Wednesday, October 04, 2017

Asal-usul Tarian Kuda Kepang

Asal-usul Tarian Kuda Kepang

Tarian kuda kepang ialah sejenis tarian pahlawan berkuda yang berasal dari Jawa, Indonesia dan dibawa oleh penghijrah-penghijrah ke Tanah Melayu.

Kuda Kepang

Permainan Kuda Kepang kini merupakan salah satu permainan rakyat di Indonesia, Singapura dan Malaysia, khususnya di negeri Johor, dan biasa dimainkan di majlis perkahwinan atau di majlis keramaian.

Cara permainan

Kuda kepang biasanya dipersembahkan di tempat terbuka atau di atas pentas yang besar.

Sebelum tarian bermula, Tok Bomoh akan membakar kemenyan dan membaca jampi untuk memberikan tenaga kepada kuda-kuda. Beliau menggunakan telur mentah, bunga, rumput dan air untuk persembahan.

Dikawal oleh seorang "danyang" yang melecutkan pecut untuk menentukan rentak tarian, setiap penari akan naik ke atas kuda masing-masing.

Apabila muzik mula bergema, penari-penari yang dipimpin oleh "danyang" itu masuk ke gelanggang. Rentak muzik bermula dengan perlahan dan agak membosankan.

Setiap penari akan menunggang dan memacu kuda menurut pola yang ditentukan oleh rentak dan irama lagu itu.

Ketika muzik menjadi lebih pantas, kuda-kuda akan menderap dengan lebih laju. Kadang-kadang pihak penganjur akan merentang kain licik untuk pemain menitinya.

Penari-penari boleh melakukan pergerakan yang aneh dan luar biasa seperti bersilat melompat-lompat setinggi enam kaki dan sebagainya.

Semasa penari dalam keadaan sedemikian, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan bertambah rancak.

Kononnya, jika alunan muzik tidak rancak, penari-penari akan akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda yang sedang berang.

Penari-penari akan menari selama dua jam sehingga mengalami keadaan bersawai, terpukau dengan kehebatan pergerakan-pergerakan mereka.

Ketika mabuk, mereka kadang-kadang akan bermimpi menunggang kuda sebenar sambil menari dengan iringan muzik. Disebabkan itu, mereka akan cuba mengejar muzik itu. Keadaan ini dipanggil "naik syeh".

Jika keadaan bertambah liar dan tidak dapat dikawal, Tok Bomoh akan mengarahkan pengawal-pengawal yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang untuk menangkap dan merebahkan mereka ke tanah dan seterusnya Tok Bomoh akan membaca jampi untuk memulihkan mereka.

Bilangan penari

Tarian kuda kepang memerlukan sekurang-kurang 25 orang seperti berikut:
  • 9 orang penari.
  • 5 orang pemain muzik.
  • 2 orang yang bertindak sebagai "Bomoh Pemulih".
  • 9 - 15 orang penjaga kawasan.

Bagaimanapun dalam sesuatu persatuan, jumlah ahlinya adalah sebanyak 40 orang.

Seorang daripada penari-penari itu bertindak sebagai pemimpin yang dipanggil "Danyang" dan penari-penari biasanya berpakaian seragam.

Peralatan

Peralatan tarian kuda kepang terdiri daripada:
  • Lima buah angklung.
  • Sebuah gendang.
  • Beberapa gong.
  • Beberapa bonang(caklempong).
  • Beberapa saron.
  • Beberapa jidur.
  • Beberapa kenong.
  • Sekurang-kurang sembilan kuda.
  • Sebatang pecut.
  • Serantai tali sepanjang 100 kaki (30 meter).

Angklung yang berbentuk empat segi diperbuat daripada buluh dan rotan dan dimainkan dengan cara menggoyang dan menggoncangkan buluh tersebut.

Gabungan bunyi nyaring daripada buluh yang kecil serta bunyi bergema daripada buluh yang besar menghasilkan bunyi yang indah dan menarik.

Gendang diperbuat daripada kayu leban dan kulit lembu, sedangkan pengikatnya diperbuat daripada rotan.

Gendang ini yang dipalu mengikut irama yang tertentu berdiameter lebih kurang tiga kaki.

Gong menyedapkan lagi bunyi muzik pengiring. Pecut diperbuat daripada kedua-dua buluh dan tali yang dipintal menjadi satu.

Fungsi pecut adalah untuk mengarah dan mengawal permainan, iaitu penari-penari kuda kepang.

Selain itu, perkakas yang penting ialah kuda yang diperbuat daripada kulit lembu dan dibentukkan menyerupai kuda dan diwarnakan merah, putih, atau kelabu.

Tali digunakan untuk membuat pagar bagi mengelakkan penari-penari yang mabuk daripada berkeliaran serta untuk memudahkan bomoh mengawal tarian.

Pantang Larang Kuda Kepang

Kumpulan pemain kuda kepang diperlukan menyerahkan pengeras kepada Tok Bomoh untuk persembahan.

Pengeras ini terdiri daripada kemenyan, air mentah, nasi campur dengan lauk ayam dan sayur, serta beberapa jenis kuih.

Selain itu, kumpulan pemain juga dikehendaki menyerahkan wang sebanyak RM2.25 kepada tuan rumah atau penganjur untuk Tok Bomoh persembahan.

Kumpulan pemain mengenakan bayaran yang tidak kurang dari RM200 untuk setiap persembahan.

Sebagai pantang larang dalam permainan kuda kepang, pemain-pemain tidak boleh diacah semasa dalam permainan atau ketika sedang mabuk kerana ditakuti akan melarat dan menjadikan keadaan tidak terkawal.

Pemain-pemain juga tidak boleh melihat kain merah kerana ini merupakan pantang larangan semulajadi.

Selain itu, pemain-pemain juga tidak boleh melihat kaca kerana takut mereka akan makan kaca itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Sejarah Dan Asal-usul Tarian Mak Yong

sumber: wikipedia

Monday, September 25, 2017

Sejarah Dan Asal-usul Tarian Mak Yong

Sejarah Dan Asal-usul Tarian Mak Yong

Makyong (atau Mak Yong atau Makyung) merupakan sejenis tarian Melayu tradisional, suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja.

Tarian Mak Yong

Drama-tari Mak Yong ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau, Indonesia.

Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan dan dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi.

Mak Yong dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultan Kelantan sehingga 1920-an, dengan tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal seperti yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.

Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik.

Setiap satu cerita mampu dipersembahkan merentasi beberapa amalan dalam siri pertunjukkan selama tiga jam.

Dalam persembahan tradisi Mak Yong di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa.

Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak.

Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak.

Mak Yong dikaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun.

Sejarah Mak Yong

Mak yong diasaskan di Kerajaan Pattani yang kini merupakan sebahagian daripada Thailand. Oleh kerana ia diwarisi secara lisan dikalangan kampung, manakala usia sebenar Mak Yong tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun, fakta yang ia bebas daripada pengaruh-pengaruh luar menunjukkan ia sekurang-kurangnya berusia 800 tahun dan hampir pasti lebih awal lagi.

Menurut Hikayat Patani, Mak Yong dibawa ke Kelantan lebih 200 tahun dahulu dan dari situ ia berkembang ke Kedah dan negeri-negeri lain.

Lagenda biasanya mengaitkan tarian dengan semangat padi yang digelar Mak Hiang tetapi yang lain mempercayai ia dicipta oleh makluk digelar Semar.

Para sejarahwan tidak pasti sama ada Mak Yong berasal dari tradisi rakyat atau teater istana. Sungguhpun begitu ia ditonton oleh semua lapisan masyarakat untuk menghormati semangat padi, berterima kasih bagi tuaian atau merawat penyakit.

Semasa di Patani, Mak Yong biasanya dipersembahkan di istana sehingga 1920 di mana ia sering dipertontonkan dikalangan orang biasa.

Mak Yong pertama kali disebut dalam Hikayat Patani bertarikh sekitar kurun ke-18 sebagai pertunjukan di Nara Yala, istana Patani (Teeuw and Wyatt, 1970).

Semasa kurun ke-19 ia tersebar dari Selatan Thailand ke Kelantan di Timur Semenanjung Malaysia dan seterusnya melalui Tanjung Kurau (kini SIngapura) ke kepulauan di Indonesia yang ketika itu merupakan sebahagian dari Kesultanan Melayu kerajaan Johor-Riau, Lingga.

Perbezaan antara Mak Yong sebagaimana yang terdapat di Kelantan, yang tidak menggunakan sebarang topeng, Mak Yong dari Batam dan Bintan menggunakan topeng seperti di Nara Yala, kawasan asal, bagi bilangan dayang seperti pelayan peribadi Raja (Raja, atau anak lelakinya) dan Puteri (Ratu atau anak perempuannya), penjenayah, jembalang dan semangat.

Pada kurun sebelumnya, Mak Yong bukan sekadar pertunjukan harian, tetapi ia turut digunakan sebagai upacara bagi raja memerintah.

Mak Yong juga telah digunakan bagi berubat orang yang sakit teruk, namun amalan ini tidak lagi diamalkan di Indonesia.

Orang terakhir yang melakukannya adalah Tuk Atan di Bintan dan Pak Basri di Batam, keduanya telah meninggal.

Mak Yong bagaimanapun masih ditontonkan bermula dan berakhir dengan upacara. Mentera yang di ucapkan oleh dua orang di atas telah diwarisi oleh keturunan mereka.

Pertunjukan Mak Yong di Batam dan Bintan pada masa kini merupakan bentuk keturunan ketiga. Mak Yong di Batam dan Bintan telah wujud bagi 150 tahun dan masa kini terancam dengan kepupusan sekiranya tiada dokumentasi dan latihan pelakonnya dilakukan.

Pada awal abad ke-20, tarian Mak Yong mula berkembang ke merata-rata kampung tanpa naungan istana. Punca utamanya adalah kerana kedatangan British ke Kelantan telah mengurangkan kedudukan ekonomi raja-raja ini.

Faktor inilah yang mengakibatkan kemerosotan mutu persembahan dalam generasi kedua, iaitu zaman selepas Bah Air Merah pada tahun 1926 hinggalah tahun-tahun 1950-an.

Unsur-unsur komersil pertunjukan Mak Yong telah memperalatkan nilai-nilai estetik klasik yang ada dalam Mak Yong.

Persembahan Mak Yong yang diadakan dengan cara pemajakan akan bermula dari pukul 8.30 malam hingga pukul 11.00 malam sahaja.

Kemudian, persembahan dihentikan dan alat-alat muzik biola dan akordion menggantikan rebab dan serunai untuk memainkan lagu-lagu joget. Penonton-penonton akan naik pentas untuk menari joget dengan penari-penari Mak Yong.

Nilai moral penari-penari Mak Yong juga mula merosot. Banyak sekali kisah-kisah sumbang di antara penari-penari Mak Yong dengan penonton-penonton selepas selesai persembahan Mak Yong, dan perceraian di kalangan suami isteri dan anak-anak Mak Yong merupakan satu perkara yang biasa sahaja.

Malah ada di kalangan penari Mak Yong yang berasa bangga dengan jumlah bilangan suami yang dapat dikutip oleh mereka.

Pandangan masyarakat terhadap penari-penari Mak Yong mula merosot dan mula hilang kepercayaan terhadap moral mereka. Keadaan ini mempercepatkan lagi kejatuhan imej Mak Yong.

Pada akhir-akhir 1960-an, sudah tidak banyak lagi kumpulan Mak Yong yang wujud, dan tidak banyak lagi orang yang berminat mempelajari seni tari ini.

Kemasukan pengaruh-pengaruh kebudayaan Barat yang meluas menggelapkan lagi permainan Mak Yong. Kalau ada pun persembahan Mak Yong pada masa perayaan seperti Hari Keputeraan Sultan, persembahan itu hanya dikerumuni oleh orang-orang tua.

Kumpulan generasi ketiga tarian Mak Yong telah dipelopori oleh Kumpulan Seri Temenggung, sebuah kumpulan belia.

Guru-guru Mak Yong yang terdiri daripada orang-orang lama dari generasi pertama telah diambil untuk melatih mereka dalam tarian-tarian dan nyanyian-nyanyian Mak Yong yang asli seperti yang terdapat pada masa generasi yang pertama dulu. Dengan latihan itu, unsur-unsur yang asli mula dihidupkan kembali.

Mak Yong di Indonesia

Mak Yong berkembang di Indonesia melalui Riau, Lingga, yang pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Johor.

Perbezaan dengan Mak Yong yang terdapat di Kelantan yang tidak menggunakan topeng, Mak Yong di Batam dan Bintan menggunakan topeng bagi sebahagian watak dayang Raja, Puteri, penjahat, setan, dan semangat, sama seperti yang diamalkan di Nara Yala.

Pada akhir abad lepas, Mak Yong bukan sahaja menjadi persembahan harian, tetapi juga sebagai istiadat raja memerintah.

Mak Yong juga digunakan bagi merawat orang sakit. Amalan ini tidak lagi diamalkan termasuk di Indonesia.

Antara orang terakhir yang mengamalkan Mak Yong bagi merawat pesakit adalah Tuk Atan di Bintan dan Pak Basri di Batam, keduanya telah meninggal.

Mak Yong bagaimanapun masih dipersembahkan dengan istiadat di pembuka dan penutup panggung. Mentera yang diamalkan diwarisi dari seorang kepada warisnya.

Di Batam dan Bintan masa kini pengiat Mak Yong merupakan generasi ke tiga dan telah wujud hampir selama 150 tahun dan berhadapan ancaman kepupusan.

Kerajaan Indonesia telah mengambil langkah memelihara Mak Yong dengan melancarkan program merakamkan tradisi ini dengan bantuan Persatuan Tradisi Lisan dan membantu kumpulan pengiat Mak Yong meneruskan persembahan mereka dengan bantuan peralatan dan pakaian. Rakaman tersebut disimpan di pejabat Persatuan Tradisi Lisan dan PUSKAT di Jakarta (Yogyakarta).

Jenis-Jenis Mak Yong

Terdapat 7 jenis persembahan Makyong yang pernah wujud. Setiap jenis persembahan Makyong mempunyai sedikit perbezaan yang membezakan di antara satu dengan yang lain.

Jenis-jenis Makyong tersebut ialah:-
  • Makyong Patani - ditemui di Pattani, Yala dan Narathiwat, tiga buah wilayah di selatan Thailand yang dahulunya merupakan wilayah Kesultanan Melayu Patani.
  • Makyong Kelantan - ditemui di negeri Kelantan dan daerah Besut, Terengganu, Malaysia.
  • Makyong Kedah - ditemui di negeri Kedah, Malaysia.
  • Makyong Laut - ditemui di negeri Perlis (Malaysia) dan wilayah Satun (Thailand).
  • Makyong Riau - ditemui di Wilayah Riau, Indonesia.
  • Makyong Medan - ditemui di Medan, wilayah Sumatera Utara, Indonesia.
  • Makyong Kalimantan - ditemui di Kalimantan, Indonesia.

Latihan tradisi

Dalam latihan Mak Yong tradisi, setiap pemain akan diajar keseluruhan peranan watak dalam Mak Yong, termasuk Raja, Permaisuri, bangsawan istana dan pelawak termasuk para panglima. Mereka turut diajar pelbagai kisah Mak Yong, termasuk Dewa Muda, Dewa Pecil dan Hijau-hijau Intan Permata.

Selain itu, mereka akan belajar sejumlah besar lagu pengiring Mak Yong, termasuk Pak Yong Muda, Sedayung Mak Yong, Sedara Tonggek, Kisah Barat, Barat Cepat, Lagu Khabar ke Pengasuh dan Mengulit.

Selepas seseorang pelajar telah menguasai kesemua aspek ini mereka akan menamatkan pengajaran dengan melalui upacara sembah guru sebagai tanda tamatnya pembelajaran Mak Yong.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Tuesday, September 19, 2017

Tradisi Kejam Sebat Isteri Suku Hamar

Tradisi Kejam Sebat Isteri Suku Hamar

Hamar ialah salah satu suku paling terkenal di Selatan Ethiophia yang mendiami wilayah Omo River Valley serta perkampungan tradisional di Turmi dan Dimeka.

Suku Hamar

Jumlah masyarakat suku Himar seramai kira-kira 42,000 orang, menjalani kehidupan berpoligami dan separuh nomad.

Dari segi penampilan, mereka mudah dikenali dengan ciri-ciri khas seperti gelang berwarna-warni serta manik-manik di rambut dan pinggang.

Bagi lelaki, badan mereka dilumur dengan kapur putih, manakala wanitanya biasa memakai rantai berlingkar di leher, menunjukkan bahawa mereka telah berkahwin.

Wanita yang mengenakan tiga jenis rantai di leher menandakan dia adalah isteri pertama berstatus tinggi.

Suku Hamar sangat akrab dengan kehidupan yang keras, panas, gersang dan tandus.

Hasil daripada belajar melalui tentangan alam ini, ia kemudiannya diteruskan ke dalam hubungan sosial.

Akhirnya, wujudlah pelbagai amalan di luar daripada kehidupan normal dan salah satunya ialah budaya menyebat isteri.

Dalam tradisi suku Hamar, wanita dilayan sekeras-kerasnya seperti seorang lelaki dimana mereka akan disebat dengan kayu berduri.

Sebatan yang dilakukan pula bukan hanya sekali, tetapi sehingga kulit terkoyak, menampakkan isi, berdarah dan meninggalkan parut tebal.

Kenapa tradisi kejam ini dilakukan?

Suku Hamar

Lelaki suku Hamar bebas mengamalkan poligami dan setiap kali memilih bakal isteri, wanita tersebut akan disebat sekuat-kuatnya dengan kayu khas oleh sekumpulan lelaki dikenali sebagai 'Maza'.

Sebatan biasanya dilakukan dibahagian punggung dan belakang secara berterusan sehingga berdarah.

Dan ketika amalan itu berlangsung, wanita tersebut tidak dibenarkan menjerit, menangis atau merayu untuk tidak dipukul.

Wanita juga tidak dibenarkan untuk melarikan diri sepanjang sebatan dijalankan.

Secara tradisi, lelaki suku Hamar tidak tertarik dengan wanita manja, lemah, mengada-ngada, kuat melatah atau banyak songeh.

Lelaki suku Hamar hanya mahukan wanita yang kuat untuk dijadikan bakal isteri.

Status tinggi isteri pertama

Suku Hamar

Wanita Hamar berlumba-lumba untuk menjadi isteri pertama kepada bakal suami kerana dianggap bertuah dan istimewa dalam masyarakat.

Nasib isteri kedua dan seterusnya sangat berbeza dimana mereka akan menjadi orang suruhan isteri pertama.

Mereka akan dilayan seperti hamba, memasak, mengambil air, menjaga anak dan pelbagai kerja berat.

Lebih teruk lagi, sebatan juga diteruskan selepas bergelar isteri sehinggalah isteri melahirkan sekurang-kurangnya dua orang anak.

Tapi jangan terkejut, kebanyakan isteri disebat bukan secara paksa sebaliknya atas kerelaan sendiri.

Ada isteri yang mahu disebat kerana ingin mendapatkan parut di badan dengan sengaja.

Bagi mereka, tubuh yang dipenuhi parut adalah lebih seksi, cantik dan menarik.

Kesian kan?

BACA INI JUGA: Tradisi Pelik Keluarga Tonton 'Aksi' Pengantin Di Malam Pertama!

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, June 27, 2017

Tradisi Mandi Kayu Manis Pebersvend Masyarakat Denmark

Tradisi Mandi Kayu Manis Pebersvend Masyarakat Denmark

Jika anda masih belum berkahwin pada usia 30 tahun, ada sejenis amalan unik yang diamalkan oleh masyarakat Denmark, dimandikan dengan serbuk kayu manis!

Pebersvend

Walaupun kedengaran pelik dan ketinggalan zaman, tradisi mandi serbuk kayu manis masih diamalkan oleh masyarakat Denmark dan telah diamalkan semenjak abad ke 16 lagi.

Tradisi Pebersvend atau juga dikenali sebagai Paper Dude dilakukan bagi memperingati golongan pedagang rempah ratus satu ketika dahulu.

Pada waktu itu, pedagang kerap mengembara ke seluruh dunia untuk menjual hasil dagangan mereka.

Disebabkan keadaan ini, golongan tersebut sering terlambat untuk mendirikan rumah tangga.

Bagi mengingatkan golongan ini tentang perkahwinan, maka terciptalah amalan mandi serbuk kayu manis.

Namun, siapa yang memulakan upacara unik ini masih kekal misteri.

Upacara mandi serbuk kayu manis biasanya disambut ketika ulang tahun kelahiran individu tersebut.

Pebersvend

Pada hari istimewa ini, ia akan dihadiri oleh keluarga terdekat dan juga rakan-rakan.

Selain serbuk kayu manis, ada sesetengahnya dimandikan dengan bahan-bahan lain seperti semburan air, lada hitam, kek dan sebagainya.

Pada hari tersebut, individu tersebut perlu mendiamkan diri dan perlu mengikut setiap arahan dari ahli keluarga dan rakan-rakan mereka.

Selain itu, individu tersebut juga tidak boleh menetapkan jumlah serbuk kayu manis yang digunakan.

Dan setiap kali upacara mandi kayu manis ini dijalankan, sebuah arca khas akan dibina bagi individu yang belum berkahwin itu.

Arca akan dibuat dalam pelbagai bentuk seperti manusia, haiwan, robot dan sebagainya.

Pebersvend

Pada masa yang sama, hanya bahan tertentu sahaja yang boleh digunakan untuk membuat arca dan kebiasaannya menggunakan 'tong drum' atau besi terpakai.

Supaya kelihatan menarik, arca dibina akan dihiasi dengan pelbagai warna dan corak.

Selain itu, angka 30 dan nama individu tersebut akan ditulis pada mana-mana bahagian pada arca tersebut.

Menarik kan.

BACA INI JUGA: 5 Tradisi Perkahwinan Paling Mengarut Di Seluruh Dunia

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, April 25, 2017

10 Jenis Tarian Tradisi Suku Kaum Negeri Sabah

10 Jenis Tarian Tradisi Suku Kaum Negeri Sabah

Setiap suku kaum memiliki beberapa jenis tarian kebudayaan yang diwarisi turun temurun. Banyak tarian yang masih popular sementara yang lain telah dilupakan begitu sahaja kerana peredaran zaman serta trend hidup rakyat Sabah yang kian berubah.

Terdapat lebih kurang 80 jenis tarian terdapat di negeri Sabah dan kesemuanya merupakan identiti bagi setiap suku kaum.

Berikut merupakan 10 jenis tarian tradisi paling terkenal beberapa suku kaum di negeri Sabah.

1. Tarian Sumazau

Sumazau

Tarian ini merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia.

Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi suku kaum Kadazan Dusun.

Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.

Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut.

Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu.

Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang.

Biasanya tarian Sumazau ditarikan semasa menyambut pesta Kaamatan (hari keramaian) dan semasa majlis jamuan.

2. Tarian Adai-adai

Tarian Adai-adai

Adai-adai ialah tarian suku kaum Brunei di Sabah. Tarian ini tercipta ketika para nelayan yang sedang berdayung pulang dari menangkap ikan pada waktu malam agar rasa mengantuk para nelayan akan hilang.

Selain itu, tarian ini menggambarkan pada kehidupan kaum nelayan yang mana merupakan kehidupan tradisi masyarakat Brunei.

Dalam tarian ini, ia mengisahkan cerita kumpulan nelayan pergi menangkap ikan di laut manakala kaum wanita menunggu kepulangan mereka di kawasan pantai untuk membantu hasil tangkapan yang akan diperolehi.

Tarian Adai-Adai ini pada asalnya merupakan sebuah lagu yang berbentuk pantun dan dinyayikan beramai-ramai.

Kewujudan tarian-tarian ini dicipta melalui adaptasi lagu-lagu Brunei Asli yang disesuaikan dengan irama dan suasana lagu itu dinanyikan seperti Lagu 'Adai-Adai'.

Lagu ini lazimnya dinanyikan oleh kaum nelayan ketika hendak pergi atau pulang dari menangkap ikan.

Daripada kisah tersebut diciptalah tarian yang menggambarkan keriangan, kepenatan dan pekerjaan yang dilakukan iaitu menangkap ikan.

3. Tarian Daling-daling

Tarian Daling-daling

Mengikut sejarahnya, tarian Daling Daling sebenarnya berasal dari Sepanyol. Ia dipercayai diperkenalkan oleh tentera Sepanyol kepada penduduk Filipina.

Akibat pengaruh yang dibawakan tentera Sepanyol, kini tarian Daling Daling menjadi tarian bagi kaum Sulu yang tinggal di Tawau.

Alat muzik yang digunakan ialah 'gabbang' dan dua bilah kayu yang disebut 'bolak-bolak'.

Daling-daling ditarikan secara berpasangan, masing-masing tiga penari lelaki dan wanita. Ia dipersembahkan di majlis pertunangan, perkahwinan, berkhatan, berkhatam Quran atau majlis Hari Raya.

Penari wanita memakai 'destar' yang disebut 'pies'.

Manakala, jari mereka pula dihias dengan kuku palsu yang diperbuat daripada logam perak atau suasa, kuku itu dinamakan 'janggal'.

Selain terkenal di kalangan suku kaum Sulu, tarian Daling Daling juga adalah tarian tradisional yang cukup terkenal bagi suku kaum Bajau.

Tarian Daling Daling biasanya dipersembahkan dengan iringan pukulan 'gabbang' dan gesekan biola dan nyanyian, kuku tiruan yang panjang dan bengkok ke belakang disematkan di sepuluh jari penari wanitanya. Liuk-lintuk badan, kaki serta pergerakan kaki penarinya memperlihatkan keunikan tarian ini.

Ada sesetengah yang berpendapat bahawa tarian ini adalah tarian asal suku kaum Bajau di Daerah Semporna, sebaliknya ia dibawa oleh orang-orang Sulu dari kepulauan Mindanao selepas mendapat pengaruh tentera Sepanyol.

Pertumbuhan dan percampuran antara masyarakat Bajau dan Sulu mengakibatkan begitu kuatnya pengaruh tarian ini.

Sementara itu, dipercayai juga perkataan Daling Daling adalah berasal daripada perkataan Inggeris 'darling' yang bererti kekasih.

Tarian ini adalah tarian hiburan yang unik di majlis khusus dan istimewa di mana penari lelaki dan perempuan akan berbalas pantun sambil menari.

Dan etnik ini turut terkenal dengan tarian daling-daling bermaksud sayang yang turut dikenali sebagai satu tarian usik mengusik di antara teruna dan gadis.

Pakaian tradisi etnik ini agak unik dan mempunyai reka bentuk tersendiri. Terdapat pelbagai jenis pakaian tradisi etnik ini antaranya seperti bajju samda, bajju sablai, bajju siggpit, bajju kammisun dan sebagainya.

Sementara seluar kuput, hanya dipakai oleh keturunan Sultan atau Panglima sahaja. Ukurannya agak sempit di bahagian betis dan berwarna putih atau kuning keemasan.

Kain merah pula digunakan sebagai tali pinggang yang dinamakan kandit. Warna hijau juga kadangkala menjadi pilihan.

Mereka juga memakai tanjak yang dikenali sebagai pis. Tingkat tanjak ini biasanya mengikut keturunan dan kedudukan seseorang itu.

Bagi kaum wanita pula mereka menggunakan pakaian berbeza sama ada untuk bersiar-siar atau menghadiri sesuatu pesta atau majlis keramaian. Untuk bersiar-siar atau di rumah, mereka mengenakan baju yang terdiri daripada kamissun, samda dan sablai.

Semasa menghadiri pesta atau majlis rasmi wanita etnik ini memakai baju sigpit atau baju ala kebaya asli dengan kain batik lepas.

Di bahagian kepala mereka biasanya mengenakan atau meletakkan mahakutta. Mereka juga mengenakan sanggul yang dihiasi dengan sisir bersalut emas yang dinamakan sudlai bulawan.

Wanita Suluk keturunan bangsawan pula selalunya mempunyai mahakutta yang bertatahkan berlian atau mutiara asli.

Bagi seorang gadis atau penari mangiluk atau daling-daling atau seorang pengantin selalu memakai kuku palsu yang panjang berwarna keemasan yang dinamakan janggai.

4. Tarian Limbai

Tarian Limbai

Tarian ini adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan.

Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin.

Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni pernikahan.

Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin naik ke rumah.

Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.

5. Tarian Lansaran

Tarian Lansaran

Suku kaum Murut merupakan suku kaum bumiputera yang kecil bilangannya di Sabah. Kaum ini tinggal di kawasan pedalaman iaitu di Keningau, Nabawan, Sepulot dan Tenom.

Perkataan lansaran berasal daripada perkataan lumasar yang bermaksud melambung atau berayun-ayun.

Hal ini sesuai dengan situasi tarian itu yang ditarikan di satu tempat khas dengan berayun-ayun dan melambung-lambungkan diri.

Pada masa dahulu tarian ini berkait rapat dengan pemujaan roh atau semangat tengkorak, khususnya pemujaan semangat kepala manusia yang diperoleh semasa ngayau.

Kini tarian ini ditarikan sebagai bersuaka ria sempena keramaian seperti perkahwinan dan perpindahan ke rumah panjang yang baharu.

6. Tarian Mogunatip

Mogunatip

Tarian Mogunatip adalah sejenis tarian tradisi masyarakat beberapa suku kaum Murut di pedalaman Sabah.

Perkataan Mogunatip diambil daripada perkataan "atip" yang bermaksud menekan antara dua permukaan.

Keunikan tarian Mogunatip ini bukan saja bagaimana cara ia di tarikan namun kekuatan dan ketangkasaan perlu ada di samping pakaian tarian ini mengambarkan pahlawan murut satu ketika dulu.

Biasanya tarian ini tidak memerlukan iringan muzik oleh kerana bunyi buluh itu yang dilagakan akan menimbulkan bunyi yang kuat serta rentak dan irama yang menarik.

Tarian Mogunatip bertujuan untuk memeriahkan sesuatu upacara yand diadakan.

7. Tarian Sumayau

Tarian Sumayau

Tarian ini merupakan tarian pemujaan semangat oleh suku kaum Dusun. Ia biasanya dipersembahkan semasa Upacara 'Rumaha' (Upacara memuja tengkorak kepala), 'Mangahau' (Upacara pemujaan Tajau).

Penari perempuan mengerakkan tapak kaki mereka dengan perlahan, sementera penari lelaki berdiri dan menggoncangkan 'Giring'atau lonceng kecil yang dilekatkan pada pakaian mereka.

Sumayau dipersembahkan lebih daripada lapan orang pasangan yang berpakaian serba hitam dengan lengan panjang dan selendang yang panjang mengelilingi leher.

Penari perempuan pula memakai bulu burung di bahagian kepala yang digabungjalinkan sementara penari lelaki memekai 'Sigar'.

8. Tarian Sazau Papar

Tarian Sazau Papar

Sazau Papar merupakan tarian bagi suku kaum Kadazan Dusun yang menetap di Daerah Papar.

Pada peringkat awalnya, fungsi tarian ini adalah sebagai upacara "Madsuwau" iaitu bertujuan untuk pemujaan terhadap "Dapu" atau tajau yang dipercayai mempunyai semangat yang harus dipelihara, disembah atau diberikan makan supaya semangat berkenaan tidak akan mengganggu dan marah terhadap orang yang menyimpannya.

Kelalaian si pemilik Dapu untuk melaksanakan upacara ini akan mengakibatkan si pemilik jatuh sakit dan hanya boleh disembuhkan dengan mengadakan upacara Madsuwau.

9. Tarian Mongigol

Tarian Mongigol

Mongigol merupakan tarian suku kaum Kadazan Dusun. Tarian Mongigol dipersembahkan sekaligus semasa perayaan dan upacara semangat.

Tarian ini ditarikan oleh tiga hingga lapan orang penari perempuan dan di ketuai oleh penari lelaki.

10. Tarian Sumundai-Mongigol

Tarian Sumundai-Mongigol

Tarian suku kaum Momogun Rungus ditarikan oleh seorang lelaki dan beberapa orang perempuan. Tarian yang dinamakan Sumundai-Mongigol ini diiringi dengan paluan gong.

Apabila lelaki dan perempuan sama-sama menari, ia dipanggil "miandak" dalam bahasa Rungus.

Tarian Sumundai-Mongigol ini ditarikan apabila tiba Pesta Kaamatan, majlis perkahwinan, kematian, keraian ataupun ketika menyambut tetamu yang istimewa.

Kadang-kadang semasa tarian ini ditarikan, beberapa orang Rungus akan membawa beberapa gelas arak buatan sendiri seperti "kinomol" yang diperbuat dari beras dan "tinonggilan" yang diperbuat dari jagung untuk para tetamu yang hadir dalam majlis berkenaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: siahmastura

Saturday, April 22, 2017

Sambutan Hari Pertabalan Yang Dipertuan Agong

Sambutan Hari Pertabalan Yang Dipertuan Agong

Upacara Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah salah satu hari yang dinamakan sebagai "Hari Kolar" maka, kolar harus dipakai bagi semua penerima Darjah Kebesaran dengan Kolar.

Hari Pertabalan

Apabila memakai Kolar Darja Kebesaran, selempang bagi Darajah Kebesaran yang sama tidak harus dipakai. Walau bagaimanapun, Selempang bagi Darja Kebesaran yang lain boleh dipakai.

Hanya satu Kolar sahaja yang boleh dipakai dan dipakai dikedua-dua bahu dan terletak sama panjang dari depan ke belakang dengan lencana terletak pada dada.

Dalam kes pemakaian formal atau beruniform, Kolar seharusnya dipakai melalui jerumbai. Kolar tidak perlu dipakai ketika Santapan Diraja.

Persiapan

Keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong IX dan Raja Permaisuri Agong ke Balairong Seri diiringi oleh juruiring-juruiring baginda dan Dang Perwara serta panglima-panglima yang membawa Alat-alat Kebesaran Diraja pada hari pertabalan.

Pada 9.50 pagi Pengawal Tombak Diraja akan mengambil tempat di tempat masuk Balairong Seri. Pada 9.57 pagi the Datuk Paduka Maharaja Lela akan muncul diiringi panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, Adikung Bading serta panglima yang membawa Alat Kebesaran Diraja seperti Pedang, Keris, Cokmar, Sundang dan Tombak Berambu. Dang Perwara juga akan bersiap sedia.

Ketibaan Seri Paduka Baginda

Tepat jam 10 pagi, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong akan memasuki Balairong Seri.

Ketibaan Baginda berdua akan diumumkan oleh Pengerusi Upacara. Ketibaan Tuanku ke Balairong Seri dimulakan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, Adikung Baginda, Dang Perwara dan Hulu Balang yang membawa Alat Kebesaran Diraja.

Sebaik sahaja Baginda di Pintu Masuk Utama Balairong Seri, Nobat akan mengalunkan lagu "Raja Berangkat". Sebaik sahaja Nobat dimainkan, para hadirin akan berdiri.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan bersemayam di singgahsana. Datuk Paduka Maharaja Lela, Adikung, Dang Perwara dan panglima akan mengambil tempat.

Permulaan Istiadat Pertabalan

Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengadap dan memohon izin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memulakan upacara.

Setelah mendapat perkenan Tuanku, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan mengumukan bermulanya Upacara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas mengadakan pengumuman, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengadap dan memohon izin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membawa Alat Kebesaran bagi Istiadat Pertabalan ke Balairong Seri.

Setelah mendapat perkenan Tuanku, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan meninggalkan Balairong Seri.

Pengerusi Upacara kemudiannya akan mengumumkan yang Alat Kebesaran Istiadat Pertabalan dibawa masuk ke dalam Balairong Seri. Nobat akan memainkan lagu "Menjunjung Duli".

Datuk Paduka Maharaja Lela memasuki Balairong Seri diiringi Datuk Penghulu Istiadat and Pegawai Agama Istana Negara bersama panglima yang membawa:
  • Al-Quran nul Karim
  • Keris Kerajaan
  • Watikah Pengisytiharan
  • Watikah Ikrar

Penyerahan Al-Quran nul Karim

Ketika tiba di Balairong Seri, Datuk Paduka Maharaja Lela menerima Al-Quran Nul Karim daripada panglima dan membawanya ke Singgahsana sehingga ke Tangga ketiga dan kini beliau memohon izin untuk menyerahkan Al-Quran Nul Karim kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Baginda akan mengucup Al-Quran Nul Karim dan meletakkannya di meja yang terletak di antara Baginda dan Raja Permaisuri Agong. Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian akan turun dan panglima akan meletakkan alat kebesaran yang lain di atas meja, dan bersama dengan Datuk Penghulu Istiadat dan Pegawai Agama, menuju ke tempat duduk mereka.

Watikah Pengisytiharan

Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengadap dan memohon izin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengadapkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang akan membacakan Watikah Pengisytiharan.

Selepas mendapat perkenan Tuanku, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan menjemput Perdana Menteri untuk membacakannya. Datuk Penghulu Istiadat akan tampil ke hadapan untuk mengambil dulang berisi Watikah Pengisytiharan dan, bersama dengan Datuk Paduka Maharaja Lela, mengiringi Perdana Menteri.

Perdana Menteri kemudian akan mengambil Watikah Pengisytiharan daripada Datuk Penghulu Istiadat dan membacakannya.

Selepas membacanya, Perdana Menteri akan meletakkan semula Watikah Pengisytiharan, membongkok dan mengundur diikuti Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat yang meletakkan semula Watikah Pengisytiharan di atas meja.

Penyerahan Keris Kerajaan

Datuk Penghulu Istiadat akan mengambil dulang yang mengandungi Keris Kerajaan dan mengiringi Datuk Paduka Maharaja Lela untuk mengadap Baginda.

Di hadapan singgahsana, Datuk Paduka Maharaja Lela akan bongkok dan menerima dulang tersebut daripada Datuk Penghulu Istiadat dan mengadap sehingga tangga ketiga, melutut dan mempersembahkan Keris Kerajaan.

Baginda Yang di-Pertuan Agong akan menerima Keris itu, mencabutnya dari sarung dan mengucupnya. Datuk Paduka Maharaja Lela turun semula.

Penyerahan Watikah Ikrar

Datuk Paduka Maharaja Lela membongkok dan mengambil dulang yang mengandungi Watikah Ikrar daripada Datuk Penghulu Istiadat dan menuju ke singgahsana sehingga tangga ketiga, melutut dan mempersembahkan Watikah Ikrar, dan kemudian beliau akan berundur dan berdiri di hadapan singgahsana bersama Datuk Penghulu Istiadat.

Para hadirin akan berdiri dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan membacakan Ikrar.

Selepas Ikrar, Nobat akan memainkan lagu "Raja Bertabal". Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian akan menaiki singgahsana sehingga tangga ketiga dan menerima Watikah Ikrar dan turun. Dulang yang berisi Watikah Ikrar kemudian diserahkan kepada Datuk Penghulu Istiadat.

Selepas Nobat habis dimainkan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan melaungkan "Daulat Tuanku" sebayak tiga kali dan diikuti para hadiri di Balairong Seri.

Meriam akan dilepaskan sebanyak 21 das apabila laungan pertama itu dilakukan. Lagu Negaraku akan dimainkan ketika tembakan meriam dilepaskan.

Yang di-Pertuan Agong akan kembali ke singgahsana dan para hadirin duduk kembali. Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat berundur dan meletakkan semula Watikah Ikrar di atas meja.

Ucapan Tahniah dan Ikrar Taat Setia Kerajaan dan Rakyat Malaysia

Datuk Paduka Maharaja Lela mengadap dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Perdana Menteri untuk memberikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia.

Selepas mendapat perkenan, Perdana Menteri mengadap Baginda dengan diiringi Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat membawa dulang mengandungi ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

Selepas menyampaikan ucapan, Perdana Menteri akan mengembalikan salinan ucapan itu dan mengadap sembah kepada kedua-dua Seri Paduka Baginda dan berundur untuk kembali ke tempat duduk, diiringi Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat.

Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong

Selepas mengiringi Perdana Menteri ke tempat duduk, Datuk Paduka Maharaja Lela sekali lagi mengadap dengan diiringi Datuk Penghulu Istiadat sambil membawa dulang berisi Watikah Titah Ucapan.

Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Baginda untuk mempersembahkan Watikah Titah Ucapan.

Selepas mendapat perkenan, Datuk Paduka Maharaja Lela kemudian mengambil dulang berisi Watikah Titah Ucapan daripada Datuk Penghulu Istiadat dan menaiki singgahsana ke tangga ketiga lalu menyerahkan Watikah Titah Ucapan. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan menerima Watikah Titah Ucapan dan Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengundur dan menuruni singgahsana. Baginda kemudiannya memulakan titah ucapan.

Selepas Titah Ucapa Baginda, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengadap ke tangga ketiga lalu menerima watikah tersebut daripada Baginda dan berundur dari singahsana.

Beliau kemudiannya mengembalikan dulang yang berisi watikah kepada Datuk Penghulu Istiadat, mengangkat sembah dan meninggalkan singgahsana. Datuk Penghulu Istiadat mengembalikan watikan ke dulangnya dan meletakkannya di atas meja.

Pembaca Doa

Pengerusi akan mengumukan pembacaan doa akan bermula. Pegawai Agama Istana Negara akan membacakan doa.

Pegawai Agama bersama Datuk Penghulu Istiadat memohon perkenan untuk membacakan doa. Selepas perkenan diperoleh, mereka menunduk dan Pegawai Agama akan menbacakan Doa Selamat.

Selepas tamat, Pegawai Agama dan Datuk Penghulu Istiadat akan berundur dan kembali duduk di tempat duduk mereka.

Penerimaan al-Quran

Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat akan mengadap ke singgahsana ke tangga ketiga untuk menerima al-Quran daripada Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Selepas menerima Quran, Datuk Paduka Maharaja Lela akan berundur dari singgahsana. Beliau kemudiannya akan menyerahkan Quran kepada Datuk Penghulu Istiadat.

Istiadat Pertabalan Tamat

Datuk Paduka Maharaja Lela memohon perkenan Baginda untuk mengumukan bahawa upacara Istiadat Pertabalan telah selamat disempurnakan. Selepas Baginda memperkenan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan mengumumkannya.

Keberangkatan Baginda

Pengerusi akan mengumumkan sudah tiba masanya untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong untuk meninggalkan Balairong Seri.

Sebaik sahaja para hadiri berdiri, Nobat akan memainkan lagu "Raja Berangkat". Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Penghulu Istiadat dan pembawa Alat Kebesaran Diraja, Juruiring Diraja dan Dang Perwara akan mengambil tempat mereka di hadapan singgahsana.

Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menuruni singgahsana dan meninggalkan Balairong Seri diketuai oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Penghulu Istiadat membawa Quran, diikuti Pembawa Cogan Alam dan Cogam Agama, Alat Kebesaran Diraja, Juruiring Diraja dan Dang Perwara.

Nobat akan berhenti bermain apabila Baginda berdua tiba di pintu masuk Balairong Seri dan menuju ke bilik khas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Friday, April 14, 2017

Sambutan Hari Hitam, Black Day

Sambutan Hari Hitam, Black Day

Sambutan Hari Hitam, Black Day disambut pada 14 April setiap tahun oleh lelaki dan wanita yang tidak mempunyai kekasih dan tidak menerima hadiah pada Hari Valentine mauhpun White Day.

Sambutan Hari Hitam, Black Day

Lelaki dan wanita yang tidak mempunyai kekasih merayakan Black Day dengan berpakaian serba hitam dan menghadiri acara berkumpul secara rasmi dengan rakan senasib.

Acara diisi dengan memakan mi bersos pekat berwarna hitam yang disebut Jajangmyeon dan minum kopi hitam.

Sambutan Black Day merupakan salah satu dari serangkaian hari peringatan yang dibuat untuk mempromosikan barangan dan dilangsungkan setiap pada tanggal 14 April.

Sambutan perayaan bulanan tanggal 14 dimulakan pada awal tahun dengan Hari Buku Harian (14 Januari), Hari Valentine (14 Februari), White Day (14 Mac), Black Day (14 April), diteruskan dengan Hari Mawar (14 Mei), Hari Bercium (14 Jun), Hari Hijau (14 Ogos) dan Hari Wang (14 Disember).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Tuesday, March 14, 2017

Sambutan Hari Putih, White Day

Sambutan Hari Putih, White Day

Sambutan Hari Putih, White Day merupakan suatu hari yang diraikan di negara Jepun dan Korea Selatan pada 14 Mac setiap tahun, sebulan selepas Hari Valentine dan merupakan dikatakan tradisi yang berasal dari Jepun.

Sambutan Hari Putih, White Day

Di Jepun, kebiasaanya pada Hari Valentine, kaum wanita akan memberi hadiah coklat (sama ada buatan tangan atau beli di kedai) kepada kaum lelaki sebagai suatu ungkapan cinta dan kasih sayang.

Coklat buatan tangan itu lebih disukai oleh penerima kerana ia tanda bahawa lelaki itu menerima "satu-satunya" wanita itu sebagai kekasihnya.

Pada Hari Putih sebaliknya berlaku apabila lelaki yang menerima coklat itu sama ada honmei-choco ("coklat cinta") atau giri-choco ("coklat ihsan") ketika Hari Valentine perlu membalas hadiah tersebut yang kebiasaanya lebih mahal dari pemberian wanita.

Secara tradisionalnya, hadiah yang diberikan ketika hari tersebut ialah biskut, barang kemas, coklat putih, pakaian dalam berwarna putih dan marshmallow.

Kadangkala, istilah sanbai gaeshi, secara harfiahnya, "tiga kali ganda pulangan" digunakan untuk menggambarkan bahawa hadiah pulangan tersebut hendaklah dua hingga tiga kali ganda lebih mahal daripada hadiah pemberian pada Hari Valentine.

Hari Putih juga diamalkan di negara Korea, dimana lelaki yang telah menerima hadiah coklat daripada wanita pada Hari Valentine hendaklah membalas hadiah itu.

Kebiasaanya ialah gula-gula bukan coklat.

Pada hari ke-14 bulan seterusnya iaitu Hari Hitam, dilakukan pula oleh seseorang yang masih belum mempunyai kekasih.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia