Sunday, July 12, 2020

Misteri Kehilangan Loceng Emas Dhammazedi


Loceng Besar Dhammazedi dianggap sebagai loceng paling besar di dunia, dengan penghasilan loceng ini diperintahkan oleh seorang raja pada kurun ke-15 dari Kerajaan Hanthawaddy (wilayahnya meliputi Burma/Myanmar moden) bernama Dhammazedi.

Loceng Emas Dhammazedi

Loceng ini dicatatkan sempat menjadi mercu kebanggaan masyarakat tempatan selama lebih kurang 200 tahun sebelum ia dirampas dan hilang di tangan seorang pengembara Eropah.

Loceng Besar Dhammazedi dipercayai masih terdampar di dasar sebatang sungai (atau sering disebut di pertemuan antara Sungai Yangon dan Sungai Bago) di Burma/Myanmar.

Sejumlah usaha telah dilakukan bagi menjejaki kedudukan loceng ini, namun tiada yang meraih keberhasilan.

SEJARAH LOCENG

Kisah Loceng Besar Dhammazedi bermula sekitar tahun 1480 Masihi, ketika pemerintahan Kerajaan Hanthawaddy, dan Raja Dhammazedi diceritakan telah memerintahkan bancian isi rumah dilakukan di seluruh kerajaannya.

Menteri-menteri yang terlibat bertindak menyeleweng kuasa yang diberikan semasa menjalankan tugas berkenaan kerana selain merekodkan jumlah isi rumah, mereka turut mengenakan cukai ke atas rakyat.

Apabila perkara ini sampai ke pengetahuan raja, beliau sama sekali tidak bersenang hati dan untuk mententeramkan kemurkaan raja, menteri-menteri itu pun mencadangkan agar sebuah loceng dihasilkan dengan menggunakan tembaga yang telah mereka ambil daripada rakyat.

Buah fikiran ini akhirnya dipersetujui oleh raja dan usaha penghasilan loceng ini pun dimulakan.

Secara keseluruhan, menteri-menteri Dhammazedi telah mengumpulkan hampir 300 tan tembaga.

Selain daripada tembaga, loceng tersebut juga diperbuat dengan menggunakan perak, emas dan timah, malah ia turut ditatahkan dengan batu zamrud dan batu nilam.

Loceng ini kemudiannya dihadiahkan oleh raja kepada Pagoda Shwedagon (tapak Buddha paling keramat di Burma/Myanmar) di Dagon (kini Yangon).

CATATAN-CATATAN BALBI

Catatan lain yang memerihalkan loceng ini boleh ditemui dalam catatan seorang pedagang dari Venice bernama Gasparo Balbi.

Beliau mengunjungi Dagon pada hujung kurun ke-16 Masihi dan mencatatkan bahawa ketika mengunjungi Pagoda Shwedagon, beliau berpampasan dengan sebuah loceng besar di dalam dewan dan bukannya di luar pagoda sebagaimana yang didakwa oleh legenda masyhur.

Berkemungkinan loceng ini dipindahkan ke dalam bangunan pada suatu tempoh masa.

Apapun, perincian yang dilakukan oleh Balbi adalah sepertimana berikut:

"Aku menemui di dalam sebuah dewan indah sebuah loceng yang sangat besar, yang kami (kemudiannya) mengukur (loceng tersebut), dan mendapati bahawa ianya berukuran tujuh langkah dan tiga depa, dan ia dipenuhi dengan aksara dari atas hingga bawah, tersusun sangat rapat hingga satu huruf menyentuh huruf yang lain, namun tiada bangsa yang dapat memahaminya."

KISAH DE BRITO

Filipe de Britoy Nicote 1

Seorang lagi orang Eropah yang direkodkan pernah menemui loceng ini mempunyai rancangan tersendiri terhadap khazanah gergasi tersebut.

Seorang pengembara Portugis bernama Filipe de Brito e Nicote dicatatkan telah mendirikan sebuah pos perdagangan di Syriam (kini Thanlyin) sekitar penghujung kurun ke-16 atau awal kurun ke-17 Masihi.

Mengambil kesempatan di atas kemunduran kuasa diraja di Burma, pengembara Portugis ini melebarkan pengaruhnya di seluruh kawasan berhampiran sungai.

Malah, beliau turut menguasai Dagon dan kawasan pinggiran di sekitar menjelang tahun 1600.

Pada tahun 1608, de Brito memutuskan untuk memindahkan Loceng Besar Dhammazedi dari Pagoda Shwedagon.

Pengembara ini berhasrat mahu membawa loceng tersebut ke Syriam, di mana di sana beliau boleh mencairkannya dan menggunakan logamnya untuk menghasilkan laras-laras meriam bagi kegunaan kapal-kapalnya.

De Brito dicatatkan berjaya mengangkut loceng ini ke Sungai Bago, yang kemudiannya dimuatkan ke atas sebuah rakit.

Rakit ini diikat pada kapal utama de Brito dan memulakan perjalanannya mengharungi sungai.

Tatkala tiba di pertemuan antara Sungai Bago dan Sungai Yangon, rakit ini pecah lalu loceng tersebut tenggelam ke dalam dasar sungai.

LOKASI YANG TIDAK DIKETAHUI

Walaupun Loceng Besar Dhammazedi telah pun hilang selama lebih 400 tahun, ia masih belum dilupakan oleh masyarakat Burma/Myanmar.

Pada tahun 2014, dilaporkan bahawa dalam tempoh 25 tahun terakhir, sekurang-kurangnya tujuh percubaan serius untuk menjejaki loceng bersejarah ini telah dilakukan.

Bagi masyarakat Burma/Myanmar, loceng ini dianggap sebagai khazanah negara merangkap khazanah Buddhisme.

Justeru, besar kemungkinan usaha untuk mencari loceng ini akan dilanjutkan lagi di masa hadapan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon