Wednesday, November 29, 2017

Skandal Rasuah MARA Di Australia, RM77 Juta Duit Rakyat Lesap!

Loading...

Dengan dua syarikat yang berdaftar di British Virgin Islands (BVI), dokumen dan satu perjanjian yang meragukan serta laporan penilaian yang tinggi, sekumpulan rakyat Malaysia didakwa mengaut kira-kira RM60 juta daripada satu urus niaga hartanah yang dikatakan tanpa mengeluarkan satu sen pun.

Rasuah MARA di Melbourne

Walaupun pembelian telah dilaporkan sebelum ini, kini kita dapat menunjukkan untuk pertama kalinya bagaimana pembelian dan penjualan hartanah itu dilakukan tanpa perlu meletakkan sebarang wang pendahuluan dan didakwa mengaut berpuluh-puluh juta ringgit.

Ia tertumpu kepada hartanah yang dikenali sebagai UniLodge, sebuah bangunan 12 tingkat di 746, Swanston Street di pusat bandar Melbourne.

Ia telah "dijual" kepada Mara Inc untuk A$41.8 juta (RM138 juta) berbanding harga pasarannya ketika itu dan harga transksi AS$23.5 juta (kira-kira RM77.6 juta).

"Penjualan" pada 2012 itu datang dengan kaveat - hartanah itu, yang mempunyai 281 bilik penginapan pelajar, tidak bertukar tangan sehinggalah lewat kemudiannya.

Apa yang ditransaksikan adalah pemilikan sebuah syarikat BVI yang mempunyai sedikit atau mempunyai apa-apa aset.

Mereka rakyat Malaysia yang terlibat dalam perjanjian itu telah dikenal pasti dalam pelbagai dokumen rasmi, termasuk bekas pegawai tertinggi Mara Inc.

Pada 28 Ogos 2012, berdasarkan satu penilaian UniLodge oleh juruukur dan penilai yang berpejabat di Malaysia, Mara Inc membayar A$41.8 juta untuk pembelian semua kepentingan dalam sebuah syarikat BVI yang dipanggil Thrushcross Ltd.

Malaysiakini tidak menyiarkan semua identiti itu sementara menunggu komen mereka.

Laporan penilaian itu adalah tambahan kepada perjanjian jual beli Thrushcross. Penjualnya ialah Scarlett Nominees Limited, sebuah lagi syarikat berdaftar BVI.

Perjanjian jual beli antara Scarlett dan Mara Inc menyatakan bahawa Thrushcross adalah “beneficial owner” UniLodge dan "mempunyai hak untuk menyelesaikan dan akan mempunyai hak milik yang sah terhadap hartanah itu."

Perjanjian ini untuk membeli syarikat BVI adalah untuk memperoleh "semua kepentingan" dalam Thrushcross Ltd, yang kemudiannya menukar namanya kepada Thrushcross Land Holdings Ltd.

Tetapi kedua-dua Scarlett dan Thrushcross tidak mempunyai harta tak alih atau sebarang harta atas nama mereka. Pendek kata, Mara Inc membeli "shell comppany" bernilai A$41.8 juta dari sebuah lagi "shell company" yang lain.

Pendedahan yang mengejutkan ini terkandung dalam dokumen yang diperoleh oleh Fairfax Media di Melbourne dan Malaysiakini.

'SOP kami sangat teliti'

MARA mempunyai portfolio pelaburan global, yang keuntungannya digunakan untuk mendanai, antara lain, pendidikan untuk golongan miskin dan masyarakat Melayu di kampung-kampung.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengerusi Mara Inc Mohammad Lan Allani berkata beliau tidak dapat mengingati maklumat terperinci transaksi itu.

“Apa yang boleh saya kata jika syarikat itu (Thrushcross) adalah shell company, tidak mungkin Mara Inc akan luluskan urus niaga itu. SOP (prosedur operasi piawai) kami sangat teliti.

“Ketika saya jadi pengerusi, saya sangat cermat. SOP itu mesti menyeluruh. Kita ada proses penilaian. Hanya apabila kesemua ini selesai, batu kita teruskan,” katanya.

Katanya, sebagai pengerusi Marc Inc, beliau harus menandatangani kesemua dokumen-dokumen.

“Untuk maklumat lanjut kamu kena tanya CEO (ketika itu Abd Rahim Halim).”

KRONOLOGI Bagaimana MARA rugi RM60j dalam urus niaga hartanah di Australia

Skandal Rasuah MARA Di Australia, RM70 Juta Lesap!

Majlis Amanah Rakyat (MARA) didapati membayar A$41.8 juta (kira-kira RM138 juta) kepada sebuah "syarikat lahu" (syarikat tanpa operasi atau shell company) bernilai US$2 di Caribbean, yang mendakwa mempunyai kepentingan dalam sebuah bangunan di Melbourne, Australia.

Dengan menggunakan jaringan transaksi atas kertas yang rumit dan syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands (BVI), berjuta ringgit bertukar tangan melalui perjanjian jual beli, dan dengan bantuan mereka yang mempunyai kepentingan peribadi dalam urus niaga itu.

Dua lagi urus niaga diperlukan untuk melengkapkan pembelian itu. Pembelian itu dikaburi lagi dengan transaksi yang dibuat melalui syarikat di BVI oleh beberapa warga Malaysia, termasuk bekas pegawai MARA.

Malaysiakini dan media berpangkalan di Melbourne, Fairfax Media, memperolehi dokumen menggemparkan ini yang memberi gambaran tentang penipuan yang berlaku.

Ia telah menjejaskan kepentingan MARA, menyebabkan badan yang ditubuhkan untuk membantu golongan Melayu miskin itu kerugian berjuta ringgit.

Dokumen itu mendedahkan:
  • Walaupun tiada kepentingan perundangan dalam hartanah itu, Scarlett Nominees Ltd membuat perjanjian dengan Mara Incorporated (Mara Inc) untuk "menjual" syarikat BVI, Thrushcross Land Holdings Ltd, yang "dikatakan memiliki hartanah itu" - bangunan 12 tingkat bernama Unilodge di 746, Swanston Street, Melbourne.
  • Perjanjian ditandatangani pada 28 Ogos 2012. Tidak sampai seminggu, Mara Inc membayar 10 peratus daripada harga pembelian. Pada hujung November 2012, jumlah yang dibayar Mara Inc kepada Scarlett adalah A$41.8 juta untuk "syarikat lahu" , Thrushcross, kononnya bersekali dengan Unilodge.
  • Pada 16 Januari 2013, Thrushcross membayar pemilik Unilodge sebenar, HRSV Pty Ltd sebanyak A$23.5 juta bagi bangunan itu.
  • Transaksi jualan melibatkan harga A$23.5 juta (kira-kira RM77.6 juta), walaupun lima bulan sebelum itu Scarlett telah "menjual" Thrushcross (yang ketika itu tidak memiliki Unilodge) kepada Mara Inc pada harga A$41.8 juta (Kira-kira RM138 juta).
  • Nilai A$41.8 juta itu berdasarkan penilaian oleh syarikat penilai dan surveyor berpangkalan di Malaysia, dan dimasukkan sebagai tambahan (annexure) kepada perjanjian jual beli Thrushcross antara Mara Inc dan Scarlett.
  • Sehingga pemindahan rasmi dilaksanakan pada 16 Januari 2013, pemilik sebenar Unilodge adalah HRSV. Ini bermakna berdasarkan undang-undang, Thrushcross bukan pemilik kepada hartanah itu sebelum tarikh tersebut. Begitu juga dengan Scarlett.
  • Walaupun Thrushcross dikatakan menjadi milik Mara Inc selepas penjualannya, perjanjian pemindahan tanah dengan HSRV ditandatangani oleh dua warga Malaysia yang tiada apa-apa kaitan dengan Mara Inc. Mereka juga memberikan alamat tempat tinggal yang sama di Melbourne.
  • Pada 19 Julai 2013, dua individu yang menjadi pegawai tinggi Mara Inc pada ketika itu membuat gadai janji terhadap hartanah itu untuk meraih wang bagi membeli sebuah lagi hartanah di Melbourne - Dudley House.
  • Pembelian itu kini sedang disiasat atas dakwaan penipuan, rasuah dan pengubahan wang haram.

Kita nantikan perkembangannya.

BACA INI JUGA: 5 Negara Polis Paling Rasuah Di Dunia

sumber: mk mk

1 comments so far

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon