Sep 1, 2016

Apa Itu Virus Zika, Simptom, Kesan, Rawatan Dan Langkah Pencegahan

Virus Zika dikesan kali pertama pada spesis monyet sekitar 1947 dan kemudiannya tersebar secara besar-besaran di Amerika, selepas jangkitan pertama kali dikesan di Brazil pada Mei tahun 2015 yang lalu.

Virus Zika

Berikut, tujuh perkara yang anda perlu tahu tentang Virus Zika:

1. Apakah virus Zika?

Demam Zika adalah penyakit virus yang disebarkan oleh nyamuk yang membawa virus Zika (ZIKV).

Ia disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi.

Penyakit ini menunjukkan tanda-tanda yang menyerupai demam denggi seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, konjuktivitis serta ruam.

Di Brazil, ia dilapor terdapat peningkatan kelahiran bayi yang mengalami sindrom mikrosefali (microcephaly) atau otak kecil dan buat masa ini belum lagi diketahui penyebab sebenar kejadian tersebut.

Namun, mereka percaya kecacatan ini mungkin ada kaitan dengan wabak Zika.

2. Simptom & Tanda-Tanda Demam Zika

Berikut dikongsikan simptom utama demam Zika yang memberikan tanda-tanda apabila pesakit telah dijangkiti:
  • Sakit sendi
  • Mata kemerahan
  • Sakit kepala
  • Ruam pada kulit

3. Bolehkah jangkitan Zika dirawat?

Pada masa ini tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan dan tiada ubat khusus untuk merawat penyakit Zika.

Menurut WHO, mereka yang dijangkati dinasihati untuk minum air dengan kuantiti yang banyak serta merawat kesakitan badan serta demam dengan ubat-ubatan yang biasa.

4. Bagaimanakah ia merebak?

Disebarkan melalui nyamuk aedes - bergantung kepada spesis. Aedes jenis aegypti, paling banyak menyebarkan Zika.

Aedes jenis ini ditemui di Florida, Gulf Coast dan Hawaii. Namun baru-baru ini, ia turut ditemui di Washington DC yang bercuaca panas.

Aedes jenis albopictus dikatakan turut mampu menyebarkan virus Zika tetapi tiada kajian kukuh mengenainya. Jenis ini boleh ditemui di utara New York dan Chicago pada musim panas.

Nyamuk aedes biasanya menggigit pada awal pagi dan senja. Ia membiak dalam takungan air jernih dan memerlukan masa seminggu untuk menjadi nyamuk dewasa.

5. Kesan Dan Bahaya Virus Zika, Siapa berdepan risiko paling tinggi?

Kesan Zika
Kepala bayi mengecil akibat virus zika.

Bayi dalam kandungan paling berisiko sekiranya si ibu dijangkiti virus Zika. Virus Zika yang merebak akan menyebabkan sejenis kecacatan otak dan boleh menyerang bayi dalam kandungan.

Zika boleh tersebar menerusi jangkitan kuman kepada janin dan peringkat janin yang paling berisiko dijangkiti virus tersebut adalah dalam tempoh kehamilan tiga bulan pertama.

Sindrom microcephaly disebabkan virus zika akan menyebabkan seseorang kanak-kanak berhadapan kecacatan mental sehingga membataskan kecerdasan pergerakan otot seumur hidup mereka.

6. Langkah-langkah Pencegahan Virus Zika

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan yang dikemukakan oleh KKM:
  • Elakkan dari gigitan nyamuk dengan memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang, menggunakan repellent (bahan untuk mengelakkan/menangkis nyamuk pada kulit yang terdedah) dan tidur di tempat yang berkelambu
  • Elakkan daripada melakukan aktiviti luar sepanjang tempoh waktu puncak gigitan nyamuk aedes ini, iaitu beberapa jam sebelum senja dan selepas subuh
  • Sekiranya terdapat individu yang menunjukkan tanda dan gejala penyakit ini semasa berada di negara dijangkiti atau setelah pulang ke Malaysia, maka segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan jangkitan virus Zika di Malaysia.

Pada masa sama, orang ramai juga dinasihati untuk mempertingkatkan aktiviti mencari dan memusnah bagi mengurangkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah masing-masing dan persekitarannya.

7. Kes Pertama Jangkitan Virus Zika di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan seorang wanita Malaysia yang baru pulang dari Singapura sebagai kes pertama jangkitan virus Zika di Malaysia.

Wanita dari Klang itu telah berkunjung ke Singapura pada 19 Ogos 2016 yang lalu selama tiga hari dan mula menunjukkan tanda demam selepas seminggu.

Anak wanita berkenaan di Singapura dilapor turut dijangkiti virus Zika.

Wanita itu kemudian dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan sejurus selepas dia pulang ke Malaysia.

Ujian air kencing ke atas mangsa mengesahkan dia dijangkiti virus Zika, namun ujian ke atas suaminya yang turut sama ke Singapura didapati negatif.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

Sumber: Astroawani

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon