Tuesday, December 12, 2017

Penjual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Dihukum Penjara


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berikutan larangan yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi menjual air tersebut di mana-mana kedai di seluruh Malaysia.

Penjual Air Zam Zam Di Malaysia Boleh Dihukum Penjara
Gambar hiasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Sejak 2012 sehingga Oktober ini, sejumlah air zam zam bernilai RM58,191.80 telah dirampas melalui hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, perkara ini telah dipersetujui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memandangkan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa KKM.

Katanya pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4 (1) (f) Akta Makanan 1983.

Dr Noor Hisham berkata air zam zam diperoleh dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semula jadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Pengimportannya memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” jelas beliau.

Katanya, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad selepas berlepas dari Arab Saudi.

“Kementerian sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam memandangkan ia tidak dibenarkan di Malaysia,” katanya.

Kepada pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai isu keselamatan, Dr Noor Hisham berkata mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Khurafat Di Musim Haji!

sumber: bernama

1 comment

  1. Sekarang ni macam-macam cara orang nak cari duit.. bersangka baik, mungkin kerana desakan hidup

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon