Wednesday, March 14, 2018

Genius Fizik Stephen Hawking Meninggal Dunia


Pakar fizik teoretikal paling terkenal di dunia berasal dari Britain, bukan sahaja dianggap individu istimewa kerana kegeligaan otaknya malah bagaimana beliau menghadapi cabaran dalam kehidupannya termasuk ketika diserang penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis atau ALS Stephen Hawking, meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Genius Fizik Stephen Hawking Meninggal Dunia

"Kami amat sedih kerana bapa tersayang meninggal dunia hari ini.

"Beliau adalah saintis hebat dan lelaki luar biasa yang usaha dan legasinya akan terus hidup," kata anak Hawking, Lucy, Robert dan Tim dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita Press Association Britain.

Siapa tidak kenal ahli fizik berkerusi roda ini. Beliau ibarat selebriti dalam dunia akademik.

Stephen Hawking turut digelar sebagai selebriti Holywood kerana pernah muncul dalam beberapa rancangan televisyen, antaranya termasuklah The Big Bang Theory.

Stephen Hawking sebenarnya mati 55 tahun lalu

Bagi Hawking yang nama sebenarnya Stephen William Hawking selagi nyawa melekat di badan dia akan terus menjelajah dunia ilmu merentasi alam semesta.

Dilahirkan pada 8 Januari 1942 di Oxford, Britain. Hawking didiagnos menghidap Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) pada 1963 ketika berusia 21 tahun.

Biasanya, mereka yang menghidap penyakit ini hanya mampu bertahan 2 hingga 5 tahun namun tidak bagi Hawking. Ahli fizik terkemuka ini mampu bertahan hingga 55 tahun sebelum menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.

ALS yang dikenali juga sebagai penyakit Lou Gehrig atau penyakit motor neuron (MND) adalah penyakit yang mempengaruhi sel-sel saraf di otak dan sumsum tulang belakang.

Ia menyebabkan kematian neuron motorik, yang mengakibatkan otak hilang kemampuan untuk mengendalikan gerakan otot.

Ketika otot dalam diafragma dan dinding dada gagal berfungsi, ia akan hilang kemampuan untuk bernafas.

Daripada 10 kes ALS, satu adalah kerana genetik, 90 peratus lagi masih menjadi misteri.

Gejala awal ALS mungkin sering diabaikan. Antaranya seperti kulit berkedut kekejangan, lemah otot lengan atau kaki, kesukaran bertutur dan kesulitan mengunyah atau menelan.

Gejala lanjutan seperti masalah pernafasan dan kelumpuhan. Kematian biasanya disebabkan kegagalan pada otot-otot pernafasan.

ALS tidak mempengaruhi kemampuan seseorang untuk melihat, mencium, merasakan, mendengar, atau mengenali sentuhan.

FAKTA MENARIK STEPHEN HAWKING

1. Diberitahu Mempunyai Beberapa Tahun Untuk Hidup Ketika Berusia 21 Tahun

Stephen mula menunjukkan simptom lemah gemalai ketika di universiti dan sekembalinya ke rumah ketika cuti Krismas, keluarga beliau sedar akan perubahan Stephen dan mendesak beliau untuk bertemu doktor.

Tidak lama selepas menyambut hari kelahiran ke-21, beliau bertemu dengan doktor dan menjalani ujian selama 2 minggu bagi mengesan apa penyakit yang dihidapi beliau.

Stephen diberitahu bahawa beliau menghidapi amyotrophic lateral sclerosis (ALS), atau nama lainnya penyakit Lou Gehrig.

ALS adalah sejenis penyakit saraf yang mana pesakitnya akan kehilangan kebolehan mengawal otot (yang boleh dikawal).

Beliau turut diberitahu oleh doktor bahawa dia tidak akan hidup lama, mungkin beberapa tahun sahaja lagi.

Beliau terkejut dan mempersoalkan mengapa perkara tersebut terjadi kepada beliau namun, melihat seorang kanak-kanak yang sedak nazak akibat leukemia ketika di hospital, beliau sedar ada yang lebih teruk diuji berbanding beliau.

2. Penulis Buku Kanak-Kanak

Antara perkara menarik yang paling tidak disangka tentang Stephen Hawking adalah kerjaya beliau sebagai penulis buku kanak-kanak.

Pada tahun 2007, beliau telah bekerjasama dengan anak perempuan beliau iaitu Lucy Hawking untuk menulis sebuah buku berjudul 'George's Secret Key to the Universe'.

Buku berkenaan berkisar tentang seorang kanak-kanak lelaki bernama George yang memberontak terhadap keluarga kerana kebencian ibu bapanya terhadap teknologi. Dia mula berkawan dengan jirannya yang merupakan seorang ahli fizik berkomputer.

Komputer tersebut merupakan komputer paling berkuasa di dunia, yang boleh menhubungkan mereka dengan ruang angkasa melalui portal.

Tujuan buku ini ditulis adalah untuk menerangkan konsep saintifik yang berat seperti black holes dan permulaan kehidupan di dunia, kepada kanak-kanak.

3. Mendapat Keputusan Akademik Yang Teruk Ketika di Sekolah

Ketika berumur 9 tahun, gred keputusan peperiksaan beliau adalah antara yang paling teruk dalam kelas. Dengan sedikit usaha, gred beliau semakin baik, namun bukan yang terbaik.

Walaupun keputusan teruk, guru-guru dan rakan-rakan beliau percaya bahawa beliau seorang yang genius, dan beliau mendapat gelaran 'Einstein' ketika di sekolah. Mungkin aura beliau yang membuatkan ramai sedar akan kebijaksaan yang dimiliki.

Bapa beliau mahu beliau melanjutkan pelajaran ke Oxford University, namun mereka tidak berkemampuan dari segi kewangan, dan beliau perlu bersungguh dalam pelajaran untuk mendapatkan biasiswa ke sana.

Akhirnya, ketika peperiksaan bagi mendapatkan biasiswa, beliau berjaya mendapat markah penuh bagi subjek fizik.

4. Kalah Dalam Pertaruhan Tentang Black Holes

Pada tahun 1975, Stephen mencadangkan bahawa black holes sebenarnya bukanlah hitam, malah ia mengeluarkan tenaga.

Dalam masa yang sama, beliau berkata 'informasi' akan turut diserap ke dalam black holes dan kemudiannya tersejat.

Seorang ahli teoretikal fizik bernama John Preskill tidak bersetuju dengan kenyataan Stephen. Pada tahun 1997, mereka membuat pertaruhan tentang perkara tersebut.

Pada tahun 2004, Stephen mengaku bahawa beliau salah tentang kenyataan beliau pada 1997.

Menariknya tentang Stephen, walaupun seorang yang genius, dia tidak malu untuk mengaku kesalahannya.

5. Benci Subjek Biologi

Stephen Hawking mempunyai kecenderungan terhadap subjek matematik dari awal usia lagi, dan berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang ini.

Namun, bapa beliau mempunyai harapan untuk beliau menjadi seorang doktor.

Dalam semua subjek sains, subjek paling tidak disukai beliau adalah subjek biologi kerana baginya, subjek tersebut 'tidak tepat dan terlalu deskriptif'.

Stephen lebih suka untuk menggunakan minda terhadap sesuatu yang lebih tepat, dengan konsep yang lebih jelas.

6. Sebahagian Daripada Pasukan Mendayung Ketika di Oxford University

Ketika tahun pertama di University of Oxford, Stephen berasa sunyi dan tidak gembira dan satu-satunya perkara yang membuatkan dia lupa sebentar perasaan tersebut adalah dengan menjadi sebahagian daripada pasukan mendayung di Oxford.

Sebelum dikesan dengan penyakit yang bakal menyebabkan kehilangan kebolehan fizikal, Stephen tidak mempunyai kekuatan fizikal dan bina badan seperti ahli sukan.

Namun, pasukan mendayung mengambil ahli yang kecil seperti beliau untuk peranan sebagai 'coxswains'.

Peranannya bukanlah sebagai pendayung, namun lebih kepada mengawal steering dan kadar kelajuan dayungan.

Pasukan mendayung sangat penting di Oxford, dan sangat sukar untuk menyertainya. Menjadi sebahagian daripada pasukan tersebut, dengan peranan yang dimainkan, dia menjadi sangat terkenal di Oxford.

7. Membantu Mencipta 'Boundless Universe Theory'

Pada tahun 1983, Stephen bersama seorang lagi saintis Jim Hartle berjaya mencipta teori tentang alam semesta yang sentiasa berkembang bersama masa.

Pada tahun tersebut, mereka menggabungkan konsep kuantum mekanik dengan general relativity (teori Einstein berkenaan graviti dan bagaimana masa membengkokkan ruang) bagi menunjukkan bahawa alam semesta adalah sebuah identiti terkawal dan tidak mempunyai sempadan.

8. Menerima Pelbagai Anugerah Kecemerlangan

Sepanjang karier dalam bidang fizik, Stephen Hawking telah menerima pelbagai anugerah atas pencapaian beliau.

Pada tahun 1974, beliau telah dilantik menjadi sebahagian daripada Royal Society di UK, dan setahun kemudian, Pope Paul VI menganugerahkan beliau Medal for Science. Beliau turut menerima Albert Einstein Award dan Hughes Medal daripada Royal Society.

Pencapain beliau turut menarik perhatian dunia akademik dan pada tahun 1979 beliau berjaya mendapat jawatan Lucasian Professor of Mathematics di University of Cambridge.

Jawatan tersebut disandang beliau selama lebih 30 tahun sehingga dia meninggal dunia. Jawatan sama pernah dipegang oleh Sir Isaac Newton.

Terdapat banyak lagi anugerah yang diterima beliau dari peringkat negara dan antarabangsa, namun beliau masih belum berjaya mendapatkan anugerah Nobel Prize.

Nobel Prize merupakan anugerah yang dianggap terbaik bagi beberapa kategori, sains adalah salah satu daripadanya.

9. Percaya Kemungkinan Wujudnya Makhluk Asing

Bagi Stephen, memandangkan alam semesta begitu luas, kemungkinan besar wujudnya kehidupan makhluk asing yang hidup secara primitif di luar sana dan kemungkinan juga wujudnya alien yang bijak pandai.

Menurut Stephen, manusia perlu berhati-hati dengan makhluk asing, kerana terdedahnya kita kepada makhluk ini boleh menyebabkan komplikasi kesihatan.

Manusia mungkin tidak mempunyai kekuatan terhadap penyakit yang boleh berjangkit daripada makhluk asing ini.

Berfikiran positif

Sehingga akhir hayatnya Stephen Hawking menghabiskan kehidupannya di kerusi roda. Mengapa beliau bertahan cukup lama? Mungkin kerana fikirannya yang tajam selain pemikirannya yang sentiasa positif.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini | beautifulnaara

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon