Tuesday, July 11, 2017

Sambutan Hari Populasi Sedunia, World Population Day

Sambutan Hari Populasi Sedunia, World Population Day

Sambutan Hari Populasi Sedunia, World Population Day disambut pada pada 11 Julai setiap tahun dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu berkaitan dengan perkembangan populasi manusia.

Hari Populasi Sedunia

Sambutan Hari Populasi Sedunia mula diperkenalkan pada tahun 1989 oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Sehingga kini jumlah populasi manusia ialah 7.324 bilion dan populasi manusia dijangkakan akan terus meningkat sehingga 9.2 bilion orang menjelang tahun 2050.

Statistik yang dikeluarkan oleh GeoHive menyatakan wilayah Afrika mempunyai kadar pertumbuhan populasi yang agak pantas berbanding dengan wilayah lain, diikuti wilayah Asia dan wilayah Amerika Latin.

Negara-negara wilayah Afrika diramalkan mengalami ledakan populasi yang tinggi. Kajian pada tahun 2000 meramalkan penduduk wilayah ini akan meningkat sebanyak 87 peratus pada tahun 2030 (1.5 bilion orang).

Negara Afrika seperti Nigeria, Ethiopia, Uganda dan Tanzania mempunyai kadar pertumbuhan populasi melebihi dua peratus setahun.

Sementara itu dijangkakan Bangladesh, India dan Afghanistan yang terletak di sebelah selatan tengah Asia akan mencapai kadar perkembangan populasi yang tinggi berbanding negara-negara lain di Asia iaitu sebanyak 1.6 hingga tiga peratus setahun menjelang tahun 2030.

Peningkatan populasi manusia ini sudah pasti diiringi dengan peningkatan keperluan bahan asas untuk kehidupan seperti tempat tinggal, makanan dan minuman.

Untuk meneruskan kelangsungan hidup, manusia amat bergantung kepada sumber-sumber alam semula jadi.

4 Cabaran utama

Sekurang-kurangnya terdapat empat cabaran besar yang sedang dan bakal ditempuhi dalam meniti arus perkembangan populasi manusia.

Cabaran-cabaran ini seharusnya dilihat secara serius untuk kita mengurus kehidupan dan menangani perubahan dengan baik pada masa hadapan.

a. Kesihatan

Cabaran pertama adalah untuk mengecap tahap kesihatan yang baik dalam kehidupan manusia. Pada ketika ini manusia sedang berhadapan dengan pelbagai bentuk penyakit yang semakin kompleks dan mencabar.

Di alaf baru ini kita dikejutkan dengan beberapa serangan penyakit baru yang muncul dengan pelbagai nama seperti wabak penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), selesema burung dan pelbagai penyakit pandemik yang amat merisaukan.

Selain itu manusia juga terus berhadapan dengan peningkatan jumlah penghidap HIV (AIDS).

Selain itu penyakit-penyakit lain seperti penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis terus bertambah saban waktu.

Amalan pemakanan dan gaya hidup yang jauh dari amalan kesihatan menyebabkan kehidupan manusia terus diburu dengan pelbagai masalah penyakit.

b. Pencemaran

Cabaran kedua adalah untuk menikmati alam sekitar yang bebas daripada pencemaran. Masalah pencemaran alam sekitar pada ketika ini semakin meruncing. Impak pencemaran alam sekitar kini dirasai pada skala global. Pemanasan bumi merupakan isu sejagat yang bakal menghimpit hidup masyarakat dunia.

Para saintis meramalkan pelbagai bencana alam luar jangka seperti banjir besar dan ribut taufan akan bertambah andainya fenomena ini terus berlaku.

Pencemaran alam sekitar yang berlaku juga akan mengakibatkan generasi akan datang berhadapan dengan krisis kekurangan sumber utama bahan asas kehidupan seperti air, tenaga dan makanan.

c. Kemiskinan

Cabaran ketiga yang bakal dihadapi oleh manusia ialah peningkatan masalah kemiskinan. Krisis inflasi dunia dijangka akan terus menyumbang kepada peningkatan jumlah rakyat termiskin di dunia.

d. Keamanan

Cabaran keempat, adalah untuk menikmati keamanan dunia yang jauh daripada sebarang penindasan dan peperangan. Peperangan telah menyebabkan kemusnahan manusia dan alam.

Sejak peperangan dunia kedua hingga kini krisis peperangan sering berlaku. Ia telah mengorbankan jutaan nyawa yang tidak berdosa.

Kesimpulan

Keempat-empat cabaran ini wajar diteliti oleh kita semua secara serius. Isu-isu yang boleh mengancam kesejahteraan hidup rakyat perlu ditangani secara bijaksana.

Hakikatnya ia tidak boleh dilihat sebagai suatu masalah, malah apa yang penting adalah bagaimana manusia pada hari ini menyusun kehidupan dan menilai cabaran mendatang untuk melakukan perubahan.

Selamat menyambut hari populasi sedunia.

BACA INI JUGA: Sambutan Hari Pelarian Sedunia, World Refugee Day

sumber: utusan