Jul 1, 2016

Rasuah Halal Dan Rasuah Haram Di Malaysia?

Pendakwaan atas tuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng memperlihatkan beberapa perkara yang di luar daripada kebiasaan.

Lim Guan Eng.PNG

Pertama, walaupun Lim Guan Eng sebelum ini memberi kerjasama penuh ketika siasatan, tetapi beliau tetap diserbu dan ditahan di pejabatnya oleh sekurang-kurangnya oleh lapan orang pegawai SPRM seolah-olah untuk menangkap seorang penjenayah besar yang berpotensi untuk melarikan diri.

Atas kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, kenapakah sedikit penghormatan tidak boleh diberikan kepadanya dengan sekadar memintanya hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan tanpa perlu bermalam di lokap SPRM?

Kedua, pasukan pendakwaan seramai enam orang diketuai sendiri oleh Peguam Negara, Apandi Ali.

Ketiga, jaminan yang agak besar iaitu sebanyak RM1 juta bersama seorang penjamin dikenakan ke atas Lim Gun Eng.

Keempat, penglibatan Peguam Negara mengetuai pasukan pendakwaan dan jumlah jaminan yang dikenakan seperti tidak sepadan dengan kes iaitu hanya berkaitan pembelian banglo yang bernilai RM2.8 juta dan pertukaran status sebidang tanah.

Ia secara nyata jauh lebih kecil, bukan saja berbanding RM42 juta yang diterima Najib daripada SRC International, tetapi juga daripada RM2,600 juta atau mengikut dakwaan WSJ RM4,200 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib, yang kemudian kesnya tidak diteruskan dengan pendakwaan, malah diarahkan dihenti penyiasatannya oleh Peguam Negara.

Tindakan membesar-besarkan penangkapan, jumlah jaminan dan Peguam Negara sendiri mengetuai pendakwaan, bukan saja memperlihatkan dengan jelas sebagai bermotif politik untuk melemahkan Pakatan Harapan, bahkan juga untuk mengalihkan perhatian kepada skandal kewangan berskala besar yang melibatkan Najib dan 1MDB yang sedang diperkatakan di seluruh dan disiasat oleh sekurang-kurangnya tujuh negara.

Ia juga bertujuan untuk menjadikannya kelihatan besar dan begitu serius kesalahannya di mata umum.

Hanya dengan membesar-besarkan segala apa yang boleh diperbesarkan, barulah ia diharapkan mampu menutup apa yang diperkatakan ramai mengenai Najib selama ini.

Tetapi, seperti yang pernah disebut oleh Tun Mahathir, jika dulu rasuah berlaku secara sorok-sorok dan dibawah meja, sebaliknya di era ini ia sudah terang-terangan berlaku di atas meja.

Sebab itu, dalam kes SRC International, selain Najib tidak dikenakan apa-apa pertuduhan walaupun mengakui menerima wang tersebut, dua pengarahnya iaitu Nik Faisal Arif Kamil dan Suboh Md Yassin, turut juga terlepas begitu saja.

Kedua-duanya bukan saja hilang melarikan diri atau dihilangkan ke luar negara, bahkan masih dikekalkan sebagai pengarah SRC International sehingga kini.

Berbanding dalam kes Lim Guan Eng di mana Peguam Negara mengetuai pendakwaan, beliau sebaliknya menjadi hakim dalam kes melibatkan Najib dengan mengarahkan ia ditutup dan dihentikan penyiasatan.

Pendeknya, apa yang berlaku melibatkan Najib, 1MDB dan kaitan kedua-duanya dengan Najib jauh lebih besar dan mengancam negara berbanding kes Lim Guan Eng yang tidak melibatkan kerugian kepada penjual banglo tersebut.

Jika tidak cukup besar, mana pernah sebuah syarikat milik kerajaan sampai disiasat oleh tujuh buah negara dan menyebabkan sebuah cawangan bank yang berusia ratusan tahun ditutup akhirnya di Singapura.

Membesar-besarkan nyiru kes Lim Gun Eng tidak akan menutup bangkai skandal yang lebih besar dan sudah berbau ke seluruh dunia.

Malah, jika 1,000 orang sekali pun didakwa dan dihadapkan ke mahkamah serta diperbesar-besarkan seperti kes Ketua Menteri Pulau Pinang itu, keadilan tetap tersembunyi selagi Najib bebas lepas dan merdeka seperti sekarang.

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Kesalahan Najib?

Sumber: Shahbudindotcom

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon