Jumaat, Januari 26, 2018

Kisah Turunnya Surah An-Nur Kerana Seorang Pelacur


Ibnu Salul berang. Dia merenung tajam lelaki dihadapannya. Ditangan lelaki tersebut ada segenggam wang namun, Ibnu Salul tidak berpuas hati kerana jumlahnya tidak seperti yang diharapkan.

Kisah Turunnya Surah An-Nur Kerana Seorang Pelacur
Gambar hiasan.

"Sesungguhnya wang sebanyak ini adalah hasil kerja separuh hari, bukan sehari penuh!" ujar Ibnu Salul.

Dia benar-benar marah. Matanya terjegil.

Kerana tidak mahu dituduh menggelapkan wang, pekerja itu mencelah, "Tahukah tuan kenapa hasil sekarang ini merosot?"

"Ya, aku tahu! Semua ini gara-gara Muhammad! Ia menyebabkan orang-orang menjauhi hamba-hamba wanitaku kerana terpengaruh dengan ajaran yang diseru olehnya," bentak Ibnu Salul.

Kemarahannya meluap-luap.

Ketika amarahnya masih membuak-buak, Ibnu Salul mendengar suara orang memanggil namanya.

Dia menjengah ke luar. Beberapa orang lelaki sedang tercegat berdiri di muka pintu.

Mereka adalah pembesar-pembesar Bani Tamim yang selalu menginap di tempat Ibnu Salul setiap kali berdagang.

Ibnu Salul segera keluar untuk menemui mereka. Gusarnya terhadap Muhammad sedikit reda kerana kehadiran lelaki-lelaki ini sudah pasti akan menambahkan pendapatannya hari itu.

"Mana perempuan yang dulu pernah kamu hantar untuk kami, wahai Ibnu Salul? tanya salah seorang pembesar Bani Tamim.

"Perempuan yang mana satu? Mereka itu ramai," jawab Ibnu Salul dengan nada lunak tanda amarahnya yang semakin reda.

"Perempuan kamu yang paling cantik!"

"Apakah dia itu Masikah?" tanya Ibnu Salul kembali.

"Ya. Tidak salah lagi," jawab salah seorang lelaki itu dengan riak wajah tersengih.

"Kalau begitu, aku akan hantar dia kepada kamu bersama wanita-wanita lain."

"Segerakannya wahai Ibnu Salul. Nanti kami akan memberikan wang sebagai upah kepadanya," jawab lelaki Bani Tamim itu.

Tanpa membuang masa, Ibnu Salul segera mengarahkan pekerja lelakinya memanggil Masikah bersama hamba-hamba wanitanya yang lain.

Selain Masikah, dia sendiri akan memilih beberapa lagi wanita canyik untuk dihantar kepada rombongan pedagang itu untuk mendapat upah yang lumayan.

Namun, pekerjanya telah menyatakan sesuatu yang sangat mengejutkan Ibnu Salul.

"Masikah tidak mahu melakukan perkara itu tuan. Dia telah meluruskan fikirannya," kata pekerja tersebut.

Ibnu Salul kembali berang. Serta-merta darahnya mendidih. Dia bangkit dan menuju ke bilik Masikah. Pintu bilik separuh tertutup itu diterajang dengan kakinya.

Sebaik daun pintu terkuak, dia melihat Masikah sedang menunaikan solat. Ibnu Salul tercengang. Kali ini perasaan marahnya sudah tidak dapat dikawal.

"Celaka kamu Masikah! Muhammad rupanya telah mempengaruhi kamu!" bentak Ibnu Salul.

"Tidak," jawab Masikah yang masih terkejut dengan kehadiran tuannya.

"Baginda telah menunjukkan jalan yang terang kepadaku tentang kebenaran."

Jawapan Masikah membuatkan Ibnu Salul tidak tentu arah. Lagaknya bagai dirasuk.

Masikah dihenyak semahu-mahunya. Disepak dan diterajang. Pipinya dilempang sehingga berdarah. Kakinya dilibas dengan belantan.

Kemudian, Ibnu Salul keluar sambil mendengus geram.

Pekerja lelaki kemudiannya masuk ke bilik Masikah bersama seorang wanita lain. Mereka kasihan melihat Masikah yang dibelasah teruk.

Mereka menasihatkannya supaya melayan pedagang-pedagang Bani Tamim itu jika tidak mahu dipukul oleh Ibnu Salul.

"Demi Allah! Aku tidak akan menderhaka terhadap Allah walaupun tubuhku dipotong-potong!" tegas Masikah.

Sebenarnya, Masikah sudah lama menjadi hamba Ibnu Salul. Dia dipaksa melayan nafsu lelaki dan dari situlah Ibnu Salul mendapat wang yang banyak.

Sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah, Ibnu Salul sudah memaksa hamba-hamba wanitanya daripada kaum Yahudi untuk bekerja sebagai pelacur, termasuk Masikah.

Dia telah membuka rumah pelacuran yang mana dibahagian depannya dikibarkan bendera merah.

Para pedagang dan kabilah-kabilah yang merantau sering datang ke sini untuk melampiaskan nafsu.

Selepas peristiwa hijrah berlaku, Masikah telah mendekati wanita-wanita kaum Ansar dan dari situlah dia mendapat hidayah.

Dia juga dapat merasai kebenaran ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.

Sehinggalah pada suatu hari, Masikah merasakan sudah sampai masanya untuk bertaubat dan lari daripada jerutan dosa.

Akhirnya, dia tekad melarikan diri dari rumah pelacuran itu dan menuju ke rumah seorang wanita tua yang pernah menceritakan kepadanya tentang Al-Qur'an.

Wanita tua itu tinggal seorang diri dan menerima Masikah dengan tangan terbuka.

Keesokan harinya, wanita itu membawa Masikah ke Masjid Nabawi untuk bertemu dengan Rasulullah.

Diperkarangan masjid, mereka terserampak dengan Abu Bakar As-Siddiq.

Wanita tua itu kemudiannya menceritakan perbuatan Ibnu Salul yang telah memaksa Masikah untuk melacur.

Abu Bakar kemudian masuk semula ke masjid dan menceritakan apa yang telah dialami oleh Masikah.

Mendengar penjelasan itu, Rasulullah diam seketika, kemudian turunlah wahyu daripada Allah yang berbunyi;

"Dan janganlah kamu memaksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran (sedangkan mereka sendiri inginkan kesucian kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan barangsiapa yang memaksa mereka, sesungguhnya Allah (sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka) Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nur ayat 33)

Masikah menyedari bahawa ayat tersebut telah diturunkan berkaitan dengan dirinya, maka hatinya menjadi semakin teguh kepada Islam.

Sementara itu, berita tentang Masikah telah tersebar ke seluruh pelosok Madinah dan orang ramai mengetahui bahawa Ibnu Salul telah bertindak kejam terhadap hamba-hamba wanitanya.

Sejak peristiwa itu, rumah pelacuran Ibnu Salul semakin merosot dan akhirnya terpaksa ditutup kerana tidak lagi mendapat sambutan.

BACA INI JUGA: Nikah Mutaah, Penipuan Untuk Menghalalkan Zina

-SENTIASAPANAS.COM

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon