Wednesday, November 23, 2022

Sejarah Kerajaan Minoriti Di Seluruh Dunia, Kebaikan Dan Keburukannya

Sejarah Kerajaan Minoriti Di Seluruh Dunia, Kebaikan Dan Keburukannya

Kerajaan minoriti adalah sebuah kerajaan yang dibentuk oleh sesebuah parti atau beberapa parti yang tidak mempunyai kelebihan majoriti di Parlimen.

Di bawah kerajaan ini, polisi atau undang-undang hanya boleh diluluskan selepas mendapat sokongan bilangan ahli parlimen mencukupi sekaligus menggalakkan penglibatan parti-parti dalam parlimen.

Kerajaan minoriti Malaysia

Bagaimanapun, ia tidak stabil berbanding kerajaan majoriti, kerana sekiranya ahli-ahli parlimen yang menentang tidak bersetuju dengan polisi yang hendak diluluskan, mereka boleh menolak atau mengadakan undi tidak percaya terhadap kerajaan berkenaan.

Justeru, untuk mengelak perkara sebegitu berlaku, kerajaan minoriti harus membentuk perjanjian keyakinan dan bekalan dengan parti-parti tertentu atau ahli parlimen bebas.

Perjanjian ini ialah parti-parti tertentu atau bebas bersedia menyokong kerajaan minoriti dengan undi kepercayaan atau menyokong usul belanjawan kerajaan sama ada dengan mengundi sokong atau memilih berkecuali.

Namun, parti-parti ini masih mempunyai hak mengundi usul-usul yang memihak kepada mereka atau berdasarkan hati nurani mereka dalam usul perundangan.

Aturan sebegini bukan perkara baru dalam soal kerajaan minoriti. Misalnya pada tahun 2017, selepas Parti Konservatif UK gagal membentuk majoriti, mereka membuat perjanjian keyakinan dan bekalan dengan Parti Kesatuan Demokratik (DUP).

Tetapi, mampukah kerajaan minoriti yang dicadangkan itu berlaku di Malaysia?

Kerajaan minoriti memerlukan ihsan dari pihak lawan untuk meluluskan undang-undang atau polisi yang cuba dilaksanakan, sekaligus menjadikan kerajaan tersebut kerajaan yang lemah.

Ini berlaku kepada kerajaan Parti Buruh UK pada tahun 1977. Perdana Menteri ketika itu, James Callaghan berhadapan usul undi tidak percaya dari parti-parti pembangkang.

James Callaghan baru saja menjawat jawatan berkenaan selama setahun menggantikan Harold Wilson.

Untuk mengelak situasi undi tidak percaya berlaku kepada mereka, James Callaghan mengadakan perjanjian dengan Parti Liberal Demokrat yang diketuai David Steel.

Sebagai tukaran kepada sokongan dalam usul undi tidak percaya, beberapa cadangan parti berkenaan akan diterima oleh Parti Buruh.

Namun, perjanjian tersebut ditamatkan pada September 1978 dengan Parti Buruh mengumumkan tidak mengadakan pilihan raya umum pada musim luruh 1978 dan akibatnya, kerajaan James Callaghan ditumbangkan dalam usul undi tidak percaya pada Mac 1979.

Ini memaksa beliau mengadakan pilihan raya beberapa bulan selepas itu dan pada Mei 1979, Parti Konservatif yang diketuai Margaret Thatcher menduduki No 10 Downing Street.

Situasi sama turut melanda India pada tahun 1996 hingga 1998. Pada tahun itu, 13 parti kecil membentuk satu perikatan politik yang dipanggil Barisan Bersatu (UF/BB).

Pada pilihan raya umum 1996, keputusan pilihan raya menyaksikan tiada parti berjaya meraih kelebihan majoriti.

Parti Bharatiya Janata (BJP) mempunyai bilangan kerusi terbesar iaitu 161 kerusi dari 543 kerusi dan dijemput membentuk kerajaan. Hasilnya, Atal Bihari Vajpayee dilantik sebagai Perdana Menteri.

Tetapi Atal Bihari Vajpayee gagal mendapat sokongan majoriti di Parlimen dan kerajaannya tumbang 13 hari kemudian.

Selepas itu, Parti Kongres yang mempunyai 140 kerusi dijemput melakukan perkara sama tetapi menolak berbuat demikian.

Ini yang membawa kepada pembentukan kerajaan BB yang disokong Parti Kongres dan Parti Komunis India-Marxist (PKI-M) dengan H.

D. Deve Gowda dilantik sebagai Perdana Menteri, bagaimanapun beliau hanya bertahan setahun (1 Jun 1996 – 21 April 1997) apabila Kongres menarik balik sokongan atas alasan tiada komunikasi antara BB dengan parti berkenaan.

Bagaimanapun, Parti Kongres beralah apabila BB melantik I. K. Gujral sebagai Perdana Menteri baru.

Malangnya, I K. Gujral hanya bertahan selama setahun (21 April 1997 – 19 Mac 1998) sebelum kerajaannya tumbang gara-gara pelbagai kontroversi berlaku ketika itu yang mendorong Parti Kongres menarik diri.

Justeru, sekiranya idea kerajaan minoriti diteruskan juga, permusuhan dan perbalahan membabitkan drama politik negara takkan berakhir.

Ia akan terus dimainkan sehingga ke satu tahap dimana negara akan berada dalam keadaan pegun kerana dasar dan polisi tak boleh dibuat.

Dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang semakin hari semakin teruk, rakyat memerlukan kerajaan yang kuat.

Justeru, perlunya sebuah kerajaan yang memiliki mandat semula daripada rakyat untuk memperbaiki keadaan.

Bayangkan, dengan kerajaan sebelum ini pun ekonomi negara sudah tunggang-langgang, memperjudikan nasib dengan menyokong kerajaan minoriti yang juga menunggu masa untuk rebah adalah sangat membebankan.

Kalau anda sendiri seorang pelabur, adakah anda akan masuk melabur di Malaysia?

Itu baru masalah ekonomi, belum lagi masalah-masalah lain seperti masalah sosial dan hubungan antara kaum.

Sama-samalah kita menyuarakan dengan tegas mandat memilih kerajaan dikembalikan kepada rakyat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, November 22, 2022

Penubuhan Kerajaan Minoriti Jika Tiada Majoriti Mudah

Penubuhan Kerajaan Minoriti Jika Tiada Majoriti Mudah

Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seorang Perdana Menteri walaupun mungkin partinya tidak mempunyai cukup majoriti dalam PRU, bagi membentuk sebuah kerajaan minoriti jika tiada penyelesaian kukuh untuk mendapatkan sebuah kerajaan majoriti.

Politik jijik

Ia berikutan kerajaan sementara bukan sebuah kerajaan sebenar dan hanya berfungsi untuk jangka masa pilihan raya dijalankan sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk.

Meskipun perlembagaan tidak secara spesifik menawarkan formula yang tuntas dalam keadaan hung parliament, namun wujud alternatif selain kerajaan yang didirikan atas keadaan simple majority (majoriti mudah).

Jika menurut amalan negara Komanwel, Yang di-Pertuan Agong akan melantik Perdana Menteri dalam kalangan parti yang mendapat majoriti tertinggi dan kerajaan ini kemudiannya akan diberi masa untuk membentuk kerajaan baharu atau melantik mana-mana pihak untuk bersamanya.

Perdana Menteri baharu itu juga mempunyai pilihan untuk memasuki Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA), seperti yang berlaku pada awal pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Tanpa penubuhan sebuah kerajaan baharu, bajet juga tidak dapat dibentang di Parlimen untuk diluluskan.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melantik mana-mana Ahli Parlimen dengan anggapan individu itu boleh mendapat sokongan yang banyak tanpa bukti kerusi parti yang dimenangi pada PRU.

Penggunaan surat sumpah berkanun (SD) juga boleh bertindan (duplicate), selain ia walaupun diterima pakai tetapi tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kerana bukti paling utama dalam pilihan raya umum datangnya daripada rakyat melalui peti undi.

Rakyat telah memilih parti dan parti itu yang akan menamakan calon Perdana Menteri.

Undi popular juga boleh digunakan dalam pemilihan Perdana Menteri, seperti dalam demokrasi lain di dunia, walaupun ia bukan amalan biasa dikalangan negara Komanwel, namun penggunaan undi popular boleh diambil kira untuk memilih calon Perdana Menteri

Mungkin ada yang akan bertanya: Adakah kerajaan minoriti itu akan dilihat stabil?

Tiada undi tak percaya

Dengan adanya undang-undang antilompat parti, keadaan akan boleh menjadi stabil meskipun ia hanya berstatus kerajaan minoriti.

Mungkin juga ada yang bertanya: Macam mana sekiranya ada undi tidak percaya dikemukakan?

Fenomena undi tidak percaya boleh diatasi melalui sebuah mekanisme yang dipanggil CSA (Confidence-Supply Agreement) atau dikenali juga sebagai perjanjian keyakinan dan pembekalan.

Ia boleh dimeterai di antara kerajaan dengan gabungan politik atau dengan parti-parti tertentu.

Secara mudahnya, melalui perjanjian tersebut sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk.

Sebagai balasan atau imbalan pula, pihak yang memetarai CSA dengan kerajaan minoriti itu tidak akan dibenarkan untuk melakukan perkara tertentu, seperti tidak boleh bertindak mengemukakan undi tidak percaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Thursday, November 17, 2022

Kelicikan Bank Menipu Dengan Sistem Riba

Kelicikan Bank Menipu Dengan Sistem Riba

Sekitar 1970-an, industri perbankan adalah sebuah pasaran yang membosankan. Orang datang bank untuk menyimpan duit, yang dibelanjakan bank demi keuntungan. Dan hasil keuntungan ini, bank mampu memberi pinjaman berfaedah (loan with interest).

Kelicikan Sistem Riba

Jadi, konsep bank adalah untung membuat untung – produk yang mencipta produk baru. Masuk 1990-an, bank meluaskan rantaian ini. Produk mencipta produk baru yang mencipta produk lebih baru. Rantaian bertambah; bank melebarkan untung. Puncanya adalah pemacuan ekonomi yang sangat baik.

Antara 1980 sampai 2000, Amerika Syarikat berada di puncak dari segi kewangan dan global. Kekayaan mereka memang luar biasa, tidak tercabar mana-mana musuh.

Tetapi sekitar dekad inilah timbul satu musuh baharu, iaitu diri mereka sendiri. Dan seluruh dunia bergegar apabila industri perbankan mula memandang enteng pada tanggungjawab mereka.

Umumnya jutaan orang meminjam daripada bank untuk membeli rumah. Jadi mereka perlu membayar dengan faedah. Katakanlah pinjam AS$50,000 dan bayar balik AS$270 setiap bulan selama 30 tahun. Cukup 30 tahun, jumlah bayaran adalah AS$97,200. Jadi bank mendapat untung sebanyak AS$47,200.

Itu seorang. Kalau sejuta peminjam, sudah AS$47.2 bilion. Katakanlah bank ada 2,000 peminjam (AS$94.4 juta). Semua pinjaman ini disumbat dalam satu kolam, menjadi alat bernama Mortgage-Backed Security (MBS) (Erturk & Gabor, 2016).

Konsepnya mudah: tiada individu atau syarikat yang tidak akan membayar pinjaman rumah. Jadi, jaminan untung bank menjadi alat untuk membuat untung.

Mereka menjualnya dalam bentuk bon pada agensi kerajaan atau bank pelaburan yang kemudian meminjamkannya kepada pelabur-pelabur lain.

Dan pada tahun 2002, bank-bank Amerika Syarikat rata-ratanya menstrukturkan alat MBS menjadi sejenis kek.

Bon besar membuat kek yang dipotong pula untuk hidangan pelabur. Konsepnya masih sama: menjana pendapatan melalui faedah semata-mata.

Tetapi macam biasa, kalangan pelabur pun ada kasta. Kek takkan dipotong secara saksama. Sesiapa yang bayar lebih, dapat potongan lebih besar.

Jadi, jika ada pembeli rumah tidak dapat membayar balik pinjaman, pelabur yang pegang potongan paling kecil akan kena dulu. Soalan sama masih menyantuni mereka: pembeli mana yang takkan bayar pinjaman rumah?

Dan santunan ini menjadi punca mereka bertambah tamak. Mereka meringankan kemudahan untuk buat pinjaman. Sampai ke tahap pengutip buah dengan pendapatan AS$14,000 setahun tanpa kemampuan bercakap bahasa Inggeris tiba-tiba layak meminjam untuk membeli rumah berharga AS$724,000.

Kadar faedah ditetapkan pada masa itu sangat rendah (tetapi boleh diapung setiap tahun) dan masuk tahun 2006, mimpi ngeri mula melanda apabila kadar faedah menunjukkan trend kenaikan (kerana individu mampu meminjam untuk membeli rumah).

Tidak cukup dengan itu, mereka membuat sistem pertaruhan pada potongan kek tersebut. Sepotong kek katakanlah melibatkan pelaburan AS$1 juta. Dua orang belakang membuat pertaruhan: "Saya bertaruh dia akan dapat duit itu."

Katakanlah untung pertaruhan ini adalah AS$2 juta. Kemudian dua orang di belakang dua orang ini membuat pertaruhan baru, "Saya bertaruh orang depan kita akan dapat AS$2 juta itu."

Dan dua orang belakangnya sambung lagi dalam sebuah rantaian yang bergantung pada potongan kek tadi. Maka begitulah rantaiannya sampai ke orang belakang yang entahnya tidak tahu pun apa yang sedang dipertaruhkan. AS$1 juta sekarang boleh jadi AS$200 bilion.

Sekarang, apa jadi kalau potongan kek tidak mendapat AS$1 juta? Tetapi mana mungkin tidak dapat, sebab pelaburan potongan kek ini bergantung pada pinjaman rumah. Dan pembeli mana yang takkan bayar pinjaman rumah?

Dua tahun kemudian, dua perkara berlaku: Individu sudah tidak mampu membeli rumah dan peminjam sedia ada tidak mampu membayar balik, kerana kadar faedah melambungkan bayaran bulanan mereka hingga ke tahap tidak mampu dibayar.

Akhirnya apa yang terjadi? Dari bawah, sistem kewangan yang mereka bina mulai runtuh, membαhαm semua pelabur, menyebabkan krisis kewangan begitu kronik, teruk dan jijik.

Dan percayalah, inilah punca ramai semakin hilang kepercayaan pada industri perbankan.

Sekarang sudah ada alternatif seperti matawang kripto yang mampu menyimpan duit dalam sistem blok rantai kerana katanya lebih selamat berbanding bank (David, 2022).

Pengguna hanya perlu memastikan kesahihan sebuah kripto, seperti Bitcoin, Ethereum dan Uniswap misalnya. Dan satu-satunya bαhαyα kripto sah adalah turun naik nilainya. Kena berlaku adil – ini perkara biasa, kerana nilai emas pun ada naik turun.

Namun, fenomena emas dan matawang kripto lebih mudah difahami, berbanding alasan diberi pihak perbankan setiap kali masalah berbangkit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, September 09, 2022

Membandingkan Pencuri Dengan Nabi Yusuf Dan Nelson Mandela

Membandingkan Pencuri Dengan Nabi Yusuf Dan Nelson Mandela

Banduan sakit - termasuk sakit perut - di dalam penjara bukan sesuatu yang luar biasa. Sakit perut yang berulang dan masalah ulser bukan pelik kerana kehidupan di sebalik tembok konkrit dan jeriji besi tidak sama dengan kehidupan di luar.

Pencuri suci
Gambar hiasan.

Di dunia bebas, seseorang boleh bergerak ke mana-mana dan makan apa saja. Malah, dia boleh disanjung dan dipuja juga.

Di dalam tembok yang mengurung itu, seseorang banduan diajar supaya berfikir dan membentuk sahsiah lebih baik. Di dalam sana juga ada peraturan yang dinamakan disiplin dalam penjara.

Seseorang tahanan tidak bebas keluar masuk ke ruang makan atau bebas mendapat hidangan apa sahaja pada bila-bila masa.

Jika di luar penjara, seseorang itu bebas berhibur seperti mendengar lagu Madah Berhelah berkali-kali tanpa sekatan, tetapi di dalam, mengidamkan mocha istimewa pun belum tentu dapat.

Cuma, di dalam kurungan itu tidaklah lagi seseorang boleh diganggu oleh arahan atau leteran sesiapa, termasuk isteri sendiri.

Penjara bukan untuk memenjarakan minda seseorang, tapi untuk membugar keinsafan. Penjaralah yang melahirkan ramai tokoh besar dunia dalam pelbagai sektor. Penjara juga ruang untuk mendidik seseorang supaya berjiwa besar.

Nabi bukan pencuri

Justeru tidak aneh apabila ada orang yang membandingkan seorang banduan dengan mendiang Nelson Mandela, serta bersandar kepada ibrah teraniayanya Nabi Yusuf a.s.

"Mungkin ini adalah cara Allah SWT untuk mengangkat darjat dengan lebih tinggi," kata seorang anak lelaki kepada seorang banduan.

"Itulah yang berlaku kepada Nabi Yusuf yang dipenjarakan atas tuduhan palsu."

Dia juga berkata, "Apabila bebas Nabi Yusuf diangkat sebagai menteri berkuasa lagi bijaksana di Mesir. Nelson Mandela yang menentang dasar aparteid - apabila bebas - diangkat sebagai presiden Afrika Selatan yang berjaya menyatupadukan orang kulit putih dan bangsa Afrika."

Ramai yang sinis dengan hujah itu. Membandingkan seorang pencuri dengan Nabi Yusuf adalah tidak masuk akal.

Nabi Allah itu dipenjara kerana perjuangan menegakkan agama Allah. Nabi tidak mencuri dan nabi bukan mat sakau.

Nelson Mandela pula melupakan keselesaan hidup semata-mata mahu membentuk Afrika Selatan yang makmur dan saksama. Nelson Mandela tidak menubuh syarikat untuk mengaut duit negara.

Isteri Mandela tidak ada beg Bijan atau berlayar dengan kapal mewah ke kawasan peranginan dunia.

Nelson Mandela menanggung risiko menghabiskan lebih suku abad daripada hidupnya di dalam penjara yang terletak di Pulau Robben, Cape Town, yang kemudian dipindahkan ke Penjara Pollsmoor, Afrika Selatan.

Nelson Mandela bukan pencuri. Dia adalah pejuang kemerdekaan di negaranya.

Pada 7 November 1962, Nelson Mandela dijatuhi hukuman lima tahun penjara atas tuduhan meninggalkan negara secara haram dan menghasut kelompok pekerja untuk memberontak terhadap kerajaan kulit putih.

Sebelum dipindahkan ke Pulau Robben, selama tujuh bulan pertama dia menjalani hukuman di penjara Pretoria.

Di dalam penjara Pulau Robben yang berukuran tidak lebih dari lima meter itu, Nelson Mandela tidur beralaskan tikar tipis, kekurangan makanan dan turut mengalami penyeksaan.

Dia dilarang membaca akhbar dan buku kerana bimbang mendapat akses kepada maklumat di luar. Nelson Mandela tidak mengadu sakit perut, gastrik atau ulser dalam perut.

Rumah akal

Bertahan selama 27 tahun dalam kurungan adalah penyeksaan yang luar biasa. Jasad terkurung, namun roh dan semangatnya berterbangan melintasi garis sempadan geopolitik.

Nelson Mandela menggunakan pengetahuan hukumnya untuk mengkritik masalah penindasan, pelecehan dan kekerasan terhadap bangsa kulit hitam.

Ketika Nelson Mandela menghembus nafas terakhirnya pada 5 Disember 2013, namanya terus hidup merentasi segala benua dan lautan. Ia berterbangan dengan penuh harum, bukannya bersama kejian dan cacian.

Tentunya Nelson Mandela dikenang kerana kebaikan dan kesungguhannya menentang penindasan dan tidak terpalit dengan jenayah mencekau wang bernilai berbilion ringgit.

Di rantau sini, ada Pramoedya Ananta Toer, juga rekod peribadi yang baik ketika dalam tahanan. Katakan apa sahaja tentang beliau - pengganas, tali barut komunis dan anti-Islam, dia adalah susuk kemanusiaan yang tegas dan dipancarkan melalui novelnya.

"Penjara adalah rumah akal," kata Pramoedya.

Pada 13 Oktober 1965, rumahnya di Utan Kayu, Jakarta Timur, dilempari batu oleh segerombolan pemuda. Pintu rumahnya hancur.

Dia yang sibuk menulis saat itu, meneriaki mereka. Kakinya terluka kena lemparan batu. Ketika hendak melawan, tentera datang mencegah.

"Mari Pak, kita amankan!"

Pramoedya tidak tahu apa yang terjadi. Dia hanya membawa beberapa naskhah buku, kotak fail, mesin taip dan manuskrip yang harus diselesaikan.

"Saya kira diamankan dari gerombolan pemuda ini. Enggak tahu ditahan selama 14 tahun," kata Pramoedya seperti dikutip dari buku Pram Melawan (2011).

Seluruh barangnya disita. Yang paling membuat Pram sedih, banyak naskhah karangannya dibakar. Badannya digebuk sampai hampir tidak sedarkan diri. Pembantaian yang dialami saat itu merosak deria pendengarannya.

Telinga kirinya luka parah hingga kadang-kadang mengeluarkan darah sampai dia tua.

Pram dipindah-pindahkan dari tahanan tentera ke Cipinang, Tangerang, Nusa Kambangan, hingga tahanan di Pulau Buru. Penangkapan itu menjadi titik penting dalam hidupnya.

Ia membentuk Pram menjadi sosok yang keras, penuh kemarahan dan bergelora dengan hasrat melawan. Semua itu tertuang dalam tulisannya.

Lebih daripada 50 karyanya berhasil diterbitkan dan diterjemahkan ke 41 bahasa. Sejumlah penghargaan antarabangsa diterimanya, termasuk Anugerah Magsaysay.

Hari ini, karya-karya Pram masih laris dibeli, dicari dan terus dicetak ulang.

Penjara juga menciptakan karya besar daripada dua orang ini: Buya Hamka (1908 - 1981) dan William Addis (1734 - 1808).

Dalam jeriji penjara, Hamka menyelesaikan kitab Tafsir al-Azhar sebanyak 30 juzuk, manakala di penjara London, Addis mendapat inspirasi mencipta berus gigi yang kemudian membuatnya kaya-raya.

Hamka ditangkap pada awal Ramadhan 1964 oleh rejim Sukarno atas tuduhan berkomplot merencanakan pembunuhan presiden. Tuduhan itu tidak masuk akal kerana Hamka tidak lagi berpolitik kerana parti Masyumi sudah dibubarkan Sukarno pada 1960.

Sukarno bahkan sebenarnya bimbang kritikan Hamka terhadap penindasan demokrasi akan menyebabkan massa memberontak.

Di penjara Sukabumi, Hamka diseksa hingga sakit. Setelah dirawat di Hospital, dia menjalani tahanan di Rumah Tahanan Tentera Jakarta.

Di situlah Hamka banyak menggunakan waktunya menyiapkan Tafsir Al-Azhar dan ia muncuyl sebagai karya besar. Itulah tafsir Quran dalam bahasa Indonesia yang lengkap analisisnya.

Tafsir Al-Azhar mendapat penghargaan dari Universiti Al-Azhar Mesir. Universiti Kebangsaan Malaysia pula menganugerahkan gelar doktor kehormatan kepada Hamka, selain dia juga mendapat gelaran profesor dari Universiti Moestopo, Jakarta.

Addis sentiasa berterima kasih kepada penjara kerana membentuknya menjadi kreatif. Dia dimasukkan ke penjara pada 1770 kerana dituduh menjadi dalang rusuhan.

Dalam penjara dia membuat berus gigi berbulu kerana cara menggosok gigi gaya Eropah yang menggunakan kayu berhujung kain ketika itu tidak praktikal. Sisa makanan di celah gigi susah dibersihkan.

Setelah keluar dari penjara, Addis mengeluarkan berus gigi 'model baru' yang diguna pakai sebelum diubah suai sehingga kini. Inovasi itu menjadikan Addis jutawan bertaraf dunia.

Ramai tokoh besar dipenjara di Malaysia kerana pelbagai tuduhan yang sukar diterima.

Pak Sako, Ahmad Boestaman, Said Zahari, Kasim Ahmad, A Samad Ismail, Abdullah Majid adalah antara nama yang menerima takdir tidak pernah diramalkan.

Mereka menjadikan penjara sebagai sempadan untuk mendewasakan jiwa.

Penjara bukan kurungan akal. Penjara bukan untuk memanjakan diri dengan sakit perut, ulser dan gastrik. Penjara untuk mendidik jiwa merdeka.

Apa pun pertuduhan, realiti penjara cukup melelahkan bagi seseorang yang sentiasa mengharapkan pengampunan segera.

Justeru bossku, can I advise you something?

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Thursday, May 05, 2022

'Anjing-Anjing Menyerbu Kuburan'

'Anjing-Anjing Menyerbu Kuburan'

Ada satu cerita dari sebuah cerpen, kisahnya seorang pengamal sihir yang menggali mayat baru dikebumikan untuk menggigit telinga si mati. Sedang dia melakukan perbuatan korup tersebut, anjing-anjing liar datang menyerbu untuk membaham mayat itu.

Pemimpin Pendusta

Watak dalam cerpen itu berebutkan jenazah tersebut dengan anjing. Oleh gonggong dan hilai anjing yang nyaring, orang kampung terjaga dan berlarian ke pusara.

Sekelompok yang benar dan waras segera tahu ada pencuri di kubur, kerana coraknya dan lojiknya begitulah.

Akan tetapi yang lebih celaka dan aneh ialah, ada sekumpulan orang kampung lain yang bodoh dan bebal, apakala melihat si pengamal sihir sedang mengusir anjing dari mayat, menyangkakan ia itu penyelamat. Si pencuri telinga mayat yang korup kok dipanggil Imam?

Mereka, orang kampung bodoh beramai-ramai memanggil pencuri itu penyelamat.

Astaghfirullah. Kita memanggil pencuri itu penyelamat!

Pendusta dipercayai

Sabda Rasulullah SAW: "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah."

"Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya: "Siapakah golongan al-Ruwaibhidah?" Maka baginda SAW menjawab: "Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar." (Riwayat Ibn Majah)

Hari ini, orang lebih percaya kepada pendusta apalagi jika dia berjaya menguasai media sosial.

Melalui media sosial, pengaruh dan kepercayaan dibina agar ramai yang mengikuti setiap apa yang ditulisnya.

Pendusta yang mempunyai wang yang banyak akan menaburkan wangnya kepada orang ramai bagi mencari pengaruh.

Apatah lagi pada hari ini, ramai orang lebih rela menyokong dan mempercayai mereka yang berduit daripada mereka yang tiada apa-apa.

4 Golongan Manusia

Imam al-Ghazali mengkategorikan manusia kepada empat kumpulan:

Kumpulan pertama, golongan yang sedar mereka tahu, kumpulan ini wajar dipuji kerana keilmuannya.

Kumpulan kedua, tidak menyedari mereka tahu hingga perlu disedarkan dengan keilmuan mereka.

Kumpulan ketiga, golongan maklum mereka tidak tahu dan mempunyai kesedaran untuk menuntut ilmu.

Bagaimanapun, kumpulan keempat tidak sedar yang mereka tidak tahu. Kelompok itu boleh dikatakan ramai pada masa kini, iaitu mereka bukan sekadar tidak tahu dengan kejahilan sendiri, tetapi berbangga dengan kejahilan.

Ramai mahu mengurus urusan umum tanpa sedar mereka tiada keahlian dalam urusan berkenaan dan inilah juga disebut Nabi SAW sebagai Ruwaibidhah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Sunday, May 01, 2022

9 Negeri Di Malaysia Bakal Tenggelam Pada Tahun 2050!

9 Negeri Di Malaysia Bakal Tenggelam Pada Tahun 2050!

Satu kajian yang dijalankan oleh Nature Communication pada tahun 2019, iaitu sebuah badan yang menerbitkan jurnal-jurnal berkualiti tinggi mendedahkan bahawa Malaysia bakal tenggelam menjelang tahun 2050.

Banjir Di Pahang
Banjir di Pahang.

Menggunakan Data Digital Elevation Models (CoastalDEM), kajian simulasi digital berkenaan yang menjelaskan bagaimana paras kenaikan air laut mempengaruhi negara-negara pesisir laut mendapati sembilan negeri di Malaysia akan tenggelam dan membentuk sebuah pulau, sekali gus menjejaskan berjuta-juta penduduk.

Antaranya, Sarawak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang dan Kelantan kerana berada di bawah paras air laut.

Pada tahun 2050: Alor Setar menjadi sebuah pulau; sepanjang kawasan Parit Buntar hingga ke Taiping tidak kelihatan; Lebuh Raya Utara Selatan tenggelam; Bagan Datoh, Teluk Intan dan Kuala Selangor lenyap; Port Klang tenggelam; Shah Alam mengecil; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertempat di sebelah pantai. Muar dan Pekan juga tenggelam; Kuala Terengganu mengecil dan menjadi beberapa pulau.

Di Sarawak, Kuching juga mengecil dan menjadi beberapa pulau. Dalam masa sama pendedahan itu turut menyatakan di peringkat global, populasi Asia adalah paling banyak terdedah kepada kenaikan paras laut iaitu sebanyak 70 peratus.

Keadaan lebih teruk jika faktor lapisan ais tidak stabil diambil kira. Keseluruhan bahagian selatan Vietnam termasuk bandar Ho Chi Minh akan tenggelam pada 2050. Bandar-bandar utama seperti Bangkok, Mumbai dan Shanghai akan lenyap.

Selain itu, hal yang sama juga mengancam negara-negara lain di dunia ekoran beberapa trilion tan ais yang telah hilang dari Greenland sejak 1994, sekali gus telah meningkatkan paras laut.

JAKARTA BAKAL TENGGELAM

Masjid Wal Adhuna, Jakarta
Masjid Wal Adhuna, Muara Baru, Penjaringan, Jakarta Pusat.

Sementara itu, negara Indonesia dijangka bakal tenggelam satu pertiga menjelang 2050, bahkan ibu negaranya iaitu Jakarta dikatakan akan tenggelam dalam tempoh beberapa puluh tahun akan datang.

Ia dibuktikan dengan sebuah masjid yang berdiri kukuh di kawasan Muara Baru, Penjaringan, Jakarta Pusat menjadi 'saksi bisu' kepada jangkaan tersebut apabila separuh strukturnya semakin tenggelam akibat peningkatan paras laut.

Dalam pada itu, pakar geodesi dari Institut Teknologi Bandung (ITB) Heri Andreas berkata, kira-kira 9,000 hektar tanah di Jakarta sudah berada di bawah permukaan laut.

Menurutnya, pada 2021, sebanyak 14 peratus wilayah Jakarta sudah berada di bawah laut dan jumlah itu boleh meningkat kepada 28 peratus menjelang 2050.

Ujarnya, fenomena ini berlaku disebabkan dua faktor iaitu peningkatan paras air laut akibat pemanasan global dan turunnya permukaan tanah akibat eksploitasi air secara berlebihan.

Heri menjelaskan, jika kerajaan tidak melakukan langkah maksimum, tanah di Jakarta boleh menurun sehingga empat meter di bawah permukaan laut menjelang 2050.

KERAKUSAN KAPITALIS

Bumi yang didiami ini semakin nazak dek kerakusan manusia yang menyebabkan masalah pemanasan global yang mencairkan lapisan ais pada kadar yang membimbangkan.

Apalah ertinya kemodenan dan kemajuan jika kita terpaksa membayarnya dengan harga paling mahal iaitu kemusnahan alam sekitar serta tempat tinggal kita?

Jika bumi ini musnah di tangan manusia, ke planet manakah generasi akan datang boleh melarikan diri?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, April 26, 2022

Kenapa Ada Negara Islam Mengiktiraf Kedaulatan Israel?

Kenapa Ada Negara Islam Mengiktiraf Kedaulatan Israel?

Di jazirah Arab, ada beberapa negara yang mengiktiraf kedaulatan negara haram Israel dan menjalinkan hubungan diplomatik yang antaranya adalah; Mesir, Jordan, UAE, Morocco, Bahrain dan Sudan.

Mesir dianggap klasik kerana negara ini sudah menandatangani Perjanjian Damai dengan Israel sejak tahun 1979, sama juga dengan Jordan, yang membuat Perjanjian Damai dengan Israel pada tahun 1994.

Arab iktiraf Israel

Mesir dan Jordan seperti yang kita tahu, negara sempadan kepada Palestin. Kedua negara ini terlibat dengan perang menentang Israel dari dahulu lagi.

Mungkin sebab penat berperang, lalu mereka ambil jalan berdamai.

Tahun 2020 memperlihatkan 4 lagi negara Islam mengikut jejak langkah mengiktiraf negara Israel iaitu UAE, Bahrain, Sudan dan Morroco.

Ada beberapa sebab kenapa negara-negara Islam, saudara mara kita ini menyokong negara haram Israel.

Kami akan terangkan secara ringkas satu persatu.

1. Bahrain

Bahrain merupakan negara Orthodox Sunni yang takutkan ancaman Iran (Syiah) dan di Bahrain, terdapat gerakan Syiah yang memperjuangkan hak-hak demokrasi dan kumpulan ini mendapat restu Iran.

Disebabkan Bahrain tidak segagah Iran, negara ini memerlukan perlindungan dari kuasa besar Amerika.

Macam mana nak dapat perlindungan dari Amerika? Mudah. Iktiraf Israel.

Tapi kenapa perlu iktiraf Israel sedangkan yang perlu diminta pertolongan adalah Amerika?

Situasi ini ada kaitan dengan geopolitik. Selain itu, Amerika Syarikat telah mula kurangkan kapasiti ketenteraan mereka di Timur Tengah.

Jadi, Bahrain memerlukan perlindungan (double protection) dan kuasa ketenteraan yang dilihat boleh membantu mereka iaitu Israel.

Faktor kedua, Bahrain terhutang budi kepada Arab Saudi disebabkan semasa Arab Spring 2011, Bahrain terselamat dengan bantuan Arab Saudi.

Bahrain tahu yang Arab Saudi ada niat untuk menjalin hubungan dengan Israel, disebabkan itu Bahrain menjadi shadow nation dulu tengok macam mana perkembangan sebelum Saudi pula memulakan langkah.

2. Morroco/Maghribi

Morroco ada pertikaian satu wilayah di Sahara Barat. United Nation tak luluskan kedaulatan Morroco ke atas kawasan Sahara Barat seperti yang dituntut oleh kerajaan Morroco.

Jadi Morroco mengambil jalan pintas, iktiraf Israel dan sebagai timbal balik, mereka meminta Amerika untuk membantu dalam tuntutan ke atas kawasan yang dituntut.

Apa Amerika buat? Amerika ketuai rundingan dengan United Nation untuk Morroco dapatkan beberapa habuan wilayah sepanjang Sahara.

3. Sudan

Sudan pula dilihat sebagai sahabat baik Iran. Sebabnya, Khortum tidak menyertai pertikaian Saudi-Emirates semasa pembantaian Houti di Yaman.

Bila Sudan tidak mempertahankan Sunni daripada diserang Iran (Syiah), maka negara arab melihat Sudan sebagai sekutu Iran.

Bersahabat baik dengan Iran tapi kenapa iktiraf Israel?

Seperti biasa, manusia ini hatinya sentiasa berubah-rubah. Macam itu juga dengan Sudan. Negara ini membuat langkah sampingan bila Amerika tawarkan sesuatu yang sukar ditolak.

Apa Amerika tawarkan?

Amerika akan keluarkan Sudan dari senarai negara yang menyokong keganasan, tetapi Sudan perlu mengiktiraf kedaulatan Israel.

Amerika pula akan memudahkan urusan perdagangan global untuk Sudan sebagai medium untuk menaikkan ekonomi dan mengukuhkan perdagangan antarabangsa.

Persetujuan Sudan ini juga menyelamatkan reputasi mereka daripada kritikan barat yang selama ini mengecam Sudan sebab kurangnya amalan demokrasi dalam sistem pemerintahan mereka.

4. UAE

Sebut Dubai dan Abu Dhabi, semua tahu ini tempat paling seronok di Timur Tengah.

Kedua-dua Bandar hebat ini berada di bawah negara UAE, sebuah lagi kuasa Islam yang mengiktitaf kedaulatan negara Israel.

Ketenteraan UAE tidaklah sehebat seperti kereta-kereta mewah yang rakyat mereka miliki (selalu tengok Supercar Blondie) atau segagah menara Burj Khalifah.

UAE perlukan kekuatan teknologi dan ketenteraan. Jadi macam mana nak dapat? Senang. Ikut sahaja cakap Amerika, iktiraf Israel.

Amerika akan memanfaatkan sokongan ini dengan bantuan ketenteraan termasuk jet pejuang yang UAE perlukan seperti F35 Stealth Fighter dan EA-18G Growler Warcraft.

Bukan setakat itu, UAE juga dapat banyak peluang kolaborasi dengan Israel terutamanya dalam hubungan dua hala perdagangan dan projek-projek mega yang jumlahnya ratusan bilion dollar.

Itulah serba sedikit yang boleh kita faham kenapa negara-negara Islam yang lebih dekat dengan Palestin tapi tidak berbuat apa-apa bila dibantai oleh Zionis.

Bukan sekadar menutup mata, malah berlaku khianat dengan mengiktiraf kedaulatan negara haram Israel.

Begitulah betapa geopolitik, kepentingan ekonomi, keutamaan ketenteraan, kepentingan kuasa, reputasi, kekayaan, keselamatan dan pengiktirafan kuasa besar; SENTIASA DAN SELAMANYA akan melebihi kepentingan nyawa apatah lagi kesyumulan sebuah agama.

Kita tak perlu menjerit Jihad ke telinga mereka, sebab itu bukan suatu hal yang mereka peduli pun.

Perang Zionist vs Palestinians? Pada mereka di situlah terletaknya 1001 peluang untuk menambah kuasa dan kekayaan.

Now you know.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, April 13, 2022

Perang Adalah Perniagaan Tipu

Perang Adalah Perniagaan Tipu

Perang Ukraine atau "Special Operation - operasi khas Putin" yang bermula pada 24 Februari 2022 lalu telah masuk bulan kedua. Banyak kota-kota Ukraine telah dimusnah oleh ledakan bom dari udara, dari kereta kebal dan dari kapal selam yang melancarkan peluru berpandu.

Perang adalah bisnes lumayan

Mengikut banci tahun 2020 penduduk Ukraine berjumlah 44.13 juta. Hari ini lebih dari enam juta warga telah kehilangan tempat tinggal. Seramai empat juta telah menjadi pelarian perang. Hampir 500,000 orang telah masuk ke Rusia.

Seramai 2.5 juta telah melarikan diri ke Poland. Selain daripada itu warga Ukraine yang ingin menyelamatkan diri telah mendapat perlindungan di Slovakia, Romania, Hungary dan Maldova.

Ini krisis pelarian perang terbesar di Eropah sesudah Perang Dunia Kedua.

Jangan salah baca. Jangan silap faham. Kita bukan menghalalkan apa yang dilakukan oleh Vladimir Putin. Keganasan tetap keganasan. Menceroboh masuk ke negara asing adalah salah laku yang wajib dikutuk.

Putin bersalah menceroboh dan menyerang Ukraine. Tindakan Rusia menyerang Ukraine ini sama seperti Presiden Bush menceroboh dan menyerang Iraq pada tahun 2001. Sama seperti tindakan Presiden Obama masuk menghantar soldadu Amerika ke Syria pada tahun 2014.

Amerika melakukan jenayah perang selama 20 tahun apabila masuk menceroboh dan menyerang Afghanistan pada tahun 2001.

Israel salah kerana menceroboh menyerang Syria pada tahun 1967 dan menawan Bukit Gholan hingga ke hari ini.

Singapura salah menceroboh ruang udara Malaysia yang dialami oleh warga Johor yang dikatakan semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

China juga salah menceroboh masuk perairan Filipina, Vietnam dan Malaysia di Lautan Sunda.

China juga melanggar undang-undang dunia apabila masuk menceroboh sempadan Republik Taiwan saban tahun. Jika China masuk melanggar Taiwan ini bermakna China melakukan jenayah perang.

Imperialis - sama ada imperialis Amerika, Rusia atau China tidak ada beza. Watak, perangai dan tindak tanduk kuasa imperialis adalah sama.

Apa yang ingin ditimbulkan di sini ialah bagaimana media Barat menggarap cerita apabila Rusia menyerang Ukraine.

Media arus perdana Barat terus tanpa henti mengutuk dan menyelar Presiden Putin dan Rusia.

Keganasan dan kemusnahan yang dilakukan oleh Rusia dipapar setiap detik. Dari media cetak, dari kaca tv dan media baru yang dimiliki oleh syarikat Amerika semuanya seirama menyelar Rusia.

Bucha – dari sebuah pekan kecil entah di mana letaknya di Ukraine kini menjadi perbualan dunia.

Bucha yang penduduknya tidak melebihi 40,000 orang telah dihebohkan bagai nak rak. Di Bucha dikatakan soldadu dan bala tentera Rusia telah melakukan keganasan terhadap orang awam.

Mayat yang bergelimpangan dengan tangan terikat ditemui di tengah jalan. Apa yang berlaku di Bucha ditakrif oleh media Barat sebagai genocide – pembunuhan orang awam beramai-ramai.

Rusia menafikan apa yang berlaku di Bucha. Menurut Rusia semua ini hanyalah sandiwara yang dipentaskan untuk memerangkap dan menuduh Rusia melakukan jenayah perang.

Ketika Bush mengebom Baghdad kita tidak terjumpa laporan media Barat yang menuduh Presiden Bush melakukan genocide ke atas warga Iraq. Ketika Israel mengebom Gaza media Barat senyap membisu.

Tidak ada media Barat - CNN, BBC atau New York Times melaporkan niat untuk mendakwa Benjamin Netanyahu ke mahkamah dunia kerana genocide.

Justeru laporan berita yang berat sebelah pasti akan membuka fikrah sesiapa sahaja yang rasional.

Berfikir secara rasional untuk mengamati apa yang sebenarnya sedang berlaku di Ukraine.

Bertanya pada diri: Udang jenis apa ada tersorok di tembok Kyiv?

Yang mana propaganda, yang mana sandiwara, yang mana berita teater, yang mana berita palsu, mana operasi salah bendera dan yang mana berita perangkap.

Kita sebagai insan yang bertanggungjawab wajib terus meneliti. Jangan ambil sikap tangkap muat dan malas berfikir dan menganalisa.

Untuk memahami cerita dan apa berita kita wajib melihat apa sebenarnya agenda di belakang tabir.

Kita wajib bijak membaca apa makna suara dan kenyataan dan tindakan Presiden Biden, Kesatuan Eropah dan Nato.

Langkah pertama yang diambil oleh Amerika dan Kesatuan Eropah ialah melakukan sekatan ekonomi terhadap Rusia.

Dari minggu pertama apabila pecah perang Amerika telah menyusun strategi untuk menyekat ekonomi Rusia.

Amerika, Nato dan Kesatuan Eropah telah melancarkan perang ekonomi. Serangan ekonomi telah lama berlaku.

Amerika dan sekutunya telah mengadakan sekatan ekonomi semenjak Rusia mengambil alih kembali Crimea pada tahun 2014.

Sesudah Ukraine diserang sekatan ekonomi ditambah dan diperketat.

Nadi tenaga Eropah

Dari segi ekonomi Rusia adalah pengeluar minyak dan gas terbesar dalam dunia kerana memiliki simpanan minyak dan gas dalam bumi yang masih belum dicari gali.

Rusia mengeluarkan 10.5 juta tong minyak sehari atau 14 peratus pengeluaran dunia. Rusia juga pengeluar gas ke dua terbesar di dunia selepas Amerika.

Malah, negara-negara Eropah Barat dari Perancis hingga ke Itali membeli cecair gas dan bahan bakar minyak petroleum dari Rusia. Rusia menjadi pembekal 40 peratus bahan tenaga bakar untuk Jerman.

Hakikatnya tenaga letrik Eropah datang dari Rusia.

Rusia dilihat seperti saluran nadi darah – gas dan minyak - untuk Eropah Barat dan Timur. Minyak dan gas Rusia datang dari perut bumi bukan dari dasar laut. Maknanya cari gali yang lebih mudah. Maknanya keuntungan lebih lumayan untuk Rusia.

Mengikut laporan International Energy Agency pada tahun 2021, 45 peratus bajet Rusia datang daripada jual beli minyak dan gas.

Pada awal perang, Jerman enggan terlibat secara mendalam. Jerman enggan menghantar senjata ke Ukraine. Ini kerana kebergantungan Jerman kepada bahan tenaga gas dan minyak dari Rusia.

Amerika telah memberi tekanan kepada Jerman. Sekatan ekonomi dari Jerman amat penting dalam strategi perang ekonomi. Jerman adalah pemacu utama ekonomi Eropah yang diikuti oleh Perancis.

Malah, sebelum perang pecah Amerika telah meminta Jerman memutuskan hubungan ekonomi yang intim dengan Rusia.

Projek Nord Stream 2 - saluran paip gas bernilai 2 bilion dolar telah siap. Modal projek ini dari Jerman. Projek ini untuk menambah saluran paip Nord Stream 1 sedia ada. Amerika tidak selesa dengan saluran paip kedua ini. Justeru Amerika terus memberi tekanan.

Apabila perang pecah, tekanan Amerika ke atas Jerman bertambah kuat. Akhirnya Jerman membatalkan Nord Stream 2 dari beroperasi. Jerman juga bersetuju untuk menghantar senjata ke Ukraine.

Jelas hubungan ekonomi Jerman dengan Rusia melalui gas dan minyak ini mahu dimusnahkan oleh Amerika. Terbukti Amerika mahu Eropah membeli bahan bakar gas dan minyak dari Amerika.

Maka terbukti kebenaran kata-kata Karl Marx (1818-1883) ahli falsafah Jerman yang berkata 100 tahun dahulu bahawa perang adalah perebutan punca ekonomi.

Dampak pertama kita lihat bagaimana untuk pertama kalinya Jerman telah menggandakan bajet pertahanan daripada AS$52.8 bilion untuk tahun 2021 ke AS$112.7 bilion dolar untuk tahun 2022.

Apa makna semua ini?

Pada tahun 1935, Major Jeneral (Bersara) Smedley D Butler telah menulis buku: War is a RacketPerang Adalah Perniagaan Tipu.

Dalam buku yang digarap hasil daripada pengalaman dalam tentera, Major Jeneral Smedley telah membutirkan bagaimana tentera Amerika telah melancar beberapa perang di Amerika Latin.

Perang untuk menegak demokrasi. Perang untuk melawan komunis. Demokrasi dan komunis dijadikan sebab musabab untuk mengolah persetujuan rakyat Amerika agar menyokong presiden dan ahli kongres untuk melancarkan perang.

Walhal tujuan perang tidak ada sangkut paut dengan membawa demokrasi. Ini terbukti seperti di Iraq di mana demokrasi dijadikan alasan untuk menumbangkan Saddam Hussein.

Senjata 'mass destruction – senjata pemusnah' dijadikan ratiban untuk memerangi Iraq.

Hakikatnya, kita tidak perlu berdolak dalik. Kita tidak perlu menipu diri sendiri. Perang dilancarkan bertujuan untuk memastikan industri senjata terus berkembang.

Tokan senjata, taikun senjata, pemilik kilang senjata telah memberi dana kepada para politikus ketika berkempen mencari undi. Dana politik ini adalah pelaburan. Setelah presiden atau ahli Kongres dipilih maka inilah masa untuk menuai pelaburan itu.

Presiden dan ahli kongres akan berpolitik untuk mewujudkan perang. Bila perang pecah maka Military-Industrial Complex - Kompleks Industri Senjata akan bergerak pantas untuk mengeluarkan senjata.

Industri senjata ini amat penting untuk Amerika. Sebagai negara imperialis senjata perlu untuk menundukkan musuh. Hegemoni Amerika ini asasnya ialah kekuatan senjata.

Malah eksport utama Amerika ialah senjata. Syarikat Lockheed Martin, Boeing, Northrop Grumman dan Raytheon Technologies adalah nama-nama syarikat gergasi persenjataan dunia.

Bersama syarikat senjata ini wujud pula syarikat tentera swasta. Di Amerika ada 5,883 syarikat tentera swasta. Nama terulung yang dikenali dalam dunia ialah Blackwater dan G4S.

Kerja jahat, gelap

Soldadu swasta ini menjalankan tugas yang sama seperti yang dijalankan oleh tentera rasmi Amerika.

Bezanya soldadu dari Blackwater boleh melakukan kerja-kerja jahat yang tidak akan dilakukan soldadu rasmi Amerika.

Kontrak untuk membuat senjata dan kontrak kerja gelap yang bernilai berbilion dolar akan diluluskan oleh Kongres.

Kerja gelap seperti mengebom 'kenduri kahwin' di Kabul pada 18 Ogos 2019 di mana 63 telah tewas dan 180 lagi cedera.

Kerja jahat ini dilakukan oleh ISIS – Islamic State of Iraq and Syria. Dunia tahu ISIS adalah jaringan syarikat Al-Qaeda.

Al-Qeada asal usulnya adalah anak syarikat soldadu swasta yang ditaja oleh Amerika untuk melawan Rusia di Afghanistan pada tahun 1979.

Kerja jahat lagi gelap ini tidak akan dilakukan oleh soldadu rasmi Amerika. Justeru soldadu Amerika tidak akan didakwa di mahkamah dunia.

Media Barat tanpa henti melaporkan kata-kata dan ucapan molek-molek meminta perang Ukraine dihentikan.

Saranan hentikan perang kita dengar dari Presiden Biden dan Ursula Von der Leyen, Presiden Kesatuan Eropah.

Seperti pelakon Holywood yang menggunakan 'method acting' Biden dan Leyen telah menitiskan air mata sedih apabila melihat gambar mayat bergelimpang di atas jalan raya di Bucha.

Di belakang air mata buaya ini sebenarnya Amerika dan Nato dan EU tidak mahu perang ini ditamatkan.

Apa buktinya?

Buktinya - Amerika dan Nato terus meneruskan pembekalan pelbagai bentuk senjata kepada Ukraine. Senjata ini semuanya dari Amerika. Dana persenjataan terus dibekalkan kepada Ukraine.

Justeru dana politik yang dilaburkan oleh Lockheed Martin, Boeing atau Blackwater kini panennya sedang dituai.

Malah, jangan terperanjat bila ditemui ramai ahli Kongres daripada parti Republikan dan Demokrat memiliki saham dalam syarikat membuat senjata.

Pada 13 Disember 2021 dilaporkan terdapat 15 ahli Dewan Senat dan Kongres yang menerajui dasar pertahanan Amerika ada memiliki kepentingan dalam syarikat persenjataan.

Dua bulan semenjak perang Ukraine ini bermula ianya telah menaikkan lagi nilai saham Boeing, Lockheed Martin dan Taytheon Technologies. Saham syarikat senjata naik, maka poket politikus juga menggelembung naik sama.

Justeru mustahil perang ini akan ditamatkan secepat mungkin, malah ada tujuan lain lagi untuk meneruskan perang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini