Thursday, April 18, 2019

SBDJ Siri 46: Berjalan Atas Angin

SBDJ Siri 46: Berjalan Atas Angin

Kedai kopi dan barang-barang runcit yang diusahakan oleh Saadun Juling mendapat sambutan amat menggalakkan dari para penduduk setempat. Di samping berniaga, Saadun Juling terus mendalami ilmu agama.

Berjalan Atas Angin

Setiap malam, dia mengundang seorang guru agama yang terkemuka di daerahnya Tuan Haji Nawawi Al-Petani ke rumahnya.

Dia belajar selok-belok agama Islam dari pukul sepuluh hingga menjelang dua belas malam.

Selama dua tahun Saadun Juling berniaga, dia telah mendermakan wang ringgitnya untuk membesarkan beberapa buah masjid di daerahnya, juga mendirikan beberapa buah surau serta mendirikan sekolah agama rakyat untuk kanak-kanak yang berusia tujuh tahun ke atas belajar agama Islam.

Atas nasihat Tuan Haji Nawawi Al-Petani, Saadun Juling dan isterinya berhijrah ke Kelantan.

Dua tahun menetap di Kelantan, kemudian pindah ke Petani di Selatan Siam, mendalami ilmu agama Islam dengan beberapa guru agama yang terkenal di sana.

Setelah menetap selama tiga tahun di Petani, Saadun Julling dan isterinya pergi ke tanah suci dengan berjalan kaki dan akhirnya menetap di Jeddah.

Menurut beberapa orang penduduk Tanjung Ara yang pernah pergi ke Mekah dan sempat berjumpa dengan Saadun Juling di Jeddah, menyatakan yang Saadun Juling telah membuka perniagaan di sana.

Khabarnya, Saadun Juling boleh bertutur bahasa Arab dengan fasih, boleh menulis dan hafaz Quran. Namanya juga sudah berubah dari Saadun Juling menjadi Saadun AlHafiz.

Datuk cukup gembira mendengar berita yang disampaikan oleh pendu­duk Tanjung Ara padanya.

“Rajin dan usaha itu tangga kejayaan dan Allah tidak pemah menghampakan harapan dan cita-cita manusia yang bekerja keras untuk mengubah nasib hidupnya.

Contohnya, kau sendiri sudah melihat dan mendengar tentang hal diri Saadun Juling yang sesat dalam perjalanan hidup dan kembali ke pangkal jalan untuk membina hidup baru yang lebih bererti sebagai manusia yang beragama Islam”, ujar datuk pada saya.

Wajah datuk saya renung, kelihatan peluh-peluh halus mula meruap didahi luas yang disinari oleh matahari petang dalam kawasan kebun pisang emasnya yang seluas satu ekar lebih.

Saya tahu, sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, saya dan datuk banyak menghabiskan masa di kebun pisang.

Saya menolong datuk membuang daun-daun pisang kering, menebang dan mengambil pisang yang sudah tua.

Buah-buah pisang tua itu dilonggokkan pada satu tempat, sementara menanti lori pemborong buah pisang mengambilnya.

Dan urusan menimbang, menjual dan mengutip wang datuk serahkan bulat-bulat pada saya.

"Lama sungguh kita tidak ke mana-mana tok”, kata saya, sebaik saya selesai menebang pokok pisang di hujung sempadan.

Datuk yang asyik me­ngumpul daun-daun pisang tua, dekat pangkal pokok pulai, berhenti mengumpulkan dedaun pisang itu.

Dia terus renung muka saya dan akhirnya duduk atas batang getah yang tumbang.

"Kenapa? Kau jemu duduk di rumah?”

"Tidak, saja tanya.”

"Sejak balik dari Tanjung Ara, kalau tak silap aku, sudah dua kali meninggalkan tumah, kali pertama aku pergi ke Sungai Petai, dekat Alor Gajah Melaka. Kali kedua aku pergi ke Bukit Tengah di Seberang Perai.”

"Tapi, saya tok tak ajak.”

"Oh, aku terlupa nak ajak”, kata datuk sambil ketawa.

Dia menyapu peluh di dahinya dengan telapak tangan kanan. Matahari petang kian condong. Bayang saya yang berdiri dekat pokok pisang emas kelihatan memanjang di bumi.

Bunyi suara burung tekukur dan merbuk, sudah jarang-jarang kedengaran. Angin juga mula bertiup lemah.

"Berkemaslah Tamar, kita balik. Esok kalau panjang umur kita datang lagi”, tekanan suara datuk cukup rendah.

Dia pun melangkah ke pondok yang terletak di bucu tanah sebelah kanan. Saya mengekornya dari belakang.

Pondok itu sengaja didirikan oleh datuk sebagai tempat berehat dan sembahyang.

Tidak jauh dari pondok itu terdapat sebatang anak sungai yang airnya cukup jernih.

Air sungai itu tidak pernah kering walaupun musim kemarau. Jika musim tengkujuh airnya tidak pernah melimpah ke paras tebing.

Sampai di pondok, datuk terus berehat di pelantar dekat tangga. Saya menggeliat dua tiga kali di depannya untuk menghilangkan rasa lenguh di pangkal belikat dan lengan.

"Aku nak mandi ke sungai, kau nak ikut?”, datuk mempelawa saya sambil meletakkan kain basahan di bahu sebelah kiri.

"Tak mahu tok.”

"Sebab?"

"Bila mandi di sini, sampai di rumah kena mandi lagi. Kita balik terpaksa berjalan, badan kita tentu berpeluh, lebih baik mandi sekali di rumah.”

"Terpulanglah pada kau Tamar.”

Datuk pun mengatur langkah menuju ke sungai. Sementara menanti datuk selesai mandi, saya terus membersihkan sekitar kawasan pondok.

Semua sampah sarap yang sudah di kumpulkan itu saya bakar.

Bila saya mahu melangkah ke arah pangkal pokok tembusu untuk mengutip daun-daun yang jatuh di pangkalnya, saya dapati datuk sudah tercegat di situ.

Dada saya berdebar. Batang tubuh datuk saya perhatikan, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Saya terasa ada sesuatu yang ganjil terjadi pada diri datuk.

"Kenapa? Kamu terkejut kerana aku berada di sini?”, datuk menjegilkan biji matanya ke arah saya.

Pertanyaan itu tidak saya balas. Saya masih mencari jawapan, bagaimana datuk boleh berada di situ?

Biasanya, bila pulang dari sungai, datuk akan menggunakan jalan yang selalu digunakan.

Aneh, macam mana saya tidak dapat mendengar bunyi tapak kakinya. Semua persoalan itu muncul dalam tempurung kepala saya.

“Tok ada masalah?" Saya memberanikan diri, mengajukan pertanyaan.

Saya lihat datuk gelengkan kepala sambil tersenyum. Dengan tenang datuk menarik tangan saya menuju ke pelantar. Kami duduk di situ.

Datuk menepuk bahu kiri saya, penuh dengan rasa kasih mesra. Dan datuk bagaikan tahu tentang keraguan yang timbul dalam hati saya.

"Sebenarnya, aku berjalan tadi mengikut gerak angin dan tapak kaki aku bila tersentuh bumi atau daun tidak akan mengeluarkan sebarang bunyi.

"Batang tubuh aku tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia, aku berada di sisi kamu ketika kamu membakar sampah, malah aku menolong menghidupkan api, kau tak nampak”, datuk membuka rahsia dirinya.

Saya menarik nafas panjang, perlahan-Iahan saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Keterangan dari datuk itu amat menakjubkan.

"Agaknya datuk dikejar binatang buas membuat datuk terpaksa bertindak begini.”

"Tidak.”

"Kalau tidak untuk apa datuk berjalan mengikut arah angin dan menghilangkan diri, mesti ada sesuatu muslihat.”

"Tak ada Tamar, apa yang aku lakukan sekadar mengamalkan. Sebabnya, ilmu yang ada jika tidak diamalkan dalam masa tertentu boleh jadi kita lupa.”

"Saya faham.”

Datuk terus mengajak saya pulang. Kira-kira dua puluh langkah meninggalkan pondok, saya teringatkan buah-buah pisang yang terlonggok di bahagian tengah kebun.

Saya bimbang kalau buah-buah pisang yang dianggarkan beratnya lebih dari lima belas pikul itu akan hilang.

Barangkali datuk lupa tentang buah-buah pisang tersebut. Saya perlu mengingatkannya. Saya tidak rela sama sekali buah-buah pisang itu akan jadi habuan pencuri.

Mana boleh jadi, kita yang bekerja setengah mati orang lain mendapat feadahnya dengan mudah.

Hujung baju datuk segera saya tarik dari belakang. Langkahnya terus mati.

"Kenapa?"

"Pisang kita tok?”

"Kenapa pula dengannya? Kau nak bermalam dengan buah-buah pisang itu?”

"Takut dicuri orang tok.”

"Haaaa..”

Datuk segera menyandarkan badannya pada salah satu pokok getah yang berbaris dikiri kanan jalan yang kami lalui.

Dia mengerutkan dahinya sambil menepuk tangan tiga kali berturut-turut. Kemudian datuk tegakkan badannya sambil menghalakan wajahnya ke arah angin yang datang.

Datuk lurut lengan kanan dengan tapak tangan kiri, tiga kali berturut-turut. Dengan tenang datuk memetik ibu jarinya sebanyak dua kali, bunyi yang lahir dari petikan ibu jarinya berbunyi cukup kuat.

"Datang ke mari sekejap, ada kerja yang nak aku serahkan pada kamu”, ujar datuk dengan tenang.

Saya segera menghampirinya. Berdiri di sebelah kiri datuk.

Tiba-tiba datuk menolak badan saya hingga tersungkur atas tanah. Saya segera bangun, muka datuk saya renung, ternyata datuk tidak ambil kisah dengan apa yang terjadi.

Mulutnya kelihatan bergerak-gerak. Bila mulutnya berhenti dari bergerak, saya terus mengajukan pertanyaan padanya.

"Kenapa saya di tolak tok?"

"Aku tak panggil kau.”

"Habis datuk panggil siapa?"

"Itu, aku panggil itu”, jari telunjuk datuk menuding ke arah rimbunan pokok senduduk yang kelihatan bergoyang-goyang.

Saya tergamam, seekor harimau belang menuju ke arah datuk. Berhenti dan merebahkan badannya atas tanah di depan datuk, sambil mengoyang-goyangkan ekornya, tidak ubah seperti kucing yang manja.

Datuk tepuk kepala harimau itu dua tiga kali. Harimau itu membuka mulutnya luas-Iuas. Lidahnya menjilat pergelangan tangan datuk.

Saya memberanikan diri lalu mengurut-urut badan harimau tersebut. Dengan penuh rasa manja hari­mau itu mengerak-gerakkan ekornya ke bahu dan muka saya hingga terasa geli.

"Malam ni, kau jaga pisang kami, esok aku nak jual. Ingat kalau ada orang yang mahu mencurinya kau halaukan saja, jangan cederakan manusia”, kata datuk pada harimau itu.

Saya lihat harimau itu merenung ke muka datuk, kemudian memejamkan kedua belah matanya sambil mengaum kecil.

"Pulanglah,” kata datuk, harimau itu segera bangun dan menggesel-geselkan badannya ke badan datuk.

Kemudian harimau itu bergerak menuju ke rumpun senduduk lalu hilang. Datuk menepuk bahu saya dua tiga kali.

"Kau sudah tahu siapa yang aku panggil Tamar?"

"Tahu tok.”

"Dialah yang menjaga pisang kita malam ini.”

"Saya tahu tok.”

"Kalau sudah tahu, jangan banyak bertanya, mari kita balik.”

Kami pun melangkah. Langkah datuk terlalu cepat membuat saya terpaksa berlari-Iari anak.

Jarak rumah datuk dengan kebun pisang lebih kurang dua batu. Memang perangai datuk, tidak suka naik basikal pergi ke kebun pisangnya, dia lebih suka berjalan kaki.

Satu keistimewaan yang terdapat pada diri datuk, dia tidak pernah merasa letih berjalan kaki, walaupun sampai berpuluh-puluh batu.

Badan saya mula berpeluh tetapi, angin petang yang bertiup perlahan-Iahan itu dapat mengurangkan rasa kepanasan di badan.

Hati saya jadi terhibur, melihat telatah dan ragam monyet-monyet liar yang berlompatan dengan bebas di dahan-dahan pokok getah yang berdiri di kiri-kanan jalan enam kaki.

Sedang asyik melangkah, saya dikejutkan oleh suara jeritan dari datuk secara mendadak.

Saya lihat datuk membuka langkah silat sambil melompat ke kanan. Dalam saat yang sama saya lihat sebatang dahan getah mati jatuh menuju ke arah datuk.

Dengan tangkas datuk menyambar dahan itu lalu dicampakkan ke sebelah kanan jalan.

Dahan getah yang jatuh itu sama besarnya dengan betis pemuda yang berusia 20 tahun.

Andainya dahan getah itu tepat mengenai batang tubuh datuk, pasti membawa maut.

Datuk segera menoleh ke arah saya sambil tersenyum bangga. Datuk pun memberi isyarat supaya meneruskan perjalanan.

"Berjalan dalam hutan atau dimana-mana, kita harus berwaspada. Mesti tahu menguasai diri, pandai mengira langkah dan gerak makhluk serta alam”, sambil berjalan datuk memberikan ceramah kecil.

Saya anggukkan kepala. Memang saya tidak ada minat untuk mendengarnya. Semua yang diluahkan oleh datuk tidak masuk dalam otak saya.

"Semuanya itu mustahak untuk diri kita, kalau tidak mahu menuntut ilmunya, tidak salah kalau sekadar kita mahu ambil tahu saja”, sambung datuk lagi.

Saya gigit bibir. Kedua belah pangkal peha saya mula terasa sakit.

"Bagaimana kita mahu tahu tentang semuanya itu tok?", secara tidak disedari saya mengeluarkan pertanyaan.

"Setiap manusia ada pancaindera yang lima. Kita hanya memerlukan satu daya usaha untuk mempertajamkan pancaindera yang lima itu supaya jadi lebih berkesan lagi.

"Caranya harus belajar dari petua orang tua-tua dan kita harus amalkan. Perkara yang utama dan penting ialah keyakinan, tabah dan sabar”, cukup ghairah datuk menerangkannya pada saya.

Kerana saya tidak mengemukakan sebarang pertanyaan, datuk tidak melanjutkan keterangannya.

Kami terus berjalan, sambil berjalan saya terus merenung ke arah dahan-dahan pokok getah tempat monyet liar bergayutan.

Saya juga mengawasi kalau ada dahan getah mati yang mahu jatuh. Saya kira kalau ada dahan yang jatuh sebesar lengan budak, saya mahu menyambutnya seperti apa yang telah datuk lakukan.

"Jangan mencuba, kalau tidak tahu. Nanti padah menimpa diri”, saya jadi terkejut dengan kata-kata datuk tu.

Rupa-rupanya datuk dapat membaca apa yang tersirat dalam dada saya.

"Saya cuma berangan-angan saja tok.”

"Angan-angan kalau dilakukan dengan baik, cukup pertimbangan yang sempurna akan jadi cita-cita.”

"Saya faham tok. Tetapi, untuk menjayakan cita-cita tu bukanlah satu perkara yang mudah.”

"Kau berusaha. Kalau kau mahu belajar ilmu gerak manusia dan alam, cari sendiri jangan harap ada orang lain datang menyerah untuk memberikan ilmu itu."

“Begitu.”

Datuk segera menoleh ke arah saya. Dia merasakan jawapan yang terakhir dari saya itu, macam menyindir dan membayangkan rasa tidak ada kesungguhan dari saya. Akhirnya, kami pun sampai ke rumah.

Saya terus memetik buah belimbing buluh yang tua. Buah belimbing itu saya bawa ke sungai bersama dua tiga helai daun pandan wangi.

Buah belimbing yang sudah diramas itu, saya gosokkan ke badan untuk menghilangkan getah pisang yang terletak di badan serta menghilangkan rasa gatal dan daki.

Kemudian daun pandan yang sudah di campurkan dengan air satu baldi, saya juruskan ke tubuh untuk mewangikan bau peluh dan badan.

Saya dan datuk terus ke surau untuk sembahyang Maghrib dan Isyak.

Lebih kurang pukul sepuluh malam, baru kami pulang. Datuk seperti biasa akan menghabiskan masa sebelah malamnya dengan membaca Quran hingga menjelang waktu subuh.

Pagi itu, saya di suruh oleh datuk supaya menemui Lim Kim Bok yang menjadi peraih buah pisang.

Setelah berunding dengan Lim Kim Bok beberapa minit, dia terus menelefon adiknya, Lim Tong King yang tinggal di Sitiawan.

"Adik saya beli semua pisang datuk awak, dia nak jual pisang tu ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bharu”, katanya.

"Bila dia sampai Kim Bok?"

"Sekarang pukul tujuh. Lebih kurang pukul lapan setengah dia sampai.”

"Saya mahu nanti di mana? Nanti dia tak tahu tempatnya.”

"Tunggu di kebun, adik saya tahu tempatnya. Sudah banyak kali dia ambil pisang di kebun datuk awak.”

"Dia tahu di mana tempatnya, Paya Besar.”

"Apa awak cakap ni. Saya kata dia tahu, apa lagi mahu banyak cakap.”

"Jangan marah”, ujar saya sambil ketawa kecil.

Saya terus pulang ke rumah. Dari rumah, saya bersama datuk dan nenek berjalan kaki menuju ke kebun pisang di Paya Besar. Sampai di kebun pisang saya terlihat kesan tapak kaki harimau.

"Ada orang menunggu pisang awak malam tadi?", nenek bersuara.

"Ada”, jawab datuk, sambil menaburkan tujuh biji bertih ke dalam rumpun pokok senduduk.

Saya lihat rumpun senduduk itu bergoyang dan saya terpandang kelibat seekor harimau.

"Pulanglah, kau sudah menolong aku”, kata datuk lagi.

Seekor harimau melintas di depan kami sambil berjalan tunduk macam kucing peliharaan melintas di hadapan tuannya.

Sementara menanti lori yang dijanjikan tiba, kami terus membersihkan kawasan kebun pisang.

Satu jam kemudian lori yang ditunggu-tunggu pun tiba. Semua pisang yang ada di situ ditimbang dan dimasukkan ke dalam lori.

Di situ juga Lim Tong King membuat pembayaran. Wang dari hasil penjualan pisang yang berjumlah lebih kurang tiga ratus ringgit datuk serahkan pada nenek.

"Simpan wang tu baik-baik, seratus ringgit awak serahkan pada Imam Musa untuk tabung masjid dan lima puluh ringgit awak bagi pada Long Munah yang baru mati suami dua hari lalu. Bakinya terpulanglah pada awak”, kata datuk.

Nenek anggukkan kepala mendengar cakap datuk itu.

Lim Tong Kim menghampiri datuk, dia menarik tangan datuk menuju ke arah pokok getah tua dekat sempadan tanah sebelah kanan.

Mereka bercakap-cakap sebentar, kemudian datuk datang menemui nenek kembali.

"Kita balik naik lori”, kata datuk pada nenek sambiI merenung muka saya.

Cepat-cepat saya menggigit bibir dan rasa aneh mula bersarang dalam dada saya.

Selalunya datuk tidak pernah mahu pulang awal, mesti ada muslihat tertentu yang membuat datuk bertindak begitu demikian hati kecil saya mem­buat ramalan.

"Kenapa tok nak balik cepat?", tanya saya.

"Si Lim Tong King ni, ajak aku jadi kawannya ke Johor Bharu, dia takut kerana banyak bawa duit.”

"Ah, awak ni mengarut, kerana orang sanggup bersusah payah”, nenek melahirkan rasa kurang senangnya. Datuk saya lihat tersenyum.

"Mari naik”, kata Lim Tong King.

Nenek pun naik lori duduk di depan dekat pemandu. Saya dan Lim Tong King duduk di bahagian belakang lori yang tidak berbumbung itu.

Lim Tong King yang jadi towkey pisang itu bertindak sebagai kalendan, sekali pandang memang tidak ada potongan seorang saudagar pada diri Lim Tong King.

Enjin lori pun dihidupkan. Datuk masih lagi tercegat di situ. Tidak ada tanda-tanda yang dirinya akan naik lori.

"Naiklah tok”, kata saya.

"Tak payah, aku jalan kaki saja”, jawabnya sambil memulakan langkah.

Lori yang berkepala merah, berbadan hijau pun bergerak, melalui jalan enam kaki.

Bila layar lori itu terlanggar lubang, badan saya turut terhuyung-hayang, macam orang mabuk todi. Lori yang kami naiki sampai dihalaman rumah.

Pemandu lori dan Lim Tong Kim terkejut melihat datuk duduk di kaki tangga sambiI melurut-Iurut sebatang kayu.

Nenek turun dari lori, begitu juga dengan saya. Cepat-cepat saya masuk ke rumah mengemaskan pakaian yang saya fikirkan perlu untuk di bawa.

"Awak jalan kaki ke atau terbang”, kata Lim Tong King.

"Jalan kaki.”

"Awak mesti pakai ilmu.”

"Tidak”, jawap datuk sambil ketawa kecil.

Saya keluar dari rumah dan berdiri dekat datuk. Kemudian, datuk pun bangun berjalan tiga langkah ke depan lalu memacak kayu yang dilurutnya tadi di atas tanah.

Datuk renung ke langit, melihat awan dan matahari yang kian marak bersinar. Datuk cabut kayu itu sambil menggigit lidah. Bahagian kayu yang tertanam di tanah datuk raba berkali-kali.

Kesan tanah yang terletak di situ datuk ambil. Tanah itu datuk ramas berkali-kali. Telapak tangannya dibuka dan tanah yang diramasnya kelihatan berbuku-buku.

Dengan mulutnya, datuk hembus tanah di telapak tangannya hingga berterbangan entah ke mana.

"Langkah kita baik, tapi ada halangan sedikit, dengan izin Allah rintangan itu berjaya kita atasi”, begitulah datuk memberitahu saya.

Lim Tong Kim kelihatan tercengang-cengang. Datuk terus tepuk bahu kanan Lim Tong King.

Datuk terus rapat ke lori berkepala merah. Saya ikut dari belakang.

“Saya ikut awak, belum tentu sampai ke Johor Bharu. Sebabnya, bila saya ingat nak balik, saya balik awak tak boleh halang saya”, datuk mengeluarkan syarat pada Lim Tong King.

Ternyata, syarat tidak mendapat bantahan. Kami meninggalkan rumah kira-kira jam sepuluh pagi Rabu.

Datuk dan saya duduk di bahagian depan lori, Lim Tong King duduk di belakang.

Satu hal yang tidak menyenangkan diri saya, lori yang membawa pisang itu terlalu kerap sangat berhenti, kerana mengambil dan menjual pisang di bandar-bandar yang dilaluinya.

Lebih kurang pukul dua petang, kami sampai ke Kuala Dipang, datuk menunaikan sembahyang Zohor di situ.

Sembahyang Asar datuk lakukan di Masjid Bidor dan dari Bidor, LimTong King tidak lagi jadi kelindan. Dia mengambil tugas kawannya. Dia jadi pemandu dan kawannya jadi kelindan.

Kali ini, saya mula terasa seronok naik lori tersebut kerana tidak berhenti-henti lagi.

"Berhenti di Kelumpang Tong King, saya nak sembahyang Maghrib”, datuk mengingatkan Lim Tong King, sebaik sahaja kami melintasi pekan Tanjung Malim.

Bila sampai di Kelumpang datuk terus ke masjid dan Lim Tong King mengurus penjualan pisang dengan Cina di pekan tersebut.

Bila datuk keluar dari masjid, Lim Tong King masih lagi belum selesai berurus dengan kawannya. Datuk memberitahu Lim Tong King yang dia mahu balik ke masjid semula.

"Begini, awak tunggu di masjid. Bila kerja saya selesai, saya panggil awak, lagipun saya rasa tak larat nak bawa lori sampai ke Kuala Lumpur.

Saya ingat mahu tidur di rumah abang ipar saya yang berniaga kedai runcit di Kuala Kubu Bharu”, Lim Tong King memberitahu datuk.

"Kalau begitu kata awak, saya ikut saja”, balas datuk.

"Saya bimbang, saya bawa duit dekat lima ribu ringgit.”

"Tak apa”, datuk menenangkan perasaan Lim Tong King.

Saya dan datuk kembali ke masjid. Bila selesai sembahyang Isyak baru Lim Tong King me­manggil kami melalui seorang budak Melayu yang bekerja di kedai yang membeli pisangnya.

Kami tinggalkan pekan Kelumpang lebih kurang hampir pukul sepuluh malam.

Entah apa malangnya, ketika lori yang saya dan datuk tumpangi melalui satu selekoh berhampiran dengan tanah perkuburan orang-orang Cina, lori itu mengalami kerosakan.

Enjinnya mati dengan tiba-tiba. Puas dibaiki tidak juga mahu hidup.

Lim Tong King menyuruh kawannya pergi ke Kelumpang mencari foremen. Nasib baik sebuah kereta yang ditahan mahu berhenti dan bersedia membawa kawan Lim Tong King ke Kelumpang.

Sejam kemudian, kawannya kembali tanpa foremen. Akhirnya, datuk membuat keputusan supaya kami duduk di dalam lori sementara menanti hari siang.

Pada mulanya, kerap juga kereta lalu disitu. Bila menjelang pukul satu malam, kereta mula berkurangan.

Suasana di situ terasa cukup sunyi. Bila saya toleh ke kanan, rasa takut mula menghantui hati saya.

Apa yang saya lihat ialah batu-batu nisan di tanah perkuburan Cina. Keadaan itu membuat saya tidak dapat memejamkan mata.

Bila saya ingat, datuk juga tidur dalam lori, rasa takut segera hilang.

Lebih kurang pukul empat pagi, saya terdengar lolongan anjing sayup-sayup, bersama dengan bunyi desiran angin yang melanggar dedaun getah di kiri kanan jalan raya tersebut.

Saya renung ke tanah perkuburan Cina, saya lihat kabus mula menguasai seluruh kawasan itu. Batu-batu nisan yang tertegak kaku di situ saya rasa bergerak-gerak.

Dalam keadaan yang cemas itu, sebuah kereta Fiat 600 berwarna putih berhenti di belakang lori.

Dari perut kereta itu keluar empat orang lelaki Cina yang berusia antara dua puluh tahun hingga tiga puluh tahun. Mereka segera menuju ke bahagian depan lori.

Lim Tong King yang tidur di bawah lori terkejut, salah seorang dari lelaki itu mengeluarkan parang pemotong daging lalu mengacukan ke muka Lim Tong King.

Saya jadi tergamam melihat peristiwa yang terjadi di depan mata. Datuk yang duduk bersandar dekat sebatang pokok tidak jauh dari lori itu, buat tidak kisah dengan apa yang berlaku.

Lim Tong King masih lagi bertekak dengan empat lelaki tersebut.

Entah apa yang dikatakan oleh Lim Tong King, membuat lelaki yang memegang pisau pemotong daging itu naik darah.

Dia pun melepaskan penumbuk sulung ke muka Lim Tong King. Kawan Lim Tong King tidak dapat berbuat apa-apa.

Empat lelaki itu terus mengopak kusyen tempat duduk pemandu. Mereka berjaya mengambil wang dalam satu beg plastik yang diletakkan di situ. Lim Tong King menjerit.

"Letakkan, jangan ambil orang punya barang”, kata datuk.

Saya tidak sedar waktu bila datuk menghampiri mereka. Empat lelaki itu segera merenung muka datuk.

"Hei Melayu, lu jangan kacau kita. Kita tak ada kacau sama awak”, salah seorang dari lelaki itu menyergah datuk sambil melepaskan tendangan terbang ala kung fu.

Datuk tidak sempat mengelak, tendangan itu tepat mengenai dada datuk. Saya lihat datuk tersungkur.

Empat lelaki itu menyerbu datuk. Batang tubuh datuk tidak dapat saya lihat, hilang di kerumuni oleh empat lelaki itu.

Datuk menjerit dan empat lelaki itu terhumban berhampiran lori. Tiga darinya sudah tidak berdaya bangun. Tetapi seorang daripada mereka masih kelihatan gagah.

Datuk berhadapan dengannya, lelaki itu membuka silat kung fu dan datuk membuka buah langkah silat harimau jantan yang lebih banyak bersikap bertahan dari melakukan serangan.

Kerana datuk lebih banyak bertahan dari menyerang, membuat dia mempunyai lebih tenaga, berbanding dengan serangan kung fu dari lelaki tersebut.

Datuk saya lihat banyak menggunakan tipu helah dan akal dalam pertarungan itu.

Lelaki yang berbadan tegap tidak putus asa, kali ini dia melompat cukup tinggi menuju pada datuk.

Saya lihat datuk tersenyum dan menyerahkan tubuh badannya untuk digasak oleh lelaki itu.

Tetapi, bila lelaki itu merendahkan badannya dan menghulurkan kaki kirinya untuk menendang pangkal leher datuk, cepat-cepat datuk melompat sambil menyambar tangan kanan lelaki yang terkedang itu.

Datuk memusingkan ke belakang dan lelaki itu jatuh ke tanah, macam nangka busuk.

Bila lelaki itu cuba mahu bangun, datuk segera menepuk bumi. Kedua belah kaki lelaki itu bagaikan terpasung. Dia tidak boleh bergerak.

Datuk tepuk bumi lagi sekali, barulah lelaki itu boleh mengangkat kedua belah kakinya dan me­merintahkan kawan-kawannya menuju ke kereta untuk lari.

Bila mereka berada dalam kereta, cepat-cepat mereka menghidupkan enjin kereta.

Ketika itu juga terdengar ledakan pistol dari kereta tersebut, rupanya lelaki yang bertarung dengan datuk tadi mengambil pistol dan menembak datuk bertalu-talu.

Anehnya, peluru pistol yang ditujukan pada datuk tidak mencederakan tubuh badannya, cuma baju datuk sahaja yang berlubang-lubang.

Melihat keadaan itu, empat lelaki itu jadi cemas, mereka naikkan cermin kereta dan bersedia mahu meninggalkan tempat tersebut.

Datuk segera menghulurkan tangan kanannya sambil mengembangkan kelima-lima jarinya.

Sungguh menakjubkan, enjin kereta segera mati dan badan kereta nampak terangkat kira-kira lima kaki dari bumi, melayang-layang sebentar atas permukaan tanah perkuburan orang Cina di situ.

Keempat-empat lelaki itu menjerit dan datuk merapatkan tangannya ke dada, kereta itu segera berhenti di hadapannya.

"Buka pintu”, kata datuk.

Pintu kereta pun terbuka.

"Keluar.”

Ke empat-empat lelaki itu keluar.

"Pulangkan duit.”

Ke empat-empat lelaki itu segera menuju kepada Lim Tong King. Mereka sujud di kaki Lim Tong King. Salah seorang daripada mereka menyerahkan kembali wang yang di curi.

"Tolong baiki lori ini”, kata datuk, salah seorang dari lelaki menuju ke lori dan terus membuka bonet.

Dia melakukan sesuatu di situ. Kemudian bonet lori dirapatkan.

"Sudah baik”, katanya.

Lim Tong King masuk ke perut lori, menghidupkan enjin, ternyata enjin lori boleh dihidupkan. Saya tersenyum senang.

"Pulang, lain kali jangan kacau orang”, kata datuk.

Ke empat-empat lelaki itu masuk ke dalam kereta lalu meninggalkan kami.

Lima belas minit kemudian, kami pula meninggalkan kawasan tersebut. Kali ini kami singgah di Kerling. Datuk menunaikan sembahyang subuh di situ.

Selepas membaca Al-Quran dan wirid di masjid tersebut, saya dan datuk menuju ke kedai kopi.

Seperti yang dijanjikan Lim Tong King dan kawannya sudah menanti di situ. Saya dan datuk sampai ke kedai itu lebih kurang pukul enam setengah pagi.

"Awak minum dulu, saya nak cari foremen nak minta tolong periksa lori ni, supaya boleh berjalan dengan baik”, kata Lim Tong King.

Datuk bersetuju dengan apa yang dicakapkan oleh Lim Tong King. Saya dan datuk terus masuk ke kedai kopi tersebut.

Dalam kedai kopi terdapat lebih kurang sepuluh orang lelaki yang terdiri daripada para pekerja Jabatan Kerjaraya dan buruh ladang getah, minum kopi di situ.

Di sudut sebelah kiri kelihatan seorang lelaki Melayu memakai ketayap putih, berusia sekitar lima puluh tahun.

Datuk bersalam dengan lelaki itu yang datuk kenali semasa sembahyang di masjid sebentar tadi.

"Kedai ini memang di buka sejak pukul enam pagi. Saya yang punya kedai tetapi, anak-anak saya yang menjalankan perniagaan”, lelaki berketayap putih memberitahu datuk.

Tidak saya duga, pertemuan di situ melahirkan rasa persaudaraan sesama Islam yang mendalam antara datuk dengan lelaki itu.

Datuk menceritakan apa yang terjadi pada dirinya dalam perjalanan tadi.

"Saya ni orang Islam, berdosa hukumnya mempercayai perkara yang karut-marut, tetapi, kejadian yang awak alami itu sudah kerap benar berlaku.

"Konon ceritanya, manusia yang awak lawan tu bukannya manusia”, cukup tenang lelaki itu bercakap.

"Kalau bukan manusia, siapa mereka?"

"Syaitan. Pernah terjadi pada diri saya diserang perompak di situ bila saya menyerah dan hari sudah siang saya jumpa wang yang saya dirompak itu atas nisan kubur Cina.

"Tidak jauh dari tempat kejadian itu saya terjumpa bangkai kereta yang menurut pihak polis terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Empat pemuda Cina yang menaikinya mati dan dikuburkan di situ.”

Dada saya berdebar mendengar cakapnya. Memang, saya sedar dan lihat ketika meninggalkan kawasan itu, menjelang waktu subuh tadi.

Saya terlihat bangkai kereta yang sudah berkarat dalam hutan lalang tidak jauh dari tempat lori kami berhenti.

Hal ini sungguh memeningkan kepala saya. Apakah yang datuk lawan malam tadi syaitan atau hantu dari tanah perkuburan orang Cina? Saya sendiri tidak dapat memberikan jawapannya.

Satu hal yang pasti, kawasan perkuburan Cina yang terletak diantara Tanjung Malim dan Kerling itu, memang menarik perhatian para pemandu, kerana di kawasan jalan yang berliku dan menaiki bukit itu kerap berlaku kemalangan yang dahsyat hingga kini.

Perbualan datuk dengan lelaki berketayap putih itu terhenti. Suasana dalam kedai kopi pagi jadi kelam-kabut.

Salah seorang dari orang yang minum disitu muntah darah dan mengelepar atas lantai, macam ayam kena sembelih.

Datuk segera menghampirinya. Datuk tekan dada orang itu dengan ibu jari, darah keluar memancut-mancut dari mulutnya.

Datuk segera mengambil segelas air sejuk, gelas yang berisi air itu datuk rapatkan ke bibirnya.

Datuk membaca sesuatu, kemudian datuk berikan pada orang yang sakit itu.

Bila air sejuk diminum habis satu gelas, orang itu terus muntah. Saya lihat muntahnya bercampur dengan kaca halus dan pasir, serta beberapa jenis serbuk.

Datuk tepuk belakang orang itu, muntahnya berhenti. Datuk segera membancuh garam dengan air satu gelas, air garam itu juga disuruhnya orang yang sakit itu minum.

Bila air garam itu selesai di minum, orang itu segera sihat.

Dia mengucapkan ribuan terima kasih pada datuk dan memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Halim, berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai pe­mandu lori balak.

Pada Abdul Halim, datuk membekalkan seketul ibu garam dan datuk menasihatkan padanya, sebelum minum kopi, baik di mana-mana pun serbuk garam itu mesti dibubuhkan terlebih dahulu sebagai penawar racun.

"Ini santau. Ada orang yang berniat tidak baik pada awak”, bisik datuk pada lelaki yang berketayap putih itu.

Muka orang itu kelihatan berubah wajah datuk direnungnya.

"Boleh awak menolong saya?"

"Saya cuma boleh berusaha. Yang menentukan kejayaannya adalah Allah.

"Tetapi ingat, kalau saya menolong awak, jangan sekali-kali awak mahu membalas dendam, saya cuma mahu berusaha menyekat perbuatan orang itu supaya jangan merebak dan merosakkan orang lain”, kata datuk.

"Ya, tapi saya mahu tahu orangnya.”

"Tak boleh. Belum tentu hal itu sengaja di lakukannya. Boleh jadi dia tersilap. Kita perlu mencari puncanya”, terang datuk lagi.

Lelaki berketayap putih itu terdiam.

Tamat siri 46/284

BACA: SBDJ Siri 45: Badan Pawang Berasap
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, April 17, 2019

6 Lokasi Blue Hole Di Lautan Yang Sangat Menakjubkan

6 Lokasi Blue Hole Di Lautan Yang Sangat Menakjubkan

Lubang Biru atau Underwater Sinkhole di lautan hanya boleh ditemui di beberapa negara di dunia merupakan suatu fenomena gua di bawah laut dengan lubang gergasi yang ternganga namun kaya dengan keindahan terumbu karang dan hidupan laut.

Blue Hole tampak seperti biji mata yang besar ditengah lautan luas, berbentuk lingkaran, berwarna biru gelap yang dikelilingi oleh laut berwarna biru muda.

Warna Blue Hole ini menunjukkan bahawa ia lebih dalam daripada laut disekeliling dan sebenarnya, Blue Hole adalah gua yang berbentuk vertikal.

Berikut adalah 6 Blue Hole yang boleh ditemui di dunia setakat ini.

1. Dragon Hole, China

Dragon Hole, China
Dragon Hole.

Dari semua Blue Hole yang terdapat di lautan, yang paling dalam terletak di China yang ditemui pada tahun 2017 lalu dan warga tempatan menggelarnya Dragon Hole atau Lubang Naga. Dengan lingkaran warna biru menghitam mengelilingi, ia terasa begitu misteri apabila melihatnya.

Pengkaji dari Sansha Ship Course Research Institute menyatakan bahawa kedalaman lubang ini adalah sekitar 300 meter yang diukur menggunakan robot yang mampu menghitung kedalamannya.

Sementara itu, ada sekitar 20 spesies hidupan laut yang ditemui di dalam lubang tersebut namun, kandungan oksigen sudah tidak boleh ditemui lagi dari 100 meter ke dalam.

Bagi masyarakat tempatan, Dragon Hole ini dianggap sebagai "mata" Laut China Selatan dan terletak di kawasan pantai Paracel Islands.

2. Great Blue Hole, Belize

Great Blue Hole, Belize
Great Blue Hole.

Di Belize, sebuah negara di Amerika Tengah, terdapat salah satu lubang bawah laut di dunia, iaitu Great Blue Hole. Berjarak 70 kilometer dari Belize City, kota terbesar di Belize, Great Blue Hole dengan kedalaman sekitar 125 meter, lebar 300 meter, diyakini sebagai Blue Hole terbesar di dunia.

Great Blue Hole adalah sebahagian dari gugusan terumbu karang Belize, yang terbesar kedua selepas Great Barrier Reef di Australia. Selain itu, ia juga telah diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Menjadi terkenal pada 1971 selepas pengkaji lautan, Jacques Cousteau, menjalankan dokumentasi terhadapnya, Great Blue Hole kemudiannya menjadi lokasi selaman popular sejak itu namun, sehingga kini masih banyak yang tidak diketahui mengenai Great Blue Hole.

Salah satu penemuan menarik di lokasi ini adalah, adanya lapisan rendah oksigen di bahagian atas dasar laut di Great Blue Hole.

Lapisan itu mungkin menyimpan bukti punca yang mempengaruhi kejatuhan peradaban Maya antara tahun 800 hingga 1,000 Masihi.

Ketika ekspedisi dijalankan, pengkaji menemui bukti bahawa Great Blue Hole tidak selalu berada di dalam air kerana mereka menemui adanya stalaktit dan stalagmit di dalamnya.

Stalaktit dan stalagmit hanya boleh terbentuk di dalam gua yang kering dan ini merupakan bukti bahawa permukaan laut dulu lebih rendah dan naik naik secara drastik akibat perubahan iklim.

3. Dean Blue Hole, Bahamas

Dean Blue Hole, Bahamas
Dean Blue Hole.

Dean Blue Hole adalah lubang besar yang ada di laut dan memiliki kedalaman sekitar 203 meter, terletak di Long Island, Bahamas.

Lubang biru besar ini lebih dikenali sebagai Dean Blue Hole, mirip nama seseorang kerana menurut penduduk tempatan, Dean Blue Hole dinamakan sempena nama keluarga yang memiliki tanah di sekitar The Bahamas Dean Blue Hole ini berada.

Dean Blue Hole yang terletak di bandar Clarence ini sering menjadi tempat snorkeling bertaraf dunia yang mahu melihat keindahan luar biasa gua bawah laut dan lubang biru besar disitu.

Ketika menyelam di Dean Blue Hole, terdapat lubang yang memiliki ukuran yang tidak terlalu besar, namun ketika meneruskan aktiviti snorkeling, lubang tersebut semakin lama akan semakin besar dengan diameter seratus meter.

Penyelam kemudiannya akan melihat banyak terowong dasar laut dengan jumlah air yang bertekanan tinggi, menandakan terowong tersebut mengalirkan air menuju ke laut lepas.

4. Great Barrier Reef, Australia

Great Barrier Reef, Australia
Great Barrier Reef.

Satu lagi Blue Hole boleh ditemui di gugusan batu karang terbesar dunia, Great Barrier Reef, Australia. Lubang raksasa ini dikelilingi oleh daratan pulau kecil yang terbentuk dari batu kapur serta terumbu karang dan mungkin lebih tua dari Great Blue Hole di Belize.

Lokasinya berada di salah satu kawasan Great Barrier Reef yang hampir tidak pernah dijelajahi, sekitar 200 km dari Daydream Island dan untuk sampai ke lokasi, anda harus melakukan perjalanan selama 10 jam.

Blue Hole ini ditemui sekitar bulan September 2017 dengan kedalaman dianggarkan sekitar 50 hingga 65 kaki.

5. Red Sea, Mesir

Red Sea, Mesir
Red Sea Blue Hole.

Satu lagi Blue Hole yang sangat terkenal terletak di tepi laut merah yang dalamnya mencapai 120 meter dan mempunyai terowong yang panjangnya 26 meter.

Blue Hole ini dikenali dengan panggilan The Arc kerana ramai penyelam yang ingin menjelajah terowong bawah laut ini akan berhadapan dengan kesukaran dan banyak terjadi kemalangan sewaktu menyelam.

Oleh kerana itu, Blue Hole ini dianggap menjadi tempat yang paling berbahaya bagi penyelam. Pihak berkuasa Mesir mendakwa bahawa, 40 penyelam telah meninggal dunia di lokasi ini.

Kemalangan paling terkenal dan terakam melalui kamera video di Blue Hole ini adalah Yuri Lipski, seorang penyelam Israel-Rusia yang meninggal pada kedalaman 91.6 meter di bawah laut, kerana kurang berpengalaman dan peralatan yang tidak mencukupi.

6. Teluk Darvel, Malaysia

Blue Hole, Lahad Datu
Blue Hole, Lahad Datu, Malaysia.

Teluk Darvel di Lahad Datu, Sabah, diyakini mampu menarik kedatangan pelancong dunia berikutan penemuan tapak selam skuba yang ikonik dikenali sebagai ‘Blue Hole’ (Lubang Biru) di Terumbu Tingkayu.

Penemuan itu direkodkan pada 14 Februari 2019 lalu oleh sekumpulan penyelam skuba termasuk penyelidik dari Taman-Taman Sabah (TTS) yang mengikuti Ekspedisi Saintifik bagi mengumpul data sumber marin di Teluk Darvel.

Lebih menarik, Blue Hole itu ditemui dengan dua struktur lubang biru, berbanding Blue Hole lain di dunia yang hanya ada satu lubang.

Setiap satu berkedalaman 15 meter (45 kaki) ke dasar laut, adalah penemuan tunggal di Sabah dan berkemungkinan di Malaysia.

Penemuan itu terjadi apabila peta remote sensing mengesan kawasan terumbu karang tetapi tidak menyangka tapak itu adalah Blue Hole dan boleh dibuka kepada penyelam ‘open water’ selain boleh dijadikan tapak aktiviti sea-walking.

Kedudukan Blue Hole ini terletak berdekatan dengan Pulau Sipadan di Semporna, yang hanya mengambil masa sejam dari Sipadan menggunakan bot laju.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Kronologi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Kronologi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mencetuskan perbalahan mengenai kos pembinaannya sebelum ini akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Kronologi ECRL

ECRL akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Berikut adalah kronologi pelaksanaan ECRL.

21 Okt 2016

Projek ECRL diluluskan Kabinet ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

1 Nov 2016

CCCC dianugerah kontrak bagi melaksanakan projek landasan sejauh 688 kilometer menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

3 Mei 2017

Tambahan peruntukan sebanyak RM1.28 bilion bagi lanjutan jajaran dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor.

13 Mei 2017

Malaysia menandatangani perjanjian tambahan dengan CCCC untuk fasa kedua perjanjian bagi fasa kedua projek ECRL bernilai RM9 bilion.

9 Ogos 2017

Kerja pembinaan projek ECRL dimulakan.

23 Ogos 2017

Kabinet meluluskan projek menaik taraf ECRL kepada projek landasan berkembar yang akan menelan perbelanjaan tambahan RM10.5 bilion.

3 Julai 2018

Malaysia Rail Link Sdn Bhd arah CCCC hentikan kerja pembinaan yang ketika itu telah siap 15 peratus.

20 Mac 2019

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata projek ECRL akan diteruskan pada skala yang sesuai apabila rundingan semula projek itu dengan China dimuktamadkan.

22 Mac 2019

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin berkata Malaysia dijangka memuktamadkan perjanjian ECRL pada awal April dengan penjimatan kos melebihi RM10 bilion.

2 April 2019

China jemput Malaysia ke Beijing untuk kemaskini status rundingan projek ECRL.

6 April 2019

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengesahkan bahawa jajaran projek ECRL akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan sekiranya ia diteruskan selepas rundingan diadakan dengan kerajaan China, pada hujung bulan April 2019.

12 April 2019

Kerajaan umum akan menyambung semula projek ECRL dengan jajaran baharu meliputi Jelebu, Negeri Sembilan manakala pembinaan stesen Gombak digugurkan menjadikan jajaran baharu iaitu dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Bertentang Mata Dengan China

Seorang penyumbang kepada majalah perniagaan Forbes memuji Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana berani melawan China manakala pemimpin dunia lain tidak.

Ahli ekonomi Yunani, Panos Mourdoukoutas berkata, ini merujuk tindakan Putrajaya untuk merunding semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan China, berjaya mengurangkan kosnya dari RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.

"Masalahnya ialah banyak projek infrastruktur China tidak berdaya maju, kerana ia dibina dengan kos yang melambung hingga membebankan negara-negara dengan hutang besar kepada Beijing.

"Perangkap hutang ini yang Perdana Menteri Mahathir Mohamad cuba elakkan. Pada Ogos 2018 lalu, beliau membatalkan projek ECRL dan ini memaksa China kembali ke meja rundingan.

"Dan beliau menang, seperti yang dibuktikan oleh perjanjian baru, kos projek berjaya bdikurangkan dengan ketara," tulisnya di Forbes.

Sebaliknya, Mourdoukoutas berkata, negara seperti Sri Lanka terhutang budi kepada China melalui projek-projek seperti pelabuhan Hambantota, Bandar Pelabuhan Colombo dan Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa.

Katanya lagi, Filipina dan Pakistan juga mengalami masalah sama apabila terikat dengan projek-projek mega yang dibiayai dan dibina oleh China.

"Adakah Duterte dan Imran Ahmed Khan berani melakukan perkara yang sama, menyelamatkan negara mereka daripada mengalami nasib malang seperti Sri Lanka?” soalnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

The Rain Vortex, Air Terjun 'Tertutup' Paling Tinggi Di Dunia

The Rain Vortex, Air Terjun 'Tertutup' Paling Tinggi Di Dunia

Air terjun tertinggi di dunia, Angel, Venezuela terletak dilokasi yang perlu berjalan kaki merentas hutan dan batu-batu, begitu juga kebanyakan air terjun terkenal yang lain di seluruh dunia namun, bagaimana kalau kini anda boleh melawat air terjun paling tinggi di dunia yang hanya terletak ditengah-tengah kotaraya pada bila-bila masa?

Air terjun tertutup paling tinggi dunia
The Rain Vortex.

Sebenarnya, air terjun dalam bangunan paling tinggi di dunia, dikenali sebagai ‘The Rain Vortex’ setinggi lebih 40 meter kini dibuka kepada umum di Jewel, Lapangan Terbang Changi, Singapura.

Jewel yang turut digelar sebagai ‘hab gaya hidup’ itu juga terus mengumpan pengembara dan pelancong dari seluruh dunia dengan pembukaan hutan buatan serta taman setinggi empat tingkat.

Selain taman permainan dan pusat beli-belah baharu, penambahan kedai dilihat sebagai langkah paling popular pengurusan lapangan terbang untuk memaksimumkan perniagaan mereka.

Di Singapura, 280 kedai dan restoran baru berkongsi kemudahan pelbagai guna di premis 10 tingkat, lima di atas dan lima di bawah tanah.

Tarikan terbaharu itu, air terjun tertutup paling tinggi di dunia, kini dibuka kepada umum, manakala kedai dan restoran di lapangan terbang Changi, memulakan perniagaan pada 17 April 2919.

Beberapa tarikan, termasuk Jambatan Kanopi, tidak akan dibuka sehingga musim panas.

Penampilan terbaharu lapangan terbang itu mendapat inspirasi dari ‘City in a Garden’ Singapura dan direka oleh arkitek, Moshe Safdie.

Perluasan Terminal 1 lapangan terbang Changi itu juga membawa kepada keputusan untuk mengembangkan lagi pilihan perniagaan dan kedai makan serta kemudahan rekreasi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

'Deep State' Kuasa Ghaib Disebalik Pentadbiran Sesebuah Negara

'Deep State' Kuasa Ghaib Disebalik Pentadbiran Sesebuah Negara

'Deep state' atau 'negara terpendam' adalah suatu istilah 'negara dalam negara' yang bermaksud sekumpulan orang atau satu sistem dalam institusi negara yang mempunyai pengaruh besar untuk menentukan keadaan politik melangkaui kerajaan itu sendiri.

Apa itu Deep State

Institusi itu mungkin wujud dalam bentuk istana, polis, agensi perisikan, angkatan tentera, akademik, kehakiman dan perkhidmatan awam.

Deep People

Tetapi, istilah “deep people” tidak ada, namun kalau konsep “deep state” itu wujud, maka apa salahnya ada konsep “deep people”.

Tidak ada takrifan lagi untuk “deep people” tetapi ia boleh merujuk pada kalangan rakyat yang boleh mempengaruhi keadaan politik negara, juga melangkaui kerajaan atau “rakyat dalam rakyat.”

Maknanya “deep people” mengimbangi “deep state” supaya demokrasi dapat berfungsi dan berkesan untuk memenuhi tujuan asas sistem pemerintahan untuk rakyat.

Tangan Ghaib

"Deep state” juga tidak semestinya benar-benar wujud. Ia merupakan suatu konsep untuk menggambarkan realiti politik sesebuah negara di mana aktiviti demokrasi itu terletak di bawah kehendak sesuatu pihak, iaitu yang dinamakan “deep state.”

Ia mungkin juga hendak menggambarkan suatu konspirasi politik bagi memastikan negara dan kerajaan tidak menyeleweng daripada landasan yang ditetapkan kumpulan ini.

Maknanya, rakyat boleh memutuskan apa saja melalui demokrasi tetapi ia tidak boleh terkeluar daripada kerangka negara yang dikehendaki oleh “deep state.”

Konsep “deep state” ini disebut oleh Menteri Luar, Saifuddin Abdullah ekoran pengumuman Dr Mahathir Mohamad bahawa Kabinet membatalkan keputusan Malaysia menyertai Statut Rom.

Tetapi, konsep “deep state” pada zaman moden merujuk kepada apa yang berlaku di Republik Turki apabila ia mula ditubuhkan oleh Kamal Attaturk pada 1923.

Namun, ia mula digunakan terhadap Turki pada 1990-an apabila berlaku rampasan kuasa tentera.

Apa yang disebut sebagai “deep state” pada Turki adalah rangkaian sulit dalam kalangan polis, tentera dan agensi perisikan bagi memastikan jati diri dan keutuhan republik itu tidak tergugat.

Lebih-lebih lagi pada awal penubuhannya itu, pihak Barat masih mahu meleraikan Republik Turki dengan mendokong wilayah negara itu dipecah-pecahkan untuk menjadi Kurdistan dan juga daerah untuk digabungkan dengan Greece, Rusia atau Armenia, maka “deep state” diwujudkan di Turki bagi menjamin keutuhan negara itu.

Walaupun Attaturk mahukan sistem demokrasi berkembang dan berkesan supaya Turki menjadi maju seperti mana negara Barat yang lain, tetapi beliau tentu tidak mahu kesannya merosakkan jati diri negara itu.

Sejarah moden Turki menyaksikan campur tangan tentera dalam politik, dengan banyak rampasan kuasa ketika kerajaan dilihat boleh menjejaskan apa yang dianggap sebagai keutuhan negara.

Malah, presiden Turki sekarang juga berdepan dengan usaha rampasan kuasa tentera kerana ada dikalangan tentera beranggapan kerajaan Reccep Tayyip Erdogan mengancam aspirasi “deep state.”

Pemimpin Turki itu dapat mengatasi rampasan kuasa itu kerana sebahagian besar rakyat turun ke jalan raya yang maknanya dikalangan rakyat itu ada “deep people".

Konsep “deep state” ini juga digunakan terhadap Amerika Syarikat, walaupun proses demokrasi menghasilkan presiden daripada 2 parti yang bertentangan, tetapi segala dasar dan tindakan kerajaan tetap berada pada kehendak “deep state.”

Maka, dunia dapat menyaksikan walau siapapun yang menguasai White House dan Kongres AS, kuasa besar itu tetap mengikut dasar luar yang serupa dan perbezaan hanyalah kepada pendekatan.

Antara kehendak “deep state” AS ialah mepertahankan kedudukannya sebagai kuasa besar untuk menjaga kepentingan minyak, serta memelihara keselamatan Israel.

Selepas Perang Dunia Ke-2, banyak negara mencapai kemerdekaan dan akibat persaingan dengan Soviet Union, AS juga campur tangan dalam hal ehwal banyak negara asing. Mereka juga menerapkan konsep “deep state” ini pada negara baru merdeka.

Antara aspirasi utama “deep state” ini ialah memastikan negara mereka tidak jatuh ke tangan komunis. Untuk itu tentera menjadi institusi dominan dengan bantuan tentera dihulurkan oleh AS.

Di Asia Tenggara, peranan tentera dilihat amat besar, khususnya di Indonesia, Myanmar dan Thailand.

Walaupun selepas kejatuhan Suharto, Indonesia berusaha melaksanakan demokrasi tetapi Thailand dan Myanmar menyaksikan pengaruh besar tentera yang tidak boleh digugat oleh rakyat.

Malah, dalam pilihan raya umum Thailand, seperti mana yang berlaku di Myanmar beberapa tahun lalu, proses demokrasi mereka terhad dengan kekuasan tentera yang terus kuat dalam kerajaan dan Parlimen.

Konsep “deep state” terserlah di Myanmar dan Thailand. Ia tidak “deep” atau “terpendam.”

Bagaimana tentera menggunakan atau berpakat dengan istana adalah jelas bagi para pemerhati.

Deep State Di Malaysia

Di Malaysia, soal “deep state” tidak timbul selama mana Perikatan dan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno terus memerintah.

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu di atas runtuhan Malayan Union dengan penggubalan perlembagaan menjadikan tidak perlunya ada “deep state.”

Segala institusi negara, dari istana, tentera, perkhidmatan awam terpelihara dalam perlembagaan negara, dengan parti politik memerintah yang selaras dengan apa yang dirasakan sebagai jati diri atau tonggak negara.

Tetapi, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Lambat laun rakyat akan memilih parti selain daripada Umno dan BN kerana tidak akan ada sesebuah parti yang akan memerintah selama-lamanya.

Maka, selepas pilihan raya umum 2008 apabila BN kehilangan 5 negeri, beserta kegagalan memperoleh majoriti 2/3 di Dewan Rakyat, maka kesedarannya ialah tidak boleh menolak kemungkinan kerajaan akan bertukar parti suatu hari nanti.

Selepas pilihan raya itulah timbul kekhuatiran kalau-kalau parti selain BN yang menang, maka jati diri dan tonggak negara seperti yang dianggap oleh golongan tertentu akan terjejas.

Dari masa itu, bermulalah penekanan terhadap konsep ketuanan Melayu, malah disebut sesiapapun yang memerintah negara, mereka tidak boleh meminda apa yang disebut sebagai teras atau tonggak negara.

Untuk ini, bukan saja polis dan tentera dilihat sebagai tonggak negara, tetapi ahli akademik Melayu turut mengeluarkan hasil pemikiran bagi mempertahankan negara.

Institut penyelidikan juga ditubuhkan untuk menghujah kuat apa yang disebut sebagai tonggak negara, maka dalam keadaan inilah disebut mengenai “deep state” di Malaysia.

Maknanya, walaupun pilihan raya umum akan menghasilkan parti yang lebih terbuka dan bebas daripada Umno dan BN, namun mereka berharap ia tidak akan menjejaskan apa yang disebut sebagai jati diri negara.

Tetapi, setelah PH memenangi PRU14, maka dirasakan “deep state” itu perlu digerakkan. Jadi apa jua pembaharuan atau refornasi yang hendak dilakukan, maka “deep state” ini akan mengambil berat.

Maka tidak mustahil pembaharuan yang hendak dilakukan kerajaan seperti ratifikasi Konvensyen Antarabangsa bagi Pembasmian Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom dilihat sebagai mengancam jati diri negara seperti mana yang dianggap oleh “deep state.”

Tetapi seperti biasa, tidak semua rakyat yang menyokong “deep state.” Ada yang mengemukakan aspirasi negara alternatif, yang berbeza daripada apa yang dipegang oleh Malaysia sejak 60 tahun lalu.

Kalau rakyat kuat, mereka merupakan “deep people” Malaysia yang timbul kerana hendak mengimbangi “deep state.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: FMT

SBDJ Siri 45: Badan Pawang Berasap

SBDJ Siri 45: Badan Pawang Berasap

Datuk terus menggosok-gosok pangkal hidungnya beberapa kali. Matahari pagi kian meninggi, sudah berada di paras pucuk kelapa bercabang dua dan sinarnya terus menjamah pada air sungai yang bergelombang kecil itu.

Badan Pawang Berasap

Memang tidak ada seorang pun penduduk Kampung Tanjung Ara yang mengetahui kami berada di kawasan itu.

Kedudukannya agak tersorok dan dilindungi oleh beberapa pohon-pohon besar yang di gayuti oleh akar sebesar lengan budak.

Manakala bibir tebing tempat kami berdiri pula, berkeadaan seperti sebuah teluk kecil yang pantainya berpasir halus.

Melihat pada keadaan tempat tersebut dan bentuk pasir yang terdapat di situ, ternyata kawasan tesebut menjadi tempat buaya berjemur dan bertelur.

"Bagaimana? Apa kau mahu menyangkal dengan apa yang aku katakan itu?", datuk terus renung wajah Saadun Juling.

Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Saadun Juling pada pertanyaan itu. Datuk lalu mengerutkan dahinya hingga kelihatan berlapis dua.

Saadun Juling secara mendadak mengenggam penumbuk dan menahan nafas hingga mukanya kelihatan merah.

Bila Saadun Juling melepaskan nafasnya terdengar macam bunyi suara buaya mendengkur dan wajahnya kelihatan garang sekali, biji matanya terbeliak mempamerkan urat mata yang merah berlajur atas selaput mata putihnya.

Kelopak matanya nampak berlapis macam kulit buaya tua.

"Aku tahu kau marahkan aku Saadun. Tetapi, cuba kau fikir berapa lama kau mahu melakukan kerja terkutuk ini?"

"Itu urusan aku.”

"Dan urusan aku pula menyelamatkan orang-orang di sini."

Lagi sekali Saadun Juling terdiam. Perlahan-Iahan dia melangkah ke hadapan sambil membelakangi datuk.

Dalam sekelip mata saja, Saadun memusingkan badannya lalu berdiri berhadapan dengan datuk sambiI membongkokkan badannya, tetapi biji matanya tetap menentang biji mata datuk.

Dada saya mula berdebar dan hati kecil saya bagaikan dapat meramalkan yang Sadun Juling akan bertindak di luar rasa peri kemanusiaan.

Datuk masih lagi berdiri dengan tenang, mata datuk tidak berkelip-kelip ke arah biji mata Saadun Juling yang kelihatan agak tersembul dan bersinar-sinar, macam mata kucing hutan terkena suluh lampu picit.

"Aeiiii…”, pekik Saadun Juling sambil melompat lalu melepaskan satu tendangan kilat ke dada datuk.

Kerana tendangan itu terlalu kencang dan kuat, datuk jatuh ke bumi.

Dalam keadaan yang serba cemas itu, Saadun Juling berpusing ke arah saya lalu melepaskan penumbuk sulungnya ke pipi kanan saya, pandangan saya jadi berpinar-pinar, pipi mula terasa bengkak dan menebal.

Saya terjatuh atas rumpun lalang liar, saya tidak berdaya mahu bangun.

Saadun Juling terus menyerang datuk dengan bertubi-tubi, menyepak dan menendang ikut suka hatinya pada tubuh datuk yang tersungkur di bumi.

Datuk tidak membalas serangannya yang begitu cepat bagaikan kilat itu, datuk lebih banyak mengelak dan mempertahankan dirinya.

Saadun Juling memperlihatkan kehandalannya mengalahkan pihak lawan, gerak tangan dan kakinya macam kibasan ekor buaya, muka datuk mula dibasahi darah.

Datuk kelihatan tidak bermaya dan Saadun Juling kian ganas, terus menyerang tanpa belas kasihan.

"Aieee...”, jerit Saadun Juling dengan lantang, ketika itu saya lihat batang tubuhnya sudah berada diawang-awangan dan bersedia untuk menendang pangkal leher datuk.

Kalau tendangan itu tepat pada sasarannya, pasti nyawa datuk melayang dari badan.

Bila tendangan dari Saadun Juling hampir ke batang leher, datuk segera mengelak dengan memusingkan badannya ke arah perdu pokok bunga tanjung.

Usaha datuk itu berjaya, Saadun Juling tertendang perdu bunga tanjung. Kerana tendangan itu terlalu kuat sebahagian dari pada kulit perdu bunga Tanjung terkopak.

Saadun Juling menjalar atas bumi seketika, kemudian dia merangkak macam buaya untuk menyerang datuk.

Dengan cepat datuk bangun lalu melompat ke atas belakang Saadun Juling.

Kedua belah tangan datuk memegang rambut Saadun Juling di bahagian ubun-ubun kepala.

Saadun Juling tidak melawan, dia terkapar atas bumi dengan kedua belah tangannya terkedang, macam katak mati dilanggar tayar lori.

"Saadun, aku tahu di mana kekuatan dan sumpah ilmu kamu”, kata datuk sambiI bangun.

Di tangan datuk saya lihat tergenggam rambut Saadun Juling.

Tanpa banyak cakap Saadun Juling terus bangun dan duduk bersandar di perdu bunga tanjung. Dia kelihatan letih benar, nafasnya tercungap-cungap.

Datuk terus membersihkan darah di muka dengan daun serunai laut. Kemudian daun itu diramas-ramasnya, lalu disapukan ke bahagian muka yang bengkak.

Tidak sampai sepuluh minit kemudian, bengkak dan lebam di mukanya terus hilang.

Ketika datuk mengubat mukanya dengan daun serunai laut, rambut Saadun Juling di sembunyikan di celah ketiak kanan.

"Saadun, aku minta pada kamu supaya jangan memuja semangat buaya yang boleh menyusahkan orang-orang di sini”, datuk merayu dengan nada suara yang lembut.

Saadun Juling juihkan bibir bawahnya ke hadapan. Datuk terus termenung panjang.

"Saadun, jangan jadikan diri kamu tempat orang meletakkan sumpah dan cara kau mencari rezeki begini tidak berkat, rezeki yang kau terima panas.

"Kau tak akan boleh hidup senang”, tambah datuk lagi dengan wajah yang tenang.

Saadun Juling tetap membisu, tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dirinya mahu patuh dengan permintaan datuk.

Datuk jadi serba salah, segala usahanya menemui jalan buntu. Datuk terus membasuh muka dengan air sungai.

Lama juga datuk merenung bayang wajahnya dalam air, setelah itu dia memetik daun keladi liar yang tum­buh di tebing sungai, daun keladi itu terus diisinya dengan air sambil mulutnya bergerak-gerak membaca sesuatu.

Dengan kedua belah tangannya, dia menatang air di dalam daun keladi dengan hati-hati (kerana dia tidak mahu rambut Saadun Juling yang disembunyikannya di celah ketiak itu jatuh ke tanah).

Bila datuk sudah hampir dengan Saadun Juling yang tercungap-cungap di pangkal pokok itu, datuk segera mencurahkan air dalam daun keladi ke muka Saadun Juling.

Saya lihat muka Saadun Juling pucat seketika, kemudian baru berdarah kembali.

Sebelum Saadun Juling berkata sesuatu, datuk terus menepuk dahi Saadun Juling sebanyak tiga kali berturut-turut sambil membaca selawat nabi.

"Biarkan dia di situ. Aku sudah melembutkan hatinya. Semoga niat baik aku diberkati oleh Allah”, ujar datuk pada saya.

Datuk terus duduk di sisi saya sambil melagakan ibu jari dengan jari telunjuk, macam orang membilang tasbih.

"Saadun, marilah kita berbuat baik sesama manusia dan mencari rezeki yang halal, tidak memeras orang lain secara terhormat untuk kepentingan diri kita sendiri”, kata datuk sambil merenung ke muka Saadun Juling.

Saya lihat Saadun Juling menarik nafas panjang sambil merenung ke arah langit yang terang benderang itu.

"Aku minta kau menghentikan perbuatan jahat dan menghalau buaya dari sini, itu saja permintaan aku Saadun, satu permintaan yang cukup mudah”, saya terdengar suara datuk mula meninggi.

Saadun Juling menjeling tajam ke wajah datuk.

"Mudah bagi kau, tapi susah bagi aku”, suara Saadun Juling mula keras.

"Maksud kau?"

"Kalau aku menurut cakap kau, ertinya aku menyerah nyawa pada buaya, aku akan mati."

"Hidup mati kau, bukan kuasa buaya, nyawa seseorang tergantung pada Allah.”

"Kalau kau pandai, kau sendiri halau buaya di sungai. Aku tak mahu, kau jangan halang kerja aku.”

"Eh, Saadun aku bukan pawang buaya macam kau, apa yang aku lakukan selama ini ialah petua untuk menjinakkan buaya, petua tu aku perolehi dari orang tua-tua, itu saja yang ada pada diriku."

Matahari kian panas bersinar, angin yang bertiup sekitar kawasan itu tidak dapat memberikan rasa sejuk pada diri saya.

Setiap kali saya menggerakkan kulit muka, akan terasa sakit dan pedih akibat kena penumbuk sulung dari Saadun Juling.

Bila saya raba dengan tapak tangan bahagian kulit yang pedih itu, terasa tebal dan membengkak.

"Tak apa Saadun, aku rnengajak cara baik kau tak mahu. Mulai saat ini kita bermusuh, kalau aku lalai akan jadi habuan kau dan kalau kau pula lalai, kau akan jadi habuan aku.

"Ingat kejahatan kamu akan aku ceritakan pada orang-orang di sini”, datuk mengugut Saadun Juling.

Rambut Saadun Juling yang disembunyikan di bawah ketiak dikeluarkan untuk disimpan dalam saku baju hitamnya, kemudian datuk mengajak saya pulang.

Baru lima langkah melangkah, Saadun Juling menerpa ke arah datuk sambil menghulurkan ulu golok pada datuk.

Saya dan datuk tergamam. Langkah kami terus mati. Datuk dan saya berpandangan, secara perlahan-Iahan saya melangkah tiga tapak ke belakang.

Bukan kerana takut, cuma bersiap sedia untuk lari, kalau Saadun Juling mengamuk dengan tiba-tiba.

"Untuk apa Saadun?"

"Potong rambut saya di bahagian tengkuk. Mulakan dari kiri ke kanan, jangan sampai sehelai pun rambut saya jatuh ke tanah."

Datuk pun segera mengambil golok dari tangan Saadun Juling. Datuk renung rambut Saadun Juling yang panjang dan lebat itu.

Dengan hati-hati datuk mematuhi arahan yang dikatakan oleh Saadun Juling.

Rambut yang sudah di potong itu segera di serahkan pada Saadun Juling kembali, kemudian dia membungkusnya dengan kain hitam.

"Mari kita duduk”, ujar Saadun Juling.

Panas kian terik. Lima minit masa berlalu, kami tidak bercakap walau sepatah pun. Curna Saadun Juling saja yang memandang liar ke kiri dan ke kanan.

Dari saku baju sebelah kirinya, Saadun Juling mengeluarkan kotak kecil. Kotak itu diserahkan pada datuk.

"Bukalah kotak itu”, katanya.

Datuk pun membuka kotak tersebut. Di dalamnya termuat sebilah pisau cukur bersarung hitam, segumpal rambut, sebutir telur buaya yang masih baik keadaannya serta dua bilah gigi buaya yang sudah berlubang.

Pada lubang itu dicucuk dengan benang hitam, bila disarungkan ke leher akan menjadi kalung.

"Ini ibu geliga buaya”, Saadun Juling menunjukkan pada datuk satu benda putih yang berkilat dan bentuknya seperti batu sebesar ibu jari.

Benda putih itu dikeluarkan oleh Saadun Juling dari sebelah rusuk kirinya. Datuk anggukkan kepala mendengar penerangan dari Saadun Juling, saya cuma melihat dan memasang telinga sahaja.

“Semangat buaya yang saya puja berada di sini, sekarang biarlah saya pulangkan padanya kembali dan saya minta pada buaya-buaya di sini pindah ke tempat lain”, muka datuk berubah mendengar kata-kata itu.

Saadun Juling terus mengambil sekepal pasir dan sehelai daun keladi. Pasir yang di genggamnya itu ditaruh atas daun keladi dan ibu geliga buaya ditaruh di tengah-tengah pasir lalu dibungkus dengan daun keladi.

Bungkusan itu di genggamnya sebentar sambil mulutnya menyebut sesuatu yang sukar saya fahami, bahasa yang di ucapkan bercampur aduk, ada bahasa Siam, ada bahasa Jawa dan bahasa Acheh.

Bila semuanya sudah selesai, bungkusan itu dilemparkan ke dalam sungai. Dalam sekelip mata saja, air sungai bergelombang.

Bila gelombang air sungai berakhir, berpuluh-puluh ekor buaya timbul. Semua kepala buaya itu menghadap ke hilir.

"Pindahlah kamu dari sini, aku bukan bapak kamu lagi, pergilah ke mana-mana”, jerit Saadun Juling.

Ternyata buaya-buaya di sungai itu mendengar cakapnya, buaya-buaya itu bergerak menuju ke kuala.

Saya kagum dengan kebolehan luar biasa yang dimiliki oleh Saadun Juling. Saya kira rasa kagum itu terjadi juga pada diri datuk.

Sebabnya, apa yang dilakukan oleh Saadun Juling datuk perhatikan dengan penuh minat.

Saadun Juling masih lagi merenung air sungai yang kelihatan agak tenang. Kelopak matanya tidak berkedip.

Tiba-tiba air sungai bergelombang kembali, seekor buaya sebesar batang kelapa timbul di permukaan sungai, buaya itu berenang ke tepi sungai.

"Berhenti dan tunjukkan badan kamu”, kata Saadun Juling, buaya itu segera menimbulkan seluruh badannya.

Warna badan buaya itu agak keputih-putihan sedikit dan pergerakkan kaki serta ekornya tidak sepantas macam buya-buaya yang lain.

"Aku tidak memerlukan kamu lagi, aku kembalikan semangat kamu yang aku pinjam pada kamu kembali, sumpah yang kita buat sudah tidak ada lagi, kau berhak memakan daging aku dan aku berhak membunuh kamu”, Saadun
Juling terus berkata-kata dengan buaya tersebut.

Saya lihat buaya itu terus menyelam dan ghaib. Di tempat buaya itu menyelam muncul sepotong kayu hitam macam kayu arang yang panjangnya kira-kira dua kaki.

Kayu itu berpusing-pusing di situ dengan ligatnya sambil mengeluarkan asap yang nipis dipermukaan sungai. Asap itu nampak memanjang naik ke udara.

Beberapa saat kemudian asap itu hilang, dan Saadun Juling terus jatuh ke tanah. Badan Saadun Juling kelihatan kaku, tidak bergerak dan kedua belah kelopak matanya tertutup rapat.

Dari sinar matahari yang cukup terik itu, saya lihat seluruh badan Saadun Juling mengeluarkan wap seperti wap dari ketul ais.

Bila wap itu hilang Saadun Juling mula bergerak dan terus bangun. Dengan langkah yang tenang dia mendekati datuk.

"Kamu lihat buaya putih tadi?"

"Ya."

"Sebenamya badan buaya itu tidak putih cuma penglihatan kita saja yang membuat kita menyangka buaya itu putih."

"Maksud kau Saadun?"

“Itulah buaya jadi-jadian yang aku puja dari puntung kayu hanyut di tengah sungai waktu malam.

"Sebelum puntung itu aku puja, puntung itu aku serahkan pada guruku untuk ditapa selama tujuh minggu dalam lubuk yang airnya berpusing.

"Setelah dipujanya barulah diserahkan pada aku untuk memujanya dengan beberapa syarat yang tertentu."

Datuk renung wajah Saadun Juling lama-lama, kemudian datuk tersenyum sambil meraba pipi kanannya berkali-kali.

Datuk hulurkan tangan pada Saadun Juling, cepat-cepat Saadun Juling menyambut huluran tangan datuk itu. Mereka berjabat salam penuh mesra sambi ketawa penuh makna.

"Kita bersahabat, tetapi kalau kau tersilap langkah ertinya kau habuan aku. Begitu juga dengan aku kalau tersilap langkah akan jadi habuan kamu," kata-kata itu diucapkan oleh Saadun Juling dengan penuh semangat.

"Kalau itu sebagai satu syarat untuk kita bersahabat, aku terima Saadun”, balas datuk.

"Memang itu syaratnya, aku senang bila kau terima syarat tersebut”, sahut Saadun Juling.

Seram juga mendengar janji dua orang yang mahu bersahabat ini, pelik dan ganjil sekali buat diri saya.

Saadun Juling terus melangkah beberapa tapak ke belakang dan ke hadapan di depan datuk.

Kerana datuk masih duduk bersila di tanah, langkah yang di atur oleh Saadun Juling itu diperhatikannya dengan ekor mata sambil bersedia kalau langkah itu akan bertukar menjadi buah silat lalu mencari sasaran di tubuh datuk.

Mujurlah langkah Saadun Juling tetap dengan langkahnya, tidak ada tanda-tanda akan bertukar menjadi buah silat membuat perasaan datuk jadi tenang.

Dalam keadaan yang begitu tenang Saadun Juling terus melompat dengan tiba-tiba dan terus duduk bersila di hadapan datuk.

Saadun Juling hulurkan kepalanya yang berambut panjang serta lebat itu pada datuk.

"Gunakan pisau cukur tadi dan cukurlah rambut ini, aku mahu membuang segala ilmu yang aku tuntut”, wajah datuk kelihatan berubah, bagaikan tidak percaya dengan apa yang dituturkan oleh Saadun Juling padanya.

"Kau mahu mempermainkan aku atau kau memang berhajat betul."

"Aku bercakap benar, segala kekuatan ilmu yang aku tuntut terletak pada rambutku.

"Sebab itulah aku menyimpan rambut panjang, ada tujuan dan gunanya, kata orang ada muslihatnya."

"Begitu. Fahamlah aku sekarang."

"Eh, kau memang bijak, pura-pura tidak tahu. Padahal kau sendiri tahu, bila kau menarik rambut aku tadi aku sudah tahu yang kau sudah mengetahui rahsia diri aku."

Datuk tersenyum mendengar kata-kata dari Saadun Juling itu. Datuk tidak dapat berdalih lagi, secara terus terang datuk mengatakan pada Saadun Juling, segala rahsia kekuatan itu diketahuinya setelah melihat cara-cara Saadun Juling berjalan serta cara kerdipan mata Saadun Juling.

Secara jujur pula Saadun Juling mengakui, sebab utama dia mahu mengikut cakap datuk kerana datuk mengetahui rahsia kekuatan dirinya.

Andainya datuk tidak mengetahui rahsia itu, dia akan bermusuh dengan datuk hingga hari kiamat.

Tanpa membuang masa lagi, datuk pun mencukur rambut Saadun Juling dengan meninggalkan rambut bahagian ubun-ubun kepala dalam bentuk bulat.

Kerana rambut yang tinggal itu panjang membuat saya teringat pada rambut kaun Red Indian di Amerika yang selalu saya Iihat dalam filem cowboy.

Saya tersenyum, memang bodoh kelihatannya bila orang tua berjambul dengan rambut panjang, sebabnya, datuk meninggalkan rambut tersebut adalah atas permintaan Saadun Juling sendiri.

"Sekarang cukurlah rambut yang tinggal itu dan kau bersedialah mengelakkan diri kau dari terkena badinya”, kata Saadun Juling sambil menyuruh datuk mengambil segumpal rambut, telur buaya dan dua bilah gigi buaya dari dalam kotak kecil.

Kalung dari gigi buaya disangkutkan ke lehernya, manakala segumpal rambut dan telur buaya diletakkan atas daun keladi dan daun keladi yang diisikan dengan barang tersebut pun diletakkan di bawah paha kanan Saadun Juling.

"Sekarang, cukurlah rambut itu dari arah matahari jatuh membawa ke arah matahari naik”, Saadun Juling segera memberikan perintah.

Datuk segera melakukannya. Bila mata pisau cukur terkena bahagian rambut tersebut, secara mengejut hujan turun dalam panas yang terik itu.

Air hujan yang kasar itu jatuh atas permukaan sungai membuat air sungai kelihatan seperti meruap-ruap.

Saadun Juling memejamkan matanya dan tangan datuk yang memegang pisau cukur kelihatan bergerak-gerak tidak tentu arah macam di tolak sesuatu.

Akhirnya dapat juga datuk mencukur rambut sejemput itu, setelah dia membaca beberapa potong ayat suci.

Bila rambut itu selesai di cukur, hujan panas segera berhenti. Tetapi, wajah datuk kelihatan kebiru-biruan, kedua belah bibirnya nampak hitam dan badannya menggeletar macam orang kena serang demam kura.

Datuk segera menghampiri saya serta menyuruh saya mencari daun lidah buaya dan cendawan telinga monyet.

Berpeluh juga badan saya mencari bahan-bahan yang dikehendaki oleh datuk sekitar kawasan itu.

Nasib saya agak baik, cendawan telinga monyet saya temui di batang getah buruk. Daun lidah buaya pula saya temui dalam jarak satu rantai dari batang getah buruk tersebut. Semua bahan-bahan itu saya serahkan pada datuk.

Cendawan telinga monyet datuk patah dua. Sebelah digosokkan pada tapak kaki kiri dan yang sebelah digosokkan pada tapak kaki kanan beberapa kali hingga rasa menggeletar di badannya hilang.

Bahagian kulit atas daun lidah buaya datuk kupas (siat) dengan golok, bila kulit itu tersiat terdapat sejenis lendir yang rupanya macam agar-agar.

Lendir itu datuk taruh atas tapak tangan lalu dimakannya. Saya terasa geli -geleman dan tekak saya terasa loya melihat datuk menelan lendir dari daun lidah buaya.

Bahagian bawah daun itu datuk kupas juga, lendirnya datuk ambil dan disapukan ke muka serta kedua belah lengannya.

Bibir datuk yang kelihatan hitam segera bertukar menjadi merah begitu juga dengan wajahnya yang kebiru-biruan pulih seperti sediakala.

"Daun lidah buaya ini banyak khasiatnya, kalau anak dara mahu kulit mukanya bersih serta halus tanpa jerawat sapulah lendir dari daun ini.

"Kalau kita mahu kelihatan muda (awet muda) sapukan lendirnya ke muka setiap petang, kalau badan terasa panas atau mahu menjaga kesihatan tubuh badan, ini khasiatnya”, kata datuk pada saya sambil mengeliat.

"Kalau mahu mengekalkan rumah tangga hingga mati dan mahu berbini lebih dari satu daun lidah buaya juga boleh digunakan.

"Orang lelaki yang memakai daun lidah buaya muda menawan hati orang perempuan.

"Tapi mesti ada petua dan syaratnya, belajarlah dengan datuk awak”, sampuk Saadun Juling.

Dan saya mengharapkan datuk akan mengeluarkan petuanya dan saya bersedia melakukannya.

Sebagai lelaki tentu saja saya teringin memikat atau jadi pujaan setiap gadis, kalau perlu mahu beristeri lebih dari satu.

"Petua yang itu tidak boleh diberikan pada Tamar. Belum tentu petua itu digunakan dengan sebaik-baiknya, hari ini kita nampak bagus, bila dah dewasa belum tentu dia bagus.

"Kalau petua tu terlepas padanya aku yakin dia akan jadi kambing randuk (bapak kambing) yang kerjanya membilang kepala bini atau membilang kepala betina”, kata datuk lalu disambut dengan ketawa berdekah-­dekah oleh Saadun Juling.

Sesunguhnya, kata-kata datuk itu meninggalkan kesan kecewa yang amat mendalam pada diri saya.

Apa boleh buat, mahu bertanya atau meminta petua itu pada datuk saya takut, silap-silap tanya atau minta nanti penampar hinggap ke muka paling kurang kena maki.

Matahari sudah berada betul-betul di atas kepala dan burung helang siwah mula terbang rendah mencari makan sambil berbunyi sekali-sekala, ketika itu jugalah Saadun Juling membentang kain kuning berbucu tiga di atas tanah.

Rambutnya sudah dicukur, dikumpul atas kain kuning tersebut. Begitu juga dengan pisau cukur, telur buaya, kalung gigi buaya dan segumpal rambut, semua benda-benda itu dibungkus dengan kain kuning lalu diletakkan di atas batang buruk dan dihanyut­kan ke tengah sungai.

Bila kain kuning di atas batang buruk itu bergerak ke hilir, helang siwah yang terbang terus men­junam serta menyambar kain kuning tersebut, bila kain kuning itu berada dimuncung burung helang yang berlegar-Iegar di udara, terdengar satu leda­kan macam ledakan petir dan badan helang yang berada di udara berkecai, bulunya berterbangan ja­tuh atas permukaan sungai.

"Semuanya sudah habis, ilmu yang di tuntut sudah pulang ke tanah asalnya di Kuala Tari, Acheh, menemui tuannya”, ujar Saadun Juling dengan wajah yang gusar.

"Habiskan usia kamu yang ada ini untuk mengabadikan diri pada Allah, mohon ampun dan bertaubatlah pada Allah, semoga kau akan bahagia dunia akhirat”, datuk terus menepuk bahu Saadun Juling sambil meninggalkan kawasan tersebut menuju ke pondoknya.

Bunyi ledakan petir di tengah hari itu rupanya menimbulkan kegemparan pada para penduduk di Tanjung Ara, beberapa orang penduduk yang ingin tahu tentang kejadian itu segera mencari datuk.

"Apa yang mahu dirisaukan, bunyi petir ditengah hari perkara biasa semuanya berlaku atas kehendak Allah, kalau mahu mengetahui rahsianya carilah sendiri, saya sendiri tidak tahu”, kata datuk pada orang-orang kampung yang menemuinya dikaki tangga pondok tempat Saadun Juling menumpang.

Tanpa banyak soal jawab, orang-orang kampung terus pulang ke rumah masing-masing.

Sebagai membuktikan kejujuran dan keikhlasan hatinya pada orang-orang kampung Tanjung Ara dan datuk, Saadun Juling membuat keputusan untuk tinggal di kampung tersebut selama dua minggu lagi.

Alasan yang diberikan pada orang-orang kampung ialah untuk melihat sejauh mana kejayaannya menghalau buaya di sungai tersebut.

Sungguh memeranjatkan, usaha Saadun Juling tidak sia-sia. Buaya cukup sulit untuk di temui di sungai tersebut.

Kalau ada pun, buaya tersebut hanya sekadar menumpang lalu, mempamerkan tubuh badan seminit dua di permukaan sungai, kemudian terus hilang dan amat sukar dikesan kemana buaya itu menghilangkan diri.

Kerana kejayaan itu, orang-orang kampung telah sepakat untuk mengadakan kenduri kesyukuran dengan mengadakan jamuan makan tengahari di surau kampung tersebut setelah menunaikan sembahyang Zuhur secara berjemaah.

“Saya minta pada orang di sini supaya jangan membuang cicak ke sungai atau memancing ikan berumpankan cicak, perbuatan itu memang dilarang dan merupakan satu pantang. Kalau dilanggar pantang itu, buaya akan mengamuk kembali.

Jika ada diantara tuan-tuan yang memanggang cicak dengan buluh atau sebagainya lalu dibuang ke sungai padahnya cukup buruk, buaya akan membalas dendam, dalam ilmu pawang buaya hal ini memang merupakan pantang besar”, demikian Saadun Juling memberitahu orang-orang kampung.

Dia juga menyatakan pada orang-orang kampung bahawa segala ilmu yang dituntutnya bagi menangkap buaya, sudah dibuangnya kerana dia mula sedar yang ilmu itu banyak bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Dalam majlis kesyukuran itu juga, datuk mengambil daya usahanya sendiri mempertemukan Saadun Juling dengan suami wanita yang digodanya.

Memang diluar dugaan datuk pertemuan yang diadakan dengan tujuan yang baik menjadi sebaliknya.

Suami wanita itu menaruh dendam pada Saadun Juling. Bila dia berhadapan dengan Saadun Juling tanpa berfikir panjang, dia terus mencabar Saadun Juling supaya bergaduh dengan menggunakan parang panjang.

"Saadun, aku harap kau bersabar, orang yang sabar dikasihi oleh Allah, tujuan kita bukan mahu bergaduh, apa yang kita lakukan adalah untuk kebaikan.

"Untuk menghilangkan rasa permusuhan sesama Islam, bukankah Islam mahu para pe­ngikutnya berbaik-baik, hidup aman dan saling tolong-menolong”, kata datuk kepada Saadun Juling.

"Saya ikut cakap awak, asalkan tujuannya baik”, sahut Saadun Juling.

Datuk terus mendekati si suami yang sedang marah itu. Datuk tepuk bahu kanannya dua tiga kali, kemudian datuk ambil keris pendek yang tergenggam di tangan si suami itu.

Keris itu datuk masukkan ke dalam sarungnya. Orang-orang kam­pung yang tidak tahu tentang kedudukan perkara tersebut jadi tercengang-cengang sambil berbisik sama sendiri.

"Usah bimbang, mereka ada selisih faham sedikit. Biarlah saya yang cuba mengatasinya.

"Saya yakin kalau kita bersikap sebagai orang Islam sejati, ma­salah ini boleh selesai”, datuk memberitahu orang-orang kampung dan menyuruh mereka bersurai.

Datuk terus menemui si suami yang sedang naik darah itu kembali. Datuk terus bercakap-cakap dengannya sebentar, Saadun Juling cuma melihat dari jauh saja.

Saya menarik nafas tanda senang hati kerana datuk berjaya memujuk si suami yang sedang marah itu.

Saadun Juling bersalam dengan si suami yang mempunyai parut di betis kanannya, kemudian si suami itu mengajak datuk, Saadun Juling dan saya ke rumahnya. Kami di jamu dengan kopi panas di anjung rumah.

"Saya mengaku saya bersalah dalam hal ini, ambillah golok ini dan lakukan apa saja demi menjaga kehormatan awak sebagai seorang suami, saya rela mati atas perbuatan saya”, tiba-tiba Saadun Juling menghulurkan ulu golok pada si suami yang berparut di betis kanan.

"Tak perlu, saya faham dan saya sudah mengetahui kedudukan diri awak. Saya maafkan awak, walaupun perbuatan saya ini satu perbuatan dayus pada mata orang lain, saya tidak merasa kesal.

"Menjauhkan perasaan dendam dan bergaduh sesama orang yang seagama itu lebih mulia”, dengan tenang si suami itu bercakap pada Saadun Juling.

Mereka berdakap-dakapan dan menangis. Saya dan datuk sungguh terharu melihat peristiwa tersebut.

Dengan perasaan yang ikhlas si suami itu terus bertanya pada isterinya, sama ada dia mencintai dirinya atau Saadun Juling.

Dengan jujur si isteri itu menjawab, dia memang tidak mencintai atau menyayangi suaminya, kerana si suami itu bukan pilihan hatinya. Dia menikah dulu semata-mata mendengar cakap ke dua orang tuanya.

Si suami menerima keterangan itu dengan dada yang terbuka, kemudian dia membuat keputusan menceraikan isterinya, setelah Saadun Juling memberikan jaminan yang dirinya akan memperisterikan wanita tersebut.

Saadun Juling membuktikan kata-katanya itu, setelah wanita itu lepas edah, dia terus menikah dengan wanita tersebut.

Kemudian, Saadun Juling membawa isterinya ke kampung halamannya dan memulakan penghidupan baru dengan membuka kedai kopi dan barang-barang runcit di tempatnya dan namanya sebagai pawang buaya terus dilupakan orang.

Tamat siri 45/284

BACA: SBDJ Siri 44: Skandal Pawang Buaya
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, April 16, 2019

SBDJ Siri 44: Skandal Pawang Buaya

SBDJ Siri 44: Skandal Pawang Buaya

Datuk masih lagi berdiri di anjung rumah Alang Botak. Kedua belah tapak tangannya menekan kayu palang yang memisahkan bahagian dalam anjung dengan bahagian luar rumah. Mata datuk merenung tajam ke arah batang tubuh si suami malang yang dijamah oleh sinaran matahari petang yang lembut.

Skandal Pawang Buaya

Batang tubuh si suami malang hilang dari pandangan datuk di balik pokok besar, dekat liku jalan yang tajam.

Datuk mengeluh kecil sambil menggamit saya yang sedang berlari bersama kenalan-kenalan baru mengelilingi pokok asam belimbing buluh di tengah halaman rumah Alang Botak.

"Ada apa tok?", tanya saya di kaki tangga sambil menyapu peluh di dahi dengan telapak tangan kanan. Datuk senyum sambil meraba misai bengkoknya.

"Jangan terlalu riang bermain. Tok takut hilang riang datang duka”, katanya dengan tenang.

Saya gigit bibir dan termenung panjang sambil berfikir, kenapa datuk harus mengeluarkan ingatan itu pada saya?

Apakah dia sudah dapat mencium nasib malang yang akan menimpa diri saya?

Pertanyaan itu terus berlegar-legar dalam kepala saya tanpa menemui sebarang jawapan.

"Sudah, jangan termenung”, kata datuk sambil menepuk bahu kanan saya.

Sesungguhnya, saya tidak sedar bila masanya datuk turun ke tanah lalu berdiri di sisi saya.

"Mari ikut aku ke tebing sungai”, tambahnya lalu mengatur langkah.

Saya pusing kekanan lalu mengekorinya dari belakang. Langkah datuk cukup pantas. Kenalan-kenalan baru saya cuma melihat saja telatah saya dan datuk.

Meskipun matahari petang memancar redup, bahang panas terasa juga menjamah kulit badan.

Muka saya berpeluh, ketiak terasa bergetah begitu juga dengan bahagian belakang saya. Langkah datuk cukup cepat.

Bagi mem­persimbangkan langkahnya dengan langkah saya, saya terpaksa berlari-Iari anak.

Saya dan datuk sampai ke tebing sungai Tanjung Ara. Air sungai kelihatan tenang dan nampak bermanik-manik disentuh sinar matahari.

Rumput-rumput hijau di tebing terus merunduk bila kami pijak, tetapi, bangun semula bila kami mengatur tapak kaki ke arah lain.

Saya macam orang bodoh dibuat oleh datuk. Dia tidak berkata walau sepatah pun. Matanya tetap merenung ke arah riak air sungai yang beralun lembut.

Meskipun dia melangkah tanpa merenung bumi, datuk bagaikan ada panca indera yang keenam, boleh mengelakkan dirinya dari melanggar tunggul buruk atau lubang yang banyak terdapat di tebing sungai.

Sudah berantai-rantai berjalan di tepi tebing sungai menuju ke hulu, belum terdapat tanda-tanda yang datuk akan berhenti melangkah.

Kedua belah pangkal paha saya mula terasa sakit. Angin petang yang bertiup tidak dapat menghilangkan rasa resah dalam diri saya.

Saya resah mengikut cara datuk berjalan, saya resah kalau buaya timbul lalu ekornya memukul badan saya yang berjalan di tepi tebing sungai.

"Aduhh...”, jerit saya sekuat hati.

Kaki kanan saya bagaikan dipukul dengan kayu keras. Tanah tebing tempat saya berdiri kelihatan rebak dan air sungai bergelombang kuat.

Saya sudah tidak mampu berdiri lagi. Pandangan saya mula berkunang-kunang. Satu pukulan datang lagi. Kali ini lebih kuat dari pukulan yang pertama.

Badan saya bagaikan ditarik oleh sesuatu yang mendorong sebahagian daripada badan saya tercampak ke dalam sungai.

Saya terus menjerit dan mulai terasa lemas. Air sungai terus menyumbat lubang hidung dan mulut saya.

Badan saya bagaikan dibelit oleh sesuatu yang secara tidak langsung menekan dan menarik saya ke tengah sungai.

Saya berjuang dengan menggu­nakan segala kekuatan yang terdapat dalam diri saya supaya badan saya jangan tenggelam.

"Tolong saya tok, tolong”, kata saya dalam keadaan tercungap-cungap.

Antara tenggelam dan timbul itu, saya masih lagi dapat melihat batang tubuh datuk di tepi tebing dalam keadaan yang samar-samar.

"Sabar Tamar”, kata datuk lalu dia melemparkan kain ikat kepalanya ke arah saya.

Cepat-cepat kain ikat kepala yang berwama merah itu saya sambar. Saya berpaut pada kain itu sekuat hati.

Kemudian badan saya bagaikan terbang ke udara lalu jatuh betul-betul di kaki datuk.

"Kau sakit”, tanya datuk.

Saya anggukkan kepala. Datuk segera mengambil sekepal rumput hijau lalu menyapu ke muka saya tiga kali berturut-turut.

Kemudian datuk menyuruh saya mengunyah dan menelan rumput hijau.

Pada mulanya, tekak saya tidak dapat menerimanya kerana rasa rumput itu pahit dan payau.

Bila rumput itu saya telan, secara tiba-tiba saya terkencing dan terus muntah.

"Bisanya sudah aku tawarkan tetapi paha kanan kau luka kena giginya”, datuk bersuara tenang.

Saya masih lagi terlentang di bumi merenung awan dan langit. Rasa sakit mula terasa di paha kanan saya.

Datuk terus meraba paha saya dan darah mula membasahi rumput-rumput hijau yang segar di situ.

Kain lilit kepala tempat saya bergantung tadi, masih berada dalam tangan datuk. Saya merasa hairan, kain lilit kepala yang tidak sepanjang mana itu boleh menyelamatkan saya.

Bagaimana kain merah itu boleh panjang dan menjadi tali untuk menolong saya, timbul pertanyaan dalam hati.

Datuk terus memetik daun serunai laut, pucuk mengkuang hutan dan pucuk gelenggang.

Semua jenis daun itu datuk satukan dan terus diramasnya hinga sebati dan kemudian diperahnya. Air dari perahan daun itu datuk sapukan ke bahagian paha yang luka.

Darah segar berhenti keluar, rasa sakit tidak terasa, diganti dengan rasa sejuk dan segar.

Datuk segera menyuruh saya duduk di bawah pokok pulai. Dia kembali ke tepi sungai. Duduk bertinggung di situ.

Beberapa saat kemudian seekor buaya timbul dan rapat ke tebing sungai. Datuk berkata sesuatu dan buaya itu membuka mulutnya luas-Iuas.

Datuk hulurkan tangannya ke dalam mulut buaya macam mengambil sesuatu.

Datuk berlari ke arah saya. Tangan yang diselukkannya ke dalam mulut buaya itu, segera disapukan ke paha saya yang luka.

Tiga kali datuk berbuat demikian hingga saya terasa yang diri saya tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Saya boleh bangun dan cuba berlari, rasa sakit tidak saya alami.

Datuk mendapatkan buaya yang sedang membuka mulut itu. Datuk tepuk kepalanya tiga kali, hingga buaya itu merapatkan mulutnya lalu tenggelam ke dalam air.

"Masih ada buaya yang tidak dapat dipujanya. Tidak dapat diambil semangatnya dan buaya itu akan jadi sahabat kita”, ujar datuk pada saya sambiI melihat bekas gigitan buaya di paha saya.

Parutnya hingga kini kekal di paha saya, berwarna kehitam-hitaman dan kulit parut itu timbul sebesar jari kelingking yang memanjang bentuknya.

Datuk terus memimpin saya ke rumah Alang Botak. Sambil merawat saya malam itu, datuk menceritakan apa yang berlaku atas diri saya pada Alang Botak.

Bila Alang Botak mendesak datuk supaya melaporkan hal itu pada pawang buaya (Saadun Juling), datuk menolak dan meminta Alang Botak merahsiakan kejadian.

Datuk tidak mahu kejadian itu akan jadi buah mulut orang kampung yang boleh menghilangkan rasa keyakinan orang-orang kampung terhadap kemampuan pawang buaya tersebut.

Malam itu, kalau tidak silap saya malam Selasa, lebih kurang pukul dua belas tepat, datuk membangunkan saya. Dia suruh saya bersiap.

"Ke mana tok tengah malam buta begini?"

"Aku nak meronda kampung.”

"Sebab?"

Datuk tidak menjawab pertanyaan saya. Dia duduk disudut bilik sambil melilitkan kain merah ke kepala. Kemudian mulutnya kumat-kamit macam membaca sesuatu.

"Sudah sampai masa pertukarannya, antara penggantian masa dari dua belas kedua belas, dari bulan muram ke bulan bercahaya dari laluan kuasa syaitan kepada manusia.”

Saya dengar suara datuk bercakap sendirian. Bila habis bercakap jam dinding rumah Alang Botak berbunyi dua belas kali.

Saya terdengar desiran angin malam melanggar daun-daun di luar rumah. Saya terasa seram sendirian.

Saya juga terdengar bunyi suara kocakan air sungai yang hebat dituruti dengan bunyi orang memukul air sungai dengan papan, bunyinya bersahut-sahutan dan memanjang bercampur dengan tiupan serunai batang padi.

Bulu roma saya mula berdiri. Bunyi desiran angin bertambah kuat membawa suara lolongan anjing liar yang mendayu-dayu.

"Sekarang sudah pukul dua belas dua minit tengah malam, yang bertukar sudah berlaku, kita pergi sekarang Tamar”, datuk mengeluarkan perintah dan dia sudah pun membuka pintu. Berdiri di situ merenung malam yang kelam.

Datuk melangkah, saya pun melangkah. Tujuh biji anak tangga kami pijak hingga akhirnya, tapak kaki saya dan datuk bertemu tanah.

Embun jantan yang menitik menyentuh kulit telinga dan hidung. Kedinginan mula terasa menggigit tubuh.

Bunyi kocakan air dan tiupan serunai batang padi sudah tiada kedengaran lagi tetapi, desiran dedaun yang disentuh angin tetap juga kedenga­ran.

Di langit tiada sebiji pun bintang. Dan cengkerik terus bernyanyi. Katak puru terus melompat.

"Kau jangan banyak soal dan banyak tanya, ikut saja apa yang aku buat”, satu ingatan dari datuk.

Saya anggukkan kepala. Kami pun berjalan melintasi pepohon kecil yang tumbuh di kiri kanan jalan enam kaki.

Sekali-sekala badan saya dilanggar oleh kelawar liar yang terbang malam. Dari celah-celah pepohon yang kecil yang tumbuh merimbun itu terdengar suara burung segan.

Berjalan malam di tengah hawa yang dingin begitu amat menyeksakan. Bibir saya terketar-ketar.

Sekarang, kami terpaksa menempuh kawasan yang penuh dengan pokok-pokok kelapa.

Beberapa biji buah kelapa mambung jatuh, mengejutkan hati saya. Semangat terasa hilang.

Akhirnya, saya dapat mengesan ke mana datuk mahu membawa saya malam itu. Ternyata kami sedang menuju ke sebuah surau lama yang tidak digunakan di kampung itu.

Di bahagian belakang surau itu terdapat sebuah pondok yang bersambung dengan surau tersebut.

Disitulah pawang buaya Saadun Juling ditempatkan oleh orang-orang kampung.

"Berhenti”, ujar datuk, sebaik saja sampai ke perdu pokok kelapa gading.

Saya pun berhenti melangkah. Datuk terus duduk bersila dibawah pokok kelapa. Saya pun begitu.

Dari pondok di belakang surau terdengar bunyi orang menepuk tapak tangan yang diikuti dengan suara orang menyebut sesuatu, suara itu sekejap meninggi sekejap menurun macam orang membaca Quran.

Kalau didengar dengan teliti, ternyata orang itu bukan membaca Quran, tetapi menyeru sesuatu yang sengaja dibuat macam orang membaca Quran. Ada panjang, ada pendeknya.

"Rapat ke pondok, jangan berjalan. Kita merangkak perlahan-lahan jangan sampai terdengar olehnya”, datuk pun mula merangkak atas pasir.

Datuk jadi kepala jalan dan saya menuruti dari belakang. Bila sampai di bawah pondok, kami segera bangun.

Dari celah-celah dinding tepus, saya dan datuk mengintai ke dalam pondok.

Angin malam kian kurang bertiup, suara anjing liar cukup jelas kedengaran bersama dengan suara burung hantu dan jampuk.

Suara itu tingkah meningkah, bersahut-sahutan macam satu irama muzik di majlis pesta.

Keadaan bertambah seram dan menakutkan bila suara anjing, burung hantu dan jampuk itu disambut oleh suara dari dalam pondok yang gementar dan parau bunyinya.

"Tamar, kau lihat sini”, bisik datuk dan menyuruh saya mengintai ke dalam pondok.

Saya terkejut besar. Pawang buaya Saadun Juling yang tidak pernah saya tegur sapa itu sedang duduk bersimpuh menghadapi sebatang lilin besar berwarna merah.

Di hujung kedua belah lututnya terdapat lilin kecil yang diletakkan atas papan. Kedua-dua lilin itu mengeluarkan cahaya yang malap.

Cahaya dari lilin besar cukup jelas memperlihatkan dada Saadun Juling yang bidang.

Kepalanya hilang di selubung oleh kain hitam yang lunjung (tajam ke atas macam pucung).

Di bahagian kain yang menutup mata, hidung dan mulut dilubangkan yang di kiri kanan lubang itu dilapisi dengan kain putih mengikuti selebar mana lubang itu dibuat.

Memang menyeramkan melihat keadaan Saadun Juling, dalam keadaan demikian, kepalanya bergoyang ke kiri dan ke kanan macam orang ratib sambil mengeluarkan suara yang serak dan parau.

Dua tiga ekor kelawar liar berterbangan dalam pondok. Dua tiga ekor cicak mula datang ke arah Saadun Juling. Cicak-cicak itu beratur di hadapannya.

Salah seekor dari cicak itu yang bentuk badannya agak besar dari cicak biasa segera menjungkitkan ekornya, berpusing-pusing macam gasing.

Pada mulanya cicak itu berpusing ligat, kemudian beransur perlahan-Iahan, sebelum cicak itu berhenti berpusing Saadun Juling segera menangkapnya.

Saadun Juling dekatkan cicak itu ke api lilin besar. Ketika itu cicak-cicak yang tidak ditangkap segera menghilangkan diri, lilin di kiri kanan lututnya segera padam.

Suasana dalam pondok bertambah kelam, ketika itu terdengar bunyi deru air yang amat kuat, seolah-olah lantai pondok itu menjadi aliran air sungai.

Terdengar bunyi ekor buaya memukul air bertalu-talu. Seluruh badan Saadun Juling jadi basah kuyup oleh air yang dari mana datangnya, saya sendiri tidak tahu.

Dalam cahaya samar-samar itu, saya lihat ada bayang-bayang buaya duduk tertungguk di hadapan Saadun Juling. Warna buaya itu tidak berapa jelas.

Bila bayang buaya itu hilang, terdengar suara orang ketawa memanjang dari setiap sudut pondok, sarang labah-labah berterbangan atas lantai.

Badan saya jadi berpeluh, saya terasa ada sesuatu yang lalu di sisi saya yang tidak dapat saya lihat dengan mata kasar. Ada bunyi benda merangkak atas pasir menuju ke sungai.

Suara burung hantu kian kuat berbunyi, lolongan anjing bertambah sayu dan langit yang tadi muram mula cerah.

Saya renung ke kanan, saya lihat datuk meraba hujung kening kanannya tiga kali berturut-turut, masa itu juga lubang telinga saya menangkap bunyi deru angin yang amat kuat.

Bagi memastikan dari arah mana angin itu datang, saya renung ke kanan dan ke kiri, saya lihat pokok-pokok kecil tidak bergoyang.

Tetapi, badan saya mula terasa mahu rebah macam ditolak oleh angin yang kencang, saya terpaksa berpaut pada tiang gelegar pondok.

"Kau pegang kuat-kuat, semuanya untuk sementara saja”, bisik datuk pada saya sambil meramas-ramas lengan tangan kanan saya berkali-kali.

Badan saya terasa panas. Dan badan saya terasa bertambah kuat dan tegap. Tidak lagi terasa mahu rebah.

"Kita tunggu dan lihat, sampai dia keluar dari pondok ini”, beritahu datuk pada saya lagi.

Muka datuk saya renung, saya sudah tidak terdaya lagi mahu berdiri. Kepala lutut terasa lenguh.

Apa yang saya alami, tidak saya ceritakan pada datuk, saya takut dia marah.

Mahu atau tidak, saya terpaksa mengintai ke dalam pondok melihat apa yang akan dilakukan selanjutnya oleh Saadun Juling.

Saadun Juling membuka sarung kepalanya, kain itu dilipat rapi dan diletakkan dekat dinding pondok.

Saadun Juling bangun, berjalan tiga langkah ke hadapan, berpusing ke belakang lalu melangkah tiga tapak sambil tangan kanannya diletakkan atas kepala.

Kemudian dia berdiri seperti mula-mula tadi, duduk, membaca sesuatu dengan tenang. Saadun Juling membuka bungkusan dari kain hitam.

"Apa benda tu tok?" Saya beranikan diri menyoal datuk.

"Tengok dulu, jangan banyak tanya”, balas datuk.

Saya menggigit bibir dan mata terus melihat gerak-geri Saadun Juling. Dengan tenang Saadun Juling mengambil sesuatu lalu di sumbat ke dalam mulut, dikunyahnya dengan tenang dan penuh nafsu.

"Dia makan daging buaya kering”, datuk menjelaskan pada saya.

Saadun Juling bangun, ambil mangkuk dan air dan duduk kembali. Mangkuk yang sudah diisi air itu diletakkan di hadapannya.

Kemudian Saadun mengambil sesuatu dari bungkusan kain hitam. Benda yang diambilnya itu direndam ke dalam mangkuk kira-kira sepuluh minit.

Kemudian, cepat-cepat Saadun Juling meminumnya. Dalam beberapa saat saja mukanya kelihatan merah.

"Kau tahu apa yang direndamnya tu Tamar?"

"Tak tahu tok.”

"Dia rendam cuIa buaya tembaga.”

"Apa dia cula buaya tu tok?"

"Anu buaya, eh, alat kelamin buaya jantan.”

"Gunanya tok?"

"Bila kau besar, kau akan tahu sendiri gunanya.”

Setelah beberapa tahun kemudian saya tahu juga kegunaan cuIa buaya itu.

Menurut kepercayaan tradisional, cuIa buaya jantan itu setelah disalai atau dikeringkan, kemudian direndamkan ke dalam air sejuk atau air panas, dan airnya diminum bagi mendapatkan kekuatan luar biasa pada alat kelamin lelaki bila melakukan hubungan jenis.

Saadun Juling menyimpan kembali semua barang-barang yang dibungkusnya.

Dia mengenakan baju Melayu cekak musang ke badannya. Dengan tenang dia meninggalkan pondok menuju ke tebing sungai. Datuk dan saya mengikutinya dari belakang.

Sampai di tebing sungai, Saadun berdiri dekat tunggul buruk sambil memeluk tubuh.

Dia toleh kiri, toleh kanan bagi memastikan tidak ada orang yang mengintip dirinya.

Bila sudah yakin tidak ada orang yang mengintipnya, dia pun terus membongkok di tepi tebing sungai menepuk air sungai tiga kali berturut-turut.

Air sungai bergelora, semua pokok keladi dan mengkuang di gigi sungai bergerak-gerak.

Bila gelora air sungai menjadi tenang, berpuluh-puluh ekor buaya timbul di permukaan sungai.

Saadun Juling duduk bersimpuh di atas tebing sambil bersuara:

“Jum Kali jum, laut Khalzum dari bukit Kaf ke Jabal Nur Bahtera Noh jadi penyelamat.

"Aku tahu asal usulmu terselamat dari bencana neraka seorang anak bernaung di bahtera Noh.

"Dengar kata Noh, dengar kataku. Ucapku, adalah ucap Sulaiman, terkunci gerakmu, mendengar kataku berkat doa, Asyahadu anla illaha…

"Jangan ganggu umat Adam, selagi belum aku perintahkan, pulanglah...”

Sebaik saja pawang buaya Saadun Juling selesai bercakap, buaya-buaya itu terus hilang. Suasana di sekitar sungai kembali damai.

Saadun Juling bertempik dengan sekuat hatinya. Dia terjun ke dalam sungai berenang dan mandi dengan bebasnya di malam yang dingin.

Buaya tetap mengiringinya bila dia berenang ke tengah sungai. Bila selesai mandi dan berenang, Saadun Juling segera naik ke darat.

Kenakan seluar dan baju, langkahnya cukup rancak menuju ke sebuah rumah di pinggir kampung.

Dia terus ketuk pintu rumah yang berdindingkan papan berlidah. Seorang perempuan muda berkemban membuka pintu. Mereka bertukar-tukar senyum.

Perempuan muda itu duduk di muka pintu. Saadun Juling pula duduk di anak tangga paling akhir.

Perempuan muda itu hulurkan tangannya dan Saadun Juling menggosok-gosok tangan perempuan muda itu.

"Suami kau sudah tidur?"

"Sudah.”

"Malam ini aku datang lagi. Kau pasti merasa bahagia.”

"Hum...”, suara perempuan muda itu penuh manja.

Saya lihat Saadun Juling mengeluarkan sesuatu dari dalam sakunya lalu mengenakan pada bahu perempaun muda. Dan perempuan muda itu kelihatan seperti orang berkhayal.

"Sial. Dia mengenakan minyak ekor buaya pada perempuan itu. Minyak ekor buaya yang sudah dijampi bila terkena pada kulit perempuan, boleh membuat perempuan itu menyerah dan berkhayal”, rungut datuk sambil menggenggam penumbuk. Mukanya merah padam.

Sesungguhnya datuk memang tidak boleh berhadapan dengan manusia yang menggunakan kepandaian dan kebolehan untuk memperdayakan sesama manusia.

Bagi datuk, setiap orang atau anggota masyarakat yang ada kebolehan tersendiri sewajarnya menggunakan kebolehannya itu untuk menolong sesama manusia, bukannya untuk digunakan bagi kepentingan diri sendiri.

"Manusia dibekalkan oleh Allah dengan akal dan fikiran. Tahu membezakan yang buruk dan yang baik.

"Tetapi, manusia selalu memilih yang buruk kerana yang buruk itu indah bagi syaitan.

"Aku tak mahu kejadian begini berlaku di hadapan mata aku”, tambah datuk, badannya mula mengeletar menahan perasaan marah.

Dua tiga batang pokok keduduk dan pokok rambutan yang sebesar pangkal lengan datuk cabut hingga keakar umbi, matanya mula merah wajahnya amat menyeramkan, nada suaranya cukup keras.

Datuk cuba menahan sabar sedaya upaya yang boleh. Kesabaran datuk sudah tidak boleh ditahan lagi bila dia melihat Saadun Juling menarik wanita muda itu ke dalam rumah.

Datuk segera bertempik, Saadun Juling terkejut lalu terjun ke tanah.

Perempuan muda yang berkemban juga terkejut, dia bagaikan tersedar dari khayalan.

Perempuan itu menangis di ambang pintu. Suaminya keluar lalu memimpin perempuan muda ke dalam rumah.

Saadun Juling hilang dalam gelap. Datuk terus menemui suami perempuan muda itu.

"Aku harap kau tidak menceritakan semuanya ini pada orang lain. Aku sedang berusaha menolong kau, bawalah isteri kamu ke tempat tidur.

"Basuh mukanya dengan air dan suruh dia ambil air sembahyang, aku selesaikan kerja aku malam ini”, ujar datuk pada suami perempuan muda itu.

Si suami yang malang itu anggukkan kepala dan berjanji akan mematuhi apa yang datuk sarankan padanya.

"Mari kita cari pawang sial tu”, datuk renung muka saya.

Tangan saya di tariknya. Saya kira datuk akan terus menuju ke pondok di belakang surau. Ru­panya, datuk melencong ke kiri menuju ke tebing sungai.

Di tebing sungai itu Saadun Juling sedang memerintahkan buaya-buaya supaya mengganas, sambar apa saja yang ada di tebing sungai tidak kira manusia atau binatang ternakan.

"Saadun hentikan perbuatan syaitan itu”, pekik datuk.

Saadun Juling tersenyum dan membiarkan datuk serta saya menghampirinya yang berdiri di tebing sungai.

Dalam perhitungannya, bila datuk berdiri di tebing sungai, buaya-buaya akan melompat ke­ darat lalu menyambar paha datuk.

Perhitungan Saadun tidak menjadi kenyataan. Memang buaya-buaya itu timbul tetapi, tidak ada seekor pun yang mahu menyerang datuk dan saya.

Melihat keadaan itu, Saadun Juling jadi resah. Datuk kian hampir padanya.

Saadun Juling me­raba pangkal pinggangnya, macam mencari se­suatu. Datuk terus melangkah, lagi lima tapak datuk melangkah pasti muka Saadun Juling dengan datuk akan berlaga.

Badan saya mula menggigil, hawa malam yang dingin kian terasa mencucuk kulit tubuh saya.

Kepala buaya kelihatan timbul di permukaan sungai, suara kokok ayam mula terdengar bertalu-talu, suara ungka dan burung tukang juga terdengar sayup-sayup datang dari kaki bukit.

"Kita bersahabat Saadun, dalam hidup aku tidak ada musuh sesama orang Islam kerana setiap orang Islam itu adalah bersaudara”, datuk menghulurkan tangan.

Saadun Juling terdiam, mulutnya bergerak-gerak, dia mahu menggunakan segala kebolehan yang ada pada dirinya untuk menguji datuk.

Tiba-tiba dalam gelap itu, satu pukulan yang keras hinggap di kepala datuk. Pukulan itu tidak mendatangkan sebarang kesan pada datuk.

Saya terkejut, Saadun Juling hilang dari pandangan, tempat dia berdiri segera di ganti oleh seorang tua yang berjanggut panjang.

Orang tua berjanggut panjang itu berdiri beberapa detik saja di situ. Bila orang tua itu hilang, batang tubuh Saadun Juling terpacak di situ.

"Saadun, kuasa yang abadi dalam dunia ini ialah kuasa Allah, kuasa syaitan hanya sifat sementara saja.

"Bila datang yang hak, kuasanya tidak bermakna lagi, aku tidak mahu bergaduh atau bermusuh sesama Islam”, kata datuk lagi.

Saadun Juling tetap membisu seribu bahasa, masih juga menunjukkan sikap permusuhan.

Datuk segera membongkok. Hujung ibu jari kanannya di tekan ke bumi hingga tenggelam separas kuku, bila ibu jari itu di cabutnya kembali, Saadun Juling jadi lemah, tidak mampu berdiri.

Datuk segera memangku tubuhnya dan di bawa pulang ke pondok di belakang surau. Datuk letakkan batang tubuh Saadun Juling di tengah ruang pondok.

Lebih dari sepuluh minit datuk mengurut seluruh tubuh Saadun Juling hingga dia pulih seperti sediakala. Bila dia sedar datuk memberi Saadun minum air panas.

Di kaki langit, cahaya subuh mula bangkit, suara ayam berkokok mula hilang, tidak lama kemudian terdengar suara Azan subuh dilaungkan dari menara masjid.

Datuk segera mengambil air sembahyang dan melakukan sembahyang subuh di pondok tempat Saadun Juling menginap.

Bila keadaan hari sudah beransur cerah, datuk terus mandi embun, kemudian kembali ke rnmah Alang Botak.

Datuk sedikit pun tidak bimbang atau cemas membiarkan Saadun Juling sendirian di pondok tersebut tanpa mengikat kaki atau tangannya.

Menurut datuk, kekuatan Saadun Juling tidak akan pulih, selagi rambutnya tidak kena cahaya matahari.

Sebaik saja saya dan datuk sampai di anak tangga rumah, Alang Botak sudah menanti kami di ambang pintu, dia menyatakan rasa cemas dan bimbangnya kerana datuk dan saya tidak turut sama sembahyang subuh di masjid.

"Ke mana sepanjang malam tadi, saya sedar masa awak berdua keluar malam tadi?", soal Alang Botak.

"Ada hal sedikit”, jelas datuk.

Kami terus memijak anak tangga. Bila sampai ke dalam rumah, sarapan pagi sudah tersedia. Nenek sudah pun menuangkan kopi ke dalam cawan.

Saya terus sarapan tetapi datuk cuma minum air sejuk saja. Lebih kurang pukul tujuh pagi, saya dan datuk terus menuju ke pondok tempat Saadun Juling menginap.

Ketika saya dan datuk melintas di hadapan dewan orang ramai kampung tersebut, beberapa orang penduduk segera memberitahu datuk, bahawa buaya kembali mengganas, memukul apa saja yang berdiri di tepi tebing.

Datuk menyuruh mereka bersabar hingga pawang buaya, Saadun Juling bertindak.

"Kenapa tok cakap macam tu pada diorang. Tok kan tahu pawang tu memang tak berapa baik orangnya”, saya minta kepastian dari datuk.

Datuk renung muka saya sambil tersenyum dia berkata:

"Tak baik membuka keburukan seorang pada orang lain.”

Saya terdiam. Akhirnya saya dan datuk sampai ke pondok tempat Saadun Juling terbaring.

Datuk terus menghampirinya. Dia kelihatan letih dan wajahnya nampak lesu. Matanya tidak bercahaya langsung.

Datuk segera memicit buah betisnya dua tiga kali. Di luar, matahari pagi mula memancar. Datuk segera mengusung Saadun Juling ke tanah.

Sebelum itu, datuk terlebih dahulu menggosok mukanya dengan kain ikat kepala sebanyak tiga kali berturut-turut.

Saadun Juling di biarkan duduk di atas tanah, bila sinar matahari pagi menjamah rambutnya, Saadun Juling mula menggeliat dan mukanya kembali me­rah.

Dalam beberapa saat saja, dia sudah boleh bangun dan bercakap.

"Kenapa awak buat saya begini? Saya dijemput untuk menghalau buaya, ini balasan awak terhadap saya”, itulah kata-kata pertama yang ditujukan oleh Saadun Juling pada datuk.

Saya lihat datuk tetap bersikap tenang. Dia terus mengikut langkah Saadun Juling yang menuju ke pondok.

Bila Saadun Juling mahu masuk ke rumah datuk menghalangnya dengan berdiri di muka pintu.

Saadun Juling terpaksa berdiri di atas tanah dan datuk berdiri di ambang pintu pondok.

"Kenapa awak harus menipu diri sendiri?", suara datuk lantang.

"Maksud awak?"

"Awak berlagak jadi orang baik, sedangkan hati awak kotor. Awak bersikap mahu menolong orang tetapi, hati kecil awak telah melakukan kejahatan. Di mana keikhlasan diri awak?”

"Saya tak faham.”

"Awak goda isteri orang untuk berzina.”

Tangan kanan datuk memegang jenang pintu pondok. Wajah Saadun Juling kelihatan pucat. Dia kelihatan resah dan terus merenung tanah.

"Awak bukannya menghalau buaya tetapi awak ganaskan buaya, kemudian awak pujuk buaya-buaya di sini mendengar cakap awak dengan tujuan supaya orang percayakan awak.

"Bila orang sudah percaya awak perdayakan mereka. Orang lain boleh awak tipu, tapi saya bukan orangnya.

"Kalau awak benar, buktikan kebenaran awak tu”, datuk mencabar Saadun Juling.

Memang di luar dugaan saya yang Saadun Juling sangup menjawab cabaran datuk itu.

"Boleh, mari kita ke sungai sekarang”, katanya.

"Mari”, sahut datuk dengan tenang.

Kami bertiga pun segera menuju ke sungai. Sampai di sungai, Saadun Juling terus menyeru semangat buaya, dan buaya-buaya pun timbul, berbaris macam kayu buruk.

"Awak tengok, semua buaya dalam sungai ini saya kuasai dan buaya-buaya ini akan meninggalkan tempat ini.

"Kalau saya bohong dan menipu ada buaya yang tidak mendengar cakap saya.”

"Betulkah ni Saadun?"

"Betul, saya bekerja kerana Allah. Kalau awak boleh buktikan perbuatan saya ni salah, saya mengikut cakap awak.”

"Saadun, dalam membuat kerja-kerja begini, janganlah mempermainkan nama Allah nanti kita dikutuknya.”

"Ah… buktikan kerja saya ni tidak ikhlas, usah banyak cakap.”

"Kalau awak berhajat, boleh saya lakukan, ingat perbuatan kita ini mencari kebenaran, buka mahu menunjuk pandai."

"Saya setuju.”

Datuk segera berdiri di tepi tebing. Datuk membaca surah AI-Fatihah dan beberapa surah yang lain termasuklah ayat Qursi.

Datuk berhenti membaca dan terus mengambil segenggam tanah lalu di buang ke dalam sungai.

Beberapa saat kemudian, seekor buaya timbul terus membuka mulutnya ke arah datuk.

Datuk mencampakkan sehelai daun ke dalam mulut buaya itu. Dengan tenang buaya itu merapatkan mulutnya lalu bercampur dengan buaya-buaya lain yang timbul di permukaan sungai.

"Bagaimana Saadun? Apa kau masih tidak mahu mengakui perbuatan terkutuk itu, apa kau mahu aku hebahkan perkara ini pada orang lain?", tanya datuk pada Saadun Juling.

Saya terdiam. Datuk gosok batang hidungnya dua tiga kali. Saadun Juling tidak juga mahu mengakui segala kesilapan yang sudah dilakukan.

Kemudian datuk terus memujuk Saadun Juling supaya berhenti daripada melakukan kerja-kerja yang tidak terpuji itu.

Datuk lalu menyebut padanya tentang maksud dari Surah At-tin yang bermaksud lebih kurang begini: Sesungguhnya Allah itu mencipta manusia sebaik-baik kejadian, kemudian Allah akan mencampakkan mereka ke tempat yang paling rendah sekali, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh.

"Saadun, marilah kita gunakan segala ilmu dan kepandaian pemberian Allah ini untuk menolong sesama manusia, bukan menjahanamkan mereka”, pujuk datuk.

Saadun Juling yang mengeluh dan termenung panjang.

"Kejahatan terlalu panjang umurnya berbanding kebaikan, jadi masa yang pendek itu harus kita isi dengan perjuangan menegakkan kebaikan”, tambah datuk lagi.

Saya lihat Saadun Juling mula resah dan termenung panjang, matanya merenung ke arah air sungai yang nampak berkilau-kilau disinar matahari pagi.

Buaya-buaya yang timbul sudah menghilangkan diri. Air Sungai Tanjung Ara tetap mengalir tenang.

Cahaya matahari yang memancar terik itu membentuk bayang-bayang kami yang pendek di bumi.

"Kau fikir dan tanyalah dirimu sendiri, apakah kamu mahu mengakhiri hidupmu dengan cara begini.

"Ingatilah alam dunia ini sentiasa bersifat baru, tidak ada yang kekal. Yang abadi hanyalah Allah jua," kata datuk lagi.

Saadun Juling tetap membisu seribu bahasa. Datuk terus bertindak, tangan kanan Saadun Juling disambarnya lalu dipulas ke belakang. Saadun Juling terkial-kial menahan kesakitan.

"Aku tak menghalang kau nak membuat jahat kerana itu adalah tanggungjawab kau dengan Allah.

"Tetapi, kalau kau mahu melakukan sesuatu yang tidak senonoh di sini aku akan jadi penghalangnya”, nada suara datuk mula keras.

Tangan Saadun Juling dilepaskannya. Mungkin Saadun Juling merasa insaf atau merasakan dirinya tidak selamat selagi tidak berterus terang dengan datuk.

Dia lalu memilih jalan yang mudah, dia mengakui ilmu yang di tuntutnya itu memang bercanggah dengan hukum agama dan tatasusila kehidupan.

Tetapi, dia tidak boleh berpisah dengan semuanya itu, kalau dia tidak melakukan sesuatu mengikut ilmu yang dituntutnya, badannya sakit-sakit dan batuk darah.

"Dari mana kamu menuntut ilmu ini Saadun?"

"Dari kawan baik ayah saya yang berasal dari Kuala Tari, Acheh, Sumatera.”

"Apa pantangnya?"

"Saya tidak boleh kahwin seumur hidup. Kalau aku mahu memenuhkan tuntutan nafsuku, aku mesti menggoda atau merayu perempuan yang sudah bersuami sampai aku berjaya tidur dengannya.

"Aku juga dilarang melakukan hubungan jenis dengan janda muda walau secantik mana pun”, Saadun bersuara dengan tenang.

Datuk mendengarnya dengan teliti. Saadun Juling juga menceritakan bagaimana dia jatuh hati dengan seorang janda muda di Kuala Sepetang dan hampir mahu melangsungkan perkahwinan dengannya.

Akibatnya dia hampir dibaham oleh buaya ketika menangkap buaya di Sungai Krian.

"Sekarang, aku minta kau menangkap buaya yang ganas dan buaya-buaya lain jangan kau ganggu atau kau puja semangatnya”, datuk melahirkan permintaannya dan juga permintaan orang-orang kampung.

Saadun Juling terdiam. Dia macam keberatan mahu melaksanakan permintaan datuk itu.

"Engkau sebenarnya menjadi buaya. Salah seekor dari buaya itu sudah kau satukan dengan semangat kau.

"Aku tahu buaya itu berwarna putih dan kau memberitahu pada orang-orang di sini yang buaya itu buaya keramat.

"Mana ada buaya keramat cuma kau yang mengkeramatkan”, datuk membuka rahsia.

Saadun Juling menggigit bibir.

Tamat siri 44/284

BACA: SBDJ Siri 43: Buaya Jadi Jadian
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM