Tuesday, October 09, 2018

Sejarah Wilayah Dagestan, Sebuah 'Negara' Islam Di Rusia


Mungkin ramai tidak tahu di manakah terletaknya Dagestan, lagi tak tahu bahawa Islam merupakan agama kedua terbesar di Rusia selepas Kristian Ortodoks yang mana sekitar 10% penduduk Rusia (14.5 juta daripada 145 juta) adalah Muslim dan majoriti penganut Islam tertumpu di kawasan Volga-Ural (Tatarstan dan Bashkortostan) dan kawasan North Caucasus (Bahasa Arab: ﺍﻟﻘﻮﻗﺎﺯ / al-Qawqaaz; Bahasa Rusia: Кавказ / Kavkaz) yang merangkumi Dagestan, Chechnya dan Circassia.

Amazing Dagestan

Wilayah-wilayah ini ditakluk oleh Rusia semasa pemerintahan Tsar (1547-1917), namun Rusia mengambil masa selama 47 tahun (1817-1864) untuk menakluki Caucasus Utara, akibat tentangan hebat daripada pemimpin Caucasus Utara bernama Imam Shamil.

Selepas Imam Shamil menyerah kalah, pemerintahan Rusia yang opresif menyebabkan ratusan ribu sehingga jutaan umat Islam seperti kaum Circassian dibunuh dan dibuang.

Ramai Circassian berhijrah ke Turki Uthmaniyyah dan ada di kalangan Circassian Turki ini telah berhijrah ke Nusantara seperti Ruqayyah Hanum yang merupakan moyang kepada Tun Hussein Onn, Ungku Aziz dan Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Selepas kejatuhan dinasti Tsar, rejim komunis Kesatuan Soviet turut menzalimi umat Islam di Caucasus Utara.

Sebaik sahaja Kesatuan Soviet dibubarkan pada tahun 1991, Chechnya mengisytiharkan kemerdekaan dan Perang Chechnya Pertama (1994-1996) meletus.

Kerajaan Rusia di bawah Boris Yeltsin tidak mampu menundukkan pemisah Chechnya dan terpaksa menandatangani perjanjian gencatan senjata yang dilihat sebagai simbol penghinaan oleh ramai orang Rusia.

Republik Chechnya yang mencapai kemerdekaan secara de facto cuba menakluki Dagestan untuk mencipta sebuah negara Islam yang merentasi Caucasus Utara.

Ekoran serangan Chechnya ke atas Dagestan, Vladimir Putin yang baru menjawat jawatan Perdana Menteri Rusia selama 10 hari telah melancarkan Perang Chechnya Kedua pada 26 Ogos 1999.

Sejarah perang chechnya

Dalam masa tak sampai setahun, Putin berjaya merampas kembali Chechnya, mencapai apa yang Yeltsin gagal capai dan itulah yang menjadi antara faktor populariti Putin.

Salah satu faktor kejayaan Putin ialah sokongan daripada pemimpin-pemimpin Chechnya dan Dagestan yang beraliran Sufi.

Kesufian merupakan tradisi penduduk Caucasus Utara dan Imam Shamil sendiri merupakan pengikut tarekat Naqsybandiyyah.

Penyusupan masuk golongan ekstremis (yang dipercayai didanai oleh Saudi) ke dalam Chechnya dan Dagestan memaksa golongan pemimpin Sufi bekerjasama dengan Moscow kerana golongan ekstremis ini bukan saja melawan Rusia malah turut mengkafirkan golongan Sufi.

Putin dan tukang propagandanya (seperti Aleksandr Dugin) mengambil kesempatan ke atas perpecahan umat untuk memperkukuhkan pemerintahan Moscow dengan mempromosi Sufi sebagai versi Islam yang sebenar dan membanteras ekstremis penganut ideologi “Salafi” yang dilabel sebagai konspirasi US-Saudi.

Walaupun Perang Chechnya sudah tamat, namun golongan ekstremis “Salafi” di bawah panji “Caucasus Emirate” masih beroperasi dan melancarkan serangan ke atas pemimpin penganut Sufi dan orang awam Rusia.

Dagestan culture

Kini, Caucasus Emirate telah berbaiah kepada Daesh menjadi “Vilayat Kavkaz” dan masalah di Caucasus jika tidak diselesaikan boleh menggugat keamanan Rusia.

Menyedari hakikat ini, Putin mula merapatkan hubungan dengan Saudi agar Saudi tidak lagi menjadi penaja pejuang di Chechnya dan Dagestan.

Disebabkan bukan semua orang mempunyai akses kepada Chechnya dan Dagestan, pengkaji luar yang buat kajian lapangan pun tidak ramai (yang ada seperti Robert Bruce Ware), kita tak pasti apakah keadaan orang Islam di situ, sama ada mereka ditindas seperti dakwaan golongan radikal atau baik-baik sahaja seperti propaganda media rasmi Rusia.

Cuma dalam kebanyakan masa, kita terlalu fokus kepada kejahatan kuasa-kuasa besar seperti Amerika dan Britain terhadap umat Islam, tapi tidak begitu sedar dengan sisi gelap Rusia (Chechnya dan Dagestan) serta China (Xinjiang).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

1 comment

  1. Menarik info ni. Sy mmg suka perkongsian mcm ni. Info baru lg buat saya hari ni. Tq SP

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon