Friday, July 24, 2020

4 Masjid Terkenal Yang Kini Di Jadikan Gereja


Kontroversi pengembalian status masjid bersejarah Masjid Aya Sofya atau Hagia Sophia yang terletak di ibu negara Turki, Istanbul, pasti akan terus kedengaran dengan masyarakat antarabangsa khasnya komuniti pemimpin barat melihat apa yang dilakukan kerajaan Turki, di bawah pimpinan Reccep Tayyip Erdogan sebagai jalan mudah untuk menaikkan imej kerajaannya.

Masjid Hagia Sophia
Hagia Sophia.

Banyak pihak menentang pertukaran ini kerana merasakan status muzium lebih sesuai dengan sejarahnya.

Tetapi mereka seakan lupa bahawa perkara sama sebenarnya telah berlaku banyak kali, melibatkan masjid yang ditukarkan kepada gereja.

Dibawah ini adalah 4 gereja yang dahulu sebenarnya adalah sebuah masjid.

1. Masjid-Gereja Cordoba, Sepanyol

Masjid-Gereja Cordoba

Salah satu lokasi warisan sejarah dunia, Masjid-Gereja Cordoba atau nama rasminya mengikut penganut Kristian; Cathedral of Our Lady of the Assumption adalah bekas Masjid Besar Cordoba, yang dibina semasa kerajaan Islam menguasai Sepanyol khasnya wilayah Cordoba.

Tapak asal binaan itu pada awalnya merupakan sebuah gereja orang Visigoth yang dibeli oleh Abdul Rahman I selepas dia dan tenteranya menguasai Cordoba.

Berikutan pertukaran hak milik, kawasan itu mula dikongsi penganut ajaran Kristian dan orang Islam Cordoba dengan pembukaan masjid kecil.

Disebabkan pertambahan bilangan masyarakat Muslim di wilayah tersebut, binaan baru mula didirikan sekitar penghujung abad ke 8 oleh Abdul Rahman I bagi membesarkan bahagian masjid, dengan pembelian tanah yang menempatkan gereja.

Pembinaan dan pembesaran Masjid Cordoba berlaku dalam beberapa fasa yang berlanjutan sehinggalah abad ke 10.

Selepas kejatuhan kerajaan Islam oleh gerakan Raja Ferdinand III, Masjid Besar Cordoba jatuh ke tangan orang Kristian yang menukarkannya menjadi gereja sehingga ke hari ini.

Beberapa insiden pergaduhan serta kekasaran melibatkan individu Muslim yang cuba bersolat di situ, telah pun berlaku.

Kempen agar binaan tersebut membenarkan penganut Islam untuk beribadah di situ terus berjalan, agar sistem yang diamalkan Abdul Rahman I dapat dikembalikan.

2. Gereja Prophet Elijia, Thessaloniki, Greece

Gereja Prophet Elijia, Thessaloniki, Greece

Dikenali sebagai Masjid Sarayli semasa era kerajaan Uthmaniyah satu masa dulu, kini bekas masjid ini digelar sebagai The Church of Profitis Elias yang juga merupakan salah satu tapak warisan dunia, di bawah UNESCO.

Sejarah binaan ini pada mulanya cuba didiamkan dan hanya pada 1864, barulah rahsia sebenar binaan ini terbongkar.

Gereja Prophet Elijia sebenarnya merupakan sebuah masjid yang dinamakan Sarayli Camii, yang bermakna 'Masjid Istana' dalam bahasa Greek.

Beberapa kekeliruan tentang istilah 'Sarayli Camii' yang disangka merujuk kepada 'Santo Elie' semasa era kerajaan Byzantine menyebabkan penganut Kristian menamakan gereja mereka sempena Santo Elias, semasa pertukarannya kepada gereja sekitar abad ke 15, semasa Greece diperintah Empayar Uthmaniyah.

3. Sveti Sedmochislenitsi Church of Sofia, Bulgaria

Sveti Sedmochislenitsi Church of Sofia, Bulgaria

Kini sebuah gereja penganut Kristian ortodoks yang terletak di ibu negara Bulgaria, Sofia dahulunya dikenali oleh penduduk setempat dengan nama gelaran Chema Dzhamiya yang bermakna 'Masjid Hitam', disebabkan oleh batu granit yang digunakan dalam pembinaannya.

Nama rasminya adalah Koca Mehmed Pasha Mosque, dibina pada tahun 1528 oleh Raja Sulaiman semasa era pemerintahan Empayar Uthmaniyah.

Bagi mereka yang tidak tahu sejarah binaan ini pasti akan terkejut jika mereka mengetahui ia pada asalnya adalah sebuah masjid.

Bangunan masjid itu ditinggalkan selepas berlakunya revolusi di Bulgaria pada penghujung abad ke 19.

Berikutan kosong, masjid itu mula digunakan sebagai gudang simpanan senjata dan penjara.

Seorang arkitek Rusia bernama Alexander Pomerantsev mencadangkan agar masjid tersebut ditukar menjadi sebuah gereja pada tahun 1901.

Bermula pada bulan Mei tahun yang sama, kerja-kerja menambah baik dan mengubah masjid tersebut menjadi gereja dimulakan dan selesai pada bulan Mei tahun berikutnya.

4. Gereja Nossa Senhora da Anunciação, Portugal

Gereja Nossa Senhora da Anunciação, Portugal

Tahukah anda dari mana datangnya perkataan 'gereja'? Perkataan 'gereja' sebenarnya diambil daripada perkataan 'igreja' dalam bahasa Portugis.

Di Portugis, terdapat sebuah gereja yang dinamakan Igreja Nossa Senhora da Anunciação yang terletak di daerah Mertola, Alentejo.

Gereja ini dahulunya merupakan sebuah masjid yang dibina sekitar abad ke 12, dikenali dengan nama Masjid Mertola yang bertukar menjadi gereja atau 'Igreja' pada abad ke 13.

Binaan asal yang masih bercirikan Islam itu kekal sehinggalah abad ke 16, sebelum komuniti penganut Kristian di situ mula menukar rekaannya.

Binaan tiang-tiang minaretnya yang sebelum itu digunakan sebagai tempat melaungkan azan, dipasang dengan loceng.

Berikutan kerosakan yang berlaku ke atas binaan asal, apa yang tinggal daripada struktur asal Masjid Mertola hanyalah dinding luarannya serta beberapa pintu yang masih digunakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon