Monday, September 16, 2019

Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia


Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia disambut pada bulan September setiap tahun, bagi meraikan penubuhan awal pasukan tentera pada tahun 1933, yang merupakan pasukan tentera peneraju negara, yang mana pada tahun tersebut juga telah dijadikan sebagai tahun tertubuhnya Angkatan Tentera Malaysia.

Angkatan Tentera Malaysia

Susur-galur Angkatan Tentera Malaysia boleh diimbau dari penubuhan rasmi Tentera Darat. Pada mulanya, ia disambut bersempana pembentukan Malaysia pada 16 September 1961, menyaksikan kerajaan telah merombak pembentukan ketiga-tiga cabang perkhidmatan di bawah Angkatan Tentera Persekutuan yang kini tertakluk di bawah Akta Angkatan tentera (1972).

Kerajaan juga telah mempersetujui iaitu Hari Angkatan Tentera disambut pada hari dan tarikh yang sama setiap tahun sempena penubuhan Malaysia.

ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (ATM)

ATM ialah pihak yang bertanggungjawab terhadap pertahanan nasional dengan kata lain ialah pasukan tentera profesional negara Malaysia.

ATM meliputi tiga cabang ketenteraan utama iaitu; Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Malaysia ialah Panglima Angkatan Tentera.

Komander
  • Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.
  • Panglima Angkatan Tentera Malaysia: Jeneral.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) berpangkat Jeneral, Laksamana atau Jeneral TUDM.

Mereka adalah ketua profesional ATM yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, yang memerintah dan mentadbir ATM melalui Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP).

Kekuatan ATM
  • Tentera Malaysia: 110,000 (aktif) + 296,500 (simpanan) = 406,500 askar.
  • Kelengkapan Perang Malaysia: 74 kereta kebal, 55 jet perang, 8 kapal perang, 2 kapal selam.

SEJARAH ATM

1. Tentera Darat Malaysia

Sejarah moden ATM bermula dengan pengambilan 25 orang pemuda Melayu sebagai skuad percubaan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933.

Rejimen ini terus berkembang menjadi satu batalion penuh yang dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu pada 1 Januari 1938.

Batalion kedua ditubuhkan pada 1 Disember 1941 iaitu enam hari sebelum Perang Dunia Kedua bermula di Malaya.

Kedua-dua batalion ini telah menunjukkan kebolehan mereka dalam peperangan menentang tentera Jepun.

Selepas perang, negara dilanda pula oleh ancaman Komunis dan Darurat telah diisytiharkan pada tahun 1948. Keadaan ini memerlukan pembesaran angkatan tentera.

Menjelang tahun 1950 kekuatan Rejimen Askar Melayu telah ditambah menjadi tujuh batalion.

Pada zaman Darurat juga, angkatan tentera telah melihat penubuhan pasukan berbilang bangsa iaitu Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan pada tahun 1952.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tentera Darat Malaysia telah berkembang maju dan lengkap untuk menjalankan operasi melawan insurgensi.

Unit TDM

Unit Tentera Darat berbeza daripada unit-unit yang lain apabila menampilkan pasukan tentera darat yang dibahagikan kepada 17 rejimen dan kor. Setiap rejimen dan kor tersebut diklasifikasikan mengikut fungsi dan kepakaran.

Pasukan tentera darat dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu kelompok tempur, kelompok bantuan tempur dan kelompok bantuan perkhidmatan.

Tugas-tugas mereka bukan sahaja difokuskan dalam bidang peperangan semata-mata, tetapi kemahiran dalam bidang bidang perubatan, pendidikan, kejuruteraan, keagamaan, muzik dan sebagainya turut diberi perhatian.

TDM merupakan unit dengan aset terbesar negara pada ketika ini.

Pada masa ini pasukan Tentera Darat sedang pesat dipermodenkan sebagai satu pasukan tentera konvensional yang mampu untuk menghadapi cabaran masa depan.

2. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

Tentera Laut Diraja Malaysia bermula dari Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat (SSNVR) pada 27 April 1934 di Singapura.

Pasukan ini diperbesarkan pada tahun 1938 dengan penubuhan cawangan Pulau Pinang dan ditukarkan nama kepada Pasukan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaya.

Menjelang Perang Dunia Kedua, seksyen Melayu dalam Royal Navy telah ditubuhkan dan kekuatan pasukan ini mencapai jumlah 1430 anggota pada tahun 1941.

Selepas kejatuhan Singapura pada tahun 1942, seramai 150 orang anggota Tentera Laut Malaya telah berundur ke Ceylon, India dan Afrika Timur.

Anggota-anggota ini kembali ke Malaya apabila perang tamat, malangnya disebabkan kekurangan kewangan selepas perang, Tentera Laut Malaya telah dibubarkan pada bulan April 1947.

Apabila Darurat tercetus pada tahun 1948, Tentera Laut Malaya telah dihidupkan semula dan diwartakan pada 4 Mac 1949.

Tentera Laut Malaya dianugerahkan gelaran Diraja oleh baginda Queen Elizabeth II pada tahun 1952.

Tentera Laut Diraja Malaya yang selama ini menjadi sebahagian daripada Royal Navy telah dipindahkan dari Singapura ke Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1958.

Serentak dengan ini, panji-panji Royal Navy telah ditukarkan dengan panji-panji Persekutuan, Tentera Laut Diraja Malaya.

Selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963 ia dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia.

3. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

Titik mula Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ialah dengan penubuhan Pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-negeri Selat (SSVAF) oleh British pada tahun 1936.

Pasukan ini ditukar nama kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara Malaya pada tahun 1940 tetapi telah dibubarkan selepas Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1950, pasukan ini telah dihidupkan semula sebagai Royal Air Force Malaya (RAF Malaya).

Tentera Udara Malaya menjadi kenyataan pada tahun 1958 apabila pesawat Twin Pioneer pertama mendarat di pangkalan RAF Kuala Lumpur.

Tentera Udara Diraja Malaya ditubuhkan dengan rasminya pada 2 Jun 1958.

PEMODENAN ATM

Angkatan Tentera Malaysia mengalami evolusi yang berterusan daripada sekadar pasukan tambahan di dalam Tentera British kepada pasukan yang menentang insurgensi seterusnya dibentuk menjadi sebuah angkatan konvensional.

Pun begitu, pemodenan ATM pula kadangkala dihadang oleh faktor ekonomi dan faktor sumber manusia.

Krisis kewangan yang melanda telah menyebabkan beberapa program masih belum melepasi fasa cadangan.

Antaranya, perolehan kumpulan kedua frigat TLDM, skuadron kedua pesawat tempur pelbagai fungsi TUDM, pesawat amaran awal dan rondaan maritim dan juga helikopter utiliti tambahan.

Krisis tenaga manusia pula walaupun belum kritikal, mempunyai kesan yang besar di dalam unit-unit tertentu, terutama yang memerlukan anggota yang memiliki latar belakang pendidikan yang tinggi.

Kekecewaan ini pernah disuarakan oleh bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ilyas Din, berikutan kesukaran mendapatkan anggota yang menepati kriteria bagi mengikuti kursus latihan kapal selam.

Tambahan pula, kerjaya tentera dilihat kurang popular berbanding profesyen lain bagi golongan muda yang berpelajaran.

Kekurangan minat dikalangan generasi muda terutamanya dari kaum bukan Melayu menyebabkan ATM mengalami sedikit kesukaran merekrut anggota, barangkali didorong kesedaran yang kurang di pihak orang awam dan pemimpin politik terhadap kepentingan ATM.

Beberapa kontroversi di dalam perolehan ATM seperti kapal selam Scorpene, pesawat Sukhoi Su-30 MKM dan helikopter Eurocopter, suatu ketika dahulu tidak membantu memberikan persepsi yang baik kepada umum.

ANCAMAN TERBESAR

Kalau nak diikutkan sekarang ini, kita mungkin terlepas pandang akan satu ancaman yang terbesar kepada Kementerian Pertahanan, iaitu musuh dalam selimut.

Musuh tersebut adalah korupsi! Tahun 2017 lepas, badan anti-korupsi antarabangsa Transparency International telah mengeluarkan laporan komprehensif yang mengelaskan Malaysia sebagai 'D' dalam tahap korupsi badan pertahanan.

Ini pun sudah ada sedikit peningkatanan sebab tahun sebelumnya, Malaysia mendapat markah 'D-'.

Jika dibandingkan dengan Singapura, mereka dapat 'B'.

Mengikut Transparency International lagi, dua kontraktor pertahanan terbesar Malaysia iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dan Sapura Group mendapat markah 2.94% dan 13.24%, yang bermakna, kedua-dua syarikat pertahanan yang disokong kerajaan ini adalah sangat korup.

Jadi, kalau hendak memperbaiki sistem pertahanan kita, mungkin kita perlu memerangi korupsi dalam tanah air sendiri terlebih dahulu.

MEMPERTAHANKAN DIRI

Pembentukan pasukan keselamatan dalam sesebuah negara khususnya negara yang dikuasai umat Islam adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah al-Anfal, ayat 60)

Selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia.

BACA INI JUGA:


sumber: wikipedia

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon