapatkan sokongan politik.

Dan kepada pembangkang, sekadar mengatakan bahawa BR1M adalah rasuah tanpa usaha mahupun janji untuk menghapuskan GST dan mengentikan pemberian BR1M langsung tidak membantu dalam menyelesaikan kuasa beli rakyat yang semakin susut.

Ambillah BR1M anda kerana itu jauh lebih baik daripada wang berbilion itu jatuh ke tangan menteri-menteri kaya di Malaysia yang korup!

BACA INI JUGA: Kes Rasuah di Sabah, Bila SPRM Mahu Menyiasat Pemimpin Politik Yang Kaya-raya?

Sumber: SH

Sejarah Perubahan Waktu Di Malaysia Dan Kuasa Melentur Masa Tun Mahathir Yang Ramai Tidak Tahu

Sejarah Perubahan Waktu Di Malaysia Dan Kuasa Melentur Masa Tun Mahathir Yang Ramai Tidak Tahu

Tun Mahathir ketika menerajui kepimpinan kerajaan Malaysia, banyak melakukan perubahan yang menongkah arus perdana.

Tun+Mahathir

Salah satu perubahan kontroversi yang beliau pernah lakukan adalah mempercepatkan masa. Ya! Mempercepatkan masa.

Waktu Piawai Malaysia atau Malaysian Standard Time merupakan waktu piawai yang digunakan di Malaysia. Ia 8 jam di hadapan GMT atau UTC di United Kingdom. Namun, tahukah anda sejarahnya di Malaysia?

Pada 31 Disember 1981, jam 11:30 malam, jutaan rakyat Malaysia menyaksikan jam di menara Bangunan Sultan Abdul Samad dipercepatkan 30 minit menjadi jam 12 tengah malam. Semua jam di semenanjung Malaysia juga diarah berbuat demikian.

Kenapa di semenanjung sahaja?

Sebelum tarikh keramat itu, zon masa di Malaysia Barat (MB) dan Malaysia Timur (MT) tidak selaras. MB guna GMT+7.30, manakala MT guna GMT+8. Bagi memudahkan urusan rasmi dan pentadiran ekonomi negara, Tun Mahathir mahu waktu di seluruh Malaysia diselaraskan.

Beliau telah memilih GMT +8 untuk dijadikan Waktu Piawai Malaysia (WPM), memandangkan MT memang dah guna GMT +8, hanya jam di MB sahaja terlibat ketika penyelarasan waktu tersebut.

Namun begitu, ramai yang mempertikaikan pemilihan GMT +8 sebagai WPM.

Bukankah pusat ekonomi Malaysia pada ketika itu adalah di Kuala Lumpur? Mengapa tidak diselaraskan kepada GMT +7.30?

Pilihan Tun Mahathir itu mengambil kira pengaruh ekonomi yang lebih meluas kerana kuasa ekonomi besar di rantau ASEAN seperti Hong Kong, China dan Taiwan menggunakan zon masa GMT +8, jadi berada pada zon masa yang sama dengan kuasa-kuasa ini dikira akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

Anjakan 30 minit kehadapan ini telah menjadikan waktu MB sedikit pelik berbanding waktu di bandar-bandar lain yang terletak berhampiran garis khatulistiwa.

Pelik bagaimana?

Kunasegaran Velliah

Kunasegaran Velliah (gambar) pekerja di Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) memusingkan jam di menara jam bangunan Sultan Abdul Samad setiap dua hari, semenjak 1975.

Di Khatulistiwa, secara ideal, pertukaran siang dan malam berlaku sekitar jam 6 pagi dan 6 petang. Ini menjadikan siang dan malam sama panjang sela masanya, iaitu masing-masing 12 jam.

Siang berlangsung dari 6 pagi hingga 6 petang, jadi pertengahan waktu siang adalah jam 12, sebab itu jam 12 digelar “tengah hari”.

Malam berlangsung dari 6 petang hingga 6 pagi, jadi pertengahan waktu malam adalah jam 12, sebab itu jam 12 digelar “tengah malam”.

Di bandar-bandar yang terletak berhampiran Khatulistiwa — Somalia, Jakarta, Makassar, Bandar Seri Begawan, malah di Kota Kinabalu dan Labuan, matahari terbit sekitar jam 6 pagi dan terbenam sekitar jam 6 petang. Ini hampir ideal.

Di Kuala Lumpur dan bandar-bandar MB pula, matahari terbit sekitar jam 7 pagi dan terbenam 7 petang. Pelik kan?

Oh ya! Tun Mahathir bukan orang pertama yang tukar waktu di Malaysia kerana emasa zaman penjajahan, beberapa kali zon waktu di rantau ini diubah.

British pernah mengarahkan penggunaan zon waktu GMT +7 dan pada zaman penjajahan Jepun, kita menggunakan GMT +9, selaras dengan zon masa Tokyo.

Penyelarasan zon masa bukanlah sesuatu yang hanya berlaku di Malaysia. Demi kepentingan ekonomi dan pentadbiran, Singapura juga terpaksa ikut berganjak 30 minit ke hadapan pada penghujung tahun 1981 itu.

Bayangkan kalau Singapura kekal guna GMT +7.30, naya orang Johor yang bekerja di seberang tambak.

Setiap hari, selepas melalui kaunter imigresen, kena selaraskan semula jam tangan. Tak pun pakai jam di kedua-dua belah tangan. Kanan waktu Malaysia, kiri waktu Singapura. Hahaha.

Selain itu, pada tahun 2001, Thailand juga pernah bercadang menukar zon waktunya daripada GMT +7 kepada GMT +8, namun tidak terlaksana.

Malah, usul tentang penyeragaman zon waktu negara-negara ASEAN pernah diketengahkan dan zon waktu pilihan dalam usul itu adalah GMT+8.

Patutlah orang semenanjung selalu lewat datang temujanji. Lupa nak cepatkan jam 30 minit ketika tahun 1981 tu kot.

BACA INI JUGA: Hebatnya Tun Mahathir Kerana Tak Usik Perut Rakyat

Sumber: Thevocket

Ekonomi Bumiputera Terus Merosot, Kenapa Menteri Perlu Berbohong?

Ekonomi Bumiputera Terus Merosot, Kenapa Menteri Perlu Berbohong?

Berikut adalah kiriman artikel dari seorang pembaca yang menggelarkan dirinya Syeikh Awang Belanga.

Rahman+Dahlan

Pada hari Krismas, Menteri di Jabatan Perdana menteri Dato Rahman Dahlan telah mengeluarkan kenyataan mengenai BR1M, gaji minimum dan jurang pendapatan.

Antara lain beliau berkata bahawa terdapat peningkatan ekonomi yang baik di kalangan Bumiputera, malah peningkatan ini lebih baik di zaman pemerintahan Dato Seri Najib berbanding zaman Tun Dr Mahathir.

Ini tidak berapa benar.

Pertama sekali, terdapat kesilapan ‘amatur’ dalam hujah beliau di mana beliau menegaskan pendapatan isi rumah kaum Bumiputera pada lima tahun terawal pemerintahan DS Najib (2009 – 2014) naik lebih tinggi berbanding Tun Mahatir (1984-1989).

Untuk makluman, Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, bukannya 1984. Adalah tidak bererti dan beretika sekiranya perbandingan dibuat pada tahun yang salah.

Kedua, walaupun pendapatan kaum Bumiputera meningkat, namun jurang pendapatan berbanding kaum lain tidak menunjukkan peningkatan.

Malah, dari beberapa segi, ianya menunjukkan kemunduran! Pada tahun 2009 apabila DS Najib menjadi Perdana Menteri, bagi setiap Ringgit yang dimiliki oleh Bumiputera, kaum Cina memiliki RM1.38.

Tetapi pada tahun 2014, bagi setiap Ringgit yang dimiliki oleh Bumiputera, kaum Cina masih juga memiliki RM1.38.

Tiada peningkatan langsung walaupun berbilion dibelanjakan untuk ‘Agenda Bumiputera”. Malah, jurang melebar di antara kaum Bumiputera dan India.

Jika dahulu secara purata, isi rumah kaum India mempunyai pendapatan 10% lebih dari kaum Bumiputera, kini ianya naik 13%. Bukan jurang makin mengecil, tapi melebar.

Dari segi nilai absolute pula, sah jurang pendapatan antara kaum Bumiputera dan kaum Cina melebar dari RM 1387 hingga RM2118 pada tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 53%!

Begitu juga di antara kaum India dan Bumiputera pada tempoh yang sama, jurang pendapatan isi rumah bulanan naik 86%!

Nah, masihkah kita boleh berbangga dengan pencapaian ini wahai pemimpin UMNO?

Sejak 2009, bukan hanya kaum Bumiputera ketinggalan ke belakang berbanding kaum lain dari segi pendapatan isi-rumah, malahan juga dari segi pemilikan aset.

Pemilikan terraced factory/warehouse oleh Bumiputera telah merosot dari 45% kepada 35.1%, manakala pemilikan rumah kediaman oleh Bumiputera juga mengecil; dari 27.2% kepada 26.1%.

Pemilikan aset yang lain seperti detached factory, commercial buildings dan industrial complexes juga mengalami nasib yang sama.

Malah, penguasaan ekuiti juga tidak berkembang seperti dahulu disebabkan ketaasuban dasar ‘liberal’ Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri. Penguasaan ekuiti pada tahun 2015 adalah 16.8%, naik hanya 0.7% sejak 2011. Ini satu kegagalan!

Kemerosotan ekonomi kaum Bumiputera berterusan di sektor yang lain, contohnya, peratusan doktor dan juruukur Bumiputera juga berkurangan sejak 2010 berbanding 2014.

Jika pada tahun 2010, peratusan doktor Bumiputera adalah 48%, kini ianya berkurangan kepada 46%. Bidang profesional lain hanya menunjukkan peningkatan yang amat kecil sekali.

Jadi bagaimana Menteri Ekonomi boleh berkata pencapaian Bumiputera ‘amatlah memberangsangkan”? Kita telah ke belakang, bukannya ke hadapan berbanding kaum lain. Semua analis di atas adalah berdasarkan data awam dari EPU sendiri.

Ketiga, Menteri EPU ini juga mengingatkan kita bahawa banyak negara mengamalkan pemberian wang a la BR1M. Adakah ianya salah di segi undang-undang dan adakah ianya rasuah politik akan kami huraikan nanti.

Tetapi pokoknya, adakah kita boleh mendabik dada apabila hampir 4.7 juta isi rumah ataupun bersamaan dengan 74% jumlah keseluruhan 6.35 juta isirumah di Malaysia mendapat bantuan BR1M?

Ini bukanya petunjuk hebat ke arah negara maju yang diuar-uarkan oleh kerajaan. Ini tidak termasuk hampir 3 juta individu yang berumur 21 tahun ke atas.

Bilangan yang mendapat BR1M bukannya berkurangan, malah bertambah. Banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, bukan hanya dengan BR1M.

Adalah jengkel apabila kita diingatkan bahawa BR1M ini cara yang baik untuk kesejahteraan rakyat, tetapi pada masa peruntukan untuk menaiktaraf mobiliti sosial seperti biasiswa dan pendidikan tinggi telah dipotong.

Keempat, dan akhir sekali, Menteri EPU merangkap Pengarah Strategik Barisan Nasional berkata bahawa negara makin adil.

Hujah beliau berdasarkan salah satu penunjuk statistik iaitu Gini coefficient. Ya mungkin benar, tetapi pakar ekonomi tempatan ada memberi amaran mengenai ‘pencapaian menakjubkan ini”.

Contohnya, mana mungkin Perlis yang pada tahun 2012 mendapat tempat teratas sebagai negeri paling tinggi jurang ketidaksamaan, secara tiba-tiba dua tahun kemudiannya menjadi salah satu negeri yang paling ‘equal’? Ini tidak masuk akal.

Malah, sekiranya kita melihat jurang simpanan seperti di ASB atau KWSP, kita tidak akan menyokong pendapat Menteri ini.

Adakah negara ini adil dari segi pengagihan kekayaaan apabila penyimpan 0.2% teratas di ASB mempunyai simpanan yang lebih tinggi daripada 80% penyimpan yang lain?

Adakah adil negara bertuah kita ini apabila 0.3% penyimpan teratas di KWSP mempunyai simpanan yang lebih besar daripada separuh jumlah penyimpan?

Seperti yang ditulis oleh Tun Daim sebelum ini, keyakinan rakyat terhadap pemerintah kini pada tahap yang kronik.

Salah satu cara penyelesaiannya adalah pemerintah haruslah bersikap jujur dan terbuka dalam masalah yang dihadapi.

Bukannya dengan cara syok sendiri dan mengelirukan rakyat seperti apa yang dilakukan oleh Menteri Ekonomi sekarang ini.

BACA INI JUGA: Luahan Kesedihan Orang Miskin Bila Harga Minyak Naik RM0.20 Sahaja!!

Sumber: Jebatmustdie

Misteri Dan Rahsia Kekuatan Bangsa Turki

Misteri Dan Rahsia Kekuatan Bangsa Turki

Bangsa Turki pernah bangkit sebagai kuasa besar paling utama pada abad ke-15 dan berterusan sehingga kejatuhan empayarnya sekitar abad ke-19.

Sejarah+Turki

Pengaruhnya menjangkaui sehingga ke Eropah apabila beberapa wilayah di bawah naugannya berada di timur Eropah.

Bangsa Turki yang menerajui empayar Othmaniyyah sangat terkesan di hati setiap umat Islam. Bukan untuk menidakkan keagungan empayar Islam yang lain seperti Ummayyah, Abbasiyyah, Mamluk, Fatimiyyah dan lain-lain namun empayar Turki Othmaniyyah mempunyai satu-satunya pemimpin yang diramalkan oleh junjungan besar, Rasulullah SAW di hadis kursinya.

Pemimpin yang dimaksudkan adalah Muhammad atau lebih dikenali Sultan Muhammad al-Fatih. Gelaran al-Fatih yang membawa maksud ‘Si Pembuka’ merujuk kepada peranan besarnya membuka dan menakluk kota Konstatinopel.

Penaklukan kota utama umat Kristian sekitar kurun ke-15 itu adalah sumbangan Sultan Muhammad al-Fatih yang tiada tolak bandingnya. Sehingga ke hari ini kota tersebut masih lagi di bawah genggaman umat Islam yang berada di bawah naugan kerajaan Turki sekarang.

Detik bersejarah tersebut yang berlaku pada 1453 masihi menandakan berakhirnya kerajaan Kristian Byzantine Timur yang berpusat di kota Konstatinopel.

Siapa bangsa Turki sebenarnya?

Bangsa Turki disifatkan oleh pakar-pakar Sirah Islam sebagai bangsa yang berasal daripada anak nabi Nuh as, Yafit. Diriwayatkan, Nabi Nuh as mempunyai tiga oleh anak lelaki iaitu Sam, Yafit dan Ham.

Sam menurunkan ras bangsa Semitik yang berkulit keputihan seperti Arab, Parsi, Syria, Yunani, Latin (Sepanyol) dan di sebelah Barat dunia. Daripada anak-pinak Sam lahir ramai Rasul dan Nabi.

Dikisahkan bahawa pada zaman Nabi Isa as, berkat mukjizat baginda, Sam telah dibangkitkan daripada kuburnya dan sempat menceritakan peri sakitnya kematian.

Ham menurunkan bangsa berkulit hitam seperti bangsa yang kebanyakan mendiami benua Afrika. Di dalam kitab Perjanjian Lama (Old Tastement), Ham telah dilaknat oleh Nabi Nuh as dan kisah tersebut dikenali sebagai Ham’s Curse. Laknat Nabi Nuh as yang kononnya diberitakan dalam kitab Perjanjian Lama tersebut antara lain melaknat keturunan Ham dan anak pinaknya bakal menjadi hamba kepada anak-pinak Sam dan Yafit.

Yafit pula menurunkan ras bangsa berkulit kulit langsat seperti Cina, Mongoloid, Russia dan beberapa bangsa di sebelah Timur dunia. Anak-pinak Yafit mempunyai sifat dan semangat suka berperang yang tinggi. Kebanyakan yang lahir daripada suku Yafit adalah sang penakluk hebat. Lihat saja bangsa Cina, Mongol dan juga Rusia.

Daripada genetik Yafit ini sebenarnya lahir bangsa Turki. Turki sepertimana bangsa-bangsa suku Yafit yang lain suka berperang dan menakluk. Daripada Yafit juga lahir bangsa yang cukup terkenal kejamnya dan diramalkan oleh Rasulullah SAW dalam banyak hadis kursinya. Bangsa tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah bangsa Yakjuj dan Makjuj.

Yakjuj dan Makjuj mempunyai beberapa gelaran lain. Bangsa Cina mengelar mereka Xiongnu, Yunani pula mengelar mereka sebagai Sos dan bangsa Barat mengelar mereka sebagai bangsa Sychtia atau Simmeria. Dalam tradisi masyarakat Kristian juga mengenali bangsa Yakjuj dan Makjuj sebagai Gog dan Magog.

Kaitan Yakjuj & Makjuj dan Turki

Darius Gorge
Sebuah kawasan pergunungan di Darius Gorge yang diyakini sebagai tempat tembok Zulkarnain dibina.

Antara kedua-dua bangsa iaitu Yakjuj dan Makjuj dan bangsa Turki, terdapat cerita yang berkait. Umumnya, bangsa Yakjuj dan Makjuj adalah bangsa yang ganas dan suka membuat kerosakan.

Mereka muncul membawa kerosakan pada dunia. Ia diberitakan oleh Allah SWT di dalam al-Qur'an dalam surah al-Kahfi;

Mereka berkata, “Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara kami dan mereka?”

Mereka menguasai dunia, bahkan tiada apa yang mampu mengalah dan menumpaskan mereka. Rasulullah SAW bersabda bahawa ketika mana Yakjuj dan Makjuj bermaharajalela di muka bumi, Allah SWT mematikan mereka dengan mengirimkan satu wabak di mana ulat-ulat memakan belakang badan mereka sehingga tiada apa yang mampu diselamatkan. Begitu hebat dan ganasnya perilaku bangsa terkutuk ini.

Namun apakah saling perkaitan antara bangsa Turki dengan Yakjuj dan Makjuj?

Diriwayatkan bahawa ketika ekspedisi Zulkarnain yang memerangi kaum Yakjuj dan Makjuj di tempat yang disifatkan Allah sebagai ‘di antara dua buah gunung’ dalam surah al-Kahfi ayat 93, kaum terkutuk tersebut terperangkap di antara gunung-gunung tersebut.

Lalu dengan bantuan masyarakat tempatan, Zulkarnain dan bala tenteranya mengurung Yakjuj dan Makjuj dengan tembok besi bersadur tembaga berkat dengan rahmat daripada Allah SWT.

Yakjuj dan Makjuj tidak akan berjaya menembusi tembok tersebut dan kekal terkurung di dalamnya sehingga tiba masa yang ditetapkan Allah SWT.

Ekspedisi tersebut ternyata berjaya namun, ketika pertempuran tersebut terdapat saki-baki daripada mereka yang berjaya ‘melepaskan diri’. Bangsa tersebut adalah bangsa Turki.

Istilah Turki adalah berasal daripada perkataan ‘Taraka’ atau ‘Turika’ yang membawa maksud ‘meninggalkan’ atau ‘ditinggalkan’.

Boleh jadi, asal asbab istilah Turki yang dinisbatkan kepada bangsa Turki adalah kerana kisah saki baki bangsa Yakjuj dan Makjuj yang berjaya berlepas diri.

Dalam satu kajian lain, antara suku yang berjaya melarikan diri daripada serangan bertali arus tentera Zulkarnain adalah suku Mongol yang mana kemudiannya mendiami Gurun Gobi dan Steppe di Mongolia.

Mongol sepertimana ‘moyangnya’ dilahirkan sebagai bangsa yang ganas. Perang tiada etika sehingga memusnahkan beberapa tamadun agung di dunia.

Antara yang menjadi mangsa kerakusan suku Mongol adalah Dinasti Abbasiyyah. Baghdad yang dilanggar oleh suku Mongol telah hancur luluh dan rebah menyembah bumi.

Kejatuhan Baghdad di tangan Mongol menyebabkan kota tersebut hilang fungsi sebagai pusat tamadun dan perabadan dunia.

Ironinya sehingga kini kota tersebut gagal bangkit seperti yang berlaku pada zaman keemasannya.

Rasulullah SAW menyedari potensi Turki

Sultan Muhammad al-Fatih

Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda; ‘Tinggalkan Turki selama mana mereka tinggalkan kalian.’

Hadis ini memberi gambaran bahawa Turki patut diberi keistimewaan berbanding lain-lain bangsa kerana bangsa ini seakan-akan diberi gambaran bahawa ia dielakkan untuk diperangi bahkan memberi mereka ruang untuk berlepas diri.

Ekspedisi dakwah Islam ke atas lain-lain bangsa bermula seawal zaman Rasulullah SAW di mana Rasulullah SAW mula mengirimkan risalah dakwah kepada beberapa Raja di negara jiran baginda.

Antara yang mendapat risalah tersebut adalah Hercules daripada Byzantine dan Kisra Khusraw daripada Parsi Sasanid.

Hercules meskipun diriwayatkan tidak menerima Islam tetapi melayan duta Rasulullah SAW dengan baik.

Namun, berlainan dengan reaksi Kisra apabila mengoyak risalah Rasulullah SAW sehingga menguris hati baginda.

Apabila Rasulullaw SAW wafat dan diganti dengan sistem khalifah, ekspedisi dakwah rancak berjalan.

Beberapa wilayah dan tamadun besar berjaya ditawan. Antaranya adalah Mesir oleh Amr bin As. Syria dan Parsi pula oleh Saad bin Abi Waqqas, Khalid al-Walid dan Ubaidah ibn Jarrah.

Namun, bangsa Turki tetap diberi kelonggaran dan antara yang pertama menjalinkan hubungan dengan Turki adalah Saidina Uthman bin Affan.

Saidina Uthman menyeru mereka kepada Islam dan berpusu-pusu mereka memeluk Islam. Berkat keislaman mereka di zaman khulafa ar-Rashidin dan para tabiin, mereka menjadi muslim yang berpegang kuat kepada ajaran Islam.

Bangsa Turki pada masa itu kebanyakannya berasal daripada kawasan pergunungan Turkistan dan dataran Steppe. Menjelang abad ke-8 Masihi, mereka berhijrah ke arah Barat melalui dataran tinggi Serbia menuju ke laut Arab dan sebahagian pula ke wilayah Russia.

Ketika Mongol berkuasa dan menjarah banyak tempat di Asia Tengah, beribu-ribu bangsa Turki sekali lagi mengalami pengasingan apabila mereka terpaksa berhijrah ke negeri-negeri jiran mereka.

Semasa pemerintahan Dinasti Abbasiyyah, bangsa Turki sangat taat kepada penguasa di Turkistan. Mereka mendapat layanan yang baik daripada pemerintah Dinasti Abbasiyyah terutama semasa pemerintahan Al-Mustashim.

Kerana Al-Mustashim berfahaman Muktazillah dan banyak menzalimi ulama ahli Sunnah, maka pemerintahan Al-Mustashim banyak berlaku pemberontakan. Oleh itu, Al-Mustashim mengalihkan pusat pemerintahan ke Samarra.

Di sana, Al-Mustashim lebih menggemari pegawai berbangsa Turki berbanding Arab kerana curiga dengan kesetiaan bangsa Arab iaitu bangsanya sendiri kepadanya. Bermula daripada detik itu, bangsa Turki mula mendapat kekuatan terutama daripada segi politik.

Banyak pegawai dan panglima Turki berperang di sempadan Byzantine bagi menjaga wilayah Abbasiyyah.

Lama-kelamaan, bangsa Turki membentuk kekuasaan di sempadan yang pada mulanya taat setia kepada Dinasti Abbasiyyah. Apabila Dinasti Abbasiyyah runtuh, mereka muncul membentuk komuniti yang berpaksikan militari di sempadan.

Maka disitu bermulalah era Bani Saljuk yang mana pemerintah pertamanya adalah Sultan Arp Arslan. Mereka memiliki semangat jihad yang tinggi, bervisi jauh dan ingin melihat Islam tertegak di merata ceruk.

Mereka bangga menggelar mereka ‘Ghazi’ yang membawa maksud ‘orang yang suka berperang’. Sememangnya mereka gemar berperang atas dasar jihad dan tidak sesekali goyang berhadapan musuh.

Di satu sisi yang lain pula, lahir pula sebuah Dinasti yang lebih agung yang berbangsa Turki. Ia adalah dinasti Othmaniyyah yang diasaskan sekitar abad ke-13. Dinasti ini bermula daripada seorang lelaki yang bernama Ertugrul.

Ertugrul dikatakan berhijrah daripada tanah airnya ke Asia Minor bersama-sama 400 tentera berkudanya. Di sana, beliau bergabung dengan Kesultanan Saljuk untuk memerangi empayar Rom Byzantine.

Gabungan kedua-dua tentera Islam tersebut membuahkan hasil dan mencapai kemenangan. Atas jasa Ertugrul, sebuah wilayah di Eskisehir dihadiahkan kepada beliau.

Kemudian, anak kepada Ertugrul iaitu Osman I yang bercita-cita tinggi mendirikan sebuah empayar yang dikenali sebagai Dinasti Othmaniyyah.

Empayar Othmaniyyah menenggelamkan beberapa empayar Islam yang lain sehingga pada satu peringkat empayar ini mencapai keluasan yang mencecah ke sempadan Eropah. Beberapa sultan dan panglima agung bangkit daripada empayar bangsa Turki ini.

Sultan Muhammad al-Fatih yang mendapat sanjungan Rasulullah SAW kerana berjaya membuka kota Konstatinopel lahir di dalam kelompak Bani Othmaniyyah.

Ironinya, inilah bangsa yang dikatakan serpihan Yakjuj dan Makjuj daripada susur galur Yafit.

Inilah hikmah yang mana Allah SWT adalah juru-aturnya. Lihat bagaimana Allah SWT memberi kekuasaan kepada siapa yang Dia suka.

Islam bukan terletak di tangan bangsa Arab bahkan kepada sesiapa sahaja. Bangsa Turki menunjukkan kepada kita bahawa mereka boleh dijadikan satu tanda aras kepada kekuatan kesultanan Islam.

BACA INI JUGA: Bangsa Yakjuj dan Makjuj Yang Tinggal Diantara Dua Pergunungan

Sumber: Takusahrisau

Apa Sebenarnya Masalah Felda Global Ventures Bhd (FGV)? Dulu Megah Kenapa Kini Rebah?

Apa Sebenarnya Masalah Felda Global Ventures Bhd (FGV)? Dulu Megah Kenapa Kini Rebah?

Satu lagi kepincangan korporat membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjaya didedahkan secara meluas oleh penggiat media sosial.

Skandal+FGV

Di masa yang sama, penggiat media sosial terus dikenakan tindakan undang-undang sama ada kerana kesilapan mereka sendiri atau kerana mereka menjolok sarang tebuan.

Pendedahan kali ini tercetus berikutan penyiaran sebuah gambar beberapa orang lelaki dan seorang perempuan yang didakwa terdiri daripada eksekutif kanan Felda Global Ventures Bhd (FGV).

Gambar itu kemudiannya menjadi viral (merebak) dan mencetuskan perbahasan hangat. Ia mencapai kemuncak apabila tersebar berita mengatakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menjual semua saham FGV yang dimilikinya.

Berita itu khabarnya berpunca daripada memorandum dalaman KWSP. Ia turut menyatakan yang pinjamannya kepada FGV tidak mengalami sebarang masalah pembayaran balik.

Pendedahan KWSP itu menyebabkan saham FGV yang telah pun tenat di Bursa Malaysia, menjadi semakin nazak.

Skandal+FGV

Dalam masa dua hari harga sahamnya jatuh hampir enam peratus kepada RM1.53.

Ini adalah antara tahap paling rendah dideritai FGV sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun, 2012.

Pada kadar harga RM1.53 itu, nilai saham FGV telah merudum tiga kali ganda daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM4.55 pada tahun 2012.

Daripada keuntungan sebanyak RM980 juta pada tahun 2013, pencapaiannya merosot kepada RM306 juta (2014), RM117 juta (2015) dan rugi RM98 juta sehingga suku ketiga tahun ini.

Margin keuntungan merosot daripada 7.8 peratus pada tahun 2013 kepada 1.9 peratus (2014), 0.7 peratus (2015) dan totak 0.8 peratus sehingga suku ketiga tahun ini.

Dividen yang memuncak pada kadar 16 sen sesaham pada tahun 2013 merudum kepada hanya empar sen tahun lalu.

Amaran Jadi Kenyataan

FGV adalah syarikat GLC kedua yang diilhamkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Mohd Najib Abdul Razak, yang dalam krisis. Yang pertama ialah 1MDB.

Seperti 1MDB, masalah FGV bermula dari saat ia ditubuhkan kerana nawaitunya tidak lurus dan tidak telus.

Niatnya lebih berupa pengisian ego Najib sebagai Perdana Menteri Transformasi dan mencari pulangan jangka pendek menjelang Pilihan Raya Umum 2013.

Kalau kita masih ingat, banyak pihak, termasuk Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, telah memberi amaran keras mengenai ancaman penswastaan aset peneroka dalam bentuk FGV.

Tetapi bagi Najib dan pihak yang bersekutu dengan beliau, kedua-dua matlamat itu tercapai. Ego Najib terangsang kerana IPO itu diuar-uarkan berjaya, FGV menjadi syarikat perladangan terbesar dunia dari aspek keluasan dan banyak duit diperoleh untuk PRU 2013.

Saham-saham FGV mendapat lebih langganan hampir tujuh kali ganda tinggi dan harga pembukaan naik sehingga RM5.46 apabila mula didagangkan di Bursa Malaysia. Sesiapa yang menjual ketika itu mendapat keuntungan lumayan.

Tetapi, sama seperti mana-mana juga urus niaga yang tidak berasaskan fundamental tulen, FGV tidak lestari dan tidak dapat bertahan lama.

Dalam masa yang singkat, akibat pengambil keuntungan ke atas saham-sahamnya dan prestasi perniagaan yang lemah, harga sahamnya merudum.

Penyakit Korporat GLC, GLIC

FGV

Namun, yang lebih menggerunkan adalah penyakit korporat yang sedang dideritai oleh GLC dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) mungkin tidak terhad kepada 1MDB dan FGV sahaja.

Banyak lagi syarikat lain dalam kategori ini yang perlu dihalusi, khususnya GLIC yang memberi pinjaman kepada 1MDB dan FGV.

Seperti telah kita ketahui, banyak GLIC terlibat memberi pinjaman kepada 1MDB dan FGV, di samping dikerah menjadi pelabur utama (cornerstone investor) dalam IPO syarikat-syarikat GLC dan syarikat swasta yang disayangi kerajaan.

Kita juga tahu banyak wang KWSP dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah dipinjamkan kepada projek-projek kesayangan (pet projects) Najib macam 1MDB, FGV dan inisiatif pembiayaan persendirian (PFI).

KWAP yang berupa tabung pencen kakitangan awam telah memberi pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd manakala skim pencen swasta (KWSP) telah meminjamkan RM25.29 bilion kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd. SRC dan Pembinaan PFI adalah milik Kementerian Kewangan.

Itu belum termasuk pinjaman, pelaburan cornerstone dan projek-projek berkaitan pembiayaan PRU yang mungkin telah atau sedang “dipaksakan” ke atas Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kesimpulannya, apa yang telah kita ketahui mengenai 1MDB dan FGV hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada kemelut korporat yang sedang berlaku di negara kita akibat urus tadbir yang menyeleweng serta campur tangan songsang oleh pentadbiran Najib.

Hal ini menjadi semakin buruk akibat kelembapan ekonomi dunia dan domestik yang berpanjangan serta tidak adanya petunjuk positif daripada kerajaan mengenai bagaimana kemelut yang semakin meruncing itu ditangani.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: 'Duit Kopi Ketua Polis Negara RM2 Juta Sebulan'

Sumber: Kadirjasin