Wednesday, February 20, 2019

Misteri Keranda Jenazah Bomoh Terbang Mengganas Di Kampung

Misteri Keranda Jenazah Bomoh Terbang Mengganas Di Kampung

Sewaktu Aina menerima berita kematian saudaranya, ia pantas membawa kotak memori gadis berusia 28 tahun itu menerjah peristiwa pahit sekitar tiga tahun lalu, saat ayahnya menghembuskan nafas terakhirnya.

Gambar keranda terbang
Gambar hiasan.

Sepatutnya Aina sekeluarga bersedih menangisi pemergian insan tersayang itu, namun tangisan mereka turut berbaur ketakutan.

Manakan tidak, ayah Aina, Long Yunus merupakan bomoh yang agak dikenali di Dungun, Terengganu.

Beberapa minggu sebelum kematian Long Yunus, ibu Aina, Kak Zizah ada bertanya mengenai semua saka belaan suaminya.

Kata ayahnya, dia sudah menyerahkan semua 'hantu' dan ilmu yang dimilikinya kepada bapa saudara Aina, Pak Ucu yang juga seorang bomoh di Tumpat, Kelantan.

Apa yang pelik, Pak Ucu menghilangkan diri empat hari sebelum kematian Long Yunus.

Ujar isterinya, Pak Ucu ke selatan Thailand pada waktu itu dan langsung tidak dapat dihubungi.

Pada malam kematian, sekitar pukul 11 malam, Aina sekeluarga mendengar bunyi burung hantu yang agak kuat, seolah-olah ia singgah di atas atap rumah.

Salakan anjing juga tidak berhenti sehinggalah Long Yunus sesak nafas sekitar pukul dua pagi. Dia sememangnya menghidap angin ahmar dan mula sakit tenat kira-kira dua bulan lalu.

Aina, emak, adik beradik serta saudara maranya ada disisi Long Yunus sebelum lelaki itu menggembuskan nafas terakhir tepat pukul 2.40 pagi.

Sewaktu adik-adik Aina sedang meraung dan menangis, ibu saudaranya yang juga adik Long Yunus mengambil sehelai kain untuk menutup wajah arwah.

Pada ketika itu jugalah mereka semua terperanjat apabila jendela di ruang tamu terbuka dengan sendiri dan deruan angin mula menerpa masuk. Langsir juga berkibar kuat disusuli bunyi petir di langit.

“Astagfirullah, Astagfirullah...” ujar Kak Zizah cemas sambil mengusap dada.

Semua mula panik, mereka tahu mengenai kerja-kerja Long Yunus sebagai bomoh sepanjang hidupnya, jadi tidak hairanlah jika gangguan mula terjadi sejurus kematiannya.

Adik lelaki Aina dalam ketakutan terpaksa bergegas menghidupkan motor dan disuruh memaklumkan mengenai kematian ayahnya kepada penghulu dan orang kampung.

Sekitar 10 minit, adiknya pulang. Selain penghulu, beberapa orang kampung turut datang menaiki motorikal masing-masing.

Wajah mereka kelihatan pucat. Malah, mulut mereka kelihatan terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran.

“Apa dah jadi ni Zizah, hantu arwah laki kau dah mula mengganas,” ujar Jali sambil menongkatkan motorsikalnya.

Ujar Jali, mereka semua dikejutkan dengan jelmaan aneh setinggi pohon kelapa sewaktu dalam perjalanan ke rumah Long Yunus namun, penghulu Samad pantas menenangkan Jali dan menyuruh dia bersabar.

Air mata ibu Aina dan adik-adiknya semakin laju apabila mendengar kata-kata orang kampung.

Tidak semena-mena mata mereka semua terpandang sesuatu yang pelik dari arah jalan.

“Allahuakhbar...” teriak Jali sebelum dia melompat ke atas tangga rumah Aina tanpa membuka selipar yang dipakainya.

Mahu tercabut jantung apabila mata mereka melihat sebuah keranda terawang-awang bagaikan sedang terbang di atas jalan.

Mujurlah ada penghulu Samad, dia sememangnya seorang yang alim dan banyak ilmu di dada. Mulutnya kelihatan laju membaca ayat-ayat al-Quran.

Dia pantas menyuruh Haji Yahya, bilal kampung supaya melaungkan azan malah, penghulu Samad mengarahkan semua masuk ke dalam rumah dan memulakan bacaan Yasin.

Sepanjang sejam membaca Yasin, hujan turun dengan lebat. Malah, elektrik juga sekejap terputus sekejap ada.

Mujurlah selepas itu keadaan mula reda, malah entah dari mana bapa saudara Aina, Pak Ucu muncul dan memberi salam.

Menurut cerita Pak Ucu, dia sudah tahu Long Yunus akan meninggal pada malam itu.

Malah, dia menghilangkan diri selama empat hari kerana pergi bertemu seorang lelaki yang didakwa sebagai guru bomoh kepada arwah ketika hayatnya.

“Aku ke sana sebab nak uruskan belaan bapak kamu, mahu tercabut nyawa aku buat semua ni.

“Tapi tak apalah, aku dah terima semua dengan bantuan guru bapak kamu di sana,” ujar Pak Ucu kepada Aina dan adik beradiknya sambil disaksikan sekumpulan orang kampung.

Setelah keadaan terkawal, lebih ramai orang kampung mula datang untuk menziarahi arwah buat kali terakhir.

Namun mata dan telinga Aina juga sempat menangkap beberapa penduduk kampung yang berbisik-bisik, bercerita mengenai saka milik arwah ayahnya.

Malah, mereka mendakwa gangguan misteri mula menghantui kampung itu sejurus kematian Long Yunus. Sebelum zuhur, arwah ayah Aina selamat dikebumikan.

Malah, dua minggu selepas itu Aina sekeluarga berpindah ke rumah pusaka nenek mereka di Kuala Ibai kerana khuatir dengan saka-saka lama ayahnya yang mungkin akan membuat onar.

Biarpun sudah tiga tahun berlalu, peristiwa itu masih menghantui Aina. Setiap hari tak putus doa buat arwah ayahnya.

Ketakutan masih lagi menghantui, namun kehidupan harus diteruskan. Sesekali, Aina dan keluarganya pulang dan membersihkan rumah lama.

Biarlah Pak Ucu yang meneruskan legasi arwah Long Yunus, namun emak Aina juga tidak lekang menasihatinya agar membuang saka-saka itu supaya kejadian lama tidak berulang. Cukuplah sekali waktu kematian arwah Long Yunus.

"Apa-apapun, al-fatihah Ayah, semoga diterima amalan baik dan tenang di sana. Amin...," ujar Aina dalam hati.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Monday, February 04, 2019

Upacara Menarik Harta Karun Dari Alam Ghaib

Upacara Menarik Harta Karun Dari Alam Ghaib

Obsesi masyarakat terhadap emas dan harta karun tidak pernah pudar. Mereka sanggup meredah hutan dan mengorek tanah, malah menggunakan bomoh bagi mengesan lubuk harta tersebut namun, bagaimana jika barang kemas bernilai ribuan ringgit tiba-tiba muncul di belakang rumah?

Harta Karun Alam Ghaib
Gambar hiasan.

Bagi Hamidah Bakar, yang tinggal di Kampung Muhibbah, Tapah, Perak, memegang sendiri barang-barang kemas yang timbul dari tanah di belakang rumahnya mengubah persepsinya terhadap harta karun.

"Apabila seorang kenalan dari Indonesia memberitahu kawasan semak yang bersempadan dengan Sungai Perak itu mempunyai 'sesuatu', niat saya tak lebih daripada sekadar ingin tahu," bicaranya membuka kembali cerita lewat tahun 2004 lalu.

Menurut Hamidah, kehadirannya ketika itu hanya memenuhi permintaan saudara terdekat bagi mencukupkan syarat untuk memperoleh harta karun itu.

"Untuk menarik harta karun itu, mereka memerlukan seramai tujuh orang. Oleh kerana saya kenal dengan pengantara iaitu lelaki Indonesia itu selain hendak mencuba, saya pun ikut mereka.

"Kami duduk mengelilingi kawasan tanah yang telah dibersihkan dan digemburkan. Kemudian, minyak kayu cendana dituangkan di situ sambil membaca zikir khas," jelas bekas guru ini.

Loket berukir

Selepas itu, mereka bertujuh dikehendaki menunggu di dalam rumah. Tidak lama kemudian mereka kembali semula ke belakang rumah untuk mengambil harta tersebut.

"Cuma seorang daripada kami yang boleh mengambil harta yang timbul dari tanah itu. Dia boleh mengambilnya sehinggalah disuruh berhenti oleh pengantara.

"Harta itu dimasukkan ke dalam guni dan apabila kami keluarkan semula, kami sangat terkejut kerana jumlahnya sangat banyak.

"Ia masih banyak walaupun telah dibahagikan kepada tujuh orang," jelas Hamidah sambil menunjukkan loket yang berbentuk hati.

Hamidah berkata, loket sebesar syiling 10 sen yang diperoleh di belakang rumahnya itu cukup istimewa kerana di atasnya berukir ayat Kursi.

GELANG tangan berukir ayat Kursi

"Cukup halus ukirannya. Bila ditunjukkan kepada tukang emas, mereka mengatakan ukiran dan rekaan loket itu bukan berasal dari sini dan bukan dibuat pada zaman ini," ungkap beliau.

Menyentuh mengenai halaman belakang rumahnya, Hamidah memberitahu, jika tidak disebabkan kenalannya itu, sampai hari ini dia tidak tahu mengenai kewujudan harta karun tersebut.

"Ikut akal, memang tak logik. Dah berpuluh tahun saya tinggal di sini, memang langsung tak sangka. Namun, saya percaya harta karun ada di mana-mana.

"Cuma yang bernasib baik akan jumpa. Kalau niat tak baik, emas pada barang perhiasan itu akan hilang," katanya yang mengakui ada antara barang kemas yang dijumpai tidak bertukar menjadi emas.

Sekiranya ada yang mengaitkannya dengan perbuatan memuja, seorang lagi daripada tujuh sekawan berkenaan, Kamaluddin Mohd. Zain, tampil membuat penjelasan.

"Tak ada unsur-unsur pemujaan atau penggunaan ilmu hitam. Mungkin hijabnya dibuka Allah dan sebab itu lelaki tua dari Indonesia itu mempunyai kebolehan untuk mengesan harta karun di tempat-tempat tertentu," kata Kamaluddin.

Upacara selepas Maghrib

Menurutnya, upacara menarik harta karun tersebut hanya berlangsung sekitar 20 minit. Malah ia juga dilakukan selepas solat Maghrib dan bukannya pada waktu tengah malam.

"Pada masa itu, saya seorang sahaja yang disuruh menunggu sehingga barang kemas itu muncul dari tanah. Mula-mula memanglah takut," katanya ketawa.

"Tetapi selepas beberapa kali mencuba, perasaan gementar itu beransur hilang.

"Saya dan enam lagi kenalan sempat mengambil sebanyak empat kali sebelum harta itu hilang.

"Menurut pengantara, kehilangan harta karun itu mungkin disebabkan ada antara mereka bertujuh yang tidak betul niatnya," ujarnya yang merupakan seorang peniaga.

Menyentuh mengenai jenis harta karun yang dijumpai, jelas Kamaluddin, kebanyakan yang timbul adalah rantai, gelang, subang serta cincin.

Melihat sendiri barang kemas tersebut, corak, rekaan serta saiz nyata hasil peninggalan orang dahulu yang mungkin berusia ratusan tahun.

Ditanya sama ada beliau pernah terniat untuk menjualnya, Kamaluddin pantas menggelengkan kepala.

"Saya dipesan agar tidak menjualnya walau apa pun yang terjadi. Ia boleh diberi kepada orang lain namun tidak semua orang boleh memakainya," katanya.

Ujar Kamaludin lagi, pemilik barang kemas itu pasti mendapat gangguan seperti hati tidak tenteram, susah untuk tidur malah mendengar suara orang berbisik pada waktu tertentu.

Lebih menarik, bilangan barang kemas yang dijumpai itu didakwa boleh bertambah dan adakalanya akan hilang.

"Macam gelang tangan ini. Dulu masa diambil, hanya ada dua utas. Apabila saya balik ke rumah dan mengiranya kembali, bilangannya sudah jadi tiga," katanya sambil menunjukkan tiga utas gelang tersebut.

Meskipun sudah lama berlalu dan harta tersebut masih disimpan baik oleh mereka bertujuh, bagi Kamaluddin, tiada apa yang akan kekal.

"Sekiranya semua barang kemas yang ada ini bertukar menjadi emas suatu hari nanti, itu saya anggap sebagai rezeki," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Friday, January 11, 2019

Misteri Wanita Cantik Ajak Mandi Di Pondok Tanjung

Misteri Wanita Cantik Ajak Mandi Di Pondok Tanjung

Pagi itu Prebet Azam yang bertugas di sebuah kem di Sungai Buloh, Selangor mendapat kiriman mesej menerusi telefon bimbit daripada kakaknya. Mesej itu berbunyi, “Zam, ayah tenat di kampung. Kau minta la cuti, balik segera!”

Misteri Pondok Tanjung

Azam yang kebetulan berada di tempat kerjanya terus memohon cuti kecemasan dan ia diluluskan bosnya. Dalam hatinya, hanya Allah sahaja yang tahu betapa bimbangnya Azam akan keadaan bapa yang sudah lama menghidap komplikasi buah pinggang.

Dia bertolak pulang menaiki bas dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 5 petang dan tiba di Hentian Bas stesen Kamunting, Taiping kira-kira pukul 9.30 malam.

Malangnya bas dari Kamunting untuk ke kampung Azam di Kubu Gajah, Selama Perak sudah tiada. Bas terakhir untuk ke bandar itu ialah pukul 7.30 malam.

Hati Azam resah, jarak antara Kamunting ke Kubu Gajah bukannya dekat, memakan masa sejam, jarak kira-kira 40 kilometer.

“Ayah semakin tenat, takkan aku nak duduk di stesen bas ni sampai pagi esok? Macam mana sekali pun aku kena balik malam ni juga,” bisik hati Azam.

Lantas Azam tiada pilihan lain, melainkan dia perlu menaiki teksi walaupun dia tahu, caj yang akan dikenakan berlipat kali ganda kerana jarak dan masa.

Ketika bergerak ke hentian teksi yang tidak jauh dari situ, Azam mendekati seorang lelaki berusia lewat 40-an dengan memberitahu dia mahu pulang ke Kubu Gajah.

“Apa. Kubu Gajah? Hisshh. Kalau saya ambik pun tambang mahal ni dik. Dah tengah malam. Tempat tu jauh. Pergi ada orang, balik takdak orang. Lagipun, takut juga dari sana nak balik nanti,” terang pemandu teksi tu.

Jam dah hampir 10 malam. Dia perlu sampai ke kampung untuk segera bertemu ayah. Malang sekali, tiada pemandu teksi yang sudi mengambil Azam sebagai penumpang.

Dalam keadaan fikiran yang agak serabut, Azam kembali ke hentian bas dan dia mundar-mandir di situ. Tiba-tiba seorang lelaki pertengahan usia menghampirinya.

“Adik nak ke mana? Dari tadi pakcik tengok macam susah hati,” tanya pakcik yang seolah-olah faham akan wajah cemas Azam ketika itu.

Akhirnya Azam menceritakan sehinggalah menimbulkan rasa simpati pakcik berkenaan.

“Pakcik nak balik Batu Kurau, ni baru lepas hantar anak, dia balik KL, naik bas jam 10 (malam) tadi. Kalau adik nak pakcik hantar boleh, tapi separuh jalan sajalah, sebelum hutan Pondok Tanjung. Sebab pakcik nak kena patah balik, nak ke Batu Kurau.

“Terus terang, pakcik memang tak berani lalu hutan Pondok Tanjung tu, nak pulak tengah malam gini,” ujar pakcik itu.

Azam tiada pilihan, disebabkan pengalamannya sebagai anggota tentera yang sudah biasa dengan aktiviti lasak, dia bersetuju dengan cadangan pakcik tadi.

Maka kenderaan jenis Proton Wira dipandu pakcik tersebut bergeraklah menuju ke destinasi seperti dijanjikan.

Setiba di Pondok Tanjung, akhirnya pakcik tadi memberhentikan keretanya.

“Sampai di sini sajalah Azam pakcik hantar seperti kita janjikan tadi ya. Harap-harap Azam selamat sampai di kampung. Kalau kebetulan ada kereta lalu, cuba la tahan. Boleh tumpang,” kata si pakcik.

Jam ketika itu menunjukkan pukul 11 malam. Jarak antara lokasi Azam turun dari kenderaan ditumpang menuju ke kampungnya kira-kira 15 kilometer. Masih jauh lagi.

Dalam keadaan pekat malam yang hanya ditemani sinaran cahaya bulan, Azam terus mengatur langkah berjalan membelah hutan simpan Pondok Tanjung yang selama ini dikaitkan dengan pelbagai kisah-kisah seram pada waktu malam.

Antaranya ada orang pernah melihat gajah sebesar treler melintas, harimau berjalan bersama anak dan orang mengusung keranda seperti membawa jenazah untuk pengebumian.

Dia melihat wanita-wanita itu melambai dan kali ini hanya tangan sahaja muncul dari dalam sungai seperti mahu memanggilnya untuk mengajak mandi bersama.

Selain itu kerap juga berlaku kemalangan di satu selekoh apabila pemandu tidak sempat membelok kenderaan lalu terbabas dan kereta terjunam dalam denai hutan itu.

Pada malam itu kisah-kisah seram yang masih tersimpan dalam memorinya subur kembali.

Selepas kira-kira setengah jam berjalan bersama beg pakaian yang digalas, tiba-tiba terdengar desiran angin seolah-olah menceritakan sesuatu kepada Azam.

Tanpa menoleh ke belakang, Azam hanya berdoa agar dijauhilah daripada musibah termasuk jika ada haiwan-haiwan buas di hutan itu.

Di depannya kira-kira 15 meter, kelihatan kelibat seorang ibu berjalan berpimpin tangan anaknya.

Semakin dekat Azam menghampiri, semakin perlahan mereka mengatur langkah. Dalam hati, Azam berkata mustahil pada malam sebegitu ada ibu berjalan dengan anak seorang diri. Ia tentunya bukan manusia.

Azam terus berjalan melintasi ‘ibu dan anak’ tanpa mempedulikan mereka dan tidak lama kemudian ketika menoleh ke belakang, tidak kelihatan lagi kelibat mereka itu.

Dalam keadaan hati semakin berdebar, pegangan Azam hayalah dua iaitu memohon bantuan Allah selain agar cepat sampai di kampung.

Tatkala mahu melintasi kawasan anak sungai pula, Azam terdengar bunyi beberapa wanita ketawa seolah-olah ada pesta di bawah jambatan.

Tiba di kawasan itu, Azam melihat tiga wanita sedang mandi-manda dengan hanya kepala mereka sahaja kelihatan pada permukaan air. Namun itu pun hanya samar-samar bawah pancaran bulan purnama.

Selain dikatakan terdapat haiwan buas di kawasan ini, jarang sekali penduduk kampung berani melaluinya pada waktu malam melainkan jika benar-benar terdesak.

Dia melihat wanita-wanita itu melambai dan kali ini hanya tangan sahaja muncul dari dalam sungai seperti mahu memanggilnya untuk mengajak mandi bersama.

Ia mungkin satu godaan dan jika dia menurut permintaan itu, mungkin dia akan menjadi mangsa lemas sungai berkenaan.

Justeru, kaki Azam semakin laju melangkah dan dalam masa sama hatinya terus berbisik, apa lagi ujian yang akan dia tempuh?

Ketika hatinya berkata-kata, tiba-tiba dia terdengar suara mendayu-dayu dari hutan rimba dengan keadaan pohon-pohon turut bergoyang.

“Huu… huuu… huuuuuu,” seperti orang meniup angin.

Kali ini kaki Azam menjadi lemah dia rasa bagaikan mahu rebah. Jantungnya terus laju berdegup namun dia tetap kuatkan semangatnya sehinggalah dia tiba di penghujung hutan simpan itu.

Tidak jauh, terdapat perkampungan tanah rancangan dan dia berhenti bawah pondok menunggu bas untuk berehat selepas letih berjalan.

Jam pada waktu itu sudah pukul 3 pagi dan Azam tidak dapat meneruskan perjalanan sebaliknya tertidur di pondok bas itu sehinggalah dia dikejutkan dengan bunyi motosikal seorang pemuda yang mahu pergi menoreh getah.

“Hang nak pi mana ni? Awat tidoq (tidur) sini,” tanya pemuda itu.

“Saya nak balik kampung, bas habis penat berjalan kaki, terlena bawah pondok ni,” ujar Azam lalu dia menceritakan apa yang berlaku.

Ketika itu jam sudah pukul 6.30 pagi dan Azam bernasib baik kerana pemuda itu sanggup menghantarnya pulang ke rumah.

Setiba di kampung, Azam bersyukur kerana sempat bertemu ayahnya yang sedang tenat sebelum meninggal dunia tengah hari kemudian.

Kisah Azam itu membuatkan dia menjadi serik untuk melalui kawasan itu lagi pada waktu malam.

Benarlah kata penduduk setempat, tiada siapa berani melalui kawasan hutan Pondok Tanjung selepas pukul 10 malam kerana ada kisah menakutkan tersembunyi di sebalik kelam hutan itu.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Friday, January 04, 2019

Apa Itu Khadam Ayat? Adakah Jin Atau Malaikat?

Apa Itu Khadam Ayat? Adakah Jin Atau Malaikat?

Istilah 'khadam ayat' boleh dikatakan popular di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional atau amalan kebatinan Melayu. Pada hakikatnya istilah khadam ayat ini dirujuk kepada amalan berguru atau menuntut ilmu dengan membaca ayat-ayat tertentu al-Quran yang disertai dengan kaedah-kaedah khusus, di mana akhirnya orang yang berkenaan didatangi oleh makhluk yang dipanggil sebagai 'khadam ayat'.

Khadam Ayat
Gambar hiasan.

Amalan ini juga ada kalanya boleh dituntut tanpa melibatkan ayat-ayat al-Quran, surah-surah pendek al-Quran seperti Al-Fatihah, al-Mu'awwizat dan sebagainya, tetapi akhirnya amalan kebatinan yang dituntut itu akan berakhir dengan kehadiran makhluk yang dipanggil sebagai 'khadam ayat'.

Mereka yang mempelajari ilmu ini kebanyakannya tidak pasti siapakah yang dinamakan 'khadam ayat' yang datang tadi, lalu akhirnya terlibat dengan pelbagai kegiatan amalan kebatinan, ketika melakukan rawatan, tilikan, untuk mengatasi masalah rumah tangga, cinta dan sebagainya.

Menurut sebahagian pengamal, khadam ayat bukan terdiri daripada golongan manusia, jin atau malaikat. Ia merupakan 'khadam' kepada ayat yang dibaca dan diamalkan menurut kaedah-kaedah tertentu yang mesti diikuti menurut apa yang telah diajar oleh guru yang berkenaan.

Ayat Kursi

Terdapat keterangan dalam hadis-hadis tentang kelebihan ayat al-Kursi. Menurut sebuah hadis riwayat daripada Qatadah katanya, Rasulullah bersabda: "Barang siapa membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya."

Dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda: "Barang siapa membaca ayat al-Kursi dan akhir surah al-Baqarah ketika kesusahan nescaya Allah menolongnya."

Terdapat banyak hadis menerangkan tentang kelebihan ayat ini dalam tujuan mengelakkan diri, keluarga, rumah tangga, harta benda daripada gangguan iblis dan syaitan juga daripada gangguan manusia, terutamanya pencuri.

Antara hadis yang menyebutkan hal yang demikian ialah, hadis daripada Abu Hurairah. Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: "Dalam surah al-Baqarah ada satu ayat, penghulu ayat-ayat al-Quran, tidak dibaca dalam sebuah rumah yang ada di dalamnya syaitan, kecuali ia keluar darinya iaitu ayat al-Kursi."

Atas pemahaman tentang fadilat ayat al-Kursi inilah maka ada golongan tertentu, terdiri daripada mereka yang mengamalkan amalan kebatinan, mengamalkan apa yang difahami sebagai 'khadam ayat Kursi' dalam amalan kebatinannya.

Setelah membaca ayat al-Kursi dalam kekerapan dan tempoh tertentu dengan syarat-syarat lain, dia akan didatangi oleh makhluk yang dipercayai sebagai 'khadam ayat al-Kursi'.

Ia datang dengan jubah hijau, menghulurkan tangan, bertanyakan apa yang dihajati oleh pengamal. Dipesan oleh guru yang mengajari amalan tersebut agar makhluk itu taat menurut perintahnya.

Menurut mereka lagi, khadam ayat akan menjaga diri pengamal, keluarga dan harta bendanya, juga boleh digunakan untuk tujuan mengubati penyakit. Ia juga boleh diperintahkan menjaga orang lain.

Ketika pengamal tidak ada di rumah, khadam ayat akan menjaga rumah di mana dalam keadaan tertentu ia akan menjelmakan diri menyerupai pengamal ilmu berkenaan, khadam itu dikatakan hanya digunakan untuk menangani sakit yang teruk ataupun masalah-masalah besar.

Memperoleh khadam ayat tidak ubah seperti memperoleh pisau yang tajam, yang hanya perlu digunakan untuk memotong benda-benda besar lagi berat, walaupun demikian ia juga boleh digunakan untuk tujuan jahat, kerana khadam ayat begitu taat menurut kata pengamalnya.

Kerana itu maka orang yang mengamalkan kaedah ini mesti terdiri daripada mereka yang ikhlas lagi berilmu, ditakuti ilmu yang dimiliki itu disalahgunakan, yang akhirnya akan merosakkan diri sendiri dan orang lain.

Seorang yang lain, telah melibatkan diri dengan rawatan tradisional lebih daripada 25 tahun, menyatakan khadam ayat kadang-kadang datang kepadanya dalam keadaan berkain pelekat dan berbaju selengkapnya.

Selain memberitahu perkara-perkara ghaib kepadanya, ia kadang-kadang memberitahu maklumat-maklumat tertentu melalui anaknya, yang berumur 10 tahun, yang ketika itu sedang tidur.

Seorang pengamal rawatan tradisional yang tinggal di Perlis menegaskan orang yang menurun diresapi oleh jin-jin, termasuk iblis dan syaitan, tetapi khadam tidak boleh masuk meresap dalam tubuh manusia.

Ketika menurun, jin-jin datang bersatu dengan roh yang disedut melalui pernafasan meresap dalam tubuh, menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri.

Apabila angin iblis lebih banyak atau lebih menguasai angin badan dalam tubuh maka ia akan menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri iaitu menurun. Hal yang sama berlaku ke atas mereka yang terkena rasukan.

Menurut pemahaman Melayu, khadam bererti hamba, ataupun orang suruhan yang sentiasa taat kepada tuannya.

Menurut pengamal yang sama, khadam yang dimaksudkan di sini bukan orang suruhan, seperti yang difahami oleh umum, seumpama hubungan antara seorang tuan dengan orang suruhannya.

Khadam adalah makhluk bukan daripada golongan manusia dan bukan daripada golongan jin, sama ada jin kafir ataupun jin Islam.

Khadam yang mendampinginya bukan terdiri daripada makhluk halus belaan atau sahabat, kerana ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian antara mereka dalam keadaan apa sekalipun sama ada untuk memberi makan pada waktu-waktu tertentu atau sebagainya.

Menurutnya lagi, khadam yang berdampingan dengannya terdiri daripada makhluk yang diutus oleh Allah yang termasuk dalam golongan makhluk ghaib.

Dia adalah hamba Allah yang bertaraf wali-wali, seperti wali sepuluh yang terpilih daripada segala wali, yang dikenali sebagai rijalul ghaib, yang juga dikenali sebagai khadam roh.

Khadam bukan jin Islam, terdiri daripada wali Allah. Makhluk yang tidak berdosa yang asalnya adalah manusia yang ghaib begitu sahaja apabila mati dan tidak mempunyai kubur.

Beliau mendakwa gurunya dari Kelantan, ghaib setelah dikebumikan. Khadam adalah hak Allah yang tidak boleh dikaji.

Dijelaskan juga bahawa makhluk yang dinamakan khadam itu telah wujud sejak zaman Rasulullah, begitu juga lelaki yang tersebut dalam surah al-Kahf, termasuk anjing Qitmir yang termasuk dalam golongan rijalul ghaib.

Amalan yang dilakukan olehnya untuk berdampingan dengan khadam ialah dengan mengadakan kenduri terlebih dahulu sebelum mengamalkan ayat-ayat tertentu, yang dibaca selepas setiap kali sembahyang fardu selama 40 hari.

Doa-doa tersebut dikenali sebagai kepala doa akasyah, doa akasyah, pelapik doa akasyah dan doa rijalul ghaib.

Tidak lama setelah mengamalkan ayat-ayat di atas, dia bermimpi melihat bulan pada malam berikutnya, dia bermimpi didatangi oleh seorang lelaki berjubah.

Mimpi ini diikuti oleh mimpi-mimpi lain yang tidak pernah dialami sebelumnya. Bermula dari hari itu dia sering didampingi oleh khadam yang boleh dipanggil untuk tujuan rawatan dan lain-lainnya.

Ketika melakukan rawatan, ataupun ketika berhadapan dengan seseorang yang datang memerlukan pertolongannya, responden berkenaan akan memanggil khadam yang mendampinginya tadi. Perkataan tok syeikh digunakan untuk merujuk kepadanya.

Untuk tujuan rawatan, mula-mula responden akan bertanyakan nama pesakit ataupun orang yang memerlukan pertolongan. Kemudian dia memanggil tok syeikh untuk meminta pertolongan.

Khadam berkenaan dikatakan dapat mengetahui sama ada sakit yang dialami oleh seseorang itu akibat saka, santau, gangguan makhluk halus tidak bertuan ataupun sakit kecacatan fizikal yang berpunca daripada kemalangan, keracunan makanan dan sebagainya.

Demikianlah beberapa penjelasan mengenai khadam ayat dan sebenarnya banyak lagi keterangan yang berlainan berkaitan dengan apa yang difahami sebagai khadam ayat dalam kehidupan orang Melayu.

Allah menjadikan tiga jenis makhluk utama, iaitu malaikat, jin dan manusia. Tidak tersebut daripada mana-mana sumber tentang adanya makhluk selain daripada tiga jenis makhluk ini.

Ketika ditanya tentang makhluk berjubah hijau yang datang menghulurkan tangan, pengamal tersebut memberitahu bahawa hal tersebut berlaku ketika dalam keadaan sedar, bukan ketika dia nyenyak tidur atau dalam keadaan separuh sedar.

Pengamal yang sama menyatakan bahawa khadam ayat boleh disuruh menjaga diri, keluarga, harta benda dan lain-lain tujuan.

Apa yang kurang digemari oleh responden, pada mulanya ialah makhluk ini terlalu kerap menjelmakan diri menyerupai dirinya menyebabkan isterinya takut.

Hal demikian sama berlaku seperti yang diakui oleh responden yang membela jin, yang dinamakan sebagai hantu raya.

Tidak ada perjanjian antara orang yang mempunyai khadam ayat dengan makhluk yang menjelma itu bukan merupakan hujah kuat membuktikan makhluk ini sebenarnya khadam ayat, bukan jin.

Individu kedua yang bersahabat dengan rijalul ghaib mendakwa bahawa dia juga tidak ada membuat perjanjian.

Apa yang dilakukan ialah membaca Al-Fatihah sebanyak tiga kali yang disedekahkan kepada rijalul ghaib sebelum dia memanggilnya datang. Makhluk ini amat suka disedekahkan dengan Al-Fatihah.

Tidak kira apa alasan yang diberi sama ada kerana makhluk itu memang taat, seperti yang diminta oleh orang yang terlibat pada mula ia menjelmakan diri atau lain-lain alasan, sifat taat untuk melakukan kejahatan tetap tidak boleh dijadikan hujah membuktikan bahawa makhluk tersebut adalah khadam ayat, bukan jin yang terdiri daripada iblis atau syaitan.

Umar Sulaiman (1985:59-60) menyatakan bahawa syaitan tidak semestinya datang menipu manusia menyuruh manusia meninggalkan perkara-perkara yang baik dan menyuruh melakukan perbuatan jahat.

Sekiranya ia berbuat demikian, manusia akan menyedari bahawa perbuatan tersebut adalah daripada syaitan.

Sebaliknya, makhluk itu akan melakukan pelbagai helah untuk mengelirukan, mengelakkan dirinya daripada diketahui siapakah dirinya yang sebenar menyebabkan manusia beranggapan bahawa syaitan itu adalah wali Allah lalu menganggap perbuatan yang salah itu baik.

Menurut Umar Sulaiman (1985:87) lagi, pengulas at-Tahawiyah menyebutkan tentang adanya golongan syaitan yang dipanggil oleh manusia sebagai rijalul ghaib.

Ada orang yang pernah bercakap dengannya dan menghasilkan sesuatu yang luar biasa, sehingga mereka menyangka bahawa makhluk tersebut adalah wali-wali Allah.

Mereka pada hakikatnya adalah teman-teman kaum musyrikin daripada golongan jin.

Mereka dinamakan 'rijal' seperti yang tersebut dalam firman Allah (al-Jinn: 6): "Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa orang lelaki (rijal) di antara jin, maka jin-jin itu menambah lagi mereka dosa dan kesalahan."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Thursday, January 03, 2019

Apa Sebenarnya Badi Mayat, Badi Haiwan Dan Badi Tumbuhan?

Apa Sebenarnya Badi Mayat, Badi Haiwan Dan Badi Tumbuhan?

Badi merupakan satu malapetaka dan musibah yang selalunya dianggap berpunca dari binatang, tumbuhan dan mayat, berlaku angkara gangguan penjaga dari golongan jin atau makhluk halus yang sering berlaku keganjilan dan keanehan apabila menghadapi situasi berkenaan.

Apa itu Badi
Gambar hiasan.

Orang tua-tua percaya bahawa, sebahagian binatang hutan mempunyai badi, oleh itu berbagai-bagai petua diamalkan terutamanya ketika ingin menjerat pelanduk, ayam hutan, kancil, rusa, kijang, burung wakwak dan lain-lain lagi.

Begitu juga dengan pohon herba ubat-ubatan seperti kacip fatimah, tongkat ali, buluh perindu dan lain-lain lagi.

Badi merupakan suatu penyakit yang mempunyai hubungan khusus dengan spiritual dan roh manusia.

Kesan daripada badi ini akan menyebabkan seseorang itu hilang kestabilan diri, perasaan yang tidak menentu dan berubah-ubah, rasa lemah, takut, fikiran bercelaru, tidak dapat tidur dan sebagainya yang membawa kepada perubahan tingkahlaku dan perwatakan seseorang.

Antara jenis badi adalah seperti badi mayat dan badi binatang seperti badi ayam hutan, monyet, buaya, rusa, pelanduk, ular dan lain-lain.

Badi mayat misalnya dihadapi apabila seseorang itu melihat mayat dijalan raya akibat kemalangan jalan raya, mengiringi dan memandikan jenazah, memangku mayat orang yang membunuh diri dan lain-lain yang berkait dengan mayat manusia.

Manakala badi binatang sebagai contohnya, ketika seseorang itu pergi berburu dan telah menembak mati seekor ayam hutan bertenggek di atas sebuah banggol tanah.

Apabila pulang berlaku perubahan tingkah laku dan dia berkelakuan seperti ayam, berkokok, mematuk-matuk dan sebagai. Itu dinamakan sebagai terkena badi ayam hutan tersebut.

Situasi ini terjadi kerana kita selaku manusia tidak mampu untuk melihat jin tetapi apa yang dilihat oleh kita adalah rupa bentuk zahir sahaja sama ada binatang dan sebagainya.

Dalam kepercayaan sesetengah orang pula, orang yang sakit tidak boleh dilawati oleh orang yang lemah semangat kerana akan terkena badi.

Badi Mayat

Menurut kepercayaan turun temurun, istilah BADI MAYAT ialah pengaruh gangguan di mana berpindahnya kejahatan makhluk halus dari seseorang yang telah meninggal dunia.

Antara tanda-tanda paling ringan apabila terkena badi mayat ialah sakit bahagian belakang badan selepas melawat orang mati.

Sebenarnya, badi mayat adalah kesan gangguan jin, syaitan dan iblis laknat terkutuk yang berdamping dengan seseorang yang telah meninggal dunia atau tipu daya makhluk ghaib yang sedang berkeliaran di sekitar kawasan jenazah.

Perlu diingatkan bahawa di antara saat dan ketika jin mudah menganggu dan memasuki ke dalam tubuh manusia ialah ketika manusia terlalu sedih, terlalu gembira, terlalu marah, terperanjat atau terlalu takut.

Justeru, istilah badi mayat digunakan bagi seseorang yang mendapat gangguan makhluk halus ketika berada dalam keadaan terlalu sedih, terperanjat atau takut apabila menziarahi seseorang yang baru meninggal dunia.

Istilah-istilah BADI ini hanyalah sekadar pada “perkataan” atau “nama” yang diberikan oleh datuk nenek kita sejak zaman dahulu.

Hakikatnya, ia adalah penganiayaan dan tipu daya jin, syaitan dan iblis laknat terkutuk yang mengambil kesempatan untuk menganggu dan merosak akidah umat manusia.

Kesemua ciri-ciri gangguan jin, syaitan dan iblis laknat terkutuk adalah sama sahaja.

Selagi kita sentiasa mendirikan yang wajib, perbanyakkan yang sunat, bertasbih dan berzikir kepada Allah, jin, syaitan dan iblis laknat terkutuk ini tidak akan dapat mendekati kita.

Tanda-tanda Terkena Badi

Terdapat petanda awal terkena badi, disusun secara peringkat iaitu tanda-tanda awal badi biasanya:
  • Terasa lenguh atau sakit di belakang badan.
  • Tidak boleh tidur malam.
  • Hilang selera makan.
  • Terbayang sesuatu sama ada mayat atau binatang buruan atau pokok herba yang dikumpulkannya itu.
  • Tidur ditindih bayang.
  • Demam panas.
  • Terketar-ketar.

Petua Mengelak Badi

Menurut kepercayaan orang-orang tua, untuk mengelak terkena badi mayat ialah dengan menukar pakaian terlebih dahulu sebelum balik ke rumah atau sebelum masuk ke dalam rumah.

Kalau boleh terus mandi atau sekurang-kurangnya membasuh muka dan kaki, lebih baik lagi jika berwuduk atau mandi hadas besar sebelum masuk rumah.

Ini kerana dipercayai makhluk halus itu mengekori seseorang selepas menziarahi mayat atau selepas berburu dan selepas mencari herba tumbuhan di hutan.

Adalah dipercayai jika seseorang itu kuat semangat, maka makhluk halus itu akan mengganggu isi rumah orang tersebut

Doa Mengelak Badi

Tips untuk mengelak dari terkena badi dengan izin Allah SWT, sebelum masuk hutan atau menziarahi mayat atau merawat pesakit badi baca:
  • Baca Al-Fatihah.
  • Ayat Kursi.
  • Muawwizatain (Surah An-nas, Al-Falaq dan Surah Al-Ikhlas).

Baca ayat di atas dalam kedudukan menghadap kiblat sambil memohon perlindungan dari Allah.

Jika baru pulang dari hutan atau rumah jenazah, baca ayat berkenaan sebelum masuk rumah.

Jika terasa sukar atau tersangkut-sangkut bacaannya ketika sampai di rumah, eloklah rehat di luar dahulu, minum air atau solat sunat di luar rumah.

Baca sekali lagi dan jika tiada sangkut-sangkut, maka bolehlah masuk ke dalam rumah dengan membaca doa ini:

ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺇِﻧِّﻲ ﺃَﺳْﺄَﻟُﻚَ ﺧَﻴْﺮَ ﺍﻟْﻤَﻮْﻟُﺞِ ﻭَﺧَﻴْﺮَ ﺍﻟْﻤَﺨْﺮَﺝِ ﺑِﺴْﻢِ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻭَﻟَﺠْﻨَﺎ ﻭَ ﺑِﺴْﻢِ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺧَﺮَﺟْﻨَﺎ ﻭَﻋَﻠَﻲ ﺍﻟﻠﻪِ ﺭَﺑِّﻨَﺎ ﺗَﻮَﻛَّﻠْﻨَﺎ

Dan diakhiri dengan salam.

CARA RAWATAN JIKA TERKENA BADI

Rawatan asas terkena badi Anda Boleh Lakukan Pada Keluarga Anda Sendiri.

Badi Mayat:

Ambil tanah tempat dikubur mayat tersebut, letak di tapak tangan dan baca Al-Fatihah serta doa penggerak lalu di sapu ke bahagian muka.

Doa penggerak ialah:

ﺑِﺴْﻢِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺍﻟَّﺬِﻱْ ﻻَ ﻳَﻀُﺮُّ ﻣَﻊَ ﺍﺳْﻤِﻪِ ﺷَﻲْﺀٌ ﻓِﻲ ﺍﻷَﺭْﺽِ ﻭَﻻَ ﻓِﻲ ﺍﻟﺴَّﻤَﺎﺀِ ﻭَﻫُﻮَ ﺍﻟﺴَّﻤِﻴْﻊُ ﺍﻟْﻌَﻠِﻴْﻢُ .

Dalam masa yang sama ketika sapu itu, dibaca doa penyembuh tanah iaitu:

ﺑِﺴْﻢِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺗُﺮْﺑَﺔُ ﺃَﺭْﺿِﻨَﺎ ﺑِﺮِﻳْﻘَﺔِ ﺑَﻌْﻀِﻨَﺎ ﻳَﺸْﻔِﻲْ ﺳَﻘِﻴْﻤُﻨَﺎ ﺑِﺈِﺫْﻥِ ﺭَﺑِّﻨَﺎ

Badi Haiwan/Tumbuhan:

Sama seperti di atas bezanya cuma tanah yang diambil itu mestilah tanah jalan masuk ke hutan.

Jika simptom berlarutan sehingga tahap meracau, maka tanah tadi di ambil 3 genggam untuk dimandikan.

Kaedahnya sama seperti di atas tetapi bezanya tanah tadi dibuat mandi.

Mandi selepas waktu maghrib sebanyak 3 maghrib berturut-turut.

Untuk meredakan mereka yang terkena badi dari meracau tidak tentu masa, cuma berselawat sahaja di telinganya.

Selawat sama ada selawat thibb, selawat tafrijiah, selawat Ibrahimiah, selawat anwar, selawat fatih dan lain-lain selawat.

Kemudian urut perlahan-lahan bahagian kejang seperti mata, telinga, kaki, kepala, leher, badan, belakang badan dan lain-lain lagi.

ﺍَﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺻَﻠِّﻰ ﺻَﻼﺗًﺎ ﻛَﺎﻣِﻠَﺔً، ﻭِﺳَﻠِّﻢْ ﺳَﻠَﺎﻣًﺎ ﺗَﺂﻣًﺎ ﻋَﻠَﻰ ﺳَﻴِّﺪِﻧَﺎ ﻣُﺤَﻤَّﺪِﻥِ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺗَﻨْﺤَﻞُّ ﺑِﻪِ ﺍﻟْﻌُﻘَﺪُ، ﻭَﺗَﻨْﻔَﺮِﺝُ ﺑِﻪِ ﺍﻟْﻘُﺮَﺏُ، ﻭَﺗُﻘْﻀَﻰ ﺑِﻪِ ﺍﻟْﺤَﻮَﺁﺋِﺞُ، ﻭَﺗُﻨَﺎﻝُ ﺑِﻪِ ﺍﻟﺮَّﻏَﺂﺋِﺐُ، ﻭَﺣُﺴْﻦُ ﺍﻟْﺨَﻮَﺍﺗِﻴﻢِ، ﻭَﻳُﺴْﺘَﺴْﻘَﻰ ﺍﻟْﻐَﻤَﺎﻡُ ﺑِﻮَﺟْﻬِﻪِ ﺍﻟْﻜَﺮِﻳْﻢ، ﻭَﻋَﻠَﻰ ﺍَﻟِﻪِ ﻭﺻَﺤْﺒِﻪِ ﻓِﻲ ﻛُﻞِّ ﻟَﻤْﺤَﺔٍ ﻭَﻧَﻔَﺲٍ ﺑِﻌَﺪَﺩِ ﻛُﻞِّ ﻣَﻌْﻠُﻮْﻡٍ ﻟَﻚَ

Rawatan lanjut

Bagi seseorang yang mendapat gangguan badi tersebut, sila dapatkan rawatan dari pakar-pakar alternatif atau pakar yang arif tentang perubatan spiritual.

Segeralah berjumpa perawat Islam yang diyakini dalam merawat masalah tersebut.

Jangan dibiarkan begitu sahaja tanpa usaha serta ikhtiar dan yakinlah setiap penyakit pasti ada penawarnya.

BADI DALAM KAJIAN PERUBATAN MODEN

Walter William Skeat (1835-1912) merupakan seorang ahli akademik yang memegang jawatan Elrington and Bosworth Professor of Anglo-Saxon di Christ’s College, Universiti Cambridge.

Berikut adalah terjemahan hasil kajiselidik W.W. Skeat mengenai badi yang terkandung dalam bab ‘Medicine’ yang dipetik dari buku beliau, Malay Magic – Being An Introduction To The Folklore And Popular Religion Of The Malay Peninsula, terbitan MacMillan & Co., London pada tahun 1899.

***

Salah satu daripada upacara yang wujud dalam amalan perubatan tradisional adalah upacara mengubat pesakit yang telah dirasuk atau disampuk.

Tubuh seorang pesakit mungkin terkena sampukan tanpa disedari apabila memegang binatang atau burung yang mati, tatkala badinya masih belum keluar dari tubuh binatang itu.

Pesakit ini dikatakan disampuk Raja Hantu (king of the spirits) – dan adakalanya oleh Hantu Pemburu (wild huntsman) atau Batara Guru.

Golongan pawang yang mengamalkan cara perubatan tradisi ini menamakan elemen jahat (atau “satu kuasa jahat”) badi, yakni sebuah elemen yang akan mengacau semua makhluk hidup.

Badi bukan hanya datang dari benda bernyawa (manusia dan binatang) sahaja, malah badi boleh datang dari pokok, batu atau bahan-bahan galian yang juga dianggap oleh pawang-pawang ini sebagai benda yang bernyawa.

Von der Wall di dalam penulisannya menggambarkan badi sebagai “sesuatu yang mempunyai daya tarikan atau pun menggerunkan”, seperti gerun seekor harimau (gerun ini boleh dilihat pada pengamal penggerun yang selalunya dari golongan pendekar atau panglima), rasa takut apabila melalui pokok yang beracun atau air liur dari seekor anjing gila.

Pendek kata, suatu ‘semangat’ yang mendatangkan kemudaratan.

Upacara pembuangan badi ini bukan sesuatu yang dipandang remeh oleh orang Melayu, malah ianya suatu upacara yang amat mustahak di zaman dahulu kala.

Ini adalah kerana badi berkait rapat dengan elemen tidak baik yang datang dari benda yang telah mati.

Dipercayai adanya seratus sembilan puluh jenis badi, manakala ada yang mengatakan seratus sembilan puluh tiga.

Asal-usul Badi

Terdapat pelbagai versi asal-usul badi ini.

Ada yang mengatakan bahawa badi pertama muncul dari tiga titik darah Nabi Adam a.s. yang menitis ke bumi.

Ada pula yang percaya badi asalnya datang dari biawak disusuli oleh badi-badi yang wujud sekarang.

Asal-usul badi juga dikatakan oleh pawang-pawang dan bomoh-bomoh yang ianya datang dari hati atau ulur kayu balak (heart of timber) dan dari Mambang Kuning (langit yang kekuningan di waktu matahari terbenam).

Asal-usul badi ini dapat dilihat dalam jampi serapah berikut:
“Wahai kejahatan, ibu segala kejahatan,
Kejahatan sebanyak seratus sembilan puluh,
Kami tahu asal-usul kamu,
Kejahatan biawak asal-kamu,
Hati ulur balak asal kamu,
Sinar kuning Mambang Kuning asal kamu.”

Ada juga cerdik pandai perubatan Melayu menyatakan bahawa badi yang pertama adalah anak kepada Jin Ibn Ujan, yang mendiami kawasan gua-gua, awan di langit dan di lurah-lurah bukit.

Oleh kerana badi ini bukan sahaja berada didalam benda-benda bernyawa (termasuk binatang seperti gajah dan badak sumbu), malah dalam benda yang tidak bernyawa (seperti tanah, busut semut, kayu, air, batu), dikatakan tangkal azimat rusa dapat mengembalikan kesemua badi ini ke tempat asal-usulnya.

Sebagai contoh, badi biawak balik ke biawak, badi Mambang Kuning kembali ke Mambang Kuning dan sebagainya.

Nota tambahan:
  • Tangkal Gajah juga dikenali sebagai Badiyu, Mak Badi, Badi Panji atau Mak Buta.
  • Tangkal Rusa juga dikenali sebagai Ah Badi, Mak Badi, Hei Badi Serang, Badi Mak Buta, SiPanchur atau Mak Tuli.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, December 01, 2018

Rahsia Khasiat Daun Bidara Ditakuti Jin Dan Sebagai Rawatan Sihir

Rahsia Khasiat Daun Bidara Ditakuti Jin Dan Sebagai Rawatan Sihir

Sebagaimana tumbuh-tumbuhan lain yang disebut dalam Al-Quran, bidara juga disebut sebagai salah satu daripada pohon di dalam syurga, pasti pokok bidara mempunyai keistimewaan dan khasiatnya yang tersendiri. Sekiranya ia mendapat tempat di dalam Al-Quran, sudah tentunya ada banyak rahsia kebaikan disebaliknya.

Rahsia Khasiat Daun Bidara

Pokok Bidara atau nama saintifiknya, Z. mauritiana, merupakan sejenis pokok renek malar hijau yang tumbuh dengan ketinggian sehingga 15 meter, dengan batang berdiameter 40 cm atau lebih, rimbun daunnya, berduri dan dahan yang rendang, bewarna hijau gelap, berkilat di sebelah atas dan hijau-pucat hingga hijau-kelabu di bahagian bawah, bergantung kepada iklim.

Pokok bidara cepat tumbuh dan mula menghasilkan buahnya dalam tempoh tiga tahun. Buahnya lembut, berair dan berbiji. Buahnya masak pada masa berlainan, walaupun pada pokok yang sama.

Buahnya berwarna hijau bila muda, kuning ketika masak dan merah ketika matang sepenuhnya. Ia lembut, berair berkulit kedut dan mempunyai aroma yang amat menyenangkan.

Rasanya manis dan masam-masam-manis. Tekstur isi dan rasa menyerupai epal, apabila mengkal isinya putih dan ranggup, berasid hingga separa asid tapi manis.

Buah yang terlalu masak kurang ranggup dan seperti bertepung, buah terlebih masak pula berkedut, isi bewarna krim, lembut, berspan dan hapak. Pada mulanya aroma seperti epal dan menyenangkan, kemudian berubah menjadi hapak.

BIDARA DALAM AL-QURAN

Sidratul Muntaha digambarkan sebagai Pohon Bidara yang sangat besar, tumbuh mulai Langit Keenam hingga Langit Ketujuh. Dedaunannya sebesar telinga gajah dan buah-buahannya seperti bejana batu.

Menurut Kitab As-Suluk, Sidrat al-Muntahā adalah sebuah pohon yang terdapat di bawah ‘Arsy, pohon tersebut memiliki daun yang sama banyaknya dengan sejumlah makhluk ciptaan Allah.

Allah berfirman dalam surah An-Najm 16; “Ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya." (an-Najm, 53: 16)

Dikatakan bahawa yang menyelimutinya adalah permadani terbuat dari emas. Jika Allah memutuskan sesuatu, maka “bersemilah” Sidratul Muntaha sehingga diliputi oleh sesuatu, yang menurut penafsiran Ibnu Mas’ud r.a. adalah “permadani emas”.

Penjelasan tentang Sidratul Muntaha dalam hadis-hadis tentang Isra Mi’raj tersebut hanyalah berupa gambaran (metafora) sebatas yang dapat diungkapkan kata-kata. Hakikatnya hanya Allah yang Maha Tahu.

Penggunaan daun bidara adalah sunnah Rasulullah SAW. Pohon bidara (sidr) disebut sebanyak 2 kali dalam kitab suci Al Quran iaitu:

1. Surah Saba, ayat 16:

"Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara."

2. Surah Al-Waqia, ayat 28:

"Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri."

KAJIAN KLINIKAL KHASIAT BIDARA

Daripada kajian-kajian makmal seluruh dunia yang telah dilakukan ke atas setiap bahagian pokok ini, terbukti banyak kebaikan dan penawar (medicinal properties) di dalam daun, buah, biji, kulit sehinggalah ke akar pokok Bidara.

Hasil Kajian dari Jodhpur National University, Bidara mengandungi;
  • Antioksidan - flavanoid, phenolic compounds, tannin dan saponin.
  • Alkaloids (termasuk protopine iaitu anti-histamine semulajadi dan analgesic semulajadi), glycosides, triterpenoids, berberine (anti-kulat semulajadi) .
  • Vitamin C, B1, B2, B3 (meningkatkan HDL).
  • Mengandungi Carotene, Kalsium, besi, fosfurus Citric acid, oleic acid, malic acid, oxalic acid, linoleic acid dan lain-lain.

Sifat-sifat perubatan Enzim-enzim antioksidan mengurangkan atau melawan unsur-unsur yang menyebabkan kerosakan pada hati seperti hepatotoxin (bahan kimia yang merosakkan hati).

Hepatotoxin banyak terdapat dalam ubat-ubatan kimia dan alkohol. Berkesan melawan oxidative stres yang menyebabkan sel-sel rosak dan menjadi kanser. Mengandungi aktiviti antimicrobial iaitu tindakbalas yang melawan virus, bakteria dan kulat.

Mengandungi aktiviti hyperglycaemic atau antidiabetic (yang mengawal lebihan gula dalam darah) dalam ekstrak daun dan biji. Mengandungi aktiviti immunomodulatory (yang berkesan positif pada sistem imune tubuh).

Mengandungi aktiviti antimicrobial (merencat pertumbuhan organisma yang menyebabkan penyakit atau pathogen) dan Anti radang (Anti-inflammatory).

Ekstrak bijinya merencatkan ketumbuhan sel HL-60 (sel lukemia). Ekstrak daunnya bertindak ke atas bakteria seperti S. pyogenes dan E. coli Tiada sebarang racun atau contraindication yang diketahui pada mana-mana bahagian pokok ini.

Khasiat pohon bidara;
  • Daun - penyakit-penyakit hati yang kronik termasuk busung (ascites), hepatitis dan kanser hati, demam, lelah, cirit-birit, luka dan luka yang bernanah, radang dan bengkak, radang tonsil yang kronik, gonorhea, peluh berlebihan, radang mata (conjunctivitis), masalah kitaran haid.
  • Buah - masalah paru-paru, demam, masalah hati, masalah penghadaman. Biji - loya dan muntah, radang sendi, cirit-birit.
  • Bunga - losyen untuk mata . Kulit - cirit-birit, radang usus (dysentery), radang gusi (gingivitis).
  • Akar - gout, radang sendi, luka, menurunkan kadar histamin dalam tubuh, sawan.

KEGUNAAN BIDARA DALAM ISLAM

Sebagaimana tumbuh tumbuhan lain yang disebut dalam Al-Quran pasti bidara mempunyai keistimewaan dan khasiatnya yang tersendiri. Tambahan lagi ia disebut sebagai salah satu daripada pohon di dalam syurga.

1. Memandikan jenazah

“Mandikanlah dengan mengguyurkan air yang dicampur dengan daun bidara tiga kali, lima kali atau lebih dari itu jika kalian anggap perlu dan jadikanlah yang terakhirnya dengan kafur barus (wewangian).” (HR. Bukhari no. 1253 dan Muslim no. 939).

2. Mandi dengan air yang dicampur daun bidara untuk wanita haid yang akan bersuci

‘Aisyah secara marfu, “Salah seorang di antara kalian (wanita haid) mengambil air yang dicampur dengan daun bidara lalu dia bersuci dan memperbaiki bersucinya. Kemudian dia menuangkan air di atas kepalanya seraya menggosoknya dengan gosokan yang kuat hingga air masuk ke akar-akar rambutnya, kemudian dia menyiram seluruh tubuhnya dengan air. Kemudian dia mengambil sehelai kain yang telah dipalit dengan minyak kasturi lalu dia berbersih darinya.” Aisyah berkata, ”Dia menyapukan tanah kepada bekas-bekas darah.“ (H.R. Muslim no. 332 dari’ Aisyah)

3. Mandi dengan air yang dicampur daun bidara untuk mualaf

Hadis Abu Hurairah r.a. yang diriwayatkan oleh Bukhari-Muslim tentang kisah Tsumamah bin Utsal r.a. yang sengaja mandi kemudian menghadap kepada Nabi SAW untuk masuk Islam.

“Saya mendatangi Nabi SAW untuk masuk Islam maka Nabi memerintahkan kepadaku untuk mandi dengan air dan daun bidara.” (HR. Ahmad 5/61, Abu Daud no. 355, An-Nasa`i 1/91, At-Tirmidzy no. 605 dan dishohihkan oleh Al-Albany dalam Shohih At-Tirmidzy 1/187

“Beliau masuk Islam, lantas Nabi SAW memerintahkannya untuk mandi dengan air dan daun sidr (daun bidara).” (HR. An Nasai no. 188, At Tirmidzi no. 605, Ahmad 5/61. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)

MERAWAT GANGGUAN JIN DAN SIHIR

Pohon Bidara (Sidr) diketahui ramai sebagai penawar untuk gangguan dengan kaedah mandian menggunakan daunnya. Ia telah disebut di dalam Surah As-Saba' ayat 16, Surah Al-Waqiah ayat 28.

Dikatakan juga, apabila Nabi Adam a.s. ketika jatuh ke bumi, buah pertama yang dimakannya ialah buah Bidara atau nabaq dalam bahasa Arab.

Di dalam Surah An Najm, dalam ayat-ayat 13 dan 16 ada disebut tentang Sidratil Muntaha, tempat di langit tertinggi iaitu langit ke tujuh. Rasulullah SAW telah dibawa ke sini semasa perjalanan Mi'raj dan Baginda telah melihat sendiri pelbagai kebesaran Allah di sana. Antaranya terdapat Pohon Bidara yang teramat besar dan kecantikannya hingga tidak dapat diceritakan. Setiap daunnya sebesar telinga gajah, buahnya sebesar tempayan. Akar-akarnya menjalar ke bawah sehingga ke langit ke enam. Dari batang pokok, air seperti sungai mengalir keluar, dengan rasanya yang sangat nyaman.

Daun ini Insyaa Allah boleh digunakan untuk mengubati sihir dan gangguan jin, yakni daun bidara. Al-Quran menyebutkan daun bidara di beberapa ayat:

“Dan golongan kanan, alangkah bahagianya golongan kanan itu. Berada di antara pohon bidara yang tidak berduri..“(QS. Al-Waqi’ah (56): 27-29)

“Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl dan sedikit dari pohon Bidara.” (QS. Saba: 16)

Bagaimana cara menggunakan daun bidara untuk mengubati sihir atau gangguan jin?

Wahb bin Munabih, salah seorang pemuka tabi’in yang ahli dalam sejarah dan ilmu perubatan menyarankan untuk menggunakan tujuh helai daun bidara yang dihaluskan.

Kemudian dilarutkan dalam air dan dibacakan ayat Kursi, surat al Kafirun, al-Ikhlas, al Falaq dan an Naas. (Lihat Mushannaf Ma’mar bin Rasyid 11/13).

Al Qurtubi menceritakan dari Wahab untuk mengubati Sihir:

“Diambil 7 helai daun bidara ditumbuk halus lalu dicampurkan air dan dibacakan Ayat Kursi dan diberi minum pada orang yang terkena sihir tiga kali teguk dan air yang telah dibacakan ayat-ayat dan juga dicampur bidara, dipakai untuk mandi, Insyaa Allah akan hilang sihirnya. Dan diutamakan membaca Al Falaq, An Naas, juga ditambah ayat Kursi kerana ayat-ayat itu dapat mengusir Syaitan.“ (Tafsir Ibn Katsir Jilid Satu Terjemahan Pendek halaman 171)

JENIS-JENIS POHON BIDARA

Rahsia Khasiat Daun Bidara

Beberapa jenis pokok dipanggil bidara dalam masyarakat kita. Namun yang mana satukah bidara yang disebut dalam Alquran dan hadis?

Antara jenis pokok yang panggil bidara ialah:
  • Bidara upas – Merremia mammosa.
  • Bidara laut – Strychnos lucida.
  • Bidara china – Ziziphus jujuba.
  • Bidara epal atau epal india atau epal vietnam – Ziziphus mauritiana.
  • Bidara kampung/bidara duri – Ziziphus spina-christi.

Bidara tidak berduri mempunyai buah yang pelbagai bentuk. Ada yang berbentuk bujur, lonjong, bulat dan obovate. Isinya berwarna putih, sedap, manis dan ranggup. Kulit buah bidara pula licin, berkilat, nipis tetapi isinya padat.

Daun bidara yang berduri pula digunakan oleh perawat dalam rawatan islam untuk membantu pesakit yang terkena gangguan jin dan makhluk halus.

Bidara sidr yang disebutkan di dalam sunnah ialah bidara yang berduri, dikenali dengan nama bidara duri, bidara kampung atau bidara arab. Nama saintifik bidara sidr ialah Ziziphus spina-christi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, November 16, 2018

Kisah Seorang Wanita Belajar Ilmu Dukun Sehingga Dicabut Imannya

Kisah Seorang Wanita Belajar Ilmu Dukun Sehingga Dicabut Imannya

Larangan mempercayai pawang, dukun atau bomoh dan mempelajari ilmu daripada mereka disebabkan terselitnya unsur-unsur penipuan dan kebatilan.

Belajar Ilmu Dukun
Gambar hiasan.

Kebanyakan perkhabaran berita, syarat dan bentuk amalan yang ditetapkan oleh mereka merupakan ilham dan bisikan oleh syaitan.

Firman Allah dalam surah as-Syu’ara ayat 221-223:

”Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”

Antara sebab utama ilmu perbomohan dianggap sebagai perbuatan kufur ialah kerana ilmu tersebut berasal dari syaitan.

Ilmu perbomohan menetapkan syarat-syarat yang pelik-pelik, tidak logik dan tiada kaitan dengan sebab dan musabbab.

Syarat-syarat tersebut merupakan helah iblis dan syaitan untuk melihat sejauh mana kepatuhan anak Adam kepada mereka.

Satu kisah yang paling jelas untuk kita hayati ialah sebuah athar yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi dalam kitab Sunan beliau bahawa Saidatina Aisyah r.a. berkata:

“Telah datang kepadaku seorang wanita dari penduduk Daumah Al-Jandal mencari Rasulullah SAW selepas kewafatan baginda untuk bertanya tentang satu perkara berkaitan mempelajari sihir tetapi tidak beramal dengannya.

Kata wanita ini, “Suamiku telah hilang dariku. Kemudian datang seorang wanita tua lalu aku mengadu hal ini kepadanya. Lalu wanita tua itu berkata: “Sekiranya engkau melakukan apa yang aku suruh, nescaya suamimu akan kembali kepadamu”.

Apabila tiba waktu malam, wanita tua itu datang bersama dua ekor anjing hitam. Maka aku menaiki salah satu anjing itu dan dia menaiki yang seekor lagi. Dalam masa yang sekejap, kami sudah sampai di Babilon. Aku dapati ada dua orang lelaki yang tergantung dengan kakinya.

Lalu lelaki itu berkata, “Apa yang kamu mahu?” Maka aku berkata, “Aku ingin belajar sihir”. Mereka berkata, “Sesungguhnya kami ini fitnah, jangan kamu kufur. Oleh itu, pulanglah”.

Aku tidak mempedulikan nasihat mereka lalu berkata, “Aku tidak akan pulang!” Mereka berdua berkata, “Pergilah engkau kepada bekas nyalaan api itu dan kencinglah padanya. Selepas itu, datanglah kembali”.

Maka aku pun pergi dan aku rasa menggeletar serta takut. Kemudian aku kembali mendapatkan mereka berdua dan aku berkata, “Aku telah lakukan apa yang kamu suruh tadi”.

Mereka bertanya, “Apa yang kamu nampak?”. Aku menjawab, “Aku tidak nampak apa-apa”. Maka mereka berkata, “Engkau berbohong. Engkau belum kencing di situ. Pulanglah ke negeri engkau dan jangan kamu jadi orang yang kufur. Sesungguhnya engkau bertanggungan atas urusan kamu”.

Aku enggan pulang, lalu mereka berkata, “Pergilah engkau kepada bekas nyalaan api itu dan kencinglah padanya”. Lalu aku pun pergi dan kencing padanya. Maka aku melihat seorang pahlawan berkuda yang memakai baju besi keluar dari tubuhku dan naik ke langit sehingga dia hilang dari pandanganku.

Dan aku datang bertemu dengan kedua-duanya lalu aku berkata, “Aku telah lakukan apa yang kamu suruh tadi”. Mereka bertanya, “Apa yang kamu nampak?” Aku menjawab, “Aku melihat seorang pahlawan berkuda yang memakai baju besi keluar dari tubuhku dan naik ke langit sehingga dia hilang dari pandanganku”.

Kedua-duanya berkata, “Engkau benar. Itulah iman telah keluar dari engkau. Sekarang pergilah engkau”.

Maka aku berkata kepada wanita tua itu, “Demi Allah! Aku tidak tahu sesuatu tentang ini dan tiadalah kedua-dua orang itu memberitahu aku sesuatu apa pun”. Maka perempuan tua itu berkata, “Bukan begitu. Tiadalah sesuatu yang engkau inginkan kecuali ia akan menjadi. Ambil biji gandum ini dan semai”.

Maka aku semaikan dan aku berkata, “Tumbuhlah!”Maka tumbuhlah gandum itu. Dan aku berkata lagi, “Membiaklah!” Maka gandum itu berkembang biak. Dan aku berkata, “Tuailah!” Maka iapun tertuai. Dan aku berkata, “Kisarlah!” Maka ia pun terkisar. Dan aku berkata, “Jadilah roti!” Maka ia menjadi roti.

Dan apabila dapati setiap sesuatu yang aku inginkan segera berada ditanganku, maka aku rasa amat menyesal. Dan demi Allah wahai Ummu Mukminin, tiadalah aku melakukan sesuatu dan aku tidak akan melakukannya selama-lamanya.”

Berdasarkan athar di atas, kita akan dapati betapa mudahnya untuk mempelajari sihir. Hanya dengan kencing di bara api, maka wanita itu sudah mempunyai kebolehan yang luar biasa.

***

Perbuatan belajar dari bomoh dan pawang dengan tujuan untuk beramal dengan ilmu tersebut secara jelas mengingkari perintah Nabi SAW.

Secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa kita berasa tidak cukup dengan apa yang telah dibekalkan oleh Rasulullah SAW sehingga terpaksa mendapatkan dari sumber yang lain.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mahyuddin09