Monday, July 27, 2020

6 Rahsia Disebalik Pembuatan Gajet Terkenal Di Dunia Yang Akan Membuatkan Anda Terkedu!


Gajet-gajet canggih yang ada di dunia ketika ini didatangkan dengan pelbagai jenis model dan jenama, serta pelbagai jenis strategi pemasaran yang mampu memukau orang ramai.

Dilabelkan sebagai futuristik, moden, canggih, teman peribadi kita serta bermacam lagi gelaran yang menggambarkan kehebatan gajet, kita sebagai pengguna akhirnya menjadi peminat setia jenama yang kita gemari.

Namun, ini adalah 6 rahsia tentang gajet berteknologi tinggi yang ramai tak tahu.

1. OnePlus, Oppo dan Vivo Datang Dari Syarikat Yang Sama

OnePlus, Oppo dan Vivo

Kerap kali kita melihat perdebatan yang memandang 'hina' individu menggunakan telefon pintar jenama Oppo, padahal dia pun pakai Vivo.

Ada ramai juga ramai rakyat Malaysia yang taksub dengan jenama OnePlus dan strategi pemasarannya yang unik, sehingga membuatkan telefon lain nampak tak setanding dengan telefon itu.

Hentikan perdebatan ini, kerana OnePlus, Oppo serta Vivo sebenarnya datang daripada syarikat yang sama.

Syarikat itu bernama BBK Electronics, sebuah syarikat di China yang mempunyai kilang sebesar 10 hektar dan mempunyai jumlah pekerja seramai 17 ribu orang.

Seperti banyak syarikat elektronik di China, BBK Electronics bermula sebagai sebuah syarikat pengeluar konsol tiruan Nintendo satu masa dulu.

2. Peminat tegar produk Apple? Anda patut tahu tentang Quanta Computer

iPhone made by Quanta Computer

Quanta Computers juga seperti Compal, adalah ODM antara yang terbesar di dunia, namun senarai pelanggan Quanta mempunyai satu nama yang digemari ramai, Apple.

Sebagai sebuah syarikat ODM, Quanta sebenarnya bertanggungjawab mereka bentuk dan membangunkan kebanyakan produk Apple yang popular seperti Apple Watch, Apple Macbook Air dan Apple Macbook Pro.

Secara ringkas, Quanta akan menerima spesifikasi daripada Apple, apa peranti di dalamnya serta rekaan asal yang dimahukan oleh Apple, kemudian Quanta mencari jalan bagaimana hendak merealisasikan rekaan tersebut berdasarkan visi rekaan awal Apple.

Setakat ini, Quanta tidak pernah mengecewakan Apple kerana kebanyakan pesanan Apple berjaya disiapkan, malah Quanta menjadi antara pengeluar terbaik beberapa gajet Apple yang sangat sukar untuk direalisasikan, pada kos yang rendah.

3. Compal Electronics Inc.

Compal Electronics Inc.

Pernah dengar jenama Compal? Pasti anda tak pernah tahu kewujudan syarikat ini walaupun anda berkemungkinan besar ada peranti hasilan mereka.

Compal Electronics Inc adalah sebuah syarikat berstatus ODM atau Original Design Manufacturers yang bertanggungjawab mereka bentuk dan membina kebanyakan komputer riba jenama Dell, Toshiba, HP dan Acer.

50 peratus komputer riba jenama terkenal Dell adalah ciptaan Compal dengan rekaan serta penghasilannya dilakukan sepenuhnya oleh Compal, dengan Dell hanya bertanggungjawab secara sangat minima dalam penghasilan komputer itu.

Memang sejak dulu lagi kebanyakan komputer riba yang ada dijual, datang daripada syarikat seperti Compal.

Beberapa model yang dikeluarkan Compal ada dijual sendiri oleh mereka tanpa pemasaran besar, walaupun dibangunkan pada asalnya untuk jenama lain seperti Acer dan Dell misalnya.

Compal juga membuka jualan kepada mana-mana syarikat kecil yang mahu membangunkan jenama sendiri.

Jualan dilakukan menggunakan model keluaran mereka, tanpa jenama dan pembeli bebas meletak apa saja jenama yang mereka mahu. Sebab itulah ada pelanggan membeli peranti mahal berjenama tetapi menjumpai peranti yang sama, cuma jenamanya saja berbeza. Harganya pula murah berkali-kali ganda.

4. Produk Anda Mungkin Dihasilkan Oleh Buruh Kanak-kanak

Cobalt in Congo

Berikutan penggunaan bateri lithium-ion dalam kebanyakan gajet kita hari ini, penggunaan bahan cobalt menjadi sangat penting dalam industri elektronik.

Cobalt adalah bahan penting dalam penghasilan bateri dan tidak banyak tempat melombongnya dengan kos yang minima kecuali di Congo.

Sebuah laporan yang dikeluarkan Amnesty International pada tahun 2016, wujud sindiket perlombongan cobalt untuk bekalan industri elektronik menggunakan tenaga buruh kanak-kanak, dengan setiap 'pekerja' dibayar mengikut jumlah cobalt yang berjaya ditemui.

Cobalt yang ditemui akan dijual kepada syarikat bernama Congo Dongfang Mining, sebuah anak syarikat pemproses cobalt terbesar bernama Huayou Cobalt.

Huayou Cobalt pula bertanggungjawab memasarkan bahan tersebut kepada syarikat-syarikat pembuat bateri yang dilantik, dengan bateri yang siap dibekalkan terus kepada syarikat-syarikat ini.

Setakat ini, beberapa syarikat seperti Apple, Samsung dan Sony menafikan dakwaan ini walaupun Huayou Cobalt dengan jelas menyenaraikan mereka sebagai pelanggan.

5. Apple Bukanlah Pengeluar Jenama iPhone Yang Pertama

Infogear iphone

Kita mengenali nama Apple dengan penggunaan huruf 'i' di depan, yang menjadi identiti produk-produk Apple, bagaimanapun, iPhone pertama sebenarnya bukan milik Apple.

Sebuah syarikat bernama InfoGear adalah pengeluar iPhone pertama di dunia, iaitu sebuah telefon meja yang mempunyai skrin, papan kekunci dan kebolehan mengakses internet.

Pada tahun 2000, InfoGear dibeli oleh Cisco dan menjadi pemilik baru nama iPhone sebenar.

Mereka mengeluarkan gajet baru bernama Linksys iPhone dan selepas Steve Jobs mengumumkan iPhone pada tahun 2007, Cisco menyaman Apple kerana menggunakan hak cipta mereka yang telah didaftarkan. Penyelesaian diterima kedua-dua pihak untuk sama-sama berkongsi nama iPhone dengan Apple dikatakan membayar sejumlah amaun yang tidak diketahui berapa jumlahnya.

6. "Samsung? Eeuww!"

Samsung vs iPhone

Bagi peminat Apple yang tahu, mereka pasti tidak akan memandang rendah jenama telefon lain kerana mereka tahu apa sebenarnya isi kandungan sesebuah iPhone.

Semenjak diperkenalkan lagi, iPhone sebenarnya mempunyai banyak komponen jenama Samsung terkandung di dalamnya.

Samsung adalah pengeluar terbesar prosesor A9 yang dipasang dalam setiap iPhone 6, A7 pada iPhone 5 dan A6 pada iPhone 5.

Hanya bermula pada siri prosesor A10 yang digunakan pada iPhone 7, Samsung tidak lagi terlibat dalam pembuatan prosesor untuk iPhone.

Namun, untuk setiap satu iPhone X yang dijual, Samsung mencatatkan keuntungan lebih RM450 setiap jualan berikutan banyak komponen buatan Samsung seperti skrin dan RAM digunakan di dalamnya.

Untung Samsung menghasilkan bahagian dalaman iPhone X sebenarnya melebihi untung Samsung dalam menghasilkan telefon mereka sendiri, Samsung Galaxy S8.

Jadi, tak perlulah kita nak "euwww euwww" hanya kerana kita percaya pada strategi pemasaran produk Apple, kerana anda mungkin nampak jenama Apple, tetapi isi perutnya tetap Samsung.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon