Thursday, February 26, 2026

SBDJ Siri 251: Rebah Di Pintu Surau

SBDJ Siri 251: Rebah Di Pintu Surau

Saya perhatikan keadaan sekitar. Terasa agak sepi sekali, sekali sekala terdengar suara nyanyian reriang mendakap pohon langsat yang di tingkah suara kicau murai. Matahari terus menyimbah sinarnya kesetiap dedaun, reranting dan permukaan bumi yang terhampar.

SBDJ Siri 251 Rebah Di Pintu Surau

Dan dibawah kepak matahari yang kian keras itu, serentak datuk dan Pak Habib menarik nafas panjang. Kemudian mereka saling berpandangan.

"Kerana kejadian ini dalam kawasan saya, biar saya selesaikan, kalau tak langsai barulah sahabat datang membantu."

"Kalau itu yang dihajati, silakan," datuk bersuara sambil senyum.

"Saya pergi," kata Pak Habib.

"Saya doakan berjaya," sahut datuk.

Dengan tenang dan bersahaja, Pak Habib memulakan langkah menuju ke pintu surau yang tertutup rapat. Dengan tidak semena-mena, Pak Habib berpatah balik mendapatkan datuk. Hati saya segera berdebar.

"Kenapa?"

Terhambur pertanyaan dari dari kelopak bibir datuk.

"Hati terasa berdebar semacam."

"Tak mengapa, teruskan. Saya ada."

Datuk menyimbah semangat untuk Pak Habib dan Pak Habib berpatah balik menuju kearah pintu surau yang tertutup rapat.

Memang beralasan, Pak Habib merasai kurang enak atau terasa ada sesuatu yang ganjil.

Biasanya pintu surau terbuka bagi sesiapa yang datang untuk membaca al-Quran atau membaca kitab. Melakukan apa saja kegiatan yang ada hubung kaitnya dengan agama.

Buat beberapa ketika, Pak Habib berdiri kakau di depan pintu surau. Sebahagian daripada bangunan surau itu dibina dari simen. Manakala sebahagian lagi dari papan.

Pak Habib keberatan untuk mengetuk daun pintu surau. Malah dia tidak terfikir langsung untuk memberikan salam. Fikirannya bercelaru sekali pada saat itu.

Sungguh mengejutkan, secara sepontan Pak Habib memusingkan badan, menghadapkan wajahnya ke arah kami sambil melambaikan tangan.

Lambaian tangan itu bukan untuk datuk, tidak juga untuk saya. Lambaian tangan itu, untuk anak saudaranya, Tajuddin yang berdiri dibelakang datuk.

"Dia panhggil kamu, pergi cepat," Tutur datuk.

Tanpa banyak soal, berlari anak Tajuddin menuju ke arah PakHabib dan terus berdiri di sisi pamannya.

Tiada arahan yang dikeluarkan oleh Pak Habib untuk Tajuddin. Dia membiarkan dulu, anak saudaranya memperoleh ketenangan dan keyakinan diri.

"Kamu beri salam."

Itu arahan Pak Habib untuk Tajuddin yang dapat ditangkap oleh gegendang telinga saya dan datuk.

Tanpa berlengah walau sedetik pun Tajuddin terus memberi salam dengan nada suara yang cukup lantang sekali. Tiada jawapan yang diterima.

Salam segera diulangi untuk kali kedua dan ketiga. Hasilnya tetap sama.

Datuk kelihatan resah sekali. Dalam saat begini, dia merasakan tidak wajar berada jauh dari Pak Habib.

"Mari Tamar."

Bahu kanan saya segera dicuit dan kaki segera melangkah mengikut datuk menuju ke arah Pak Habib dan Tajuddin yang masih tidak bergerak di depan pintu surau.

"Ada masalah besar?" Datuk ajukan pertanyaan.

Pak Habib membisu, Tajuddin menggigit bibir. Macam ada sesuatu yang difikirkan oleh Pak Habib dan Tajuddin. Datuk pun segera mengulangi pertanyaan yang sama.

"Sudah diberi salam tiga kali berturut-turut, tak ada jawapan. Peliknya pintu pula dikunci dari dalam," terdengar suara Pak Habib seperti merungut.

Saya hanya mengigit bibir. Turut merasa bimbang denga situasi yang dihadapi.

"Agaknya tak ada orang di dalam," komen datuk bersahaja.

"Tak mungkin tak ada orang di dalam, saya tengok sendiri dia masuk ke dalama masjid, selepas dia mengejar Kamarul dengan parang panjang. Agaknya dia dah bunuh diri," tekanan nada suara Tajuddin keras sekali.

Semua berada di situ saling berpandangan. Kepala masing-masing terus digayuti dengan seribu persoalan.

Matahari terus bersinar garang. Kicau murai sudah lama berhenti, begitu juga dengan nyanyian reriang.

Nasib baik kehadiran dan kegemparan yang dibuat oleh lelaki berambut panjang tidak tersebar merata-rata, sekadar berlegar-legar di kawasan rumah dekat surau sahaja.

Dan jumlah orang yang mengetahuinya juga agak terhad.

"Biar saya uruskan."

Datuk segera melangkah mendekati pintu surau yang bertaut rapat. Salam yang diberi tidak mendapat jawapan.

Langkah kedua yang dilaksanakan oleh datuk ialah menolak daun pintu dengan ibu jari kiri. Tiga kali tolak, daun pintu tidak berkuak.

"Dikunci dari dalam," terhambur kata dari datuk.

Pak Habib anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat datuk. Saya sudah mula bosan berdiri di muka pintu surau yang bertutup. Panas pagi yang kian menyengat membuat badan berpeluh dan terasa bergetah.

Tajuddin yang saya duga menghadapi rasa bosan seperti saya kelihatan menarik nafas dan menguap panjang. Kelopak matanya mula berair.

Dalam keadaan yang serba tidak menyenangkan itu, terdengar bunyi sesuatu di dalam surau. Saya dan Tajuddin berpandangan. Pak Habib memberi isyarat supaya kami menumpukan perhatian terhadap bunyi tersebut.

Setelah diamat-amati, saya berpendapat dan yakin bahawa bunyi itu adalah bunyi telapak kaki sesaorang sedang berjalan dalam surau.

Saya harap pendapat saya itu tidak jauh berbeza dengan pendapat Pak Habib, datuk dan Tajuddin. Tidak lama berselang terdengar suara orang bercakap dalam loghat bahasa yang sukar difahami.

TINGGI

Cuaca panas yang kian meninggi mengundang bintik-bintik peluh di hujung hidung. Suara dari dalam surau bertambah kuat. Kepala terasa sakit mendengar kata-kata yang diluahkan.

"Orang itu membaca mentera bercampur dengan bahasa Arab, Melayu dan Jawa Kuno," cetus Pak Habib.

Datuk tidak memberikan sebarang komentar. Cuma kelopak matanya kelihatan mengecil sementara gigi atas dengan gigi bawah tearus bergeseran yang menghasilkan bunyi seperti batu kerikil berlaga sama sendiri.

Tajuddin tunduk merenung tanah. Berusaha mencari akal untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi.

"Sahabat fikirlah sendiri, baik buat sahabat baiklah buat saya," Pak Habib meletakkan keputusan di tangan datuk.

"Baiklah, kalau itu hajatnya," pendek datuk menjawab.

Pak Habib dan Tajuddin segera memberi laluan pada datuk. Satu beban besar yang harus dipikul dan diselesaikan oleh datuk. Kalau terlajak langkah buruk padahnya.

Datuk berdiri tenang dipintu. Macam tadi juga datuk terus menghambur salam sebanyak tiga kali, bersama ketukan di pintu bertubi-tubi. Datuk tidak menerima sebarang reaksi dari dalam surau.

Perlahan-lahan datuk toleh ke arah Pak Habib sambil anggukan kepala. Dengan pantas Pak Habib membalas anggukan datuk itu dengan mengangkat tangan kanan separas dada.

Ertinya, Pak Habib merestui dengan apa juga keputusan yang bakal diambil oleh datuk.

Tindakan selanjutnya sungguh melucukan, datuk bertindak macam kanak-kanak main tepuk-tepuk pohon. Datuk pula melekapkan telapak tangan kirinya ke atas daun pintu sebelah kanan. Beberapa detik berikutnya daun pintu sebelah kiri terkopak sendiri.

Seorang lelaki, berusia awal tiga puluhan, berambut panjang berdiri di muka pintu surau dengan sebilah parang panjang di tangan. Hujung parang menikam lantai surau.

"Eh..." kata datuk.

"Eehhh..." jawab lelaki berambut panjang.

Sekujur tubuh datuk ditatap atas bawah. Dia tersengih panjang. Sepasang bibirnya dijuihkan ke depan, macam muncung ikan gelama kehabisan udara. Lelaki itu memperlecehkan datuk.

"Dummmmm..." Satu kejutan, lelaki itu menghempaskan daun pintu sekuatnya.

Tubuhnya hilang dibalik pintu surau. Lelaki itu mengulangi ungkapan bahasa yang pelik di dalam surau. Kami bertiga menarik nafas panjang. Kekecewaan terbayang di muka Pak Habib.

"Kurang ajar," Tajuddin melempiaskan kemarahan.

"Sabar," Pak Habib menenangkan perasaan anak saudaranya.

Datuk pun mengeluarkan arahan, minta kami bertenang. Jangan bertindak terburu-buru. Berkeras kalau lelaki itu bertindak luar batas kemanusiaan.

Dalam saat beringat dan berjaga-jaga itu, daun pintu surau bergerak perlahan-lahan.

"Shhhhhh..." datuk mendekatkan hujung jari telunjuk kebibir, kemudian jari telunjuk dihalakan ke arah daun pintu yang bergerak amat perlahan sekali.

Andainya tidak diperhatikan dengan teliti, tidak ada sesiapa yang menyangka daun itu bergerak.

"Lihat..." Bisik datuk.

Serentak kami mengangguk.

"Paaannngggg..." daun pintu terhempas ke jenang.

Lelaki berambut panjang berdiri di depan kami, keadaannya sudah jauh berbeza dari tadi.

Kalau tadi dia mengenakan pakaian hulubalang, kini keadaan menjadi sebaliknya. Tengkolok ditukar dengan kopiah putih, berlilit kain serban.

Seluar dan baju hulubalang perang, digantikan dengan seluar dan baju labuh, macam pakaian orang Afghanistan lalu dibalut dengan jubah hitam.

Ada mata rantai tasbih tersangkut dihujung jari. Wajahnya agak ceria dan memperlihatkan sikap persahabatan. Langkah teratur penuh kesopanan. Pendek kata, wajah amat jauh berbeza dari watak sebelumnya.

"Lakonannya sungguh hebat," bisik hati saya.

"Cepatnya berubah," bisik Tajuddin pada saya.

"Diam jangan banyak cakap, tengok dan lihat apa yang mahu dibuatnya."

Kata-kata itu datuk arahkan untuk Tajuddin dan saya yang suka memberi komen. Adakalanya, komen yang dikeluarkan tidak kena pada tempat dan waktunya.

"Kamu bertiga datang nak jumpa aku, mahu belajar dari aku. Memang bagus kalau itu hajat hati kamu semua. Aku tengok banyak perkara tidak betul jadi amalan disini."

Tiba-tiba sahaja lelaki itu bersuara dengan wajah yang serius. Hujung jubahnya digerakkan ke kiri dan ke kanan. Tasbih dihujung jari, turun naik mengikut gerak jarinya.

"Banyak membuat amalan yang tidak betul," tambahnya.

Muka datuk dan Pak Habib direnung agak lama. Anak matanya bergerak menelanjangi wajah Tajuddin.

"Kamu orang baik kerana membenarkan aku duduk disini, tetapi amalan kamu jadi rosak kerana bersubahat dengan orang yang melakukan perbuatan salah," lelaki itu berhenti bercakap.

Anak matanya masih terdampar ke wajah Tajuddin.

Datuk dan Pak Habib terus membatu, tidak mahu campur dalam urusan tersebut. Tajuddin merasa dirinya kesaorangan.

Saya pula tidak mahu menentang biji mata lelaki itu yang saya kira ada kuasa untuk melemahkan semangat seseorang.

"Maafkan aku kerana menghalau orang dengan parang, kamu mahu tahu sebabnya?" lelaki itu menyoal Tajuddin.

Kerana terdesak dan tidak tahu berbuat apa-apa, Tajuddin terus anggukkan kepala.

"Sebabnya, dia sembahyang lepas waktu subuh, lepas subuh tak ada sembahyang lagi," kata lelaki itu riang.

Cara dia memberi penjelasan kelihatan bergaya sekali. Macam seorang guru agama menerangkan sesuatu pada anak muridnya.

Datuk dan Pak Habib terkejut. Dan mula dapat mengesan sesuatu yang kurang dalam diri lelaki tersebut.

Tajuddin yang tadi merasa cemas dan tidak tentu arah, bagaikan mendapat semangat baru mendengar perkataan "SESAT".

Tajuddin mengambil keputusan untuk memberikan penjelasan sebenar tentang sembahyang duha yang mahu dilakukan oleh Kamarul yang diburunya tadi.

MULUT

Ketika Tajuddin mahu membuka mulut, Pak Habib bertindak pantas menahan Tajuddin bercakap.

Biarkan dia bercakap, dari situ dapat kita sukat ilmu yang ada dalam dadanya. Dapat kita nilai dirinya dari golongan mana.

Itulah yang dibisikkan oleh Pak Habib ke telinga anak saudaranya. Nasihat itu diterima oleh Tajuddin.

BERDIRI

Sudah hampir setengah jam berdiri di pintu surau. Masalah yang kusut masih belum dapat diluruskan. Asal usul lelaki berambut panjang masih belum dapat dikesan.

Tujuan dan matlamatnya tumpang berteduh disurau masih belum diketahui. Dalam situasi tanpa hujung membuat perasaan saya jadi resah semacam.

Matahari kian meninggi, bahang panas terasa menggigit setiap inci kulit. Bintik-bintik peluh terus membesar dan kembang lalu mengalir dicerun-cerun pipi.

Tiada lagi kicau murai, diganti dengan burung helang sewah terbang rendah bersama suara yang nyaring mengintai anak ayam turun sepuluh bermain dijemuran padi.

"Panas," rungut saya sendirian.

Serentak dengan itu, lelaki berambut panjang mengubah kedudukan dirinya. Dari berdiri terus duduk bersila di depan pintu surau.

Melihat empat lelaki yang berada di depannya, tidak memberikan sebarang komentar atau menyanggah pendapatnya, dia menduga apa yang diluahkannya dapat diterima oleh Pak Habib dan datuk. Saya dan Tajuddin tidak terkecuali.

"Dunia sudah cukup tua, sudah berjuta tahun tak lama lagi dunia kiamat, sebelum kiamat, sebelum Imam Mahadi datang marilah kita bertaubat, kita pergi ke tempat yang jauh dan sunyi untuk melakukan amal ibadat, disana tak sembahyang," lelaki itu memulakan ceramah. Datuk resah sekali.

"Aku nak ajak kamu ikut aku ke tempat tersebut, tak payah amalkan rukun Islam yang lima, cukup hanya menyebut Allah saja," tambahnya sambil merenung ke arah Pak Habib dan datuk yang kelihatan macam orang bodoh.

"Gila," jerit Tajuddin.

Lelaki berambut panjang terus bingkas bangun, mencapai parang panjang disisinya, bagaikan helang menyambar anak ayam di tepi jemuran dia melompat ke arah Tajuddin dengan parang terhunus di tangan.

Keadaan menjadi kelam kabut sekali. Saya segera lari ke bahagian tepi surau untuk menyelamatkan diri. Rupa-rupanya, Tajuddin berlindung di tempat yang sama.

"Berhenti."

Suara datuk yang bergema itu membuat lelaki berambut panjang berhenti memburu Tajuddin. Dia mengubah haluan menerpa ke arah datuk.

Saat dia menghayunkan parang panjang ke bahagian leher datuk, Pak Habib datang dari sebelah kanan.

Dengan satu jentikan dari Pak Habib di pangkal cuping telinga kanan lelaki berambut panjang, seluruh tubuhnya menjadi lemah.

Parang ditangan terlepas dan lelaki berambut panjang rebah terkapar dihalaman surau.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 251/284

BACA: SBDJ Siri 250: Pemuda Rambut Panjang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, February 24, 2026

Kisah Anak Monyet Si "Punch-Kun" Yang Menyentuh Hati Dunia

Kisah Anak Monyet Si "Punch-Kun" Yang Menyentuh Hati Dunia

Di Jepun, seekor anak monyet kecil berjaya mencuri perhatian jutaan orang di seluruh dunia. Namanya Punch‑kun — seekor bayi monyet yang kisah hidupnya viral kerana satu sebab yang sangat menyentuh hati: dia dibesarkan tanpa ibunya.

Kisah Anak Monyet Si "Punch-Kun"

Permulaan Kisah Punch-Kun

Punch-Kun ialah seekor macaque Jepun yang lahir pada Julai 2025 di Ichikawa City Zoo. Namun sejurus dilahirkan, ibunya menolak untuk menjaganya.

Penjaga zoo terpaksa membesarkan Punch-Kun secara manual menggunakan botol susu dan penjagaan khas.

Tanpa kasih sayang ibu, Punch-Kun menghadapi kesukaran besar untuk menyesuaikan diri dengan kumpulan monyet lain.

Monyet Viral Kerana Sebuah Patung

Apa yang membuatkan Punch-Kun viral ialah satu perkara unik.

Penjaga zoo memberinya patung orang utan sebagai pengganti emosi — seolah-olah "ibu".

Sejak itu, Punch-Kun dilihat sentiasa memeluk patung tersebut ke mana sahaja dia pergi.

Gambar dan video Punch-Kun memeluk patung itu mengundang simpati netizen, tular di media sosial Jepun, menarik perhatian global, malah hashtag sokongan untuk Punch-Kun mula tersebar di internet.

Video Sedih Yang Membuat Dunia Tersentuh

Beberapa video menunjukkan Punch-Kun bersendirian, sukar diterima monyet lain, kadang ditolak atau diganggu dalam kumpulan.

Rakaman ini membuat ramai orang berasa sedih dan bimbang tentang masa depannya.

Namun, pakar menjelaskan tingkah laku itu sebenarnya sebahagian daripada hierarki sosial monyet, bukan semata-mata "dibuli".

Punch-Kun Mula Diterima

Kisah Punch-Kun tidak berakhir sedih.

Beberapa rakaman terbaru menunjukkan monyet lain mula menggendongnya, membersihkannya (grooming) dan berinteraksi secara lebih mesra.

Ini memberi harapan bahawa Punch-Kun akhirnya menemui "penjaga" dalam kumpulannya.

Kenapa Kisah Ini Jadi Viral?

Kisah Punch-Kun viral kerana ia mempunyai elemen yang sangat kuat secara emosi.

Anak kecil tanpa ibu, simbol kesunyian (patung peluk), perjalanan daripada penolakan, penerimaan dan cerita survival haiwan yang relatable kepada manusia.

Kisah ini juga meningkatkan jumlah pelawat ke zoo kerana ramai mahu melihat Punch-Kun sendiri.

Makna Besar Di Sebalik Kisah Punch-Kun

Punch-Kun menjadi simbol ketahanan emosi, kepentingan hubungan sosial (walaupun bagi haiwan), empati manusia terhadap haiwan dan kuasa media sosial dalam mengubah kisah kecil jadi fenomena global.

Ending

Kisah Punch-Kun membuktikan sesuatu yang sangat mudah tetapi kuat.

Kadang cerita paling viral bukan tentang selebriti atau drama besar — tetapi tentang seekor anak monyet kecil yang hanya perlukan kasih sayang.

Dan sebab itu dunia jatuh hati pada Punch-Kun.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 250: Pemuda Rambut Panjang

SBDJ Siri 250: Pemuda Rambut Panjang

Dalam pertemuan di ruang tamu itu, datuk menyatakan hasratnya untuk pulang ke tanah semenanjung pada Pak Habib. Buat seketika, Pak Habib atau Syed Hamid Al-Hadad, tidak memberikan sebarang komentar. Dia tenang dan kelihatan bersahaja.

SBDJ 250 Pemuda Rambut Panjang

"Tak boleh tunggu, dua tiga hari lagi?"

Satu pertanyaan dari Pak Habib yang saya kira cukup berat untuk dijawab oleh datuk.

Angin yang masuk menerusi jendela memberikan kesegaran pada saya. Mungkin juga untuk datuk dan Pak Habib. Terdengar kokok ayam dan kicau murai dihujung ranting.

"Rasanya tak perlu," jawab datuk.

"Maksud sahabat?"

Anak mata Pak Habib menyorot wajah datuk. Saya lihat datuk terpampan. Ekor mata kanannya mengecil, mencari alasan untuk membalas pertanyaan Pak Habib. Hampir sepuluh saat suasana di ruang tamu terasa sepi.

"Saya rasa semuanya sudah selesai. Hajat sahabat sudah saya tunaikan. Orang bertiga sudah balik, sudah bekerja dengan sahabat, malahan tekun belajar agama. Jadi apa perlunya saya di sini," tutur datuk tenang.

"Kalau saya katakan, saya memerlukan khidmat sahabat bagaimana?" Pak Habib senyum.

"Ini yang sulitnya," datuk mengeluh.

"Tak sulit, asalkan sahabat mahu ikut cakap saya."

"Itu paksaan secara terhormat namanya," sanggah datuk.

Dua sahabat itu ketawa terkikih. Masing-masing bertindak bijak untuk 'memerangkap' antara satu sama lain secara diplomasi. Saya tersenyum.

Angin terus masuk ke ruang tamu. Sayup-sayup terdengar bunyi lesung orang menumbuk padi.

"Begini saja, saya mahu berterus terang dengan sahabat. Ikut saya ke Jawa."

"Haaa..." mulut datuk melopong.

"Tak susahkan diri sahabat, mungkin menguntungkan," nada suara Pak Habib lembut.

Mulut datuk yang terlopong kembali bertaut. Tetapi, sepasang keningnya yang berbulu lebat, kelihatan seakan-akan terangkat seketika. Macam ada sesuatu yang bermain dalam kepalanya.

DOA

Hati kecil saya terus berbunga dengan doa. Semuga datuk akan memenuhi permintaan Pak Habib.

Kembara di bumi rumpun Melayu atau lebih tepatnya seluruh Nusantara memang menjadi minat saya.

Bukankah rumpun Melayu itu besar dan luas, budaya adatnya tidak jauh berbeza. Saya membina angan-angan dalam kepala.

"Jawa tu luas sahabat, tempat sebenarnya di mana?" datuk angkat kepala. Tentang biji mata Pak Habib.

"Tanah Abang," suara Pak Habib yakin.

"Tanah Abang," ulang datuk sedikit sangsi.

"Iya, Tanah Abang, Jakarta."

"Hummmm?" keluh datuk.

"Bagaimana? Jadi," Pak Habib minta kepastian.

Tiada jawapan pasti dari datuk, saya mula resah sendirian. Harapan untuk melihat tempat pendekar si Pitung menjadi samar.

"Bagaimana kalau lain kali saja sahabat?"

"Lain kali tu, boleh jadi tak pergi langsung. Bila sahabat balik ke tanah semenanjung. Entah bila pula kemari. Barangkali boleh jadi tak datang langsung," Pak Habib menggaru hujung kening.

"Susah, saya benar-benar susah," datuk mengeluh.

"Apa yang sahabat susahkan."

"Saya dah berjanji dengan kapten kapal dagang yang mahu ke Pulau Pinang tengahari esok. Orang yang menguruskan hal ini, Tajuddin anak saudara sahabat. Berat rasa hati nak membatalkannya," wajah datuk nampak sugul.

"Jangan bersusah hati, biar saya uruskan hal ini."

"Tapi..."

"Saya faham, sahabat segan dengan Tajuddin. Kapal yang mahu sahabat tumpang tu, kapal saya. Kenapa sahabat berahsia dari saya," amat bersahaja Pak Habib mengungkap kata-kata.

"Bukan berahsia, tetapi tidak mahu menyusahkan Habib," Pak Habib pun menghadiahkan senyum sinis untuk datuk yang tersipu malu.

"Tunggu sebentar," tiba-tiba saja Pak Habib berkata demikian pada saya dan datuk.

Pasti saya merasa ganjil dengan perbuatannya. Kemudian Pak Habib tergesa-gesa masuk ke bahagian ruang tengah rumah.

Terdengar Pak Habib bercakap dengan seseorang. Kurang jelas apa yang diperkatakannya dengan orang tersebut.

GABUNG

Pak Habib kembali ke ruang tamu bergabung dengan kami. Topik perbincangan tidak lagi berkisar pada persoalan pergi ke tanah Jawa.

Walaupun datuk belum memberikan kata putus sama ada pergi atau sebaliknya. Perkara itu terus tergantung begitu saja.

Mendengar datuk dan Pak Habib membahasakan hal-hal yang ada sangkut paut dengan agama, memang tidak menarik minat saya.

Kerancakan perbahasan datuk dengan Pak Habib terganggu oleh suara orang memberi salam di luar.

Setelah menjawab dengan lantang. Pak Habib mempersilakan si pemberi salam naik ke rumah. Orangnya memang saya kenali, Tajuddin anak saudara Pak Habib.

"Panggil saya?" itulah yang diajukan oleh Tajuddin sebaik saja merenung muka Pak Habib.

Saya jeling datuk yang sedang merenung ke arah Tajuddin. Langsir tingkap bergerak lemah disentuh bayu.

Kerana jawapan dari pertanyaan yang diajukan oleh Tajuddin lambat dijawab oleh Pak Habib menyebabkan Tajuddin resah, merasakan dirinya berdiri dalam keadaan yang serba tidak kena.

"Memang aku panggil kamu."

Tajuddin menarik nafas panjang. Lega hatinya mendengar jawapan itu. Wajahnya nampak riang.

"Beritahu kapten Nasir orang ini tak jadi balik ke Pulau Pinang, pastikan barang dagang yang dibawanya ikut peraturan, jangan bawa benda salah," tambah Pak Habib.

"Saya faham. Maafkan saya kerana membenarkan Nasir membawa orang ini ke Pulau Pinang," Tajuddin renung muka saya dan datuk. Pak Habib mendengar dengan teliti sekali.

"Kesilapan saya kerana tak memberitahu Pak ayah," samung Tajuddin wajahnya nampak sedikit cemas.

"Sudahlah tu. Lain kali jangan main pandai sendiri."

"Maaf, saya pergi."

"Silakan."

Tajuddin bersalaman dengan Pak Habib. Kemudian bersalam dengan datuk dan saya. Ketika bersalaman itulah Tajuddin sempat menepuk bahu saya seraya berkata, "Kamu kena duduk lama di sini."

Saya balas dengan senyuman yang panjang. Penuh tanda tanya dan seribu makna. Ruang tamu yang luas kembali dikuasai oleh kami bertiga. Angin semakin rancak masuk ke ruang tamu lalu menyapa wajah tiga manusia.

"Bagaimana sekarang?" Tiba-tiba Pak Habib bersuara.

"Maksudnya," soal datuk kembali.

"Maksudnya amat mudah, keputusan ditangan sahabat. Tugas saya sudah selesai. Kapten kapal dah tahu sahabat tak jadi menumpang ke Pulau Pinang," dalam senyum dan tenang Pak Habib melafazkan kata.

SENYUM

Datuk renung ke arah saya bersama segaris senyum.

"Jawapannya," datuk ketawa kecil.

"Sahabat sudah tahu. Bak kata orang sudah terang, bersuluh lagi. Menyeberang dengan perahu, bila perahu tak ada duduklah ditebing. Itulah ibarat diri ini."

"Jadi sahabat setuju ke Tanah Abang," riang sekali suara Pak Habib.

Dia ketawa puas. Wajahnya ceria sekali.

"Apa lagi mahu dikata, sebagai tetamu ikut saja cakap sahabat," datuk mengalah sambil memperkemaskan silanya.

"Niat saya baik, mahu memperkenalkan sahabat dengan keturunan pendekar Tanah Abang. Barangkali ada ilmu yang baik untuk diambil. Ilmu yang buruk ditinggalkan," Pak Habib berhenti bercakap seketika.

"Ilmu yang baik itu boleh diambil dan dikembangkan di tempat sendiri," sambung Pak Habib.

Datuk terlalu lambat memberikan tindak balas. Entah mengapa saya pula yang berdebar cemas.

"Dengan keturunan siapa sahabat mahu memperkenalkan saya?" Satu pertanyaan yang cukup positif dari datuk.

"Dengan keturunan Si Pitung, Si Jampang Macan Kamayuran, mereka ini dianggap jagoan Tanah Abang yang menentang Belanda. Mereka membela rakyat yang tertindas.

"Mesti ada petua langkah. Ilmu-ilmi lama yang ditinggalkan pada keturunannya. Apa salahnya kita memetik yang baik dari ilmu itu," pendapat dan jawapan dari Pak Habib yang positif dan berkeyakinan.

TUA

Saya kira, sebagai orang tua yang tidak pernah putus-putus mencari dan menuntut ilmu dunia atau akhirat, datuk pasti tidak menolak tawaran yang dikemukakan oleh Pak Habib.

Malah saya kira datuk tetap berminat dan tidak menolak peluang tersebut.

"Bila nak pergi, kalau lambat sangat, saya kurang seronok," bersahaja datuk bertanya.

Pak Habib sandarkan badan ke dinding. Sepasang matanya merenung awan gemawan yang bergerak lemah menerusi jendela yang terdedah. Kerut keningnya menandakan Pak Habib sedang memikirkan sesuatu.

Kemudian lelaki berdah Arab-Melayu menarik nafas panjang. Air mukanya kelihatan cerah sekali.

"Hari ni, hari Isnin, besok Selasa, kemudian Rabu. Saya cadangkan pagi Khamis kita berangkat ke sana.

"Jadi pada malam Jumaat kita berjemaah di Masjid Al-Makmur, tidak berapa jauh dari pasar Tanah Abang, salah satu masjid tertua di Jakarta.

"Berjemaah malam Jumaat di masjid lama, kata orang dapat berkat," suara Pak Habib lemah membayangkan kebimbangan kalau-kalau datuk menolak cadangannya.

Tiada komentar dari datuk. Kepalanya diangkat sedikit merenung lelangit ruang tamu. Bagaikan mencongak sesuatu dan perlahan-lahan anggukkan kepala. Wajah bimbang Pak Habib kembali cerah.

"Boleh," jawab datuk penuh yakin.

"Bagus," Pak Habib tegakkan badannya kembali.

"Jadi sementara menanti hari Khamis, saya terpaksa bergaul dengan ketiga-tiga manusia itu, mengajar mereka petua-petua bagaimana nak khusyuk sembahyang, selain dari menanamkan semangat tauhid dalam dada mereka," datuk mengeliat.

"Memang itulah yang diharapkan dari sahabat, ketiga-tiga manusia yang menawan kita dulu, amat serasi dan menghormati sahabat. Kesempatan itu mesti digunakan dengan sebaik mungkin, lagi pun orang-orang di sini terlalu menghormati orang luar yang berilmu (agama) dari orang tempatan," satu pengakuan yang ikhlas dari Pak Habib.

"Barangkali perkara ini berlaku secara kebetulan," datuk cuba membunuh rasa kecewa di hati Pak Habib.

"Saya tahu, ini satu fenomena biasa, berlaku di mana-mana dalam apa jenis masyarakat pun, lebih mementingkan dan memandang mulia orang luar dari orang dalam," Pak Habib meluahkan pendapatnya.

Ternyata datuk setuju dengan pendapat tersebut.

BERGERAK

Menjelang keberangkatan ke Tanah Abang (hari Khamis) datuk cukup sibuk sekali. Dia bagaikan tidak ada masa, (mungkin terlupa) terucap.

Biasanya nama nenek disebut oleh datuk setelah melakukan solat Tahajud atau ketika selesai mengerjakan solat Asar.

Harapan Pak Habib memang dilaksanakan oleh datuk dengan sebaik mungkin. Setiap masa (selepas waktu kerja) datuk mendampingi ketiga-tiga manusia laknat yang sudah insaf.

Mereka sentiasa diingatkan bila melakukan sesuatu harus ikhlas dan mencari sumber rezeki dari sumber yang halal.

Bila bekerja dengan orang (makan gaji) mesti ikhlas menjalankan tugas, ikut peraturan Islam. Jangan sekali-kali curi tulang tanpa sebab-sebab yang kukuh.

Bila kerja tidak ikhlas, gaji yang diperolehi tidak berkat. Sentiasa tidak cukup, sentiasa terhimpit.

Datuk juga memberitahu mereka, setiap gerak dan nafas kita adalah milik Allah. Jadi Allah harus lekat dikalbu.

Setiap kali bergerak atau melakukan sesuatu sama ada berjaya atau gagal, mesti diucapkan doa kesyukuran pada Allah. Setiap doa yang dihembus adalah doa kesyukuran pada Allah.

Datuk meyakinkan mereka menanamkan semangat cinta agama dengan dalil dan petunjuk yang mudah. Sesuai dengan latar belakang kehidupan dari mana mereka datang. Begitu juga dengan pendidikan yang mereka perolehi.

Mereka tidak disuruh menjadi Islam yang fanatik. Secara perlahan-lahan dan teratur, datuk menyuruh mereka menjadi seorang Islam yang progresif sesuai dengan perkembangan arus kemajuan ketika itu. Mereka disuruh melihat dunia luar secara terbuka dan luas.

Mereka disuruh banyak membaca buku-buku pengetahuan yang ada hubungkaitnya dengan ilmu bintang, sains dan kedoktoran, tak kira buku ditulis dalam bahasa apa, pokoknya mereka boleh membaca, asalkan tidak lari dari asas Islam.

Bila perkara yang sama diasak setiap hari oleh datuk, maka cara berfikir mereka mula terbuka. Mereka benar-benar melupakan dunia hitam yang pernah mereka lalui.

GEMPAR

Pada hari Rabu, kira-kira jam sepuluh pagi, berlaku kegemparan tidak jauh dari kawasan surau.

Seorang lelaki yang sejak dua hari lalu (Isnin dan Selasa) menumpang di surau atas keizinan keluarga Pak Habib melakukan sesuatu yang diluar dugaan.

Keizinan menginap di surau keluarga Pak Habib dibenarkan oleh Pak Habib, kerana lelaki yang berambut panjang, mendakwa dirinya dari Binjai menyatakan dia mahu melakukan amal ibadah di surau tersebut dalam waktu beberapa hari.

Dia juga memberitahu yang dirinya dalam perjalanan ke Padang Panjang untuk menuntut ilmu agama. Atas alasan itu, permintaannya diperkenankan oleh Pak Habib.

Memang ternyata lelaki berambut panjang itu mengotakan apa yang dikatanya.

Hasil intipan para tetangga membuktikan yang kebanyakkan masa lelaki berambut panjang itu dihabiskan dengan membaca kitab-kitab yang dibawanya.

Tidak seorang ahli qariah yang tahu jenis kitab yang dibacanya kerana perkara itu amat dirahsiakannya.

"Lelaki itu gila, kita dah silap membenarkan dia tinggal di surau," kata Tajuddin pada Pak Habib yang datang ke surah setelah diberitahu apa yang terjadi. Pak Habib datang bersama datuk.

"Apa yang dibuatnya?" Tanya Pak Habib.

"Dia mahu membakar surau dan mahu membunuh siapa saja yang menghalang. Dia bawa parang panjang," jelas Tajuddin pada pamannya.

"Sekarang dia berada di mana?" Soal Pak Habib lagi.

"Ada dalam surau."

"Habis macamana, kamu kata dia mengamuk," datuk pula menyoal.

"Tadi, semasa Kamarul mahu sembahyang Dhoha di surau dilarangnya. Dia beritahu Kamarul tak ada sembahyang selepas sembahyang subuh.

"Kamarul cuba terangkan kedudukan sebenar. Dia tak mahu terima. Kamarul dihalau, dikejarnya dengan parang panjang," terang Tajuddin.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 250/284

BACA: SBDJ Siri 249: Makan Bersama Di Rumah Tajuddin
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Membongkar Peranan Keluarga Rothschild Dalam Epstein Files

Membongkar Peranan Keluarga Rothschild Dalam Epstein Files

Pada Februari 2016, Jeffrey Epstein menulis e-mel kepada Peter Thiel, pengasas bersama PayPal dan Palantir Technologies, dengan satu ayat yang sepatutnya menghiasi muka depan setiap akhbar di dunia Barat, "Seperti yang anda mungkin tahu, saya mewakili keluarga Rothschild."

Rothschild Dalam Epstein Files

Ayat itu terdapat dalam Epstein Files dan ia merupakan dokumen rasmi United States Department of Justice, namun media arus perdana memperlakukannya seperti nota kaki tentang cuaca di Bermuda.

Nama "Rothschild" muncul hampir 12,000 kali merentasi 3.8 juta halaman yang didedahkan pada Januari 2026. Dua belas ribu kali!

Sebagai perbandingan, "Clinton" muncul pada kekerapan yang jauh lebih rendah, tetapi dalam ekosistem media yang dibentuk oleh Noam Chomsky, pengulangan nama Rothschild dalam konteks penyiasatan secara automatik diklasifikasikan semula sebagai khayalan konspirasi.

Mudah, apabila nama anda merupakan yang paling banyak dirujuk dalam skandal pemerdagangan seks kanak-kanak terbesar dalam sejarah moden.

Les Wexner, pengasas bilionair Victoria's Secret dan penderma terbesar Epstein yang diketahui, memberi keterangan di bawah sumpah di hadapan United States House Oversight Committee pada 18 Februari 2026.

Apabila ditanya tentang kelayakan yang membuatkannya mempercayakan Epstein kuasa wakil penuh ke atas kewangannya, beliau menjawab secara ringkas, "Kerja peribadinya untuk keluarga Rothschild di Perancis."

Beliau menambah, "Secara khusus, saya bercakap dengan Élie de Rothschild. Dia mewakili seluruh keluarga mereka."

Di bawah sumpah. Di hadapan Kongres Amerika Syarikat, peguam Wexner dirakam berbisik kepada anak guamnya pada mikrofon secara terbuka, "Aku akan bunuh kau kalau kau jawab satu lagi soalan dengan lebih daripada lima perkataan."

Dokumen tersebut mengesahkan apa yang didedahkan Wexner. Pada Oktober 2015, Southern Trust Company Inc., dipengerusikan oleh Epstein dan berpangkalan di Kepulauan Virgin, menandatangani kontrak bernilai $25 juta dengan Edmond de Rothschild Holding S.A.

Subjeknya, "Analisis risiko" dan "aplikasi algoritma tertentu."

Dua puluh lima juta dolar untuk seorang pesalah seks kanak-kanak yang disabitkan kesalahan menjalankan algoritma bagi keluarga terkaya di Eropah. Jika ini skrip TV, tiada studio akan membelinya kerana tidak munasabah.

Ariane de Rothschild, Ketua Pegawai Eksekutif Edmond de Rothschild Group sejak 2023, bertukar e-mel dengan Epstein berpuluh kali setiap bulan.

The Wall Street Journal mengesahkan pada tahun 2023 bahawa beliau bertemu Epstein secara bersemuka lebih daripada sedozen kali selepas sabitannya.

Pembelaan awal bank itu adalah menafikan sebarang hubungan. Kemudian mereka mengakui pertemuan tersebut berlaku "sebagai sebahagian daripada tugas normalnya."

Tugas normal yang nampaknya termasuk pertemuan berkala dengan pesalah pedofilia yang disabitkan.

Pada 2014, Epstein menulis kepada Ariane, "Rampasan kuasa di Ukraine sepatutnya menyediakan banyak peluang." Banyak!

Seorang pengurus kewangan yang disabitkan eksploitasi seksual kanak-kanak membincangkan peluang geopolitik dengan pewaris empayar perbankan bernilai $236 bilion.

Ini sepatutnya menjadi berita muka depan, namun ia menjadi kesunyian mana-mana pihak editorial.

Di seberang Atlantik, e-mel WikiLeaks telah mendedahkan hubungan antara Hillary Clinton dan Lynn Forester de Rothschild.

Pada September 2010, Clinton, ketika itu Setiausaha Negara, menulis kepada Lady de Rothschild memohon maaf kerana menarik Tony Blair daripada satu acara peribadi bersama keluarga Rothschild di Aspen untuk menghadiri rundingan Timur Tengah.

Frasa tersebut disebut secara verbatim, "Beritahu saya penebusan apa yang saya berhutang kepada anda." Setiausaha Negara bagi kuasa terbesar dunia meminta penebusan daripada seorang individu persendirian.

Pada Januari 2015, sebelum Hillary mengumumkan pencalonannya, Lynn sudah merangka dasar ekonomi beliau dalam e-mel kepada pembantu Cheryl Mills, "Kita perlu merangka mesej ekonomi untuk Hillary." Siapa yang mengendalikan politik Amerika tidak semestinya berada di kertas undi.

Alan Dershowitz, bekas peguam Epstein dan profesor emeritus Harvard University, menyatakan secara terbuka pada 2019, "Saya diperkenalkan kepada Epstein oleh Lady Lynn Rothschild. Dia memperkenalkan Epstein kepada Bill Clinton dan Prince Andrew."

Penghubung antara pedofil itu dan dua lelaki paling berkuasa di planet ini mempunyai satu nama keluarga. Dan nama keluarga itu muncul 12,000 kali dalam fail tersebut.

Cindy McCain, balu Senator John McCain, merumuskan keadaan itu dengan kejujuran yang jarang ditunjukkan kelas politik, "Kita semua tahu." Mereka tahu. Dan diam menjadi pilihan terbaik.

Corak yang muncul daripada dokumen itu jelas secara struktur. Epstein beroperasi sebagai wakil kewangan keluarga Rothschild.

Beliau menggunakan kedudukan itu untuk membina rangkaian hubungan dengan bilionair, ahli politik dan akademik.

Rangkaian itu menjadi substrat operasi skim pemerdagangan seks kanak-kanak terbesar yang didokumenkan dalam sejarah dan apabila mangsa yang terselamat mula bersuara, mesin pembungkaman beroperasi dengan ketepatan perbankan.

Rothschild, Rockefeller, Warburg, Schiff. Dinasti bilionair berusia berabad-abad yang dikenal pasti oleh pemikir seperti Carroll Quigley dan Olavo de Carvalho sebagai pemilik de facto dunia.

Dinasti yang bertahan melalui empayar, perang dunia dan revolusi kerana beroperasi pada lapisan kuasa yang mendahului politik kepartian. Mereka mencipta bank pusat, membiayai kedua-dua pihak konflik, memasang dan menjatuhkan kerajaan dengan mudah.

Epstein Files menjelaskan, melalui 3.8 juta halaman pengesahan dokumentari terhadap apa yang dikenal pasti para pemikir selama beberapa generasi: Wujud satu lapisan kuasa yang beroperasi di atas kerajaan, di atas undang-undang dan melindungi kepentingannya sendiri dengan kecekapan mereka mengawal modal dan naratif secara serentak.

United Nations, pada Februari 2026, mengklasifikasikan operasi Epstein sebagai "perusahaan jenayah global" dengan perbuatan yang mungkin merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.

Dua belas ribu kali penyebutan nama Rothschild dalam dokumen tersebut dan kesunyian media barat menjadi bukti terbesar bahawa sistem dajal berfungsi seperti yang digambarkan.

Siapa mengawal wang mengawal cerita. Siapa mengawal cerita mengawal kesunyian. Dan kesunyian itu, dalam kes ini, mempunyai 12,000 nama.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Monday, February 23, 2026

SBDJ Siri 249: Makan Bersama Di Rumah Tajuddin

SBDJ Siri 249: Makan Bersama Di Rumah Tajuddin

Si pemandu tumpukan seluruh perhatian pada permukaan jalanraya yang basah. Lampu kereta dibesarkan. Kelihatan kesan air hujan didaunan dan pepokok, rasa dinging tidak juga berubah. Masih macam tadi, saya menggigil kecil.

Toyol jadi-jadian

Pemandu memaut stereng kereta dengan erat dan kejap, sesekali kelopak matanya terpejam seketika dan kereta yang dipandunya terasa lari ketengah dan ketepi jalanraya. Saya jadi cemas.

Ternyata si pemandu memang sudah mengantuk, dua tiga kali dia mengguap panjang. Secara perlahan dan lembut, saya tepuk belakangnya. Tujuannya agar dia menjengil biji mata. Si pemandu tersenyum. Dia faham maksud saya berbuat demikian.

"Jangan terlena nanti semua maut," perlahan kata-kata itu saya bisikkan ke cuping telinganya.

"Inilah masaalah yang aku hadapi," si pemandu mengakhiri kata dengan senyum.

Saya kira dialog yang terjadi antara saya dengan si pemandu, tidak dapat ditangkap oleh gegendang telinga Pak Habib dan datuk.

"Eeeeekkkkkkkk!"

Si pemandu menekan brek, seekor musang sesat melintas jalan. Semua yang ada dalam perut kereta tersengguk dan terkejut.

Serentak dengan itu, terdengar bunyi brek kecemasan yang panjang dan keras dari beberapa buah kereta yang mengekori kereta yang kami naiki.

"Kenapa? Kamu mengantuk, kalau mengantuk biar aku bawa," Pak Habib mengemukakan usul.

"Saya tak mengantuk, musang melintas. Saya tak mahu langgar, itulah sebabnya saya tekan brek," si pemandu memberi alasan.

Dan alasan itu dapat diterima oleh Pak Habib dan datuk. Buktinya, mereka tersenyum puas.

TERGUGAT

Selepas kejadian itu, si pemandu lebih berhati-hati. Kalau boleh dia tidak mahu ketenangan dan keselesaan Pak Habib dan datuk tergugat.

"Sebaiknya, hiduplah dengan melakukan kebaikan dan kebajikan. Asah hati kita ini dengan kejujuran dan keikhlasan pada setiap masa.

"Kemudian kita serahkan kepada Allah apa yang kita buat, jangan mengharapkan pembalasan dari-Nya," tanpa diduga Pak Habib bersuara.

Hati tertanya-tanya untuk siapa kata-kata itu dimaksudkan oleh Pak Habib.

"Kalau kebaikan kita buat dan kebaikan pula kita perolehi. Alhamdulillah. Andainya, kebaikan kita lakukan tetapi kejahatan yang datang, itu adalah ujian dari Allah untuk kita. Semua itu hak Allah," sambung Pak Habib sambil membetulkan duduknya.

Kuliah pendek itu, ada kaitannya dengan peristiwa yang kami lalui bersama. Dengan kata lain, Pak Habib menyuruh kami berfikir dan merenungi, bahawa apa yang terjadi, ada hikmahnya untuk dijadikan renungan.

"Saya setuju dengan apa yang sahabat katakan. Mengasah hati dan jiwa supaya jadi murni, bukanlah perkara yang mudah," komen datuk.

"Disinilah letaknya ketakwaan atau penyerahan keimanan kita pada Allah. Kalau kita yakin pada kudrat-NYA, kita boleh melakukanya," jawab Syed Al-Hadad atau Pak Habib.

Datuk menganggukkan kepala, mereka berbalas senyuman.

Kereta terus meluncur dengan tenang, melepasi beberapa buah selekoh tajam dan beberapa buah perkampungan serta pekan kecil.

Si pemandu nampak kian yakin dan selesa dengan apa yang dibuatnya. Semuanya ini menandakan, perjalanan semakin dekat ke tempat yang dituju.

FAJAR

Ketika fajar mula bangkit di kaki langit, kami pun sampai di rumah Syed Hamid AL-Hadad. Kawasan rumahnya sungguh luas sekali.

Tidak jauh dari kawasan rumahnya terdapat beberapa buah rumah batu yang tidak kalah bentuk dan besarnya dengan rumah Pak Habib.

Pak Habib memastikan ketiga-tiga manusia laknat yang menumpang kereta anak buahnya sampai.

Kemudian memastikan mereka (tiga manusia laknat) pergi ke rumah yang ditetapkan sebagai tempat penginapan untuk membersihkan diri (mandi) sebelum berjemaah di sebuah surau yang tidak jauh dari rumah Pak Habib.

Saya dan datuk diajak oleh Pak Habib terus ke rumahnya. Kami diberikan seorang satu bilik.

Dalam rumah besar itu terdapat beberapa buah bilik khas untuk tetamu siap dengan tempat sembahyangnya sekali. Disediakan senaskah Al-Ouran dan yassin.

Suasana dalam bilik yang kemas dan teratur, ternyata amat menyenangkan diri datuk.

Berkali-kali dia mengucapkan ribuan terima kasih pada Pak Habib yang pada hematnya amat mementingkan keselesaan tetamu.

Setelah mandi dan menikmati secangkir kopi pahit, waktu subuh pun masuk. Kami segera berangkat ke surau yang kecil dan comel.

"Cucu kamu," kata Pak Habib pada datuk.

Saya yang berada diantara mereka tercenggang.

"Tamar."

Saya renung muka datuk.

"Panggil dan beritahu orang kampung solat subuh sudah tiba," tambah datuk.

"Azan, tuk."

Datuk tidak memberikan jawapan, serentak mereka melangkah ke tengah surau. Saya menarik nafas, Pak Habib dan datuk menyerahkan tanggungjawab untuk saya pikul.

Di awal subuh yang sepi, orang-orang yang bermastutin di sekitar rumah Pak Habib dan penghuni kampung berdekatan, dikejutkan dengan suara laungan azan yang sungguh berbeza dengan suara yang selalu mereka dengar.

INDAH

Sebaik sahaja mereka sampai ke surau kecil yang indah, ada diantara mereka mengajukan pertanyaan pada siak yang berkhidmat secara sukarela disitu.

"Suara orang bang (azan) tadi berbeza dengan suara yang selalu didengar," tanya seorang jemaah.

"Siapa yang azan tadi? Ada orang baru ke?" tanya pula yang lain.

"Orang yang dibawa Tuan Habib," jawab siak sukarela.

"Katakan Tuan Habib hilang dalam perjalanan balik dari Pangkalan Berandan ke sini," datang lagi pertanyaan jemaah yang lain.

Orangnya sudah agak berusia, tetapi nampak sihat.

"Bila dia balik?" tanya orang itu lagi.

"Dekat dinihari dia balik. Anak buahnya sendiri yang pergi mencari, mereka pergi secara rahsia, tak mahu heboh-heboh," siak sukarela menjelaskan sambil anak matanya menatap wajah-wajah yang mengemukakan pertanyaan padanya.

PINTU

Beberapa jemaah yang berada di muka pintu dan sempat mendengar penjelasan siak sukarela, segera memanjangkan leher mencari Pak Habib, macam bangau mencari anak seluang.

Bila terpandang batang hidung orang yang dicari, mereka terus menyerbu ke arah Pak Habib.

Mereka bersalaman, tidak memadai dengan itu batang tubuh Pak Habib dipeluk dan dipaksa bercerita tentang perkara yang dilaluinya.

Hasrat mereka tidak berhasil kerana kesuntukan masa. Waktu solat sudah tiba.

Malah, Pak Habib sendiri keberatan melayan permintaan mereka yang tidak sesuai pada waktu dan ketikanya.

"Kalau ia pun, nak berpeluk dan mengampu Pak Habib, janganlah merempuh orang sesuka hati, fikirlah sakit orang lain," seorang jemaah yang dirempuh meluahkan kekesalan dengan wajah yang amat kecewa sekali.

Lebih menyakitkan hati, orang yang merempuh tidak pula minta maaf.

Dalam situasi yang agak kelam kabut itu, sekali lagi khidmat saya diperlukan untuk melafazkan qamat. Perkara itu segera saya laksanakan.

Atas permintaan Pak Habib, datuk disuruh menjadi imam. Segala-galanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan.

Tiga manusia laknat turut sama berjemaah. Kerana salah seorang daripada mereka (lelaki berdarah dahi) pernah bekerja dengan Pak Habib, kehadiran mereka jadi perhatian.

Lebih-lebih lagi mereka sentiasa didampingi oleh kerabat Pak Habib. Selesai sembahyang dan berdoa Pak Habib terus bangun.

"Semua yang ada disini, diminta datang ke rumah anak saudara saya, Tajuddin. Kita beramai-ramai minum kopi dan makan pagi di rumahnya.

"Kemudian baca doa selamat dan kesyukuran kerana saya dijumpai dalam keadaan sihat, semua dijemput," tutur Pak Habib.

"Makan apa Pak Habib?" usik seorang jemaah.

"Itu kena tanya Tajuddin," sahut Pak Habib.

"Kopi dan nasi lemak," Tajuddin bersuara lantang.

"Ini sudah cukup baik," terdengar suara nakal dari para jemaah yang disambut dengan senyum oleh Pak habib dan Tajuddin.

Beberapa orang para jemaah yang sebaya dengan Pak Habib segera medekatinya. Mereka melahirkan rasa terkejut dengan apa yang berlaku atas diri Pak Habib.

MENOLAK

Malah, ada yang mahu Pak Habib bercerita detik kejadian itu secara terperinci. Pak Habib menolak dengan alasan belum sesuai.

Walaupun begitu, Pak habib berjanji pada mereka, bila ada masa terluang, boleh jadi esok atau lusa dia akan menceritakannya.

"Bila ada masa sesuai, saya ceritakan pada semua," Pak Habib memberikan sebuah janji.

Dua tiga orang jemaah yang berada didepannya saling berpandangan sesama sendiri. Mereka seolah-olah sangsi dengan janji yang dilafazkan oleh Pak Habib.

"Masa yang sesuai itu bila Pak Habib?" tanya seorang dari sebelah kanan. Pak Habib tersenyum ke arah datuk.

"Boleh jadi waktu asar nanti atau subuh esok. Usah fikirkan apa yang saya alami. Soal sekarang kita pergi ke rumah anak saudara saya. Isi perut kita, mari.." cukup lantang suara Pak Habib.

Dengan tenang dia melangkah ke muka pintu surau, memulakan perjalanan menuju ke rumah anak saudaranya.

Di rumah Tajuddin, khidmat saya diperlukan lagi untuk membaca doa selamat. Memang pada mulanya saya menolak membaca doa selamat.

Saya kira orang tempatan lebih wajar melakukannya, lagipun saya kurang fasih. Sayang sekali, hujjah saya itu tidak dapat diterima oleh Pak Habib dan para jemaah yang hadir.

Saya tidak boleh mengelak dan terpaksa menerimanya dalam senyum, tetapi hati terasa amat berat dan berdebar semacam.

Alhamdulillah saya lulus ujian. Tidak ada seorang pun yang mengkritik, semuanya memuji. Saya bangga dalam hati tetapi, datuk terus tersenyum lebar.

Sesungguhnya, peristiwa yang dilaluinya beberapa minit tadi, secara tidak langsung membuktikan saya lulus ujian sebagai anak muda kampung yang boleh ditolak ke depan dan ke belakang.

Dalam masyarakat kampung Melayu tradisional yang bersandarkan pada ajaran agama dan adat budaya, saya dikira anak muda yang boleh diharap.

Boleh jadi tukang azan, boleh baca doa, malah dalam saat-saat terdesak boleh jadi imam dan menikahkan orang serta menyembahyangkan jenazah.

SEMINGGU

Setelah dua hari menginap di rumah Pak Habib, saya dan datuk berkesempatan mengikuti agenda yang ditetapkan oleh Pak Habib terhadap tiga manusia laknat. Semuanya berjalan dengan baik seperti yang disusun.

Hubungan tiga manusia dengan tuan rumah yang ditumpangi cukup mesra. Setiap waktu solat mereka berjemaah bersama penduduk tempatan. Mengikuti kuliah subuh dengan sempurna. Semuanya menyenangkan keluarga Pak Habib.

Pada hari Rabu, hari ketiga berada di rumah Pak Habib, datuk memberitahu, dia mahu pulang ke Tanah Semenanjung pada petang Khamis, merentasi Selat Melaka dengan kapal barang ke Pulau Pinang.

Bila ditanya siapa yang menguruskan semuanya itu. Datuk hanya sekadar memberitahu, kapten kapal itu adalah anak sahabat baiknya.

Bagi merealisasikan irnpiannya itu, datuk berhasrat mahu menyatakan perkara tersebut pada Pak Habib keesokannya, iaitu pada hari keempat.

Secara kebetulan pada hari kempat sebaik saja saya dan datuk masuk ke ruang tamu rumah Pak Habib, tiga lelaki laknat sudah berada disitu. Saya lihat jam di dinding sudah pukul sepuluh pagi.

"Duduk sahabat," kata Pak Habib.

Kerana tidak mahu mengganggu urusan yang sedang berjalan, saya dan datuk mengambil tempat yang agak jauh dari manusia bertiga.

"Biar saya selesai perkara ini dulu sahabat, lepas itu barulah kita bercerita. Lagipun sahabat tidak ada rancangan nak kemana-mana. Semalam dah jalan jauh," Usik Pak Habib.

"Teruskan tugas." Sahut datuk.

Pak Habib segera memberikan wang tambang kepada ketiga-tiga lelaki laknat itu untuk pulang dibawa pulang kekampung masing-masing menemui kaum keluarga.

Disamping itu Pak Habib turut juga membekalkan beras dan gula kopi serta beberapa keperluan lain di samping wang saku.

Bila semua urusan selesai, tiga manusia laknat bersalaman dengan Pak Habib, kemudian melarat kepada saya dan datuk.

"Mereka balik kampung seminggu saja. Hari khamis depan mereka balik ke mari untuk bekerja," dengan nada penuh keyakinan Pak Habib memberitahu datuk.

"Sahabat percaya dan yakin?"

"Saya yakin mereka datang untuk bekerja dengan saya dan belajar agama. Mereka menyesal dengan apa yang mereka buat, mereka dah bertaubat."

"Kalau sahabat sendiri yakin, saya tak mahu cakap apa-apa. Sebabnya, sesuatu yang baik bila disertai dengan keyakinan diri dan kuasa Allah, selalunya berhasil."

"Sahabat ini, bercakap berbunga-bunga, macam ahli sufi."

"Terlalu tinggi memuji saya," balas datuk.

Kedua-dua sahabat yang membina kemesraan dan hubungan, tidak sampai seminggu ternyata kelihatan cukup akrab. Saling hormat menghormati dan saling mempercayai satu sama lain.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 249/284

BACA: SBDJ Siri 248: Tunggang Harimau Lintas Jalan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Kisah Benar "Di Belakang Kejayaan Seseorang Lelaki, Ada Seorang Wanita Hebat"

Kisah Benar "Di Belakang Kejayaan Seseorang Lelaki, Ada Seorang Wanita Hebat"

Kita rasa kita sudah berikan yang terbaik. Kita sudah korbankan wang, masa dan tenaga, tetapi dunia seolah-olah buta dan tidak nampak langsung nilai titik peluh itu. Pernahkah anda berasa sangat penat dan kecewa sehinggakan sanggup membuang hasil titik peluh sendiri ke dalam tong sampah?

Kisah Legenda Stephen King

Jika tuan-puan sedang berada di fasa terendah dalam hidup ini, mari saya kongsikan satu kisah benar yang berlaku pada tahun 1973. Ini adalah kisah seorang lelaki miskin bernama Stephen King.

Pada waktu itu, kehidupan Stephen sangat daif dan menyedihkan. Beliau hanya tinggal di dalam sebuah treler (kabin bergerak) yang sempit dan uzur bersama isteri dan dua orang anaknya.

Gajinya sebagai seorang guru sekolah terlalu kecil untuk menanggung kos sara hidup keluarga.

Untuk mencari duit lebih bagi membayar bil bulanan, beliau terpaksa melakukan kerja-kerja berat termasuklah menjadi tukang cuci di sebuah sekolah.

Namun, jauh di sudut hatinya, Stephen mempunyai satu impian yang sangat besar. Beliau mahu menjadi seorang penulis novel yang berjaya.

Setiap malam, selepas isteri dan anak-anaknya tidur, beliau akan duduk di sebuah meja kecil di ruang basuh baju dan mula menaip menggunakan mesin taip terpakai.

Sepanjang usahanya bergelar penulis, beliau telah menerima lebih 30 pucuk surat penolakan daripada pelbagai syarikat penerbitan untuk karya-karyanya yang terdahulu.

Segala penolakan bertubi-tubi itu perlahan-lahan membunuh jiwa dan keyakinan dirinya.

Pada ketika itu, Stephen sedang cuba menyiapkan sebuah manuskrip baru bertajuk 'Carrie', mengisahkan tentang seorang budak perempuan sekolah yang selalu dibuli.

Namun, baru sahaja menaip tiga muka surat yang pertama, Stephen berasa sangat tertekan, buntu dan hilang keyakinan.

Dia berasa ceritanya itu sangat mengarut, tidak laku dan bakatnya hanyalah satu kerja yang sia-sia.

Dalam keadaan yang sangat marah dan putus asa, Stephen mengambil keputusan yang drastik.

Beliau meronyokkan tiga helai kertas draf manuskrip tersebut dan membuangnya terus ke dalam tong sampah di bilik basuh bajunya.

Namun, takdir Tuhan itu sentiasa datang pada waktu yang tidak disangka-sangka.

Beberapa jam kemudian, isterinya yang bernama Tabitha kebetulan sedang membersihkan kawasan tersebut.

Tabitha melihat ada gumpalan kertas yang berterabur di dalam tong sampah yang penuh dengan abu rokok suaminya.

Sebagai seorang isteri yang sangat kenal dengan titik peluh suaminya, beliau mengutip kertas-kertas tersebut.

Beliau membersihkan habuk kotoran pada kertas itu dan mula membaca setiap baris ayat yang ditaip oleh Stephen.

Karya Agung

Tabitha tidak nampak sebuah karya yang gagal. Beliau nampak sebuah karya agung yang sedang menunggu masa untuk meletup.

Beliau pergi berjumpa dengan suaminya yang sedang bersedih dan meletakkan kembali kertas itu di atas meja.

Tabitha memandang tepat ke mata suaminya dan berkata, "Cerita ini sangat hebat. Awak mesti siapkan. Saya akan tolong awak dan saya percaya pada awak."

Kata-kata semangat daripada seorang isteri itulah yang kembali menghidupkan nyawa Stephen yang telah mati.

Beliau berhempas-pulas menyambung semula penulisannya sehingga siap sepenuhnya, sebelum memberanikan diri menghantar manuskrip itu kepada syarikat penerbitan.

Cuba teka apa yang berlaku selepas itu?

Manuskrip yang asalnya dikutip dari dalam tong sampah itu akhirnya diterima oleh syarikat penerbitan Doubleday!

Lebih mengejutkan, hak cipta novel 'Carrie' itu kemudiannya dibeli pula oleh syarikat lain untuk edisi kulit lembut dengan harga USD400,000, satu jumlah wang yang sangat gila pada tahun tersebut!

Novel itu menjadi fenomena dunia dan terjual lebih sejuta naskhah pada tahun pertamanya.

Ia diangkat menjadi filem pecah panggung dan naskhah tong sampah inilah yang menjadi titik tolak yang melahirkan Stephen King sebagai penulis legenda, dengan rekod jualan keseluruhan bukunya kini melebihi 350 juta naskhah di seluruh dunia!

Kisah epik ini mengajar kita satu pengajaran psikologi yang sangat mahal.

Kadangkala, kitalah manusia yang paling kejam dalam menilai diri kita sendiri.

Apabila kita sedang berada di bawah tekanan yang melampau, mata hati kita akan menjadi buta untuk melihat potensi dan kehebatan yang ada di dalam tangan kita.

Pada waktu kritikal inilah, kita sangat memerlukan sebuah sistem sokongan yang kuat.

Sama ada ia adalah pasangan hidup kita, keluarga atau sahabat yang benar-benar ikhlas.

Mereka inilah insan yang akan mengutip semula "keyakinan" kita yang telah kita buang ke dalam tong sampah.

Mereka nampak cahaya terang di dalam diri kita, pada waktu kita sendiri hanya nampak kegelapan malam.

Hargailah insan-insan yang sentiasa berada di belakang kita pada waktu kita gagal dan jatuh tersungkur.

Dan kepada kita yang sedang berjuang, jangan pernah membuang impian itu.

Penolakan hari ini bukanlah penamat dunia, ia mungkin sekadar ujian untuk melihat sejauh mana kita sanggup bertahan sebelum pintu rezeki yang sebenar terbuka luas.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Saturday, February 21, 2026

SBDJ Siri 248: Tunggang Harimau Lintas Jalan

SBDJ Siri 248: Tunggang Harimau Lintas Jalan

Walaupun anak saudaranya patuh dengan permintaannya tetapi rasa sangsi jelas tergambar diwajah Pak Habib. Pada hematnya, orang yang dikuasai emosi, fikirannya boleh berubah bila-bila saja. Boleh melakukan tindakan yang tidak dijangkakan.

SBDJ Siri 248 - Tunggang Harimau Lintas Jalan

"Mana orangnya?" Anak saudara Pak Habib terus mendesak. Secara bersahaja Pak Habib mengangkat tangan, minta anak saudaranya bertenang. Ada keluhan kecewa terluah dari mulut anak saudara Pak Habib.

"Dia ada disini Tajuddin, dia tak ke mana- mana. Orang yang tak sabar selalu hilang pertimbangan, jadi kawan syaitan," Pak Habib menguji hati anak saudaranya, Tajuddin.

"Saya tak hilang pertimbangan. Demi Allah, kalau sudah berjanji saya tetap berpegang pada janji."

"Bagus, kamu amanah," nada suara Pak Habib diiringi keriangan.

Saudara mara Pak Habib yang berada di situ terus duduk dalam kelompok-kelompok kecil, bercakap sesama sendiri.

Jalan raya yang terbentang agak jarang dilalui kenderaan. Dingin subuh terus menguasai tubuh manusia yang berada di situ.

Beberapa orang wanita yang berada di situ, mula resah. Sering saja merenung muka Pak Habib dan anak saudaranya Tajuddin.

Mereka seolah-olah mengharapkan kedua-dua manusia itu segera mengambil keputusan untuk meninggalkan kawasan yang tidak berapa disenangi.

"Mana orangnya?" Dalam lembut Tajuddin mendesak.

"Iya, aku panggil dia sekarang," Pak Habib senyum lalu berjalan beberapa langkah, meninggalkan anak saudaranya menuju ke kawsan tempat saya dan datuk bersembunyi.

Kaum kerabatnya yang duduk segera bangun. Mereka tumpukan perhatian ke arah Pak Habib yang berdiri menghadapi pohon-pohon renik nan rimbun.

Dalam nada suara yang tidak berapa keras, Pak Habib melaungkan nama datuk beberapa kali. Ketika datuk bangun mahu keluar dari tempat persembunyian tangannya segera saya pegang.

"Jangan keluar tuk ini merbahaya."

"Tak mengapa, sahabat saya tak akan mengkhianati saya."

"Kita boleh percaya dengan Pak Habib, tapi bagaimana dengan orang lain?"

"Ah kamu, jangan fikir macam-macam. Itu urusan aku."

TERJATUH

Datuk segera menolak saya hingga terjatuh.

Tanpa membuang masa Datuk terus melangkah keluar meninggalkan tempat persembunyian. Saya tergesa-gesa mengikutnya.

Dalam masa kelam-kabut itu, sempat juga saya melihat jam di tangan. Sudah pukul dua pagi.

Sebaik saja keluar dari tempat persembunyian, dalam sekelip mata saja saya dan datuk dikelilingi oleh anak buah Pak Habib. Wajah mereka kelihatan bengis semacam.

Rasa cemas masih dapat dikawal kerana Pak Habib masih berada di sisi saya dan datuk.

Tetapi, suara-suara sumbang yang menyakitkan hati menyindir dan mengejek saya dan datuk tetap hadir dalam lubang telinga kami.

KARISMA

Sebagai seorang yang memiliki karisma tersendiri, Pak Habib bertindak dengan bijak mengawal keadaan.

Dia minta anak buahnya menghormati saya dan datuk sebagai tetamu. Jika ada yang main kasar, dia sendiri akan bertindak.

Dengan wajah yang bersahaja serta tekanan suara yang seirama, Pak Habib memberitahu anak buahnya, siapa sebenarnya kami berdua (Datuk dan saya).

Pak Habib juga memberitahu mereka, bagaimana detik perkenalan antaranya dengan Datuk terjalin.

Semuanya Pak Habib terangkan satu persatu dengan terang. Selesai saja penjelasan diberi, Pak Habib memberikan peluang pada mereka untuk mengemukakan apa saja pertanyaan atau kemusykilan pada Datuk.

Sungguh diluar dugaan, kesempatan itu tidak dipersia-siakan oleh anak buah Pak Habib.

Bermacam-macam pertanyaan dihalakan kepada datuk, bermula dari perkara agama dan akidah hingga membawa kepada hal-hal dunia ghaib.

Malah ada yang mahu mencuba kehebatan Datuk dalam ilmu mempertahankan diri. Berpeluh datuk menjawabnya.

Apa yang pasti semua pertanyaan itu menjurus kepada kejujuran datuk bersahabat dengan Pak Habib.

Kerana jawapan yang datuk berikan cukup jelas hingga tidak menimbulkan keraguan dalam hati mereka.

Malah anak saudara Pak Habib (Tajuddin) segera minta maaf pada datuk atas prasangka buruknya yang terpendam dalam hatinya.

"Maafkan saya," Ujar Tajuddin dalam nada sedih.

"Kita makhluk Allah yang lemah, tidak sunyi dari kesilapan. Saya maafkan kamu, lupakan semuanya," dengan pantas datuk menyambar huluran tangan Tajuddin. Mereka berpelukan.

Perbuatan Tajuddin itu segera diikuti oleh anak-anak buah Pak Habib yang lain. Suasana jam dua pagi yang dingin, terasa bertambah pilu dan syahdu bersama laungan takbir.

Bila suara takbir berhenti Pak Habib mengumumkan bahawa saya bersama datuk dan tiga lelaki laknat diisytiharkan sebagai kerabat baru dalam keluarga besar Pak Habib.

"Persaudaraan sesama Islam tidak boleh dipisahkan oleh apa pun, kerana Islam itu murni," Pak Habib mengakhiri ucapan lalu disambut teriakan Allahu Akbar

BERANGKAT

Menjelang subuh kami tinggalkan kawasan tersebut. Saya bersama datuk naik satu kereta dengan Pak Habib. Tiga manusia laknat naik kereta yang berasingan. Lelaki berwajah separuh bulat naik kereta anak bongsu Pak Habib, Syed Hamzah.

Lelaki berkulit agak gelap naik kereta biras Pak Habib. Manakala lelaki berdarah dahi naik kereta Tajuddin (anak saudara Pak Habib).

Sebelum memulakan perjalanan Pak Habib bercakap dengan anak bongsunya, birasnya dan Tajuddin.

Saya dan datuk, begitu juga si pemandu, tidak tahu apa yang dikatakan oleh Pak Habib pada tiga orang kerabatnya.

"Mereka bertiga."

"Siapa Tuan Habib..." datuk memotong cakap Pak Habib.

"Orang yang menyeksa kita sepanjang malam, awak tak ingat."

"Oh, saya ingat," pendek datuk menjawab.

Dengan serta merta wajah tiga manusia laknat tergambar dalam tempurung kepala. Pemandu di sebelah tidak memberikan sebarang komentar. Dia terus memandu dengan tenang.

"Mereka bertiga mesti tinggal semalam dua di rumah pemilik kereta yang mereka tumpang. Pemilih kereta harus melayani mereka dengan baik, beri makan minum dengan sempurna," sambung Pak Habib.

"Kenapa mesti tanggung mereka, suruh balik lagi baik Tuan Habib," sanggah datuk.

Pemandu di sebelah anggukkan kepala. Dia sependapat dengan Datuk.

Buat beberapa ketika, Pak Habib terus membisu. Pemandu memaut stering dengan erat. Larian kereta semakin stabil. Begitu juga dengan kereta yang mengekor di belakang.

"Saya ada rancangan," Pak Habib menguap.

"Apa rancangannya Tuan Habib?"

SELEKOH

Pak Habib menggeliat sambil meluruskan sepasang kakinya. Kemudian mengingatkan pemandunya supaya berhati-hati. Kerana secara kebetulan sebaik saja melepasi satu selekoh, gerimis mula turun menyebabkan jalan basah.

Dalam deru enjin kereta bersama titik gerimis subuh, Pak Habib pun meluahkan rancangan yang disusun dalam kepala kepada datuk.

Kata Pak Habib, mereka bertiga (manusia laknat) dimestikan tinggal di rumah pemilik kereta yang mereka tumpangi selama tiga hari.

Setiap kali waktu solat masuk, mereka mesti datang ke masjid untuk berjemaah. Mereka juga dimestikan mengikuti kuliah subuh yang disampaikan oleh ustaz Badaruddin Binjai yang disediakan Pak Habib khas untuk mereka bertiga.

Dalam tempoh itu juga (selama tiga hari) mereka tidak diizinkan berjumpa dengan orang luar, kecuali orang yang ada hubungan darah dengan keluarga Pak Habib.

Perkara ini dilakukan oleh Pak Habib sebagai satu orientasi. Sebagai usaha membersihkan fikiran dari perkara-perkara yang negatif.

Selepas tiga hari barulah mereka dibenarkan keluar dari kawasan rumah yang ditumpangi.

Mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Menemui anak isteri atau saudara terdekat.

Mereka pulang dengan semangat baru. Dengan fikiran baru. Tidak mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur yang tidak baik.

BAIK

Satu rancangan yang menarik disusun oleh Pak Habib. Begitu rapi dan sistematik sekali. Tidak terfikir oleh datuk yang Pak Habib begitu prihatin pada tiga manusia yang telah mendatangkan kesusahan pada dirinya.

Sepanjang penjelasan itu disampaikan oleh Pak Habib, datuk lebih banyak mendengar dan mengangguk saja.

"Apakah memadai dengan tiga hari saja dibekalkan pengetahuan?" tanya datuk setelah melihat PakHabib seperti enggan meneruskan ceritanya.

"Oh.... bukan setakat itu saja, ada susulannya lagi," Pak Habib menjawab.

Si pemandu dan saya hanya mendengar saja apa yang diucapkan oleh Pak Habib dan Datuk.

Titik gerimis yang halus mula bertukar kasar. Macam tadi juga, Pak Habib tetap mengingatkan pemandunya supaya lebih berhati-hati dan teliti terutama bila melalui selekoh yang agak tajam atau menuruni bukit.

Dua buah lori barang berselisih dengan kereta yang kami naiki.

"Masa mereka pulang ke tempat masing- masing, saya bekalkan wang ringgit secukupnya.

"Bekalkan beras, gula dan kopi serta barang-barang keperluan lainnya.

"Saya benarkan mereka tinggal ditempat sendiri selama seminggu saja, lepas itu mereka mesti datang ke sini," Pak Habib menghidupkan kembali perbualan yang telah terhenti seketika.

Dari ekor mata, saya nampak Datuk membetulkan duduknya dan bersedia mencelah percakapan Pak Habib.

Tetapi, perkara itu tidak dilakukan oleh datuk, bila dia melihat Pak Habib menepuk bahu kanan pemandunya berkali-kali.

"Perlahan lagi, kalau perlu kamu berhenti. Harimau yang melintas jalan itu bukan harimau sebarangan," ujar Pak Habib.

"Iya Pak," jawab si pemandu.

Di depan mata dalam jarak tidak sampai tiga puluh kaki, seekor harimau berbadan besar yang ditunggangi manusia melepaskan sorotan matanya melawan sorotan lampu kereta.

Saya jadi cemas kerana harimau itu seperti tidak mahu bergerak. Manakala gembalanya yang bersongkok hitam, berambut panjang dengan misai tebal melintang bagaikan merenung ke arah saya.

"Beri laluan, kalau dihalang merbahaya," kata datuk.

Pemandu terpaksa memberhentikan kereta dan memadamkan lampu. Datuk yang tahu situasi saya ketika itu meletakkan ibu jari kirinya ke pangkal telinga saya. Salah satu urat di situ ditekanya dengan kuat.

Rasa takut dan cemas serta merta hilang. Saya jadi marah dan badan saya merasa seperti diruapi peluh-peluh halus. Bila lampu kereta dihidupkan semula, harimau dan gembalanya tiada lagi melintang jalan.

"Perkara begini selalu terjadi di sini," kata pemandu.

Saya diam tidak memberikan sebarang komen.

Apa yang dialami oleh pemandu Pak Habib turut disedari oleh pemandu tiga buah kereta yang mengekori dari belakang.

Mereka tidak membunyikan hon kereta, ketika kereta yang kami naiki berhenti mengejut. Malah, mereka turut memadamkan lampu kereta.

Bila keadaan keselamatan dirasakan terjamin, perjalanan pun diteruskan kembali.

Titik gerimis yang tadi kasar mula mengecil. Kabus nipis mula bangun dari permukaan bumi. Di mana-mana saja kelihatan kabus sekata.

Saya mula menguap dengan semahu-mahunya. Belum pun kuapan habis, bahu saya ditepuk oleh datuk berkali-kali.

Dia mengingatkan saya supaya jangan membuka mulut luas-luas semasa menguap, nanti syaitan masuk perut dan beranak cucu dalam perut, kemudian meresap dalam darah.

Bila syaitan ada dalam perut dan darah semua ilmu yang menuju pada arah kebaikan tidak akan lekat di hati.

LOJIK

Memang tidak lojik cakapnya itu. Tidak masuk di akal langsung malah memang melucukan dan boleh membuat orang lain ketawa.

Tetapi, disebalik semuanya itu, mesej yang dibawa cukup besar dalam membentuk budi bahasa, sopan santun dalam pergaulan yang selari dengan adat budaya orang timur.

Sungguh halus dan sopan, orang terdahulu menyelitkan pesan pada anak cucu.

Kereta terus meluncur dalam kelajuan yang sederhana menguak kabus nipis menjelang subuh. Langit tidak kelihatan cerah. Kedinginan membuat saya mengantuk, menguap dan tersenguk-sengguk beberapa kali.

"Macamana kalau mereka tak tepati janji Pak Habib. Maksud saya mereka tak datang pada tarikh yang ditetapkan," mendadak saja datuk bertannya. Pak Habib melepaskan ketawa kecil.

"Saya akan menurut atau mencari mereka. Buat apa dipujuk, dirayu pada orang yang tidak mahu dirinya dibentuk jadi orang baik. Sudah nyata mereka tidak mahu diajak ke jalan yang diredai Allah," bersahaja sekali nada suara Pak Habib.

"Saya nampak seorang saja yang boleh diharapkan datang, maksud saya orang yang ada asas agama. Dua lagi susah," Datuk memberikan pandangan.

"Saya tak fikir macam tu."

"Habis, Habib fikir semuanya datang," tanya Datuk penuh ragu.

"Pada pendapat saya semuanya datang."

"Saya bersyukur bila Habib kata begitu, saya berdoa apa yang dihajati diberkati Allah."

"Saya memang mengharapkan doa sahabat," Pak Habib tentang biji mata datuk. Mereka berbalas senyum.

"Jiwa Habib besar," ujar datuk pendek.

"Maksud sahabat?"

"Selalu berfikir hal-hal yang baik pada orang yang membuat jahat pada Habib."

"Ha.... hidup mesti dengan hati yang bersih, jangan sekali-kali memikirkan perkara yang buruk terhadap orang lain.

"Bila ada sedikit prasangka buruk dalam hati terhadap orang lain, mudahlah nafsu jahat merosakkan diri dan iman orang yang menyimpan prasangka buruk itu," dengan tenang Pak Habib menghamburkan kata-kata itu datuk.

Saya lihat datuk mendengarnya penuh khusyuk.

Sesekali datuk menggigit bibir sambil sekali-kali melepaskan pandangan keluar menerusi jendela kereta.

Dalam masa itu juga, si pemandu membisikkan ke telinga saya dalam tempoh lebih kurang dua puluh minit lagi sampailah ke kawasan rumah Syed Hamid Al-Hadad dan boleh terus menunaikan fardhu subuh.

Gerimis sudah berhenti dan kabus nipis makin berkurangan tetapi, kedinginan tidak juga saya rasakan bertambah kurang. Malah bertambah dingin lagi.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 248/284

BACA: SBDJ Siri 247: Diancam Dengan Parang Panjang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Skandal 'Epstein Files' Yang Menghancurkan Putera Andrew

Skandal 'Epstein Files' Yang Menghancurkan Putera Andrew

Pernah dengar nama Putera Andrew? Dulu, dia adalah "anak emas" Ratu Elizabeth II. Wira perang, Duke of York, dan wajah diplomasi United Kingdom. Hari ini? Dia mungkin hanya selangkah lagi ke pintu penjara dan kali ini, abang sendiri iaitu Raja Charles III tidak akan selamatkan dia.

Skandal 'Epstein Files' Putera Andrew

Isu yang meletup kali ini bukan lagi kisah skandal seks lama yang kita tahu. Polis mengesahkan mereka sedang menyiasat dakwaan bahawa beliau menyerahkan laporan rasmi kepada Epstein ketika berkhidmat sebagai utusan perdagangan kerajaan. Ini kisah pengkhianatan amanah negara.

Jadi apa yang berlaku sebenarnya di Istana Buckingham.

Pertama, siapa sebenarnya Putera Andrew?

Untuk faham beratnya kes ini, kita kena kenal siapa watak utamanya.

Status VVIP dan Wira Negara

Dia adalah His Royal Highness (HRH) dan The Duke of York.

Kalau nak bandingkan dengan Malaysia, His Royal Highness (HRH) setaraf dengan "Duli Yang Teramat Mulia".

Ia menunjukkan seseorang itu adalah ahli keluarga diraja "senior" yang aktif menjalankan tugas rasmi mewakili Raja/Ratu.

Lebih hebat, sesiapa yang ada gelaran HRH perlu disembah (bow) atau diberi hormat (curtsy) oleh orang lain.

Mereka juga layak menerima kawalan keselamatan penuh dan dana awam (Sovereign Grant).

The Duke of York pula ialah adalah gelaran tradisi yang sangat berprestij.

Memegang gelaran ini bermakna Putera Andrew adalah orang kedua paling penting dalam hierarki adik-beradik lelaki selepas Putera Mahkota (Prince of Wales).

Bukan calang-calang Putera Andrew ini.

Selain reputasi dalam keturunan diraja, beliau juga ada peranan atau tugas penting yang membuatkan status sangat dihormati.

Sebab Putera Andrew merupakan bekas juruterbang helikopter tentera laut yang berjuang dalam Perang Falklands (1982).

Kenapa macam gempak sangat? Sebab dalam sejarah perang ini, Putera Andrew yang baru umur 22 tahun, seorang anak raja dijadikan "Umpan Hidup" peluru berpandu (Missile Decoy). Ini adalah tugas paling gila dan berbahaya.

Walhal Kerajaan British sebenarnya mahu memindahkan beliau ke tugas pejabat kerana bimbang jika anak Ratu mati atau ditangkap musuh, ia akan memberi kesan besar kepada negara.

Boleh buat satu negara malu dan terkesan. Tetapi Andrew berkeras mahu pergi.

Apabila kapal HMS Invincible diserang oleh peluru berpandu Exocet milik Argentina, helikopter Andrew diarahkan untuk terbang dan "terapung" (hover) di sisi kapal.

Menjadikan helikopter sebagai sasaran palsu supaya peluru berpandu itu menghentam helikopter atau terkeliru, bukannya menghentam kapal induk yang membawa ratusan nyawa.

Jasanya besar sebab dia bersedia untuk gadaikan nyawa sendiri untuk menyelamatkan kapal induk tersebut. Sebab itu ramai orang ingat sampai sekarang.

Selain itu, antara jawatan penting yang dipegang juga ialah ialah Duta Khas Perdagangan & Pelaburan UK (UK's Special Representative for International Trade and Investment) selama 10 tahun.

Tugasnya mempromosikan ekonomi Britain ke seluruh dunia.

Sekarang pula? Beliau telah hilang gelaran HRH, dilucutkan pangkat tentera dan diusir dari pejabat di Istana Buckingham.

Kalau sebelum ini reputasinya telah tercemar teruk kerana kes dengan Virginia Giuffre.

Virigina mendakwa dipaksa melakukan hubungan dengan Putera Andrew sebanyak tiga kali pada tahun 2001, ketika beliau baru berusia 17 tahun (bawah umur).

Andrew pula menafikan kenal Virginia, mendakwa berada di Pizza Express pada tarikh kejadian dan memberi alasan pelik "tidak boleh berpeluh" (atas masalah kesihatan) untuk menyangkal dakwaan Virginia.

Sudahnya, Andrew tidak berani lawan di mahkamah. Beliau membayar 12 juta pound (RM70 juta) untuk selesai luar mahkamah bagi menutup kes sivil tersebut tanpa mengaku bersalah.

Kes inilah yang menyebabkan Ratu Elizabeth II melucutkan gelaran tentera dan status HRH beliau sebelum ini.

Sekarang hanya hidup menyendiri, tiada tugas rasmi dan digelar "bangsawan yang memalukan".

RAHSIA SULIT KERAJAAN

Skandal dan isu terbaru Februari 2026 telah terdedah, bukan saja soal peribadi. Kalau dulu isunya moral, kali ini isunya jenayah negara.

Dokumen mahkamah yang baru didedahkan (daripada fail DOJ Amerika Syarikat) menunjukkan bukti mengejutkan.

Semasa Andrew menjadi Duta Khas Perdagangan UK (2010), beliau didakwa telah membocorkan "rahsia sulit kerajaan" kepada Jeffrey Epstein.

Bayangkan, laporan sulit mengenai lawatan rasmi perdagangan ke Singapura, Vietnam dan China yang mengandungi strategi pelaburan dan maklumat sensitif kerajaan didakwa dihantar begitu sahaja melalui e-mel kepada Jeffrey Epstein.

Jika di UK, ini bukan main-main. Ini boleh jatuh di bawah kesalahan 'Salah Laku di Pejabat Awam' (Misconduct in Public Office) dan melanggar Akta Rahsia Rasmi.

Biasanya, istana akan diam atau cuba selindung macam negara lain. Tapi Raja Charles III ambil langkah drastik.

Raja Charles dilaporkan sedia bekerjasama dan menyokong siasatan polis UK terhadap adindanya sendiri. Raja Charles pilih 'Intergriti Institusi' berbanding 'Ikatan Darah'.

Dalam satu kenyataan, Raja Charles menyatakan "kebimbangan mendalam" dan menegaskan bahawa "undang‑undang mesti mengambil jalannya".

Polis Britain juga mengesahkan mereka sedang menyiasat dakwaan bahawa beliau menyerahkan laporan rasmi kepada Epstein ketika berkhidmat sebagai utusan perdagangan kerajaan.

Polis kemudian mengesahkan bahawa beliau dibebaskan "di bawah siasatan".

Istana Buckingham malah mengeluarkan kenyataan "kebimbangan mendalam" (profound concern). Kalau dalam bahasa diplomatik, ini bermaksud: "Kami takkan tolong dia kali ini."

Kisah Putera Andrew ini adalah peringatan keras tentang kejatuhan dari puncak kuasa.

Dulu dipuja sebagai wira, kini mungkin disiasat seperti penjenayah biasa kerana salah guna kuasa dan kedudukan.

Tiada siapa yang terlalu besar untuk jatuh , waima seorang Putera Raja sekalipun.

Raja Charles III nampaknya faham satu perkara: Untuk menyelamatkan kapal besar (Monarki, Negara atau Pentadbiran Yang Bagus), kadang-kadang kita terpaksa buang muatan yang berpenyakit, walaupun muatan itu adalah adik sendiri.

Sebab itu buat para pemimpin, besar manapun jasa kita, jangan rasa bongkak dan cuba-cuba nak rosakkan negara.

Bagaimana nak jasa jadi kenangan, kalau kerak yang rosak lebih banyak dari nasi yang dimasak.

Siapa yang nak puji?

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, February 20, 2026

SBDJ Siri 247: Diancam Dengan Parang Panjang

SBDJ Siri 247: Diancam Dengan Parang Panjang

Pemandu dan saya didakap keresahan. Begitu juga dengan tiga manusia laknat. Mereka menanti ungkapan yang bakal dilontarkan oleh Pak Habib atau datuk. Kalau elok kata yang keluar, selamatlah mereka. Kalau buruk yang diucapkan, celakalah hidup mereka.

SBDJ Siri 247 - Diancam Dengan Parang Panjang

"Aku maafkan perbuatan kamu semua."

Ketiga-tiga manusia laknat menarik nafas lega. Serentak menatap bumi di kaki dan serentak pula mengangkat wajah bersama tangisan kesyukuran.

Dalam saat yang sama, salah seorang daripada mereka (yang berwajah separuh bulat) merenung tajam ke arah saya. Kemudian terus mendekati datuk.

"Apa tuan tidak melepaskan kutukan dan sumpah buat kami dan keturunan kami?" Itulah pertanyaan yang dlemparkan pada datuk.

"Kamu orang Islam?" Datuk renung biji matanya.

"Iya," angguknya.

"Tetapi Islam pada nama saja."

"Soal kutukan, soal sumpah, bukan kerja orang yang beriman. Orang Islam yang beriman tidak percaya pada kutukan, pada sumpah, pada tangkal azimat selain pada Allah."

"Tuan, saya jadi orang Islam yang baik dan beriman, bagaimana tuan?"

"Carilah ilmu dari orang yang ada ilmu."

BERKERUT

Lelaki itu terdiam seketika, dahinya nampak berkerut. Dua orang rakannya yag dapat mendengar kata-kata datuk turut termenung. Macam ada sesuatu yang berlegar di dalam tempurung kepala mereka.

"Ah..."

Tiba-tiba saja lelaki berdarah dahi mengeluh pendek. Bayangan kekesalan terpamer di muka. Agaknya menyesali diri sendiri.

Sepatutnya sebagai sebagai seorang yag mempunyai asas ugama serba sedikit, tidak wajar dia terpengaruh dengan perbuatan syirik.

"Allah ampunilah perbuatan hamba mu ini yang dhaif dan hina ini," keluhan leaki berdarah dahi berlanjutan dengan sedu yang mengocang bahu.

"Sudahlah," puji datuk.

Tangisan bersama sedu beransur reda dan akhirnya hilang. Keadaan sekita terasa sepi dan hiba. Angin malam yang bertiup terus menggugurkan dedaun tua.

"Tidak ada apa yang harus kamu risaukan," nada suara datuk begitu simpatik sekali.

"Pak Habib ini orang baik, aku fkir dia akan memaafkan kamu semua. Jadi kamu bertiga harus sedar, mesti insaf dan bertaubat."

Saya lihat ketiga-tiga laknat itu terdiam membatu. Pemandu di sisi saya menggaru hujung hidungnya. Dia tahu datuk akan menyambung kata, penunjuk arah agar ketiga-tiga manusia menjadi insan yang baik.

"Sekiranya kamu bertiga berjanji palsu dan meneruskan perbuatan ini lagi, munkin kamu bertiga tidak akan bertemu dengan orang yang sebaik Pak Habib. Kalau silap carannya, isi perut kamu terburai kena kerambit," satu persatu wajah ketiga-tiga lelaki itu datuk tatap.

ARAH

Lelaki berdarah dahi, kelihatan tidak tentu arah. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian renung muka dua orang kawannya. Pak Habib kelihatan tenang. Sesekali dia merenung ke dada langit.

Secara mengejut lelaki berdarah berdarah dahi memeluk uuh kedua-dua orang temannya sambil berbisik sesuatu.

"Kami bertiga berjanji, tidak akan melakukan perkara seperti ini di masa akan datang," ketiga-tiga manusia laknat mengangkat tangkat kanan, berikrar di depan Pak Habib dan datuk.

Tetapi, datuk dan Pak Habib tidak memberikan reaksi positif.

"Kami bertaubat, berjanji tak buat lagi perkara macam ini, maafkan kami, jangan dihukum kami," serentak tiga lelaki laknat bersuara.

"Aku memang sudah lama memaafkan kamu."

Perkataan yang keluar dari kelopak bibir Pak Habib mengejutkan saya dan pemandu tetapi, tidak buat datuk. Dia bagaikan sudah tahu bakal keputusan yang akan dibuat oleh Pak Habib.

"Tetapi kamu..." Jari telunjuk Pak Habib Pak Habib menuding ke arah lelaki yang berdarah dahi yang kelihatan pucat dan sedikit mengeletar.

"Kamu yang tahu serba sedikit asas agama, boleh terpengaruh pada orang yang kurang ilmu."

Tiada jawapan yang diberikan oleh lelaki berdarah dahi pada pertanyaan tersebut.

"Dua hari lagi, kamu bertiga jumpa aku di rumah, aku nak bagi kamu kerja tetap, sebelah malamnya kamu semua boleh belajar agama dan membaca Quran dengan tafsirnya sekali dari guru yang aku sediakan," sambung Pak Habib tenang, seolah-olah tiga lelaki itu tdak pernah menjadi musuhnya.

"Tetapi, tuan Habib..." lelaki berwajah separuh bulat tdak dapat meneruskan percakapannya.

"Apa yang mahu kamu cakapkan?" Pak Habib menyoal.

"Kami dah tua nak belajar apa?"

"Belajar ilmu agama tidak ada had umur. Dari baligh hingga masuk lubang kubur, orang belajar. Kalau belajar main ikut-ikut atau separuh jalan macam kamu bertiga, memang boleh jadi salah pedoman atau sesat. Jangan banyak fikir lagi, mari kita keluar dari sini," Pak Habib memberikan keputusan muktamad.

BERGERAK

Beberapa minit kemudian, kami semua beredar dari kawasan lapang menuju ke arah jalanraya.

Kerana lelaki berdarah dahi memang arif dengan keadaan sekitar, maka dia disuruh oleh datuk jadi kepala jalan.

Dia tidak membantah dan menerima arahan itu sebagai satu penghormatan pada dirinya.

Dalam rancak melangkah, terdengar suara salakan anjing yang menandakan bahawa kami berada tidak jauh dari kawasan yang dihuni manusia.

Dari jauh sudah kelihatan cahaya api jamung. Deru kenderaan juga mula kedengaran sayup-sayup. Semuanya itu tidak menarik perhatian saya, mungkin juga orang lain.

Apa yang berlegar dalam kepala, mahu segera sampai ke tempat kereta tersadai. Kemudian segera berangkat ke Medan.

Badan sudah terlalu letih, sudah tidak bermaya rasanya mahu mengangkat kaki untk melangkah. Itik-titik embun jantan terus jatuh ke bahu, pepokok renik terus diredah.

Makin lama makin hampir kami dengan bibir jalan raya tempat kereta tersadai. Riuh rendah suara orang bercakap dan bertengkar makin jelas kedengaran, segala-galanya makin hampir.

Pak Habib terus angkat tangan memberi isyarat supaya kami melagkah berhati-hati. Jangan memijak sebarang dahan atau ranting kering yang boleh menimbulkan bunyi.

Sungguh menyiksakan melangkah dalam keadaan terbongkok-bongkok di celah pepohon dara dalam keadaan cuaca malam yang tidak begitu terang.

Begitulah, dalam keadaan yang serba sukar, kami sudah dapat mendengar dengan jelas perkara-perkara yang mereka perkatakan.

Pak Habib menyuruh kami mencangkung seketika untuk mengikuti perkara yang dibincangkan secara terperinci oleh kumpulan yang tidak dikenali.

Ternyata kumpulan itu sedang berbincang untuk mencari seseorang yang hilang.



Mereka sedang merumuskan satu keputusan muktamad, samaa ada menggunakan khidmat anjing pemburu atau mereka masuk beramai-ramai ke dalam kawasan hutan dara untuk mencari orang yang hilang.

Tetapi siapakah yang mereka cari? Hampir lima minit kami menunggu, tidak sepatah pun diantara mereka menyebut nama orang hilang yang bakal dicari. Mungkinkah Pak Habib atau orang yang lebih penting dari Pak Habib.

"Bergerak," Pak Habib memberi arahan.

Seperti tadi juga, arahannya tetap kami patuhi. Lebih kurang sepuluh tapak kaki melangkah, Pak Habib menyuruh kami mencangkung macam tadi. Kemudian berjalan lagi, berhenti lagi dalam keadaan mencangkung.

TERATUR

Pergerakan yang teratur dan terancang itu memang berhasil. Gerak geri kami tidak dapat dicium oleh kumpulan manusia yang sedang berbincang.

Kami pun semakin hampir dengan gigi jalan dan kereta tersadai. Perbincangan mereka dapat kami ikuti dengan jelas.

Bunyi pintu kereta (milik Pak Habib) yang tersadai dibuka dan ditutup jelas kedengaran. Mereka menyebut nama Pak Habib dan pemandunya berkali-kali.

Dua orang lelaki dari Tanah Melayu (saya dan datuk) yang menaiki kereta Pak Habib dari Medan ke Pengkalan Beranda juga disebut-sebut.

Saya dan datuk disyaki menjadi punca segala-galanya. Kecut urat perut, bila ahli kumpulan itu secara terang-terangan menuduh saya dan datuk mahu menyembunyikan Pak Habib atas niat melakukan pemerasan.

"Manusia tidak lepas dari rasa syak wasangka dan terlalu cepat menghukum, inilah kelemahan manusia. Kelemahan itu adakalanya dijadikan senjata oleh hati yang busuk, tidak ikhlas, tidak ingatkan Allah untuk merosakkan manusia sebagai laluan ke neraka," Pak Habib memberitahu datuk.

Secara tidak langsung pemberitahuan itu menyatakan Pak Habib akan berdiri di belakang datuk.

"Kamu usah bimbang," kata Pak Habib lagi.

"Segala-galanya saya serahkan pada Allah," jawab datuk. Kedua-duanya tersenyum.

Sebelum kumpulan tersebut melakukan pencarian, Pak Habib bersama pemandu segera meluru ke arah kumpulan itu. Melihat kemunculan Pak Habib dan pemandunya, suasana menjadi bising.

Beberapa orang wanita dan lelaki segera memeluk Pak Habib tanpa mempedulikan si pemandu. Manakala beberapa lelaki yang berdiri tidak jauh dari kereta Pak Habib yang tersadai kelihatan bengis sekali.

Sekurang-kurangnya dua dari lelaki disitu menyandang tiga pucuk senapang kampung berlaras satu dan dua. Manakala yang lain membawa lembing dan parang panjang.

Melihat situasi yang tidak menyenangkan itu, saya segera mendekati datuk.

"Kita dalam bahaya tuk, kalau kita tunggu kita tak balik kampng tuk."

"Sabar cu, Pak Habib suruh kita dan tiga penyanggak besar itu tunggu dulu, bila dia beli isyarat baru kita keluar."

"Antara orang bertiga dengan kita siapa keluar dulu tuk."

"Orang bertiga dulu, kita orang terakhir."

"Ah, penyakit," keluh saya.

Datuk hanya senyum, dia nampak tenang sekali. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Ternyata tiga manusia laknat juga bimbang seperti apa yang saya bimbangkan. Mereka duduk berhimpit-himpit macam tikus kesejukan.

TEMBAK

Dalam keadaaan yang serba tidak menguntungkan diri datuk dan saya itu, salah seorang dari lelaki yang menyandang senapang melepaskan tembakan ke udara dua kali berturut-turut.

Jantung terasa saya bagaikan berhenti dari berdenyut. Datuk masih juga tersenyum.

Lelaki yang melepaskan terus mendekati Pak Habib.

"Mana dia dua manusia dari Tanah Melayu tu, biar saya ajar mereka, kalau yang lain takut bertindak, ini anak saudara Syed Hamid Al-Hadad, boleh menjadikan mereka mayat," sebaik saja selesai bercakap dia melepaskan lagi dua tembakan ke udara.

"Nanti dulu Tajuddin," pujuk Pak Habib dan secara sepontan dia mengambil senapang kampung berlaras satu dari anak saudaranya yang sedang naik darah.

Senapang itu segera di berikan kepada seorang wanita tua (yang kemudiannya saya ketahui ibu kepada lelaki itu) yang memakai jubah putih.

Wanita itu pula menyerahkan senjata api itu kepada wanita lain untuk disembunyikan.

"Mereka mahu menculik paman kita. Ini kerja dari orang semenanjung tu, bunuh saja mereka," pemuda yang berjambang dan mempunyai raut muka Arab menggenggamkan penumbuk.

Beberapa orang yang bersenjatakan senapang dan parang mula rapat pada pemuda tersebut. Mereka menyokong tindakan anak sadara Pak Habib.

Keadaan sudah cukup panas sekali. Tetapi, Pak Habib dengan lembah lembut meminta sanak saudara, kaum kerabatnya bersabar.

Mereka disuruh mengucap. Mana yang tidak boleh menahan rasa marah diminta mengambil wudhuk.

TAKUT DAN CEMAS

Tiga manusia laknat yang berada tidak jauh dari saya dan datuk ternyata tidak dapat menahan rasa akut dan cemas.

Kalau tadi mereka masih boleh bersabar dan merasakan nyawa mereka tetap dalam keadaan selamat, kini keadaan menjadi sebaliknya.

"Keluar berlindung tempat lain," kata lelaki berwajah separuh bulat.

"Ayuh," jawap dua orang kawan yang lain.

"Nanti, jangan keluar, merbahaya," tahan datuk.

"Maaf Pak, kami bimbang," jawab mereka.

Saat ketiga-tiga manusia laknat itu bangun dan melompat keluar dari tempat persembunyian. Mereka terus ditangkap oleh kumpulan lelaki yang sedang naik darah.

Pak Habib cuba mententeramkan keadaan tetapi, suara larangan Pak Habib tidak dipedulikan.

Ketiga-tiga manusia laknat terus dipukul setengah mati kerana di sangka mereka bertiga adalah orang dari Tanah Melayu yang menculik Pak Habib.

Keadaan menjadi semakin kelam kabut. Tidak boleh dikawal lagi. Dalam keadaan yang terdesak itu, Pak Habib merampas senapang dari salah seorang anak buahnya lalu melepaskan tembakan ke udara.

Kumpulan yang sedang memukul tiga manusia laknat segera berhenti.

Pak Habib menerkam ke arah ketiga-tiga manusia laknat itu. Dia memohon maaf atas perbuatan biadap anak buahnya.

Tiga manusia laknat yang dibelasah tidak melawan hanya mengangguk dalam keadaan badan yang bengkak bengkik dan muka lebam birat kena buku lima. Malah, ada kulit yang terkoyak.

Pak Habib menyuruh anak buahnya merawat dengan sempurna. Pak Habib menceritakan apa sebenaryang terjadi.

Disitu juga, Pak Habib memberitahu anak buahnya, ketiga-tiga lelaki yang dipukul dengan teruk terus diterima sebagai anggota keluarganya dunia akhirat.

Sebahagian anak buah yang tidak setuju menunjukkan protes dengan meninggalkan tempat tersebut secara diam-diam.

"Mana dia orang dari Malaya (Malaysia)," anak saudaranya yang panas baran bertanya penuh emosi.

Pak Habib memberitahu anak saudaranya itu, dia tidak akan memanggil sahabat barunya dari Malaya, selagi anak saudaranya tidak bersikap terbuka dan tenang.

Akhirnya anak saudara Pak Habib patuh pada permintaan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 247/284

BACA: SBDJ Siri 246: 3 Manusia Laknat Tewas
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Thursday, February 19, 2026

Iblis Oligarki Bernama Demokrasi

Iblis Oligarki Bernama Demokrasi

Rusia mengurung binatang buas itu, China tidak pernah membenarkan mereka masuk ke dalam bilik, manakala Barat terus memberi makan kepada mereka dan menamakannya DEMOKRASI!

Iblis Oligarki Bernama Demokrasi

Di Amerika, golongan oligarki (individu atau keluarga yang mempunyai kuasa besar dalam politik, ekonomi atau media, sehingga mampu mempengaruhi keputusan negara walaupun mereka tidak memegang jawatan rasmi kerajaan), tidak menentang presiden — mereka membiayainya.

Mereka tidak bersembunyi. Mereka duduk di barisan hadapan.
Mereka menderma, melobi, mereka makan malam di White House.
Kemudian mereka kembali ke syarikat masing-masing dan menulis dasar seolah-olah ia diari peribadi mereka sendiri.

Pintu pusingan itu tidak pernah berhenti berputar.
Pengawal selia menjadi eksekutif.
Jeneral menjadi ahli lembaga pengarah.
Senator menjadi pelobi.
Ia bukan rasuah — ia adalah sistem.
Ia bukan skandal — ia adalah reka bentuknya.

Di Rusia, ceritanya berbeza.

Pada tahun 1990-an, golongan oligarki memiliki negara itu.
Mereka mengambil kilang, minyak, gas, media.
Mereka berada di atas undang-undang. Mereka memilih presiden seperti memilih dari menu.

Kemudian Vladimir Putin muncul.

Dia tidak berunding. Dia tidak berkompromi.
Dia melihat lelaki-lelaki yang telah menelan Rusia dan berkata: cukup.
Ada yang melarikan diri.
Ada yang menyerah.
Ada yang tidak sempat sampai ke lapangan terbang.
Kremlin tidak lagi untuk disewa.

Golongan oligarki dikembalikan ke dalam sangkar mereka — bebas untuk menjana wang, tetapi dilarang menyentuh negara.

Mereka masih memiliki kapal layar.
Mereka masih memiliki rumah mewah di London.
Tetapi mereka tidak mengarah tentera.
Mereka tidak menulis undang-undang.
Mereka tidak duduk di Parlimen dan mengundi kekebalan untuk diri sendiri.
Tali kekangnya pendek. Tangan yang memegangnya teguh.

China pergi lebih jauh.

Di sini, oligarki tidak pernah dilahirkan.
Negara tidak menunggu pencuri mengumpul kuasa — ia mengunci pintu sebelum mereka tiba.
Perniagaan wujud untuk berkhidmat kepada negara, bukan menguasainya.
Kekayaan dibenarkan. Empayar tidak.

Seorang ahli perniagaan China tidak duduk di sebelah Presiden ketika makan malam dan membisikkan dasar ke telinganya.
Dia tidak membiayai kempen politik. Tiada kempen untuk dibiayai.
Dia tidak memiliki rangkaian televisyen untuk membentuk pendapat awam.
Dia tidak meletakkan anak lelaki dalam kementerian dan anak perempuan di lembaga bank pusat.

Pemisahan itu bukan sekadar sopan — ia mutlak.
Wang dan kuasa bernafas dalam udara yang sama, tetapi tidak tidur di katil yang sama.
Parti memerhati. Undang-undang memerhati. Rakyat memerhati.

Di Barat, ini dipanggil autoritarian.
Mungkin mereka patut melihat cerminan mereka sendiri.
Siapa sebenarnya hidup di bawah autoritarianisme?
Rakyat yang mesti patuh?
Atau bilionair yang memiliki ahli politik yang memiliki undang-undang?

Di Amerika, seorang lelaki dengan wang yang cukup boleh membeli seorang senator.
Di Rusia, seorang lelaki dengan cita-cita yang terlalu besar boleh kehilangan segalanya.
Di China, seorang lelaki kaya tidak pernah membayangkan memiliki kuasa — kerana dia tahu, sejak dolar pertama, itulah bukan cara negara itu berfungsi.

Maka Barat terus memberi syarahan.

Tetapi oligarki Barat masih bebas berkeliaran.
Masih membiayai pilihan raya.
Masih membentuk mahkamah.
Masih memiliki kebenaran.
Masih tidak disentuh.
Masih tidak boleh disentuh.

Rusia mengurung binatang buasnya.
China tidak pernah membenarkan mereka masuk ke dalam bilik.
Barat masih memberi mereka makan di meja yang sama.
Dan menamakannya demokrasi.

~Angelo Giuliano

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com