Friday, November 04, 2022

Adakah Dajjal Hanya Seorang Ataupun Ramai?


Di antara fitnah terbesar yang akan dihadapi pada akhir zaman adalah kemunculan dajjal. Oleh kerana itu Nabi SAW mengajarkan satu doa sebagai satu cara untuk mengelakkan fitnah tersebut.

Doa tersebut sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah bahawa Nabi SAW berdoa yang maksudnya, "Ya Allah aku berlindung kepada Engkau daripada fitnah neraka dan azab api neraka. Aku juga berlindung kepada Engkau daripada fitnah kubur dan keburukan hasil daripada firnah kekayaan dan kefakiran. Ya Allah, aku berlindung kepada Engkau daripada keburukan fitnah Al-Masih Al-Dajjal." Riwayat Al-Bukhari (6377) & Muslim (7046)

Tentera Dajjal

Bahkan di dalam riwayat hadis yang lain menggambarkan betapa kemunculan dajjal akan menguji dan menggocang keimanan.

Ini dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya, "Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya. (Tiga perkara tersebut adalah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan juga al-Dabah yang melata di bumi." Riwayat Muslim (158)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, memang di sana terdapat hadis yang menceritakan bahawa akan muncul pada akhir zaman pendusta yang disebut sebagai dajjal.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya, "Akan datang pada akhir zaman (kemunculan) dajjal-dajjal para pendusta. Mereka akan datang kepada kalian dengan ucapan-ucapan yang tidak pernah kalian dengar. Bahkan ayah-ayah kalian juga tidak pernah mendengarnya. Maka jauhilah mereka. Mereka tidak akan menyesatkan kalian mahupun mendatangkan fitnah kepada kalian." Riwayat Muslim (16)

Di dalam riwayat yang lain menyebut yang maksudnya, "Tidak akan terjadinya kiamat sehinggalah dibangkitkan dajjal-dajjal yang menipu yang mana jumlah mereka lebih kurang 30 orang. Setiap daripada mereka mendakwa bahawa dialah utusan Allah." Riwayat Al-Bukhari (3609), Al-Tirmizi (2218) & Abu Daud (4333)

Jika diperhatikan di dalam riwayat-riwayat ini disebutkan dajjal dalam bentuk kata jamak iaitu dajjalun yang membawa maksud dajjal-dajjal.

Namun begitu, adakah ianya bermakna bahawa dajjal itu ada ramai?

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani menyebut yang maksudnya, "Dajal itu membawa maksud menutup dan menyembunyikan. Ia juga kadang-kadang membawa makna menipu. Oleh kerana itu, perkataan kazzabun (pendusta) adalah sebagai penguat kepada perkataan dajjal." (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 6/616)

Sheikh Syamsul Haq Al-‘Azim Al-Abadi menjelaskan perkataan dajjal yang disebutkan di dalam hadis tersebut yang maksudnya, "(Maksud dajjal) ialah belitan dan kekeliruan. Iaitu banyaknya perancangan jahat dan kekeliruan." (Rujuk 'Aun Al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 9/1446)

Imam Al-Nawawi berkata yang maksudnya, "Ianya berasal dari perkataan Al-Dajl yang membawa makna menyembunyikan perkara yang sebenar dan mempersembahkan sesuatu yang tidak bernilai. Mereka ini terdapat pada setiap zaman." (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 18/45).

Bahkan jika dilihat pada zaman Rasulullah SAW terdapat beberapa orang yang dipanggil sebagai dajjal. Antaranya Ibnu Sayyad, Musailamah dan ramai lagi. Maulana Anwar Syah Al-Kashmiri menyebut bahawa Ibnu Sayyad itu bukannya dajjal yang sebenar.

Ini berdasarkan satu kenyataan yang terdapat di dalam Musannad Abdurrazzaq yang maksudnya, "Wahai orang ramai, sesungguhnya Ibnu Sayyad itu bukanlah dajjal yang besar."

Maka dinamakan sebagai dajjal adalah kerana sifat dustanya dan penuh dengan penipuan. (Rujuk Faidh Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari, 3/120).

Kesimpulannya, berdasarkan apa yang telah dinyatakan, hadis tersebut bukan bermakna dajjal itu adalah ramai.

Dajjal yang disebut sebagai Al-Masih itu seorang yang akan muncul pada akhir zaman sebagai tanda hampirnya kiamat.

Dajjal yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah bersifat umum yang bermaksud penipu, pembohong dan pendusta yang suka menyebarkan pembohongan sehingga dipercayai oleh ramai orang.

Semoga Allah memberikan kefahaman dan menjauhkan kita dari menjadi dajjal-dajjal kecil.

Wallahu 'alam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon