Sunday, April 15, 2018

Politik Adalah Untuk Memilih Parti Yang Paling 'Kurang Najisnya'


Dalam persaingan politik kepartian yang sedang kita saksikan sekarang di Malaysia, sebenarnya bukanlah percaturan untuk memilih dan mengundi antara parti yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Politik di malaysia

Sebaliknya, kita diberi ruang untuk memilih parti politik yang paling kurang mudarat di antara yang sangat mudarat. Itulah realiti yang ada.

Jika kita cuba 'beriman' dengan segala dakwaan dan janji mereka, maka itu sebenarnya satu kesilapan yang besar.

Cumanya, kita sedang mencari antara yang kurang temberang dalam kalangan yang temberang.

Sesiapa yang bersemangat mempercayai sepenuhnya apa yang dibawa mana-mana parti, maka dia akan kecewa.

Apa yang sedang kita saksikan dari ahli politik yang berserban sehingga yang ke kelab malam, berbohong itu seakan rukun mereka dalam berpolitik.

Tuntutan agama ialah kita hendaklah berpegang dan berdiri atas prinsip, sementara orang politik bicara mereka berubah berdasarkan musim undian dan kuasa yang ingin diperolehi.

Semalam mereka halalkan, hari ini mereka haramkan.

Semalam mereka nerakakan , hari ini mereka beri lebel syurga.

Semalam mereka bantah, hari ini mereka sokong.

Bukan sahaja berita media mereka putar, nas-nas agama juga mereka pusing mengikut kehendak semasa mereka.

Justeru, apa yang kita perlu lakukan ialah memilih yang paling kurang bahaya iaitu yang lebih dekat untuk mencapai urustadbir negara yang lebih cekap dan telus.

Memang, sepatutnya kita mencari yang paling cemerlang dalam kalangan yang terbilang untuk diberikan tanggungjawab pentadbiran negara.

Malangnya, yang tinggal kini ialah kita terpaksa mencari siapakah yang dijangka kurang merosakkan urustadbir negara jika diberikan kuasa.

Parti-parti yang kita lihat bergegar dengan pelbagai slogan dan manifesto itu, jika kita selami dalaman mereka, kesemuanya sarat dengan pelbagai ketidaktelusan dan kerakusan terhadap kuasa.

Individu-individu yang memimpin setiap parti itu mempunyai pelbagai kehendak dan kepentingan diri.

Walaupun kita tidak menafikan di sana ramai juga yang ikhlas dalam pelbagai parti yang ada namun, mereka itu 'ghuraba' (orang asing) dalam lautan cita-cita politik yang sering kali mempunyai 'kehendak peribadi' yang dihiasi dengan ungkapan 'demi kepentingan rakyat'.

Kepada Allah kita mengadu.

Semoga Allah pelihara kita dari ketaksuban yang bodoh.

Semoga Allah mengurniakan kita mata nurani yang dapat membuat pemilihan yang betul.

Kita kena memilih yang paling cekap dan amanah.

Jika tiada, yang mendekati kecekapan dan yang lebih dekat kepada amanah.

Jika tiada, yang paling kurang korupsi dan paling kurang dangkal dalam urustadbir.

Namun, dalam masa yang sama, kita tidak akan mempercayai segala slogan mereka dengan sepenuh hati.

Kita tahu di musim ini, bukan sahaja harta dunia mereka janjikan, syurga dan neraka pun mereka beri jaminan seperti mana mereka menjamin geran tanah di dunia!

Pohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat.

Jadilah insan yang berprinsip dan dapat membezakan apa yang kita lihat di pentas kehidupan ini.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA)
Mufti Perlis

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 'Wang Nadi Politik Yang Menjengkelkan'

sumber: fb/DrMAZA

1 comment

  1. yess beta setuju yang paling banyak najis adalah yang menjadi ahli parti politik yg tidak layak menggunakan lambang sendiri dalam PRU 14 ni., beta sokong statement Dr MAZA. Beta minta rakyat malaysia memegang kenyataan Dr MAZA dalam menjalankan tugas semasa pengundian PRU 14 ini

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon