Friday, January 18, 2019

Iblis Itu Alim Tetapi Sombong

Iblis Itu Alim Tetapi Sombong

Ibnu Abbas menceritakan bahawa Iblis awalnya bernama ‘Azazil yang terhormat dan memiliki 4 sayap, merupakan raja di langit dunia dan juga penjaga syurga, amun, hal ini juga membuat ia merasa bongkak.

Iblis Itu Alim

Berkatalah Iblis, “Tidak sekali-kali Allah memberiku tugas ini melainkan kerana aku mempunyai kelebihan di atas para malaikat.”

Dan walaupun iblis sangat sombong, ia juga sebenarnya sangat alim dan berilmu pengetahuan.

Jika engkau bertanya tentang Al-Quran kepada iblis, maka iblis akan dapat menerangkan dengan sangat jelas, kerana iblis tahu bila ayat itu turun dari langit.

Jika engkau bertanya tentang ilmu hadis kepada iblis, maka iblis akan dapat menjelaskannya dengan lancar, kerana iblis tahu asbabul wurud dari hadis tersebut.

Jika engkau bertanya tentang kisah para nabi, iblis akan dapat menceritakannya dengan baik, kerana iblis sudah ada sejak nabi Adam masih berada di dalam syurga.

Iblis ahli Quran.
Iblis ahli hadis.
Iblis ahli riwayat.
Iblis ahli ibadah.
Iblis alim dan pandai dalam segala ilmu.

Tapi, iblis tidak pernah menjadi kekasih Allah, kerana dalam diri iblis ada kalimat..

“AKU LEBIH BAIK DARI KAMU!”

Semoga sedikit ilmu yang dititipkan Allah di hati kita tidak menjadikan kita sombong dalam segala urusan.

Kita juga akan faham bahawa ilmu tidak menjamin seseorang itu menjadi taat dan soleh, serta dikasihi Allah.

Yang aku takut,
Hatiku kian mengeras dan sukar menerima nasihat,
Namun sangat pandai menasihati orang lain.

Yang aku takut,
Aku merasa paling benar,
Sehingga merendahkan yang lain.

Yang aku takut,
Egoku terlalu tinggi,
Hingga merasa paling baik di antara yang lain.

Yang aku takut,
Aku lupa bercermin diri sendiri,
Namun sibuk berprasangka buruk kepada yang lain.

Yang aku takut,
Ilmuku akan membuatku menjadi sombong dengan memandang yang lain lebih rendah ilmunya dariku.

Yang aku takut,
Lidahku makin lincah membicarakan aib orang lain,
Namun lupa dengan aibku yang menggunung.

Yang aku takut,
Aku hanya hebat dalam berkata namun buruk dalam perbuatan.

Yang aku takut,
Aku hanya cerdas dalam mengkritik, Namun lemah dalam memperbaiki diri sendiri.

Yang aku takut,
Aku membenci dosa orang lain,
Namun di saat aku sendiri yang membuat dosa aku tidak pula membencinya.

Semoga Allah SWT sentiasa menyedarkanku sehingga aku lebih rajin menilai kelemahan dan keburukan diriku sendiri daripada menilai keburukan orang lain. Aamiin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, January 11, 2019

Kisah Dihumban Ke Neraka Walaupun Solat 5 Waktu

Kisah Dihumban Ke Neraka Walaupun Solat 5 Waktu

Para Malaikat menyeretnya melalui orang ramai, menuju ke arah api neraka yang menjulang-julang. Dia menjerit sekuat hati dan tertanya-tanya jika ada mana-mana orang yang mampu membantunya.

Solat 5 Waktu

Dia menjerit lagi sambil menyebutkan semua kebaikan yang telah dia lakukan; Bagaimana dia sering membantu ibu bapanya. Bagaimana dia tidak pernah meninggalkan puasanya, tidak pernah tinggal solatnya, selalu bersedekah dan rajin membaca al-Quran.

Dia terus menjerit lagi, namun tiada seorang pun tampil membantu. Para malaikat terus mengheret, dan mereka semakin hampir dengan kawah api neraka. Dia menoleh ke belakang dan ini rayuannya yang terakhir.

Dia teringat Rasulullah SAW pernah bersabda;

“Bagaimana bersih seseorang yang mandi di sungai lima kali sehari dari kotoran, begitu juga bersihnya orang yang melaksanakan solat lima kali seharian daripada dosa-dosa mereka.”

Dia menjerit lagi sekuat tenaga, “Solat saya? Solat saya? Doa saya?”

Kedua-dua malaikat tidak berhenti dan terus mengheretnya ke tepi jurang neraka. Bahang api neraka yang membahang terasa menyambar mukanya. Dia menoleh ke belakang sekali lagi, tetapi matanya telah kering dari sebarang harapan dan dia tidak mempunyai apa-apa lagi yang tinggal di dalam dirinya.

Salah satu malaikat menolak dia masuk ke kawah neraka Jahannam. Dia mendapati dirinya terawang di udara dan sedang jatuh ke dalam kawah api. Dia mandapati dirinya terus melayang dan akhirnya jatuh ke dalam kawah api neraka yang menjulang tinggi selama 70 tahun.

Setelah 70 tahun sengsara dibakar api, tiba-tiba terasa tangannya diraih oleh satu lengan. Dia ditarik kembali ke atas.

Apabila dia mengangkat kepalanya, dia melihat seorang lelaki yang sangat tua dengan janggut putih yang panjang memegang tangannya.

Lelaki itu kelihatannya sangat daif. Sambil menyapu debu di tubuhnya dia bertanya lelaki tua itu:

“Siapakah anda?”

Orang tua itu menjawab, “Akulah solat kamu.”

“Wahai solatku, saya telah terjunam ke dalam neraka selama 70 tahun! Kenapa setelah tubuh saya hangus dan hampir berkecai baru kamu datang selamatkan saya? Kenapa?”

Orang tua itu tersenyum sambil menggelengkan kepalanya dan berkata:

“Adakah awak lupa? Selama hidup di dunia dulu awak sentiasa laksanakan saya pada saat-saat akhir!”

"Setiap kali Maghrib awak beri tumpuan pada drama tv dulu..

“Zuhur awak lewat. Awak utamakan kerja dari saya. Asar dan Subuh selalu di hujung waktu.

“Awak ingatkah itu semua?”

Kata-kata lelaki tua itu mengejutkannya dari tidur. Dia terjaga dan mengangkat kepalanya dari bantal. Seluruh tubuhnya basah oleh peluh ketakutan.

Ketika itu juga dia mendengar laungan azan dikumandangkan menandakan masuknya waktu Solat Subuh.

Dia bangun dengan cepat dan mengambil wudhu. Dia berjanji tidak akan melengahkan solat lagi. Dia sedar kesalahannya kini. Dia telah mendapat petunjuk yang maha benar.

*Petikan dari ceramah Ustaz Faqih Razak di Masjid Tanjung Piandang.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, December 31, 2018

Perlukah Azam Baru Untuk Tahun Baharu?

Perlukah Azam Baru Untuk Tahun Baharu?

Kita telah meninggalkan tahun ini dengan pelbagai kenangan pahit dan manis serta suka dan duka. Ada orang mengenang tahun sebelumnya sebagai tahun kejayaan, kecemerlangan dan kebahagiaan tetapi, ada pula orang yang mengenang tahun itu sebagai tahun kegagalan, kejatuhan dan kesedihan mereka.

Azam Tahun Baru

Sesungguhnya hidup hanya satu ujian Allah. Sesiapa yang berhijrah daripada gelap kepada terang, daripada hidup yang keladak kepada hidup yang jernih, daripada hidup bergelumang dengan kemaksiatan kepada hidup penuh ketakwaan dan daripada Allah benci kepada Allah reda, inilah orang yang benar-benar berhijrah.

Hadapi cabaran hidup dengan ketakwaan. Orang yang bijak ialah orang yang belajar daripada pengalaman kehidupannya.

Apa-apa yang berlaku ke atas diri ini, kita akan fikir apa yang boleh kita belajar dan apakah mesej yang Allah hendak sampaikan.

Biarlah perkara yang lepas berlalu sebagai kenangan dan panduan kehidupan, teruskan hidup memacu azam untuk tahun baharu dengan berfikir yang baik-baik, berusaha yang baik-baik dan dengan izin-Nya mendapat hasil kehidupan yang baik-baik.

Manusia menjalani kehidupan melalui dua cara kehidupan. Pertama, ada orang hidup ‘Dari dalam ke luar’. Kedua, ada orang hidup ‘Dari luar ke dalam’.

Hasil kehidupan kita akan ditentukan oleh fikiran – emosi – tindakan – keputusan.

Orang yang hidup ‘Dari luar ke dalam’, dia akan melihat keputusan dahulu (badan sakit, kereta rosak, duit hilang dan lain-lain – luar).

Dia akan reaktif (tanpa fikir terus bertindak). Orang begini akan suka merungut, mengeluh, menyalahkan dan menyesal.

Apabila emosi kita negatif bolehkah kita berfikir dengan waras? Tentu tidak boleh menjadi orang yang baik, kerana kita asyik menghabiskan masa dengan fikiran negatif dan dengan fikiran negatif itu kita tidak boleh berfikir positif.

Ingatlah, kita memang tidak boleh mengawal apa yang berlaku di luar, tetapi kita boleh kawal respon yang berlaku di luar. Respons itu datang dari dalam (minda dan hati).

Orang yang hidup ‘dari dalam ke luar’ akan mulakan dengan fikiran. Apa-apa yang berlaku difikirkan dahulu, dia memilih manakah tindakan baik yang perlu dilakukannya atas perkara yang terjadi kepadanya.

Dia akan mulakan dengan fikiran positif – emosi positif – tindakan positif dan akhirnya dia akan mendapat hasil kehidupan positif (Ketenangan, Kebahagiaan, Kesihatan dan Kewangan).

Tetapi, orang yang berjaya dan bahagia, apabila berlaku perkara negatif, dia tidak memikirkan apakah kesan terhadap perkara negatif yang berlaku itu, tetapi dia hanya fokus kepada apa yang patut dilakukannya untuk menghadapinya secara positif. Orang yang berjaya – dia yang memandu hidupnya.

Bayangkan sebuah kereta kuda, mesti ada lima elemen;
  • Pertama, kuda yang mempunyai lima pancaindera dan deria rasa.
  • Kedua, pemandu.
  • Ketiga, tali yang menghubungkan kuda dengan pemandu.
  • Keempat, tempat duduk penumpang kereta kuda.
  • Kelima, penumpang.

Kuda adalah lambang kepada ‘nafsu’; tidak berguna hidup kalau berkiblatkan nafsu kerana kita tidak fokus kepada tujuan. Kehidupan kita akan musnah!

Pemandulah yang mengawal kuda (nafsu) dengan menggunakan tali (pegangan/keimanan).

Kalau pemandu pula degil tidak mengikut arahan penumpang, kita tidak akan sampai ke tempat tujuan. Kalau sampai pun ke destinasi, kita akan lambat kerana perjalanan kita tidak mengikut laluan yang betul seperti permintaan penumpang.

Tempat penumpang kereta kuda itu lambang kepada ‘fizikal’ kita. Kalau tidak menjaga fizikal dengan baik, kita akan sakit dan hasil kehidupan kita juga menjadi tidak baik atau negatif.

Penumpang ialah lambang ‘iman’ dan ‘akal’. Dalam kehidupan ini untuk berjaya dunia dan akhirat jangan nafsu memandu hidup kita, biarlah iman dan akal yang menentukan arah tuju kita dengan menggunakan hati dan minda.

Jika minda kecil, nafsu tinggi, masalah akan menjadi besar. Orang yang minda besar, nafsu rendah, masalah akan menjadi kecil.

Oleh sebab itu, kalau kita ada azam pun biarlah azam yang memberatkan timbangan ke akhirat; yang tidak dipacu oleh nafsu tetapi yang dipimpin oleh minda.

Carilah syurga di hati dengan tingkatkan ketakwaan kepada Allah dengan penuh keazaman.

Setiap orang, apabila munculnya tahun baharu akan ada azam baharu ironinya, apabila berakhirnya tahun, masih banyak lagi azam tahun tersebut yang belum tercapai. Perkara yang sama berlaku setiap tahun dan ia sesuatu yang klise.

Apa kata, kita tidak perlu berubah dengan meninggalkan sifat negatif dan menjadi positif, dengan mengikut perubahan tahun baharu dan berdasarkan azam baharu.

Ini kerana setiap hari kita adalah orang baharu yang mesti mempunyai fikiran, idea dan semangat yang sentiasa segar.

Barulah kita menjadi seorang yang konsisten dari segi fizikal dan spiritual pada setiap masa; bukan hanya bersemangat pada awal tahun, dan semangat itu semakin menurun menjelang pertengahan tahun.

Lebih ironi lagi sampai penghujung tahun semangat itu terus hilang dan banyak azam yang tercicir di tengah jalan.

Yang penting dalam kehidupan ini betulkan fokus kita dan pastikan tujuan hidup kita serta lihat aktiviti kita ke arah mana? Adakah aktiviti kita seimbang antara tujuan dengan tindakan?

Contohnya, kita berazam hendak kurus, tujuan untuk sihat, untuk senang dan rajin beribadah, (lihat akhlak kita sama atau tidak dengan tujuan?).

Kalau kita hendak kurus, sebab stres takut suami tinggal dan mencari orang lain, bermakna keegoan kita tinggi dan keyakinan diri kita rendah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Saturday, December 22, 2018

Benarkah Wang Adalah Segala-galanya?

Benarkah Wang Adalah Segala-galanya?

Ramai orang berpendapat duit atau wang adalah ‘kuasa’ yang dengannya dapat membeli segala yang kita mahu dan sebab itu kalau tidak ada duit kita tidak akan mengecapi kebahagiaan. Namun, banyak kali terjadi, penyakit yang tidak boleh diubati, walaupun kita mempunyai wang yang tidak terkira banyaknya.

Wang adalah segalanya

Lalu dalam perkara ini, wang gagal membeli kesihatan dan kerana kesihatan kita tidak dapat dikembalikan, maka ketenangan hidup kita tercalar, kebahagian dirasakan lenyap, bahkan kewangan terjejas kerana banyak membiayai kos perubatan untuk memulihkan kesihatan.

Jadi, bolehkah kita katakan lagi, wang ‘is everything' dalam kehidupan kita?

Lantaran itu ada pula orang berpendapat, dalam hidup ini, duit bukan segala-galanya tetapi, hakikatnya dalam kehidupan sekarang, segala-galanya memerlukan wang.

Cuba fikir dan renungkan, di manakah pendirian dan pilihan kalau diberi peluang memilih, apakah pilihan kita?

Pertama, kita ada segala-galanya di dunia dan kita tenang. Kedua, kita ada segala-galanya di dunia, tetapi kita tidak tenang. Ketiga, kita tidak ada apa-apa tetapi kita tenang.

Orang yang benar-benar tenang ialah orang yang memiliki fikiran yang baik, kesihatan yang baik, hubungan yang baik dengan manusia, keyakinan yang baik kepada agama dan kewangan yang baik.

Yang penting bukan di mana kita berada secara fizikal, tetapi di mana kita berada dalam jiwa dan minda?

Contohnya, kita tidak perlu bilik yang cantik secara nilaian fizikal, tetapi macam mana kita mengatur atau bayangkan dalam minda kita kecantikan di dalam bilik tersebut, itulah yang lebih penting.

Sebab itulah pentingnya menjaga minda (fikiran) dan jiwa (hati), kerana diri ini umpama sebatang pokok. Baik atau buruk kualiti buah daripada sebatang pokok bergantung pada asal usul benihnya.

Pada sebatang pohon, yang paling penting dijaga sejak dari awal peringkat pertumbuhan adalah akarnya, bukan rantingnya.

Demikian jugalah manusia, baik dan buruk seseorang itu bergantung pada hati dan mindanya (‘dunia dalaman’).

Ibarat manusia dan pokok adalah, akarnya adalah akidah. Kuat akarnya, bercambahlah rantingnya. Rantingnya adalah ibadah. Banyak rantingnya, banyaklah buahnya. Buahnya atau hasilnya yang baik adalah akhlak yang baik.

Oleh sebab itu jagalah kualiti tiga perkara ini (akidah, ibadah dan akhlak), untuk menjadi jaminan kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

Apakah yang mendominasikan hidup kita, Allah atau manusia? Semakin hari kita semakin dekat dengan Allah dan orang yang dekat dengan-Nya, Allah dekat dengannya.

Semakin kita dekat dengan-Nya semakin kita berjaya dunia dan akhirat. Hidup dengan penuh kehambaan kepada-Nya, yang menjurus kepada sikap hubudiyah, iaitu beribadah, bukan hanya dengan perlakuan fizikal semata-mata, tetapi melibatkan amalan beribadah secara fizikal dengan hati penuh kehambaan kepada-Nya.

Orang yang hidup dengan penuh kehambaan kepada-Nya akan memiliki “sifat diri” yang positif.

Banyak orang mendakwa berfikir secara positif tidak menjamin kejayaan dan sangat berisiko apabila gagal mencapai apa diidamkan.

Sesungguhnya benar, kalau kita hanya berfikir positif sahaja (hanya menggunakan mata akal) tanpa menggunakan mata hati, memang tidak akan berkesan.

Sebab apabila kita berfikir, segala yang kita mahu atau cita-citakan itu tidak masuk dalam emosi kita. Sesuatu yang kita lakukan tanpa emosi tidak akan berkesan atau tidak akan tercapai.

Ia terjadi kerana setiap manusia itu mempunyai dua jenis minda (minda sedar = akal) minda bawah sedar/minda segar = roh /jiwa/hati).

Percayalah, kalau bercakap tanpa masuk dalam hati kita, sesuatu perkara yang kita cakap itu tidak akan terjadi, walaupun kita mengucapkan kata-kata positif itu berulang kali, kerana kita tidak bercakap dari hati, segala yang kita sebut-sebutkan itu amat sukar hendak digapai.

Kenyataan

Jom jaga emosi, kerana emosi yang positif merangsang fikiran positif dan tindakan kita juga akan menjadi positif.

Oleh sebab itu bagaimana kita membetulkan ‘dunia dalaman’ akan mempertingkatkan ‘sifat baik diri’ yang akan menjadi pola tarikkan aura manusia.

Roh seseorang akan serasi dengan roh orang yang seaura dengannya. Sesiapa yang emosinya negatif, magnet kehidupannya negatif dan dia akan berada dalam ‘sungai kehidupan’ yang negatif (manusia keladak) dan sebaliknya.

Magnet Diri

Formula ‘magnet diri’ dan konsep ‘ADA – BERI – DAPAT’, menghuraikan bagaimana rahsia untuk menjadikan segala impian menjadi kenyataan.

Sebab undang-undang tarikan berfungsi menukar niat, berlaku banyak gelombang. Setiap kali kita berfikir, emosi kita akan menentukan getaran dan gelombang jiwa.

Sebab itu apabila kita hendak mengubah suasana, kita perlu mengubah emosi. Sebab itu apa yang berlaku ‘di luar’ (ke atas fizikal) tidak penting tetapi yang penting apa yang berlaku ‘di dalam’ (ke atas hati/roh/jiwa).

Ingatlah, kita tidak boleh mengubah apa yang tidak boleh kita ubah (bukan dalam kekuasaan kita), jadi ubah cara kita melihat kejadian, ubah persepsi kita atas setiap kejadian yang berlaku dalam hidup kita.

Untuk disenangi orang dan mendapat ‘magnet diri’ positif, jagalah percakapan, tingkah laku dan hati budi kita.

Ada kalanya diam lebih baik daripada bercakap yang sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat, tanda orang yang beriman kita akan bercakap perkara yang baik dan tidak menyinggung hati mana-mana pihak. Cakapnya berhemah dan penuh dengan rasa rendah hati bukan rendah diri.

Kebijaksanaan seseorang akan terserlah apabila bijak mengawal kata-kata – bila kita perlu diam dan bila kita perlu berkata-kata mempertahankan kebenaran dan melawan kemungkaran.

Adakah kita seorang yang selalu mengeluh, merungut atau mengumpat, membanggakan diri setiap masa?

Paradigma

Manusia boleh berubah menjadi baik, yakni daripada ‘golongan beralasan’ menjadi ‘golongan berjaya’ dengan cara membuat perubahan paradigma.

Paradigma bermaksud batasan pemikiran seseorang pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman.

Paradigma terkandung dalam ‘minda sedar’ iaitu apa yang kita fikirkan dan terkandung juga dalam minda segar/minda bawah sedar (roh) yang 95 peratus menentukan kehidupan seseorang.

Iaitu, bagaimana seseorang itu berfikir dan kemudian memberikan tindak balas emosi terhadap apa-apa yang berlaku.

"Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Friday, December 21, 2018

Kubur? Taubat Nasuha

Kubur? Taubat Nasuha

Hotel yang sama, bilik yang sama, tetapi dua harga yang berbeza. Kenapa bayar lebih? Anda boleh mencari hotel ideal anda di Trivago.

Taubat Nasuha

Trivago membandingkan lebih daripada 200 laman web. Anda boleh mencari hotel ideal anda dengan harga terbaik. Hotel? Trivago.

Bagaimana pula dengan ini?

Kubur yang sama, tanah yang sama, tetapi dua keadaan yang berbeza. Kenapa dosa lebih? Anda boleh mencari kubur ideal anda dengan taubat nasuha.

Ingat..

1. Jangan cari salah orang. Salah sendiri banyak pun kita tak sedar.

2. Jangan hina orang. Allah tak pernah hina kita.

3. Jangan buka aib orang. Allah simpan aib kita sampai hari akhirat.

4. Jangan perlekehkan orang. Allah hargai setiap usaha hambaNya.

5. Jangan mengata orang. Mana tau masa depan orang yang kita kata itulah yang akan tolong kita dalam kesusahan.

6. Jangan sakitkan hati orang. Doa orang yang teraniaya itu makbul.

7. Jangan bangga dengan amal ibadah kita. Hanya Allah yang tahu amal tersebut diterima atau tidak.

8. Jangan sombong dengan apa yang kita ada. Allah boleh tarik bila-bila masa.

9. Jangan bandingkan rezeki orang lain dengan kita. Allah buatkan rezeki setiap orang itu berbeza.

10. Jangan sedih dengan kekurangan kita. Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

Taubat nasuha menghapuskan lebih daripada berjuta-juta jenis dosa. Anda boleh mencari kubur anda dengan amalan pahala terbaik. Kubur? Taubat Nasuha.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, December 19, 2018

Aku Penat Melayan Kerenah Manusia

Aku Penat Melayan Kerenah Manusia

Dalam menempuh pancaroba dunia, ramai yang terhenti di tengah lara, berlumba-lumba mengejar yang tiada guna, ramai yang lupa dan alpa siapa diri sebenarnya.

Kerenah Manusia

Terkadang aku penat dengan segala kerenah manusia, sering tertanya mahu apa sebenarnya, tidak cukupkah rezeki yang melimpah, nikmat yang sentiasa ada, walhal tinggal di dunia cuma sementara, namun gaya seperti hidup selamanya.

Aku penat, mendengar segala bualan kosong manusia, yang lebih manis berbanding gula, sehingga terkadang aku sendiri terpesona dan terjatuh ke lembah dusta.

Aku penat, mempercayai manusia yang tak pernah setia, kasih dicurah seperti tiada harga, kesetiaan dibuang bagai sampah, agaknya itu resam dunia fana, yang penuh derita dan sengsara.

Aku penat melayan manusia hina, yang sikap sombong tak terkata, bongkak umpama durja, angkuh tak terkata.

Aku penat, aku mahu rehat, berhenti dan keluar daripada segala nista dunia, mahu mencari bahagia dan insan yang setia, sehingga akhirnya kembali menghadap-Mu Yang Maha Esa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, December 11, 2018

16 Jenis Manusia 'Beracun' Yang Anda Patut Jauhi

16 Jenis Manusia 'Beracun' Yang Anda Patut Jauhi

Macam mana nak tahu samada anda ini, jenis manusia beracun? Atau lebih tepat lagi, macam mana nak tahu perangai anda sebenarnya, di mata orang lain? Cara paling mudah adalah dengan melihat perangai kawan-kawan rapat yang anda sering bertemu dan melepak bersama.

Kawan buruk perangai

Kalau majoriti kawan-kawan yang sering anda jumpa adalah dari kalangan manusia beracun, maka ada kemungkinan besar, anda juga masuk dalam kategori manusia beracun. Oleh itu, amat penting untuk anda tapis, dengan siapa kawan-kawan yang boleh dijadikan kawan rapat.

Berkawan dengan semua orang boleh, memang tak ada masalah tapi, kawan rapat perlu dipilih dengan teliti.

Kawan rapat yang saya maksudkan di sini, ialah kawan-kawan yang anda sering berjumpa dan habiskan masa bersama. Pastikan mereka jenis manusia baik yang mendatangkan manfaat untuk keselamatan anda dunia dan akhirat.

Cuba semak semua kawan-kawan yang anda banyak habiskan masa bersama selama ini. Ada tak mereka punyai salah satu atau lebih dari 16 sikap buruk yang beracun.

Berikut saya senaraikan jenis kawan-kawan yang elok untuk anda jauhkan diri. Kalau kuat, boleh nasihatkan agar mereka berubah. Tapi kalau tak kuat, pastikan supaya mereka tak jadi kawan rapat sangat.

1. Sentiasa bersangka buruk

Orang yang tak pernah nak fikir pasal benda baik akan berakhir dengan apa yang dia fikirkan. Semua yang berlaku disekelilingnya akan ditafsirkan secara negatif. Orang macam ini biasanya mati cepat, hidup tertekan dan sentiasa menyusahkan orang lain.

2. Tidak bertimbang rasa

Orang yang bertimbang rasa biasanya dapat menyelami perasaan orang lain. Segala tindakannya dipertimbangkan terlebih dahulu berdasarkan keadaan yang bersesuaian.

Orang yang tak bertimbang rasa tak ada langsung kemahiran menyelami perasan orang lain. Dia kasar tak kira tempat.

Jauhkan diri anda dari berkawan rapat dengan orang macam ini sebab dia hanya menjauhkan rezeki dan peluang anda untuk berjaya sama ada di dunia mahupun di akhirat.

3. Ambil banyak masa anda dengan sia-sia

Ada orang ambil banyak masa anda, tetapi masa yang anda berikan pada mereka tidak sia-sia. Anda dapat ilmu, manfaat kebendaan dan lain-lain yang diperlukan setiap kali anda habiskan masa dengan mereka. Orang macam ini memang terbaik untuk dijadikan kawan rapat.

Ada orang yang akan habiskan banyak masa anda, tapi kesemuanya hanyalah sia-sia sahaja. Buang masa dengan perkara tak berfaedah, duduk berjam-jam mengata sana sini, buat ulasan politik negara dan kritik semua orang.

Kalau tak cerita pasal orang, dia akan mengeluh ketidakadilan hidup yang dialaminya dan macam-macam lagi. Tak payah nak rapat dengan manusia beracun macam ni.

4. Sentiasa ada krisis dan konflik dengan orang lain

Setiap kali jumpa, ada saja krisis baru dengan orang yang lain. Itu tandanya dia yang bermasalah dan bukannya orang lain.

Tapi biasalah, dia akan tuduh semua orang lain punya masalah dan tak pernah nak mengaku masalah diri sendiri. Tak payah berkawan rapat dengan orang macam ni.

5. Sering pusing cakap

Orang yang suka pusing cakap bukan susanh sangat nak dikesan. Mereka jenis yang tak pernah mengaku silap. Jika ternyata salah pun, masih nak pusing sana sini untuk dibetulkan. Bukan pusing cakap saja, mereka juga suka berbohong. Letih kawan dengan orang macam ini.

6. Sentiasa mengkritik anda

Setiap kali jumpa dia akan kritik anda dengan bermacam sudut negatif. Hampir tak ada apa satupun yang anda ada dan yang anda buat boleh dipujinya.

Jika benarpun anda memang terlalu lemah sebegitu, kritik 100% tidak akan membantu anda untuk maju.

Kritik yang keterlaluan sepanjang masa juga menunjukkan orang tersebut memandang rendah dan tidak hormat pada anda. Daripada anda terus rasa lemah setaip kali bertemu dengannya, elok dijauhkan diri saja darinya.

7. Lebih suka bercakap dari mendengar

Ini amat mudah nak kesan. Mereka cakap tak berenti, potong cakap orang dan sebenarnya langsung tak dengar apa orang lain cakap.

Orang macam ini hanya buat anda rasa seperti berkawan dengan seekor burung kakak tua yang tak punya perasaan.

8. Asyik dia saja yang jadi mangsa

Kalau semua orang salah dan dia saja yang jadi mangsa keadaan dan mangsa orang lain, itu tanda yang amat jelas jenis manusia beracun.

Mereka tak punya sikap bertanggung jawab terhadap apa saja keadaan yang berlaku hatta walaupun pada diri mereka sendiri.

9. Suka sakitkan hati

Apa saja yang keluar dari mulutnya akan membuatkan orang sakit hati. Tindakannya juga sering menyakitkan hati.

Tak semestinya menyakitkan hati anda, tapi hati orang lain disekeliling. Ini jenis orang yang anda perlu jauhkan diri.

10. Suka berlebihan tambah garam

Apa saja ceritanya akan ditokok tambah berlebihan. Saiz S dijadikannya saiz XXL. Susah untuk percaya orang jenis macam tu.

Letih untuk tapis terlebih dahulu segala percakapannya dan ini membuang banyak masa. Jauhkan saja darinya.

11. Panas baran cepat naik darah

Tak boleh sabar langsung walaupun terhadap perkara yang remeh dan kecil. Sikit-sikit nak melenting. Jauhkan saja orang perangai macam tu.

12. Sentiasa nak betul

Kalau memang betul tak ada orang nak kisah. Tapi benda yang tak betul pun masih nak pertahankan juga, itu satu masalah yang kritikal. Orang jenis macam tu tak payah nak rapat sangat.

13. Tak hormat orang

Mungkin dia nampak macam hormat dan tak biadap dengan anda. Tapi cuba lihat bagaimana dia layan pelayan kedai makan atau orang lain yang kerja tak berapa glamour.

Orang yang suka herdik dan biadap dengan orang yang dia rasa lebih rendah darinya elak dijauhkan saja.

14. Pentingkan diri sendiri terdahulu

Walau apapun yang terjadi, orang jenis ini akan fikirkan tentang dia terlebih dahulu baru pasal orang lain. Malah biasanya dia tak fikirkan langsung pasal orang lain. Kalau anda rapat dengan orang macam ni, anda tentu bermasalah besar.

15. Sentiasa cuba mengawal anda

Jika ada kawan yang suka nak kawal apa saja pemikiran dan tindakan anda, itu bukanlah kawan yang patut dijadikan kawan rapat. Sekalipun teman wanita, kalau dia suka nak mengawal, elok jauhi saja dirinya.

16. Rasa tak sedap hati dengannya

Bisikan hati anda biasanya betul. Bila anda memang ada rasa tak berapa sedap dan selesa dengan seseorang itu, ertinya memang betullah apa yang perasan anda cuba sampaikan.

Perasaan anda biasanya hanya bertindak untuk selamatkan anda saja. Jadi bila hati anda rasa seseorang itu tak berapa kena, elok ikut saja.

Jangan jadi manusia beracun

Sila perhatikan kawan-kawan anda sekarang dan perhatikan mereka jenis yang macam mana. Jika ada salah satu dari apa yang disenaraikan kat atas tu, berhati-hatilah.

Dalam masa yang sama juga, perhatikan sama ada anda punya salah satu dari ciri-ciri yang disebutkan diatas. Asyik tengok orang dan tak suluh pada diri sendiri juga merupakan salah satu sikap yang membawa kepada kerosakan diri.

Yang paling penting, sentiasa sedar dengan apa yang kita buat, sedar dengan apa yang kita cakap dan sedar dengan apa yang berlaku di sekeliling kita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hidupringkas