Friday, July 31, 2020

8 Penemuan Harta Karun Paling Bernilai Di Dunia

8 Penemuan Harta Karun Paling Bernilai Di Dunia

Sepanjang sejarah, pelbagai objek seperti barang kemas, duit syiling, wang kertas, permata, senjata, patung, perak dan dokumen telah ditemui secara tidak sengaja dan kadang-kala dengan cara misteri.

Terdapat pelbagai sebab mengapa khazanah-khazanah ini telah hilang dan dilupakan dan selalunya ia disebabkan oleh pemiliknya mengalami nasib tragis sama ada disebabkan oleh perang, penjajahan dan bencana alam. Selain itu, ia disembunyikan secara sengaja untuk mengelakkan kecurian dan kerosakan.

Kali ini kami ingin kongsikan 8 penemuan khazanah purba paling bernilai pernah ditemui di dunia.

1. Skrol Laut Mati - Jordan/Palestin

Skrol Laut Mati

Penemuan Skrol Laut Mati telah terbukti menjadi artifak yang tidak ternilai kerana nilai yang sangat luar biasa terhadap agama, linguistik dan kerahsiaan.

Skrol ini yang ditemui antara tahun 1945 hingga 1956, mengandungi serpihan dari setiap kitab Perjanjian Lama, melainkan Kitab Ester.

Salah satu manuskrip paling menarik dari koleksi ini ialah Skrol Tembaga, yang merupakan peta harta karun purba yang mengandungi maklumat mengenai berpuluh-puluh lokasi emas dan perak.

Tiada tempat persembunyian bawah tanah yang telah dikenal pasti namun dianggarkan nilai harta khazanah tersebut mencecah RM4.8 bilion.

2. Projek Black Swan - Portugal

Projek Black Swan

Pada tahun 2007, syarikat Odyssey Marine Exploration telah menjumpai syiling emas dan perak bernilai lebih daripada RM2 bilion di luar pantai Portugal.

Duit syiling ini ditemui semula dari bangkai kapal frigat Sepanyol, yang karam pada tahun 1804, membawa lebih daripada 17 tan kargo emas dan perak.

Projek yang diberi nama "Black Swan" ini adalah penemuan harta karun kapal terbesar dan paling bernilai di dunia sehingga kini.

Selepas pertikaian undang-undang untuk tempoh yang lama di antara kerajaan Sepanyol dan Odyssey, akhirnya kerajaan Sepanyol mendapat kawalan ke atas artifak-artifak itu dan kini dipamerkan di pelbagai muzium awam di seluruh negara itu.

3. Kapal Whydah Gally - Amerika Syarikat

Kapal Whydah Gally

Ditemui pada tahun 1983, Whydah Gally adalah satu-satunya kapal lanun yang pernah dijumpai dalam sejarah.

Kapal ini yang ditemui di pinggir pantai Cape Cod, Massachusetts, Amerika Syarikat, merupakan bekas kapal hamba yang dimiliki oleh ketua lanun yang kaya iaitu Kapten "Black Sam" Bellamy.

Black Sam, yang dinamakan sebagai "Robin Hood di lautan" dikatakan lanun paling kaya sepanjang zaman.

Kapal ini karam pada tahun 1717 dan mempunyai lebih daripada 200,00 artifak termasuklah loceng kapal, perhiasan emas, syiling emas dan juga meriam dengan nilainya dianggarkan mencecah RM2 bilion.

4. Kubur Raja Tutankhamun - Mesir

Kubur Raja Tutankhamun

Pada 26 November 1922, pintu masuk ke kubur Raja Tutankhamun ditemui di Lembah Raja-Raja. Penemuan kubur Raja Tut dan khazanah berkilauan di dalamnya telah menyerlahkan minat global terhadap Mesir purba.

Ia juga mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai sumpahan Mesir purba, selepas salah seorang daripada penemu, Howard Carter, meninggal dunia beberapa bulan selepas membuka kubur tersebut, dipercayai terkena "sumpah mumia".

Antara khazanah purba yang ditemui dalam kubur tersebut adalah topeng pengebumiaan Tut, patung Anubis, kipas emas Tut, kepala harimau emas dan kereta kuda kerajaan dan nilai khazanah ini dianggarkan mencecah RM3.4 bilion.

5. Lombong Merkers - Jerman

Lombong Merkers

Dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion kekayaan Nazi telah "hilang" ketika Perang Dunia Kedua.

Apabila Jerman tewas dalam perang ini, kerajaan Nazi telah memutuskan untuk menyimpan kekayaan mereka di tempat yang dikenali sebagai Lombong Merkers di Thuringia, Jerman.

Pada tahun yang sama, tentera Amerika Syarikat menemui wang kertas, emas dan karya seni yang dimiliki oleh Nazi.

Kerajaan Jerman juga cuba untuk mendapatkan semula kekayaan itu setelah Amerika Syarikat menyita semuanya pada tahun 1945.

Dipercayai masih berbilion-bilion wang milik Nazi tersembunyi di seluruh Eropah.

6. Venus de Milo - Greece

Venus de Milo Greece

Pada tahun 1820, seorang petani dari Pulau Milos telah menggali runtuhan purba di ladangnya untuk mendapatkan beberapa batu yang diperlukannya, yang mana akhirnya membawa kepada penemuan salah satu patung paling terkenal di dunia, Venus de Milo atau Aphrodite Milos.

Kini dipamerkan di Muzium Louvre di Paris, Venus de Milo dikatakan berasal dari tahun 150 SM.

Patung ini dikatakan sebagai contoh patung dari zaman Klasik dan kini, Venus de Milo menjadi salah satu daripada ukiran Yunani purba paling terkenal dan nilainya dianggarkan bernilai RM4 bilion.

7. Harta Kuil Hindu Trivandrum - India

Harta Kuil Hindu Trivandrum

Dalam peti besi bawah tanah abad ke-15, di Kuil Hindu di Trivandrum, India, terdapat khazanah bernilai lebih dari RM88 bilion yang ditemui pada tahun 2011.

Harta yang berusia lebih dari 500 tahun itu terdiri daripada syiling emas, permata, patung-patung dewa yang diperbuat daripada emas dan juga berlian.

Selepas penemuan ini berlaku, kerajaan India telah menghantar pasukan keselamatan menjaga kuil ini setiap masa.

Harta-harta tersebut masih belum diputuskan sama ada akan kekal sebagai harta kuil atau diambil oleh kerajaan.

Sudah menjadi perkara biasa untuk kuil-kuil di India mempunyai khazanah dan kekayaan purba.

8. Kapal layar San José - Colombia

Kapal layar San José

San José adalah kapal Sepanyol yang mempunyai 62 meriam dan 3 tiang, membawa emas, perak dan zamrud dari lombong Potosi, Peru.

Kapal ini karam ketika berlayar dari Panama menuju ke Colombia pada tahun 1708 selepas tewas dalam Pertempuran dengan kapal-kapal British.

Khazanah tersebut telah ditemui semula di pantai Cartegena, Colombia pada tahun 2015.

Sejak penemuan itu, berlaku pertikaian undang-undang yang lama dan membosankan, di antara syarikat-syarikat swasta dan pelbagai kerajaan.

Selain daripada wang, penemuan San Jose juga termasuk menampilkan artifak sejarah dan budaya yang menggambarkan suasana ekonomi, budaya, politik dan sosial di Eropah pada abad ke-18.

Nilai harta karun kapal San Jose dianggarkan bernilai $USD17 bilion.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Monday, July 27, 2020

Penyakit Xenofobia Dan Rasisme, Sisi Gelap Bangsa Korea Selatan Yang Ramai Tidak Tahu

Penyakit Xenofobia Dan Rasisme, Sisi Gelap Bangsa Korea Selatan Yang Ramai Tidak Tahu

Sebut saja Korea Selatan, yang terbayang di kepala ialah fenomena K-Pop dan status negara itu sebagai negara maju terutama dari segi teknologi. Tetapi siapa sangka di sebalik status mereka sebagai negara maju, mereka dibayangi xenofobia yang menebal!

Xenofobia Korea Selatan

Dalam satu kaji selidik yang dibuat Overseas Koreans Foundation pada tahun 2018, 61% responden melihat ekspatriat atau pekerja asing bukan sebahagian daripada masyarakat Korea. Tetapi jika anda seorang kulit putih dan berasal dari negara-negara atas angin (Barat), maka anda sekurang-kurangnya terselamat daripada sesetengah bias mengarut mereka.

Ini didedahkan oleh Profesor Park Kyung-tae, seorang profesor sosiologi dari Universiti Sungkonghoe.

Beliau berkata, "Orang Korea berfikir warga Barat atau orang kulit putih yang bertutur dalam Bahasa Inggeris sebagai orang asing yang dimahukan. Jenis warga asing yang ditolak ialah pelarian dan warga China termasuk etnik Korea yang berasal dari China kerana mereka dianggap miskin.

"Jika anda datang dari negara Barat, anda akan mendapat lebih banyak peluang untuk dihormati. Tetapi jika anda datang dari negara Asia yang membangun, peluang lebih tinggi untuk anda dihina dan tidak dihormati mereka."

Antara persepsi bias warga Korea terhadap warga asing (termasuk warga Korea yang tiba dari negara luar) ialah:

1. Melayan buruk warga asing tetapi berubah 360 darjah jika mereka dapat bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik.

2. Wanita Thailand dianggap sasaran mudah untuk melampiaskan nafsu kerana beranggapan ramai bekerja sebagai pelacur.

3. Warga Korea yang tiba dari negara luar dipandang hina kerana latar belakang keluarga atau pekerjaan di negara asing.

4. Warga Jepun tetap dianggap musuh berikutan sejarah pendudukan dan kekejaman mereka semasa di Korea.

Jadi, mengapa perkara sebegini berlaku?

Jawapannya ialah melihat semula sejarah Semenanjung Korea itu sendiri. Korea dipaksa membuka pintu seluas-luasnya kepada orang asing pada awal abad ke-20 apabila Jepun menduduki kawasan itu sebagai sebahagian daripada rancangan perluasan empayar mereka.

Dan ia terus dibuka akibat situasi Perang Korea dan penempatan pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan.

Selepas tahun 1988 iaitu tahun penganjuran Sukan Olimpik 1988 dan pentadbiran kerajaan yang dipilih secara demokratik buat kali pertama, barulah Korea Selatan mengalu-alukan kehadiran warga asing, pengaruh luar dan kapitalisme. Setahun selepas itu, Seoul membenarkan warganya untuk bergerak keluar masuk ke luar negara.

Tambah Profesor Kyung-tae, "Sejak tahun 1980-an dan 1990-an, kami mula melihat ramai warga asing datang dan kami tidak tahu cara berinteraksi dengan mereka. Mereka tidak dianggap sebahagian daripada masyarakat. Kami fikir mereka akan pergi selepas menetap di sini buat seketika."

Hari ini, warga asing membentuk 2.8% populasi negara itu atau 1.43 juta orang. Daripada 1.43 juta warga asing, separuh daripadanya ialah warga China berdarah Korea, 9.4% warga Vietnam, 5.8% warga Thailand dan 3.7% masing-masing untuk warga Amerika dan Filipina.

Tetapi, jika anda rasakan bercakap Bahasa Inggeris dapat membantu mengharungi xenofobia mengarut warga Korea, anda silap. Hakikatnya, kebencian warga Korea terhadap orang Barat terus menebal terutamanya terhadap tentera Amerika Syarikat.

Pada tahun 2002, berlaku satu insiden dua pelajar sekolah perempuan Korea dilanggar oleh sebuah kenderaan peronda tentera Amerika.

Apabila kedua-duanya dibicarakan di mahkamah tentera berdasarkan perjanjian SOFA yang dimeterai antara kedua-dua negara, protes diadakan di seluruh negara bagi membantah ketidakadilan ini.

Hari ini, protes terhadap kehadiran tentera Amerika Syarikat masih berlaku dan polis anti-rusuhan Korea Selatan diletakkan secara tetap di luar 41 pangkalan tentera mereka. Dan jangan terkejut melihat ada bar atau restoran meletakkan papan tanda melarang anggota tentera Amerika dari memasuki premis mereka.

Nak kata ada undang-undang anti-diskriminasi, bukan sekali cuba digubal Seoul bagi menangani masalah ini, tetapi semua cubaan tersebut berakhir dengan kegagalan kerana bimbang kehilangan sokongan penyokong semasa pilihan raya parlimen atau presiden.

Ingat tak, Lisa Blackpink sendiri pernah menjadi mangsa rasism di Korea sampai stand Kpop kena buat hashtag #RespectLisa, apabila netizen Korea menabur komen suruh Lisa yang asal dari Thailand balik Thailand, dengan kecaman-kecaman berbentuk perkauman.

Respect Lisa Blackpink

Bukan Lisa saja yang menjadi mangsa rasism melampau. Contohnya Ashles Perez yang menulis, "I Wasn't Beautiful Enough to Live in South Korea". Sebabnya, walau dia berdarah Korea, tetapi kulit dia perang-coklat, orang Korea rejek beliau.

Di Korea, tidak wujud konsep kacukan dan peranakan, selagi seseorang itu tidak membawa "bongwan" (본관 – nama keluarga yang menunjukkan asal usul Korea).

Orang Cina yang hidup di Korea Selatan sejak sebelum penjajahan Jepun (1910-1945) juga masih belum diberi taraf kerakyatan walaupun sudah 100 tahun.

Sebabnya, Korea Selatan mengamalkan dasar "jus sanguinis" – selagi anda tidak ada darah Korea, jangan harap diterima sebagai orang Korea.

Dan sebagai kesimpulan kisah ini, pandangan ahli sosiologi Universiti Seoul Michael Duff harus didengar, "Ia bukan soal identiti berlawanan yang berpengaruh. Jantina, bangsa dan status memainkan peranan penting di Korea Selatan. Tetapi di Korea, itu tidak berlaku lagi sekiranya anda seorang warga asing. Anda dipandang sebagai warga asing dahulu sebelum ia disusuli oleh aspek-aspek lain."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, July 24, 2020

4 Masjid Terkenal Yang Kini Di Jadikan Gereja

4 Masjid Terkenal Yang Kini Di Jadikan Gereja

Kontroversi pengembalian status masjid bersejarah Masjid Aya Sofya atau Hagia Sophia yang terletak di ibu negara Turki, Istanbul, pasti akan terus kedengaran dengan masyarakat antarabangsa khasnya komuniti pemimpin barat melihat apa yang dilakukan kerajaan Turki, di bawah pimpinan Reccep Tayyip Erdogan sebagai jalan mudah untuk menaikkan imej kerajaannya.

Masjid Hagia Sophia
Hagia Sophia.

Banyak pihak menentang pertukaran ini kerana merasakan status muzium lebih sesuai dengan sejarahnya.

Tetapi mereka seakan lupa bahawa perkara sama sebenarnya telah berlaku banyak kali, melibatkan masjid yang ditukarkan kepada gereja.

Dibawah ini adalah 4 gereja yang dahulu sebenarnya adalah sebuah masjid.

1. Masjid-Gereja Cordoba, Sepanyol

Masjid-Gereja Cordoba

Salah satu lokasi warisan sejarah dunia, Masjid-Gereja Cordoba atau nama rasminya mengikut penganut Kristian; Cathedral of Our Lady of the Assumption adalah bekas Masjid Besar Cordoba, yang dibina semasa kerajaan Islam menguasai Sepanyol khasnya wilayah Cordoba.

Tapak asal binaan itu pada awalnya merupakan sebuah gereja orang Visigoth yang dibeli oleh Abdul Rahman I selepas dia dan tenteranya menguasai Cordoba.

Berikutan pertukaran hak milik, kawasan itu mula dikongsi penganut ajaran Kristian dan orang Islam Cordoba dengan pembukaan masjid kecil.

Disebabkan pertambahan bilangan masyarakat Muslim di wilayah tersebut, binaan baru mula didirikan sekitar penghujung abad ke 8 oleh Abdul Rahman I bagi membesarkan bahagian masjid, dengan pembelian tanah yang menempatkan gereja.

Pembinaan dan pembesaran Masjid Cordoba berlaku dalam beberapa fasa yang berlanjutan sehinggalah abad ke 10.

Selepas kejatuhan kerajaan Islam oleh gerakan Raja Ferdinand III, Masjid Besar Cordoba jatuh ke tangan orang Kristian yang menukarkannya menjadi gereja sehingga ke hari ini.

Beberapa insiden pergaduhan serta kekasaran melibatkan individu Muslim yang cuba bersolat di situ, telah pun berlaku.

Kempen agar binaan tersebut membenarkan penganut Islam untuk beribadah di situ terus berjalan, agar sistem yang diamalkan Abdul Rahman I dapat dikembalikan.

2. Gereja Prophet Elijia, Thessaloniki, Greece

Gereja Prophet Elijia, Thessaloniki, Greece

Dikenali sebagai Masjid Sarayli semasa era kerajaan Uthmaniyah satu masa dulu, kini bekas masjid ini digelar sebagai The Church of Profitis Elias yang juga merupakan salah satu tapak warisan dunia, di bawah UNESCO.

Sejarah binaan ini pada mulanya cuba didiamkan dan hanya pada 1864, barulah rahsia sebenar binaan ini terbongkar.

Gereja Prophet Elijia sebenarnya merupakan sebuah masjid yang dinamakan Sarayli Camii, yang bermakna 'Masjid Istana' dalam bahasa Greek.

Beberapa kekeliruan tentang istilah 'Sarayli Camii' yang disangka merujuk kepada 'Santo Elie' semasa era kerajaan Byzantine menyebabkan penganut Kristian menamakan gereja mereka sempena Santo Elias, semasa pertukarannya kepada gereja sekitar abad ke 15, semasa Greece diperintah Empayar Uthmaniyah.

3. Sveti Sedmochislenitsi Church of Sofia, Bulgaria

Sveti Sedmochislenitsi Church of Sofia, Bulgaria

Kini sebuah gereja penganut Kristian ortodoks yang terletak di ibu negara Bulgaria, Sofia dahulunya dikenali oleh penduduk setempat dengan nama gelaran Chema Dzhamiya yang bermakna 'Masjid Hitam', disebabkan oleh batu granit yang digunakan dalam pembinaannya.

Nama rasminya adalah Koca Mehmed Pasha Mosque, dibina pada tahun 1528 oleh Raja Sulaiman semasa era pemerintahan Empayar Uthmaniyah.

Bagi mereka yang tidak tahu sejarah binaan ini pasti akan terkejut jika mereka mengetahui ia pada asalnya adalah sebuah masjid.

Bangunan masjid itu ditinggalkan selepas berlakunya revolusi di Bulgaria pada penghujung abad ke 19.

Berikutan kosong, masjid itu mula digunakan sebagai gudang simpanan senjata dan penjara.

Seorang arkitek Rusia bernama Alexander Pomerantsev mencadangkan agar masjid tersebut ditukar menjadi sebuah gereja pada tahun 1901.

Bermula pada bulan Mei tahun yang sama, kerja-kerja menambah baik dan mengubah masjid tersebut menjadi gereja dimulakan dan selesai pada bulan Mei tahun berikutnya.

4. Gereja Nossa Senhora da Anunciação, Portugal

Gereja Nossa Senhora da Anunciação, Portugal

Tahukah anda dari mana datangnya perkataan 'gereja'? Perkataan 'gereja' sebenarnya diambil daripada perkataan 'igreja' dalam bahasa Portugis.

Di Portugis, terdapat sebuah gereja yang dinamakan Igreja Nossa Senhora da Anunciação yang terletak di daerah Mertola, Alentejo.

Gereja ini dahulunya merupakan sebuah masjid yang dibina sekitar abad ke 12, dikenali dengan nama Masjid Mertola yang bertukar menjadi gereja atau 'Igreja' pada abad ke 13.

Binaan asal yang masih bercirikan Islam itu kekal sehinggalah abad ke 16, sebelum komuniti penganut Kristian di situ mula menukar rekaannya.

Binaan tiang-tiang minaretnya yang sebelum itu digunakan sebagai tempat melaungkan azan, dipasang dengan loceng.

Berikutan kerosakan yang berlaku ke atas binaan asal, apa yang tinggal daripada struktur asal Masjid Mertola hanyalah dinding luarannya serta beberapa pintu yang masih digunakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Saturday, July 18, 2020

Suku Kulung, Pemburu Madu Lebah Di Lokasi Paling Ekstrem Di Dunia

Suku Kulung, Pemburu Madu Lebah Di Lokasi Paling Ekstrem Di Dunia

Selain memiliki keindahan panorama alam yang sungguh memukau mata memandang, di Gunung Himalaya sebenarnya terkumpul hasil madu paling besar di dunia, yang terletak dibanjaran yang memasak gunung tertinggi di bumi.

Suku Kulung Pemburu Madu

Di Nepal, memburu madu di kaki gunung Himalaya merupakan salah satu cara untuk mencari pendapatan yang dilakukan oleh suku kaum Kulung, dilakukan setiap dua tahun sekali.

Apa yang menarik tentang suku Kulung, mereka adalah satu-satunya kaum di Nepal yang sanggup menggadai nyawa memanjat tebing Himalaya yang tinggi menjulang ke langit, mendaki dinding curam untuk mendapatkan madu dari sarang-sarang lebah yang tergantung di atasnya.

Tradisi Ratusan Tahun

Umpama menatang nyawa sendiri, tradisi mengumpul madu di tebing Himalaya ini sebenarnya sudah dilakukan sejak ratusan tahun dahulu.

Menurut kaum Kulung, pemburuan madu dengan cara sebegini merupakan aktiviti turun-temurun dari nenek moyang mereka.

Dalam proses untuk mendapatkan madu, kaum Kulung masih menggunakan kaedah tradisional iaitu dengan berpaut pada tali lalu menjolok sarang lebah menggunakan batang buluh yang dipanggil 'tangos'.

Menceroboh sarang lebah paling besar di dunia ini bukanlah perkara mudah, kerana mereka bukan sahaja berhadapan risiko terjatuh dari tebing yang tinggi, malah berdepan bahaya disengat jutaan lebah yang boleh membawa maut.

Oleh itu, mereka terlebih dahulu akan mengumpul daun-daun kering kemudian membakarnya. Asap daripada pembakaran daun kering akan menyebabkan lebah lari meninggalkan sarangnya.

Maka, pada waktu inilah para pemburu madu yang ekstrim ini mencuri hasilnya.

Pelancongan

Dan kerana kepakaran memburu madu yang dimiliki kaum Kulung, mereka dijadikan sebagai sebahagian daripada inisiatif pihak pemerintah Nepal untuk menarik pelancong ke negara itu.

Teknik dan kaedah pemburuan madu yang berbahaya ini dijual sebagai tontonan eksotik kepada pelancong dengan bayaran mencecah USD1,000.

Malah, hasil buruan madu turut dieksport ke negara China, Jepun dan Korea secara besar-besaran.

Madu dari pergunungan Himalaya ini sering digunakan sebagai bahan di dalam ubat-ubatan tradisional di China dan Jepun.

Bagi kaum Kulung pula, hasil buruan madu akan dibahagikan sama rata kepada penduduk kampung.

Kebiasaannya, pada musim luruh mereka mampu menghasilkan kira-kira 200 liter madu, manakala pada musim bunga pula boleh mencapai sehingga 800 liter madu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Monday, June 29, 2020

Sejarah 'Vandalisme' Yang Berasal Dari Perbuatan Kaum Vandals

Sejarah 'Vandalisme' Yang Berasal Dari Perbuatan Kaum Vandals

'The Vandals' adalah gelaran yang diberikan kepada sekumpulan orang gasar (barbarian) Germanik yang menubuhkan sebuah negara di Afrika Utara selama lebih satu abad, sebelum negara itu jatuh dijajah oleh Empayar Byzantine pada tahun 534.

Asal-usul Vandalisme
Gambar hiasan.

Puak Vandals adalah gabungan beberapa komuniti etnik kecil dengan dua puak paling besar dalam Kaum Vandals adalah suku Hasding dan Siling, yang bersetuju untuk bergabung bersama kelompok kecil lain dalam panji yang dinamakan sebagai 'Vandili.'

Berasal daripada selatan Scandinavia, orang-orang Vandal berhijrah ke selatan sebelum menemui Empayar Rom.

Penghijrahan mereka ke kawasan lain terpaksa dilakukan berikutan kedatangan suku Huns pada tahun 375, yang bertindak ganas dan cuba menguasai kawasan asal orang Vandals.

Penghijrahan kerana terusir dari bumi sendiri

Diketuai oleh dua pemimpin mereka bernama Raus dan Raptus yang menjadi suara mereka, perjanjian di antara orang Vandals dan orang Rom disepakati, lalu Rom memberikan mereka kawasan untuk didiami.

Perjanjian itu yang dilakukan oleh Jeneral Stilicho dari Rom pada tahun 401, membenarkan orang Vandals menduduki dua wilayah yang terletak di sempadan empayar Rom ketika itu, iaitu Vindelica dan Noricum.

Walau bagaimanapun, selepas hampir 5 tahun mendiami kedua-dua wilayah itu, orang Vandals melanggar perjanjian yang telah dipersetujui.

Pada 31 Disember 406, kumpulan orang Vandals mula bertindak memasuki wilayah Gaul yang ketika itu dibawah penguasaan Empayar Rom.

Diserang rasa tamak

Empayar Rom ketika itu terbahagi kepada dua, dengan satu di bahagian timur dan satu lagi bahagian barat.

Gaul terletak di bawah penguasaan Empayar Rom sebelah barat, dengan Raja Honorius bertindak sebagai pemerintah tertinggi.

Kemasukan orang Vandals ke Gaul pada awalnya tidak diendahkan, kerana Honorius merasakan apa yang berlaku bukan ancaman besar kepada kestabilan Empayar beliau.

Tiada kekangan, orang Vandals mula mara lebih berani dan masuk ke Iberia (lokasi Sepanyol dan Portugal kini).

Bagi memudahkan urusan, orang Vandals membahagikan gerakan mereka kepada dua, dengan etnik Siling Vandals menguasai bahagian Baetica di bahagian tengah dan Hasding Vandals menguasai Gallaecia di bahagian barat laut.

Setelah menyedari apa yang berlaku, Honorius mula mengambil langkah mempertahankan empayarnya.

Etnik SIling dan Hasing terpaksa melarikan diri setelah tewas dalam pertempuran pada tahun 418, memaksa mereka bersatu semula di bahagian selatan.

Penyatuan tentera mereka membawa kejayaan besar setelah mereka berjaya menawan sebuah pekan pelabuhan bernama Tarraco daripada tentera Rom.

Kejayaan menguasai Tarraco yang kini dikenali dengan nama Tarragona di selatan Sepanyol, menjadi alasan kepada orang Vandals untuk terus menguasai kawasan baru.

Kempen perang ke atas Seville bermula pada tahun 425 hingga 428 dan hasilnya, Seville jatuh ke tangan Vandals dan empayar Vandals mula menjadi kuasa besar di kawasan selatan.

Pertabalan Raja Geiseric

Atas kejayaan menawan Seville, seorang pemimpin Vandals bernama Genseric diangkat menjadi raja secara rasmi.

Ekoran memiliki sebuah pelabuhan dalam wilayah mereka, Raja Genseric merancang untuk membesarkan lagi empayar mereka dengan penaklukan Afrika Utara.

Situasi mereka ketika itu juga dibantu oleh perang saudara orang Rom yang saling berperang di bahagian barat dan timur, memudahkan lagi Vandals masuk ke Afrika Utara.

Afrika Utara ketika itu diperintah oleh seorang pemimpin bernama Bonafacius, seorang jeneral Rom yang bertindak sebagai Gabenor wilayah Rom di Afrika Utara.

Ketika itu, Afrika Utara merupakan penyumbang terbesar bijirin dan gandum kepada Empayar Rom, lalu penguasaannya dilihat oleh Genseric sebagai sesuatu yang amat kritikal untuk dipenuhi.

Penjajahan Vandals ke Afrika Utara berlaku dengan mudah disebabkan nisbah jumlah tentera Vandals adalah tiga orang berbanding seorang tentera di bawah Bonafacius.

Ketika cuba menguasai Hippo Regius (Hippo Regius kini adalah lokasi bandar Annaba yang terletak dalam negara Algeria) pusat pelabuhan dan perdagangan penting Afrika Utara ketika itu, barulah orang Vandals berdepan kesukaran disebabkan kekurangan bahan makanan.

Ini memberi masa kepada Bonafacius memohon bantuan dan Empayar Rom di timur menghantar askar mereka untuk mempertahankan Hippo Regius.

Mengambil keputusan untuk menyerang secara berdepan, percaturan silap tentera Rom membolehkan orang Vandals memenangi pertempuran yang berlaku, sehinggakan orang Rom terpaksa melarikan diri daripada Hippo Regius, membolehkan bandar tersebut dikuasai orang Vandals.

Kemuncak Empayar Vandal

Berjaya meluaskan empayar mereka dengan jayanya, penguasaan Vandals di Afrika memaksa Rom melakukan perjanjian sekali lagi dengan musuh mereka pada tahun 435.

Empayar Rom secara aman bersetuju untuk menyerahkan wilayah mereka yang telah jatuh ke tangan Vandals dan mengiktiraf Vandals sebagai pemerintah baru kawasan itu.

Namun orang Vandals masih kekal dengan tabiat mereka, sekali lagi orang Vandals tidak menghormati perjanjian dengan Rom, melanggar sempadan dan menawan bandar Carthage, menjadikan bandar tersebut sebagai ibu negara.

Orang Vandals kemudiannya bergerak lagi mahu menawan kawasan-kawasan lain di bawah penguasaan Rom.

Empayar Vandals pada zaman kemuncaknya menguasai wilayah di Afrika Utara, termasuklah lokasi Tunisia dan Algeria, kepulauan Sicily, Sardinia, Corsica, Mallorca, Malta dan Ibiza.

Berikutan kedudukan Afrika Utara sebagai penyumbang bekalan bijirin ke Empayar Rom bahagian barat terjejas, orang Rom di situ mula berdepan masalah kekurangan makanan.

Bagi mencapai kata sepakat serta mewujudkan keamanan di antara kedua-dua pihak, orang Vandals merancang agar anak kepada Raja Genseric yang bernama Huneric dikahwinkan dengan seorang puteri Rom bernama Eudocia dengan pertunangan mereka dilakukan lebih awal semasa usia Eudocia baru berumur 5 tahun.

Walaupun begitu, selepas ayah Eudocia, Raja Valentinian III dibunuh dan Eudocia mahu dikahwinkan dengan pengganti ayahnya, Raja Genseric mengambil langkah menyerang Rom.

Masuk ke Rom

Ketakutan berikutan kekuatan orang Vandal ketika itu, Empayar Rom tidak bertindak mempertahankan Rom dengan tentera dan cuba berunding dengan Raja Genseric.

Mereka bersetuju untuk membenarkan Vandals masuk ke Rom, asalkan tidak berlaku sebarang insiden kekacauan dilakukan.

Raja Genseric menghormati perjanjian tersebut, menggerakkan tenteranya masuk ke Rom lalu merampas semua harta yang ada di Rom ketika itu tanpa berlakunya sebarang kerosakan pada bangunan sedia ada dan tidak ada seorang pun nyawa terkorban.

Walau demikian, beberapa kumpulan askar Rom dan orang Rom ditangkap untuk dijadikan hamba.

Eudocia serta ibunya turut sama dibawa kembali ke Carthage dan 7 tahun berikutnya, Huneric dan Eudocia dikahwinkan.

Kejatuhan Empayar Vandals

Di bawah Raja Genseric, orang Vandals berubah daripada sebuah bangsa kecil yang terusir daripada tanah sendiri menjadi empayar yang cukup luas.

Selama lebih 50 tahun di bawah pemerintahannya, mereka mampu membangun dengan begitu pantas sekali.

Kematian Genseric membuatkan Huneric naik menggantikan ayahnya bagaimanapun, era pemerintahan beliau berdepan kesukaran akibat masalah perang saudara kerana perebutan takhta serta kesukaran ekonomi.

Selain itu, ancaman Empayar Byzantine yang terletak di Constantinople mula dirasai.

Walaupun pelbagai langkah cuba diperkenalkan untuk membantu meningkatkan ekonomi serta kualiti hubungan dengan negara lain, kebanyakannya menemui jalan buntu.

Cucu kepada Genseric, anak kepada Huneric dan Eudocia bernama Hilderic yang memerintah pada tahun 477 hingga 484 dengan gelaran 'Raja Orang Vandals' cuba menjalin hubungan dengan Empayar Byzantine namun tidak lama selepas itu, dia sendiri digulingkan orang Vandals di bawah arahan sepupunya sendiri, Gelimer.

Ini membuka peluang kepada Byzantine menyerang Vandals berikutan ketiadaan pemimpin. Raja Justinian I menjajah Vandals dan menewaskan raja terakhir orang Vandals iaitu Gelimer.

Menyedari empayar yang telah dibina mereka sudah jatuh ke tangan musuh, Gelimer melakukan perjanjian dengan Justinian I dengan bersetuju menukar agama Kristian Arian yang dianutinya, kepada Kristian Katolik yang menjadi agama rasmi orang Rom di bawah Empayar Byzantine.

Raja Gelimer ditawarkan sebuah estet yang terletak di Galatia (Anatolia, Turki ketika ini) dan dia menghabiskan sisa hidupnya di situ sebagai Raja terakhir orang Vandals, meninggal dunia pada tahun 553.

Oleh sebab itulah, mana-mana perbuatan merosakkan harta benda awam atau kekacauan kini cukup sinonim disebut sebagai 'perbuatan vandalisme', merujuk kepada orang Vandals yang merempat, tetapi berjaya meluaskan jajahan mereka dengan cara yang licik dan jahat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Saturday, June 27, 2020

Kisah Carl Emil Pettersson, Kelasi Yang Menjadi Raja Suku Kanibal

Kisah Carl Emil Pettersson, Kelasi Yang Menjadi Raja Suku Kanibal

Carl Emil Pettersson, pada usia 17 tahun, sudah mula bekerja sebagai seorang kelasi bersama sebuah syarikat perdagangan Jerman bernama Neuguinea-Compagnie yang beroperasi di kawasan kolonial terawal Jerman, German New Guinea yang kini digelar Papua New Guinea.

Carl Emil Pettersson Jadi Raja

Seorang rakyat Sweden, Carl lahir pada bulan Oktober tahun 1875, anak kepada Carl Wilhelm dan Johanna Pettersson, beliau hidup dalam keluarga yang menghadapi perceraian.

Takdir membawanya belayar diatas kapal dengan Carl banyak menghabiskan masa di lautan.

Pada hari Krismas tahun 1904 semasa menaiki kapal Herzog Johann Albrecht, kapalnya mengalami masalah dan tenggelam.

Carl bernasib baik di bawa arus sehingga terdampar di pantai yang terletak di sebuah pulau bernama Pulau Tabar, salah satu pulau di bahagian timur laut Papua New Guinea.

Bermata Biru

Carl membuka matanya dan mendapati dia berada di sebuah kawasan cantik, dipenuhi pokok bunga raya yang mengindahkan pandangan.

Walaupun begitu, pengalamannya sebagai kelasi kapal membuatkannya menyedari dia sebenarnya berada di sebuah pulau yang penduduknya masih lagi mengamalkan amalan kanibalisme.

Bagaimanapun, selepas ditangkap penduduk tempatan, Carl dibawa menghadap Raja mereka ketika itu, Raja Lamy yang tertarik dengan matanya yang kebiru-biruan.

Mungkin itu adalah kali pertama mereka melihat seseorang individu mempunyai mata berwarna biru, Raja Lamy membenarkan Carl tinggal di pulau mereka.

Bercinta dengan anak Raja

Tinggal di Pulau Tabar tanpa ada jalan pulang, Carl menghabiskan lebih 3 tahun hidup di kalangan penduduk dan belajar cara hidup masyarakat di situ.

Kerajinan Carl memikat hati anak kepada Raja Lamy, Puteri Singdo dan pada tahun 1907, Carl dan Puteri SIngdo dikahwinkan mengikut adat istiadat kaum Pulau Tabar.

Perkahwinan mereka membuka jalan kepada Carl untuk mula memberanikan diri cuba memperkenalkan perkara yang dia tahu kepada masyarakat di situ.

Carl menggunakan kemahirannya dan mula memulakan tempat pemprosesan kelapa kering untuk dijual selain berjaya membina sebuah ladang kelapa, bagi memenuhi permintaan pembeli.

Budaya baru yang diperkenalkan Carl membuatkan penduduk di situ mula menerima beliau sebagai sebahagian daripada mereka.

Akhirnya, selepas kematian ayah mertua beliau Raja Lamy, Carl dinaikkan sebagai pengganti takhta dan menjadi Raja baru Tabar.

Penabalan Carl sebagai Raja Tabar sampai ke pengetahuan wartawan di Sweden yang menerbitkan artikel berkenaan kisah beliau.

Jejak mencari permaisuri

King Carl Emil Pettersson

Hasil perkahwinan dengan Permaisuri Singdo, Raja Carl dikurniakan sembilan orang anak.

Keluarga besar itu tidak menghalang pembukaan dua lagi ladang di jajahannya, di kawasan Maragon dan juga Londolovit.

Malangnya, ekoran fasiliti kesihatan yang masih belum lengkap serta sistem penjagaan yang kurang baik, Permaisuri Singdo mengalami jangkitan kuman di rahim yang menyebabkannya sakit dan meninggal dunia pada tahun 1921, 14 tahun selepas perkahwinan mereka.

Mempunyai anak-anak yang masih kecil, Raja Carl pulang ke Sweden bagi mencari calon isteri baru dan berkahwin dengan seorang wanita bernama Jessica Louisa Simpson pada tahun 1923.

Selepas berkahwin, Raja Carl dan Permaisuri Jessica pulang ke Pulau Tabar, mendapati operasi pemprosesan kelapa mereka sudah diabaikan tanpa sesiapa mengawalnya.

Detik akhir Raja Carl Emil Pettersson

Usaha mengembalikan semula kilang dan ladang kelapa mereka sukar, berikutan beban kewangan yang perlu mereka tanggung.

Rahsia wujudnya lombong emas di salah satu pulau di bawah jajahannya pula telah diketahui pihak-pihak tertentu dan menyukarkan beliau untuk mendapatkan emas daripada kawasan tersebut.

Raja Carl dan Permaisuri Jessica akhirnya diserang penyakit malaria dan terpaksa mendapatkan rawatan, dengan Australia menjadi pilihan mereka.

Jessica sampai ke Australia terlebih dulu, bagi mendapatkan rawatan sebelum Carl tiba di sana.

Walaupun berjaya mendapatkan rawatan serta kembali ke Sweden, Permaisuri Jessica menghembuskan nafas terakhir pada 19 Mei 1935 di Stockholm dan Carl yang masih berada di Australia tidak dapat berada di sisi isterinya.

Lebih malang lagi, Carl akhirnya meninggal dunia di Sydney, Australia pada 12 Mei 1937 selepas terkena serangan sakit jantung. Harapannya untuk kembali ke Sweden hancur berkecai.

Tidak diketahui adakah Carl meneruskan kehidupan sebagai seorang kanibal selepas terdampar di Pulau Tabar.

Dan tidak diketahui apa yang terjadi pada anak-anak hasil perkahwinannya dengan mendiang Permaisuri Singdo selepas itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi