Sunday, September 29, 2013

Israel Berang Sejarah Holocaust Di Persoal

Israel Berang Sejarah Holocaust Di Persoal

Pegawai Israel menolak kenyataan Presiden Iran, Hassan Rowhani yang mengutuk Holocaust.

Holocaust

Pegawai berkenaan menganggapnya tidak memadai sebaliknya berkata dia sepatutnya mengutuk mereka yang menafikan pembunuhan beramai-ramai Nazi.

Rowhani memberitahu CNN selepas berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kelmarin, penghapusan Yahudi pada Perang Dunia Kedua patut ‘dicela.’

Kenyataan itu dianggap menunjukkan perubahan radikal kerajaan Teheran.

Bekas presiden, Mahmoud Ahmadnejad pengkritik Israel berulang kali sambil mempersoal kesahihan Holocaust.

“Memang benar Rowhani tidak menafikan Holocaust, tetapi dia tidak mengutuk mereka yang menafikannya, seperti pemimpin sebelum dan pemimpin Iran lain,” kata Menteri Inteligen, Yuval Seinitz kepada radio Israel.

(Baca: Bukti Holocaust Adalah Pembohongan Besar Yahudi)

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Zeev Elkin berkata: “Mengiktiraf Holocaust tidak cukup.”

Rowhani memberitahu CNN apa saja jenayah berlaku dalam sejarah termasuk jenayah Nazi terhadap Yahudi patut dicela dan dikutuk.

“Tidak ada beza sama ada jenayah itu membabitkan nyawa Kristian, Yahudi atau Muslim. Bagi Kami semuanya sama,” kata Rowhani.

Bagaimanapun, presiden itu mengutuk pembentukan negara Israel dengan merampas tanah kumpulan lain hanya untuk membalas dendam terhadap jenayah Nazi.

Temu bual Rowhani diadakan sehari selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendakwa presiden itu tidak mengiktiraf Holocaust. -AP

Friday, May 10, 2013

Azmin Perlu Cermin Dan Sedar Diri Sebelum Buat Kenyataan - Pemuda PAS

Azmin Perlu Cermin Dan Sedar Diri Sebelum Buat Kenyataan - Pemuda PAS

Dewan Pemuda Pas Selangor hari ini menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian yang mengatakan jawatan Menteri Besar Selangor mesti diperuntukkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika gabungan parti Pas, PKR dan DAP memerintah negeri itu.


Justeru, Timbalan Ketuanya, Mohd. Sany Hamzan meminta beberapa pemimpin PKR Selangor, termasuk Azmin Ali agar tidak melatah sebaliknya perlu "cermin diri dan sedar diri" sebelum membuat kenyataan berhubung perkara itu.

"Dewan Pemuda Pas negeri Selangor menganggap kenyataan (pemimpin PKR negeri) Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Shuhaimi Shafiei yang menekankan bahawa kerusi MB Selangor adalah kerusi tetap PKR ibarat orang tamak haloba yang tidak sedar diri terhadap kemampuan diri sendiri.

"Mungkin PKR Selangor masih bermimpi yang mereka masih memenangi kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri di) Selangor melebihi Pas dan DAP," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada pilihan raya umum Ahad lepas, pakatan pembangkang memenangi 44 daripada 56 kerusi DUN di negeri itu dengan Pas dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi manakala PKR 14 kerusi. Barisan Nasional (BN) pula menguasai 12 kerusi DUN.

Mohd. Sany berharap, pemimpin pakatan pembangkang Selangor akan menyelesaikan isu pelantikan menteri besar dalam masa terdekat dan pihaknya akan menghormati keputusan itu.

Azmin Ali Merajuk Jika Tak Dapat Jadi MB

Kalau diikutkan sistem demokrasi, Pas adalah yang paling layak untuk menjadi MB. Ini kerana mereka memperolehi jumlah kerusi yang sama banyak dengan parti DAP iaitu 15 kerusi berbanding PKR yang hanya mampu memperolehi 14 kerusi. Namun, pakatan nampaknya lebih senang untuk melantik calon MB daripada kalangan PKR berbanding Pas.


Dan sudah semestinya Azmin Ali selaku Timbalan Presiden sudah megah diri dan mahukan jawatan tersebut bagi menggantikan Khalid Ibrahim yang sudah memerintah Selangor sepenggal. Namun, apa yang menariknya Azmin Ali telah mengumumkan kepada para penyokong bahawa beliau akan meninggalkan PKR sekiranya tidak dipilih menjadi MB.

Krisis di Selangor kali ini kelihatan agak serius kerana DAP hanya mahukan PKR yang memenangi 14 kerusi untuk menjadi Menteri Besar berbanding Pas yang mempunyai 15 kerusi. DAP tidak mahu Azmin sebagai MB, manakala sumber Istana dikatakan lebih menyukai calon dari Pas.

Memang terang-teranganlah Istana sudah tidak mahu calon PKR jadi MB, masa Khalid jadi MB dulu sudah berapa kali Sultan Selangor murka dengan kerajaan Selangor. Mereka sesuka hati menggunakan nama Sultan dan tidak menghormati kedudukan Sultan sebagai pemerintah tertinggi di dalam negeri.

Berdasarkan krisis MB di Selangor ini, Anwar sehingga kini masih belum berani menyelesaikan masalah di Selangor dan hanya menumpukan usaha untuk melumpuhkan kerajaan Persekutuan.

Anwar dilihat lebih sibuk untuk menanamkan benih-benih kebencian rakyat kepada BN dengan menuduh kerajaan sekarang dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Rakyat mana yang mudah tertipu hanya menjadi burung kakak tua, mengangguk diamkan diri untuk terus ditipu dan ditipu oleh Anwar Ibrahim.

Manakala krisis MB Selangor ini masih mengundang kemarahan Azmin, beliau dilihat semalam ‘meroyan’ dengan Anwar yang tidak sudah-sudah menyalahkan orang lain. Tindakan Azmin ini telah dijangka setelah dalam twitternya semalam menyindir Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bermuhasabah diri mengenai kekalahan dan jangan menyalahkan lain.

Nampaknya, satu persatu pemimpin terdekat Anwar sudah semakin muak dan bosan dengan permainan Anwar ini. Sudah tak larat nak bermain dengan percaturan yang tidak pernah menjadi.

Sudahlah ditipu semua orang kata nak berhenti jika gagal dalam PRU13, tau-tau sambung buat perhimpunan pula. Masalah yang lebih besar tidak diselesaikan. MB perlu dilantik segera bagi dapat menjalankan urusan pentadbiran negeri secepatnya.

Tak lama lagi nampaknya, Azmin akan naik darah berpencak silat dengan Anwar umpama Tuah dan Jebat.

Pas tetap sokong Abdul Khalid jadi MB

Sementara itu, Pas tetap dengan pendirian menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar Selangor buat penggal kedua walaupun parti itu menang lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Ahad lalu.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan surat persetujuan berhubung perkara itu dan tidak timbul isu tentang wujud nama lain yang disebut-sebut untuk dilantik sebagai Menteri Besar selain Abdul Khalid.

-BERNAMA/UTUSAN

Saturday, May 04, 2013

Mustafa Ali Nafi Sebagai Lelaki Dalam Aksi Tak Senonoh

Mustafa Ali Nafi Sebagai Lelaki Dalam Aksi Tak Senonoh

Memang sudah dijangka dari awal, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sekali lagi tampil menafikan beliau individu yang dimaksudkan dalam video seks yang didakwa mengaitkan dirinya.

Lelaki dikatakan mirip Mustafa Ali.

“Saya tidak ada kena mengena dengan video berkenaan. Saya tidak terlibat dalam perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam,” kata Mustafa kepada penyokong yang ramai di Rusila pada malam Jumaat.

Mustafa, mendakwa Umno merupakan dalang dalam pembikinan video seks tersebut.

“Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (bekas pemimpin Umno) memberitahu saya ada unit khas dalam Umno yang bertanggungjawab menghasilkan video lucah,” dakwanya.

Mustafa berkata beliau telah mendapatkan nasihat daripada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama ada dia perlu membuat sumpah laknat menyatakan beliau tidak terlibat dalam video tersebut.

“Mereka kata tidak ada keperluan untuk berbuat demikian. Saya akan patuh kerana mereka adalah teras utama dalam parti dan saya tidak akan melakukan sumpah laknat,” katanya.

Rakaman video lucah itu tersebar di internet pada 11 April apabila sebuah blog memaparkan gambar pegun yang diambil daripada rakaman video berkenaan.

Rakaman penuh video tersebut, kemudiannya turut tersebar. Ia memaparkan seorang lelaki menyerupai Mustafa terlibat dalam aksi seks bersama seorang wanita yang dikatakan berlaku dalam sebuah bilik hotel.

Mustafa yang pada awalnya enggan mengulas mengenai video itu apabila ia tersebar, hanya mendakwa ia satu ‘fitnah jahat Umno’.

Pemimpin PAS bersungguh-sungguh mempertahankan Mustafa, Presiden PAS sendiri mendakwa adalah mustahil untuk Mustafa terlibat dengan aksi seks seperti itu kerana dia ‘tidak boleh duduk berlutut dan naik tangga dengan baik’.

Ini bukan kali pertama video seks melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat tersebar, sebelum ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dikaitkan sebagai individu yang terlibat dalam video seks yang disebarkan pada 2011.

–mStar

Sunday, April 28, 2013

Syarikat Insuran PruBSN Gondol 14 Anugerah

Syarikat Insuran PruBSN Gondol 14 Anugerah

Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) menerima sebanyak 14 anugerah pada majlis Takaful Starnite 2013 anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA) di sini baru-baru ini.


PruBSN melalui satu kenyataan media memberitahu anugerah tersebut diperoleh daripada enam kategori yang dipertandingkan iaitu Top Rookie, Top Agent, Top Unit Manager, Top Agency Manager (Direct), Top Agency Manager (Group) and Top Recruiter (Leader).

“ Acara ini mengiktiraf pencapaian warga kerja, ejen agensi dan ejen yang telah menunjukkan prestasi mengagumkan,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Azim Mithani dalam kenyataan sama berkata, beliau gembira kerana ejen syarikat tersebut diiktiraf oleh MTA.

Menurut beliau, penganugerahan itu sekali gus membuktikan komitmen, profesionalisme dan kesungguhan ejen PruBSN dalam menjalankan perniagaan.

Tambah beliau, kejayaan itu juga mengambarkan pencapaian PruBSN yang semakin meningkat sebagai pengendali takaful terkemuka di negara ini.

“Kami memberi penghormatan ini kepada ejen kami,” katanya lagi.

-Mynewshub

Thursday, April 18, 2013

Pendirian Karpal Singh Kekal, Tiada Hudud!

Pendirian Karpal Singh Kekal, Tiada Hudud!

Nampaknya, PAS memang nyata bermimpi di siang hari apabila mahu memperjuangkan negara Islam dan memperkenalkan hudud melalui kerjasama politik dengan DAP.


Bayangkan, Pengerusi DAP, Karpal Singh sanggup membuat video profesional yang kemudiannya disebarkan menggunakan promote button Facebook semata-mata mahu memastikan pendirian beliau berhubung hudud difahami seramai mungkin orang.

Kesungguhan itu mencerminkan betapa Karpal mahu semua orang terutama ahli PAS faham bahawa hudud sama sekali tidak boleh dilaksanakan di negara ini dalam apa keadaan pun.

Dalam video sepanjang 4:21 saat yang dimuat naik ke Youtube sejak Ahad lepas, Karpal menjelaskan bahawa Malaysia adalah negara sekular, menjadikan undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan.

“Pada 1988, lima hakim Supreme Court memutuskann bahawa undang-undang di Malaysia adalah undang-undang sekular, bermakna kita adalah negara sekular.

“Dan dalam negara sekular, kita tidak boleh ada undang-undang selain sekular, jadi pendirian kami sudah jelas, kami harap rakan kami dalam PAS akan faham pendirian kami,” katanya.

Kenyataan beliau dengan jelas memperlihatkan pintu kerjasama dengan DAP untuk memperkenalkan undang-undang Islam ditutup rapat.

Jika begitu keras sekali pendirian DAP, temberang apa yang PAS suapkan kepada para pengikutnya setiap hari?

Dalam video yang sama, Karpal dilihat memberikan isyarat bahawa Pakatan Rakyat akan mendakwa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas kesalahan guna kuasa jika mereka memenangi pilihan raya umum.

Agak pelik untuk seorang peguam yang senior seperti beliau memberitahu untuk mendakwa Dr Mahathir sedangkan belum ada penyiasatan dan bukti jelas berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.

Apa yang ada hanyalah persepsi yang diwujudkan pembangkang sendiri berhubung pentadbiran Dr Mahathir dan Karpal nyata membuat kenyataan berdasarkan persepsi itu.

“Saya harap, orang seperti Dr Mahathir dan yang lain sepertinya akan mampu menahan dakwaan penyalahgunaan kuasa ketika era pentadbiran Dr Mahathir,” katanya.

Jelas beliau, adalah penting untuk rakyat tahu bahawa tidak ada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang.



Dalam klip berkenaan, Karpal juga menzahirkan sistem perundangan melibatkan raja-raja di negara ini perlu diubah.

-Mynewshub

Mayat Margaret Thatcher Akan Dibakar Di Mortlake London

Mayat Margaret Thatcher Akan Dibakar Di Mortlake London

Sejumlah 2,300 orang yang terdiri daripada anggota keluarga diraja, tetamu kehormat dan peminat memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher semalam.


Thatcher yang digelar 'Wanita Besi' oleh pemerintah bekas negara Kesatuan Soviet diberikan penghormatan terakhir dengan melibatkan anggota-anggota tentera, nyanyian patriotik dan linangan air mata.

Thatcher meninggal dunia pada 8 April lalu pada usia 87 tahun kerana diserang strok semasa beliau membaca buku di Hotel Ritz di London.

Kerandanya diarak menaiki kereta kuda sebelum dibawa memasuki Gereja St. Paul oleh beberapa anggota tentera darat dan laut Britain untuk upacara keagamaan.

Majlis tersebut dihadiri oleh pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan 11 Perdana Menteri dari seluruh dunia.

Mayatnya akan dibakar di Mortlake di barat daya London.

Bagaimanapun, seramai 200 orang bertindak mengejek majlis tersebut dengan berkata: "Maggie, Maggie, Maggie! Sampah, sampah, sampah."

Maggie ialah nama jolokan buat Thatcher.

Kumpulan tersebut berang kerana majlis pengebumian besar-besaran itu menelan belanja yang mahal iaitu sekitar £10 juta (RM46.1 juta).

-Reuters

Pertarungan Paling Panas PRU 13 Di Sabah

Pertarungan Paling Panas PRU 13 Di Sabah

Dalam pertembungan akhir antara adik-beradik terkenal di Sabah, keluarga Kitingan, Presiden Parti Bersatu Sabah(PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sekali lagi akan bertemu adiknya Datuk Dr Jeffrey, di kerusi Parlimen Keningau.

Pairin Kitingan (kiri) dan Jeffrey Kitingan

Pertarungan itu menghangatkan suasana pilihan raya dalam komuniti Kadazandusun Murut, yang menganugeah gelaran Huguan Siou atau Ketua Agung kepada Pairin.

Semalam, Pairin yang ditemui selepas pelancaran Gelombang Biru Barisan Nasional (BN) dan jentera pilihan raya negeri oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di Penampang di sini, berkata beliau akan mempertahankan kerusi Keningau dan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

Kini berusia 72 tahun, Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri menyifatkan PRU13 sebagai perjuangan akhirnya untuk mengekalkan kedua-dua kerusi berkenaan, yang merupakan kubu kuat BN, dan untuk penduduk Sabah.

PBS ialah antara parti anggota komponen BN Sabah.

Dr Jeffrey, 65, yang juga Pengerusi Parti Reformasi Negeri Sabah (Star), pada Isnin mengesahkan akan sekali lagi bertanding di Keningau setelah kalah kepada abangnya pada pilihan raya umum lepas, dan kerusi DUN Bingkor, yang beliau turut tewas pada masa yang sama.

Pada pertarungan pertama kedua beradik itu pada 2008, Pairin menang kerusi Keningau dengan 4,264 majoriti dalam perlawanan tiga penjuru, termasuk Jeffrey.

Beliau mengekalkan kerusi Tambunan dengan majoriti 2,781 menewaskan Mozes Michael Iking, dari PKR.

Pairin yang menceburi politik pada 1974, dan tokoh yang dipandang tinggi di Sabah, menggesa penduduk supaya terus menyokong BN bagi merealisasikan Program Transformasi Kerajaan dan Wawasan 2020 untuk mencapai status negara maju.

"Kami tahu rakyat akan membuat penilaian bijak dan memilih BN berbanding pembangkang yang tidak bersatu dan tidak boleh dipercayai," katanya.

Pada PRU13, beliau berkata PBS akan menurunkan beberapa muka baharu. PBS memenangi tiga kerusi parlimen dan 12 DUN pada 2008.

-Bernama

Monday, April 15, 2013

Lelaki Parah Ditetak Ketika Pasang Bendera Parti

Lelaki Parah Ditetak Ketika Pasang Bendera Parti

Seorang lelaki parah akibat ditetak ketika sedang memasang bendera sebuah parti politik di Kemaman kelmarin.


Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu Supt Koh Ah Tiam berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam itu dipercayai berpunca akibat perebutan kawasan untuk memasang bendera parti.

Katanya mangsa berusia 40-an bersama empat lagi rakannya sedang memasang bendera parti apabila dihampiri sekumpulan lelaki yang kemudiannya bertindak di luar kawalan dengan menetak mangsa menggunakan parang.

“Akibat tetakan itu mangsa mengelami kecederaan parah di bahagian hadapan dan belakang badan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ampuan Afzan, Kuantan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya polis sedang memburu kumpulan suspek yang dipercayai dianggotai 10 orang berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Tiam berkata sehingga kini sebanyak tujuh laporan polis dibuat berhubung kes pergaduhan melibatkan parti politik dan ini merupakan kes pertama yang mendatangkan kecederaan.

Beliau mengingatkan penyokong parti politik supaya jangan bertindak di luar batasan dan sebaliknya membuat laporan polis sekiranya bendera dan poster parti mereka dirosakkan.

–BERNAMA

Saturday, March 30, 2013

Jutawan Wanita Malaysia Yang Ditahan Rupanya Isteri Ashaari

Jutawan Wanita Malaysia Yang Ditahan Rupanya Isteri Ashaari

Isteri Allahyarham Ashaari Muhammad, Hatijah Aam, yang ditahan di Makkah kelmarin kerana disyaki memimpin ajaran sesat dipercayai memiliki aset ratusan juta ringgit.


Hatijah bersama lima anaknya dan 84 rakyat Malaysia dan sembilan warga Indonesia ditahan dalam tiga operasi berasingan di Makkah kerana didakwa mengamalkan amalan meragukan, bidaah dan menjalankan aktiviti nasyid berunsur syirik.

(Baca: Jutawan Wanita Malaysia Ditangkap Polis Arab Saudi)

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen Arab Saudi, tinggal tanpa permit.

Kelmarin media tempatan negara itu, SABQ melaporkan kumpulan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Al-Arqam yang diharamkan di Malaysia sejak Disember 2006.

Wanita berusia 52 tahun itu dan anak-anaknya tinggal di banglo mewah milik mereka yang dinamakan Istana Rasulullah Saidi Abuyya (RSA), manakala pengikutnya tinggal di chalet Nur Muhammad dan Mat’am Asaari, juga di kawasan mewah di Makkah.

Tujuh pemimpin yang turut ditahan bersama Hatijah ialah Hasnan Abd Hamid, Abd Rahman Said, Abd Rahman Ahmad, Johari Murad, Azri Mohd Yunus, Dr Hamzah Osman dan Inamullah Asaari.

Menurut sumber, semua mereka ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Jeddah, Arab Saudi bagi siasatan lanjut. Mengikut rekod, semua yang ditahan masuk ke Arab Saudi menggunakan pas lawatan sosial, yang sudah tamat tempoh. Bagaimanapun, pasport Hatijah masih aktif sehingga Oktober 2014.,” katanya ketika ditemui BH, di sini, semalam.

BH difahamkan, tangkapan yang diketuai Mejar Turkey bin Mohamad As-Sowat dengan Imigresen Arab Saudi itu hasil maklumat awam berhubung kegiatan Hatijah, yang dipercayai mempengaruhi jemaah Umrah dan Haji dari Malaysia supaya menetap dan bekerja untuknya di Makkah.

Sumber itu berkata, kumpulan Hatijah ini memperoleh keuntungan hasil pelbagai rangkaian perniagaan pelancongan, ternakan, restoran, industri makanan dan pelbagai rangkaian yang beroperasi di lebih 20 negara, termasuk Jerman, London, Australia, Indonesia, Thailand dan negara lain di seluruh dunia.

“Modus operandi kumpulan ini lebih bertujuan mengekalkan dan menguatkan pengaruh sesama ahli bagi memastikan rahsia kegiatan kumpulan mereka selamat,” katanya.

Selain itu, sumber berkata, di negara ini kumpulan itu mempunyai lebih 3,000 pengikut di tujuh lokasi, yang beribu pejabat di Makkah.

Tujuh lokasi itu dikenal pasti di Sungai Penchala, Bandar Country Homes, Selangor; Batu Hampar, Perak; Kampung Pilin, Negeri Sembilan; Kampung Pochan, Kedah; Rompin, Pahang dan Pasir Puteh, Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay mengesahkan penahanan terbabit, bagaimanapun berkata, jumlah sebenar penahanan dan pertuduhan hanya akan diketahui pada hari ini kerana semalam adalah cuti hujung minggu di Arab Saudi.

-Bharian

Friday, March 29, 2013

Jutawan Wanita Malaysia Ditangkap Polis Arab Saudi

Jutawan Wanita Malaysia Ditangkap Polis Arab Saudi

Seorang jutawan wanita dan 95 orang pengikutnya yang terdiri daripada warga Malaysia dan Indonesia ditahan dalam satu serbuan oleh pihak berkuasa Arab Saudi di sebuah villa di sini semalam.


Berumur 52 tahun, dia dan pengikutnya diberkas kerana disyaki menjalankan kegiatan ‘mencurigakan’ dan ‘penyelewengan’ dalam agama.

Serbuan dibuat di tiga buah lokasi banglo mewah iaitu dua buah di daerah Al Khalidiya dan sebuah lagi di kawasan di antara Mekah dan Jeddah.

Difahamkan, wanita berkenaan yang juga KETUA KUMPULAN itu kini hidup mewah di sini hasil daripada kegiatan ‘mencurigakan’ dia dan pengikutnya itu.

Kesemua banglo itu dipercayai disewa untuk memudahkan kegiatan dan pergerakan ahli kumpulan tersebut.

-Mynewshub

Kapal Perang Amerika Di Potong Di Perairan Sulu

Kapal Perang Amerika Di Potong Di Perairan Sulu

Badan depan sebuah kapal pembersih periuk api milik tentera Amerika Syarikat (AS), USS Guardian dipotong selepas ia terperangkap di Terumbu Tubbataha di Laut Sulu, lapor akhbar Philippine Daily Inquirer semalam.

Bahagian depan kapal itu diangkat dengan menggunakan sebuah 
kren selepas ia dipotong di Terumbu Tubbataha, Laut Sulu.

Jurucakap Pasukan Pengawal Pantai Filipina, Leftenan Komander Armand Balilo berkata, sebuah pasukan berjaya melakukan operasi tersebut.

Badan kapal yang dipotong itu diletakkan di dalam sebuah tongkang kelmarin. Menurutnya, pasukan penyelamat akan melakukan operasi memotong baki bahagian badan kapal itu.

Operasi memotong bahagian kapal sepanjang 68 meter itu bermula sejak 22 Februari lalu. Bagaimanapun, operasi memotong itu terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk.

Operasi memotong kapal itu dilakukan dengan menggunakan sebuah kren di atas sebuah kapal lain. Kapal itu terkandas pada 17 Januari lalu selepas ia tersilap memasuki kawasan terumbu karang.

-Agensi

Tuesday, March 26, 2013

Kerajaan Filipina Berkeras Mahu Tuntut Sabah

Kerajaan Filipina Berkeras Mahu Tuntut Sabah

Kerajaan Filipina mungkin mengemukakan tuntutannya ke atas Sabah selepas Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima hari ini membayangkan akan berbuat demikian.


Akhbar Filipina melaporkan, perkara itu mungkin berlaku selepas De Lima mengesahkan bahawa Jabatan Kehakiman telah mengemukakan satu cadangan daripada sudut undang-undang kepada Presiden Benigno Aquino III berhubung tuntutan tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan dokumen berkenaan.

De Lima berkata, Filipina mungkin mengemukakan isu tersebut kepada 'tribunal berkaitan'.

"Persoalan yang timbul sekarang, adakah kami mempunyai alasan kukuh dan sah jika membawa perkara ini kepada tribunal berkaitan," katanya kepada wartawan di Persidangan Kumpulan Pakar Persaingan ASEAN di sini hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kehakiman telah melakukan kajian daripada aspek undang-undang berhubung tuntutan ke atas Sabah dan mengemukakan cadangan itu kepada Aquino untuk diluluskan.

"Terpulang kepada Presiden sama ada beliau mahu menimbang kajian itu atau tidak," katanya.

Aquino sebelum ini dilapor menugaskan Jabatan Kehakiman dan Jabatan Luar supaya meneliti kesahihan tuntutan Kiram ke atas Sabah.

Menurut beliau, isu pemilikan Sabah oleh pengikut Jamalul Kiram III adalah satu pengulangan sejarah, ketika bekas Presiden, Ferdinand Marcos melancarkan rancangan untuk menceroboh Sabah pada 1968, yang dikenali sebagai pembunuhan Jabidah.

-Agensi

Monday, March 18, 2013

Mata Pelajaran B.Inggeris SPM Wajib Lulus Bermula 2016

Mata Pelajaran B.Inggeris SPM Wajib Lulus Bermula 2016

Syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemungkinan besar akan mula dikuatkuasakan pada 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, tahun itu juga adalah permulaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian sedang membuat persiapan rapi melalui gelombang pertama pelan pendidikan itu, termasuk melatih kira-kira 61,000 guru Bahasa Inggeris untuk menjadi lebih mahir dan pakar dalam pengajaran subjek itu.

“Kemungkinan besar jika semua pihak bersetuju dan juga kita lihat ada persiapan lengkap, kita boleh mulakan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris pada 2016. Tahun itu dianggap sesuai kerana ada jangka masa antara dua atau tiga tahun sebelum dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Memperkukuhkan Literasi dan Penguasaan Bahasa Inggeris peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Sirusa, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Samad.

SK Kampung Baru Sirusa adalah antara 75 sekolah di negeri ini yang menyertai program Teaching of English Language and Literacy (TELL), iaitu program tiga tahun untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru sekolah rendah.

Muhyiddin berkata, kementerian sedar ketika ini kira-kira 20 peratus pelajar gagal Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, beliau yakin peratusan itu akan menurun apabila syarat wajib lulus itu dilaksanakan dengan pelajar yang lemah akan dibantu.

“Kalau kita dapati pelajar terbabit perlukan intervensi kerana lemah Bahasa Inggeris, kita boleh tokok menggunakan kelas tuisyen atau tambahan jika dianggap perlu di sekolah terpilih.

“Langkah ini boleh menentukan sebahagian besar pelajar mendapat kelulusan dalam Bahasa Inggeris. Bukan kredit, lulus saja,” katanya.

Jika gagal juga, Muhyiddin berkata, pelajar akan diberi peluang menduduki kertas Bahasa Inggeris pada Julai, iaitu selepas keputusan SPM dikeluarkan dan mendapat sijil penuh jika lulus.

Beliau berkata, perkara itu sedang diperhalusi, tetapi kemungkinan sudah sampai masa syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dilaksanakan.

-Bharian

Tuesday, March 12, 2013

Kumpulan Samseng Diketuai 'Datuk Sulu' Bergaduh Rebut Projek

Kumpulan Samseng Diketuai 'Datuk Sulu' Bergaduh Rebut Projek

Ketika negara dikejutkan dengan pencerobohan pengganas Sulu di Sabah, lain pula berlaku di sini apabila dua kumpulan yang diketuai dua lelaki yang dikurniakan gelaran 'Datuk' oleh Kesultanan Sulu bergaduh sesama sendiri di sebuah restoran di Teras Jernang, Bangi ahad lalu.


Pergaduhan melibatkan 20 lelaki bersenjatakan parang itu berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika dua Datuk berkenaan bersama pengikut masing-masing datang ke restoran tersebut untuk berbincang mengenai status satu projek di Sungai Merab, Sepang yang terbengkalai.

Kedua-dua Datuk yang berusia 30-an dan 40-an itu, masing-masing aktif dalam dunia politik dan perniagaan perlancongan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, seramai 12 orang termasuk dua Datuk tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

-UTUSAN

Saturday, March 02, 2013

Tian Chua Diselar Tidak Sensitif Isu Lahad Datu

Tian Chua Diselar Tidak Sensitif Isu Lahad Datu

Beberapa pemimpin dan pemerhati politik hari ini menyelar Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dilapor mengaitkan insiden tembakan di Lahad Datu, Sabah hari ini dengan konspirasi terancang kerajaan Umno untuk mengalih perhatian dan menakutkan rakyat.


Mereka berkata, kenyataan Tian Chua itu tidak bertanggungjawab dan keterlaluan memandangkan tindakan pihak berkuasa terhadap kumpulan bersenjata dari selatan Filipina itu bersabit soal keselamatan dan keamanan negara.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, kenyataan Tian Chua itu adalah skrip standard dari DAP yang langsung tidak peka dan tidak sensitif kepada isu keselamatan negara.

“Dengan membuat kenyataan seumpama ini, dia boleh dianggap sebagai manusia yang mempunyai martabat paling rendah. Ini adalah satu kenyataan melulu yang tidak kita harapkan daripada seorang manusia yang sopan.

“Apa yang boleh kita harapkan daripada dia apabila kita betul-betul berada dalam peperangan jika dia boleh mengeluarkan kenyataan seumpama itu terhadap insiden pencerobohan di Lahad Datu,” katanya kepada Bernama apabila dihubungi.

Antara lain, laporan yang tersiar di laman berita rasmi PKR itu memetik Tian Chua sebagai berkata pencerobohan di Lahad Datu itu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat, seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.

“Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing,” kata Ahli Parlimen Batu itu.

Justeru, Tunku Abdul Aziz mahu rakyat menilai peribadi Tian Chua dan berfikir sebelum memilih pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina.

Kejadian itu turut menyaksikan 12 penceroboh bersenjata yang merupakan sebahagian daripada 180 pengikut ‘Sultan Sulu’ yang dikepung pasukan keselamatan Malaysia, terkorban.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menyifatkan kenyataan Tian Chua itu sebagai “jahat dan jahil” .

“Umno tidak akan mempermainkan soal keselamatan negara dan tidak mungkin menjadi pengkhianat kepada negara tercinta yang Umno telah berjuang untuk memerdekakan.

“Umno bukan macam pembangkang dalam beberapa peristiwa yang lepas telah mengkhianati negara ini,” katanya.

Bekas Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Datuk Muhammad Abdul Ghani pula berkata, seharusnya semua pihak ketika ini bersatu dan tidak mencampur aduk politik dengan soal keselamatan negara.

Tegasnya, tindakan sewajarnya harus diambil terhadap Tian Chua dan mana-mana pihak yang dilihat menghasut rakyat supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

Laman Twitter dan Facebook turut dihujani komen-komen yang menghentam kenyataan Tian Chua itu dan mahu tindakan tegas diambil terhadapnya.

–BERNAMA

Thursday, February 28, 2013

Brennan Tidak Layak Jadi Ketua CIA Kerana Beragama Islam?

Brennan Tidak Layak Jadi Ketua CIA Kerana Beragama Islam?

Bekas ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) John Guandolo mendakwa Ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang dilantik oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, John Brennan memeluk agama Islam sejak 90-an lagi.

Brennan dipilih secara merit oleh Obama Januari lalu.

Guandolo mendedahkan, Brennan, 57, memeluk Islam di Arab Saudi dan telah melawat Makkah dan Madinah ketika musim haji bersama pegawai kerajaan Saudi.

Perkara itu didedahkan Guandolo ketika temu bual radio US Trento di Washington.

Dua minggu lalu, Al Arabiya News turut melaporkan, Brennam memeluk agama Islam ketika beliau bertugas sebagai ketua CIA di Riyadh antara 1996 hingga 1999 dan membuat amalan yang dilakukan oleh seorang Muslim.

Guandolo yang bersara dari FBI sejak 2008 itu mendedahkan perkara berkenaan dengan tujuan untuk menyatakan bahawa Brennan tidak layak mengetuai CIA kerana beliau beragama Islam.

“Brennan tidak layak menjawat jawatan di CIA dan penukaran agama itu sudah pasti melibatkan pengaruh seseorang ketika beliau berkhidmat di Saudi,” katanya.

Guandolo yang dikenali sebagai anti-Islam menambah, sekiranya Brennan menerajui CIA maka usaha AS dalam menghapuskan militan Al- Qaeda menjadi sukar kerana faktor pegangan agama masing-masing.

“Saya harap pelantikan beliau ditentang Senat dan Obama perlu meneliti semula pelantikan tersebut kerana seperti ada agenda tersembunyi dalam pelantikan yang tergesa-gesa itu,” katanya.

Brennan pernah menjawat beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Penasihat Keselamatan untuk keselamatan domestik dan anti-pengganas selama tiga dekad.

Pelantikan Brennan dikecam penduduk Amerika Syarikat.

Beliau dicalonkan sebagai ketua baru CIA pada 7 Januari lalu oleh Obama bagi menggantikan Jeneral David Petraeus yang bersara susulan skandal dengan penulis biografinya.

Bekas calon Presiden AS, Senator John McCain juga dipercayai tidak akan menyokong pelantikan Brennan sehingga laporan serangan ke atas Konsulat AS di Benghazi, Libya, September lalu diperoleh.

“Kami mahukan laporan penuh berhubung kejadian itu. Obama seolah menganggap kesemua kejadian menimpa pegawai AS di luar negara seperti tidak pernah terjadi,” katanya.

Menurutnya, pelantikan ini seperti satu permainan yang memperjudikan keselamatan AS.

-The Telegraph

Wednesday, February 27, 2013

Gara-gara Terlalu Mabuk Besi Payung Tertusuk Di Muka

Gara-gara Terlalu Mabuk Besi Payung Tertusuk Di Muka

Jessica Yates dilaporkan terlalu mabuk dan secara tidak sengaja terjatuh dari katil hotel dan mukanya tercucuk dawai rangka payung yang baru digunakan.


Disebabkan payung itu tidak ditutup dengan betul, dawainya yang terbuka kemudian menusuk gusi dan tembus ke mulut.

Bagaimanapun, Jessica, 22, dari Solihull, West Midlands, mengakui dia terlalu mabuk ketika itu dan tidak dapat merasai kesakitan itu pada peringkat awal. Rakan Jessica, Laura Sullivan, menghubungi talian kecemasan selepas mendapati kecederaan itu serius dan terlalu berbahaya untuk ditarik sendiri.

Jessica kemudian dibawa berjumpa dengan anggota paramedik dan dikejarkan ke hospital dalam keadaan payung itu masih tergantung di mukanya.

Kata Jessica, di hospital, pegawai perubatan memotong patung berkenaan dan membiarkan kira-kira 15 sentimeter dawai itu masih tercucuk ke mulutnya.

Keadaan Jessica bersama sebahagian daripada dawai 
rangka payung yang terlekat di mukanya.

Dia kemudian dibawa ke hospital kedua dan diberi ubat pelali sebelum membolehkan pembedahan untuk membuang dawai berkenaan dijalankan.

Pengurus kedai kasut itu dibenarkan pulang keesokan harinya dengan beberapa jahitan berserta cebisan payung itu yang masih kekal di gusinya.

Kata Jessica, kemalangan itu berlaku ketika dia dan beberapa kawan berkongsi bilik di Watford selepas puas berpesta.

“Kami menghabiskan malam dengan minum di bar tempatan dan pulang berpayung kerana hujan jam 2 pagi,” katanya. Ketika tiba di bilik, kata Jessica, dia mencampakkan payung kecil itu ke lantai dan tidak menyedari ia dibiarkan dalam keadaan terbalik.

–Daily Mail

Tuesday, February 26, 2013

Pembuat Sos Pedas Terkenal Meninggal Dunia

Pembuat Sos Pedas Terkenal Meninggal Dunia

Ketua pegawai eksekutif dan pengerusi lembaga Syarikat McIlhenny, syarikat yang membuat tanda niaga sos pedas Tabasco dan produk lain, Paul C. McIlhenny meninggal dunia, menurut syarikat itu, Ahad. Beliau berusia 68 tahun.


Satu kenyataan syarikat yang dikeluarkan di ibu pejabat Pulau Avery di selatan Louisiana berkata McIlhenny meninggal dunia pada Sabtu.

McIlhenny merupakan salah seorang ahli keluarga yang mempunyai syarikat berusia 145 tahun dan menghasilkan sos Tabasco yang terkenal di dunia untuk beberapa generasi.

Menurut kenyataan, beliau menyertai syarikat itu pada tahun 1967 dan secara langsung menyelia pengeluaran dan kualiti semua produk yang dijual di bawah jenama Tabasco selama 13 tahun.

Di bawah bimbingan McIlhenny, syarikat itu mengalami pertumbuhan rekod dalam jualan dan pendapatan selama bertahun-tahun dan turut memperkenalkan beberapa perisa baru, sos dan produk lain.

"Semua di syarikat McIlhenny dan keluarga McIlhenny dan Avery amat sedih dengan berita ini," kata Tony Simmons, presiden Syarikat McIlhenny dan ahli keluarga McIlhenny.

"Kami jelas akan merindui kepimpinan Paul tetapi secara khususnya lebih akan merasakan kehilangan kepintaran, daya tarikan dan kelucuannya yang tidak memberikan tekanan."

-mStar

Friday, February 22, 2013

Penjualan Rokok Elektronik Tidak Haram

Penjualan Rokok Elektronik Tidak Haram

Penjualan rokok elektronik tidak haram, namun cecairnya yang mengandungi nikotin perlu didaftar dengan Kementerian Kesihatan.


Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berkata, kegagalan berbuat demikian mungkin boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Racun 1952.

(Baca: Menjual Dan Memiliki Rokok Elektronik Adalah Satu Kesalahan)

Menurutnya, operasi akan terus dijalankan bagi memastikan penjual cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin dapat mendaftarkan bahan itu dengan segera.

“Rokok elektronik tidak haram dan boleh dibeli, tetapi jika cecairnya mengandungi nikotin maka ia (cecair) perlu didaftar dengan Kementerian Kesihatan.

“Namun jika cecair tidak mengandungi nikotin, tiada masalah untuk menjualnya,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, sekatan penjualan bahan itu yang berlaku sebelum ini sepatutnya tidak berlaku kerana ada antara individu menghisapnya untuk berhenti merokok.

“Kontroversi yang timbul sebelum ini mungkin disebabkan cecairnya mengandungi nikotin.

“Namun, ada antara mereka yang hendak berhenti merokok dan menghisapnya memerlukan nikotin… jika tidak mungkin akan timbul masalah kesihatan kerana berhenti (merokok) mengejut,” ujarnya.

Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan menjelaskan, menjual, mengedar atau menyimpan rokok elektronik adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Beliau dipetik sebagai berkata, ini kerana pihaknya telah mengesan kehadiran nikotin di dalam cecair rokok elekronik dalam pelbagai kepekatan tertentu.

-Borneo Post

Thursday, February 21, 2013

Binatang Paling Merbahaya Serang Pemandu Pelancong

Binatang Paling Merbahaya Serang Pemandu Pelancong

Seekor biawak komodo dipercayai menyerang pemandu pelancong di Taman Negara Komodo, timur, Indonesia.


Pegawai taman negara berkenaan, Heru Rudiharto berkata, biawak spesies naga yang bersaiz 2.5 meter panjang tiba-tiba muncul dan menyerang Abdul Rachman ketika sedang memberi penerangan kepada empat pelancong.

“Mangsa gagal mempertahankan diri menyebabkan betis kanannya cedera,” katanya.

Serangan itu adalah yang kedua dalam bulan ini di taman negara yang sama.

Komodo spesies naga itu hanya boleh ditemui di pulau Komodo, Padar dan Rinca.

-JP