Wednesday, December 20, 2017

Maksud 'Dilepaskan Tanpa Dibebaskan' Oleh Mahkamah

Maksud 'Dilepaskan Tanpa Dibebaskan' Oleh Mahkamah

Sebarang pertuduhan yang digugurkan sewaktu perbicaraan belum bermula dan saksi belum dipanggil adalah ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’ menurut pakar undang-undang.

Maksud 'Dilepaskan Tanpa Dibebaskan' Oleh Mahkamah

Dilepaskan tanpa dibebaskan merupakan sesuatu kes terhadap seseorang individu yang dituduh itu digugurkan, namun pihak berkenaan tidak dibebaskan oleh mahkamah.

Maknanya, pendakwa raya boleh jika mahu untuk mendakwa semula tertuduh.

Berlainan sekiranya terdapat pembebasan (acquittal), pendakwa raya tidak boleh mendakwa semula kerana ini dihalang oleh Perkara 7(2) Perlembagaan berkenaan dengan perbicaraan berulang.

Mahkamah Majistret Seremban melepaskan tanpa membebaskan Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya pada Oktober 2017 lalu.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan tersebut.

Mengulas mengenai kes Azizan, Syahredzan memaklumkan bahawa keputusan mahkamah untuk melepaskan tanpa membebaskan pihak berkenaan merupakan satu perkara biasa dari sudut perundangan negara.

Ini bukannya perkara luar biasa memandangkan mahkamah tidak boleh membebaskan tertuduh kalau tidak mendengar keterangan saksi dan melihat merit kes.

Sebab itu bila gugur pertuduhan sebelum perbicaraan bermula ia bukannya merupakan pembebasan atau acquittal.

Ketika ditanya sama ada Azizan berkemungkinan akan didakwa semula selepas ini, perkara itu tidak mustahil berlaku, namun kemungkinannya adalah sangat rendah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Cikgu Azizan 'Menang' Perbicaraan Mahkamah Tampar Murid Jahat!

sumber: sinarharian

Tuesday, December 12, 2017

Penjual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Dihukum Penjara

Penjual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Dihukum Penjara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berikutan larangan yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi menjual air tersebut di mana-mana kedai di seluruh Malaysia.

Penjual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Dihukum Penjara
Gambar hiasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Sejak 2012 sehingga Oktober ini, sejumlah air zam zam bernilai RM58,191.80 telah dirampas melalui hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, perkara ini telah dipersetujui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memandangkan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa KKM.

Katanya pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4 (1) (f) Akta Makanan 1983.

Dr Noor Hisham berkata air zam zam diperoleh dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semula jadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengimportannya memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” jelas beliau.

Katanya, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad selepas berlepas dari Arab Saudi.

“Kementerian sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam memandangkan ia tidak dibenarkan di Malaysia,” katanya.

Kepada pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai isu keselamatan, Dr Noor Hisham berkata mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Khurafat Di Musim Haji!

sumber: bernama

Monday, December 04, 2017

Lanida Dahlan, Pelajar Orang Asli Juara Catur Asia Tenggara 2017

Lanida Dahlan, Pelajar Orang Asli Juara Catur Asia Tenggara 2017

Seorang pelajar Orang Asli mencipta sejarah sebagai pemain catur remaja wanita pertama negara memenangi dua pingat emas Kejohanan Peringkat Umur Catur Asia Tenggara kali ke-18 2017 di Kuantan (3 Disember 2017).

Lanida Dahlan juara catur
Lanida Dahlan (tengah).

Lanida Dahlan, 14, yang menang dua pingat emas Kejohanan Catur Peringkat Umur Asia Tenggara kali ke 18 di Kuantan bersama Erni Shahrira Yusri, 15 (kiri) dan Veronica Mahdan, 16.

Lanida Dahlan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Jaya, Pahang, muncul pemenang kategori ‘standard’ dan ‘rapid’ bawah 14 tahun berkumpulan dalam kejohanan sembilan hari itu.

Ketika ditemui, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia mula berjinak dengan catur sejak berusia lapan tahun sebelum membabitkan diri secara aktif menyertai persatuan catur sekolah.

“Ketika di sekolah kebangsaan saya menyertai persatuan catur dan bermain secara konsisten.

“Ada guru yang mahir permainan ini mengajar kami bermain dengan teknik dan taktik yang betul.

“Apabila ke sekolah menengah, saya nampak potensi dalam diri lalu bermain secara serius dan menyertai beberapa kejohanan,” katanya.

Lanida yang bercita-cita meraih gelaran Grandmaster catur pertama negara berharap impian itu dapat direalisasikan nanti dengan meningkatkan mutu permainan bagi melayakkannya menerima pengiktirafan tertinggi Organisasi Catur Dunia (FIDE).

Kejohanan bermula 25 November 2017 lalu, menyaksikan dua lagi pemain catur negara Veronica Mahdan, 16, dan Erni Sharira Yusri, 15, merangkul pingat perak dan dua gangsa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Sejarah Dan Asal-usul Permainan Chess?

sumber: hmetro

Sunday, December 03, 2017

6 Fakta HIV, AIDS Di Malaysia Anda Perlu Tahu

6 Fakta HIV, AIDS Di Malaysia Anda Perlu Tahu

Hari AIDS Sedunia disambut pada 1 Disember setiap tahun untuk memupuk kesedaran mengenai wabak AIDS yang disebabkan oleh jangkitan HIV.

6 Fakta HIV, AIDS Di Malaysia Anda Perlu Tahu

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, kes paling tinggi mereka dijangkiti HIV/AIDS kini adalah menerusi hubungan seks berbanding suntikan jarum.

KKM pada Julai 2017 lalu menerusi Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahya menyifatkan HIV dan penyakit AIDS kini tidak lagi menjadi ancaman utama negara apabila kementerian mensasarkan penurunan kes sebanyak 90 peratus menjelang tahun 2030.

Ketika menuju sasaran berkenaan, berikut adalah 6 fakta nombor mengenai HIV/AIDS di Malaysia yang perlu kita tahu:
  1. 111,916 jumlah keseluruhan kes HIV (1986 - 2016)
  2. 99,338 lelaki menghidap HIV (1986 - 2016)
  3. 33,206 kes jangkitan HIV melalui hubungan seks (1986 - 2016)
  4. 68, 392 kes HIV melalui suntikan penagih (1986 - 2016)
  5. 3,397 kes baharu jangkitan HIV pada 2016
  6. 15 kes baharu HIV melibatkan kanak-kanak bawah 13 tahun pada 2016

*Statistik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Thursday, November 30, 2017

Jalan Pintas Rawang Jambatan Tertinggi Di Malaysia

Jalan Pintas Rawang Jambatan Tertinggi Di Malaysia

Jalan Pintas Rawang (Rawang Bypass) mencatatkan sejarah sebagai jambatan paling tinggi di Malaysia dan kini mula dibuka kepada orang ramai untuk melaluinya.

Jalan Pintas Rawang Jambatan Tertinggi Di Malaysia

Jalan Pintas Rawang sepanjang sembilan kilometer adalah mercu tanda terbaharu Malaysia apabila mempunyai ketinggian 58.2 meter dari aras tanah.

Keunikan Jalan Pintas Rawang ialah pembinaan struktur tiangnya yang diiktiraf tertinggi di Malaysia sehingga membolehkan pemandu merasakan seperti membelah kabus terutamanya pada waktu pagi.

Pemandu turut berpeluang menikmati pemandangan panorama yang cantik di sekitar Rawang.

Lebuh raya Jalan Pintas Rawang sepanjang 23 kilometer ini merupakan jalan pintas yang menghubungkan Rawang ke Serendah bagi mengatasi kesesakan melampau di Bandar Rawang.

Lebih hebat lagi, lebuh raya Jalan Pintas Rawang ini direka oleh arkitek tempatan, Tuan Haji Radzali Mokhtar.

Menurut sumber dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Rawang Bypass dibina secara bengkang-bengkuk bagi meminimakan impak terhadap ekosistem Taman Warisan Negeri Selangor.

Laluan dengan jambatan paling tinggi ini dibina merentasi kawasan hutan tebal yang merupakan habitat pokok Giam Kanching, sejenis spesis pokok unik yang tidak terdapat di mana-mana hutan di seluruh dunia.

Jalan Pintas Rawang Jambatan Tertinggi Di Malaysia

Disebabkan itu, setiap batang pokok ialah khazanah negara yang perlu diselamatkan dan dijaga sehabis baik daripada ditebang.

Pembinaan jalan pintas Rawang Bypass mampu memendekkan waktu perjalanan di waktu puncak dari 2 jam kepada 30 minit sahaja!

Sebenarnya, pembinaan lebuh raya jalan pintas Rawang ini terpaksa ditangguhkan selama 2,132 hari (hampir enam tahun) berikutan prosedur kerja dan proses pihak ketiga yang berada di luar bidang kuasa JKR.

Projek Jalan Pintas rawang yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) ini sepatutnya siap dibina pada tahun 2008.

Projek pembinaan lebuh raya empat lorong Jalan Pintas Rawang ini bermula pada 16 Julai 2005 dan dijangka siap pada 12 Januari 2008 dengan kos permulaan RM203.47 juta.

Bagaimanapun, beberapa Perjanjian Tambahan ditandatangani termasuk peruntukan khas untuk perubahan harga tenaga kerja kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrikal telah memanjangkan projek dari 15 Disember 2011 hingga 17 April 2015 dengan kos tambahan sebanyak RM390 juta.

Jalan Pintas Rawang Jambatan Tertinggi Di Malaysia

Pemanduan di Rawang Bypass bakal memberi pengalaman yang unik kepada pengguna jalan raya apabila berada separas puncak pokok atau lebih tinggi.

Selain itu, pengguna Jalan Pintas Rawang juga akan melaui bawah talian kabel pencawang elektrik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Wednesday, November 29, 2017

Skandal Rasuah MARA Di Australia, RM77 Juta Duit Rakyat Lesap!

Skandal Rasuah MARA Di Australia, RM77 Juta Duit Rakyat Lesap!

Dengan dua syarikat yang berdaftar di British Virgin Islands (BVI), dokumen dan satu perjanjian yang meragukan serta laporan penilaian yang tinggi, sekumpulan rakyat Malaysia didakwa mengaut kira-kira RM60 juta daripada satu urus niaga hartanah yang dikatakan tanpa mengeluarkan satu sen pun.

Rasuah MARA di Melbourne

Walaupun pembelian telah dilaporkan sebelum ini, kini kita dapat menunjukkan untuk pertama kalinya bagaimana pembelian dan penjualan hartanah itu dilakukan tanpa perlu meletakkan sebarang wang pendahuluan dan didakwa mengaut berpuluh-puluh juta ringgit.

Ia tertumpu kepada hartanah yang dikenali sebagai UniLodge, sebuah bangunan 12 tingkat di 746, Swanston Street di pusat bandar Melbourne.

Ia telah "dijual" kepada Mara Inc untuk A$41.8 juta (RM138 juta) berbanding harga pasarannya ketika itu dan harga transksi AS$23.5 juta (kira-kira RM77.6 juta).

"Penjualan" pada 2012 itu datang dengan kaveat - hartanah itu, yang mempunyai 281 bilik penginapan pelajar, tidak bertukar tangan sehinggalah lewat kemudiannya.

Apa yang ditransaksikan adalah pemilikan sebuah syarikat BVI yang mempunyai sedikit atau mempunyai apa-apa aset.

Mereka rakyat Malaysia yang terlibat dalam perjanjian itu telah dikenal pasti dalam pelbagai dokumen rasmi, termasuk bekas pegawai tertinggi Mara Inc.

Pada 28 Ogos 2012, berdasarkan satu penilaian UniLodge oleh juruukur dan penilai yang berpejabat di Malaysia, Mara Inc membayar A$41.8 juta untuk pembelian semua kepentingan dalam sebuah syarikat BVI yang dipanggil Thrushcross Ltd.

Malaysiakini tidak menyiarkan semua identiti itu sementara menunggu komen mereka.

Laporan penilaian itu adalah tambahan kepada perjanjian jual beli Thrushcross. Penjualnya ialah Scarlett Nominees Limited, sebuah lagi syarikat berdaftar BVI.

Perjanjian jual beli antara Scarlett dan Mara Inc menyatakan bahawa Thrushcross adalah “beneficial owner” UniLodge dan "mempunyai hak untuk menyelesaikan dan akan mempunyai hak milik yang sah terhadap hartanah itu."

Perjanjian ini untuk membeli syarikat BVI adalah untuk memperoleh "semua kepentingan" dalam Thrushcross Ltd, yang kemudiannya menukar namanya kepada Thrushcross Land Holdings Ltd.

Tetapi kedua-dua Scarlett dan Thrushcross tidak mempunyai harta tak alih atau sebarang harta atas nama mereka. Pendek kata, Mara Inc membeli "shell comppany" bernilai A$41.8 juta dari sebuah lagi "shell company" yang lain.

Pendedahan yang mengejutkan ini terkandung dalam dokumen yang diperoleh oleh Fairfax Media di Melbourne dan Malaysiakini.

'SOP kami sangat teliti'

MARA mempunyai portfolio pelaburan global, yang keuntungannya digunakan untuk mendanai, antara lain, pendidikan untuk golongan miskin dan masyarakat Melayu di kampung-kampung.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengerusi Mara Inc Mohammad Lan Allani berkata beliau tidak dapat mengingati maklumat terperinci transaksi itu.

“Apa yang boleh saya kata jika syarikat itu (Thrushcross) adalah shell company, tidak mungkin Mara Inc akan luluskan urus niaga itu. SOP (prosedur operasi piawai) kami sangat teliti.

“Ketika saya jadi pengerusi, saya sangat cermat. SOP itu mesti menyeluruh. Kita ada proses penilaian. Hanya apabila kesemua ini selesai, batu kita teruskan,” katanya.

Katanya, sebagai pengerusi Marc Inc, beliau harus menandatangani kesemua dokumen-dokumen.

“Untuk maklumat lanjut kamu kena tanya CEO (ketika itu Abd Rahim Halim).”

KRONOLOGI Bagaimana MARA rugi RM60j dalam urus niaga hartanah di Australia

Skandal Rasuah MARA Di Australia, RM70 Juta Lesap!

Majlis Amanah Rakyat (MARA) didapati membayar A$41.8 juta (kira-kira RM138 juta) kepada sebuah "syarikat lahu" (syarikat tanpa operasi atau shell company) bernilai US$2 di Caribbean, yang mendakwa mempunyai kepentingan dalam sebuah bangunan di Melbourne, Australia.

Dengan menggunakan jaringan transaksi atas kertas yang rumit dan syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands (BVI), berjuta ringgit bertukar tangan melalui perjanjian jual beli, dan dengan bantuan mereka yang mempunyai kepentingan peribadi dalam urus niaga itu.

Dua lagi urus niaga diperlukan untuk melengkapkan pembelian itu. Pembelian itu dikaburi lagi dengan transaksi yang dibuat melalui syarikat di BVI oleh beberapa warga Malaysia, termasuk bekas pegawai MARA.

Malaysiakini dan media berpangkalan di Melbourne, Fairfax Media, memperolehi dokumen menggemparkan ini yang memberi gambaran tentang penipuan yang berlaku.

Ia telah menjejaskan kepentingan MARA, menyebabkan badan yang ditubuhkan untuk membantu golongan Melayu miskin itu kerugian berjuta ringgit.

Dokumen itu mendedahkan:
  • Walaupun tiada kepentingan perundangan dalam hartanah itu, Scarlett Nominees Ltd membuat perjanjian dengan Mara Incorporated (Mara Inc) untuk "menjual" syarikat BVI, Thrushcross Land Holdings Ltd, yang "dikatakan memiliki hartanah itu" - bangunan 12 tingkat bernama Unilodge di 746, Swanston Street, Melbourne.
  • Perjanjian ditandatangani pada 28 Ogos 2012. Tidak sampai seminggu, Mara Inc membayar 10 peratus daripada harga pembelian. Pada hujung November 2012, jumlah yang dibayar Mara Inc kepada Scarlett adalah A$41.8 juta untuk "syarikat lahu" , Thrushcross, kononnya bersekali dengan Unilodge.
  • Pada 16 Januari 2013, Thrushcross membayar pemilik Unilodge sebenar, HRSV Pty Ltd sebanyak A$23.5 juta bagi bangunan itu.
  • Transaksi jualan melibatkan harga A$23.5 juta (kira-kira RM77.6 juta), walaupun lima bulan sebelum itu Scarlett telah "menjual" Thrushcross (yang ketika itu tidak memiliki Unilodge) kepada Mara Inc pada harga A$41.8 juta (Kira-kira RM138 juta).
  • Nilai A$41.8 juta itu berdasarkan penilaian oleh syarikat penilai dan surveyor berpangkalan di Malaysia, dan dimasukkan sebagai tambahan (annexure) kepada perjanjian jual beli Thrushcross antara Mara Inc dan Scarlett.
  • Sehingga pemindahan rasmi dilaksanakan pada 16 Januari 2013, pemilik sebenar Unilodge adalah HRSV. Ini bermakna berdasarkan undang-undang, Thrushcross bukan pemilik kepada hartanah itu sebelum tarikh tersebut. Begitu juga dengan Scarlett.
  • Walaupun Thrushcross dikatakan menjadi milik Mara Inc selepas penjualannya, perjanjian pemindahan tanah dengan HSRV ditandatangani oleh dua warga Malaysia yang tiada apa-apa kaitan dengan Mara Inc. Mereka juga memberikan alamat tempat tinggal yang sama di Melbourne.
  • Pada 19 Julai 2013, dua individu yang menjadi pegawai tinggi Mara Inc pada ketika itu membuat gadai janji terhadap hartanah itu untuk meraih wang bagi membeli sebuah lagi hartanah di Melbourne - Dudley House.
  • Pembelian itu kini sedang disiasat atas dakwaan penipuan, rasuah dan pengubahan wang haram.

Kita nantikan perkembangannya.

BACA INI JUGA: 5 Negara Polis Paling Rasuah Di Dunia

sumber: mk mk

Rampasan RM13.5 Juta Di Sabah Milik Sindiket Pelacuran!?

Rampasan RM13.5 Juta Di Sabah Milik Sindiket Pelacuran!?

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan wang tunai RM13.5 juta dalam serbuan di sebuah hotel di Kota Kinabalu baru-baru ini yang disyaki membabitkan sindiket pelacuran.

Rampasan RM13.5 juta sabah

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata suspek wanita berusia 46 tahun itu ditahan oleh pasukan khas kira-kira 12 tengah hari di sebuah rumah di Jalan Kompleks Api-Api di Kota Kinabalu, iaitu lokasi sebahagian wang tunai itu ditemui.

“Wanita berkenaan merupakan isteri seorang daripada yang dipercayai dalang utama dalam kes penemuan wang jutaan ringgit berkenaan.

"Dengan penahanan itu, seramai empat orang dalang telah ditahan kini,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu.

Dalam serbuan ‘Op Gegar’ di sebuah hotel di Kota Kinabalu Jumaat lepas, Imigresen telah menahan beberapa individu dan menjumpai wang tunai lebih RM11 juta di situ.

Hasil siasatan lanjut menemukan lebih RM1.1 juta lagi di pangsapuri milik seorang daripada yang ditahan, tidak jauh dari lokasi serbuan berkenaan.

Seramai 17 individu yang ditahan dalam operasi itu adalah wanita warga Filipina berusia lingkungan belasan tahun hingga 30-an, dipercayai mangsa sindiket pelacuran yang didalangi tiga lelaki.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata siasatan lanjut mendapati hotel yang diserbu Jumaat lepas itu telah beroperasi sejak 1999.

"Siasatan juga mendapati antara wang tunai yang dirampas bertarikh pada 2008, namun siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca dari mana wang itu diperoleh.

"Selain Akta Imigresen 1959/63, kes turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan semua aspek disiasat dengan teliti tanpa membuat sebarang andaian.

BACA INI JUGA: Kes Rasuah di Sabah, Bila SPRM Mahu Menyiasat Pemimpin Politik Yang Kaya-raya?

sumber: mk

Monday, November 27, 2017

'Gunteng Terbang' Khidmat Gunting Rambut Dari Rumah Ke Rumah

'Gunteng Terbang' Khidmat Gunting Rambut Dari Rumah Ke Rumah

Isu kekangan masa dalam kalangan masyarakat kota menyuntik idea buat mahasiswa dari Johor Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkenalkan sebuah projek yang dinamakan sebagai 'Gunteng Terbang'.

'Gunteng Terbang' Khidmat Gunting Rambut Dari Rumah Ke Rumah

Gunteng Terbang adalah khidmat gunting rambut dan solekan on mobile dengan bayaran mengikut pakej yang dipilih.

Pada masa sekarang, sayap empayar baharu ini hanya berkembang di sekitar Johor Bahru sahaja.

Kumpulan mahasiswa dari Johor ini merupakan Duta Jauhar, iaitu kumpulan mahasiswa anak-anak negeri itu yang dipilih oleh kerajaan negeri Johor di seluruh negara untuk bersama berperanan membangunkan sosio-ekonomi rakyat.

Menurut Amizah Ami, Exco Media Duta Jauhar 4.0 UMP dari Fakulti Pengurusan Industri berkata, buat masa ini servis ini hanya terbuka untuk rakyat Johor Bahru sahaja dan akan sedang dirancang untuk diperluas ke seluruh negara.

Duta Jauhar mensasarkan peserta yang menjadi Skuad Gunteng Terbang ini merupakan golongan belia yang menganggur dan belia bekerja yang berpendapatan rendah iaitu RM1,500 ke bawah untuk membantu mereka meningkatkan ekonomi belia dan rakyat Johor Bahru.

"Pelbagai jenis gaya gunting rambut hipster ditawarkan serta pakej-pakej menarik untuk dinikmati.

"Bukan itu sahaja, malah untuk solekan juga kami turut menyediakan servis untuk para graduan, raja sehari dan juga untuk wanita yang memerlukan servis ini," katanya.

Selain Itu, servis rumah ke rumah ini juga menawarkan khidmat percuma setiap 10 kali langganan.

Bagi Muhammad Azammuddin Mohd Norman, Pengarah Projek Gunteng Terbang dan Duta Jauhar 4.0 dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam UMP berkata projek ini dapat membantu meningkatkan pendapatan golongan belia di Johor Bahru selain meningkatkan kemahiran mereka.

"Kami harap projek ini dapat menambah pendapatan peserta sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.

Pihaknya juga merancang untuk menambah perkhidmatan seperti rawatan kuku, rawatan muka dan reflekslogi serta menambah bilangan peserta daripada kalangan wanita sebagai penggunting rambut kaum Hawa.

Mereka juga berhasrat mendapatkan sebuah premis dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk dijadikan tempat operasi utama dengan menyediakan servis yang lengkap untuk pelanggan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Unik! Gunting Rambut Dengan Api

sumber: astroawani