Wednesday, December 28, 2016

Ekonomi Bumiputera Terus Merosot, Kenapa Menteri Perlu Berbohong?


Berikut adalah kiriman artikel dari seorang pembaca yang menggelarkan dirinya Syeikh Awang Belanga.

Rahman+Dahlan

Pada hari Krismas, Menteri di Jabatan Perdana menteri Dato Rahman Dahlan telah mengeluarkan kenyataan mengenai BR1M, gaji minimum dan jurang pendapatan.

Antara lain beliau berkata bahawa terdapat peningkatan ekonomi yang baik di kalangan Bumiputera, malah peningkatan ini lebih baik di zaman pemerintahan Dato Seri Najib berbanding zaman Tun Dr Mahathir.

Ini tidak berapa benar.

Pertama sekali, terdapat kesilapan ‘amatur’ dalam hujah beliau di mana beliau menegaskan pendapatan isi rumah kaum Bumiputera pada lima tahun terawal pemerintahan DS Najib (2009 – 2014) naik lebih tinggi berbanding Tun Mahatir (1984-1989).

Untuk makluman, Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, bukannya 1984. Adalah tidak bererti dan beretika sekiranya perbandingan dibuat pada tahun yang salah.

Kedua, walaupun pendapatan kaum Bumiputera meningkat, namun jurang pendapatan berbanding kaum lain tidak menunjukkan peningkatan.

Malah, dari beberapa segi, ianya menunjukkan kemunduran! Pada tahun 2009 apabila DS Najib menjadi Perdana Menteri, bagi setiap Ringgit yang dimiliki oleh Bumiputera, kaum Cina memiliki RM1.38.

Tetapi pada tahun 2014, bagi setiap Ringgit yang dimiliki oleh Bumiputera, kaum Cina masih juga memiliki RM1.38.

Tiada peningkatan langsung walaupun berbilion dibelanjakan untuk ‘Agenda Bumiputera”. Malah, jurang melebar di antara kaum Bumiputera dan India.

Jika dahulu secara purata, isi rumah kaum India mempunyai pendapatan 10% lebih dari kaum Bumiputera, kini ianya naik 13%. Bukan jurang makin mengecil, tapi melebar.

Dari segi nilai absolute pula, sah jurang pendapatan antara kaum Bumiputera dan kaum Cina melebar dari RM 1387 hingga RM2118 pada tempoh yang sama, iaitu peningkatan sebanyak 53%!

Begitu juga di antara kaum India dan Bumiputera pada tempoh yang sama, jurang pendapatan isi rumah bulanan naik 86%!

Nah, masihkah kita boleh berbangga dengan pencapaian ini wahai pemimpin UMNO?

Sejak 2009, bukan hanya kaum Bumiputera ketinggalan ke belakang berbanding kaum lain dari segi pendapatan isi-rumah, malahan juga dari segi pemilikan aset.

Pemilikan terraced factory/warehouse oleh Bumiputera telah merosot dari 45% kepada 35.1%, manakala pemilikan rumah kediaman oleh Bumiputera juga mengecil; dari 27.2% kepada 26.1%.

Pemilikan aset yang lain seperti detached factory, commercial buildings dan industrial complexes juga mengalami nasib yang sama.

Malah, penguasaan ekuiti juga tidak berkembang seperti dahulu disebabkan ketaasuban dasar ‘liberal’ Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri. Penguasaan ekuiti pada tahun 2015 adalah 16.8%, naik hanya 0.7% sejak 2011. Ini satu kegagalan!

Kemerosotan ekonomi kaum Bumiputera berterusan di sektor yang lain, contohnya, peratusan doktor dan juruukur Bumiputera juga berkurangan sejak 2010 berbanding 2014.

Jika pada tahun 2010, peratusan doktor Bumiputera adalah 48%, kini ianya berkurangan kepada 46%. Bidang profesional lain hanya menunjukkan peningkatan yang amat kecil sekali.

Jadi bagaimana Menteri Ekonomi boleh berkata pencapaian Bumiputera ‘amatlah memberangsangkan”? Kita telah ke belakang, bukannya ke hadapan berbanding kaum lain. Semua analis di atas adalah berdasarkan data awam dari EPU sendiri.

Ketiga, Menteri EPU ini juga mengingatkan kita bahawa banyak negara mengamalkan pemberian wang a la BR1M. Adakah ianya salah di segi undang-undang dan adakah ianya rasuah politik akan kami huraikan nanti.

Tetapi pokoknya, adakah kita boleh mendabik dada apabila hampir 4.7 juta isi rumah ataupun bersamaan dengan 74% jumlah keseluruhan 6.35 juta isirumah di Malaysia mendapat bantuan BR1M?

Ini bukanya petunjuk hebat ke arah negara maju yang diuar-uarkan oleh kerajaan. Ini tidak termasuk hampir 3 juta individu yang berumur 21 tahun ke atas.

Bilangan yang mendapat BR1M bukannya berkurangan, malah bertambah. Banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, bukan hanya dengan BR1M.

Adalah jengkel apabila kita diingatkan bahawa BR1M ini cara yang baik untuk kesejahteraan rakyat, tetapi pada masa peruntukan untuk menaiktaraf mobiliti sosial seperti biasiswa dan pendidikan tinggi telah dipotong.

Keempat, dan akhir sekali, Menteri EPU merangkap Pengarah Strategik Barisan Nasional berkata bahawa negara makin adil.

Hujah beliau berdasarkan salah satu penunjuk statistik iaitu Gini coefficient. Ya mungkin benar, tetapi pakar ekonomi tempatan ada memberi amaran mengenai ‘pencapaian menakjubkan ini”.

Contohnya, mana mungkin Perlis yang pada tahun 2012 mendapat tempat teratas sebagai negeri paling tinggi jurang ketidaksamaan, secara tiba-tiba dua tahun kemudiannya menjadi salah satu negeri yang paling ‘equal’? Ini tidak masuk akal.

Malah, sekiranya kita melihat jurang simpanan seperti di ASB atau KWSP, kita tidak akan menyokong pendapat Menteri ini.

Adakah negara ini adil dari segi pengagihan kekayaaan apabila penyimpan 0.2% teratas di ASB mempunyai simpanan yang lebih tinggi daripada 80% penyimpan yang lain?

Adakah adil negara bertuah kita ini apabila 0.3% penyimpan teratas di KWSP mempunyai simpanan yang lebih besar daripada separuh jumlah penyimpan?

Seperti yang ditulis oleh Tun Daim sebelum ini, keyakinan rakyat terhadap pemerintah kini pada tahap yang kronik.

Salah satu cara penyelesaiannya adalah pemerintah haruslah bersikap jujur dan terbuka dalam masalah yang dihadapi.

Bukannya dengan cara syok sendiri dan mengelirukan rakyat seperti apa yang dilakukan oleh Menteri Ekonomi sekarang ini.

BACA INI JUGA: Luahan Kesedihan Orang Miskin Bila Harga Minyak Naik RM0.20 Sahaja!!

Sumber: Jebatmustdie

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon