Sunday, July 15, 2018

Realiti Perkahwinan Bawah Umur Di Amerika Syarikat


Bagi warga Amerika Syarikat, kisah 'perkahwinan bawah umur' kebiasaannya berkisar kepada berita yang datang dari negara lain seperti Thailand, India dan Niger. Walaupun begitu, satu laporan yang diterbitkan pada bulan Februari 2017 membuktikan, tidak ramai di kalangan masyarakat Amerika Syarikat menyedari kadar perkahwinan golongan bawah umur di negara mereka sebenarnya berada pada tahap tinggi.

Realiti Perkahwinan Bawah Umur Di Amerika Syarikat

Hampir 250,000 kanak-kanak dikahwinkan tanpa kerelaan dalam tempoh 15 tahun bermula tahun 2000 dan sekiranya mereka sendiri yang menjadi warganegara Amerika Syarikat tidak menyedari kejadian itu berlaku setiap hari di kalangan mereka, apatah lagi kita di Malaysia.

Tahukah anda, undang-undang perkahwinan bawah umur di Amerika Syarikat sebenarnya adalah antara yang paling lemah di dunia, di kalangan negara-negara maju?

Realiti undang-undang perkahwinan bawah umur Amerika Syarikat

Majoriti negeri di Amerika Syarikat masih lagi menggunakan undang-undang yang ditetapkan pada tahun era 70-an tanpa sebarang perubahan.

Kebanyakan negeri di Amerika Syarikat hanya mempunyai had minima umur sama ada 16 atau 18 tahun bagi perkahwinan namun tidak mempunyai sebarang peraturan lain yang mampu mengawal peraturan, sekiranya ibu bapa memutuskan untuk mengahwinkan anak mereka.

Kajian di beberapa negeri mendapati bilangan pasangan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya seorang individu bawah umur agak tinggi.

Di negeri Virginia sahaja 4,474 orang individu majoritinya perempuan bawah umur dikahwinkan dalam tempoh 2004 hingga 201. Yang paling muda hanya berumur 13 tahun.

New York sebuah bandar yang dikatakan hebat, mencatatkan jumlah 3,853 perkahwinan melibatkan individu bawah umur.

Majoriti kes melibatkan gadis perempuan yang dikahwinkan dengan lelaki berusia berdekad-dekad lebih tua daripada isterinya.

Percayakah anda jika kami katakan - di Amerika Syarikat, seorang individu bawah umur boleh dikahwinkan dengan kebenaran ibu bapanya.

Namun pihak mahkamah Amerika Syarikat mewajibkan individu itu mencapai umur minima perkahwinan yang ditetapkan mengikut negeri, bagi membolehkan dia menuntut cerai sekiranya perkahwinan itu tidak berjaya.

Mengarut kan?

Majoriti kes perkahwinan bawah umur di Amerika Syarikat adalah perkahwinan anak perempuan, dengan peratusan 87% kes berbanding hanya 13% anak lelaki.

Ketika fokus dunia lebih kepada menangani masalah perkahwinan bawah umur di negara-negara Asia, cukup menghairankan bagaimana isu sama di Amerika Syarikat tidak mendapat perhatian dunia.

Pengalaman dipaksa kahwin

Realiti Perkahwinan Bawah Umur Di Amerika Syarikat

Seorang individu yang kerap menjadi rujukan berkenaan isu ini serta bertindak sebagai aktivis pencegahan perkahwinan bawah umur adalah Fraidy Reiss yang menubuhkan gerakan NGO 'Unchained at Last.'

Fraidy adalah wanita berketurunan Orthodox Jewish tidak dikahwinkan bawah umur, namun kedua ibu bapanya mengahwinkan beliau pada usia 19 tahun tanpa kerelaannya.

Hidup mengikut budaya Hasidic Jewish Orthodox yang sangat berpegang teguh pada nilai-nilai tradisional membuatkan Fraidy tidak dibenarkan belajar menjadi dewasa seperti gadis-gadis lain.

Dia tidak dibenarkan memandu, tidak mempunyai wang sendiri ataupun berhubungan dengan mana-mana individu di luar komuniti mereka.

Dikahwinkan dengan seorang lelaki yang hanya dikenali selama 3 bulan tanpa boleh membantah, Fraidy berdepan detik hitam didera dan diugut suami sendiri dalam rumah yang mereka diami.

Perkara itu dibiarkan berterusan walaupun Fraidy cuba menceritakan masalahnya kepada sanak saudaranya kerana menharapkan suaminya akan berubah satu hari nanti.

Fraidy dinasihatkan untuk terus bersabar dengan kerenah suaminya.

Tidak tahan dengan deraan, Freidy memberanikan diri mendapatkan perintah larangan terhadap suaminya sendiri dan menuntut cerai.

Proses itu memakan masa yang panjang berikutan halangan dilakukan oleh saudara-mara beliau sendiri serta pihak suami.

Berdepan cabaran yang getir, Freidy berjaya menamatkan pendidikan peringkat tertiari dalam bidang penulisan ketika berusia 32 tahun, mampu menyara hidupnya sendiri dengan anak-anak tanpa suami, seperti syarat yang ditetapkan mahkamah.

Akhirnya selepas 12 tahun menunggu, Fraidy memenangi tuntutan cerai di mahkamah.

Walaupun demikian, harga yang dibayar Fraidy agak besar.

Mahu keluar daripada komuniti masyarakat Orthodox Jewish yang membesarkan dia, Fraidy mengambil keputusan menukar agamanya.

Pilihan itu menyebabkan pihak keluarganya tidak lagi menerima dia, memburukkan lagi situasi yang tegang selepas Fraidy bertindak melawan kehendak keluarga memutuskan ikatan perkahwinan yang telah diaturkan.

Statistik perkahwinan bawah umur di Amerika Syarikat

Pada mulanya, tak ramai yang percaya apa yang disampaikan oleh Fraidy berkaitan budaya mengahwinkan anak kecil, berlaku di Amerika Syarikat. Ramai menganggap benda itu mitos.

Anda sudah bersedia mendengar realiti sebenar bagaimana merebaknya budaya perkahwinan bawah umur di Amerika Syarikat?

Walaupun sudah menjalani penurunan yang stabil sejak tahun 2000, jumlah perkahwinan melibatkan bawah umur di Amerika Syarikat masih layak dikatakan tinggi.

Apa yang lebih membimbangkan, majoriti perkahwinan yang dilakukan, melibatkan perkahwinan seorang individu bawah umur dengan individu dewasa, majoritinya lelaki yang berumur lebih 18 tahun.

Hanya 14% jumlah kes perkahwinan melibatkan perkahwinan dua individu bawah umur, sementara 86% pula melibatkan individu bawah umur dikahwinkan dengan individu dewasa.

Pecahannya pula dalam tempoh 15 tahun daripada 2000 hingga 2015, sebanyak 368 kes melibatkan perkahwinan individu bawah umur dengan individu berumur lebih 40 tahun, 61 kes dengan individu berumur 50 tahun dan 31 kes melibatkan perkahwinan dengan individu berusia 60 tahun.

Rekod jarak umur paling jauh perkahwinan bawah umur di Amerika Syarikat adalah 60 tahun, melibatkan seorang individu lelaki berusia 74 tahun mengahwini seorang gadis kecil berumur baru 14 tahun di Alabama!

Sudah terhantuk baru nak mengadah

Realiti Perkahwinan Bawah Umur Di Amerika Syarikat

Semua statistik ini hanya mula diberikan perhatian serius selepas Fraidy berusaha melobi kerajaan Amerika Syarikat melalui gerakan NGO yang diasaskannya.

Sebelum itu pihak masyarakat termasuklah kerajaan Amerika Syarikat dilihat seolah acuh tak acuh dengan amalan ini di kalangan masyarakat mereka.

Bermula dengan kajian pengumpulan data berkenaan perkahwinan bawah umur di negerinya sendiri New Jersey, kejutan yang diterima meneliti statistik yang diperolehi membuatkan Fraidy nekad meneruskan usahanya memastikan wanita-wanita tidak perlu melalui apa yang telah dilaluinya.

Kajian kedua di New York diperoleh membuktikan kota sehebat New York hanya gah pada luarannya namun masih lagi bersikap primitif dalam mengenengahkan isu perkahwinan bawah umur yang berleluasa.

Dengan maklumat daripada lebih 30 negeri, Fraidy mendedahkan kajiannya yang membuka mata semua pihak mendedahkan kepincangan undang-undang di negara mereka, yang amat mudah dipatahkan.

Usaha untuk melobi pemimpin kerajaan di Amerika Syarikat telah dijalankan Fraidy dan anggota NGOnya.

Hasil usahanya, kajian-kajian lain mula dilaporkan menunjukkan masalah perkahwinan bawah umur memang berkait rapat dengan tahap kemiskinan.

Keluarga di bandar-bandar jarang sekali melakukan tindakan mengahwinkan anak-anak mereka, tidak seperti keluarga di kawasan pedalaman Amerika Syarikat yang kerap memilih jalan tersebut dalam membantu kehidupan anak mereka.

Pada bulan Mei 2017 - kerajaan negeri New Jersey menjadi negeri pertama Amerika Syarikat mengumumkan undang-undang melarang perkahwinan melibatkan individu bawah umur, namun di halang secara veto oleh Gabenornya, Chris Christie.

Beliau berpendapat perlu ada kebenaran khas diberikan untuk berkahwin pada pasangan atas sebab-sebab keperluan, bukan sekadar larangan bersifat bersifat mutlak.

Delaware menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat melarang perkahwinan bawah umur secara mutlak pada bulan Mei 2018.

Walaupun begitu, sehingga kini ada 24 lagi negeri di Amerika Syarikat yang langsung tidak mempunyai undang-undang atau syor berkenaan isu perkahwinan bawah umur, membolehkan mana-mana ibu bapa untuk mengahwinkan anak mereka tak kira berapa saja usianya bila mereka rasakan perlu tanpa memerlukan sebarang persetujuan mahkamah atau badan pemerintah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon