Monday, March 18, 2013

Mata Pelajaran B.Inggeris SPM Wajib Lulus Bermula 2016


Syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kemungkinan besar akan mula dikuatkuasakan pada 2016, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, tahun itu juga adalah permulaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian sedang membuat persiapan rapi melalui gelombang pertama pelan pendidikan itu, termasuk melatih kira-kira 61,000 guru Bahasa Inggeris untuk menjadi lebih mahir dan pakar dalam pengajaran subjek itu.

“Kemungkinan besar jika semua pihak bersetuju dan juga kita lihat ada persiapan lengkap, kita boleh mulakan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris pada 2016. Tahun itu dianggap sesuai kerana ada jangka masa antara dua atau tiga tahun sebelum dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Memperkukuhkan Literasi dan Penguasaan Bahasa Inggeris peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Sirusa, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Samad.

SK Kampung Baru Sirusa adalah antara 75 sekolah di negeri ini yang menyertai program Teaching of English Language and Literacy (TELL), iaitu program tiga tahun untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru sekolah rendah.

Muhyiddin berkata, kementerian sedar ketika ini kira-kira 20 peratus pelajar gagal Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, beliau yakin peratusan itu akan menurun apabila syarat wajib lulus itu dilaksanakan dengan pelajar yang lemah akan dibantu.

“Kalau kita dapati pelajar terbabit perlukan intervensi kerana lemah Bahasa Inggeris, kita boleh tokok menggunakan kelas tuisyen atau tambahan jika dianggap perlu di sekolah terpilih.

“Langkah ini boleh menentukan sebahagian besar pelajar mendapat kelulusan dalam Bahasa Inggeris. Bukan kredit, lulus saja,” katanya.

Jika gagal juga, Muhyiddin berkata, pelajar akan diberi peluang menduduki kertas Bahasa Inggeris pada Julai, iaitu selepas keputusan SPM dikeluarkan dan mendapat sijil penuh jika lulus.

Beliau berkata, perkara itu sedang diperhalusi, tetapi kemungkinan sudah sampai masa syarat wajib lulus Bahasa Inggeris dilaksanakan.

-Bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon