Sabtu, Disember 08, 2018

Asal-usul Bangsa Melayu


Persoalan tentang siapakah Melayu dan dari manakah asal usulnya sering kali menjadi perdebatan ramai. Ada yang berpendapat bahawa bangsa Melayu itu sendiri tidak wujud, namun antara teori ilmiah tentang asal nama 'Melayu' ialah daripada nama 'Sungai Melayu', sebagaimana yang tertulis di dalam Sejarah Jambi.

Asal-usul Bangsa Melayu

Istilah Melayu juga pernah dicatatkan oleh pengembara Cina pada 644-645 masihi dan para sejarahwan bersepakat bahawa perkataan 'Mo-Lo-Yu' di dalam catatan tersebut ialah nisbah kepada kerajaan Jambi dan Sriwijaya.

Melayu dikatakan terlahir daripada perkahwinan campur antara "penduduk tempatan" dengan saudagar-saudagar Cina, India, Arab dan Siam yang singgah di Semenanjung Tanah Melayu untuk berdagang semasa zaman kemahsyuran empayar-empayar di Tanah Melayu.

Spekulasi tentang siapakah "penduduk tempatan" inilah yang kerap kali menjadi bahan perdebatan antara ahli akademik, pakar sejarah dan ahli politik.

MELAYU BUKAN BANGSA

Melayu sebenarnya bukanlah satu bangsa yang hanya wujud di Malaysia tetapi orang Melayu telah wujud sekian lama di Kepulauan Melayu (Malay Archipelago).

Kepulauan yang terletak di antara Lautan India dan Lautan Pasifik ini mengunjur sejauh 4,000 batu dari timur ke barat dan 1,300 batu dari utara ke selatan dan merupakan kepulauan yang terbesar di dunia.

Kepulauan Melayu dibentuk oleh beribu-ribu buah pulau kecil dan pulau-pulau besar seperti Borneo, Sumatera, Jawa, Sulawesi, Filipina dan termasuk juga Semenanjung Malaysia.

Sebelum berlakunya banjir besar yang menenggelamkan Pentas Sunda dan tamadunnya lebih kurang 10,000 tahun yang lalu, kumpulan pulau yang terletak di atas Pentas Sunda dipercayai bersambung sebagai satu tanah besar yang memudahkan pergerakan dan interaksi manusia di atasnya.

Akibat daripada kejadian banjir besar ini, sebahagian penduduk di Pentas Sunda terpaksa berhijrah dan mereka ini dipercayai telah memulakan penempatan baharu di Asia Timur dan Kepulauan Pasifik.

Teori Out of Taiwan oleh Peter Bellwood menyatakan bahawa penutur bahasa Austronesia telah berhijrah keluar dari Taiwan dan bergerak ke arah Asia Tenggara sekitar 10,000 tahun dahulu dan membawa bersama mereka teknologi penanaman padi. Memandangkan bahasa Melayu merupakan salah satu cabang bahasa Austronesia, maka orang Melayu juga dianggap sebagai berasal dari Taiwan.

Kepercayaan bahawa orang Melayu berasal dari Yunnan atau selatan negara China juga dipercayai timbul daripada pemahaman bahawa penduduk terawal di Asia Tenggara adalah berasal daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari selatan China ke Taiwan dan seterusnya ke Asia Tenggara (arah pergerakan utara ke selatan).

POPULASI LEBIH AWAL

Walau bagaimanapun, kepercayaan yang bertapak sekian lama ini telah berjaya digugat apabila bukti daripada kajian DNA menunjukkan pergerakan manusia di Asia dan Asia Tenggara adalah sebaliknya.

Kajian menggunakan Single Nucleotide Polymorphisms (SNPs) yang telah diterbitkan dalam majalah Science yang bertajuk, Mapping Human Genetic Diversity in Asia pada tahun 2009 menunjukkan bahawa Asia Tenggara adalah lokasi terawal kemasukan manusia dari Afrika ke Asia.

Dalam kajian ini, sebanyak 50 peratus haplotype yang ditemui (kumpulan SNPs pada satu kromosom yang diwariskan bersama-sama dipanggil haplotype) dalam populasi Asia Timur hanya terdapat dalam populasi di Asia Tenggara.

Ini menunjukkan bahawa Asia Tenggara merupakan sumber utama bagi takungan genetik populasi di Asia Timur seperti China dan Taiwan. Bukti ini seterusnya menyokong bahawa pergerakan manusia di Asia adalah dari arah selatan ke utara.

Analisis filogenetik menggunakan penanda SNPs telah meletakkan Orang Asli Semang dan orang Melayu pada cabang yang lebih awal berbanding populasi di Asia Timur yang secara langsung menunjukkan bahawa Orang Asli Semang dan Melayu adalah satu populasi yang lebih "awal" berbanding populasi di China dan Taiwan.

Selain bukti daripada kajian menggunakan SNPs, penjujukan penuh DNA mitokondria juga telah membuktikan bahawa Orang Asli di Semenanjung Malaysia (Semang) adalah berasal daripada kumpulan manusia moden terawal yang bergerak keluar dari benua Afrika.

Pergerakan ini berlaku lebih kurang 60,000-75,000 tahun dahulu melalui jalan darat di sepanjang pesisir pantai melalui India ke Asia Tenggara dan seterusnya ke Australasia (Tajuk penerbitan: Single, rapid coastal settlement of Asia revealed by analysis of complete mitochondrial genome; Science 2005).

Pada zaman ini, kemungkinan besar laluan ke arah utara terhalang oleh cuaca yang ekstrem, bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan kawasan gurun. Laluan pantai yang lebih landai dan cuaca yang kurang ekstrem mungkin antara faktor kenapa kumpulan manusia yang bergerak ke arah selatan berjaya tiba di Asia Tenggara.

Kajian serupa yang dilakukan ke atas 10 sub-etnik Melayu (Kelantan, Bugis, Banjar, Jawa, Acheh, Minang, Mendeleng, Rawa, Champa dan Pattani) menggunakan DNA mitokondria menunjukkan sejumlah orang Melayu juga mempunyai DNA mitokondria yang berusia hampir 60,000 tahun (Nur Haslindawaty Abd Rashid, tesis PhD, 2013) dan turut berkongsi haplogroup (kumpulan DNA mitokondria) yang sama dengan Orang Asli.

Penemuan ini membuktikan bahawa orang Melayu juga berasal daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari Afrika lebih kurang 60,000-75,000 tahun dahulu yang kemudiannya menjadi penghuni terawal di Kepulauan Melayu.

Kajian menggunakan pelbagai jenis penanda DNA telah membuktikan bahawa kesemua sub-etnik Melayu mempunyai persamaan genetik yang sangat tinggi (Edinur et al, 2009; NurWaliyuddin et al., 2014).

Penemuan ini telah mengukuhkan lagi kepercayaan tentang asal usul dan hubung kait antara populasi awal di Kepulauan Melayu. Kesemua sub-etnik Melayu ini ternyata berasal dari susur galur yang sama dan berkongsi keturunan yang sama.

Namun demikian, pada hari ini, mereka telah dipisahkan oleh sempadan geografi dan politik dan hasilnya mereka terlihat sebagai populasi yang berbeza.

Pemisahan ini walau bagaimapun tidak dapat menafikan hubungan mereka yang telah dibuktikan secara genetik, sama seperti hakikat kewujudan mereka di Kepulauan Melayu sejak 60,000 tahun dahulu.

KITAB 'PERMATA YANG HILANG'

Menurut catatan Ibnu Yusof dalam kitab "Permata Yang Hilang" mengisahkan bahawa permulaan keturunan Melayu adalah hasil perkahwinan Siti Keturah dengan Nabi Ibrahim AS.

Perkahwinan ini berlaku selepas kematian isteri Nabi Ibrahim bernama Siti Sarah. Nabi Ibrahim dilahirkan pada 2128 SM dan wafat pada 1953SM.

Sebahagian anak-anak hasil daripada perkahwinan tersebut telah berhijrah ke Timur ke wilayah yang dikenali hari ini sebagai Tasik Tonle Sap, lembah Sungai Mekong. Di sinilah lahirnya satu bangsa dikenali Malai atau bangsa gunung.

Tetapi lama kelamaan perkataan Malai digantikan dengan Melayu kerana “ME” adalah perbuatan dan “LAYU” adalah melembutkan besi, tembaga, perak dan emas ke dalam bentuk acuan yang diperlukan dalam kehidupan seperti pembuatan anting-anting, periuk dan sebagainya.

Bangsa ini amat mahir dalam pertukangan besi, tembaga, perak dan emas. Ini disebabkan permulaan kerajaan pertama iaitu Dinasti Kaundiya adalah hasil perdagangan barangan tersebut telah membentuk empayar Funan pada 100 SM.

Kerajaan Funan ini merupakan kerajaan Melayu pertama dan empayarnya sehingga ke Segenting Kra.

Kewujudan amalan dan fahaman kepercayaan yang dibawa oleh golongan yang dihalau oleh Nabi Musa a.s. semasa berlakunya peristiwa Lembu Sapi, telah berhijrah ke Timur merentasi India sekitar tahun 1447 SM.

Sebahagian golongan ini tinggal di India dan sebahagian lagi tinggal di Funan lalu membentuk agama Hindu. Akibatnya, agama tauhid mulai dilupakan.

Kejatuhan kerajaan Funan telah menyebabkan ramai orang Melayu berhijrah keluar akibat serangan dan tekanan daripada kerajaan Dinasti Lavo dan Champa.

Kebangkitan kerajaan Langka­suka yang menggantikan kerajaan Funan telah membawa satu perubahan kepada bangsa Melayu.

Langkasuka yang meliputi wilayah Setul hinggalah Rudung (Ranong, Thailand) dan Pulau Dua (Kawthoung), Myanmar. Kejatuhan Langkasuka akhirnya digantikan dengan kerajaan Srivijaya pada abad keenam Masihi.

Kerajaan Kedah Tua dan Kelantan merupakan tempat persinggahan dalam perdagangan China dan India.

Walaupun agama Islam dikembangkan tetapi masih minoriti, berbanding masyarakat Melayu yang masih menganut agama Hindu dan Buddha.

Penguasaan empayar Srivijaya semakin lemah menjelang kurun ke-11 Masihi. Keadaan ini menyebabkan Kerajaan Kedah Tua membebaskan diri apabila rajanya memeluk Islam dan menamakan dirinya Sultan Mudzafar Shah 1 yang membentuk Kesultanan Kedah pada 1176 Masihi. Ini diikuti kerajaan Kelantan Lama memeluk Islam.

Bahasa Jawi telah menggantikan bahasa Kenawi yang telah digunakan sejak 3,000 sebelum Masihi lagi.

Gelombang kedatangan Islam kedua paling besar dan memberi impak kepada perubahan agama dalam kalangan masyarakat Melayu.

Contoh, misi ekspedisi Laksamana Cheng Ho yang membawa 80,000 buah kapal. Muhammad Ma Ho diberikan gelaran Laksamana Cheng Ho atau Zheng He.

Contoh lain, perkahwinan Puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Syah dan juga pertolongan Cek Ko Po yang menubuhkan kerajaan Islam Demak seterusnya meruntuhkan kerajaan Majapahit. Keruntuhan kerajaan Majapahit menyebabkan pengislaman beramai-ramai rakyat Pulau Jawa, Sumatera dan Kalimantan.

Pengislaman kerajaan Melaka berlaku setelah satu peristiwa solat berjemaah di pantai Melaka oleh ketiga-tiga negara iaitu pedagang India Muslim, rombongan Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam dan pedagang Arab Muslim.

Kejadian ini telah mengubah pandangan dan perspektif Parameswara yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Ini merupakan salah satu perubahan ke atas masyarakat Melayu keseluruhannya dari agama Hindu Buddha kepada Islam.

PENTINGKAH KETURUNAN?

Mungkin bagi sesetengah pihak, pengetahuan tentang sejarah dan asal usul sesuatu bangsa tidak penting. Kenapa kita perlu bersusah payah memahami kejadian yang berlaku beribu-ribu tahun dahulu?

Adakah perjalanan dan pengalaman yang dilalui oleh nenek moyang kita masih relevan untuk dipelajari?

Harus diingat, pandangan kita tentang sejarah sebenarnya membentuk pandangan kita tentang masa hadapan.

Gagal menghayati sejarah bermakna kita gagal menghargai dan menghormati usaha keras nenek moyang kita, sedangkan hasil darinya kita nikmati hari ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

Menarik perkongsian ni.. sgt berinformatif dan agak mendalam juga. Thanks sharing SP

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon