Friday, May 27, 2022

Cara Kita Menyapa Orang Lain Menunjukkan Kematangan

Cara Kita Menyapa Orang Lain Menunjukkan Kematangan

Di sekolah, kita tidak diajar secara khusus cara sapaan sosial yang betul. Oleh sebab itu kita kurang peka apakah kesan penggunaan gantinama yang tidak kena pada tempatnya.

Tanda Kematangan

Lazimnya kita akan memanggil orang yang lebih berusia sebagai Pakcik, Makcik, Kakak atau Abang. Yang muda biasanya dipanggil Adik.

Sebenarnya panggilan untuk orang yang tiada hubungan dengan kita tidak boleh disamakan dengan panggilan yang dikhaskan untuk ahli keluarga kita sahaja.

Sapaan sosial ialah gantinama yang kita gunakan untuk memanggil orang lain dan diri sendiri dalam percakapan dan penulisan.

Contoh sapaan sosial ialah panggilan seperti Ayah, Mama, Maklong, Tuan, Tuan Haji, Datuk, Dr., Tan Sri, Cik Puan, saya, depa, mu, hang, aku, kamu, Ayang, Along dan sebagainya.

Contohnya dalam bisnes dan urusan rasmi, cara yang betul memanggil pelanggan ialah Tuan, Puan, Saudara, Saudari, Encik, Puan atau jika kita tahu, boleh juga menggunakan gelaran yang sesuai dengan profesyen atau pangkat pelanggan tersebut seperti Cikgu, Puan Hajah dan Datin.

Sesetengah jurujual secara hentam keromo memanggil semua pelanggan wanita dengan panggilan Kakak dan orang lebih muda dipanggil Adik. Alasannya ialah cara itu menunjukkan kemesraan.

Gantinama seperti Kakak, Abang, Pakcik, Makcik dan Adik tidak sesuai digunakan dalam urusan bisnes dan urusan rasmi.

Kesopanan Dan Kesusilaan

Panggilan sebegitu bukan tanda mesra pelanggan sebaliknya menunjukkan sikap kurang adab dan berkemungkinan menjatuhkan martabat seseorang.

Ia juga membawa persepsi orang yang menggunakan gantinama itu kurang bijak (dalam memadankan taraf) dan boleh dianggap bersikap kurang ajar.

Cuba kita bayangkan situasi di mana seorang pelanggan lelaki dipanggil Abang sementara isterinya dipanggil Makcik. Bagaimana perasaan mereka?

Panggilan 'Abang' boleh menimbulkan salah faham kerana ia membawa mesej intim.

Andaikata si jurujual berusia lewat 20an dan isteri pelanggan itu pula baru awal 40an, sudah pasti panggilan 'Makcik' amat janggal.

Tidak Matang

Panggilan yang membawa persepsi mesra sangat berisiko dalam urusan rasmi. Ketika melayan pelanggan, kita perlu menunjukkan rasa hormat. Berwaspadalah jangan sampai kita memperlekehkan mereka pula.

Panggilan dengan gantinama yang betul menggambarkan adab dan kematangan seseorang, juga memberi persepsi tentang tahap pemikiran dan pendidikannya serta pengetahuan dalam penggunaan bahasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Thursday, May 19, 2022

Bagaimana Menentukan Kematangan?

Bagaimana Menentukan Kematangan?

Kematangan sukar untuk dijelaskan. Secara umum, menjadi matang ditakrifkan sebagai 'bersikap seperti orang dewas' dan kematangan tidak ditentukan dengan umur. Bagaimana kita memberi tindakbalas kepada suasana sekelilinglah yang menunjukkan kematangan.

Umur bukan tanda matang

Bagaimana kematangan seseorang itu boleh ditentukan?

Adakah kematangan seseorang itu akan datang pada umur-umur tertentu? Adakah kita akan matang pada umur 20, 30 atau 40?

Apakah yang menentukan ciri-ciri seorang yang matang?

Ada anak muda yang jauh lebih matang dari umur sebenarnya dan juga orang dewasa yang masih berkebudak-budakkan, hanya memikirkan tentang diri sendiri.

Sebagai seorang manusia, kita sentiasa berkembang dan belajar.

Kita semua pasti pernah merasa malu dan menyesal dengan sikap buruk kita pada masa yang lalu. Inilah yang membentuk kematangan.

Belajar daripada pengalaman dan tidak mengulangi kesilapan yang sama lagi.

Bagaimana ciri-ciri seorang yang matang?

1. Kematangan adalah bila kita berhenti meletakkan 'Ego' sebagai tindakbalas terhadap teguran daripada ibu bapa dan mereka yang lebih berpengalaman.

Ramai diantara kita yang meninggikan suara terhadap ibu bapa atau guru hanya kerana mereka memberi pandangan yang berbeza daripada kita?

2. Kematangan adalah apabila kita sedar bahawa privacy adalah penting. Tidak semua perkara dalam kehidupan kita perlu dipaparkan dalam Facebook.

3. Kematangan adalah apabila kita berhenti hidup dalam impian, tetapi sebaliknya cuba menghidupkan impian tersebut.

4. Matang adalah apabila kita berhenti melayari internet tanpa sebarang tujuan.

Melayari internet sepatutnya seperti membeli belah dengan senarai barang, ia seharusnya bertujuan.

Jika ada soalan, sila google. Bila sudah selesai, tutup! (Ya, anda boleh melayari internet diwaktu lapang, jika perlu)

5. Kematangan adalah apabila kita ingat terhadap semua janji yang telah dibuat. Pastikan semua janji tersebut dilaksanakan dan tidak berhenti selagi tidak dikotakan.

6. Matang adalah apabila kita mengambil tangggungjawab terhadap segala masalah yang kita telah lakukan.

7. Kematangan adalah apabila kita dapat belajar untuk mendengar.

Pinjamkan telinga untuk mendengar kisah dari rakan yang lari dari kesibukan dan ingin berkongsi dengan kita. Cuma dengar.

Jangan cadangkan apa-apa, jangan mempertikai dan jangan memberi reaksi berlebihan. Hanya biarkan mereka bercakap.

8. Kematangan adalah kita dapat bertahan dengan pujian atau kritikan.

Orang matang boleh menerima pujian atau kritikan tanpa membiarkan ia merosakkan atau mempengaruhi mereka ke dalam pandangan tidak benar tentang diri mereka.

Mereka yakin pada identiti diri sendiri.

9. Kematangan adalah apabila kita mula memberikan penekanan terhadap kepentingan ilmu.

10. Matang adalah apabila anda boleh memberi pendapat anda secara ringkas, mudah difahami dan positif.

11. Matang adalah apabila kita berhenti menipu diri sendiri dan orang-orang yang kita sayang.

12. Matang adalah apabila kita belajar untuk berhenti bertangguh.

13. Matang adalah apabila perkataan 'terima kasih' dan 'maaf' sentiasa mengalir dari mulut anda terhadap sesiapa yang membantu.

14. Matang adalah apabila kita boleh memikirkan nasib dan keadaan orang lain pada situasi yang lain daripada hidup kita.

Tanda-tanda matang

15. Matang adalah apabila kita sedar bahawa kesepian itu bukanlah satu perasaan yang menyedihkan. Kadangkala ia membantu kita melihat jawapan kepada persoalan yang belum terungkai.

16. Orang yang matang membuat keputusan bukan berdasarkan perasaan.

Orang yang matang, hidup dengan nilai. Mereka mempunyai prinsip yang menjadi panduan dalam membuat keputusan.

Setiap keputusan mereka tidak dipengaruhi oleh emosi.

17. Orang yang matang boleh diajar dan suka untuk diajar.

Orang yang matang tidak merasa pandai. Orang yang bijak sentiasa merasakan mereka memerlukan lebih banyak ilmu dan panduan.

Mereka tidak malu untuk mendengar nasihat daripada orang lain.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, May 03, 2022

10 Negara Yang Membenarkan Ganja Perubatan Dan Rekreasi

10 Negara Yang Membenarkan Ganja Perubatan Dan Rekreasi

Perdebatan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan masih hangat diperdebatkan termasuk di Malaysia walaupun sebilangan negara sudah membenarkan penggunaan ganja secara sah.

Ganja Perubatan Dan Rekreasi

Ini termasuklah untuk tujuan perubatan yang dipercayai mampu bertindak sebagai terapi bagi pesakit gangguan saraf, autisme, kemurungan, parkinson dan kanser.

Pada Disember tahun 2020, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi untuk mengeluarkan marijuana (ganja) daripada Jadual IV, Konvensyen Tunggal Dadah Narkotik 1961.

Ini bermakna kanabis dan resinnya tidak lagi tersenarai sebagai narkotik berisiko seperti heroin.

Meskipun beitu, kajian tentang ganja untuk perubatan masih dilakukan sehingga kini.

Berikut adalah negara-negara di dunia yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan dan rekreasi.

1. Kanada

Dipetik New York Times, Kanada telah membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan sejak tahun 2001.

Tidak hanya itu, dianggarkan 33,000 pesakit di Kanada termasuk pesakit kanser berdaftar sebagai penerima ganja daripada pengeluar berlesen.

2. Itali

CNN melaporkan pengambilan ganja bukan kesalahan jenayah di Itali. Negara itu juga membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

Bagaimanapun, penjualan, pembelian dan penanaman ganja secara terbuka adalah perbuatan jenayah.

3. Argentina

Pada tahun 2020, Argentina mengizinkan rakyatnya menanam ganja di rumah mereka untuk tujuan kesihatan.

Selain itu, kerajaan negara itu membenarkan penghasilan minyak, krim dan produk berasaskan ganja.

4. Australia

Canberra, Australia, menjadi wilayah pertama di negara itu yang membenarkan penggunaan ganja untuk rekreasi dan penanaman pada 2019.

Canberra turut membenarkan individu berusia 18 tahun ke atas memiliki 50 gram ganja.

Bagaimanapun, Australia membenarkan pengambilan marijuana oleh pesakit mendapat preskripsi doktor sahaja.

Penanaman marijuana dan industri ubatan dikawal ketat serta memerlukan lesen khas.

Mereka hanya dibenarkan untuk menanam dua pokok ganja setiap orang atau empat pokok bagi sebuah rumah.

Pun begitu, menanam ganja secara besar-besaran masih lagi perbuatan jenayah.

5. Mexico

Pada Mac 2021, anggota parlimen Mexico bersetuju dengan cadangan membenarkan ganja sebagai kegunaan rekreasi.

Malah, negara itu bakal menjadi sumber pembekal ganja terbesar dunia selepas Amerika Syarikat.

Bagi penduduk negara itu yang ingin mendapatkan ganja secara sah, mereka mesti memohon permit daripada pihak berkuasa namun hanya 28 gram dibenarkan bagi setiap orang.

6. Uruguay

Uruguay menjadi negara pertama yang membenarkan penjualan ganja pada tahun 2013.

7. Afrika Selatan

Pada tahun 2018, Afrika Selatan membenarkan penggunaan ganja secara peribadi meskipun pernah mendapat tentangan daripada sistem perundangan dan pembangkang.

Kerajaan negara itu melihat ganja sebagai penyumbang ekonomi negara kerana ia boleh dijual sebagai ubat mengurangkan rasa sakit, ubat tidur dan rawatan wajah.

8. Belanda

Walaupun secara teknikalnya ganja adalah barang larangan di Belanda, tetapi pemilikan ganja kurang daripada lima gram adalah sah. Malah di negara itu adalah perkara biasa melihat ganja di jual di kedai kopi.

9. Britain

Produk ganja perubatan telah dibenarkan di bawah keadaan tertentu di Britain, dengan lebih 80,000 doktor pakar layak untuk memberikan produk berasaskan ganja.

Menurut satu garis panduan yang diterbitkan oleh Perkhidmatan Kesihatan Nasional, mereka dibenar memberikan ganja perubatan hanya apabila "terdapat bukti jelas berkaitan manfaat" dan pilihan rawatan lain telah kehabisan.

Peraturan baharu berkaitan ganja perubatan dibuat selepas kes dua kanak-kanak, Alfie Dingley dan Billy Caldwell yang mengalami epilepsi teruk, telah bertambah baik dengan rawatan minyak ganja.

Kempen ibu bapa mereka telah berjaya membawa perubahan dalam perundangan.

10. Thailand

Thailand membenarkan penggunaan marijuana untuk perubatan pada tahun 2018, tetapi tujuan rekreasi tidak dibenarkan sama sekali.

Setiap keluarga dibenarkan menanam enam pokok sahaja. Ini menjana pendapatan sampingan sebagai pembekal di hospital, industri makanan dan kosmetik.

Menurut rekod, antara negara selain diatas yang membenarkan marijuana (hemp/ganja) perubatan ialah Croatia, Denmark, Finland, Jerman, Ireland, Lebanon, New Zealand, Portugal, Sri Lanka, Switzerland dan Zimbabwe.

Undang-undang Lapuk

Individu di Malaysia yang mempunyai lebih 200 gram marijuana boleh dikenakan hukuman mati atas sabit kesalahan mengedar dadah, manakala mereka yang mempunyai 50 gram ke bawah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Undang-undang yang mengharamkan kanabis di Malaysia telah wujud sejak zaman pra-kemerdekaan lagi, menerusi Ordinan Dadah Merbahaya 1952 yang diperkenalkan pentadbiran British di Tanah Melayu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (mstar)

Thursday, April 28, 2022

Pemakaian Pelitup Muka Di Luar Bangunan Dan Imbasan MySejahtera Tidak Lagi Wajib Bermula 1 Mei 2022

Pemakaian Pelitup Muka Di Luar Bangunan Dan Imbasan MySejahtera Tidak Lagi Wajib Bermula 1 Mei 2022

Imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam mulai 1 Mei 2022 ini, bagaimanapun, orang ramai digesa supaya mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.

Wajib pakai topeng muka

Aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk antara lain melaporkan keputusan ujian pengesanan Covid-19 dan arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) kerana ia penting kerajaan untuk membantu dalam pencegahan dan kawalan wabak itu.

Sejajar dengan fasa peralihan ke endemik, MySejahtera, sebagai aplikasi kesihatan awam akan ditambah baik dengan pengenalan ciri-ciri baharu.

Hotspot Tracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes Covid-19, kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit-penyakit lain iaitu rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi.

Pada sidang akhbar di Putrajaya, Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di luar bangunan.

Ini mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik.

Walau bagaimanapun, KKM menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar Ramadhan, pasar malam dan stadium.

Pemakaian pelitup muka juga digalakkan kepada individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema serta individu yang berisiko tinggi.

TETAP WAJIB KETIKA DALAM BANGUNAN, TEMPAT TERTUTUP

Namun, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan di dalam pengangkutan awam termasuk e-Hailing.

Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan.

Khairy turut mengumumkan bahawa orang ramai dibenarkan masuk ke mana-mana premis tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis adalah individu positif Covid-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap.

Individu dalam tempoh HSO termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia.

Pelitup muka bagaimanapun boleh ditanggalkan semasa melakukan senaman berat di dalam bangunan tetapi ia hendaklah segera dipakai semula setelah selesai melakukan senaman tersebut.

Ia juga boleh ditanggalkan sekiranya berseorangan di dalam suatu ruang, ketika sedang makan, minum, sedang berucap atau membuat persembahan.

Sementara itu, penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak lagi diperlukan.

Mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang, maka penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak diperlukan.

Namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Thursday, April 21, 2022

Mengenali Orang Bijak

Mengenali Orang Bijak

Hanya orang bijak dapat mengenali mereka yang mempunyai kepandaian serupa, seperti pemuzik terkenal dapat mengenali antara satu sama lain apabila mendengar nada atau rentak yang dimainkan oleh pemuzik lain.

Kenali Orang bijak

Orang kurang bijak pula biasanya tidak mempunyai keupayaan untuk mengenali orang pintar melainkan diberitahu.

Berikut antara cara-cara mengenali orang pintar dan mereka yang kurang bijak:

Kebiasaannya orang bijak dapat menjelaskan sesuatu idea yang kompleks dengan menggunakan bahasa dan istilah mudah serta ringkas. Kadangkala idea yang disampaikan itu terasa cukup indah dan anggun.

Antara tokoh yang mempunyai keupayaan sedemikian ialah ahli fizik, Albert Einstein yang dikenali menerusi teori relativiti.

Sementara itu, orang yang kurang bijak sering menggunakan ungkapan berbunyi hebat dan besar serta cuba menunjuk-nunjuk apa yang dicakapnya sebagai sesuatu yang rumit bagi menerangkan idea yang sebenarnya mudah.

Jika anda sehingga kini masih keliru dan tidak faham apa yang mahu disampaikan walaupun ucapan terbabit berbunyi hebat, maka individu yang berucap itu bukanlah seorang yang bijak.

Orang bijak juga boleh meluahkan idea sangat bernas, asli dan unik berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya manakala orang kurang bijak hanya mengulangi apa yang mereka dengar daripada orang lain sehingga terdetik dalam hati kita, ungkapan itu seolah-olah pernah didengar sebelum ini.

Orang kurang bijak juga biasanya tidak menerima idea-idea orang lain yang bertentangan dengan mereka.

Orang pintar pula cenderung mencari persamaan yang wujud daripada idea-idea baharu dikemukakan oleh orang lain.

Seseorang yang tidak sabar-sabar untuk menunjukkan kepada anda betapa pintarnya mereka sudah tentu bukan seorang yang bijak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, April 19, 2022

Alam Semulajadi Ada Caranya Memberi Amaran Bahaya!

Alam Semulajadi Ada Caranya Memberi Amaran Bahaya!

Alam, seperti lautan, adalah satu tempat yang indah, menarik dan mempesonakan namun, kecantikan ini hadir bersama dengan amaran kerana tempat ini juga boleh jadi berbahaya.

Bersyukurlah, alam semula jadi ada caranya untuk memberi amaran kepada kita tentang bahaya ini sebelum ianya terjadi, tetapi kalau anda tidak tahu tanda-tanda ini, anda mungkin akan menjadi mangsa kepada bencana alam semula jadi terburuk.

1. Ombak Berkotak Di Laut

Ombak-Petak

Apabila dua sistem ombak bertembung di laut, corak petak atau berkotak akan muncul. Ia memang nampak cantik dan menarik tetapi rupanya boleh menipu kerana ia adalah sangat berbahaya sehingga boleh meragut nyawa anda dan memusnahkan kapal besar.

Terdapat ombak yang sangat deras di bawah permukaan air berkotak ini yang cukup kuat untuk menarik anda ke laut dalam.

2. Aras Laut Yang Surut

Laut surut

Apabila air laut di sepanjang persisiran Laut China Selatan mula surut, anda mungkin diancam bahaya Tsunami. Anda perlu pergi ke tempat yang selamat segera. Tsunami selalunya terjadi apabila gempa bumi terjadi di bawah laut dan air di permukaan atas berkocak dan ombaknya bergerak selaju 500 batu sejam merentasi lautan.

3. Pokok Berbentuk J

Pokok berbentuk J

Sekiranya anda melalui kawasan hutan, mungkin ketika sedang hiking, dan anda menemui sekumpulan pokok berbentuk J, itu adalah petanda jelas bahawa tanah runtuh bakal terjadi.

Pokok-pokok ini telah membengkok secara perlahan-lahan kerana pergerakan tanah yang beransur-ansur susut. Nasib baiklah anda baru sahaja terlepas dari bencana.

4. Awan Dinding Di Langit

Awan dinding

Awan dinding merupakan petanda kepada ribut kilat. Oleh kerana tekanan udara meningkat dengan cepat, awan selalunya turun rendah dari ribut untuk membentuk awan dinding yang boleh mencecah sepanjang 5 batu.

Namun, putaran awan dinding boleh membawa kepada ribut tornado atau puting beliung yang memusnahkan.

5. Haiwan Lari Dari Habitatnya

Apabila tikus, serangga dan ular lari dari habitatnya, sudah masanya untuk anda mempertimbangkan perkara yang sama juga. Sejak 373 Sebelum Masihi, ada laporan tentang insiden pelarian ini oleh haiwan yang melarikan diri dari gempa bumi yang besar.

Tetapi, anda perlu melarikan diri dengan lebih cepat kerana gempa bumi bakal berlaku dalam masa beberapa saat sahaja.

6. Haiwan Berlari Ke Arah Manusia

Apabila burung dan haiwan mamalia berlari ke arah manusia, ia sebenarnya sedang melarikan diri ke arah tempat selamat dari kebakaran hutan. Sekiranya anda tidak pasti, lihat ke belakang mereka dan anda akan melihat asap dari kebakaran hutan. Minta bantuan segera!

7. Rambut Berdiri Tegak

Rambut tegak

Petanda biasa akan terjadinya kilat termasuk: barang kemas bergetar dan rambut anda berdiri tegak. Petanda ini bermaksud kilat akan memancar di kawasan berhampiran, jadi anda perlu cari tempat perlindungan segera.

Sekiranya terlambat, berbaring meniarap di atas tanah dengan muka ke bawah sehingga kilat tersebut berhenti.

8. Cincin Di Sekeliling Matahari atau Bulan

Fenomena Halo

Sekiranya anda ternampak cincin halus bersinar yang nampak seolah-olah halo misteri di sekeliling matahari atau bulan, itu adalah petanda berbahaya.

Ada beberapa perkara yang berlaku sebelum terjadinya ribut. Hujan mungkin sedang menuju ke arah anda dan akan turun dengan lebatnya dalam masa 24 ke 48 jam. Itu masa yang mencukupi untuk segera bergerak ke tempat yang selamat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thetravelbreeze

Wednesday, August 25, 2021

Tuhan Menjawab Penghina Siti Sarah Dengan Cara Yang Amat Indah

Tuhan Menjawab Penghina Siti Sarah Dengan Cara Yang Amat Indah

Bersalin di dunia, berpantang di syurga. Ditidurkan di dunia, terjaga di syurga. Begitulah lebih kurang kisah yang dikaitkan dengan Siti Sarah Raissuddin. Pun begitu hal-hal ghaib dan alam akhirat sudah pasti tertakluk secara mutlak kepada kehendak Yang Maha Esa.

Siti Sarah

Yang tular sekian lama jika si suami memanggil isterinya bidadari ialah Ebit Lew. Panggilan romantis suami terhadap isteri disaran persis Rasulullah SAW memanggil Siti Aisyah sebagai Ya Humaira bermaksud 'wahai si merah jambu'.

Lalu, hijab kita bagaikan dibuka selepas kepergian Siti Sarah apabila ramai menyifatkan penghibur itu bak bidadari.

Sejurus selepas jenazah Siti Sarah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, bertali arus akhbar dan media sosial memuji-muji kebaikan dan budi pekerti penyanyi tersebut.

Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, adalah antara tokoh berprofil tinggi yang turut mengutus takziah.

Kalangan pelakon dan penyanyi juga tidak terkecuali. Ada yang menitiskan air mata. Misalnya Siti Nurhaliza yang sebak ketika menyanyikan lagu Bidadari Syurgaku secara maya mengenangkan Siti Sarah.

Ramai wartawan juga berkongsi momen masing-masing bersama Siti Sarah lalu satu demi satu kebaikan dilakukan arwah - termasuklah korban di Palestin - diceritakan.

Tak mudah membawa diri

Berita kematian Siti Sarah dikongsi seorang instafamous Korea Selatan dan dimuat di portal BBC News.

Namun lebih mahal ialah solat jenazah ghaib yang dilaksanakan di Masjidil Haram sepertimana dikongsi suaminya, Shuib.

Bukan calang-calang artis kita itu rupanya kerana berita kematiannya disiar di BBC News dan dapat solat ghaib dari Tanah Suci.

Apakah istimewanya Siti Sarah yang kita tidak - atau belum - tahu?

Lalu apakah amalan Siti Sarah hinggakan darjatnya diangkat sebegitu mulia?

Manusia itu fitrahnya memang selalu alpa dan lupa. Justeru dalam limpahan puji-pujian yang dihamparkan buat Siti Sarah, bagaimana agaknya orang-orang keji yang selama ini selalu menghina dia?

Bukan mudah membawa diri sebagai Siti Sarah apabila sering dijadikan bahan cercaan dan dipersenda sejak di sekolah rendah sehinggalah menjadi artis.

Seorang rakan Siti Sarah ketika mereka sama-sama menuntut ilmu di Sekolah Rendah AU Keramat, Farrah Nadzirah Kamal (gambar), berkata peyanyi terbabit memang periang namun kurang menyerlah jika dibandingkan dengan Nurfatimah yang juga belajar di situ.

Antara isu yang selalu menjadi bahan sendaan orang ialah aspek fizikal Siti Sarah. Dia selalu diejek kerana itu.

Di peringkat awal menjadi artis pun Siti Sarah selalu dipersenda. Cuma mungkin kerana itu belum ada media sosial, kebiadaban cercaan itu tidaklah terlalu teruk. Atau ia tidak tersebar dengan meluas.

Tak boleh hadapi tekanan

Selepas ada media sosial, ia menjadi lebih serius sehinggakan ada dua tiga kali Siti Sarah tampil bagi jawab penghinaan netizen terbabit. Malah ada antara orang yang menghina itu adalah wanita bertudung.

Siti Sarah menjawab: "Masuk sekolah rendah dah biasa, masuk sekolah menengah? Hampir setiap hari kena ejek (tentang) hidung, hidung, hidung. Sampai kadang-kadang mengelak nak naik bas, tunggu dah tak ramai baru naik bas.

"Pernah terlintas di hati, aku nak pergi buat (pembedahan) hidung supaya orang tidak boleh cakap lagi, tapi apabila fikir balik cantik bagaimana (pun) orang akan kutuk."

Tidak seperti segelintir artis, Siti Sarah reda dengan kurniaan Tuhan. Maka dia tetap bersahaja dan tidak perlu membuat pembedahan plastik bagi mencantikan hidungnya.

Perihal gigi Siti Sarah pula dia pernah diperli seorang netizen: "Buat treatment (rawatan) apa untuk rapatkan gigi yang jarang tanpa memakai braces (pendakap)?"

Pada Januari 2018, warna kulit Siti Sarah dipersoalkan.

Lalu dia menjawab: "Ramai yang kutuk Sarah kata sebenarnya Sarah hitam tetapi edit gambar. Secara jujurnya saya memang tidak putih macam orang putih. Tapi kalau nak bandingkan dulu memang saya lebih cerah sekarang sebab saya mengambil produk. Saya pakai losyen, sabun dan pil untuk kulit lebih cerah.."

Mac 2018 penjelasan Siti Sarah kepada netizen yang menghina dan mengutuknya agak beremosi apabila dia menulis: "Awak tak hadap apa yang saya hadapi. Saya memang kuat untuk hadapi banyak benda. Tetapi saya tahu ramai orang yang tak boleh hadapi tekanan apabila dikutuk dipanggil gorila, negro, badak, ba*i dan seangkatan dengannya. Siapa yang tahan..."

Nah, sekarang apakah kita faham mengapa kedudukan Siti Sarah itu diangkat? Harus diingat sehebat mana pun manusia ini, kita tetaplah hamba.

Tidak ada hak untuk kita menghina dan mengutuk paras rupa seseorang insan itu.

Hal ini sudah diperjelaskan dalam Surah al-Hujurat ayat 11: "Wahai orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermainkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi kaum yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula ada golongan perempuan yang mempermainkan perempuan yang lain (kerana) boleh jadi perempuan yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran-gelaran buruk. Dan barang siapa tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Jelaslah di sini, kepulangan Siti Sarah ke alam abadi bukan sekadar berita sedih buat ramai orang. Bahkan ia adalah sindiran Tuhan buat jari-jari jahat manusia yang sebelum ini mengejek, mengutuk dan menghina Siti Sarah.

Tuhan menjawab penghinaan mereka itu dengan cara yang amat indah. Al-Fatihah.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Thursday, May 27, 2021

Bau Pudina Penghalau Tikus Ampuh!

Bau Pudina Penghalau Tikus Ampuh!

Tikus adalah sejenis haiwan yang kehadirannya tidak diundang di rumah kita kerana selain gemar merosakkan barang dan mencuri makanan, ia juga mampu menyebarkan pelbagai penyakit, bagaimanapun membasminya bukan perkara mudah kerana ia adalah haiwan pemusnah yang cukup licik dan bijak melarikan diri.

Halau Tikus

Tetapi sebenarnya terdapat sejenis minyak yang boleh digunakan untuk menghalang tikus daripada mendekati rumah anda iaitu minyak pudina.

Meskipun penggunaan bahan semula jadi jarang berhasil namun minyak pudina dikatakan berkesan kerana ia mempunyai hubung kait dengan sifat tikus yang tidak gemar akan baunya.

Menanam pokok pudina di sekeliling rumah juga membantu menghalau tikus.

Seperti mana yang kita tahu, penglihatan tikus sangat terhad tetapi deria baunya sangat tajam. Tikus cukup sensitif dengan bau pudina yang menyengat hidungnya.

Sementara itu, anda juga boleh meletakkan pokok pudina di sekeliling rumah atau kawasan laluannya agar ia takut mendekati rumah anda.

Minyaknya pula boleh disembur atau ditaburkan di laluan atau lubang tempat dipercayai membolehkan tikus meloloskan diri masuk ke dalam rumah terutamanya dapur.

Dengan cara ini ia tidak akan berani mendekati rumah anda kerana bau pudina itu sudah cukup menjadi ancaman kepadanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: mstar