Saturday, April 04, 2020

Covid-19: Agama Mengajar Untuk Jujur


Suasana Wabak Korona yang melanda dunia sungguh menakutkan sehingga jiwa yang terasa bebas selama ini kesemuanya merasa gelisah. Malaysia tidak terkecuali daripada pandemik Covid-19 ini ditambah pula dengan peningkatan kes yang begitu membimbangkan sehingga tempok PKP terpaksa dilanjutkan.

Bahaya Covid-19

Dalam menghadapi wabak yang menggila ini, kerajaan tidak akan mampu memenangi peperangan ini meskipun melepaskan satu demi satu tembakan ke arah musuh tanpa bantuan serta kerjasama rakyat.

Perkara yang paling membimbangkan ialah isu kejujuran pesakit-pesakit yang tidak jujur sehingga boleh menyebabkan kemusnahan yang besar.

Kejujuran dalam menghadapi wabak ini adalah suatu perkara yang sangat penting agar tidak menimbulkan risiko kepada nyawa barisan hadapan negara yang telah berjuang bermati-matian sejak wabak ini menular di tanah air.

Malangnya,segelintir masih lagi menyembunyikan maklumat peribadi atau mendiamkan diri sehingga merisikokan kakitangan hospital.

Bahkan sehingga kejujuran pesakit dalam mendepani wabak ini dirayu sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Facebook beliau.

Sebenarnya Islam telah menekankan sikap jujur ini sehingga menjadi salah satu elemen penting dalam menjaga lisan daripada perkara yang dusta.

Kata Syeikh Abdul Qadir Al-Mandili bahawa, "berkata dengan perkara yang dilarang seperti berdusta yang menyakiti orang lain, maka berdosa."

Benarlah kiranya kerana perbuatan ini sesungguhnya telah menyebabkan beberapa insiden yang membahayakan nyawa kerana wabak korona ini sifatnya boleh membawa maut. Dalam suasana seperti ini, berdusta boleh membawa padah bukan hanya pada diri tetapi manusia di sekitar.

Ingatlah bahawa tanda-tanda munafik itu ada tiga dan salah satu daripadanya ialah apabila dia bercakap maka dia berdusta. Maka jujur adalah tanda orang yang kuat dan teguh imannya.

Ahli Sufi bernama Ibrahim Adham pernah menjaga sebuah kebun buah-buahan dan mengambil upah daripadanya selama beberapa tahun.

Datang suatu hari, pemiliknya meminta untuk membawa beberapa buah delima untuknya yang manis dan ranum.

Ibrahim memberi beberapa buah hasil daripada kebun jagaannya malangnya masam yang dirasa pemiliknya. Lantas pemilik kebun berkata, 'bawakan kepadaku buah yang manis'.

Lalu dia membawa sepinggan buah delima dan ternyata kesemua buah tersebut masam yang menjadi rasa di lidah pemilik kebun tersebut kemudian berkata, 'begitu lama engkau bekerja di kebun ini namun engkau tidak mengenali mana yang manis dan mana yang masam?'

Ibrahim menjawab, 'Aku menjaga kebunmu tetapi tidak pula aku tahu bagaimana rasanya buah delima yang manis dan masam kerana tidak pernah merasainya'.

Begitulah kejujuran yang wajar dicontohi yang bernama manusia. Jujur bukan hanya dalam perkataan malahan di dalam perbuatan.

Sesungguhnya kejujuran adalah suatu warisan para Nabi terdahulu kerana dinyatankan Allah di dalam Al-Quran seperti Nabi Ibrahim yang disebut sebagai Siddiq (yang jujur) dalam surah Maryam ayat 41 yang bermaksud:

"Ceritakanlah (Wahai Muhammad) kisah Ibrahim di dalam Al Kitab ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat jujur dan seorang Nabi."

Bukan berakhir begitu sahaja sebagai suatu akhlak Para Nabi dan Rasul bahkan mampu menyelamatkan diri manusia. Sabda baginda saw yang bermaksud:

Dari Abdullah bin Mas'ud RA, dia berkata: "Rasulullah SAW bersabda, 'Hendaklah kamu berlaku jujur, kerana kejujuran akan membawa kepada kebaikan, dan kebaikan menghantar seseorang ke dalam syurga. Dan apabila seorang selalu berlaku jujur dan tetap memilih jujur, maka akan dicatat di sisi Allâh sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah oleh kamu berbuat dusta, kerana dusta membawa seseorang kepada kejahatan, dan kejahatan menghantar seseorang ke dalam neraka. Dan jika seseorang sentiasa berdusta dan memilih kedustaan maka akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta (pembohong)." (HR Bukhari)

Maka selayaknya sebagai umat Islam untuk memakai pakaian jujur ini dalam kehidupan seharian tambahan pula di tengah-tengah keadaan yang begitu menekan ini. Bukan wang yang dipinta tapi kejujuran untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Kalau masih berdusta kerana bimbang dikuarantin atau terluka, ketahuilah bahawa kejujuran di saat ini mampu menyelamatkan diri bahkan lebih ramai daripada terluka.

Jadilah orang yang bijak, bertanggungjawab dan amanah di tengah wabak yang bermaharajalela demi kesejahteraan bersama.

Jika mampu jujur dalam perasaan kepada kekasih hati, mengapa tidak untuk keselamatan tanah air tercinta?

Sumber:
  • Facebook :Noor Hisham Abdullah. https://www.facebook.com/DGHisham/
  • Farid al-Din Attar, Tadzkirat al-Auliya.
  • Qudamah al-Maqdisi, Kitab At-Tawabbin.
  • Abdul Qadir al-Mandili, Penawar Bagi Hati. Penth. Abdul Basit Abdul Rahman.

Biodata Penulis:
A.R. KASA
Facebook: Melankolia Philosophia
Instagram: arkasa_philosophia
Mahasiswa Jabatan Sejarah Dan Tamadun Islam,
Universiti Malaya.
4 April 2020.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon