Friday, October 12, 2018

Sombong Penghalang Masuk Syurga


Banyak kisah mengenai kebinasaan yang diterima oleh mereka yang bersikap angkuh tetapi masih ramai lagi yang bersikap sombong terhadap sesama manusia. Sebagai contoh, iblis telah diusir dari syurga kerana sifat sombongnya yang tidak mahu sujud kepada Nabi Adam a.s. Begitu juga kisah Qarun dan seluruh harta bendanya kerana sikap sombong kepada kaumnya juga terhadap Allah SWT.

Sombong Penghalang Masuk Syurga

Firaun dan bala tenteranya juga menerima nasib yang sama apabila ditenggelamkan ke dalam laut kerana sikap sombongnya yang mengakui diri sebagai Tuhan.

Kaum Nabi Lut a.s. juga mengalami nasib yang sama apabila mereka sombong dengan menolak kebenaran yang disampaikan Nabi Lut a.s. supaya meninggalkan tabiat buruk. Mereka mengamalkan penyimpangan seksual dengan memilih pasangan hidup sesame jenis (homoseks) sehinggakan pada suatu pagi, Allah SWT membalikkan bumi tempat tinggal mereka dan tiada seorang pun daripada mereka yang dapat menyelamatkan diri dari azab-Nya.

Mengapakah kita dilarang bersikap sombong dan angkuh? Kerana manusia adalah makhluk yang lemah. Tidak layak makhluk yang lemah itu bermegah-megah dan sombong terhadap Allah SWT yang menjadikan alam semesta ini.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, masih ramai manusia yang lupa diri sehingga menjadi sombong dan angkuh untuk menerima kebenaran, memandang rendah orang lain dan menganggap diri sempurna segala-galanya.

Rasulullah SAW telah mengingatkan betapa bahayanya sifat sombong, sebagaimana dari Abdullah bin Mas'ud r.a., Rasulullah SAW berkata, "Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong."

Kemudian seseorang itu berkata, "Ya Rasulullah, sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus." Rasulullah SAW menjawab, "Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain." - hadis riwayat Muslim.

Dalam al-Quran, Allah SWT turut mengingatkan, "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan dibumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur lagi membanggakan diri." - surah al-Luqman: 18.

Allah berfirman lagi, "(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: Masukilah pintu-pintu Neraka Jahanam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang yang sombong, takbur ialah Neraka Jahanam." - surah al-Zumar : 72.

Rasulullah SAW berkata, "Tidak akan masuk syurga siapa yang ada di dalam hatinya sedikit kesombongan." - Hadis riwayat Muslim.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW berkata, "Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang penghuni syurga? Para sahabat menjawab, "Tentu wahai Rasulullah", lalu baginda berkata, "Penghuni syurga adalah orang yang lemah lagi direndahkan orang lain, kalau dia bersumpah (berdoa) kepada Allah s.w.t nescaya Allah kabulkan doanya. Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang penghuni neraka? Para sahabat menjawab, "Tentu wahai Rasulullah", lalu baginda berkata, "Penghuni neraka adalah orang yang keras kepala, berbuat sesuka hati (kasar), lagi sombong perangainya."- hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Orang yang sombong akan mendapat kehinaan di dunia ini yang berupa kejahilan sebagai balasan daripada perbuatannya. Allah SWT tidak suka manusia memiliki sifat ini kerana sombong merupakan perangai iblis. Ketika Allah memerintahkan ia bersujud kepada Adam a.s, ia enggan kerana merasakan dirinya lebih baik. Sebaliknya, Nabi Adamlah yang perlu bersujud kepadanya. Ini kerana ia dijadikan daripada api dan Nabi Adam a.s pula daripada tanah.

Firman Allah SWT, "Ketika kami berfirman kepada para para malaikat, sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk dalam golongan orang yang kafir." - surah al-Baqarah: 34.

Iblis merupakan makhluk pertama yang bersikap takbur terhadap Allah SWT. Makhluk Allah sebelum itu, tiada yang berani membantah apatah lagi mempertikaikan sebarang perintah Allah termasuk malaikat dan jin.

Menurut iblis seperti yang direkodkan oleh Allah SWT, "Aku lebih baik daripadanya (Adam). Aku dijadikan daripada api sedangkan dia dijadikan daripada tanah." - surah al-A'raf : 11-12.

Demikianlah betapa beraninya iblis menentang arahan Allah SWT. Inilah perangai iblis, ia amat berani bertakbur dengan Allah SWT yang menciptanya sedangkan jika Allah SWT mahu, Dia boleh musnahkan iblis yang sombong itu bila-bila masa sahaja.

Tetapi Dia memberi peluang kepada iblis untuk melaksanakan misinya, iaitu menggoda manusia kearah kesesatan, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dengan penuh keihklasan semata-mata kerana mengharapkan redha dan kasih sayang Tuhannya.

Sebaik-baiknya, kita perlu mencontohi para malaikat. Ketika diperintahkan agar bersujud kepada Nabi Adam a.s, mereka terus sahaja sujud tanpa banyak soal atau bantahan.

Sedangkan kejadian malaikat juga tidak kurang hebatnya, iaitu mereka dijadikan daripada cahaya. Kalau malaikat ingin membantah, sudah tentu mereka laya.

Namun, mereka sedar bahawa tanah, api, atau cahaya semuanya sama di sisi Allah SWT kerana mereka semua adalah makhluk-Nya.

Allah SWT memerintahkan agar kita bersikap tawaduk dan rendah diri. Semua kita ini adalah hamba Allah yang berasal dari setitis air mani yang hanyir lagi hina. Kemudian menjadi seketul darah yang hina.

Oleh itu, apalah yang hendak dibanggakan? Akhir sekali nanti, kita akan kembali kepada pencipta dalam keadaan kaku dan tidak bernyawa. Tidak mampu melakukan apa-apa lagi dan tidak berkuasa menolak takdir yang telah dijanjikan itu.

Oleh itu, berwaspadalah dengan sifat sombong ini. Banyakkan berdoa agar dijauhi sifat yang dibenci ini. Mudah-mudahan kita dijauhi dari bakaran api neraka yang sentiasa marak menyala-nyala.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: jais

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon