Tuesday, January 20, 2015

Blogger Milosuam Dipenjara 2 Tahun!

Blogger Milosuam Dipenjara 2 Tahun!

Blogger terkenal pro-PKR, semalam disabitkan bersalah di bawah Seksyen 505, Kanun Keseksaan di Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah.

Yusuf Al Siddique Suratman - Milosuam

Susulan itu blogger Milosuam atau nama sebenarnya, Yusuf Al Siddique Suratman, 30, dijatuhkan hukuman penjara maksimun 2 tahun.

Yusuf disabitkan bersalah melakukan khianat awam kerana memuatnaik artikel bertajuk “Pendatang asing bakal cetus huru hara di Sabah?” susulan insiden pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu pada 2013.

Dalam artikel tersebut yang turut diselitkan dokumen didakwa Yusuf diperoleh daripada pihak polis, dia membayangkan 1,500 pendatang asing mampu mencetuskan huru hara di Sabah, sekaligus didapati boleh mencetuskan ketakutan awam.

Artikel yang membawa kepada pertuduhan terhadap blogger Milosuam bertarikh Mac 2013:

Maklumat sulit: Pendatang asing bakal cetus huru hara di Sabah?

SEBENTAR tadi ReJaM© terima satu email daripada seorang pengirim yang mendakwa dirinya sebagai "orang dalam" dan memiliki maklumat sulit dari PDRM.

Pengirim memberikan satu dokumen berbentuk arahan kepada anggota polis dan keselamatan di Sabah agar bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan kerana berdasarkan maklumat orang awam, 1400 orang dimaklumkan sebagai pendatang asing di Kota Kinabalu dan Tawau akan membuat huru hara.

Surat itu meminta agar para petugas, pegawai dan semua anggota keselamatan supaya mengambil langkah berjaga-jaga paling tinggi serta meningkatkan kekuatan anggota yang bertugas memandangkan pendatang asing ini akan mensasarkan anggota keselamatan untuk membuat huru hara.

Di bawah ini surat yang dimaksudkan. ReJaM© percaya ramai yang telah menerima surat ini dalam bentuk email berantai. Bagaimanapun, kesahihannya masih tidak dapat dipastikan. Barangkali mungkin juga ada pihak tertentu yang cuba mencetuskan kebimbangan kepada orang ramai.

Rahsia Polis

ReJaM© harap orang ramai yang telah menerima surat ini dalam bentuk email berantai agar menimbangkannya dengan penuh rasional kerana kesahihannya masih tidak dapat dipastikan.

Umum mengetahui bahawa ramai pendatang asing yang telah menerima IC hasil projek IC di Sabah untuk mengundi BN sebelum ini. Jika maklumat ini benar-benar dikeluarkan oleh PDRM, maka kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana musuh sudah lama berada di kalangan kita.

ReJaM© "Pendatang asing menangguk dalam air yang sedia keruh?"

Sumber:
http://milosuam.blogspot.com/2013/03/maklumat-sulit-pendatang-asing-bakal.html

Mahkamah bagaimanapun membenarkan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan kes.

Dalam pada itu para peguam dari Lawyers for Liberty (LFL) menyifatkan keputusan mahkamah tersebut berbaur politik.

LFL mempertikaikan mengapa Yusuf didakwa dan dihadapkan ke mahkamah di Kota Kinabalu sedangkan dia ditahan di Kuala Lumpur pada Mei 2013.

"Milosuam didakwa di Kota Kinabalu walaupun beliau sebenarnya berpangkalan di Kuala Lumpur.

"Beliau ditahan di Kuala Lumpur pada Mei 2013 dan tidak pernah menjejak kaki ke Kota Kinabalu semasa menulis bahan tersebut. Perbicaraannya di Kota Kinabalu tidak berasas dan tidak perlu," kata LFL dalam satu kenyataan.

Krisis pencerobohan Lahad Datu 2013 mengaitkan insiden diplomatik yang berlaku di antara Malaysia dan Filipina sejurus selepas 235 rakyat Filipina yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kampung Tanduo, daerah Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari, 2013.

Kumpulan tersebut yang menggelar diri mereka sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara dihantar oleh Jamalul Kiram III yang merupakan salah seorang daripada pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu.

Kiram berkata matlamat mereka menuntut kembali wilayah mereka di bahagian timur Sabah (bekas Borneo Utara) yang masih tidak dapat diselesaikan.

Sumber: Themalaysianinsider.com/SENTIASAPANAS.COM

Thursday, February 06, 2014

Aset Anak Lelaki Taib Mahmud Bernilai RM1.395 Bilion!

Aset Anak Lelaki Taib Mahmud Bernilai RM1.395 Bilion!

Seorang akauntan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa aset anak Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bernilai antara RM976 juta dan RM1.395 bilion.

Datuk Seri Mahmud Abu Bekir dan Isteri

Akauntan bertauliah, Andrew Heng, 39, berkata sebelum ini beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa aset Datuk Seri Mahmud Abu Bekir bernilai RM916 juta hingga RM1.344 bilion.

Beliau berkata angka baru itu diperolehi setelah memasukkan dua aset yang dimiliki Mahmud yang terdiri daripada sebuah kereta Audi dan kepentingannya di Menara Titanium di Brighton Square, Kuching, Sarawak.

Andrew telah dilantik oleh bekas isteri Mahmud, Shahnaz A. Majid, 50, untuk mengenalpasti aset milik Mahmud dan nilai pegangan sahamnya dalam 49 syarikat di Malaysia.

“Berikutan penemuan baru itu, angka terkini di antara RM976 juta dan RM1.395 bilion selepas mengambil kira kedua-dua aset.

“Angka tersebut berdasarkan kepada lima komponen termasuk yang diwarisi daripada arwah ibu Mahmud, tanah kelapa sawit, saham dalam 49 syarikat Malaysia dan kini, kenderaan Audi yang dimiliki oleh Ivy Kraf Sdn Bhd di mana beliau mempunyai 50 peratus kepentingan dan juga Menara Titanium,” kata Andrew.

Andrew telah memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh peguam Shahnaz, Akbardin Abdul Kader dalam perbicaraan tuntutan mutaah RM100 juta beliau.

Shahnaz yang merupakan kakak kepada ratu jazz, Datuk Sheila Majid, menuntut RM400 juta yang mana RM300 juta adalah harta sepencarian sebagai sebahagian daripada penyelesaian perceraian.

Shahnaz juga menuntut 50 peratus daripada semua aset yang dimiliki oleh Mahmud, 50, termasuk kereta mewah, rumah di pelbagai lokasi, tanah di Sarawak dan saham.

(Baca: Bethany Mota, Gadis Yang Menjadi Jutawan Kerana YouTube)

Mereka telah berkahwin pada Januari 1992 dan bercerai pada 2011.

Mereka mempunyai seorang anak lelaki berusia 20 tahun, Raden Murya.

Andrew berkata kenderaan mewah Mahmud, jenis Bugatti, bernilai RM1.18 juta tidak termasuk duti dan eksais yang dibayar dan Lamborghini bernilai RM498,000.

“Dua kenderaan lain Mahmud adalah Bentley Continental dianggarkan bernilai RM478,000 dan Toyota Alphard, RM190,000,” katanya.

Pada akhir prosiding, peguam utama Mahmud Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu mahkamah bahawa mereka memerlukan dua bulan untuk akauntan anak guamnya mengkaji laporan oleh Andrew.

“Kita perlu mendapatkan nasihat daripada pakar dalam bidang perakaunan sebelum boleh meneruskan pemeriksaan balas kami,” katanya.

Walau bagaimanapun, peguam utama Shahnaz, Dr Rafie Mohd Shafie membantah permohonan itu, dengan menyatakan ia tidak adil untuk mereka dan menambah bahawa aset Mahmud adalah berdasarkan laporan kewangan syarikat-syarikat beliau.

Mahkamah kemudian menanguhkan perbicaraan kepada 14 dan 30 April bagi pembelaan untuk pemeriksaan balas Shahnaz.

Sumber: mStar