Rabu, Disember 18, 2019

Denda RM20,000 Jika Ibu Bapa Enggan Vaksin Anak!

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita tentang seorang bayi berusia 3 bulan di Sabah yang diserang Polio, penyakit yang telah 27 tahun 'hilang' di Malaysia dan puncanya, bayi malang tersebut tidak mendapat sebarang suntikan vaksin!

Vaksin Anak

Ditambah pula dengan peningkatan jumlah penyokong anti-vaksin yang semakin meningkat, telah memburukan lagi keadaan ini.

Namun, tahukah anda bahawa kerajaan Malaysia telah menyediakan langkah berjaga-jaga bagi menangani masalah yang mungkin menular ini.

Menurut laporan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh menyatakan bahawa, pihaknya mengambil isu tidak mengvaksin anak sesuatu yang serius, terutamanya jika ia menjejaskan kesihatan mereka.

Beliau menyatakan bahawa, jika siasatan mendapati seorang anak telah diabaikan sehingga menyebabkan kematiannya, ibu bapa boleh didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Akta kanak-kanak mempunyai Fasal tentang pengabaian. Vaksinasi adalah sangat penting untuk kesihatan kanak-anak.”

Menurut seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, mana-mana orang yang menjaga seorang kanak-kanak dan mendera, cuai, mengabaikan atau mendedahkan anak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi atau membenarkan kanak-kanak tersebut didera, diabaikan, ditinggalkan atau terdedah, boleh didenda sehingga RM20,000, penjara maksimum 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Awal tahun 2018 lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mencadangkan untuk mewajibkan setiap kanak-kanak di negara ini perlu mendapatkan suntikan vaksin bagi memerangi pergerakan anti-vaksin yang semakin meningkat.

Ini Penjelasan Doktor, Mengapa Vaksin Sangat Penting Kepada Anak-anak

Saya dimaklumkan terdapat beberapa taska atau tadika yang menolak kanak-kanak yang tidak menerima vaksin sepenuhnya.

Situasi ini menimbulkan kemarahan pada ibu bapa antivaksin sehingga ada antara mereka yang sanggup menipu dalam mendaftarkan anak-anak mereka.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan TAHNIAH pada pihak pengurusan taska atau tadika yang membuat peraturan sedemikian. Ini adalah tindakan bertanggungjawab yang bijak.

Vaksin berkesan dalam melindungi kanak-kanak dari pelbagai jenis penyakit berjangkit.

Bukan itu sahaja, pemberian vaksin juga melindungi anak-anak lain yang tidak boleh menerima vaksin atau bayi yang masih kecil yang belum boleh menerima vaksin, melalui imuniti kelompok.

Antivaksin suka berhujah memomokkan imuniti kelompok. Kata mereka, golongan yang menolak vaksin ini sedikit sahaja, tak meruntuhkan imuniti kelompok pun.

Apa yang mereka gagal faham adalah konsep ini boleh dikecilkan pada populasi kecil setempat, sebagai contoh, kanak-kanak di taska.

Secara purata, kanak-kanak di taska menghabiskan masa selama separuh hari, sekurang-kurangnya 5 hari seminggu di taska. Ini menjadikan kehidupan di taska satu rutin pada mereka.

Sekiranya pihak taska sewenang-wenangnya menerima kanak-kanak tidak divaksin, risiko penularan wabak akan meningkat.

Bayangkan jika 100 orang berdaftar, 30 menolak vaksin. Disebabkan peratusan imuniti jatuh di bawah 70% (tidak kira lagi mereka yang gagal menjana imuniti selepas divaksin), risiko untuk wabak berlaku amat tinggi.

Sekiranya wabak berlaku, pihak taska terpaksa bertanggungjawab dan mereka perlu menutup taska berhari-hari.

Malah, ibu bapa yang telah memvaksin anak mereka juga akan terganggu dengan penutupan ini.

Oleh sebab itu, tindakan pihak taska atau tadika menolak golongan antivaksin ini adalah satu tindakan bertanggungjawab yang bijak.

Jika golongan antivaksin mahu menarik isu undang-undang, tamparlah pipi dan sedarkan mereka. Mereka adalah klien dan pengurusan taska adalah peniaga.

Adalah satu hak kepada peniaga untuk menolak berurusan dengan klien yang berpotensi menyusahkan mereka kelak.

Saranan saya:

1. Pihak pengurusan taska dan tadika berhak dan digalakkan menolak ibu bapa antivaksin. Ini bagi menjaga tanggungjawab mereka kepada kanak-kanak lain.

2. Ibu bapa antivaksin seharusnya tidak menyalahkan pihak taska. Jika mereka masih berdegil menolak vaksin, mereka perlu mencari alternatif lain sama ada taska kelolaan antivaksin juga atau pendidikan pra persekolahan di rumah.

3. Jangan menipu jika anda antivaksin. Anda bukan sahaja membahayakan nyawa anak anda, malah membahayakan kanak-kanak lain dan pihak pengurusan taska.

4. Pihak pengurusan taska perlu berhati-hati dengan penipu antivaksin. Dapatkan buku rekod vaksinasi mereka dan semak dengan teliti. Anda terdedah kepada bahaya wabak jika terperdaya dengan mereka ini.

P/S: Antivaksin tolak vaksin kerana kandungannya yang diragui walhal pihak agamawan telah mengharuskan penggunaannya (rujuk Bayan Linnas isu 59).

Tetapi, mereka tidak rasa berdosa pula menipu rekod imunisasi anak-anak mereka. Umpama menang berjudi, wang dibelanja untuk ke umrah.

Mungkin sahabat-sahabat boleh namakan taska-taska yang diketahui ada peraturan menolak antivaksin sebegini?

Bagi memudahkan ibu bapa yang membaca membuat pilihan selamat untuk anak-anak mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon