Friday, February 17, 2017

Fatwa Keharusan, Hukum Pelaburan ASN Dan ASB

Loading...

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan mengenai pelaburan dalam ASN, ASB dan seumpamanya dan memutuskan seperti dibawah.

ASB

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudaratan yang lebih besar, hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Hifz al-mal merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam.

Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudaratan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.

Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar. Dalam hal ini, Maybank adalah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik.

Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan bumiputera Islam juga akan turut terjejas.

Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengetepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.

Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima (5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam.

Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan.

Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat daripada aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambil kira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.

Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi.

Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan dimana 70 peratus pelaburan menepati syariah, hanya 30 peratus sahaja pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak menepati syariah.

Dalam keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram.

Menurut sebahagian besar fuqaha iaitu, Hanafi, Maliki, Syafi'e dan Hambali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas.

Ini kerana fuqaha muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.

PNB telah melaksanakan perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan penguasaan umat Islam. Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan kemudaratan yang lebih besar perlu dielakkan.

(Fatwa ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-80 yang bersidang pada 1 hingga 3 Februari 2008). -JAKIM

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon