Monday, December 17, 2018

Misteri Minyak Keluar Dari Dinding Mampu Sembuhkan Penyakit Di Australia


Jika dilihat, rumah satu tingkat yang terletak di sebuah kawasan pinggir Sydney, Australia itu kelihatan biasa sahaja dan sama seperti kediaman lain. Pemiliknya, George Tannous dan isteri, Lina berkata, mereka sudah lama mendiami rumah yang memiliki tiga bilik tidur tersebut dan mengakui selesa tinggal di situ.

Minyak misteri dari dinding

Begitu pun, ia tiba-tiba menjadi tular selepas pasangan suami isteri itu mendakwa kediaman itu merupakan sebuah rumah ajaib.

Cerita George, kediamannya itu mula mengeluarkan minyak daripada bahagian dinding.

“Semuanya bermula pada tahun 2008 selepas kematian anak lelaki kami, Mike.

“Mike telah terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya dan kejadian itu amat menyedihkan kami.

“Selepas kematian Mike, bahagian dinding kediaman ini tiba-tiba sahaja mula mengeluarkan minyak berwarna kuning yang cukup aneh,” ujar George seperti dipetik laman web Oddity Central.

Jelas lelaki itu lagi, dia percaya bahawa semua yang berlaku itu adalah kerana roh anaknya masih berada dalam kediaman tersebut.

Semasa hayatnya, Mike merupakan seorang remaja yang baik dan kuat agama.

Sebagai seorang ibu, Lina berkata, dia dapat merasakan kehadiran roh anaknya dalam rumah itu.

“Saya tahu, Mike yang menyebabkan minyak-minyak keluar daripada dinding rumah ini,” ujarnya.

Roh anak

Misteri Minyak Keluar Dari Dinding
Mike.

Minyak tersebut tiba-tiba mengalir daripada permukaan dinding di dalam rumah ajaib itu dan berterusan sehingga sekarang dan benar-benar menimbulkan tanda tanya kepada penduduk sekitar.

Sebaik sahaja menyedari tentang keanehan kediaman mereka, George dan Lina kemudian membuka rumah mereka kepada orang ramai untuk datang berdoa.

Orang ramai juga dibenarkan untuk menyapu minyak yang keluar daripada dinding itu di mana-mana bahagian tubuh dengan niat untuk menyembuhkan penyakit.

Rumah itu kemudian dibanjiri manusia dari seluruh dunia kerana mereka mahu melihat sendiri keajaiban yang ada di situ seperti yang didengari mereka sebelum ini.

Ia menjadi semakin popular selepas seorang wanita menerusi laman sosial Facebook berkata, dia disahkan mengandung selepas datang berdoa di rumah berkenaan.

Sebelum ini, dakwa wanita tersebut, doktor pernah memberitahunya bahawa dia tidak mungkin hamil atas beberapa faktor.

Sembuh sepenuhnya

George Tannous and Lina
George Tannous dan Lina.

Seorang lagi pengguna Facebook yang enggan mendedahkan identitinya juga memberitahu, anak kepada seorang rakannya sembuh daripada penyakit kanser selepas berkunjung ke kediaman itu.

“Ketika rakan saya berkunjung ke kediaman tersebut, anaknya yang berusia 2 tahun menghidap kanser saraf.

“Kini, kanak-kanak itu sudah berusia 8 tahun dan disahkan sudah sembuh daripada penyakitnya. Kediaman itu benar-benar ajaib,” tulisnya.

Sehingga kini, George dan Lina masih menerima kunjungan orang ramai yang berharap kedatangan mereka ke kediaman itu boleh menyembuhkan penyakit yang mereka dihidapi.

Pengarang majalah Australian Skeptics, Tim Mendham berasa sangsi dengan keanehan rumah tersebut dan berkata ia mungkin palsu.

“Sebelum ini, banyak fenomena aneh berlaku dan ia kemudian didapati palsu dan hanya direka untuk tujuan publisiti.

“Mungkin pemiliknya sendiri meletakkan minyak pada dinding rumah mereka. Kita tidak tahu,” ujarnya.

George dan Lina bagaimanapun tidak kisah dengan pandangan orang ramai kerana mereka tidak mengenakan caj kepada pengunjung.

“Kami tidak mengambil sebarang keuntungan dan ikhlas membuka rumah ini kepada sesiapa sahaja yang berhajat untuk menyembuhkan penyakit.

“Ia dibuka setiap hari pada pukul 11 pagi hingga 5 petang,” jelasnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon