Thursday, June 21, 2018

Puan, Orang Utan Paling Tua Di Dunia Mati Di Zoo Australia


Orang utan tertua di dunia yang dikenali sebagai Puan, berusia 62 tahun mati pada Isnin (18/6/2018) di Zoo Perth, Australia Barat, yang dilahirkan pada tahun 1956.

Puan, Orang Utan Paling Tua Di Dunia Mati Di Zoo Australia

Orang Utan Sumatra betina itu terpaksa melaluli proses eutanasia (dimatikan) selepas kesihatannya semakin merosot.

Para pengunjung dan kakitangan berkumpul dalam suasana suram serta memberikan penghormatan kepada penghuni Zoo yang telah menjadi antara tarikan utama sejak sekian lama itu.

"Orang Utan itu banyak menyumbang kepada koloni dan survival spesiesnya," kata penyelia Zoo Perth, Holly Thompson.

Semasa hayatnya, Puan memiliki 11 anak dan 54 keturunannya kini tersebar di seluruh hutan di dunia serta di Sumatera.

Ekoran itu, genetiknya menyumbang kira-kira 10 peratus daripada populasi Orang Utan di dunia.

'100,000 orang utan Borneo terbunuh dalam 16 tahun'

Sementara itu, Orang Utan, maskot pelancongan yang popular di Malaysia sebenarnya merupakan antara spesis haiwan beruk besar yang paling terancam di dunia.

Lebih 100,000 orang utan terbunuh di Borneo, dedah sebuah kajian, lapor BBC.

Agensi berita itu melaporkan para saintis yang menjalankan penyelidikan selama 16 tahun di pulau itu berkata angka itu cukup mengejutkan.

BBC melaporkan penebangan hutan akibat kegiatan pembalakan, kelapa sawit, perlombongan dan kilang kertas menjadi antara faktor utama.

Namun, kajian yang diterbitkan di jurnal Current Biology itu juga mendedahkan haiwan itu turut lenyap dari kawasan yang hutannya masih ada.

Ini menunjukkan sebahagian besar orang utan di kawasan itu telah dibunuh, kata penyelidik utama Maria Voigt dari Max Planck Institute for Evolutionary Anthropology di Jerman, lapor BBC lagi.

Seorang lagi anggota pasukan penyelidik itu, Prof Serge Wich dari John Moores University, Liverpool UK, memberitahu BBC mereka tidak menjangkakan haiwan itu akan turut pupus di hutan sedia ada.

"Jadi, kajian ini mengesahkan pemburuan antara isu yang besar.

"Apabila haiwan ini berkonflik dengan manusia di celah-celah kawasan ladang, mereka akan kalah. Manusia akan membunuh haiwan ini.

"Ia mengejutkan dan tidak patut. Orang utan mungkin makan buah-buahan peladang tetapi mereka tidak berbahaya," kata Prof Wich, lapor BBC.

Beliau juga mendesak pihak berkuasa di Malaysia dan Indonesia untuk menangani isu pemburuan yang mensasarkan haiwan ini.

Para penyelidik terbabit juga menjangkakan penerokaan kawasan hutan sahaja akan melenyapkan kira-kira 45,000 orang utan bagi tempoh 35 tahun akan datang.

Dr Emma Keller daripada badan pemeliharaan haiwan liar WWF memberitahu BBC pihak pengguna perlu memberi tekanan kepada syarikat-syarikat pengeluar produk agar mendapatkan bekalan daripada perladangan yang mapan.

Emma merujuk kepada sistem pentauliahan yang dikenali sebagai Round Table on Sustainable Palm Oil (RSPO), yang mana piawaiannya sering dikemaskini.

"Matlamat besar sekarang untuk mengharamkan terus penebangan hutan," katanya dipetik BBC.

Larangan minyak sawit EU, lestari alam

Pada 17 Januari lalu, Parlimen Kesatuan Eropah (EU) meluluskan suatu resolusi bahawa hanya minyak sawit yang dihasilkan secara mapan dan lestari alam sahaja yang boleh masuk ke pasaran Eropah.

EU mendakwa kegiatan perladangan kelapa sawit boleh merosakkan alam sekitar.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit ke Kesatuan Eropah (EU) dijangka merosot secara berperingkat, walaupun cadangan sekatan ke atas penggunaan minyak sawit dalam campuran biofuel oleh blok politik dan ekonomi itu hanya akan direalisasikan pada 2021.

Manakala itu, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan memohon kepada Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) supaya menjadi suara membantah sekatan import produk minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam masa terdekat.

Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata bantahan tersebut dilihat wajar dilakukan berikutan resolusi EU itu boleh menjejaskan pendapatan dan ekonomi kira-kira 650,000 anggota koperasi yang juga pekebun kecil kelapa sawit di negara Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mk1 | mk2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon