Wednesday, September 07, 2016

Boleh Gugurkan Kandungan Jika Janin Dijangkiti Virus Zika?


Menteri Kesihatan, S Subramaniam berkata, beliau menerima pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung hukum menggugurkan janin bagi ibu yang dijangkiti Zika.

Bahaya Virus Zika

Beliau berkata, pandangan itu wajar dibincangkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan supaya boleh mencapai kata sepakat berhubung perkara tersebut.

"Menurut undang-undang sedia ada, kita hanya membenarkan pengguguran sekiranya ia membahayakan ibu yang mengandung.

"Saya menerima pandangan beliau (mufti). Namun perlu ada satu pendirian agama yang jelas kerana isu ini bukan sahaja melibatkan mereka yang dalam bidang perubatan tetapi agama juga," katanya kepada pemberita.

Beliau merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Bersekutu 2016 di Kuala Lumpur.

Dr Zulkifli dilapor sebagai berkata, orang Islam boleh menggugurkan kandungan mereka jika dijangkiti virus Zika yang boleh memudaratkan kehidupan keluarga atau bayi itu sendiri.

Ditanya sama ada kerajaan akan mewajibkan wanita mengandung yang berada atau mengunjungi negara yang mengalami Zika membuat imbasan, Dr Subramaniam berkata, golongan tersebut boleh mendapatkan pandangan daripada doktor.

"Mereka boleh berjumpa doktor bagi mencari jalan yang selamat," katanya.

Dua kes Zika dikesan di negara ini setakat ini yang satu daripadanya mengakibatkan kematian.

Zika dan seks, ini fakta yang perlu anda tahu

Selain menerusi gigitan nyamuk Aedes, virus Zika juga boleh disebarkan melalui hubungan seks. Menurut kajian, virus Zika boleh berada dalam badan manusia dari 21 hari sehingga 6 bulan.

Sekiranya orang yang dijangkiti mengadakan hubungan seks pada tempoh berkenaan, ia mendedahkan risiko menjangkiti pasangan mereka.

Berikut merupakan penjelasan daripada Pengarah D1SC, MIMPA dan Malaysian Medical Gazette, Dr Mahesh Appannan.

Ini perkara yang anda perlu tahu:

1. Berapa lamakah virus Zika boleh bertahan dalam badan manusia?

Dr Mahesh: Ini soalan yang selalu ditanya oleh ramai akan tetapi ia masih dalam kajian sebenarnya.

Kalau kita berbincang pasal badan manusia, virus Zika boleh terkandung dalam darah, air kencing, air mani atau cecair faraj.

Ada kajian mengatakan virus Zika ini boleh bertahan dalam badan manusia dari 21 hingga 30 hari, ada kajian lain yang mengatakan selama lapan minggu dan ada kajian yang mengatakan virus Zika boleh berada dalam badan selama enam bulan.

2. Apa perbezaannya bagi virus Zika yang terkandung dalam badan lelaki dan wanita?

Dr Mahesh: Untuk lelaki, kita fokus kepada air mani atau seminal fluid. Virus Zika boleh berada dalam air mani selama enam bulan.

Untuk kaum wanita, virus Zika boleh terkandung dalam cecair faraj atau vaginal fluid sehingga dua bulan.

Ini bermakna jika wanita yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dalam lingkungan dua bulan, risiko pasangan mereka dijangkiti virus Zika adalah tinggi.

Manakala jika kaum lelaki yang dijangkiti virus Zika melakukan hubungan seks dengan pasangannya, risiko pasangan mereka mendapat virus Zika adalah tinggi dalam tempoh enam bulan ini.

3. Apa langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan virus Zika menerusi hubungan seks?

Dr Mahesh: Virus Zika boleh dijangkiti melalui hubungan seksual dan konteks seksual di sini termasuk hubungan seks biasa, melalui seks luar tabii dan seks oral.

Penggunaan kondom sangat penting dan boleh mengurangkan risiko menjangkiti virus Zika melalui hubungan seks.

Jika seseorang tidak melakukan sebarang hubungan seks, ia akan menghapuskan risiko dijangkiti atau menyebarkan virus Zika sama sekali.

4. Apakah garis panduan WHO dalam mencegah jangkitan virus Zika menerusi hubungan seks?

Dr Mahesh: Mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekiranya seseorang sudah dijangkiti virus Zika, untuk kaum lelaki adalah disarankan menggunakan kondom atau tidak melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya enam bulan dari hari pertama simptom Zika.

Manakala bagi kaum wanita, sekurang-kurangnya dua bulan atau lapan minggu.

Bagi sesiapa yang baharu sahaja balik dari negara yang endemik Zika, mereka dinasihatkan untuk gunakan perlindungan iaitu kondom atau tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu atau dua bulan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Bernama | Astroawani | Sentiasapanas

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon