Saturday, December 24, 2016

Gambar Fenomena Luarbiasa Salji Turun Di Gurun Sahara

Gambar Fenomena Luarbiasa Salji Turun Di Gurun Sahara

Seorang jurugambar amatur telah berjaya merakamkan imej-imej luar biasa dan indah apabila gurun Sahara ditimpa salji pada 19 Disember lalu.

Sahara Desert Snow

Portal berita Huffington Post melaporkan, gurun yang luas dan terkenal dengan suasana tandus itu kali terakhir menerima fenomena seperti itu adalah pada kira-kira 40 tahun lalu.

Karim Bouchetata telah merakamkan gambar-gambar menarik itu Isnin lalu di sebuah pekan di Algeria iaitu Ain Sefra, yang terletak di kawasan pergunungan Atlas di sebelah utara gurun tersebut.

Sahara Desert Snow

Kejadian istimewa itu turut dikonhgsi seorang pengembara dan juga jurugambar, Zineddine Hashas.

Masing-masing menyiarkan penemuan tersebut dalam akaun Facebook masing-masing.

Dalam imej yang dirakamkan itu, lapisan nipis salji dilihat menyelaputi beting dan gumuk pasir, dan bertahan selama sehari. Di permukaan yang lebih curam pula, kesan jatuhan salji itu membentuk corak yang tersendiri.

Sahara Desert Snow

Fenomena salji terakhir di Ain Sefra dilaporkan berlaku pada tahun 1979, apabila ribut salji tiba-tiba berlaku hingga membuatkan penduduk setempat terpinga-pinga dan bergegas mencari tempat berlindung.

“Semua orang terpegun melihat salji turun di gurun. Ia amat jarang terjadi. Kejadiannya menakjubkan.

Sahara Desert Snow

“Semua orang terpesona melihat kesan tersebut dan begitu indah untuk diabadikan dalam gambar. Ia bertahan selama sehari sebelum mencair,” kata Bouchetata.

Ain Sefra yang kewujudannya bermula pada tahun 1881, merupakan pekan yang mewarisi sejarah warisan Perancis dan dikenali sebagai ‘Pintu Gerbang Gurun.

Sahara Desert Snow

Hamparan Gurun Sahara adalah gurun panas terbesar dunia yang meliputi negara-negara seperti Algeria, Chad, Mesir, Libya, mali, Mauritania, Maghribi, Niger, Sudan dan Tunisia.

Suhu panas keringnya secara purata adalah sekitar 32 darjah Celsius namun boleh melonjak sehingga menghampiri 50 darjah Celsius pada titik dan kitaran musim tertentu.

Sahara Desert Snow

Keluasannya adalah kira-kira 9 juta kilometer persegi, iaitu membentuk 31 peratus daripada Afrika.

Keluasan itu boleh dikira sebagai 11 juta kilometer persegi jika turut mengambil kira kawasan yang mengalami pemendakan tahunan kurang daripada 250 milimeter.

BACA INI JUGA: Bina Piramid Atas Arahan Makhluk Asing!

Sumber: AA

Friday, December 23, 2016

Apa Itu ‘Om Telolet Om’ Yang Sedang Trending Diseluruh Dunia?

Apa Itu ‘Om Telolet Om’ Yang Sedang Trending Diseluruh Dunia?

Perkataan ‘Om Telolet Om’ tiba-tiba menjadi topik hangat seluruh dunia hingga berada di carta trending laman Twitter. Ia juga trending di Google! Namun begitu apa maksud dan erti Om Telolet Om ini?

Om Telolet Om

Bagi yang tidak tahu apa-apa pasti tertanya-tanya, apa maksud sebenar ayat Om Telolet Om dan tahukah anda mengapa seluruh dunia tidak henti bercakap mengenainya?

Untuk pengetahuan anda, maksud ‘Om Telolet Om’ sebenarnya adalah bahasa Indonesia yang jika secara longgar diterjemahkan ke bahasa Melayu bermaksud ‘pak cik, bunyikan hon pak cik!’.

Erti Om merujuk kepada perkataan pakcik manakala telolet bermaksud bunyi hon bas.

Penggunaan ayat itu dikatakan bermula sejak awal bulan disember 2016 lalu dan rakyat Indonesia tidak henti-henti bercakap mengenainya di laman sosial selama 12 jam hinggakan mencuri tumpuan beberapa DJ profesional dan pemuzik turut mengulas mengenai ‘telolet’ iaitu bunyi hon bas yang unik itu.

Om Telolet Om

Remaja Indonesia turut melakukan spam atau komen berulang ayat Om Telolet Om di ruangan komen akaun sosial artis terkenal.

Sebelum perkataan ‘Om Telolet Om!’ menjadi fenomena, difahamkan sebuah video menunjukkan kanak-kanak berdiri di tepi jalan raya sambil berteriak ‘Om Telolet Om!’ pada pemandu bas, telah tersebar menjadi viral di negara itu.

Menerusi video itu, kanak-kanak dilihat bersorak bergembira dan melambai tangan apabila pemandu bas Om Telolet Om tersebut membunyikan hon mereka.

Lama kelamaan, hiburan mudah Om Telolet Om itu mula tersebar ke bandar-bandar lain di Indonesia.

Malah, terdapat juga video-video memaparkan orang dewasa turut meminta ‘telolet’ dari pemandu bas.

Bunyi ‘telolet’ itu dikatakan seolah-olah menjadi hiburan yang dapat menceriakan hari mereka, Om Telolet Om.

Melihat video ‘Om Telolet Om!’ itu, ramai netizen menyifatkan, kita tidak memerlukan wang yang banyak untuk bergembira, cukup hanya denganmendengar bunyi hon bas.

Om Telolet Om

Sementara itu, laman sesawang hiburan, Billboard menyifatkan bunyi hon dan Om Telolet Om mungkin akan menjadi tema dalam tarian masa depan.

Paling kelakar, perkataan ‘Om Telolet Om’ turut membanjiri ruangan komen laman sosial milik Presiden Amerika Syarikat yang ke-45, Donald Trump.

Tindakan itu dikatakan dibuat oleh rakyat yang tidak menyokong beliau.

Om Telolet Om!

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Maksud 'Lorem Ipsum' Yang Ramai Tak Tahu!

Sumber: Mynewshub

Romania Lakar Sejarah Diterajui Presiden Wanita Muslim Buat Kali Pertama?

Romania Lakar Sejarah Diterajui Presiden Wanita Muslim Buat Kali Pertama?

Sevil Shhaideh, 52 tahun bakal melakar sejarah besar di Romania apabila menerima undian dua kali ganda berbanding parti lain pada pilihan raya umum 11 Disember yang lepas.

Sevil Shhaideh

Menurut kebiasaan, pemimpin parti yang memenangi pilihan raya akan dilantik sebagai perdana menteri dan jika ia berlaku, beliau mungkin akan menjadi wanita muslim yang pertama di Eropah menyandang jawatan itu.

Parti Social Democratic (PSD) yang dipimpin Liviu Dragnea menguasai sebanyak 45% secara keseluruhan dan sedang membentuk kerajaan baharu menerusi kerjasama dengan parti liberal kecil yang lain.

Liviu Dragnea umumnya dikenali sebagai ketua parti yang didapati bersalah terhadap penipuan pilihan raya dan digantung selama 2 tahun.

Walau bagaimanapun, Liviu Dragnea tidak dilarang daripada terlibat dalam politik dan atas faktor hubungan yang baik, Sevil Shhaideh akan dipertanggungjawab untuk menggalas jawatan tersebut.

Meskipun begitu, Liviu Dragnea menjelaskan segala tanggungjawab politik masih kekal kepadanya.

Tindakan ini merupakan satu lakaran sejarah memandangkan hanya 0.3 peratus sahaja penduduk Romania yang beragama Islam.

Sevil Shhaideh yang berketurunan etnik Tartar, bukan hanya golongan sunni yang kekal dalam tempoh tujuh abad di pantai Laut Hitam, beliau juga berkahwin dengan warga Syria yang memiliki hartanah di negara yang sedang berperang.

Penduduk Romania menentang keras penerimaan pelarian Syria yang ditetapkan Kesatuan Eropah, dan jika ia dilaksanakan Romania sendiri tidak akan dibenarkan masuk ke dalam kawasan pergerakan bebas Schengen.

Schengen merupakan kawasan yang merangkumi 26 buah negara Eropah yang memansuhkan penggunaan pasport dan sebarang penguasaan sempadan di kawasan sempadan terlibat.

Bagaimanapun, bagi melantik rakannya menerajui kerajaan Romania, Liviu Dragnea perlu mendapat kelulusan parlimen dan President Iohannis dan ia bukannya mudah.

BACA INI JUGA: Freemason, Perang Salib, Knight Templar Dan Buku Sihir

Sumber: Thevocket

Bacaan Doa Majlis Yang Mudah Dan Ringkas

Bacaan Doa Majlis Yang Mudah Dan Ringkas

Pernahkah tiba-tiba anda diminta menjadi pembaca doa di sesuatu majlis? Tak kiralah sama ada majlis perpisahan, majlis kesyukuran ataupun perhimpunan sesuatu.

Doa

Di sini saya ingin berkongsi doa mudah yang boleh dibaca dan sesuai digunakan untuk semua majlis yang berbentuk ilmiah ataupun seumpamanya.

Bacaan Doa Majlis Yang Ringkas Dan Mudah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ اْلعَلَمِْينَ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ أَشْرَفِ الأَنْبِيَآءِ وَالمُرْسَلِينَ

وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

Ya Allah Ya Ramaan Ya Rahiim,

Hanya padamu sahaja kami panjangkan kesyukuran atas segala rahmat dan berkat-Mu.

Bersempena dengan majlis pada hari ini, kami memohon inayah dan taufik-Mu, kurniakanlah kesejahteraan dan kebahagiaan kepada kami.

Bukakanlah hati-hati kami, lapangkanlah dada kami supaya kami dapat mengisi ilmu dan pengetahuan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Kami memohon kepada-Mu, agar Engkau berkatilah majlis ini dengan limpahan rahmat-Mu, semoga segala usaha kami dalam menjayakan majlis ini mendapat keredhaan dan hidayah-Mu.

Sesungguhnya pada hari ini kami berkumpul kerana-Mu Ya Allah.

Kami berkumpul untuk menimba ilmu, bertukar pendapat, menyumbangkan buah fikiran, menghubungkan silaturahim dan memberi sokongan ke arah meningkatkan lagi prestasi kami.

Kami memohon kekuatan dari hadhrat-Mu Ya Allah, supaya kami yang hadir pada hari ini, agar kami dapat melaksanakan segala kebajikan.

Dan kami pohon perlindungan dengan Engkau daripada melakukan keburukan.

Ya Allah kurniakanlah kepada kami kekayaan ilmu pengetahuan dan hiasilah diri kami dengan sifat lemah-lembut.

Serta muliakanlah kami dengan ketaqwaan dan indahkanlah diri kami dengan kesihatan.

BACA INI JUGA: Sesungguhnya Mati Itu Benar, Bersediakah Kita Menghadapinya?

Sumber: Azhan

Thursday, December 22, 2016

Kad Pengenalan Palsu 'Made in Tawau'

Kad Pengenalan Palsu 'Made in Tawau'

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan 10 individu termasuk dua lelaki dalang sindiket kad pengenalan palsu dalam Operasi Khas JPN Bilangan 2 di Tawau, Sabah.

Kad+Pengenalan+Palsu

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Mohamad Yusri Hashim berkata, sebanyak 29 kad pengenalan palsu dalam simpanan salah seorang ejen kad itu yang ditahan di sebuah hotel dan wang tunai 17,100 dolar AS bersama RM200 dipercayai palsu.

"Operasi ini dilaksanakan di dua lokasi iaitu di sebuah hotel terkemuka di daerah ini dan di kawasan Kampung Tanjung Batu serta berjaya menahan 10 individu terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun.

"Dua yang ditahan adalah warga tempatan yang menjadi dalang pemalsuan kad pengenalan manakala tujuh lagi dari Indonesia yang menggunakan kad pengenalan palsu selain terbabit menjadi ejen bagi mendapatkan pembeli yang ingin membeli dokumen terbabit daripada sindiket.

"Seorang lagi adalah warga Filipina yang bertindak sebagai jurugambar serta mengambil cap jari untuk mengeluarkan kad pengenalan palsu," katanya dalam sidang media selepas operasi itu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau.

Katanya lagi, operasi itu adalah susulan daripada tangkapan pertama yang dilakukan di Sandakan lebih sebulan lalu iaitu seramai tujuh individu termasuk tiga daripadanya adalah ejen kepada kad pengenalan palsu.

"Kita percaya kad pengenalan palsu itu dicetak di Tawau dan mereka ini aktif sejak Januari lalu menerusi hasil penelitian pada resit traksaksi bank yang dilakukan membabitkan wang bernilai sehingga puluhan ribu ringgit.

"Secara keseluruhan operasi ini dipercayai menumpaskan sindiket pemalsuan terbesar yang berlaku di Tawau dan sekitarnya termasuk di Semporna dan Lahad Datu.

"Kad pengenalan palsu ini juga mempunyai beberapa kategori dengan harga paling murah RM1,500 dan termahal antara RM10,000 sehingga RM15,000," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Yusri turut yakin susulan daripada operasi ini lebih banyak lagi tangkapan yang akan dilakukan oleh pihak JPN dalam membanteras sindiket pemalsuan kad pengenalan di Sabah.

BACA INI JUGA: Alangkah Mudahnya Mendapatkan MyKad Palsu Di Malaysia!

Sumber: Hmetro

Mangkuk Purba China RM11 Berjaya Dilelong RM116,000!

Mangkuk Purba China RM11 Berjaya Dilelong RM116,000!

Sebuah mangkuk China yang dibeli dengan harga £2 (RM11) di kedai jualan amal kemudian dijual semula dengan harga menakjubkan iaitu £21,000 (RM116,000).

Mangkuk+Purba

Mangkuk yang pernah dibeli dari sebuah kedai kecil di Somerset itu sebenarnya ialah bekas perasap besi yang dibuat pada kurun ke-18 ketika tempoh penting dalam perkembangan kebudayaan China.

Wanita yang membelinya memang mengagak mangkuk itu berharga tetapi tidak menyangka ia berjaya dilelong melalui telefon dengan nilai 10,500 kali lebih mahal daripada yang dibayarnya.

Malah jualan mangkuk yang selebar 11 sentimeter dan seberat 445 gram itu juga jauh menjangkau £5,000 (RM27,600) – harga anggaran firma bidaan John Nicholson’s.

Ia turut mempunyai tapak dibuat daripada besi dan lambang Qianlong.

Pakar seramik, Mark Grant berkata, lambang itu menunjukkan mangkuk berkenaan dihasilkan pada zaman Maharaja Qianlong iaitu tempoh paling penting dalam perkembangan kebudayaan China.

Maharaja Qianlong pemerintah keenam dinasti Qing dan bersemayam menduduki takhta dari 1735 hingga 1796.

Baginda turun takhta untuk membolehkan anaknya mengambil alih menjadi Maharaja Jiaqing tetapi tetap berkuasa di sebalik tabir sehingga kemangkatannya pada 1799.

Sementara itu, ketua penilai di firma berkenaan, John Nicholson berkata, “Wanita berkenaan mengagak ia bernilai tetapi dia terkejut apabila mengetahui betapa berharganya mangkuk itu sebenarnya.”

BACA INI JUGA: Mi Daging Paling Sedap Di Dunia Berharga RM1,140 Semangkuk!

Sumber: Hmetro

Kebahagiaan Akan Tertangguh Selagi Kita Membandingkan Hidup Dengan Orang Lain

Kebahagiaan Akan Tertangguh Selagi Kita Membandingkan Hidup Dengan Orang Lain

Tahu apa antara perkara yang paling sukar dalam hidup ini? Mencapai kebahagiaan. Lebih-lebih lagi bila kita mula membandingkan hidup kita dengan hidup orang lain.

Mencari kebahagiaan

Pernah tak terfikir kenapa sangat sukar untuk kita hidup tanpa sedetik pun terbit perasaan dihati, membandingkan hidup kita dengan orang lain?

Ini sebenarnya satu soalan yang sukar dijawab. Sememangnya sudah menjadi lumrah manusia untuk berbanding-banding.

Tabiat yang akhirnya nanti akan berakhir dengan perasaan sedih dan rasa tidak adil setelah melihat kehidupan orang lain, walaupun sebenarnya anda telah mempunyai kehidupan yang baik

Anda selalu tidak sedar bahawa perbandingan akan membuatkan kita mempersoalkan apa yang telah kita ada.

Selalunya, anda selalu melihat rumput dihalaman tetangga lebih hijau daripada rumput halaman rumah sendiri.

Pernahkah anda mempersoalkan mengapa orang lain yang biasa-biasa cara belajarnya, mendapat markah lebih tinggi dari yang anda walaupun telah berusaha lebih?

Anda sering tertanya-tanya mengapa orang lain yang rupa parasnya tidak secantik anda, lebih mudah bertemu jodoh, berbanding kita yang masih tidak kunjung-kunjung tiba.

Mengapa orang yang cantik dan kacak lebih diberi perhatian untuk berkawan, dan yang kurang paras rupa sentiasa disisihkan?

Mengapa suami orang lain boleh bertolak ansur dan setia, tetapi suami anda yang sentiasa panas baran dan kasar?

Tidakkah anda berasa sakit hati dan merasa tidak adil?

Yang pasti, kita akan selamanya kalah dengan kehidupan orang lain. Sebab itulah kita tidak bahagia.

Sebab kita lazimnya akan membandingkan hidup kita dengan benda yang salah.

Kita akan membandingkan keadaan dan situasi kita yang terburuk, dengan keadaan mereka yang terbaik. Dari sudut pandangan apa yang kita lihat dan apa yang kita anggap pada ketika itu.

Kita hanya melihat pada kelebihannya sahaja tanpa kita menilai kekurangannya yang lain. Kita tertipu.

Sebenarnya, kebanyakan perkara yang ditonjolkan orang kepada dunia luar adalah berbeza dengan realiti yang sebenarnya.

Manusia cenderung untuk hanya menunjukkan kegembiraan, kehebatan dan kesempurnaannya sahaja.

Sebagai contoh, bila ada seseorang bertanya khabar kita, berapa kerapkah kita memberi respons dengan mengatakan, “Aku rasa hampir-hampir nak gila!” “Aku tak tahan dengan hidup..”, berbanding dengan kita lebih mengambil keputusan untuk mengigit lidah dan tersenyum sambil mengatakan, “Alhamdulillah semuanya OK.”

Perbandingan akan meletakkan fokus anda kepada orang yang salah. Anda akan fokus kepada kehidupan orang lain, bukannya fokus terhadap hidup anda sendiri.

Jadi bagaimana anda mahu bahagia jika anda cemburu dengan kehidupan orang lain.

Kita sering lupa bahawa setiap orang mempunyai jalan kehidupan tersendiri dan cara tersendiri untuk melaluinya.

Oleh itu, hanya fokuskan terhadap perjalanan hidup kita sendiri. Sebab anda hanya boleh mengawal kehidupan seorang sahaja – iaitu anda!

Orang bijak hanya membandingkan hidup mereka dengan diri mereka sendiri

Hidup bukan pertandingan. Hidup adalah perjalanan. Setiap orang adalah berbeza. Walau saudara kembar sekali pun. Tidak akan sama.

Perjalanan kita tiada kaitan dengan orang lain. Hanya kita yang menentukan apa yang kita mahu dan dimana kita mahu pergi.

Daripada membandingkan hidup anda dengan kehidupan orang lain, lebih baik tanamkan tabiat dalam diri anda untuk membandingkan hidup diri anda sendiri.

Kehidupan diri anda dimasa kini dan kehidupan diri anda dimasa dahulu.

Lihat sebanyak mana anda telah dewasa, apa pencapaian anda, dan perkara apakah yang telah kita buat setakat ini dalam mencapai matlamat hidup kita.

Siapa diri kita sekarang adalah hasil daripada keputusan yang kita buat semalam. Kita sentiasa dalam proses membesar. Sentiasa belajar menjadi matang.

Kerana kehidupan kita akan sentiasa berkembang.

Mungkin kita boleh tuliskan dalam diari apa yang telah kita belajar dan apa masalah yang telah berjaya kita atasi. – boleh menjadi rujukan berguna pada suatu masa nanti.

Kembangkan nilai dalaman seperti suka memberi senyuman, bersedekah dan menyebarkan kebaikan disekeliling kita.

Insyaa-Allah, ia akan menguatkan nilai positif dalam diri kita dan kita akan menjadi lebih kuat, lebih baik dari sebelumnya.

Jadilah jiwa yang suka mengambil pelajaran dari kehidupan.

Kekurangan itu adalah OK (tiada orang yang akan sempurna sampai bila-bila).

Satu perkara yang ramai diantara kita semua tidak perasan adalah kita semua hidup didalam masyarakat yang gilakan kesempurnaan dan glamour – membuatkan kita terikut-ikut tanpa sedar.

Kita membaca majalah. Kita membelek surat khabar. Kita menonton drama. Kita melayari laman media sosial.

Dari semua itu, semuanya hanya memaparkan wajah yang cantik, kisah rumahtangga yang bahagia dan kisah-kisah kehidupan yang sempurna sahaja.

Jadi, jangan terperangkap.

Satu perkara penting yang harus kita hadam supaya tidak terjatuh dalam perangkap membandingkan hidup adalah, Satu gambar tidak menceritakan keseluruhan kisah.

Kebanyakan kisah kejayaan yang kita baca tidak menceritakan kegagalan mereka (kecuali untuk menceritakan bagaimana mereka berjaya mengatasinya).

Tiada yang akan sempurna sampai bila-bila. Belajar menerimanya. Memang kita perlu sentiasa improve tetapi jangan berharap untuk menjadi sempurna.

Kamu insan yang istimewa dipilih Allah

Membandingkan hidup kita dengan hidup orang lain adalah satu kebodohan. Tetapi mencari inspirasi dan belajar dari kisah kehidupan orang lain adalah satu kebijaksanaan.

Jangan risau. Bertenang dan sentiasalah senyum. Setiap orang mempunyai jalan hidup tersendiri yang telah Allah lakarkan indah diatas pentas kehidupan.

Pasti semuanya bersesuaian dengan kehidupan kita. Cuma kita terlalu naïf dan lemah untuk menilai dengan sebaik-sebaik penilaian terhadap semua takdir kita.

“Janganlah kamu berasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati kerana kamulah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu oarng orang yang beriman”. Surah ali-imran ayat 139

Bila tiba masanya nanti kita akan tersenyum memikirkan kembali hikmah yang Allah tunjukkan.

Cuma buat masa ini kita hanya perlu bersabar dan jangan mempersoalkan serta membandingkan hidup kita dengan hidup orang lain.

Allah itu Maha Adil. Kita semua istimewa dipandangan-Nya.

BACA INI JUGA: Cinta Toksik, Bila Manis Menjadi Pahit

Sumber: Akuislam

Wednesday, December 21, 2016

Dialog Sunni vs Syiah

Dialog Sunni vs Syiah

Penulis telah berkesempatan untuk berdialog dengan beberapa penganut tegar Syiah di Malaysia dengan satu dialog di Melaka anjuran Jabatan Mufti Melaka dan satu lagi di Perak anjuran Jabatan Agama Islam Perak (sepatutnya satu lagi di Johor tetapi dibatalkan tanpa diketahui sebabnya, wallahu a'lam).

Syiah

Apa yang mengujakan apabila ketua Syiah Malaysia, "Hujjatul Islam" Kamil Zuhairi Abdul Aziz sanggup turun sebagai panel utama Syiah dalam dialog di Perak.

Apa pun, berdasarkan pemerhatian dan penelitian penulis dalam siri-siri dialog tersebut, golongan Syiah dapat disimpulkan seperti berikut:

Sindrom taqlid buta di kalangan pengikut Syiah jadian (bekas Sunni)

Pengikut Syiah jadian sering mendakwa memeluk Syiah setelah mengkaji tentang Syiah, lalu memutuskan untuk meninggalkan Ahli Sunnah.

Sedangkan ketika menjadi Sunni mereka tidak pernah mendalami Ahli Sunnah berdasarkan disiplin dan sumber Ahli Sunnah sendiri.

Akhirnya mereka hanya akan mengenali Ahli Sunnah menerusi persepsi Syiah yang menyeleweng.

Mereka mendakwa Syiah itu lebih logik berbanding Ahli Sunnah

Tetapi apabila disoalkan kepada mereka mana logiknya Syiah dalam hal ghaibnya imam mereka selama 1173 tahun hingga sekarang dan nikah mut'ah yang tak ubah seperti zina berakad.

Mereka buntu dan tidak tahu menjawab kecuali mengatakan itu perlu disoal kepada ulama mereka atau kerana mereka di Malaysia, maka tidak akan buat perkara yang melanggar undang-undang di Malaysia (seperti nikah mut'ah).

Bermakna banyak perkara yang penganut Syiah tahu bahawa itu tidak logik (belum lagi bahas dari sudut keberadaan dan kesahihan nas), tetapi kerana kejahilan dan ketaksuban ia menutup hati-hati mereka untuk terus mengkaji dan menilai kebenaran.

Denial syndrome yang berterusan

Sukar untuk diajak berdialog dengan Syiah kerana mereka tidak yakin dengan kebenaran anutan sendiri.

Apabila diajukan soalan beserta hujah dan bukti menerusi sumber-sumber mereka sendiri, semuanya dinafikan.

Mereka sendiri yang mengatakan 'imamah' itu rukun utama dalam Syiah, tetapi apabila ditanya apakah hukumnya Ahli Sunnah yang menolak rukun utama itu secara iktikad, tiada jawapan konkrit diberikan, tetapi terus menafikan bahawa Syiah mengkafirkan Ahli Sunnah yang menolak 'imamah' padahal mereka sendiri mengakui itu rukun yang tak boleh ditolak.

Sedangkan bagi Ahli Sunnah, tanpa kompromi dan berselindung, barangsiapa yang menolak salah satu daripada rukun Islam maka jawapannya adalah kafir, terkeluar daripada Islam.

Escapism syndrome dalam berhujjah

Bila dihujjahkan bahawa Syiah itu boleh membawa kepada perpecahan ummah, maka dijawab kononnya di dalam Ahli Sunnah juga terdapat perpecahan.

Padahal yang dibincangkan adalah perpecahan dalam soal prinsip (usul) yang tidak dibenarkan oleh agama.

Bila ditanya kedudukan Ahli Sunnah menurut Syiah, bukan dijawab secara ilmu berdasarkan nas-nas dan sumber Syiah, tetapi dialihkan perbincangan kononnya mereka juga memakan sembelihan Sunni, menghadiri kenduri Sunni dan lain-lain yang menunjukkan pada zahirnya mereka tidak mengkafirkan Sunni.

Tetapi persoalan utama iaitu kedudukan aqidah golongan Sunni di sisi Syiah langsung tidak dijawab.

Sindrom taqiyyah yang melampau

Dalam dialog tersebut, langsung tidak kedengaran pihak Syiah berhujjah dengan sumber-sumber mereka sendiri.

Mereka mengaku bermazhab Alul Bayt dan ikutan mereka adalah para imam Alul Bayt, tetapi di mana sandaran mereka terhadap Alul Bayt itu?

Adakah ia bersanad atau sekadar dakwaan semata-mata ataukah sebenarnya mereka lebih percaya kepada dalil-dalil daripada kitab Sunni sehinggakan tiada suatupun dalil dibawakan daripada kitab-kitab mereka sendiri seperti al-Kafi, Man La Yahdhuruh al-Faqih, Tahzib al-Ahkam, al-Istibsar dan lain-lain.

Bila pihak Sunni membawakan dalil daripada kitab mereka, dikatakan pula bahawa kitab itu tidak sahih atau tidak muktamad di sisi Syiah, bermakna apa sumber yang sahih dan muktamad dalam mazhab Syiah? Ada atau tidak?

Atau sebenarnya Syiah bertaqiyyah sehingga tidak berani mengakui kitab-kitab rujukan mereka sendiri.

Disiplin ilmu yang rapuh

Dua bukti jelas akan kerapuhan disiplin ilmu di sisi Syiah; pertama, apabila "Hujjatul Islam" Kamil Zuhairi tidak mampu meyakinkan Ahli Sunnah bahawa hadith Ghadir Khum adalah hujjah paling ampuh berkenaan imamah Sayyidini Ali bahkan beliau menokok tambah kononnya hadith Ghadir Khum berlaku ketika khutbah al-Wada'.

Ini adalah kekeliruan kerana ia bukan disebut oleh Nabi SAW ketika khutbah al-Wada' tetapi ketika Baginda SAW berada di Ghadir Khum yang jaraknya 250 km daripada Makkah, dan ia tiada kena mengena dengan Khutbah al-Wada'.

Soalnya mengapa di Ghadir Khum dan tidak di Arafah? Ini bermakna dalil Ghadir Khum tertolak untuk menjadi hujjah dalam soal aqidah kerana ia tidak jelas dan mengandungi banyak andaian, tidak seperti dalil-dalil rukun Islam lain yang disepakati seperti solat, zakat, haji dan lain-lain. Kamil tidak menjawab persoalan ini.

Kedua, Kamil mengakui bahawa kitab al-Kafi karangan al-Kulaini itu bukan kitab sahih seperti Sahih al-Bukhari, tetapi Kamil tidak pula menyatakan apakah kitab yang paling sahih di sisi Syiah atau sekurang-kurangnya riwayat-riwayat Syiah yang sahih yang boleh menjadi rujukan orang Syiah sendiri dan pengkaji Sunni.

Apakah Syiah tidak mementingkan soal sanad dalam menerima ilmu?

Bagi Sunni, sanad teramat penting, seperti kata Imam Muhammad bin Sirin, "Sesungguhnya ilmu (sanad) ini adalah agama, maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu!"

Soalnya, adakah pegangan Syiah pada hari ini punya sanad yang sahih daripada imam-imam Alul Bayt atau rekaan mereka sendiri.

Banyak lagi konklusi penulis berkenaan dialog dengan Syiah, tidak termasuk bagaimana jahil dan emosinya para pengikut mereka yang hadir.

Termasuk salah seorang pengikut Syiah yang membuat kenyataan, "oleh kerana Ahli Sunnah bukan Syiah, maka Ahli Sunnah tidak kafir kerana menolak imamah yang merupakan rukun menurut Syiah".

Kenyataan ini jelas menunjukkan kejahilan dan kekeliruan aqidah Syiah, sebenarnya kenyataan ini sama seperti kita mengatakan "oleh kerana Islam bukan Kristian, maka orang Islam tidak kafir kerana menolak Isa sebagai anak tuhan".

Ini kekeliruan dan kepincangan terbesar dalam Syiah, mana mungkin dalam satu agama yang sama terdapat dua rukun yang berbeza?

Wallahu a'lam.

Nota Editor: Kisah ini pada asalnya telah dikongsikan di blog Mufakkir-Islami oleh Ustaz Aizam Mas’ud. Semoga ia membantu kita untuk lebih memahami apa itu Syiah.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, December 20, 2016

7 Rahsia Menjadi Seorang Ayah Yang Hebat Dalam Kehidupan Anak!

7 Rahsia Menjadi Seorang Ayah Yang Hebat Dalam Kehidupan Anak!

Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan dan menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan.

Ayah

Bapa yang komited dan bertanggungjawab

Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga.

Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar.

Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah.

Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah.

Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!

Kenali anak anda

Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka.

Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.

Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada merekal Istiqamah (tetap pendirian) .

Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten.

Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.

Melindungi, menyara dan mendoakan

Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah.

Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka.

Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis.

Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.

Mencintai ibu mereka

Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna.

Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak.

Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.

Menjadi pendengar yang baik

Sedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan.

Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.

Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian

Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama.

Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid.

Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 6 Fakta Penting Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Rotavirus!

Sumber: Musafircyber

Monday, December 19, 2016

Maksud Dan Tanda-tanda Ikhlas Dalam Menuntut Ilmu

Maksud Dan Tanda-tanda Ikhlas Dalam Menuntut Ilmu

Keikhlasan dalam menuntut ilmu akan memberi kesan kepada seseorang dan salah satu tanda ikhlas dalam menuntut ilmu adalah ilmu tersebut akan bermanfaat bagi diri dan bermanfaat pula bagi orang di sekitarnya.

Riak dan sombong

Sabda Nabi dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim, “Perumpamaan hidayah yang aku diutus oleh Allah dengannya dan ilmu adalah bagaikan air hujan yang turun membasahi bumi; ada bahagian tanah yang subur yang menyerap air maka ia menumbuhkan rumput dan tumbuhan yang banyak.

Ada tanah gersang yang menampung air kemudian Allah menjadikannya manfaat bagi manusia. Maka mereka minum darinya, memberi minum haiwan ternak dan menanam. Dan ada pula tanah lain yang tandus gersang, ia tidak menyimpan air dan tidak pula bisa menumbuhkan tumbuhan.

Itulah perumpamaan orang yang memahami agama Allah lalu dia mengambil manfaat dari apa yang aku diutus Allah dengannya, maka dia belajar dan mengajarkannya. Dan perumpamaan orang yang tidak menghiraukannya, dan tidak mahu menerima hidayah Allah yang aku diutus dengannya.” (Muttafaqun ‘alaih)

Orang yang ikhlas sedar bahawa ilmu yang dicari adalah untuk diamalkan. Ilmu dicari sebagai bekal untuk memperbaiki ibadatnya kepada Allah, tidak terhenti setakat menambahkan ilmu semata-mata.

Manakala orang yang niatnya rosak, dia tidak menjadikan beramal dengan ilmu sebagai matlamat dia mencari ilmu tersebut.

Seorang yang ikhlas dalam menuntut ilmu juga akan menjadi bertambah takut kepada Allah, mempunyai takwa dalam dirinya sehingga melaksanakan segala tuntutan agama dalam kehidupan seharian serta menjauhi perkara-perkara yang dilarang.

Ini sebagaimana firman Allah, “Sesungguhnya yang yang takut kepada Allah di antara hambaNya hanyalah orang yang berilmu” (Surah Fathir: 28)

Ikhlas Dalam Menuntut Ilmu

Para Ulama selalu menekankan perihal adab dalam menuntut ilmu. Kerana yang menjadikan ilmu itu bermanfaat dan berkat adalah apabila disertai dengan adab daripada para penuntut ilmu.

Saya suka mengungkapkan perkataan Al-Imam Al-Muhaddis Abdullah bin Al-Mubarak rahimahullah, seorang tokoh ulama salaf, seorang tabi’ tabi’in yang hidup sebelum zaman Imam Al-Syafi’i rahimahullah.

Beliau mengatakan bahawa adab menuntut ilmu ada enam;
  1. Ikhlas
  2. Mendengar dengan baik
  3. Faham
  4. Menulis
  5. Beramal dengan ilmu tersebut
  6. Mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Rahsia Besar Yang Tersembunyi Dalam Sujud Ketika Solat

Sumber: Ustazfathulbari

Sunday, December 18, 2016

7 Kesilapan Besar Dan Pantang Larang Dalam Hubungan Suami Isteri

7 Kesilapan Besar Dan Pantang Larang Dalam Hubungan Suami Isteri

Percayalah bila saya kata, rasa suka itu akan berkurang dengan berlalunya masa. Tiga tahun pertama mungkin kita merasakan bahawa pasangan kita itulah segala-galanya. Tapi tahun-tahun yang seterusnya, kita sudah merasa hambar dan semakin bosan rumah tangga kita. Sifat hati fitrahnya berbolak-balik bersama masa.

Hubungan+Suami+Isteri

Mungkin dahulu kita dilayan secara lemah lembut, tetapi sekarang pertanyaan kita dijawab secara acuh tidak acuh sahaja.

Terlalu menjaga dikata mengongkong, terlalu memberi kebebasan dikatakan tidak sayang.

Apa yang tidak kena sebenarnya dalam rumah tangga kita? Dimana silap kita yang mungkin kita terlepas pandang?

Dalam kita menjaga hubungan suami isteri, ada beberapa perkara yang sangat perlu diberikan perhatian.

Ini kerana ada sebahagian tindakan kita, tanpa disedari mungkin menyumbang kearah keruntuhan rumah tangga.

Sedang kita menzahirkan kasih sayang kepada pasangan, jangan sesekali cuba merisikokan perhubungan tersebut.

Artikel ini akan mengupas kesilapan besar yang biasa dibuat dan pantang-larang dalam perhubungan suami isteri supaya keharmonian rumah tangga terpelihara.

1. Jangan berlebih-lebih dalam memberi gambaran dan memuji orang lain

Bagi seorang isteri, janganlah terlalu memuji suami orang lain dihadapan suami sendiri.

Begitu juga dengan suami. Jangan sesekali memuji isteri orang lain berlebih-lebihan. Ia boleh menyebabkan isteri terasa hati dan berjauh diri.

Disamping itu, isteri juga janganlah terlalu memuji wanita lain dihadapan suaminya.

Jangan diceritakan semua perkara berkenaan wanita lain tambahan lagi sekiranya melibatkan aurat atau perkara sensitif. Ingat, ia boleh terdedah kepada banyak perkara.

2. Elakkan melontarkan kritikan pedas dan tidak menghargai pandangan pasangan masing-masing

Memberikan komentar terhadap pasangan masing-masing adalah normal, namun melontarkan kritikan yang pedas adalah sangat tidak wajar.

Kritikan yang boleh mencalar perasaan perlu dielakkan kerana ia menyebabkan berlakunya perbalahan diantara suami isteri. Walau tidak sesempurna mana sekalipun pasangan kita, pasti ada kelebihannya.

Maka, disebalik kelemahannya yang kita dapat lihat, maka lihatlah jua pada kelebihannya. Cara ini dapat mengelakkan kita daripada memfokuskan kepada kelemahannya dan menjauhkan kita daripada mengkritiknya.

Kita boleh melihat diri kita dihadapan cermin. Kita boleh melihat kekurangan wajah kita melalui cermin.

Namun, apa aib kita dibelakang, kita tidak mampu untuk melihatnya. Orang yang nampak aib kita itu tidak lain tidak bukan adalah isteri atau suami kita. Disebabkan itu, pasangan kita nampak apa yang kita tidak perasan.

Maka apabila pasangan menegur kita, maka terimalah teguran berkenaan. Perlu di ingat, teguran yang diberikan kepada kita langsung tidak berniat buruk. Ia adalah dengan niat yang baik kerana sudah pasti pasangan kita mahukan yang terbaik untuk kita.

3. Jangan mengangkat suara dengan nada tinggi

Meninggikan suara kepada pasangan sama ada ketika dia berseorangan, atau ketika bersama-sama rakan-rakannya adalah satu tindakan yang silap.

Jika kita merasakan bahawa ia untuk menunjukkan ketegasan kita, itu tidak betul. Sebenarnya hanya menunjukkan keegoaan kita. Malah juga turut menjatuhkan air mukanya di hadapan ramai.

Sebaliknya, panggillah dengan sebaik-sebaik cara. Walau geram dan marah sekalipun, panggillah dengan penuh kelembutan.

Ingatlah, ia akan lebih menjaga maruah pasangan dan kita sendiri juga. Malah pendekatan lembut dapat menjadikan hubungan yang tegang menjadi baik.

Walaupun pasangan kita melakukan kesilapan sekalipun, carilah pendekatan terbaik untuk menegurnya. Cara terbaik adalah menjadi kawan kepadanya.

Apabila wujud hubungan persahabatan antara dua pihak, maka nasihat senang untuk disampaikan. Malah pasangan kita juga mudah untuk menerimanya.

Ingat, untuk setiap perkara menjadi mudah, kita perlu rapat dengannya. Apabila kita telah rapat dengannya, perkara yang kita tegur secara lembut pun mudah diikutinya.

Sebaliknya, jika kita menggunakan kaedah kekerasan, maka ia hanya mendatangkan kekasaran dan pasangan akan menjauhkan diri daripada kita.

4. Jangan sesekali menipu dalam hubungan suami isteri

Pantang bagi kaum wanita adalah orang yang suka menipu. Para suami, sekali kita menipu, ia akan meninggalkan sebuah lubang dalam hati isteri. Jadi mengapa mesti kita berbohong?

Bukankah ia adalah tabiat yang tidak baik. Bahkan, ingatlah, orang yang bercakap bohong tiada tempat untuknya dalam syurga.

Suami yang suka berbohong tidak akan memperoleh kepercayaan isterinya.

Keadaan ini tidak baik untuk hubungan suami isteri. Ia boleh meruntuhkan rumah tangga berkenaan. Perbuatan berbohong tidak pernah ada dalam hidup kita. Maka mengapa perlu kita berbohong?

Begitu juga dengan isteri.

Jangan sesekali membohongi isteri kita. Pembohongan terhadap suami boleh mengikis keyakinan dan kepercayaannya.

Sentiasalah jujur dengan suami dalam apa juga perkara yang kita lakukan. Beranilah berkata benar kerana ia boleh menyelamatkan keadaan.

5. Elakkan berasa tidak bersalah dan diri sendiri selalu betul

Jika kita melakukan kesilapan, beranilah untuk mengakuinya. Jangan pula menjadi sebaliknya. Hormatilah perasaan dan pandangan pasangan kita. Sebaik-baik diri kita, pasti akan ada jua kelemahannya. Ini tidak boleh dinafikan.

Tiada manusia yang sempurna, apatah lagi dalam hubungan suami isteri, namun apabila kita telah melakukan kesilapan, maka akuilah dan perbetulkan kesilapan berkenaan.

Jangan pula demi mempertahankan ego, kita berasakan diri kitalah yang sentiasa benar dan pasangan pula sentiasa salah.

6. Jangan selalu meninggalkan isteri di rumah

Perkara ini adalah sangat penting. Ia selalu dipandang remeh oleh para suami. Jangan selalu meninggalkan isteri kita tanpa sebab yang munasabah, ini kadangkala boleh mengguris perasaannya.

Ia boleh menyebabkan isteri berasa seolah-olah dirinya tidak dihargai. Malah jika terlalu kerap, ia boleh meninggalkan kesan yang tidak baik dihatinya.

Isteri kita penat berusaha untuk keluarga kita. Maka perbuatan meninggalkan isteri tanpa sebab lama kelamaan akan menyebabkan rasa dia tidak wujud langsung dalam hidup kita.

Sedangkan isteri sebaliknya kerana perlu memikirkan banyak tanggungjawab yang digalas. Oleh itu, cubalah bawanya dan berikan masa yang terbaik terhadapnya.

Tidak salah sekiranya sesekali kita membawa isteri bersiar-siar ke tempat-tempat yang menarik untuk bersamanya.

Isteri juga mahukan hiburan bersama kita. Dan apa yang lebih penting lagi adalah meluangkan masa bersama.

7. Jangan tidak bermesra ketika isteri sedang haid

Jangan kerana isteri sedang haid, suami pula menjauhkan diri. Ingat, apa yang Islam tidak benarkan adalah melakukan persetubuhan sahaja. Bermesra tidak dilarang sama sekali.

Maka jangan kerana isteri sedang datang bulan, para suami sekalian menjauhkan diri daripadanya.

Bermesra dengan isteri adalah salah satu tanda suami yang penyayang. Tidak kira bagaimana keadaan isteri, jika bermesra dengannya boleh mendatangkan kebaikan dalam hubungan, maka lakukanlah.

Kemesraan sesama suami isteri adalah lambing kebahagiaan yang diharapkan.

Berbahagialah kepada pasangan suami isteri yang cuba membahagiakan sesame mereka. Kelak akan harmonilah rumah tangga mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: akuislam