Monday, December 28, 2020

Kartel Daging Haram, Senarai Syarikat Terlibat Penipuan Logo Halal!

Kartel Daging Haram, Senarai Syarikat Terlibat Penipuan Logo Halal!

Pada 23 November 2020, portal Sinar Harian mendedahkan kegiatan syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal mengambil jalan mudah mengimport daging dari negara yang tidak menerima kelulusan sah Jakim.

Kartel

Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada 'orang dalam' di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu.

Dan pada 2 Disember 2020 beberapa portal media tempatan melaporkan serbuan Maqis yang mengemparkan negara.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis selepas ini) telah membongkar kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Kegiatan itu terbongkar selepas Maqis melakukan serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai (1 Disember 2020).

Serbuan itu turut melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan diketuai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Baru kumpul risikan

Maqis mengesahkan pihak mereka telah melakukan risikan dan mengumpul maklumat sebelum membongkarkan kegiatan berkenaan.

Menurut Maqis, gudang tersebut dijadikan lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula. Kartel daging seterusnya menyamar menjadi syarikat pembekal daging sejuk beku.

Tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.

Pekerja warga asing diupah bagi melakukan kerja pembungkusan semula dengan diberikan kemudahan asrama penginapan di situ, dan dalam serbuan itu sebanyak 1,500 tan daging sejuk bernilai RM30 juta telah disita.

Daging haram ada logo halal

Modus operandi sindiket terbabit adalah dengan mendapatkan stok daging sejuk beku dari luar negara sebelum dikatakan diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Bagi memastikan kegiatan penyeludupan terbabit berjaya, mereka (sindiket) dipercayai akan menggunakan dokumen palsu termasuklah borang Kastam, permit import, sijil halal atau pun resit bayaran.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa pula, sindiket turut mengimport daging daripada sumber yang sah sebelum dibawa ke gudang terbabit di Senai, kata Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan.

Pada 3 Disember 2020, serbuan Maqis itu mendapat perhatian serius dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ)

Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Johor (DPMMNJ) Muhammed Farhan Basheer berkata: "Penipuan logo halal adalah kesalahan yang sangat serius. Ia menunjukkan ada pihak yang tidak jujur dan sengaja membekalkan barangan makanan tidak halal, tetapi dilabelkan sebagai halal kepada umat Islam di negara ini semata-mata untuk mengaut keuntungan."

Rasuah 1Malaysia

Kewujudan kartel membawa masuk sejumlah kontena daging sejuk beku yang banyak juga 'kemungkinan' ada kaitan dengan ketirisan penguatkuasaan agensi tertentu.

Kerajaan wajar menggerakkan siasatan bersepadu sehingga ke akar umbi untuk mengesan di mana punca ketirisan itu berlaku dan mengenakan hukuman setimpal terhadap semua pihak terbabit.

Pada 4 Disember 2020, JAKIM tampil memberikan penjelasan lanjut berhubung isu tersebut.

Malaysia menetapkan pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir atau loji pemprosesan diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, selain itu daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.

Juga pada 4 Disember 2020, JAIS mengesahkan telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat pengedaran daging haram berlogo halal di Selangor.

"Kita telah menerima laporan lengkap daripada Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tentang isu tersebut.

"Buat masa ini, JAIS telah menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan berkaitan perkara tersebut mengikut peruntukan Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011," kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni.

Rasuah Peringkat Tertinggi?

Pada 12 Disember 2020, dua NGO iaitu Gagasan Baru Harapan Malaysia (GBHM) dan Pertubuhan Kebajikan Anak Bersatu Selangor (PKABS), menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat dalang sindiket kartel daging import yang mempunyai sijil halal palsu.

Presiden GBHM, Mohd Zulfitri Mohd Basir berkata: "Sehingga kini tiada tangkapan dan pendakwaan yang dibuat terhadap sindiket berkenaan dengan alasan pihak berkuasa sedang mengumpulkan maklumat.

"Jadinya, kami percaya wujud ketirisan dan pembabitan unsur rasuah dalam kalangan pegawai unit berkuasa sehingga daging import haram sebanyak itu dapat diseludup dan diedarkan ke seluruh negara.

"Setelah isu kartel dimainkan sejak bertahun-tahun, tiada satu pihak mengambil tindakan terhadap pihak yang bersalah."

Memorandum itu mengandungi 11 desakan kepada SPRM antara lainnya ialah;
  • Mahu SPRM menyiasat identiti 'kartel'.
  • Mengapa tiada sebarang tangkapan terhadap pemilik syarikat yang mengimport daging berkenaan?
  • Mendesak pendedahan jenama daging haram yang digunakan oleh pihak kartel.
  • Siapakah pemilik sebenar kebenaran import (AP) import daging berkenaan?
  • Bagaimana daging sebanyak itu boleh lolos daripada pemeriksaan pihak berkuasa yang berkaitan?
  • Mahu SPRM menyiasat siapakah yang menyedia dan membuat dokumen palsu bagi pihak 'kartel' seperti yang didakwa.
  • Siapakah dalang sebenar dalam sindiket ini?
  • Mengapakah sindiket ini seolah-olah kebal dan dilindungi oleh pihak-pihak tertentu?
  • Kenapa daging yang sudah diedarkan tidak disita dari pasaran?

Pada 21 Disember 2020, portal Berita Harian tampil dengan laporan khas yang menyatakan;
  • Kartel mempunyai 'orang dalam' pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.
  • Kartel dipercayai 'membeli' beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.
  • Wang ringgit dan habuan berlibur dikatakan diguna bagi merasuah pegawai terbabit sebagai dorongan 'melepaskan' barangan yang diimport tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.
  • Kartel dipercayai membeli bekalan daging dari loji sembelihan di Kanada, Colombia, Ukraine, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China selain negara sumber yang diluluskan.
  • Sogokan diuruskan orang perantaraan yang sudah mahir dengan birokrasi di pintu masuk negara dan mengenali orang dalam yang bertugas pada masa tertentu bagi meluluskan pergerakan keluar barangan.
  • Apabila selesai urusan peringkat pertama iaitu pemeriksaan audit kualiti dan halal, kartel tidak akan berdepan masalah melepasi pelabuhan, khususnya di tiga pelabuhan zon bebas, iaitu Pelabuhan Kelang (PKFZ), Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara.
  • Kegiatan itu didalangi syarikat milik bukan Bumiputera yang membentuk kartel menggunakan beberapa syarikat Bumiputera sebagai proksi.
  • Syarikat proksi ditubuhkan kartel pembekal daging sejuk beku di negara ini, dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan kemelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.
  • Kegiatan syarikat dinyatakan dalam pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula adalah mengimport bekalan daging, namun ada juga kegiatan yang dinyatakan langsung tiada kaitan dengan industri berkenaan.
  • Industri pembekalan daging sejuk beku di negara ini dikuasai beberapa kartel membabitkan pengimport dan syarikat kargo, dengan satu daripadanya yang sudah dikenal pasti, dipercayai menubuhkan sekurang-kurangnya 12 syarikat proksi.
  • Selain menggunakan nama ahli kartel, pembekal disyaki mencuri maklumat dan data individu Bumiputera, khususnya Melayu untuk didaftarkan sebagai pemilik syarikat proksi ditubuhkan.
  • Modus operandi kartel, dimana syarikat terbabit dipercayai diberikan penerangan mengenai operasi di pelabuhan termasuk jadual penugasan kakitangan dan bagi melepasi pemeriksaan, mereka mengemukakan dokumen palsu atau borang K8, iaitu kebenaran untuk transit bekalan sahaja.
  • "Sebagai contoh, jika orang dalam ditugaskan di laluan nombor tiga, kontena membawa barang seludup ini akan melalui laluan itu dan melepasi pemeriksaan. Habuan diberikan secara tunai kepada kakitangan di situ," lapor Berita Harian.

'Kambing Hitam'

Walaupun syarikat proksi terbabit mempunyai kebenaran mengimport dari negara sumber yang diperakui status halalnya, kartel cenderung membawa masuk daging sejuk beku yang diragui status halal kerana memperolehnya pada harga lebih murah, sekali gus dapat meraih keuntungan lebih besar lapor Berita Harian.

Harga murah, antaranya kerana ternakan ada masalah kesihatan, selain loji penyembelihan tidak sah dan memproses daging tidak halal.

Walaupun diikrar daging lembu, bekalan yang dibawa masuk sebenarnya daripada pelbagai ternakan, termasuk kerbau dan kuda dengan kaedah sembelihan diragui.

Adakah JAKIM Masih Berfungsi?

Berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), setakat ini Malayia meluluskan 28 rumah sembelih lembu dari Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan, selain 11 rumah sembelih kerbau dari India dan Pakistan.

Semua rumah sembelihan itu sudah menjalani pemeriksaan audit oleh JPV dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum kelulusan diberikan. Pemeriksaan ke atas rumah sembelih di negara sumber juga dilakukan.

SOP import daging sejuk beku di Malaysia;
  • Produk perlu direkodkan dalam borang pengakuan barang-barang diimport.
  • Harus ada permit import, sijil kesihatan, sijil halal, sijil negara asal, invois, 'bill of landing', senarai pembungkusan.
  • Semua dokumen import, sokongan perlu disemak rapi. Kegagalan akan menyebabkan konsainan dilarang masuk.
  • Walaupun diluluskan pada tahap itu, konsainan masih perlu diperiksa secara fizikal/visual, termasuk maklumat komoditi, suhu, rumah sembelih, tarikh luput, keadaan fizikal barangan.
  • Pada tahap pemeriksaan fizikal, konsainan jika dikesan tidak patuh prosedur semua prosedur, boleh dilarang masuk ke negara ini.

Tak boleh bincang di media

SPRM dalam satu kenyataan bertarikh 21 Disember mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kerjasama beberapa agensi seperti KPDNHEP, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Kastam Diraja Malaysia akan diperolehi.

SPRM juga berkata membincangkan isu tersebut di media massa akan menyukarkan siasatan SPRM dan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil.

Kartel Dah operasi 40 tahun?

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan kegiatan kartel daging halal palsu telah wujud di negara ini sejak 40 tahun lalu.

Datuk Rosol Wahid berkata, laporan yang mengatakan kewujudan kartel itu sudah lama di negara ini menyebabkan rakyat takut dan telah diperbesarkan.

"Tidak sampai berlarutan sehingga 40 tahun tetapi kita akan ambil tindakan dan tidak pernah berkompromi selama ini," katanya.

Datuk Rosol Wahid juga berkata dalang utama kartel yang membungkus semula daging import dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia di sebuah gudang di Senai, Johor akan didedahkan dalam waktu terdekat.

"Kita beri jaminan, jangan bimbang tentang isu ini. Kita telah membuat pemantauan dan terus memantau dengan agresif sekali.

"Setakat ini, kita telah buat sebanyak 29 pemeriksaan di premis borong serta 130 peruncit. Kita bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kastam dan juga peniaga-peniaga itu sendiri.

"Ramai yang curiga, kita ambil perhatian mereka yang terlibat ini dan dalam masa terdekat selepas pendakwaan kita akan dedahkan nama syarikat itu kepada umum. Kita tidak mahu ganggu siasatan ketika ini,” katanya. - 22 Disember 2020.

SENARAI JENAMA DAGING HARAM KARTEL

Geram bila kita baca berita mengenai kartel daging yang diserbu setelah beroperasi berpuluh tahun lamanya.

Lebih geram lagi bila tak ada satu pendedahan pun dibuat oleh pihak yang berkaitan mengenai apa jenama yang dipalsukan cop halalnya, siapa dalang kartel tersebut, dan apa nama syarikat yang mengedarkannya.

Lebih bertambah geram lagi bila pada awalnya ada statement pihak berkuasa kata nak dedah nama syarikat tersebut, tapi tiba-tiba Timbalan Menteri Perdagangan, Datuk Rosol Wahid mula spin pula kata tidak boleh didedahkan nama syarikat tersebut sebab akan mengganggu siasatan kononnya.

Nah, mana kita tak panas hati bila baca berita macam tu. Siap kempen lagi kata daging kat pasaran tu semua halal jangan risau boleh beli.

Siap tunjuk lagi pekerja diorang jalan-jalan dalam supermarket tunjuk ada logo halal kat packaging daging yang dijual.

Padahal, berita sebelumnya semua cakap pasal daging tak sah taraf sama ada bukan daging lembu, bangkai, atau daging berpenyakit yang telah dipalsukan sijil halalnya dan dipek semula setelah diseludup untuk dijual di negara kita.

Lebih memanaskan hati, bila pendedahan tersebut menyatakan bahawa operasi kartel tersebut telah berjalan selama 40 tahun dengan rasuah telah diberi kepada kakitangan pelepasan kontena, kakitangan yang check isi kontena dan pelbagai lagi kakitangan pihak berkuasa.

Hatta disebut bahawa kartel tersebut turut menawarkan habuan wanita untuk melakukan hubungan seks, zina, kepada pihak yang dirasuah.

Apalah punya bala semua ini. Berpuluh tahun kita disajikan barang yang syubhah lagi tidak jelas sumbernya, pihak berkuasa enjoy makan duit haram siap dapat habuan wanita lagi.

Ini bukan isu birokrasi susah nak apply sijil Halal, tapi ini isu rasuah, salah guna kuasa agensi berkaitan, penyeludupan, penipuan cop halal, penipuan sumber daging dan juga masalah kejar harga murah.

Kalau nak tahu, jenama yang dibawa masuk oleh kartel ni pun sebahagiannya memang dah ada sijil Halal yang sah baik dari Malaysia atau negara asalnya.

Tapi diselit dan dicampur dengan daging yang tidak halal kemudian dipack semula menggunakan jenama dan cop halal yang telah dipalsukan.

Maknanya, kartel ini memang nak buat untung full margin makan pukul keliling, sebab tu dapat jual murah sebab bangkai yang disupplynya, maka harga modal pula sudah tentu jauh lebih murah.

Siap ada laporan yang kata mereka guna bangkai kangaroo, kuda dan macam-macam lagi.

Jadi, atas rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim, kita risau bila jenama ini tidak didedahkan.

Kalau perkara ini berterusan, maka umat Islam di negara kita ini akan terus-terusan memakan bangkai tanpa sedar. Apa yang kita makan itu akan menjadi darah daging dan merosakkan kita semua.

Cukup-cukuplah dengan pemimpin melayu/Islam saja yang kemaruk makan bangkai rasuah.

Jadi, disini terpulang kepada anda sama ada mahu terus membeli daging frozen import atau tidak.

QUALIKO

GBP AUSTRALIAN

DOUX

ARARAT

AMROON

ALLANA

AL TAMAM

Setelah banyak pendedahan dibuat, kita pun belum tentu pasti akan kehalalan jenama daging frozen import lain yang tidak didedahkan disini.

Untuk mengelak termakan barang yang syubhah atau haram, maka sebaiknya kita tinggalkan terus memakan apa jua jenama daging frozen import. Dalam bisnes, bila tiada permintaan, maka tiadalah supply.

Yang jadi masalah, bila dah tahu ada yang syubhah kita tetap terus membelinya, maka sebab itulah kartel ni masih boleh bertahan walaupun dah naik turun mahkamah dan didenda.

Pasti akan ada kartel lain yang mengambil alih demand dan pasaran yang kosong tadi dimasa akan datang.

Kepada pekedai pula, kita percaya ramai yang akan terkesan dengan penjualan daging import selepas ini.

Namun, yakin dan percayalah bahawa rezeki itu telah tertulis oleh ALLAH Taala buat kita semua. Rezeki tidak akan pernah salah alamat.

Apabila kita meninggalkan sumber rezeki yang haram dan syubhah, insyaALLAH akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pintu rezeki kita akan terbuka lebih luas.

Ingatlah kembali pesan orang tua-tua kita dahulu kala, "Jangan beli daging import, sebab kita tak tahu kesahihan barang tersebut."

Akhirnya setelah berpuluh tahun, baru hari ini kita nampak kebenaran pesanan orang tua kita dahulu.

Carilah barang yang halal, utamakan sumber yang halal dan tinggalkanlah barang yang syubhah dan diragui.

Negara kita pun belum darurat lagi, tak mati pun kalau tak makan daging frozen. Masih banyak penjual daging segar tempatan.

Sokonglah barangan buatan Malaysia, dan paling penting ingat; BUY MUSLIM AND HALAL FIRST!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Neelofa Nafi Kena Minyak Pengasih!

Neelofa Nafi Kena Minyak Pengasih!

Setelah dihimpit pelbagai spekulasi berkenaan hubungannya dengan seorang lagi pendakwah selebriti, Haris Ismail, jutawan, pengacara dan pelakon popular Neelofa akhirnya tampil menafikan dakwaan yang berlegar di media sosial.

Neelofa

Neelofa menyentuh khabar angin kononnya dia terkena buatan minyak pengasih, selain sudah bernikah di Kelantan serta memindahkan sejumlah besar wang kepada Haris.

Semua khabar angin itu dinafikannya dalam satu kenyataan.

"Cerita itu adalah tidak benar sama sekali dan sejujurnya, ia merupakan satu tuduhan yang amat berat.

"Alhamdulillah, seperti yang anda lihat sekarang saya berada dalam keadaan baik, dan kesihatan yang terbaik.

"Saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya," katanya menepis spekulasi bahawa dia 'terkena' minyak pengasih.

Masih Dara

Begitu juga khabar angin yang mengatakan dia sudah bernikah di Kelantan.

"Kononnya saya telah pun melangsungkan perkahwinan dan telah dinikahkan oleh bapa saya sendiri di Kelantan.

"Andaian ini juga adalah satu tuduhan yang sangat tidak benar dan tidak berasas," katanya yang turut menyangkal dakwaan memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada Haris.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor sohor di media sosial setelah adik-beradiknya memberi bayangan hubungan aktres itu dan peserta program bercorak keagamaan yang lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz tersebut dilanda badai.

Ekoran itu, beberapa tangkap layar paparan perbualan WhatsApp antara dua individu dimuat naik di media sosial, memarakkan lagi dakwaan tersebut di kalangan pengguna media sosial.

Berkenaan hubungan dengan Haris, Neelofa berkata keluarga kedua-dua belah pihak kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian.

"Setiap hubungan itu ada cerita-cerita yang tersendiri dan tidak manis untuk saya mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarga saya.

"Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak," katanya lagi.

Dia turut memohon maaf kepada keluarga kedua-dua belah pihak atas hal yang berlaku, dan mengucapkan terima kasih buat keluarganya sendiri atas sokongan dan teguran yang diberikan.

"Sekali lagi, saya mohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama memahami dan dapat memberikan saya ruang yang sewajarnya. Harap perkara ini tidak lagi akan berpanjangan.

"Terakhir, saya perlukan doa-doa anda buat saya. Terima kasih juga untuk segala sokongan yang diberikan. Saya sangat hargai," kata Neelofa lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Tuesday, December 22, 2020

Wanita Juga Boleh Alami Ketagihan Seks!

Wanita Juga Boleh Alami Ketagihan Seks!

Berdekad lamanya, masalah ketagihan seks dipercayai hanya dialami kaum lelaki dan wujud kepercayaan bahawa wanita tidak mungkin akan mengalaminya. Malah, banyak kajian hanya menunjukkan kesannya pada lelaki dan pengkaji tidak terfikir untuk melihat sama ada masalah tersebut turut boleh berlaku kepada perempuan.

Wanita Ketagih Seks

Walhal, ketagihan seks adalah masalah yang boleh berlaku sama ada kepada lelaki mahupun kaum wanita. Sehinggalah pada tahun 1980-an, di mana perbezaan gender dalam alkoholisme jelas kelihatan.

Keadaan tersebut membuatkan para profesional mengetahui bahawa kaum wanita mengembangkan ciri ketagihan alkohol yang jauh berbeza daripada lelaki.

Penyelidikan tersebut membawa kesedaran bahawa masalah itu boleh berlaku kepada sesiapa dan ia membentuk manifestasi diri dengan cara yang unik.

Ketagihan seks tidak mengenal jantina

Ini bermakna jika kaum Adam boleh mengalami ketagihan seks, maka kaum Hawa juga berisiko.

Dianggarkan satu per tiga daripada penagih seks adalah wanita dan hanya sekitar satu per lima yang mendapatkan rawatan.

Keadaan ini jelas menunjukkan individu wanita turut menderita kesan sama seperti lelaki. Pun begitu, gejalanya adalah berbeza.

Lelaki Dan Seks

Apabila seorang lelaki mempunyai ketagihan terhadap seks, dia cenderung menolak hubungan seksual dengan pasangannya.

Ini kerana mereka lebih gemar melakukan hubungan intim tanpa sebarang ikatan emosi.

Antara beberapa jalan pilihan lelaki adalah:
  • Melayari pornografi dalam talian dan seks voyeuristik.
  • Voyeurisme didefinisikan sebagai minat untuk memerhatikan individu menanggalkan pakaian, bertelanjang atau melakukan aktiviti seksual.
  • Melakukan seks kasual atau seks satu malam (anonymous sex).
  • Pelacur.
  • Mengeksploitasi wanita semasa seks.
Semua ciri di atas hanya melibatkan sedikit hubungan emosi. Ia membolehkan lelaki memenuhi keinginan seksual tanpa terikat dengan sebarang ikatan.

Menariknya, ciri ketagihan seks adalah kesan cara didikan umum masyarakat kepada lelaki, di mana mereka digalakkan untuk tidak terikat dengan emosi atau akan diejek lemah.
 
Ketagihan seks kaum wanita

Pada masa dahulu, wanita adalah individu yang diharapkan untuk menjadi suri rumah dan perlu patuh serta memenuhi keperluan suami.

Walau bagaimanapun, kaum wanita dengan keadaan ini menunjukkan tingkah laku yang bertentangan.

Mereka lebih gemar menguasai lelaki dan mempunyai kawalan sepenuhnya. Bagi wanita ini, tujuan utama seks adalah demi perhatian dan kekuatan.

Bagi memenuhi keinginan mereka, aktiviti berikut akan dilakukan:
  • Bermain seks peranan (role-playing) dalam bilik tidur.
  • Menggoda dan bukannya digoda.
  • Memperdagangkan seks untuk sesuatu barangan.
  • Mengamalkan sadomasochism. Ia adalah apabila seseorang individu mendapatkan keseronokan seksual daripada sadisme (menyakitkan seseorang) dan masokisme (disakiti).
Wanita dengan ketagihan seks ini cenderung bertindak bertentangan dengan norma sosial.

Kesannya terhadap individu

Impak ketagihan seks boleh menjadi sesuatu yang serius.

Menurut United States Department of Agriculture (USDA), kira-kira 38% kaum lelaki dan 45% wanita dengan masalah ini mempunyai penyakit kelamin (STD) kesan daripada tingkah laku mereka.

Kehamilan tidak dirancang juga antara kesan sampingan yang biasa berlaku.

Menerusi satu tinjauan, hampir 70% individu wanita dengan ketagihan terhadap seks melaporkan mereka mengalami sekurang-kurangnya satu kehamilan tidak diingini.

Selain itu, ia juga memberikan kesan negatif dalam kehidupan seseorang seperti:
  • Penurunan hubungan peribadi, sosial dan penglibatan kekeluargaan.
  • Kemerosotan daya tumpuan dan produktiviti di tempat kerja.
  • Kesan fizikal seperti disfungsi seksual atau jangkitan kelamin.
  • Ketagihan ini juga boleh memberi kesan psikologi yang mendalam seperti menimbulkan rasa malu, rasa tidak cukup dan tekanan emosi.
Selain itu, gangguan psikologi juga cenderung untuk berlaku antaranya:
  • Kegelisahan.
  • Kemurungan.
  • Penyalahgunaan bahan terlarang.
  • Masalah berkaitan kawalan impuls dan ketidakseimbangan emosi.
  • Gangguan obsesif-kompulsif.
Adakah anda ketagihan seks?

Umumnya, terdapat beberapa gejala yang boleh dilihat untuk mengetahui sama ada anda mengalami masalah ini atau tidak:
  • Anda berasa tidak berdaya dalam hal melibatkan tingkah laku seksual.
  • Pilihan seksual menjadikan hidup anda tidak terkawal.
  • Wujud rasa malu atau membenci diri atas perbuatan seksual.
  • Anda berjanji pada diri akan berubah tetapi gagal menepati janji tersebut.
  • Terlalu sibuk dengan seks sehingga ia seakan menjadi ritual kepada anda.
Sekiranya wujud gejala seperti di atas, mungkin sudah tiba masanya untuk anda mendapatkan rawatan bagi mengatasi ketagihan ini.

Jika mempunyai sebarang keraguan, sebaiknya berundinglah dengan profesional kesihatan untuk melakukan penilaian yang tepat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hellodoktor

SBDJ Siri 175: Calon Suami Gadis Harimau

SBDJ Siri 175: Calon Suami Gadis Harimau

Apa yang menarik tentang Kak Sun ialah, cara dia menyampaikan cerita penuh dengan perasaan. Ada ketikanya terasa amat melucukan tetapi makin lama mengikut ceritanya makin terasa seram. Mengundang rasa takut yang tidak menentu seolah-olah bagaikan ada makhluk halus yang sedang mengikuti pergerakkan kami.

Toyol jadi-jadian

Bagi menghilangkan rasa takut itu saya segera mendekati Andi Kamarool. Bahu kami segera berlaga dan ternyata perbuatan itu kurang disenangi oleh Andi Kamarool.

Dia segera menjauhkan tubuhnya dari tubuh saya. Memang, kau tak faham dengan apa yang aku rasakan Andi rungut batin saya.

Sebelum menyambung cerita yang terputus, Kak Sun renung ke arah dahan pokok besar atas kepala.

"Bila ayahnya mati, abang Mia ambil keputusan menjual barang-barang antik dalam rumah ni."

"Apa dia barang-barang antik tu Kak Sun?" soal saya.

"Lampu dari timur tengah, macam lampu Aladin tu, ukiran patung kayu, peti kain, mesin jahit, peti nyanyi dan macam-macam lagi."

"Kenapa dijual? Bukannya senang nak dapat barang-barang antik macam tu," Andi Kamarool renung muka Kak Sun penuh dengan tanda tanya.

Lagi sekali Kak Sun dongakkan muka ke dahan pokok besar, macam ada sesuatu yang dilihatnya di situ. Sudah tentu perbuatannya itu menimbulkan keraguan dalam diri saya.

"Sebabnya, tak ada tempat nak simpan. Lagi pun simpan barang-barang lama ni susah Andi, banyak pantang larangnya, silap-silap cara boleh bawa padah."

"Huh," Andi Kamarool membeliakkan biji matanya. Dia terkejut.

"Ada orang yang membelinya kak Sun?" saya tidak jemu mengajukan pertanyaan.

Saya lihat kak Sun tersenyum lebar.

"Ramai orang yang membelinya tetapi mereka mengalami hal-hal yang ganjil. Kaum keluarga mereka hidup tak aman. Kerana si ayah minat barang-barang antik, anak isteri terima padah."

"Apa dia padah yang dia orang terima kak?" minat ingin tahu makin besar tumbuh dalam hati saya.

"Dikacau pengawal rumah, hidup tidak aman."

Untuk sekian kalinya saya dan Andi Kamarool menarik nafas dalam- dalam. Kak Sun nampak tenang tetapi, bila ada kesempatan dia tetap mendongakkan mukanya ke arah dahan pokok besar. Tentu ada sesuatu yang dilihatnya di situ.

Kak Sun terus bercerita:

Seorang peniaga yang membekalkan keperluan harian untuk keluarga Mia, jatuh hati dengan almari antik dari China. Tanpa berfikir panjang dia terus membeli almari itu dan ditempatkan di kedainya.

Semua pelanggan yang datang ke kedainya merasa kagum dengan keindahan ukiran pada almari itu. Pemilik kedai hanya senyum bangga.

Namun, kemegahan dan kebanggaan pemilik kedai, segera bertukar menjadi cemas. Tanpa disangka-sangka pada suatu subuh dia dikunjungi oleh manusia hitam berbadan besar yang mendesaknya supaya almari antik dipulangkan segera ke rumah keluarga Mia.

Pada mulanya pemilik kedai enggan mematuhi permintaan manusia hitam, tetapi dalam kunjungan berikutnya, manusia hitam berbadan besar mula memperlihatkan kemarahannya.

Pemilik kedai terpaksa mengalah dan almari antik dipulangkan kembali ke tempat asalnya.

Sekiranya ada pekerja disini yang bertindak kurang ajar atau tidak disenangi oleh Kak Sun, pasti diganggu oleh orang hitam berbadan besar yang disebut oleh Kak Sun sebagai pengawal rumah.

Akibatnya, pekerja yang terbabit tidak senang hati dan terus minta berhenti kerja.

Dari cerita Kak Sun itu saya segera membuat kesimpulan yang Kak Sun dapat menterjemah apa yang dimaksudkan oleh si penjaga.

Ini berlainan dengan Mia, walaupun sering berdepan dengan kelibat dan bayang-bayang orang hitam, ternyata Mia tidak mampu meneka atau menterjemah kehadiran si pengawal.

Kalau Kak Sun sering melihat sesusuk tubuh lelaki tetapi si Samion lain pula yang dilihatnya.

Pernah Samion agak lewat meninggalkan kawasan rumah batu kerana dia membantu Kak Sun mengubah pasu bunga orkid daripada bangsal ke tempat lain.

Kerana asyik menolong Kak Sun tanpa disedari hari sudah berada di remang-remang senja dan pada saat itu, secara tidak sengaja Samion terserempak dengan sesusuk tubuh seorang wanita cina tua.

Akibat terkejut, Samion terus menjerit dan lari lintang pukang. Beberapa pasu orkid turut pecah. Dari jeritan Samion itu, Kak Sun sudah dapat menduga apa yang ditemui oleh Samion.

"Sejak kejadian tu, Samion tidak berapa senang kalau Kak ajak dia membantu kerja-kerja kak di bangsal hingga pukul enam petang. Dia hanya tolong kak setakat pukul enam saja," tutur Kak Sun yang diakhiri dengan ketawa kecil.

Mungkin dia masih dapat membayangkan kelucuan peristiwa tersebut.

Menurut Kak Sun yang peramah dan tidak pandai menyimpan rahsia itu, kemunculan bebayang atau kelisan manusia yang aneh itu mengikut keadaan tertentu.

"Biasanya, dia datang bila kak menghadapi masalah atau datang memberi petanda dan alamat.

"Contohnya, sebelum kamu datang, kak sudah dapat alamat atau gambaran yang kamu akan tiba di sini.

"Kak tahu memang sulit untuk menyakinkan siapa saja tentang hal ini, tetapi bagi kakak, penjaga atau pengawal rumah batu lama tu, memang ada."

"Alamat atau tanda-tanda yang kakak dapat tu, kak bagi tahu pada Mia?" soal saya.

"Iya," angguknya.

"Tapi tidak semua. Kalau alamat itu membawa tanda- tanda bahaya baru kak bagi tahu. Kedatangan kamu berdua bersama Haji Basilam, kakak tak bagi tahu."

"Kenapa tak bagi tahu?" tanya Andi Kamarool.

"Penjaga rumah ni, dah kenal dengan Haji Basilam. Dia tu kawan baik arwah ayah Mia. Dia tahu asal usul sejarah rumah ni," sebuah penjelasan yang cukup menyakinkan dari Kak Sun.

Meskipun perasaan cemas sudah tiada dihati, saya tetap waspada. Renung kiri, renung kanan.

Ada ketikanya dongakkan kepala merenung dedaun dari pokok besar yang memayungi kami. Beberapa ekor tupai berkejaran di dahan pokok sambil berbunyi. Angin terus bertiup lembut.

"Pernah sepupu kakak meninggalkan basikalnya di sini untuk diambil oleh kawan karibnya yang kebetulan bekerja dengan Mia," masih ada cerita yang mahu diungkapkan oleh Kak Sun kepada kami.

"Kerja sebagai apa kak?" terkeluar pertanyaan dari saya.

"Menjaga kebun pala."

"Habis apa dah jadi?" Andi Kamarool pula menyoal.

"Perkara tu, saya sampaikan kepada pekerja tersebut. Dua tiga kali pekerja itu datang. Peliknya dia tidak pula mengambil basikal tersebut, dia sekadar melihatnya saja," Kak Sun berhenti bercakap dia menarik nafas dalam-dalam.

Matanya merenung kosong ke depan. Kak Sun saya lihat seperti tidak mahu meneruskan cerita selanjutnya. Ini menimbulkan tanda tanya dalam diri.

Dan cara yang paling baik ialah memaksa Kak Sun secara terhormat untuk meneruskan cerita tersebut.

"Habis apa dah jadi dengan basikal tu Kak?"

Saya lihat Kak Sun seperti tersintak dari lamunan.

Dia segera menelan air liur. Sepasang anak mata hitamnya diarahkan kepada saya. Sebuah senyuman saya hadiahkan untuknya.

"Mia merungut kepada kakak, dia kurang senang basikal itu tersadai di kawasan rumahnya.

"Kakak tak terangkan bagaimana keadaan sebenar kepada Mia. Pada hal Kak sendiri pun merasa hairan kenapa kawan pada sepupu kak tak mahu mengambil basikalnya. Dia cuma tengok saja."

"Pelik juga kawan sepupu kak tu, agaknya basikal curi. Itulah sebabnya dia tak mahu ambil," Andi Kamarool buat penilaian sendiri. Kak Sun tersenyum mendengarnya.

"Basikal barang curi, memang dia yang punya. Hampir sebulan basikal tu terbiar, hinggalah pada suatu petang secara tidak sengaja," kakak terus berkata.

"Basikal ni ada tuannya. Kamu berikan pada tuannya, bila dia datang. Tidak sampai dua jam kemudian pemilik basikal itu pun datang dan terus mengambilnya dengan senang hati."

"Kali ini mudah benar, selalu tu bila saya nak pegang handle basikal macam ada orang yang menahannya," ujar pemilik basikai itu pada Kak Sun.

Dan Kak Sun mula faham siapa sebenarnya penghalang pemilik basikal itu mengambil haknya.

Bila basikai sudah tiada di situ Kak Sun rasa senang hati. Dirinya terlepas dari rungutan Mia dan pada sebelah malamnya, Kak Sun di datangi oleh pengawal rumah batu lama.

"Salah kamu sendiri suruh orang luar taruh sesuka hati, kau bukan tak tahu, aku mengawal seluruh kawasan rumah ni, jadi barang tu aku jagalah.

"Cuba kamu cakap barang itu milik orang ni, untuk sementara waktu saja lagi pun bersopan sikit, kalau nak tumpang barang minta izin dulu," Kak Sun mengajuk cara orang hitam itu bercakap.

Saya dan Andi Kamarool ketawa terkikih, bila melihat gerak-geri dan cara Kak Sun bercakap mengikut gaya pengawal rumah itu.

"Jangan ketawakan kak, nanti ada orang yang marah."

"Maafkan kami," serentak saya dan Andi Kamarool bersuara.

Meskipun demikian, kawan kepada sepupu Kak Sun itu tidak tahu langsung kenapa dia merasa takut dan cemas setiap kali dia mahu mengambil basikalnya.

Perkara itu tidak pernah dicakapkannya kepada sesiapa pun dan terus menjadi rahsia dirinya.

Kak Sun tetap yakin, jika orang yang datang ke kawasan rumah batu lama, tidak buat hal kurang ajar, usik itu usik ini, tidak cakap sebarangan sudah pasti penungggu (pengawal) rumah tidak melakukan apa-apa pada orang yang datang itu.

Kak Sun pun membuka kisah tentang dua orang kawan kepada abang Mia, seorang Melayu dari keturunan Bawean, manakala seorang lagi dari Acheh. Tujuan mereka datang ialah untuk mencari barang-barang antik.

Sebaik saja masuk ke ruang rumah batu lama itu, mereka berlagak seolah-olah rumah itu sebagai sebuah tempat pameran.

Masuk sana, masuk sini. Usik itu, usik ini dan bercakap ikut sedap mulut saja. Diri Kak Sun mereka tidak kisah dan pandang semacam saja.

"Nasib baik mereka tak masuk bilik larangan," kata Kak Sun kepada kami.

"Mereka tak kena apa-apa kak?' tanya saya.

"Manakah tidak, orang daripada Singapura tu, tiba-tiba menjerit tidak tentu fasal, macam kena rasuk. Orang dari Acheh dibaling dengan batu dan dipukul dengan kayu, tubuhnya jadi bengkak-bengkak. Tidak tahu, siapa yang memukulnya.

"Kedua-dua orang itu terpaksa dibawa keluar dari rumah lama. Sebaik berada di luar rumah, orang yang menjerit tadi terus berhenti menjerit, orang yang dipukul tidak lagi kena pukul."

"Jadi mereka tak beli apa-apa pun kak?" Andi Kamarool bertanya.

"Usahkan beli, bertanya pun tidak. Mereka terus cabut," kata Kak Sun.

Seterusnya Kak Sun beritahu, memang ramai yang datang ke rumah lama untuk membeli barang antik.

Tetapi kebanyakannya pulang dengan tangan kosong, mereka terasa semacam ada yang menghalangnya.

Kalaupun berjaya memilikinya tetapi tidak lama, sebulan dua mereka terpaksa memulangkannya semula.

"Selain dari Haji Basilam, siapa lagi yang tahu tentang hal keluarga Mia dan rumah batu lama ni," Andi Kamarool mula memasang jerat untuk cungkil rahsia keluarga Mia sebanyak mungkin.

"Ada Andi."

"Siapa orangnya kak?"

"Haji Simpul."

Saya dan Andi segera berbalas pandangan.

"Duduk di mana kak?" saya menguluskan pertanyaan.

"Rumahnya, di hujung kampung. Umurnya dah dekat sembilan puluh tahun. Giginya masih kuat, rambut dah memutih seluruh kepala tetapi penglihatan dan pendengarannya masih elok. Dia ada menyebut tentang diri Mia pada kak."

"Apa katanya tentang Mia kak?" tanpa sabar saya terus menyoal.

Andi Kamarool segera melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali kali.

Soalan dari saya membuat Kak Sun tersintak dan terdiam. Dari air mukanya dapat saya baca rasa kesal kerana secara tidak sengaja dia menyebut nama Haji Simpul.

Menyedari situasi Kak Sun yang serba tidak kena itu, Andi Kamarool segera mengemukakan pertanyaan.

"Boleh kak bawa kami jumpa dengannya?"

"Nak buat apa?" sepasang biji mata Kak Sun terbeliak besar macam biji mata getah, merauti wajah saya dan Andi Kamarool.

Saya terus tersenyum. Tidak disangka Kak Sun yang agak pendiam itu memiliki karakter yang melucukan.

"Bukan apa-apa, saya cuma nak tanya rahsia diri dan keluarga Mia. Bila saya dah tahu rahsia keturunan ini, saya nak jadikan Mia yang cantik itu isteri saya, Kak Sun," usik Andi Kamarool.

Saya ketawa terkikih, satu pertanyaan yang kira sungguh lucu dari Andi Kamarool.

Perkara yang saya anggap lucu itu, adalah sesuatu yang serius untuk kak Sun. Dia tidak mengira itu adalah sebuah gurauan.

Apa yang lahir dari mulut Andi Kamarool adalah perkara benar yang tidak boleh dikira sebagai perkara remeh-temeh, demikian tanggapan Kak Sun.

Kak Sun segera bangun. Berjalan mundar mandir di depan kami. Dua tiga kali dia menggosok hujung dagu dengan jari telunjuk.

Dia betul- betul resah. Sesekali dia dongak ke arah dahan dan dedaun pokok besar untuk beberapa detik.

Dari situ pandangan dialihkan ke arah awan gemawan yang bergerak lembut menuju ke arah barat daya.

Tiba-tiba dengan cara mengejut dia duduk kembali di bangku, lalu mata besarnya menatap tubuh Andi Kamarool, dari bawah ke atas perkara itu diulanginya berkali-kali. Saya pula jadi resah.

"Aku ingat kau tak payah jumpa dia, Andi."

"Kenapa pula kak?"

"Kalau setakat nak tahu rahsia, macam mana nak kahwin dengan Mia, aku boleh terangkan. Haji Simpul dah cakap pada aku Andi."

"Bila dia cakap dengan kak? Minggu sudah atau sebulan yang sudah?"

"Lama dulu, semasa si Badrul dari kampung Bangko mahu masuk meminang Mia. Masa itulah, kak dengar Haji Simpul menasihati Badrul mencari anak dara lain di tanah Kerinci ini."

"Sebabnya kak?" soal Andi kamarool lagi.

"Bukan apa-apa, Mia dan Badrul tak selari, tak serasi hidup sebumbung.

Kata-kata yang terpancut dari kelopak bibir Kak Sun membuat saya dan Andi Kamarool termenung sejenak. Kak Sun menyedari perubahan yang terjadi kepada kami berdua.

Dia seperti tidak berminat untuk meneruskan cerita, jika kami tidak berusaha memperlihatkan kesungguhan, sudah pasti Kak Sun menyambung kembali percakapan yang terputus.

"Apa maksud Haji Simpul bercakap macam tu, tak baik menggagalkan orang yang nak mendirikan masjid," saya cuba menghidupkan kembali suasana yang sudah menjadi dingin.

Andi Kamarool anggukkan kepala, setuju dengan apa yang saya luahkan. Sementara itu Kak Sun tersenyum panjang.

Dua tiga kali dia menepis lalat hijau yang berpusing-pusing di depan mukanya dengan telapak tangan kiri sambil merungut.

Apa yang dirungutnya tidak dapat saya dengar dengan jelas.

"Haji Simpul tidak sejahat tu, cakap dan tegurannya bersebab. Maklumlah cakap orang tua yang banyak pengalaman, sudah mengenali luar dalam tentang keluarga Mia," nampaknya bersungguh-sungguh benar Kak Sun mempertahankan manusia yang bernama Haji Simpul itu.

Biji matanya tetap ke arah wajah saya dan Andi Kamarool. Seolah-olah mahu membaca apa yang yang tersirat di sanubari kami berdua melalui wajah.

Kerana ada kesungguhan dan minat yang mendalam membuat kami serius dengan apa yang dicakapkannya.

Kelopak mata kami tidak berkedip, taktik yang kami lakukan itu berhasil sehingga tidak menimbulkan sebarang kecurigaan di hati Kak Sun.

"Anak cucu orang yang keturunan dengan datuk nenek Mia saja yang boleh menikah dengan Mia. Orang yang tak seketurunan kalau kahwin dengan Mia boleh mendatangkan kesusahan.

"Paling tidak rumahtangga mereka tidak aman, saling bercakaran, tak boleh dapat keturunan. Paling dahsyat si suami jadi kurus kering dan akhirnya mati tanpa dapat dikesan jenis penyakitnya," lanjut Kak Sun membuat bulu roma saya berdiri.

"Tapi....." saya tidak dapat meneruskan percakapan.

"Tapi apa Tamar, cakaplah," sergah Kak Sun.

"Perkara yang mustahil, keturunan datuk nenek Mia bukan Tuhan yang boleh menentukan kebahagiaan dan kecelakaan orang lain," sanggah Andi Kamarool,

"Huuuuuuu... tentang itu aku tak tahu, tapi itulah yang dicakapkan orang-orang tua yang sebaya dengan Haji Simpul. Itulah sebabnya orang tak berani masuk meminang Mia," kali ini nada suara Kak Sun agak keras.

Saya kira dia mula marah. Bila pendapatnya dipertikaikan. Jelingan cukup tajam menyelinap ke arah saya dan Andi Kamarool. Kami menyedari yang Kak Sun tersinggung.

Saya dan Andi Kamarool membisu seketika. Masing-masing merenung rerumput di bumi.

Kak Sun menajamkan sepasang bibirnya ke depan sambil matanya merenung ke arah bebunga orkid di bangsal.

Suasana terasa agak sepi, kicau burung tidak kedengaran begitu juga desiran dedaun, angin bagaikan enggan bertiup.

Bila saya merasakan kemarahan Kak Sun mula menurun, saya segera bersuara.

"lya, saya setuju. Kalau dah orang-orang tua kata macam tu. Ertinya perkara itu betullah."

Saya lihat air muka Kak Sun berubah menjadi riang. Tidak muncung macam tadi, malah dia cuba tersenyum.

"Kita ni orang terkemudian, kena percaya dengan cakap orang yang terdahulu," tambahnya.

"Betul tu Kak Sun," sahut Andi Kamarool.

Senyum Kak Sun bertambah lebar. Jari-jemari tangan kanannya memukul bilah-bilah buluh di depannya. Dia benar-benar berada di puncak kegirangan.

"Orang macam mana yang boleh jadi suami Mia, Kak Sun?" soal saya.

Kak Sun menggigit lidah. Dahinya berkerut. Dia renung kiri, renung kanan. Kemudian menarik dan melepaskan nafas dengan teratur.

Matanya tetap merenung ke arah bunga orkid yang berjuntaian. Macam ada sesuatu yang bermain daiam tempurung kepalanya.

"Orang macam mana yang boleh jadi suami Mia kak?" ulang saya lagi.

Agak keberatan Kak Sun menjawab pertanyaan yang saya ajukan itu.

"Kata Haji Simpul," Kak Sun mula bersedia menghilangkan keraguan dalam hati.

"Orang dari keturunan manusia harimau saja yang layak jadi suaminya. Orang-orang tua disini masa dulu, suka sangat mendampingi binatang secara ghaib.

"Binatang-binatang itu dijadikan sebagai suruhan untuk menjaga kepentingan keturunannya. Inilah satu-satunya keistimewaan orang-orang tua di Kerinci masa dulu, Tamar," sambung Kak Sun.

"Pelik, mana ada manusia berasal dari harimau," bantah saya.

"Hei! Harimau jadi-jadianlah, sejak turun temurun."

"Ertinya kalau begitu, bersahabat dengan makhluk jin yang tidak diketahui sama ada jin itu Islam atau kafir," saya terus berhujah dengan Kak Sun. Andi Kamarool hanya diam saja.

Saya tidak tahu, apakah cara yang saya lakukan itu disenangi oleh Andi Kamarool.

"Kamu terlalu banyak cerita Tamar. Soal jin, soal syaitan aku tak tahu."

"Tapi, perkara macam tu selalu dicakapkan di sini. Kepercayaan tu terus kekal sampai sekarang, betul atau tidak bukan soalnya.

"Pokoknya, orang-orang di sini percaya dengan semuanya tu. Itu fasal Mia tak kahwin sampai sekarang," Kak Sun renung biji mata saya.

"Macam mana dengan abang Mia? Dia beristerikan orang seketurunan dengan datuk neneknya?" tanya saya lagi.

"Tidak."

"Kalau begitu, sudah tentu rumahtangga mereka tak bahagia. Porak peranda."

"Perkara tu aku tak tau. Menurut Haji Simpul, orang lelaki keturunan manusia harimau, boleh berkahwin dengan perempuan bukan keturunan manusia harimau."

"Kenapa begitu, semuanya ni merepek," saya tidak dapat mengawal perasaan.

Nada suara saya cukup keras. Saya tidak mahu memikirkan apakah sikap saya itu menyinggung perasaan Kak Sun. Saya sudah banyak mengalah.

Sebelum keadaan menjadi lebih gawat lagi, Andi Kamarool terus menepuk bahu kanan saya dua tiga kali. Muka Andi Kamarool saya tentang.

"Tamar, kamu mesti mendengar apa yang Kak Sun cakap. Dia lebih tahu tentang hal ni. Dia orang di sini," kata-kata oleh Andi Kamarool dapat menurunkan tahap kemarahan dan saya dapat mengawal perasaan dengan sebaik mungkin.

Saya segera minta maaf kepada Kak Sun. Sungguh mengejutkan Kak Sun tidak terasa hati dengan sikap yang saya tunjukkan itu.

"Tak merepek Tamar, ada alasannya. Anak dara manusia keturunan harimau ganas, cepat panas darah.

"Bila suaminya dari keturunan yang sama, dia tidak boleh buat sebarangan kerana kuasa ghaib suaminya.

"Kalau panas sama panas, ertinya sama-sama kuat, mereka kadang-kadang tak dapat keturunan," begitu bersahaja Kak Sun bersuara.

"Pelik sungguh," sungut saya.

"Makin lama kau hidup, makin banyak perkara pelik yang kau lihat dan kau dengar. Manusia itu sendiri sebenarnya memang pelik," saya tersenyum.

Kak Sun seperti berfalsafah. Andi Kamarool terus mengelamun. Entah apa yang difikirnya, sukar untuk saya teka.

Tiba-tiba Andi Kamarool bangun. Berdiri lurus, kemudian menggeliat ke kiri dan ke kanan. Barangkali, dia mahu menghilangkan rasa lenguh di seluruh sendi tubuh.

"Bagaimana mahu tahu, seseorang tu dari keturunan manusia harimau?" secara mendadak saja Andi Kamarool mengajukan pertanyaan untuk Kak Sun.

"Bila jumpa Haji Simpul, apakah dia boleh menentukan seseorang itu dari keturunan manusia harimau?" datang pula pertanyaan dari saya.

Pertanyaan yang bertalu-talu itu tidak pula membuat Kak Sun kelam kabut Dia nampak tenang.

"Ada tanda-tanda tertentu, kalau susah mencari tanda-tanda tu, jumpa Haji Simpul. Dengan sekali pandang saja dia boleh kenal sama ada seseorang itu dari keturunan manusia harimau," dua pertanyaan yang dikemukakan dijawab oleh Kak Sun sekali gus.

"Antara tanda-tanda lelaki dari keturunan manusia harimau tentu ada yang kak tahu?" saya renung muka Kak Sun.

Dia termenung sejenak.

"Tak banyak, sikit, mesti ada yang Haji Simpul cakapkan pada Kak Sun," susul Andi Kamarool.

"Antara tanda-tandanya, alur bibirnya terlalu dalam. Jika bermisai, sebelah kiri dan kanan, keras dan luar biasa panjangnya, walaupun dipotong setiap hari, tetap panjang.

"Sekelompok rambut di tengah ubun-ubun berwarna kemerahan berbelang putih hitam. Bila marah selalu mahu menggaru dinding-dinding atau mencakar tanah sambil mengeluarkan suara menderam dan pada masa itu bahu di kiri kanan pipi bertukar menjadi lebat dan bulu roma di muka terus bermunculan.

"Bila tidur malam berdengkurnya macam kucing mahu bergaduh."

"Terima kasih Kak Sun," kata saya sebaik saja Kak Sun berhenti bercakap.

Dia terus tersenyum tetapi, matanya terpaku ke wajah Andi Kamarool, macam ada sesuatu yang dicarinya.

"Apa kamu berdua ada tanda-tanda yang aku sebutkan tadi?"

"Saya tak ada."

"Macam mana dengan kamu Andi?"

"Saya tak tahu apa nak kata, terpulanglah pada Kak Sun," jawab Andi Kamarool dan disambut oleh Kak Sun dengan ketawa panjang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 175/284

BACA: SBDJ Siri 174: Gadis Muncul Waktu Subuh
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Individu GILA KERJA Ada Masalah Mental!

Individu GILA KERJA Ada Masalah Mental!

Adakah anda tahu sekiranya seorang yang gila kerja yang dalam bahasa Inggeris lebih dikenali dengan nama workaholic, bermaksud anda terlalu taksub dan sibuk bekerja seolah-olah sudah ketagih dengan pekerjaan tersebut.

GILA KERJA

Ia adalah satu keadaan di mana anda tidak boleh mengawal diri daripada terus bekerja sepanjang masa dan ketagihan bekerja atau gila kerja ini adalah salah satu daripada gangguan kesihatan mental.

Punca gila kerja?

Kebanyakan daripada keadaan gila kerja ini berpunca daripada paksaan yang dilakukan ke atas diri sendiri bagi mencapai kejayaan atau status dalam pekerjaan.

Ada juga punca di mana ia bagi mengelakkan diri daripada mengalami stres atau tekanan yang berkaitan dengan emosi.

Tetapi kebanyakannya berpunca daripada keinginan untuk mendapatkan kejayaan yang cemerlang dalam sesuatu tugasan yang diberikan.

Percaya atau tidak, mereka yang mengalami ketagihan gila kerja juga boleh mengalami ‘high’ seperti penagih dadah.

Mereka tidak sedar bahawa mereka sedang mengalami keadaan tersebut.

Tetapi salah satu tanda bahawa mereka telah sampai ke tahap itu ialah, mereka kerap mengulangi tabiat gila kerja ini sehingga tidak mampu untuk menghentikannya.

Tanda-tanda jika seseorang itu ketagihan atau gila kerja

Terdapat 11 tanda umum yang boleh menentukan sama ada anda adalah seorang yang terlalu sibuk bekerja atau tidak:

1. Tiada masa bersama keluarga

Pernahkah ahli keluarga anda menyatakan bahawa anda terlalu sibuk bekerja? Atau mereka rasa terabai?

Jika pernah, itu adalah salah satu tanda bahawa anda terlalu sibuk bekerja. Anda mungkin memberikan alasan bahawa anda mendapat tekanan untuk mencapai sasaran prestasi tugasan.

Tetapi anda tidak sedar bahawa banyak masa anda hanya dihabiskan dengan bekerja sehingga amat jarang melakukan aktiviti bersama keluarga.

2. Kerap melihat email kerja di mana-mana

Dengan kemudahan teknologi dan juga sambungan internet, kini tugas kerja boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Namun, anda mungkin tidak sedar bahawa anda menggunakan kemudahan ini dengan kerap ‘bersama’ tugas kerja anda tanpa mengira masa dan tempat.

Sebagai contoh, anda memeriksa email kerja walaupun pada ketika anda sedang berehat, baring atau hendak tidur.

Anda juga mungkin memeriksa email atau tugasan anda sewaktu membuang air di dalam tandas.

3. Rumah juga menjadi pejabat anda

Kebiasaan waktu bekerja hanyalah antara 8 ke 9 jam sehari.

Namun, bagi mereka yang sibuk bekerja sehingga mengalami ketagihan, tugas kerja dibawa pulang ke rumah dan disambung sehingga waktu tidur. Tabiat ini diulang-ulang setiap hari tanpa disedari.

Anda juga kerap melihat telefon bimbit, tablet mahupun komputer riba di mana-mana sahaja walaupun ketika di meja makan.

4. Tidak wujud keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan

Sepatutnya, apabila telah pulang ke rumah, apa yang perlu anda lakukan ialah berehat dan menikmati masa bersama keluarga.

Banyak perkara boleh dilakukan di rumah seperti menonton televisyen, bersenam, berkebun, memasak dan pelbagai lagi.

Namun, jika sudah terlalu ketagih bekerja, kesemua perkara ini tidak lagi dilakukan.

Anda tidak lagi menonton televisyen bersama ahli keluarga atau melancong bersama rakan. Apa yang anda fikirkan hanyalah kerja, kerja dan kerja.

5. Tidak mengambil cuti tahunan

Individu lain mungkin gembira ketika mengambil cuti tahunan, tetapi tidak bagi anda.

Apa yang anda fikirkan ialah, kerja yang semakin bertimbun atau risau jika rakan sekerja mencari anda untuk tugasan kerja.

Hasilnya, anda takut untuk mengambil cuti tahunan dan terus bekerja sehingga akhir tahun.

Apa yang perlu dilakukan adalah, menggantikan individu lain untuk melakukan kerja bagi pihak anda buat sementara waktu.

Dengan itu, anda dapat mengambil cuti dan berehat dengan tenang tanpa risau.

Selain itu, anda juga mungkin akan mengalami perkara-perkara seperti berikut:
  • Kerap mencari lebih banyak masa terluang untuk melakukan kerja, bukan untuk berehat.
  • Bekerja dengan tujuan menunjukkan kebolehan anda walaupun anda sendiri rasa terbeban dan tidak berkemampuan.
  • Tidak mengurangkan tugas kerja walaupun telah disuruh oleh individu lain.
  • Mengalami masalah kesihatan akibat terlalu kuat bekerja seperti insomnia, pertambahan berat badan dan keresahan.
  • Jika mempunyai masa lapang, anda menggunakannya untuk membuat kerja.
  • Kerap berasa resah dan gelisah apabila kerja bertambah, tetapi tetap mahu menyiapkannya.
Semak diri anda kembali

Semak semula diri anda. Adakah anda mengalami satu atau lebih tanda-tanda yang dinyatakan ini?

Jika ya, maka ia bermaksud bahawa anda sedang mengalami ketagihan bekerja atau gila kerja.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hellodoktor

Friday, December 18, 2020

6 Laman Sosial 'Buatan Malaysia' Yang Ramai Tidak Pernah Tahu

6 Laman Sosial 'Buatan Malaysia' Yang Ramai Tidak Pernah Tahu

Menurut statistik, Malaysia merupakan negara ke-9 paling banyak menggunakan menggunakan media sosial jadi, tak hairanlah jika sesebuah kes atau berita itu boleh menjadi tular dengan sepantas kilat.

Dengan adanya Facebook dan Instagram, kini segalanya di hujung jari namun kewujudan media sosial bukanlah baru, malah sudah bertapak di Malaysia sejak tahun 2000 lagi.

Kita juga mempunyai platform media sosial yang tersendiri, namun disebabkan akses internet dan teknologi telefon yang tidak secanggih kini, ia tidak begitu popular.

Kali ini kami ingin kongsikan 6 rangkaian media sosial yang pernah dicipta suatu ketika dahulu, dibangunkan oleh rakyat Malaysia namun gagal memberikan impak dan lenyap begitu sahaja.

1. 1malaysia.com

1malaysia

Penggunaan nama 1Malaysia sememangnya sangat popular di Malaysia dan menjadi satu fenomena dan disebabkan itu, satu laman sosial telah ditubuhkan dengan nama yang serupa iaitu 1Malaysia.com.

Sebelum menjadi laman sosial, ia pada asalnya adalah sebuah blog yang membincangkan berkenaan Malaysia kemudiannya, pemilik laman sesawang ini telah mengubah konsep kepada laman sosial.

Kurang daripada sehari dilancarkan, sebanyak 113 pengguna telah mendaftarkan diri dan trend ini berterusan.

Ia mengetengahkan fungsi-fungsi seperti blog, forum, perkongsian video dan banyak lagi.

Penggunaan nama 1malaysia.com ini juga menarik minat rakyat Malaysia dan mudah diingati disebabkan Perdana Menteri Dato Seri Najib juga menggunakan domain yang sama iaitu 1Malaysia.com.my.

2. dRbuku

dRbuku

Dengan kejayaan Facebook di seluruh dunia, ia telah memberikan inspirasi kepada seorang jutawan produk kesihatan terkenal di Malaysia, Dr. Rozmey untuk melancarkan rangkaian media sosialnya sendiri.

Menurut Dr.Rozmey dalam statusnya, terdapat khabar angin bahawa Facebook bakal ditutup pada 15 Mac 2011 dan tindakannya untuk memajukan DrBook adalah tepat.

Diberikan nama Dr.Book, laman sesawang itu telah dilancarkan pada Oktober 2011 dan mula diguna pakai oleh rakyat Malaysia.

Namun, disebabkan Facebook "masih beroperasi", Dr.Book tidak mendapat sambutan seperti diinginkan.

Selepas kurang dari sebulan dilancarkan, DrBuku melalui penjenamaan semula yang diberi nama baru iaitu DrBuku.

Pendaftaran akaun dipermudahkan yang boleh menggunakan akaun sedia ada termasuklah Facebook, Windows Live, FourSquare, Yahoo!, Myspace, Google, Friendster, Wordpress dan lain-lain.

Statistik yang diperoleh juga tidak begitu memberangsangkan ketika itu dengan hanya 2,700 ahli berdaftar, 1,400 perkongsian video dan 11,700 perkongsian gambar.

Promosi DrBuku juga tidak begitu menyeluruh membuatkan laman sesawang ini terus tidak dikenali.

Kini domain DrBuku.com diambil alih oleh laman sesawang dari China.

3. myfriends2u

myfriends2u

Sama seperti laman-laman sosial Malaysia yang lain, myfriends2u.com ditubuhkan dengan harapan memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk berhubung antara satu sama lain.

Dibangunkan pada Jun 2010 oleh sebuah syarikat tempatan iaitu Netxpert Sdn. Bhd., laman sosial ini membawa sedikit kelainan berbanding pencabarnya, iaitu Marketplace.

Ia memudahkan para pengguna untuk membuat transaksi jual beli terus dari laman ini.

Menurut CEO syarikat ini iaitu Che Onn Ismail, myfriends2u.com merupakan satu inisiatif Netxpert untuk menyatukan komuniti Malaysia dan Asia dalam satu portal buatan anak tempatan.

Ia juga menawarkan segmen MyCareer yang membolehkan pengguna terutamanya golongan graduan mencari pekerjaan secara lebih berkesan.

Juga, sesiapa yang mempunyai tempat menarik untuk dikongsi bersama pengguna lain boleh mempromosikannya melalui segmen Myplaces.

Setelah setahun beroperasi, laman ini mempunyai kira-kira 50,000 pengguna yang mana jumlah ini boleh dikatakan sangat tinggi pada ketika itu.

Namun, tidak dinafikan kehadiran myfriends2u.com tidak dapat mencabar impak yang dibawa Facebook yang ketika itu mula mendapat perhatian dunia.

4. Warisan.net

Dibangunkan oleh saudara Megat Najmuddin yang berasal dari Shah Alam pada Julai 2014, warisan.net adalah sebuah laman sosial yang menyerupai Facebook dan ditubuhkan pada tahun 2003, setahun sebelum Facebook dilancarkan.

Tujuannya adalah memberikan platform kepada rakyat Malaysia untuk berhubung antara satu sama lain dengan lebih mudah.

Ia bukan sahaja semata-mata laman sosial tetapi juga tempat berkongsi berita dan manfaat, juga menawarkan ruang chatting, blog, forum dan permainan video.

Namun, ia tidak kelihatan seperti tidak memberikan sebarang impak kepada rakyat Malaysia yang ketika itu lebih menggunakan Myspace dan Friendster.

5. Kampungchat.com

Kampungchat

Ditubuhkan pada tahun 2002, kampungchat.com merupakan laman sesawang yang paling popular di Malaysia satu ketika dahulu.

Ia merupakan sebuah laman web interaktif yang membolehkan sekumpukan orang berkomunikasi dan bertukar maklumat. Perkhidmatan ini dibawa oleh KampungChat Enterprise.

Moto kampungchat adalah memberikan persekitaran berborak yang tenang dan terbaik kepada pengguna.

Sasaran utama Kampungchat adalah remaja dan orang dewasa yang berkongsi keperluan bersama iaitu berbincang, mencari kawan baru, berkongsi gambar dan bermacam lagi.

Kampungchat.com bertahan untuk beberapa ketika dan menjadi pilihan golongan muda di Malaysia.

Kini kampungchat.com telah menggunakan domain yang baru iaitu www.kampungchat.org.my.

6. e-kawan

e-kawan

E-Kawan adalah salah satu komuniti mobile di Malaysia dan merupakan satu komuniti untuk mencari rakan, berkongsi gambar-gambar, bertukar-tukar blog, berkongsi minat, merancang aktiviti, mencari teman hidup dan memperkembangkan rangkaian teman-teman dan rakan-rakan anda melalui SMS, MMS, WAP, 3G dan juga Internet.

E-Kawan menggunakan perisian rangkaian sosial MatchLogix(c), pelantar mobile disediakan oleh Nextnation Interactive yang merupakan antara penyedia solusi mobile Multimedia di Asia Tenggara.

Seperti laman sosial yang lain, e-kawan tidak dapat bertahan lama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Balasannya Syurga Bagi Mereka Yang Memaafkan Orang Lain

Balasannya Syurga Bagi Mereka Yang Memaafkan Orang Lain

Memaafkan memang sangat sukar dilakukan. Biasanya apabila seorang itu dizalimi atau disakiti, pasti dia mahu membalasnya. Tidak ada yang boleh melakukan sifat pemaaf kecuali mereka yang mempunyai keimanan tinggi.

Maaf

Sabda Nabi SAW, orang yang dekat dengannya pada hari kiamat kelak adalah orang yang berakhlak mulia. Oleh itu, janganlah kita mengabaikan sifat memaafkan ini.

Ulama menyatakan, perkara paling memudahkan seseorang masuk ke dalam syurga selepas perkara tauhid adalah memiliki akhlak yang mulia.

Begitulah sebaliknya, perkara yang memudahkan seseorang itu masuk ke neraka selepas syirik kepada Allah adalah golongan berakhlak jelik dan buruk.

Apabila mampu memaafkan kesalahan orang lain, maka seseorang itu sudah mencapai darjat ihsan.

Pastinya kita pernah melalui pengalaman mungkin pernah dihina atau dimalukan sehingga menjatuhkan maruah.

Jika hendak diikutkan perasaan, mahu sahaja dibalas semula perlakuan itu. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, apabila tiba-tiba ia terlintas di fikiran membuatkan diri rasa tidak senang hati.

Bagaimanapun, sebagai seorang Muslim yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, kita digalakkan untuk memaafkan terutama apabila individu yang melakukan kesalahan itu menghulurkan kemaafan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha penyayang." (Surah an-Nuur, ayat 22)

Jangan bertangguh untuk bermaafan selain buang sifat ego masing-masing. Harus berlapang dada untuk memaafkan.

Dalam satu sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barangsiapa yang didatangi saudaranya yang hendak meminta maaf, hendaklah memaafkannya, apakah ia berada di pihak yang benar atau yang salah, apabila tidak melakukan hal itu (memaafkan), nescaya tidak akan mendatangi telagaku (di akhirat)." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Jadilah kita seorang pemaaf. Apabila itu berlaku, pastinya tiada perasaan seseorang untuk membalas dendam.

Bukan juga termasuk dalam kategori pemaaf seandainya sudah memberi maaf, namun di hati masih bersarang rasa kesal dan benci.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik." (Surah Ali-Imran, ayat 133-134)

Maaf

Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik untuk menggambarkan sifat pemaaf. Sifat itu dipamerkan menerusi ucapan atau tindakan Baginda.

Terdapat satu kisah berlaku selepas Perang Uhud yang menunjukkan bagaimana sikap pemaaf Nabi SAW.

Sebahagian sahabat meminta Baginda mendoakan kecelakaan ke atas golongan kafir Quraisy. Ketika itu, wajah Nabi luka dan sebatang giginya patah.

Baginda SAW menolak permintaan sahabat itu lalu berkata: "Sesungguhnya saya diutus bukan sebagai tukang laknat. Tetapi saya diutus untuk menjadi pendakwah dan penyebar kasih sayang. Ya Allah, ampunilah kaumku. Sesungguhnya mereka tidak punya pengetahuan." (Al-Jami’ ash- Sahih, 1/176)

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Surah AliImran: Ayat 133-134)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:


sumber: hmetro

Vaksin Pfizer Covid-19 Berkesan 95 Peratus!

Vaksin Pfizer Covid-19 Berkesan 95 Peratus!

Pemilihan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer oleh kerajaan Malaysia, adalah berdasarkan laporan interim ujian klinikal yang menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus dalam mencegah jangkitan wabak itu.

Vaksin Pfizer

Laporan interim ujian itu telah diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember 2020 lalu, malah kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanan vaksin itu.

Vaksin ini juga telah mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin itu di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu, Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan sebelum ini, sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa tiga ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok sehingga 70 peratus jumlah populasi negara.

Vaksin Covid-19: Agama tuntut cegah penularan wabak

Pengambilan vaksin penting dan menjadi langkah pencegahan yang dituntut mana-mana agama untuk mengelakkan penularan penyakit atau wabak seperti Covid-19 menjejaskan populasi manusia, kata pemimpin agama.

Mereka senada berpendapat, pengambilan vaksin itu adalah sifat yang dituntut dan dikategorikan sebagai amalan baik untuk menjaga kesihatan diri sendiri, orang sekeliling, masyarakat, dan negara.

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah berkata pandemik Covid-19 itu berisiko tinggi membawa mudarat kepada orang Islam justeru langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak ia terus menular dan membahayakan.

"Seperti kita tahu, tiada lagi undang-undang khusus agar pengambilan vaksin (apabila ada di pasaran) itu jatuh sebagai hukum wajib. Jadi kita kena bergerak dalam rangka undang-undang.

"Vaksin itu harus, tapi digalakkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai keperluan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Kalau penggambilan atau penggunaan vaksin itu tidak diutamakan, akan wujud kemungkinan hadirnya penyakit lain, yang dibimbangi akan membawa keseriusan atau masalah yang sama seperti Covid-19.

"Jadi apabila ada vaksin, ia akan membanteras perkara itu dari berlaku. Pencegahan dituntut dalam agama," katanya.

Penting dari sumber halal

Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja berhubung fatwa penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai hal itu telah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Vaksin Covid-19 juga akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia, manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan KKM.

Pada masa yang sama kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin itu sebaliknya hanya diberikan kepada mereka yang bersetuju untuk mengambilnya secara sukarela, terutama golongan berisiko dan mudah menghidapi penyakit.

Luqman yang juga bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata, perlu dipastikan juga sumber vaksin itu dari bahan yang halal dan diperakui KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), bagi mengelakkan berlakunya polemik berpanjangan.

"Kerana itu pentingnya saintis Muslim seluruh dunia menggerakkan usaha mencipta vaksin 100 peratus dari bahan atau sumber yang halal, agar tidak lagi menjadi pendebatan.

"Sumber yang halal itu penting kerana adalah perkara pokok yang akan menjadi buah mulut kita semua.

“Selain itu, perlu dipastikan juga ia tiada kesan sampingan atau negatif kepada penerima vaksin,” katanya.

Penerimaan vaksin dari sumber lain (tidak halal) dibenarkan mengikut kesesuaian dan keadaan tertentu sahaja, asalkan ia tidak menyimpang daripada syariat Islam yang jelas mementingkan maslahat manusia di dunia dan akhirat.

Jadikan dunia lebih selamat

Presiden Malaysia Hindu Sangam RS Mohan Shan berkata pengambilan vaksin itu mesti diambil dan perlu diutamakan kerana ia amalan yang baik untuk kesejahteraan hidup seseorang tanpa mengira agama, bangsa, dan negara.

"Ia adalah langkah yang penting untuk kesihatan. Manusia yang baik ialah orang yang tidak menyusahkan orang lain dan tidak mementingkan diri, malah berfikiran sebagai seorang yang rakyat yang pentingkan negara berbanding diri sendiri.

"Janganlah mati sia-sia disebabkan Covid-19. Kita perlu utamakan kesihatan dan pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan yang terbaik," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Dhammaduta Malaysia Sister Loh Pai Ling berkata menurut Buddha, amalan berbuat baik dan mengelak kejahatan itu penting.

Justeru katanya, pengambilan vaksin yang memberi kesan yang baik untuk seseorang individu dan juga masyarakat adalah termasuk dalam amalan tersebut.

Jelasnya, ketika negara dan dunia sedang mengalami pandemik Covid-19, kehadiran vaksin mampu menjadikan dunia selamat, sihat dan stabil untuk didiami.

"Kita perlu ada niat yang suci murni dan tujuan yang baik untuk menjadikan negara atau dunia dengan komuniti yang selamat (aman bebas dari pandemik), sihat dan stabil, dapat dicapai dengan sempurna.

"Bagaimanapun, mereka yang enggan menerima atau menolak pengambilan vaksin (atas apa jua alasan/sebab), mesti mengikut prosedur operasi standard, sama ada untuk diri mereka sendiri atau komuniti rapat yang mempunyai hubungan dengan mereka," tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Sardar Jagir Singh berkata dari segi agama Sikh, tiada larangan untuk pengambilan vaksin sebagai langkah untuk memelihara diri daripada ancaman Covid-19.

"Penting juga bagi masyarakat mengambil vaksin untuk keselamatan diri dan juga bagi kebaikan serta keselamatan masyarakat.

"Jika kita tak mahu mengambilnya maka kita akan mengancam diri sendiri dan mengancam keselamatan masyarakat dan keluarga," tambahnya.

Alahan Teruk

Sementara itu, individu dengan alahan teruk mungkin dilarang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 yang dihasilkan firma Pfizer dan BioNTech.

Amaran tersebut disampaikan oleh saintis pemerintah yang juga penasihat utama program vaksin dan rawatan Covid di Amerika, Dr Moncef Slaoui.

Dr Slaoui berkata, "Pesakit dengan alahan teruk telah dikecualikan daripada menjalani uji kaji klinikal. Saya jangkakan, disebabkan FDA akan membuat keputusan, perkara ini akan dipertimbangkan.

"Jangkaannya ialah, pesakit dengan alahan teruk akan diminta supaya tidak mendapatkan suntikan itu sehingga kami betul-betul memahami kedudukan perkara sebenar."

Menurut laporan Reuters, Agensi Kawalan Produk Ubat-Ubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) mencatat dan menyiasat dua kes alahan teruk (anafilaksis) dan satu kes yang mungkin menunjukkan alahan ekoran program suntikan Covid-19 di Britain dan beberapa kes di seluruh dunia.

Anafilaksis berlaku ekoran tindak balas daya ketahanan tubuh manusia yang boleh menjadi teruk dan ada kalanya membawa maut. Pihak Pfizer dan BioNTech menyokong siasatan MHRA.

Sehubungan itu, FDA mungkin akan meminta pembekal supaya memerhatikan sama ada penerima vaksin akan menghadapi sakit lumpuh pada wajah yang dinamakan palsi Bell atau tidak.

Palsi Bell secara am jarang berlaku, bersifat sementara dan tidak serius.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2 | 3

SBDJ Siri 174: Gadis Muncul Waktu Subuh

SBDJ Siri 174: Gadis Muncul Waktu Subuh

Dan Samion pun mengungkapkan, dari mulut beberapa orang-orang penduduk kampung berdekatan, dia memperolehi sumber yang mengatakan rumah batu lama itu, asalnya milik orang China yang pada zaman penjajah (Belanda) dianggap oleh beberapa pihak sebagai tokoh perniagaan terkaya di Asia Tenggara pada masa itu.

Toyol jadi-jadian


Memiliki ladang getah, cengkih, pala, di samping menjalankan perniagaan gula secara besar-besaran.

Sering berulang-alik ke Singapura, Pulau Pinang dan Hong Kong demi urusan pemiagaannya.

Saudagar China itu mula berdepan dengan zaman gelapnya, bila dua orang anak lelakinya yang diharapkan membesarkan perniagaan ditangkap Belanda.

"Kedua-dua anak saudagar itu dituduh membantu perjuangan penduduk tempatan menentang Belanda. Kedua-duanya ditembak mati.

"Tak cukup dengan itu, isterinya pula diserang demam malaria dan terus mati," kata Samion dengan wajah yang sedih.

Kerana saudagar China itu berkawan baik dengan keluarga Mia, segala harta tanah, rumah dijualkan kepada keluarga Mia.

Dan si Cina kaya yang malang itu berhijrah ke Pulau Pinang dan meninggal dunia di pulau tersebut.

Cara Samion menyampaikan cerita, sungguh menarik membuat kami tidak bosan mendengarnya.

"Panjang juga sejarahnya rumah itu," kata saya, Samion tersenyum.

"Ada tak cerita lain yang pelik-pelik," susul Andi Kamarool.

"Kamu berdua cari sendirilah, khabarnya kamu nak bermalam di rumah ni."

"Betul pak cik tapi, sebelum tu kami nak tahu hal-hal yang ganjil," tingkah saya.

Samion telan air liur. Termenung panjang, macam ada sesuatu yang difikirkan.

"Kamu berdua pergi tanya mandur. Dia pernah bermalam di anjung rumah itu. Dia nak jumpa pengawal rumah, nak minta harta. Dia nak jadi kaya. Pergi tanya dia apa yang terjadi," Samion mengakhiri kata-kata dengan ketawa terkikih.

Tindak-tanduknya membuat kami tidak sabar untuk mengetahui cerita selanjutnya.

"Ceritakanlah pak cik," desak saya.

"Tanya mandur," jawabnya.

Samion segera bangun dan meninggalkan kami

MENGEJUT

Keputusan mengejut dari Samion membuat saya dan Andi Kamarool termangu-mangu.

Wajarkah Samion diburu dan memaksa dia bercerita tentang apa saja peristiwa ganjil yang dialaminya semasa mejadi 'jaga' rumah batu itu?

Perlukah mencari mandur serta memaksa dia meluahkan pengalamannya untuk renungan kami? Atau melupakan saja tentang Samion dan mandur. Semuanya berlegar-legar dalam benak saya.

"Kita memerlukan keterangan dari orang lain untuk panduan, kita tak boleh melulu buat kerja ni. Kalau ada datuk kamu dan Haji Basilam lainlah, ada tempat mengadu dan minta tolong," Andi Kamarool meluahkan keraguannya. Wajahnya nampak gusar.

Saya merenung rerumput di halaman yang luas saujana mata memandang. Embun di hujung rumput sudah hilang, kicau burung juga beransur kurang.

"Kalau begitu Andi, kita cari mandur,"

Andi Kamarool tidak membantah dengan cadangan yang saya kemukakan.

Di tengah-tengah sinar matahari yang beransur keras menyengat itu, kami pun mengesan dan temui mandur sedang bersandar di pangkal pokok angsana merehatkan tubuh dan fikiran sambil menghisap paip bengkok.

"Ada apa yang boleh saya tolong," tegur mandur ramah sekali.

Tanpa banyak cakap kami terus duduk atas batang buruk berdepan dengannya. Kami tatap wajahnya yang masih ada kesan peluh.

"Dengar cerita kamu nak tidur di anjung rumah Mia."

"Mana mandur tahu?" tanya saya.

"Si Harisun pembantu rumah Mia yang cakap pada aku secara sulit. Kalau Mia tahu perkara ni lepas keluar, si Harisun tentu dihalaunya dari rumah. Diberhentikan kerja."

Andi Kamarool tidak memberi apa-apa komen tetapi, saya kesal dengan Mia dan rasa marah terus meluap terhadapnya. Kenapa perkara itu mesti diceritakan kepada Kak Sun.

Dan mulut luas Kak Sun sudah mengkhabarkan perkara itu kepada mandur. Memang orang perempuan jahat mulut. Tidak pandai simpan rahsia. Suka sampai menyampai, keluh hati kecil saya.

Sesungguhnya apa yang saya kira rahsia, sebenarnya sudah tidak menjadi rahsia lagi. Entah berapa ramai manusia di sekeliling Mia yang mengetahui tujuan dan cita-cita kami menginap di sini.

"Bagus kamu berdua cubalah dan rasalah sendiri."

Saya tersintak dari lamunan. Batang hidung mandur saya renung. Sepintas lalu, kata-kata yang diluahkan oleh mandur itu mengandungi unsur-unsur menyindir.

Boleh melemahkan semangat, kalau di terima secara negatif, kalau diterima secara positif, kata-kata itu adalah cabaran yang mesti dihasut.

"Mandur pernah tidur di anjung rumah tu?" tanya Andi Kamarool.

Mandur gelengkan kepala.

"Samion kata, mandur pernah pergi ke situ waktu malam?" saya menyoal.

Mandur anggukkan kepala.

"Apa yang mandur dapat?" susul Andi Kamarool.

Mandur terdiam sejenak, dua tiga kali kelopak matanya dipejam celikkan. Sepasang kakinya dilunjurkan.

"Aku mencuba, bila anak buah aku bercakap secara sulit yang mereka selalu melihat perkara aneh di halaman rumah tu. Terutama anak buah aku yang datang awal pagi," mandur terus menghidupkan api paipnya yang mati.

Setelah dua kali menyedut dan meluahkan asap paip, mandur tidak menyambung ceritanya. Dia merenung kosong ke tengah padang (halaman).

"Apa yang anak buah mandur nampak waktu subuh tu?" saya cuba menghidupkan percakapan yang terbantut.

Mandur cabut paip dari mulut, kepala paip diketuk dua tiga kali pada akar angsana hingga sisi tembakau di dalamnya berhamburan keluar.

"Si Manan, tukang kebun. Dia tu orang Tanjung Balai. Sebelum subuh dia sudah sampai ke sini. Kadang-kadang dia sembahyang subuh di kaki lima rumah, kadang-kadang di bawah pokok cempaka besar.

"Suatu hari selepas sembahyang subuh, dia terpandang seorang wanita jelita, berkulit putih bersih.

"Mungkin wanita Cina mengutip bunga-bunga tanjung yang gugur. Bila Manan mahu menegur perempuan itu terus ghaib."

Saya urut dada, senang rasa hati kerana mandur masih mahu bercerita.

"Pengalaman mandur macam mana pula?" saya terus mencungkil rahsia.

Mandur tersenyum, jejarinya terus menyumbat tembakau ke dalam lubang paip. Dua kali sedut, dua kali meluahkan asap ternyata mandur dapat menikmati kepuasan yang tidak terkata. Gerak gerinya kami ikuti penuh teliti.

"Niat aku bukan apa-apa, aku cuma nak jumpa makhluk ghaib kerana nak minta harta. Aku nak jadi kaya," ungkap mandur. Dia masih juga tersenyum panjang.

"Mandur dapat apa yang dihajati?" serius sungguh Andi Kamarool mengajukan pertanyaan. Senyum mandor masih belum putus.

"Kenapa mandur?" rasa ingin tahu saya tidak dapat kawal.

"Aku lari lintang pukang, rasa nak keluar semua isi perut, kayu batu semuanya aku langgar. Akibat takut."

Cerita yang diungkapkan si mandur membuat saya dan Andi Kamarool ketawa terbahak-bahak hingga berair mata.

Dan panas terik yang menggigit tubuh tidak terasa. Memang lucu kisahnya. Mandur juga turut ketawa.

MESRA

Kerana sudah terasa agak mesra, si mandur Batak berkulit hitam, berbadan besar yang didakwa oleh Samion sebagai lelaki yang handal dalam ilmu dunia itu pun bercerita.

Menuruttnya, ada dua sebab yang mendorong dia mengunjungi rumah batu lama itu waktu tengah malam.

Pertama, dia mahu memastikan sama ada cerita orang di bawahnya itu betul atau tidak. Kedua, kalau cerita itu betul, dia mahu menemui makhluk yang merayau-rayau di kawasan itu untuk meminta sesuatu.

Dua perkara itulah yang menyebabkan mandur keluar dari rumahnya (yang terletak kira-kira setengah batu dari rumah Mia) jam dua belas malam.

Masuk ke kawasan rumah tersebut, mandur tidak menghadapi sebarang rintangan atau masalah. Dia terus mundar-mandir di kawasan halaman rumah.

Malam yang dingin memaksa mandur membalut tubuhnya dengan kain tebal. Tidak memadai dengan itu, dia terus memeluk tuhuhnya.

Kerana tidak mahu kedatangannya dikesan oleh sesiapa (terutama Mia) mandur tidak menghisap paip.

Ketika embun jantan mula turun, mandur tidak lagi bergerak sebebas tadi. Dia lebih banyak duduk di bawah pohon cempaka, suasana terasa amat sepi sekali.

Bau harum dari bunga sedap malam terus menusuk lubang hidung. Bagi menghindari rasa mengantuk, mandur minum kopi pahit yang sememang dibawa dari rumahnya.

Mandur beredar dari bawah pokok bunga tanjung. Dia mendekati rumpun pokok bunga sedap malam.

Sudah satu jam masa berlalu, mandur tidak berhadapan dengan perkara- perkara yang aneh seperti yang dialami oleh Samion, si Manan dan beberapa orang lagi anak buahnya.

Mandur mula mengesyaki apa yang didakwa itu memang tidak wujud. Dirinya dipermainkan oleh anak buahnya sendiri.

Secara mendadak saja mandur panas hati. Dia memaki hamun orang yang menyampaikan cerita ganjil kepadanya.

Dia bercadang mahu menempelak tukang cerita pada keesokkan hari. Puncak dari rasa marah itu, mandur terus mematahkan ranting bunga sedap malam yang sedang menyebarkan bau harum sekitar rumah.

Ketika mandur mencampakkan ranting yang dipatahkan itu ke dalam longkang besar di kanannya, dia terasa macam ada sesuatu yang bergerak ke arahnya dari sebelah kanan rumah batu lama. Semua pancaindera mandur tertumpu ke situ.

Cara kebetulan, bulan yang muncul dilarut malam, masih mampu menebarkan cahaya ke sekitar kawasan rumah batu malam.

Mandur renung ke arah perdu pokok bunga tanjung. Dia melihat susuk tubuh orang hitam, tinggi dan besar. Berdiri membelakanginya.

Kerana yakin, apa yang dilihat itu adalah penjaga rumah lama, mandur segera mendekatinya.

Sebaik saja didekati untuk dikenali, orang hitam itu terus ghaib dari pandangannya. Mandur yang keras hati dan bersemangat waja itu yakin orang hitam itu akan menjelma lagi.

Kerana itu dia mengambil keputusan untuk menantinya. Kali ini dia menunggu di bawah pokok bunga cempaka besar.

Bunga cempaka yang mala, berjatuhan menimpa tubuh mandur. Semuanya itu, tidak menggugat keyakinan mandur. Dia terus menanti.

Menjelang subuh, di saat kabus nipis bangkit dari permukaan bumi, mandur terlihat tubuh tanpa kepala dan kaki, bergerak bersama kabus nipis menuju ke arahnya.

Mandur masih menanti tetapi, bila dia melihat tubuh tanpa kepala dan kaki itu sekejap ada, sekejap tiada, mandur hilang pertimbangan. Keberanian dan semangat waja yang dimilikinya terus berkecai.

Mandur tidak sanggup menghadapinya, rancangan untuk memiliki harta punah ranah dari hatinya.

Mandur terus langkah seribu membelah suasana subuh yang dingin menuju ke rumahnya.

"Seminggu aku tak kerja, terbaring di rumah siang malam. Dah tu aku tak dapat tidur langsung.

"Pejam mata saja orang hitam tu datang, aku terpaksa balik ke tanah Batak, ubat cara kampung baru aku boleh tidur," mandur mengakhiri cerita tentang pengalaman yang dilaluinya.

"Dahsyatnya," runggut saya.

"Tak tahulah aku nak kata apa-apa. Tetapi, itulah yang aku rasakan," tambah mandur.

Anak matanya silih berganti menatap muka saya dan Andi Kamarool. Dia bagaikan mahu membaca rahsia hati dari wajah kami.

Dia mahu memastikan apakah kami memang benar-benar mahu melakukannya atau sekadar cakap-cakap saja.

WAKTU

Sebagai orang Islam dan taat menjalankan sembahyang lima waktu, tentu saja saya tidak dapat menerima cerita yang diungkapkan oleh si mandur begitu saja.

Sebagai orang muda, saya mahu mencari buktinya. Bukan apa-apa sekadar mahu mencari kebenaran. Saya kira Andi Kamarool juga sependapat dengan saya.

"Terima kasih mandur," Andi Kamarool bersuara.

Telapak tangan mandur Batak yang beragama Kristian itu digenggamnya erat-erat.

"Cerita mandur boleh dijadikan panduan," kata saya.

"Aku juga fikir begitu, cuma kamu berdua mesti ingat...."

"Ingat apa mandur?" soal saya.

"Jangan cakap besar, jangan cepat marah dan jangan patah pokok bunga sesuka hati semasa kamu mencari benda ganjil."

"Kami tetap ingat pesan mandur tu," muka mandur saya renung.

"Aku harap kamu berdua berjaya."

"Terima kasih mandur," balas kami.

Beberapa saat kemudian, kami pun meninggalkan mandur Batak yang sedang bersenang-senang di bawah pokok.

Dia terus menyedut hujung paip bengkoknya. Bau asap dari paip mandur menguasai kawasan sekitar.

Kerana baru pukul sebelas pagi, rasanya tidak wajar pulang ke rumah papan. Saya tidak tahu apa rencana Andi Kamarool selanjutnya. Saya hanya mengikut saja langkahnya menuju ke rumah batu lama.

"Terlalu awal kita nak makan tengah hari, orang makan tengah hari pukul satu," teguran saya membuat Andi Kamarool berhenti melangkah.

"Aku juga fikir macam tu, habis apa yang kita buat Tamar."

"Begini Andi, kita cari Kak Sun."

"Untuk apa?"

"Dia mesti tahu banyak perkara yang orang lain tak tahu, kita risik rahsia darinya."

Andi Kamarool termenung sebentar. Dia kedutkan bibir sambil merenung ke langit. Melihat awan gemawan yang berarak ke selatan.

"Di mana kita nak cari dia Tamar?"

"Kita cari Samion dulu, tanya dia waktu begini, Kak Sun berada di mana."

"Aku setuju."

Kami pun segera menemui Samion dalam ladang getah. Kedatangan kami membuat buruh ladang itu termenung panjang dengan dahi yang berkerut.

Setelah diceritakan tujuan sebenar kami menemuinya, Samion menarik nafas lega.

Orang tua yang tidak banyak karenah itu menyuruh saya pergi ke bukit kecil, tidak jauh dari kawasan rumah batu lama.

Kata Samion waktu begini, biasanya Kak Sun berada di situ melihat atau menaruh baja ke bunga orkid yang ditempatkan di bangsal khas di situ.

Kami terus ke situ. Ternyata si buruh tua tidak berbohong. Kak Sun kami temui sewaktu dia memotong bunga orkid.

"Buat apa bunga tu kak," tanya saya.

Wajah Kak Sun berubah. Dia renung kami atas bawah, rangkaian bunga di tangan segera dimasukkan ke dalam raga rotan.

"Buat hiasan meja makan, bukankah tengah hari ni kamu berdua makan di rumah Mia."

"lya," balas saya.

"Apa ha!nya kamu ke mari?"

Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Angin yang turun dari puncak bukit memberikan kesegaran. Beburung hutan terus berkicau.

Walaupun hari panas terik, tetapi bahangnya tidak terasa kerana di tempat kami berdiri dikelilingi pepokok besar yang merimbun. Memberikan suasana redup dan tenaga.

"Kami ni nak minta kakak tolong kami," dengan wajah yang bersahaja saya bayangkan hasrat hati.

"Tolong apa?" sambut Kak Sun dengan wajah cemas.

"Kak Sun dah lama bekerja di sini, tentu banyak perkara yang kak tahu. Terutama tentang kejadian pelik di kawasan rumah ni."

"Tak ada perkara pelik di sini," Kak Sun cuba berdalih.

Dia segera bergerak ke kiri, memaut ranting orkid yang berbunga lebat. Ranting itu dipatah dengan hati-hati, agar bunga tidak relai.

Macam tadi juga, ranting orkid yang berbunga lebat ditaruh dalam bakul.

BAYU

Dalam hembusan keramahan bayu pinggir bukit, saya dan Andi Kamarool terus rnengekorinya.

Sudah tentu perbuatan sedemikian minimbulkan rasa kurang senang pada Kak Sun. Tugasnya jadi terganggu tetapi, dia tiada daya untuk menghindarinya.

Buat beberapa ketika, tidak ada kata-kata yang terlontar dari mulut kami. Ke mana saja Kak Sun bergerak, kami terus mengikutinya.

"Kak Sun marah dengan kami?" Andi Kamarool cuba memancing.

"Tak marah, kenapa mesti marah."

"Kak Sun diam semacam aje," tingkah saya.

"Tak ada perkara yang nak dicakapkan, lagi pun yang nak bertanya, kamu berdua, bukannya kakak," dari kata dan nada suara ternyata Kak Sun sudah pun memberi laluan.

Saya dan Andi Kamarool segera berpandangan. Andi Kamarool genyitkan mata, beri isyarat supaya saya kemukakan pertanyaan.

"Begini Kak Sun, bukan apa-apa, sekadar nak tahu untuk pengetahuan kami. Lagi pun Mia sendiri suruh tanya Kak Sun. Katanya, Kak Sun banyak tahu hal-hal di sini," saya buka bicara dengan harapan apa yang saya dan Andi Kamarool inginkan akan terlaksana.

"Betul ke Mia kata macam tu?"

"Betul kak."

Terpamer perubahan di wajah Kak Sun.

"Betulkah Mia, kata macam tu?" ulang Kak Sun dengan sepasang mata yang bersinar.

"Betul kak, kami tak bohong," sahut saya dan Andi Kamarool serentak.

Dan saya lihat sengih Kak Sun makin melebar di bibir. Hati kami senang sekali dengan perubahan diri Kak Sun.

Mungkin kerana penat berdiri atau mahu bercerita lebih panjang dan selesa, Kak Sun mengajak kami ke bahagian belakang bangsal.

Di situ tersedia empat bangku batang getah yang tingginya kira-kira satu kaki lebih menghadap meja panjang yang dibuat dari buluh untuk kegunaan para pekerja meletakkan makanan (bekal). Kak Sun terus duduk disalah satu bangku tersebut.

"Duduklah, kenapa berdiri," kata Kak Sun.

Kami pun terus duduk. Pepohon besar yang menaungi kami memberikan rasa nyaman dan selesa. Kicau burung yang tidak menentu iramanya memberi sedikit hiburan.

Saya dan Andi Kamarool tidak menduga semudah itu Kak Sun mahu menceritakan pengalaman-pengalaman aneh yang dikutip selama dia berkhidmat dengan keluarga Mia.

Memang ternyata sekali, janda separuh umur yang manis, mudah senyum itu menempuh pengalaman yang cukup berbeza dengan Samion dan mandur batak.

"Arwah suami kakak dulu memang bekerja dengan ayah Mia. Jadi kerani menguruskan hal-hal jual beli kelapa, cengkih dengan orang luar yang selalu berulang ke Sungai Penuh - Medan - Belawan - Teluk Bayur.

"Arwah mentua lelaki kakak ada hubungan keluarga dengan ayah Mia. Mereka sama-sama Mendailing."

Senang sekali rasa hati, bila Kak Sun mahu mengungkapkan perkara tersebut.

Kak Sun yang berhenti bercakap termenung sejenak, hujung jarinya kelingkingnya menyentuh hujung bunga orkid yang terkeluar dari bakul atas meja buluh.

"Masa tu Kak Sun dah bekerja di sini?" saya cuba menghidupkan percakapan yang terhenti.

"Tak bekerja, kak duduk di rumah. Bila suami kak mati baru kak minta kerja di sini."

Saya dan Andi Kamarool anggukkan kepala, kicau burung mula berkurangan dan tiupan bayu juga beransur lemah.

Tetapi, sinar matahari terus memancar keras, panasnya tidak terasa menyentuh tubuh kami yang bernaung di bawah rimbunan pokok besar.

"Masa kak kerja di sini, kak sempat jumpa dengan ayah Mia. Orangnya baik, jarang bercakap, kecuali hal-hal yang mustahak," sambung Kak Sun.

"Sempat jumpa ayah Mia?" celah Andi Kamarool.

Kak Sun angguk kepala, sinar matanya membayangkan kebanggaan. Saya menggigit bibir dengan harapan kisah yang dituturkan Kak Sun tidak akan mati di situ saja.

"Sebenarnya, kakak banyak bekerja dengan abang Mia. Ayah Mia jarang ada di rumah, terutama selepas bininya mati. Dia banyak keluar merantau ke Tanah Melayu, Jawa, Borneo dan ke Filipina," tambah Kak Sun dengan sinar mata yang agak redup.

"Abang Mia yang baik hati dan bertimbang rasa itu memberitahu kak, bilik mana yang boleh dimasuki dan bilik mana yang jadi bilik larangan.

"Dulu kalau ada tetamu yang tidur di bahagian anjung rumah akan mengalami hal ganjil. Bila terjaga pagi, mereka mendapati diri mereka berada di tengah padang (halaman rumah).

"Anak saudara kakak cuba tidur di situ, dia dicampakkan ke dalam parit besar."

KECUT

Cerita yang dituturkan oleh Kak Sun membuat saya rasa cemas dan kecut perut. Saya Iihat kedua-dua belah kening Andi Kamarool nampak bergerak-gerak. Agaknya, dia juga merasa takut dan cemas.

Hati saya mula berbelah bagi sama ada mahu meneruskan rancangan yang disusun atau membatalkannya saja. Andi Kamarool tentang biji mata Kak Sun.

"Ganjil," terpancut kata dari kelopak bibir Kak Sun.

"Macam ada penunggu pula Kak Sun," nada suara Andi Kamarool lemah sekali.

Mata saya liar merenung ke kiri dan ke kanan bangsal. Entah mengapa dengan tiba-liba saya terasa takut semacam, perasaan seperti bercelaru saja waktu tengah hari begini.

Bagi menghilangkan rasa cemas ilu, saya terus senyum kepada Kak Sun dan Andi Kamarool.

"Kenapa kamu macam takut saja?" Kak Sun dapat mengesan apa yang saya alami.

"Tak ada apa-apa, saya rasa sejuk waktu panas begini."

Kata-kata saya disambut dengan ketawa sinis. Saya semakin jadi serba salah. Senang rasa hati, bila mereka berhenti ketawa dan melahirkan senyum simpati untuk saya.

"Agaknya, kamu takutkan penjaga rumah?" usik Andi Kamarool.

"Penjaganya kadang-kadang nampak, kadang tidak, berbadan besar. Tinggi hitam macam orang dari Benua Afrika," secara sepontan Kak Sun bersuara.

Saya pun membeliakkan biji mata, lalu merenung ke kiri dan ke kanan bangsal.

"Kak pernah tengok?" soal Kamarool.

"Pernah."

"Apa kak tak cemas?"

"Kak tak apa-apa, tak takut juga tak rasa terganggu."

"Hai..." jerit Andi Kamrool.

Kak Sun tidak memperlihatkan apa-apa reaksi dari jeritan kecil Andi Kamarool itu. Dia nampak bersahaja, sesekali sepasang mata hitamnya ditumpukan ke puncak bukit.

"Masa mula bekerja dulu, kak disuruh oleh abang si Mia duduk di sebelah bilik rahsia. Lebih kurang seminggu menginap di situ.

"Pada suatu petang menjelang senja, tiba-tiba muncul orang hitam di pintu bilik dengan wajah yang masam," Kak Sun tidak meneruskan cerita, dia kedutkan kening macam mengingati sesuatu.

"Apa yang kak buat?" tanya saya.

"Kak kata begini: Anak tuan rumah suruh duduk di sini. Maafkan aku kerana lambat memberitahu kamu. Selesai saja kakak cakap macam tu, orang hitam itu tersenyum dan terus hilang."

Makin lama, makin seram rasanya cerita-cerita yang diungkapkan oleh Kak Sun tetapi, menyeronokkan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 174/284

BACA: SBDJ Siri 173: Samion Bongkar Rahsia
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com