Tuesday, May 03, 2022

10 Negara Yang Membenarkan Ganja Perubatan Dan Rekreasi


Perdebatan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan masih hangat diperdebatkan termasuk di Malaysia walaupun sebilangan negara sudah membenarkan penggunaan ganja secara sah.

Ganja Perubatan Dan Rekreasi

Ini termasuklah untuk tujuan perubatan yang dipercayai mampu bertindak sebagai terapi bagi pesakit gangguan saraf, autisme, kemurungan, parkinson dan kanser.

Pada Disember tahun 2020, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi untuk mengeluarkan marijuana (ganja) daripada Jadual IV, Konvensyen Tunggal Dadah Narkotik 1961.

Ini bermakna kanabis dan resinnya tidak lagi tersenarai sebagai narkotik berisiko seperti heroin.

Meskipun beitu, kajian tentang ganja untuk perubatan masih dilakukan sehingga kini.

Berikut adalah negara-negara di dunia yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan dan rekreasi.

1. Kanada

Dipetik New York Times, Kanada telah membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan sejak tahun 2001.

Tidak hanya itu, dianggarkan 33,000 pesakit di Kanada termasuk pesakit kanser berdaftar sebagai penerima ganja daripada pengeluar berlesen.

2. Itali

CNN melaporkan pengambilan ganja bukan kesalahan jenayah di Itali. Negara itu juga membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

Bagaimanapun, penjualan, pembelian dan penanaman ganja secara terbuka adalah perbuatan jenayah.

3. Argentina

Pada tahun 2020, Argentina mengizinkan rakyatnya menanam ganja di rumah mereka untuk tujuan kesihatan.

Selain itu, kerajaan negara itu membenarkan penghasilan minyak, krim dan produk berasaskan ganja.

4. Australia

Canberra, Australia, menjadi wilayah pertama di negara itu yang membenarkan penggunaan ganja untuk rekreasi dan penanaman pada 2019.

Canberra turut membenarkan individu berusia 18 tahun ke atas memiliki 50 gram ganja.

Bagaimanapun, Australia membenarkan pengambilan marijuana oleh pesakit mendapat preskripsi doktor sahaja.

Penanaman marijuana dan industri ubatan dikawal ketat serta memerlukan lesen khas.

Mereka hanya dibenarkan untuk menanam dua pokok ganja setiap orang atau empat pokok bagi sebuah rumah.

Pun begitu, menanam ganja secara besar-besaran masih lagi perbuatan jenayah.

5. Mexico

Pada Mac 2021, anggota parlimen Mexico bersetuju dengan cadangan membenarkan ganja sebagai kegunaan rekreasi.

Malah, negara itu bakal menjadi sumber pembekal ganja terbesar dunia selepas Amerika Syarikat.

Bagi penduduk negara itu yang ingin mendapatkan ganja secara sah, mereka mesti memohon permit daripada pihak berkuasa namun hanya 28 gram dibenarkan bagi setiap orang.

6. Uruguay

Uruguay menjadi negara pertama yang membenarkan penjualan ganja pada tahun 2013.

7. Afrika Selatan

Pada tahun 2018, Afrika Selatan membenarkan penggunaan ganja secara peribadi meskipun pernah mendapat tentangan daripada sistem perundangan dan pembangkang.

Kerajaan negara itu melihat ganja sebagai penyumbang ekonomi negara kerana ia boleh dijual sebagai ubat mengurangkan rasa sakit, ubat tidur dan rawatan wajah.

8. Belanda

Walaupun secara teknikalnya ganja adalah barang larangan di Belanda, tetapi pemilikan ganja kurang daripada lima gram adalah sah. Malah di negara itu adalah perkara biasa melihat ganja di jual di kedai kopi.

9. Britain

Produk ganja perubatan telah dibenarkan di bawah keadaan tertentu di Britain, dengan lebih 80,000 doktor pakar layak untuk memberikan produk berasaskan ganja.

Menurut satu garis panduan yang diterbitkan oleh Perkhidmatan Kesihatan Nasional, mereka dibenar memberikan ganja perubatan hanya apabila "terdapat bukti jelas berkaitan manfaat" dan pilihan rawatan lain telah kehabisan.

Peraturan baharu berkaitan ganja perubatan dibuat selepas kes dua kanak-kanak, Alfie Dingley dan Billy Caldwell yang mengalami epilepsi teruk, telah bertambah baik dengan rawatan minyak ganja.

Kempen ibu bapa mereka telah berjaya membawa perubahan dalam perundangan.

10. Thailand

Thailand membenarkan penggunaan marijuana untuk perubatan pada tahun 2018, tetapi tujuan rekreasi tidak dibenarkan sama sekali.

Setiap keluarga dibenarkan menanam enam pokok sahaja. Ini menjana pendapatan sampingan sebagai pembekal di hospital, industri makanan dan kosmetik.

Menurut rekod, antara negara selain diatas yang membenarkan marijuana (hemp/ganja) perubatan ialah Croatia, Denmark, Finland, Jerman, Ireland, Lebanon, New Zealand, Portugal, Sri Lanka, Switzerland dan Zimbabwe.

Undang-undang Lapuk

Individu di Malaysia yang mempunyai lebih 200 gram marijuana boleh dikenakan hukuman mati atas sabit kesalahan mengedar dadah, manakala mereka yang mempunyai 50 gram ke bawah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Undang-undang yang mengharamkan kanabis di Malaysia telah wujud sejak zaman pra-kemerdekaan lagi, menerusi Ordinan Dadah Merbahaya 1952 yang diperkenalkan pentadbiran British di Tanah Melayu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (mstar)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon