Thursday, October 13, 2016

'Duit Kopi Ketua Polis Negara RM2 Juta Sebulan'


Skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan projek infrastruktur di Sabah yang bernilai RM3.3 bilion mengejutkan banyak pihak.

Musa Hasan

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan tidak menyangka ia membabitkan dana kerajaan yang sangat besar.

“Saya sendiri terperanjat melihat jumlah itu. Tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya kepada media selepas Seminar Integriti dalam Perkhidmatan Awam dan Majlis Penutup Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Siri 16 dan 17.

Menurutnya, semua pihak perlu mengambil iktibar agar tidak melakukan perkara sama.

“Jangan jadikan budaya. Jika tidak, negara akan rosak dan imej akan terjejas,” katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan tanggungjawab mereka dengan baik sehingga skandal rasuah terbesar tersebut berjaya ditumpaskan.

“Saya harap usaha ini akan berterusan dan jangan ada lagi mana- mana kakitangan kerajaan yang terlibat. Ia memalukan,” katanya.

Musa berkata, sewaktu dalam perkhidmatan, beliau juga pernah ditawarkan RM2 juta sebulan namun ditolak.

“Bayangkan duit kopi Ketua Polis Negara RM2 juta sebulan, tapi saya tidak terima. Mereka ditangkap dan dituduh di mahkamah di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

“Saya tidak tahulah sama ada budaya duit kopi diteruskan atau tidak selepas perkhidmatan saya,” katanya.

Menurutnya, penjawat awam terutama penguat kuasa perlu mengambil tindakan terhadap kegiatan haram bagi mengelakkan budaya rasuah.

“Jika tidak, masyarakat akan melihat seolah-olah kita tidak bertindak dan akhirnya mendatangkan persepsi buruk kepada perkhidmatan awam,” katanya.

Musa berkata, masyarakat mempunyai harapan tinggi kepada penjawat awam kerana golongan itu dianggap mempunyai kejujuran dalam perkhidmatannya.

“Melewat-lewatkan suatu perkhidmatan pastinya menimbulkan persoalan dan integriti anda akan dipersoalkan,” katanya.

Menurutnya, apabila timbul persepsi itu, masyarakat beranggapan tiada guna mereka membuat laporan sekiranya tiada tindakan diambil.

“Sekiranya tiada tindakan, ia akan memberi kesan kepada penguatkuasaan sedangkan kita mahu orang awam memberi kepercayaan kepada organisasi kita,” katanya.

Beliau memahami situasi sekiranya penjawat awam yang menjalankan tugas dengan amanah diketepikan semata-mata kerana tidak mahu integritinya dipersoalkan.

“Jangan takut. Jangan takut kenaikan pangkat disekat dan sebagainya. Kita tidak perlu menjadi 'yes man' dalam organisasi itu,” katanya.

Musa turut menasihati penjawat awam agar tidak meminta wang daripada individu tertentu.

“Apabila berlaku duit berjuta- juta di dalam almari, apa persepsi orang awam?” katanya.

Menurutnya, secara realitinya, rakyat kurang kepercayaan kepada penjawat awam.

“Jika dahulu, kita tidak pernah mendengar orang langgar polis atau tonto langgar kastam.

“Sebab itulah sewaktu dalam perkhidmatan, saya seru penguat kuasa melakukan tugas secara bersepadu agar maklumat dapat dikongsi dan barulah penjenayah takut,” katanya.

BACA INI JUGA: 1MDB, Akta RICO Dan Rahsia Kod SWIFT, Kerisauan Tun Mahathir Kini Terbukti Benar!

Sumber: SH

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon