Friday, March 10, 2017

Apakah Hukumnya Tidur Selepas Subuh?

Apakah Hukumnya Tidur Selepas Subuh?

Hukum tidur selepas subuh serta dalil-dalil dan bagaimana kesannya kepada pekerja yang bekerja di awal waktu malam hingga lewat subuh?

Tidur lepas Subuh

Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tiada nas yang jelas menghalang seseorang untuk tidur selepas subuh. Oleh itu, hukum tidur selepas subuh kekal harus kerana tiada dalil yang menghalangnya.

Meskipun tiada nas yang menghalang untuk tidur selepas subuh namun terdapat banyak galakan untuk menghidupkan amalan selepas subuh.

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya, "Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar briged tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan)." Riwayat Abu Daud (2606). Syeikh Al-Albaani menilainya Sahih

Dalam sebuah hadis yang lain, diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah menghidupkan pagi selepas subuh dengan duduk berzikir sehingga terbitnya matahari.

Daripada Jabirah bin Samurah RA maksudnya, "Adalah Nabi SAW apabila selesai solat Fajar, Baginda duduk di tempat solatnya sehingga matahari terbit." Hadis riwayat Al-Tirmizi (585) dalam Sunannya. Menurut beliau, hadis ini hasan sahih.

Begitu juga dengan sebuah hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Siapa yang solat al-Ghadah (yakni solat Subuh) secara berjemaah kemudian duduk berzikir sehingga terbit matahari, lalu bersolat dua rakaat adalah baginya pahala haji dan umrah." Hadis riwayat al-Tirmizi (586) dalam Sunannya. Menurut beliau, hadis ini hasan gharib.

Jelas melalui hadis-hadis di atas, Nabi SAW amat menitikberatkan mengenai pengurusan masa lebih-lebih lagi di awal pagi bagi seseorang muslim.

Ini dilihat dengan amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dari segi berzikir mahupun keluar kerja untuk mencari rezeki dan disebabkan oleh itu juga para ulama’ amat menjaga waktu selepas subuh mereka agar dipenuhi dengan perkara yang berfaedah lagi berpahala.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya Fath al-Bari yang mana telah disebutkan bahawa rezeki itu dibahagi-bahagikan selepas solat subuh dan amalan-amalan diangkat dipenghujung waktu siang. Bagi siapa yang pada waktu tersebut dalam ketaatan, maka akan diberkati rezeki dan amalannya.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad pula menyebutkan bahawa tidur waktu subuh menghalang rezeki kerana pada waktu itu adalah waktu meminta padanya makhluk hidup akan rezeki dan ianya adalah waktu di mana dibahagi-bahagikan rezeki dan tidur pada waktu tersebut adalah dilarang kecuali berlaku sesuatu yang tidak dapat dielakkan ataupun darurat. Kami juga dikhabarkan bahawa Buya Hamka juga tidur selepas subuh.

Setakat pengamatan kami juga, hadis-hadis yang menceritakan tentang larangan serta cemuhan bagi mereka yang tidur selepas subuh tidak terlepas dari kritikan sama ada terlalu lemah statusnya ataupun bertaraf palsu.

Kesimpulan

Kami mendapati bahawa tiada larangan melalui nas yang jelas mengenai pengharaman tidur selepas subuh.

Oleh itu, tiada halangan bagi mereka yang ingin tidur selepas subuh namun yang terbaiknya adalah dengan meninggalkannya berdasarkan hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan menghidupkan waktu selepas subuh.

Pernah ditanyakan kepada al-Imam Malik Rahimahullah mengenai tidur selepas solat subuh maka jawab al-Imam Malik, “Aku tidak mengetahui akan pengharamannya.

Disebutkan bahawa bumi mengeluarkan bunyi yang kuat dari tidurnya ulama’ pada waktu dhuha kerana takut mereka lalai pada waktu tersebut”.

Makanya, tidak menjadi satu kesalahan bagi mereka yang bekerja malam dan terpaksa tidur pada siangnya selepas subuh kerana telah menjadi sebahagian dari tugasnya untuk bekerja pada waktu malam lalu berehat pada waktu paginya demi menjalankan tugas pada keesokan malamnya pula.

Wallahu a’lam.

Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan

BACA INI JUGA: Hadis Palsu Larangan Mengarut Ketika Berjimak

Sumber: muftiwp

Friday, February 17, 2017

Fatwa Keharusan, Hukum Pelaburan ASN Dan ASB

Fatwa Keharusan, Hukum Pelaburan ASN Dan ASB

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan mengenai pelaburan dalam ASN, ASB dan seumpamanya dan memutuskan seperti dibawah.

ASB

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudaratan yang lebih besar, hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Hifz al-mal merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam.

Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudaratan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.

Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar. Dalam hal ini, Maybank adalah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik.

Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan bumiputera Islam juga akan turut terjejas.

Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengetepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.

Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima (5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam.

Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan.

Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat daripada aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambil kira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.

Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi.

Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan dimana 70 peratus pelaburan menepati syariah, hanya 30 peratus sahaja pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak menepati syariah.

Dalam keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram.

Menurut sebahagian besar fuqaha iaitu, Hanafi, Maliki, Syafi'e dan Hambali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas.

Ini kerana fuqaha muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.

PNB telah melaksanakan perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan penguasaan umat Islam. Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan kemudaratan yang lebih besar perlu dielakkan.

(Fatwa ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-80 yang bersidang pada 1 hingga 3 Februari 2008). -JAKIM

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, February 15, 2017

Isu 'Valet Doa' Dan Ini Penjelasan Mufti

Isu 'Valet Doa' Dan Ini Penjelasan Mufti

Selepas viral satu perkhidmatan atau servis kiriman doa dan hajat ditempat-tempat tertentu di Masjidil Haram, Mekah, mencetuskan kemarahan orang ramai, akhirnya mufti wilayah persekutuan tampil memberikan penjelasan dan mahu pakej-pakej Valet Doa segera dibatalkan.

Valet Doa

Perkhidmatan Valet Doa, menurut pemilik akaun tersebut, Nasrin Harin atau Haji Arin, diwujudkan untuk memudahkan mereka yang tidak mampu ke Mekah dan berdoa di sana.

Berdasarkan status akaun Facebook, perkhidmatan Valet Doa boleh dibeli dengan harga sekitar RM250 hingga RM5,000, berdasarkan pakej-pakej yang telah ditawarkan, antaranya pakej Pakej King Salman dan Pakej VVIP.

Menurut Nasrin lagi, pembeli pakej boleh memilih mana-mana lokasi di Tanah Suci untuk doa mereka dibacakan.

Valet Doa mendapat kritikan selepas viral kerana seolah-olah menggambarkan kemewahan, selain tanggapan bahawa doa dijamin akan dimakbulkan.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan isu Valet Doa

Valet Doa

Setelah kami meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej dengan harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa, dengan ini kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya, dan tidak mengikut syariat.

Ini kerana, tiada dalam sejarah dan juga adab di kalangan salafussoleh berbuat demikian. Hatta bila Nabi SAW mahu menyertakan doa Saidina Umar RA dengannya, tiada sebarang syarat kewangan, upah atau bayaran yang dikenakan oleh Saidina Umar RA.

Kami juga melihat, penamaan pakej-pakej seperti Pakej Raja Salman dan Pakej VIP adalah sangat tidak berakhlak dan mengelirukan. Sementelahan lagi, ia jelas menunjukkan sifat komersialnya dan manipulasi doa.

Berkenaan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Said RA, sabda Rasulullah SAW yang maksudnya;

“Tiada seorang Islam berdoa dengan satu doa yang tiada padanya unsur dosa dan putus silaturrahim kecuali Allah kurniakan kepadanya salah satu daripada tiga iaitu samada disegerakan doanya, ditangguhkannya untuk hari akhirat atau dihilangkan daripadanya kejahatan seumpamanya. Kemudian sahabat berkata, ‘Kalau begitu, kami akan membanyakkannya. Sabda Baginda, ‘Ya, perbanyakkannlah.” (Riwayat Ahmad, no. 10749)

Hadis ini menunjukkan bahawa doa yang dipohon oleh seseorang akan diterima, tetapi bentuk penerimaannya itu pelbagai berdasarkan nas di atas.

Samada dimakbulkan segera, ditangguhkan ke hari Akhirat atau dihilangkan keburukan seumpamanya. Inilah yang ditafsirkan oleh Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (11/95).

Justeru, penggunaan kalimah mustajab atau jaminan makbul yang difahami itu akan mengelirukan lebih-lebih lagi jaminan dan had masa tertentu untuk mendapatkannya. Ini menyalahi nas yang sahih lagi jelas.

Kami sarankan anjuran dan perniagaan seperti ini hendaklah DIBATALKAN agar Islam dilihat sebagai agama yang benar-benar mengikut neraca syariatnya dan terhindar daripada fitnah-fitnah dan eksploitasi ibadah.

Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua dan menjadikan kita golongan yang benar-benar mengikut syariat-Nya, Amin.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
15 Februari bersamaan 18 Jamadil Awal 1438

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Istighfar, Penolak Bala Bencana dan Sebagai Penyelamat

Sumber: muftiwp

Monday, February 13, 2017

Hukum Menyambut Hari Kekasih, Valentine's Day

Hukum Menyambut Hari Kekasih, Valentine's Day

Kenapa sambut Hari Valentine hukumnya Haram? Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing.

Valentines Day

Maka, pada 14hb Februari setiap tahun, pasangan-pasangan kekasih ini akan menyambut Hari Valentine dengan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah, lalu lahirlah anak-anak haram selepas itu.

Maka terjadilah perbuatan-perbuatan haram dan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Dan dengan sebab itulah, para ulama menegaskan bahawa haram sambut Hari Valentine bagi umat Islam kerana kerosakan berbanding kebaikan yang ada padanya.

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang disepakati oleh generasi awal umat Islam, hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Anas bin Malik r.a berkata, "Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959)

Hadis ini mengingatkan umat Islam agar hanya menyambut sesuatu sambutan yang selaras dengan Islam serta syariatnya.

Sambutan yang tidak berdasarkan syariat, apatah lagi jika ia mendedahkan umat Islam kepada pembaziran, pergaulan bebas, amalan syirik serta khurafat, sememangnya dilarang oleh agama.

Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512)

Sambutan Hari Valentine's Day merangsang ke arah perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran serta membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal.

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah SWT memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan.

Firman-Nya, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (al-Israa’:32)

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar sebelum ini, kes remaja hamil anak haram luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac.

Sebahagian besar remaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day.

Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.

Oleh itu barat telah mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutan hari kekasih sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka.

Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa.

Firman-Nya, “Iblis berkata, ‘Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hamba-Mu yang dibersihkan dari sebarang syirik.” (al-Hijr:39-40) -wanwma

1. Keputusan Fatwa Majlis Kebangsaan Hukum Sambut Hari Kekasih

Bersandarkan kepada hujah-hujah yang jelasa, para ulama telah merumuskan bahawa hukum sambutan Hari Valentine's Day adalah HARAM bagi seluruh umat Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan, “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berpandangan bahawa, ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day adalah haram kerana tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Keterangan dan Hujah

Antara hujah keputusan tersebut adalah seperti berikut:

Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi merai dan menyambut kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat aqidah Islam.

Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.

Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

Valentine’s asal nama sebenarnya St. Velentino merupakan seorang paderi palaing berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol.

Oleh itu, ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakannya seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.

Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’ dan bukannya menggalakkan perkara-perkara yang mendorong atau meransang kepada yang dilarang dan maksiat.

Sebagai alternatifnya, jika seluruh dunia masih berterusan menjadikan 14 Februari sebagai hari ”percintaan rasmi” mereka dengan pasangan mereka, marilah kita umat Islam menjadikan setiap hari senagai bersatunya Ukuwah Mukminin sesama Mukminin dan Mukminat sesama Mukminat dengan memperkukuhkan ikatan ukhuwah, kasih sayang dan mencintai Allah dan RasulNya, demi menghadapi pakatan musuh Islam yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol, serta pada masa yang sama mendeklarasikan penentangan umat Islam kepada syirik dan penzinaan tajaan musuh-musuh Islam zaman berzaman.

2. Fatwa Hukum Umat Islam Menyambut Hari Kekasih (Valentine’s Day), Johor

Tarikh Keputusan: 27 Disember, 2005

Huraian Tajuk dan Isu: Fatwa Hukum Umat Islam Menyambut Hari Kekasih (Valentine’s Day)

Pengenalan

Tanggal 14 Februari setiap tahun seluruh penduduk khususnya di Amerika dan Eropah akan meraikan Hari Valentine iaitu satu hari rasmi untuk menyatakan rasa kasih sayang kepada pasangan masing-masing.

Ada yang saling bertukar-tukar bunga ros merah, mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari besar-besaran di disko-disko bersama minuman arak, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing. Sedangkan mereka tidak ada hubungan yang sah disisi agama yang mengharuskan mereka berbuat demikian.

Tidak dinafikan ada umat Islam di negara ini turut meraikan Hari Valentine. Mereka meraikan hanya kerana suka-suka dan terikut-ikut untuk mendapatkan keseronokan tanpa mengetahui asal-usul dan sejarah hari tersebut.

“Hari Kekasih” yang dibawa oleh orang barat tanpa disedari bertujuan untuk melekakan serta merosakkan aqidah dan akhlak masyarakat Islam, kerana kebiasaannya senario menyambut ”Hari Kekasih” berlaku dikalangan remaja Islam.

Sungguhpun ia belum sampai ke tahap yang kronik, namun begitu ia boleh menyumbang kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan budaya umat Islam sekiranya tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyedar dan menginsafkan mereka.

Harus diingat mengamalkan dan mengikut budaya asing terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latar belakang perayaan itu sebenarnya akan menjerumus umat Islam kepada kehancuran.

Hal ini kerana perlakuan seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak orang Islam, bahkan boleh menjejaskan keimanan dan aqidah mereka.

Keputusan Fatwa

Sehubungan itu, kertas kerja berkaitan dengan hukum umat Islam menyambut Hari Kekasih (Valentine’s Day) telah dibentang dan dibahaskan dengan teliti oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 25 Zulkaedah 1426 Hijriah bersamaan 27 hb Disember 2005 Miladiah.

Setelah dilihat dengan penuh penelitian, maka Jawatankuasa Fatwa mengambil keputusan sebagaimana berikut:

“Amalan merayakan hari kekasih (Valentine Day) tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah. Oleh itu umat Islam adalah DILARANG daripada melibatkan diri di dalam meraikan hari tersebut.” -shafiqolbu

3. Hukum Menyambut Hari Kekasih Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang

Oleh: Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2012, pada14-15 Mac 2012

Keputusan: Hukum menyambut hari kekasih adalah haram dan dilarang untuk menyambutnya kerana mempunyai kaitan dengan agama lain.

Keterangan dan Hujah

Sejarah Valentine’s Day tidak ada dalam ajaran Islam. Amalan budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam

Valentine’s asal nama sebenarnya St.Valentino merupakan seorang paderi paling berpengaruh di zaman pemerintahan ratu Isabella di Sepanyol dan juga merupakan antara orang yang terpenting yang menghancurkan tamadun Islam di Sepanyol.

Oleh itu ratu Isabella telah menetapkan 14 Februari sebagai hari mengingati kemenangan kristian terhadap Islam. Maka barangsiapa yang merayakan seolah-olah ia bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol.

Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitik beratkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah sambutan hari kasih sayang

Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana-kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam

Sekiranya seseorang Islam itu berhasrat untuk memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena 14 Februari bersempena dengan Valentine, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawa oleh Valentine’s Day.

Kebanyakan golongan remaja Islam hari ini meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

Memang Islam sangat menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi unutk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan seorang perempuan perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syara’.

Ia bukannya yang menggalakkan kepada perkara yang menolong atau merangsang kepada yang dilarang dan maksiat. -mufti.pahang

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA: Asal Usul Sambutan Valentine's Day atau Hari Kekasih

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, September 07, 2016

Boleh Gugurkan Kandungan Jika Janin Dijangkiti Virus Zika?

Boleh Gugurkan Kandungan Jika Janin Dijangkiti Virus Zika?

Menteri Kesihatan, S Subramaniam berkata, beliau menerima pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung hukum menggugurkan janin bagi ibu yang dijangkiti Zika.

Bahaya Virus Zika

Beliau berkata, pandangan itu wajar dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan supaya boleh mencapai kata sepakat berhubung perkara tersebut.

"Menurut undang-undang sedia ada, kita hanya membenarkan pengguguran sekiranya ia membahayakan ibu yang mengandung.

"Saya menerima pandangan beliau (mufti). Namun perlu ada satu pendirian agama yang jelas kerana isu ini bukan sahaja melibatkan mereka yang dalam bidang perubatan tetapi agama juga," katanya kepada pemberita.

Beliau merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Bersekutu 2016 di Kuala Lumpur.

Dr Zulkifli dilapor sebagai berkata, orang Islam boleh menggugurkan kandungan mereka jika dijangkiti virus Zika yang boleh memudaratkan kehidupan keluarga atau bayi itu sendiri.

Ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan wanita mengandung yang berada atau mengunjungi negara yang mengalami Zika membuat imbasan, Dr Subramaniam berkata, golongan tersebut boleh mendapatkan pandangan daripada doktor.

"Mereka boleh berjumpa doktor bagi mencari jalan yang selamat," katanya.

Dua kes Zika dikesan di negara ini setakat ini yang satu daripadanya mengakibatkan kematian.

Zika dan seks, ini fakta yang perlu anda tahu

Selain menerusi gigitan nyamuk Aedes, virus Zika juga boleh disebarkan melalui hubungan seks. Menurut kajian, virus Zika boleh berada dalam badan manusia dari 21 hari sehingga 6 bulan.

Sekiranya orang yang dijangkiti mengadakan hubungan seks pada tempoh berkenaan, ia mendedahkan risiko menjangkiti pasangan mereka.

Berikut merupakan penjelasan daripada Pengarah D1SC, MIMPA dan Malaysian Medical Gazette, Dr Mahesh Appannan.

Ini perkara yang anda perlu tahu:

1. Berapa lamakah virus Zika boleh bertahan dalam badan manusia?

Dr Mahesh: Ini soalan yang selalu ditanya oleh ramai akan tetapi ia masih dalam kajian sebenarnya.

Kalau kita berbincang pasal badan manusia, virus Zika boleh terkandung dalam darah, air kencing, air mani atau cecair faraj.

Ada kajian mengatakan virus Zika ini boleh bertahan dalam badan manusia dari 21 hingga 30 hari, ada kajian lain yang mengatakan selama lapan minggu dan ada kajian yang mengatakan virus Zika boleh berada dalam badan selama enam bulan.

2. Apa perbezaannya bagi virus Zika yang terkandung dalam badan lelaki dan wanita?

Dr Mahesh: Untuk lelaki, kita fokus kepada air mani atau seminal fluid. Virus Zika boleh berada dalam air mani selama enam bulan.

Untuk kaum wanita, virus Zika boleh terkandung dalam cecair faraj atau vaginal fluid sehingga dua bulan.

Ini bermakna jika wanita yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dalam lingkungan dua bulan, risiko pasangan mereka dijangkiti virus Zika adalah tinggi.

Manakala jika kaum lelaki yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dengan pasangannya, risiko pasangan mereka mendapat virus Zika adalah tinggi dalam tempoh enam bulan ini.

3. Apa langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan virus Zika menerusi hubungan seks?

Dr Mahesh: Virus Zika boleh dijangkiti melalui hubungan seksual dan konteks seksual di sini termasuk hubungan seks biasa, melalui seks luar tabii dan seks oral.

Penggunaan kondom sangat penting dan boleh mengurangkan risiko menjangkiti virus Zika melalui hubungan seks.

Jika seseorang tidak melakukan sebarang hubungan seks, ia akan menghapuskan risiko dijangkiti atau menyebarkan virus Zika sama sekali.

4. Apakah garis panduan WHO dalam mencegah jangkitan virus Zika menerusi hubungan seks?

Dr Mahesh: Mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekiranya seseorang sudah dijangkiti virus Zika, untuk kaum lelaki adalah disarankan menggunakan kondom atau tidak melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya enam bulan dari hari pertama simptom Zika.

Manakala bagi kaum wanita, sekurang-kurangnya dua bulan atau lapan minggu.

Bagi sesiapa yang baharu sahaja balik dari negara yang endemik Zika, mereka dinasihatkan untuk gunakan perlindungan iaitu kondom atau tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu atau dua bulan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Bernama | Astroawani | Sentiasapanas